Preamble
Menurut SP4, kunci kuarters (P47) ini diserahkan pada tertuduh yang merupakan seorang duda. Menurut SP4 lagi, kuarters bujang ini perlu dikongsi bertiga namun dokumen agihan tidak dibawa semasa SP4 memberi keterangan bagi menunjukkan butir-butir lain mengenai siapa yang berkongsi unit ini dengan tertuduh. Kunci kuarters ini juga tidak ada dikembalikan semula oleh tertuduh kepada unit Pembangunan. [9] Semasa serbuan dibuat oleh SP7, tiada keterangan mengenai rampasan kunci kuarters yang dibuat atas tertuduh dan ini membawa kepada pintu kuarters dipecah untuk masuk. Walau bagaimanapun, SP7 menyatakan terdapat kunci yang dirampas semasa tangkapan di Kuala Selangor tanpa mengetahui ia adalah kunci untuk kuarters ini. Ini dapat dilihat di laporan polis P38, sekaligus pada pandangan Mahkamah menjelaskan kenapa kunci tidak disenaraikan dalam borang bongkar bagi serbuan di kuarters Sg. Buloh ini. [10] Menurut SP4, unit ini lama dibiarkan kosong untuk tujuan dibaiki sebelum ia diserahkan kepada tertuduh. Dari segi siapa yang menghuni rumah ini selepas kunci diserahkan kepada tertuduh, SP4 setuju dia tiada pengetahuan. Namun, SP4 menyatakan kunci pendua ada di Pejabat Pembangunan dan hanya digunakan apabila ada kecemasan. [11] SP5 iaitu jiran kuarters tertuduh di G6-4-4, pula menyatakan unit kediaman tertuduh G6-4-1 didiami tertuduh seorang dan tidak pernah melihat isteri tertuduh di situ. SP5 menyatakan pernah melihat unit tertuduh berkunci dengan mangga dan pernah melihat tertuduh balik ke unit ini pada Jun 2018. SP5 juga menyatakan tidak tahu jika ada sesiapa ke unit ini kerana tidak ambil tahu. [12] Bekas isteri tertuduh SP6 pula menyatakan dia berkahwin dengan tertuduh pada 7.6.2014 dan bercerai pada 5.1.2019. Menurut SP6, tertuduh tinggal dengannya di alamat No.33 Jalan Bahtera, Kuala Selangor dan akan hanya balik ke kuarters sebagai transit sebelum masuk kerja. Hanya tertuduh sahaja yang mempunyai kunci rumah dan SP6 dapati pintu bermangga ketika dia ke kuarters ini untuk berjumpa tertuduh semasa mereka dalam krisis rumahtangga kecuali pada satu kejadian awal ketika pintu kuarters ini rosak dan terbuka apabila SP6 bersandar. SP6 tidak lagi ke kuarters tertuduh sejak November 2018, kerana tertuduh telah menukar mangga. [13] Berhubung dengan punca krisis rumahtangga, SP6 bersetuju ia melibatkan orang ketiga bernama Dira dan Fabrianti. SP6 juga bersetuju tertuduh pernah membawa Fabrianti ke rumah di Kuala Selangor. Di dalam pemeriksaan balas, SP6 bersetuju dia ada dimaklumkan oleh Dira dan Fabrianti bahawa tertuduh kerap membawa mereka ke kuarters tertuduh. [14] SP6 juga menyatakan tertuduh ada meletakkan kunci di bawah pasu di depan unit kuarters G6-4-1 untuk memudahkan SP6 memasuki unit tersebut apabila SP6 datang dari Johor ketika bekerja di sana dan ini dimaklumkan tertuduh kepada SP6 secara mesej WhatsApp. [15] SP6 juga dicadangkan semasa tangkapan tertuduh di rumah di Kuala Selangor, terdapat satu plastic polikinik atas nama ‘Fabrianti’ berhampiran tertuduh. Menurut SP6, dia dimaklumkan sedemikian tetapi tidak berada di situ semasa serbuan. Namun fakta penemuan plastic yang dikatakan atas nama ‘Fabrianti’ ini disahkan oleh pegawai serbuan SP7 semasa soal balas. Dapatan Mahkamah [16] Sebahagian keterangan yang diberikan saksi pendakwaan semasa soalbalas adalah bersifat dengarcakap ‘hearsay’. Meskipun tiada bantahan yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan, Mahkamah ini dengan bersandarkan kepada nas otoriti Subramaniam v. PP [1956] MLJ 220, PP v. Dato' Seri Anwar Ibrahim (No 3) [1999] 2CLJ 215, membuat dapatan ini dan menolak keterangan-keterangan berikut kerana tidak boleh diterima masuk atas ‘hearsay’: a) keterangan SP6: semasa tangkapan tertuduh di rumah di Kuala Selangor, terdapat satu plastic atas nama ‘Fabrianti’ di atas lantai berhampiran tertuduh tetapi SP6 tiada semasa serbuan dibuat; b) keterangan SP6: dimaklumkan oleh Dira dan Fabrianti bahawa tertuduh kerap membawa mereka ke kuarters tertuduh tetapi Dira dan Fabrianti tidak dipanggil sebagai saksi. [17] Selain daripada itu, terdapat perbezaan keterangan tentang di mana uniform dan buku tugasan harian tertuduh dirampas sama ada dari dalam bilik atau ruang tamu. Mahkamah ini berpendapat, jika dilihat pada keterangan lanjut SP7 yang menerangkan gambar-gambar tempat kejadian P20 khususnya gambar (8) dan (9) menunjukkan gambar di ambil di bilik tetapi tumpuan kepada ruang tamu bilik tersebut. Dalam erti kata lain, jika dilihat pada gambar ia bermaksud di kawasan lapang bilik tersebut. [18] Walau bagaimanapun, apabila dicadangkan semasa soal balas bahawa uniform dan buku tugasan ditemui dalam bilik di P20(9), SP7 tidak bersetuju dan menjelaskan dalam permeriksaan semula bahawa unform dan buku tugasan harian ditemui di ruang tamu kuarters. Ini juga sebagaimana keterangan SP8 dan seperti dicatit di borang bongkar P40. Keterangan pegawai penyiasat SP9 pula menunjukkan kedua-dua uniform dan buku tugasan harian ini ditemui di bilik bertanda ‘3’ di rajahkasar P46 yang dirakam dalam gambar P20(9) yang diambil dalam kehadiran SP7 dan jurufoto SP2. [19] Mahkamah ini membuat dapatan bahawa meskipun terdapat perbezaan di mana uniform dan buku tugasan harian tertuduh ini ditemui, apa yang jelas ialah kedua-duanya milik tertuduh kerana tercatit nama tertuduh pada tanda nama dan di atas buku tugasan tersebut. Oleh itu, ini menunjukkan bahawa dengan tiada penemuan apa-apa bukti kehadiran mana-mana pihak ketiga yang lain, tertuduh mempunyai kawalan dan jagaan atas kuarters ini dan apa-apa yang ditemui di dalamnya. Untuk tujuan ini, Mahkamah bersandarkan kepada kes: Leow Nghee Lim v Regina [1955] 1 LNS 53 di mana Taylor J membuat pemerhatian seperti berikut: “Next the Magistrate says that if the opium was concealed in that drawer with the knowledge of the accused, it follows that he had custody of it. I question this proposition. It is clear from the Ordinance that custody is something less than possession. I take that argument to be that as the accused personally managed his shop he had custody of everything in it but the plain truth is that, broadly speaking, the accused had not mere custody but actual possession of his shop and its contents. The question is whether he had possession of the tin of opium. To say that he had custody of it is to distinguish it from the other contents of the shop…” (penekanan oleh saya) [20] Atas otoriti ini ditambah dengan tiada nya penemuan apa-apa barang lain di atas nama pihak ketiga, Mahkamah membuat dapatan bahawa tiada apa-apa keterangan yang wujud untuk menafikan milikan tertuduh ke atas kuarters dan barangan di dalam kuarters ini. Tambahan pula, tiada apa-apa cadangan khusus dari pihak pembelaan yang menamakan identity tertentu pihak ketiga melainkan Dira dan Fabrianti yang dikatakan mempunyai akses ke dalam kuarters ini yang boleh mengubah dapatan Mahkamah. [21] Cadangan jika adapun, hanya dibuat kepada pegawai penyiasat SP9 yang mencadangkan tertuduh ada memberi nama ‘Wazini’ sebagai rakan sekerja yang menjadikan kuarters tertuduh ini transit untuk hadir kerja. Namun, tiada apa-apa keterangan untuk menyokong kehadiran Dira dan Fabrianti di kuarters ini ataupun Wazini. Oleh itu, dengan keterangan SP7 bahawa tertuduh yang menyerahkan kotak speaker tersebut dan keterangan ini disokong oleh SP8, ini menunjukkan tertuduh mempunyai pengetahuan mengenai kotak speaker dan dadah yang ditemui dalam kotak tersebut. [22] Berhubung dengan isu amaran pula, SP7 telah menyatakan bahawa dia telah membacakan amaran kepada tertuduh. SP8 turut menyokong keterangan SP7 ini. Soal balas ke atas SP7 bahawa SP7 seorang yang telah lama bertugas dan berpengalaman oleh itu tahu keperluan memberi amaran dan ini dipersetujui SP7 tidak mencadangkan amaran tidak diberikan oleh SP7 pada tertuduh, meskipun tiada catatan pada mana-mana dokumen termasuk kenyataan saksi SP7 sendiri. [23] Namun keterangan ini telah dikemukakan oleh SP7 dalam soalan tambahan pemeriksaan utama oleh pihak pendakwaan terhadap SP7. Mahkamah membuat dapatan bahawa amaran ada dibacakan oleh SP7 dengan keterangan SP7 bahawa dia merujuk kepada kertas amaran yang dibawa bersama yang mana kertas amaran ini meskipun tidak dikemukakan dan ditanda sebagai eksibit, tidak menjadikan keterangan SP7 tidak kredibel dan hanya melibatkan isu berat yang perlu diberi. Dengan adanya sokongan dari SP8, tiada sebab untuk Mahkamah untuk tidak mempercayai SP7. [24] Terdapat isu yang berkait dengan kenyataan SP7 yang menyatakan tertuduh yang mengambil dan menyerahkan kotak speaker kepada SP7. Pertama ialah berhubung kedudukan gari pada tangan tertuduh yang menurut SP7 apabila disoalbalas, IGPSO mengkehendaki tangan digari ke belakang dan ini dipersetujui oleh SP7. Daripada soal-balas ini, meskipun dicadangkan IGPSO mengkehendaki tangan digari ke belakang, tiada cadangan lanjut bahawa tertuduh sebenarnya digari ke belakang kerana mematuhi IGPSO dan kedudukan gari ini menjadikan keterangan bahawa tertuduh yang menyerah kotak speaker kepada SP7 ini satu yang tidak munasabah. Dalam ketiadaan cadangan khusus ini, Mahkamah berpuas hati tertuduh yang menyerahkan kotak speaker ini kepada SP7 tanpa mengambil kira kedudukan gari pada tangan tertuduh. [25] Satu isu akhir yang penting yang perlu diberi perhatian oleh Mahkamah ini ialah berhubung isu tandatangan tertuduh yang dikatakan sebagai berbeza di antara P40 borang bongkar dan tandatangan tertuduh di pernyataan 112 tertuduh. Peguam tertuduh telah merujuk kepada kenyataan 112 ini tetapi apabila ditanya oleh Mahkamah jika ia akan dikemukakan sebagai eksibit, peguam menyatakan tidak. Namun soalan telah ditanya kepada saksi SP9 dan Mahkamah telah diminta untuk membuat dapatan berhubung isu perbezaan tandatangan ini. [26] Saksi SP9 dan juga Mahkamah, setelah membuat perbandingan kedua-duanya mendapati tandatangan kelihatan berbeza. Namun SP9 tidak bersetuju tandatangan di P40 bukan tandatangan tertuduh kerana di kenyataan 112 tertuduh masih terdapat capjari untuk perbandingan. Peguam bagi pihak tertuduh berdasarkan seksyen 105 dan 106 Akta Keterangan 1950 mempunyai tugas untuk membuat apa-apa permohonan lanjut untuk capjari ini dibuat perbandingan, tetapi ia tidak dibuat. Lebih-lebih lagi dalam kes ini, SP7 pegawai serbuan menyatakan tertuduh menandatangani P40 dan dia tidak disoalbalas atas fakta ini. Dengan ini, tiada dapatan bertentangan yang boleh dibuat oleh Mahkamah berhubung isu ini. [27] Mahkamah juga berpuashati isu kunci yang dikatakan diletak di bawah pasu, di akhir kes pendakwaan tiada apa-apa keterangan untuk menunjukkan ia adalah satu norma yang biasa untuk tertuduh meletakkan kunci tersebut di situ. Fakta yang dibuktikan melalui keterangan saksi SP6 (bekas isteri tertuduh) ialah tertuduh meletakkan kunci di bawah pasu untuk membolehkan SP6 membuka pintu kuarters yang berkunci itu. Ini berlaku hanya apabila tertuduh memaklumkan SP6 melalui teks mesej. Ini juga bermakna tiada kunci pendua yang wujud untuk kegunaan SP6. [28] Selain daripada itu, cadangan pihak pembelaan kepada pegawai penyiasat SP9 bahawa Wazini juga menggunakan kuarters ini untuk transit bagi menukar pakaiannya semasa hadir bekerja maka uniform dan buku tugasan harian atas nama Wazini turut dijumpai, Mahkamah memutuskan pada tahap ini ia kekal sebagai cadangan sahaja kerana pertama, perkara ini tidak dicadangkan kepada pegawai serbuan yang menemui uniform dalam kuarters berkenaan manakala penemuan uniform tertuduh dijelaskan oleh SP6 bahawa tertuduh yang ketika itu tinggal di Kuala Selangor, menggunakan kuarters tersebut sebagai transit ‘persinggahan sementara’ sebelum hadir bertugas. [29] Atas alasan dan dapatan ini, Mahkamah setelah berpuashati dengan kredibiliti saksi-saksi pendakwaan (lihat: Tan Kim Ho & Anor v.PP [2009] 3 CLJ 236 (FC); Lee Ah Seng & Anor v. PP [2007] 5 CLJ 1 (FC) memutuskan pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan satu kes prima facie ke atas pertuduhan-pertuduhan terhadap tertuduh melalui keterangan langsung bahawa tertuduh mempunyai milikan dan pengetahuan terhadap dadah-dadah yang terkandung dalam kotak speaker yang ditemui di ruang tamu kuarters tertuduh bagi pertuduhan di bawah Akta Dadah Berbahaya. Tertuduh juga mempunyai kawalan dan pengetahuan ke atas dadah yang disenaraikan di bawah Akta Racun. [30] Dengan pembuktian melalui keterangan langsung elemen pemilikan dan pengetahuan ini, tertuduh dianggap mengedar dadah berbahaya Cannabis dan Methampetamine dengan pemakaian anggapan di bawah seksyen 37(da) Akta Dadah kerana dadah-dadah ini telah mencapai berat minima 200gram bagi Cannabis dan 50gram bagi Methamphetamine. Tertuduh dipanggil membela diri atas kesemua pertuduhan. Kes pembelaan dan dapatan Mahkamah [31] Kes pembelaan melalui keterangan bersumpah tertuduh menyatakan tertuduh telah ditangkap di rumah di Kuala Selangor dan pada ketika itu, isteri tertuduh tiada di rumah. Keterangan tertuduh juga menyatakan selepas tangkapannya dan hasil soal siasat setelah anggota polis mengetahui tertuduh mempunyai kuarters, mereka telah menghubungi anggota penjara yang tiba kemudian dan memandu arah pasukan polis ke kuarters tertuduh. [32] Tertuduh menyatakan tangannya bergari ke belakang dan menafikan dia telah mengambil dan menyerahkan kotak speaker kepada anggota polis Insp. Amin kerana dia tiada pengetahuan kewujudan kotak speaker tersebut dan kandungannya. Walau bagaimanapun, tertuduh tidak menafikan penemuan unifromnya dan buku catatan tugasan di kuarters tersebut. [33] Tertuduh juga menyatakan dia mendiami kuarters ini berseorangan dan tertuduh mempunyai 3 kunci pada pintu kuarters. Ia boleh diakses oleh seorang teman wanita bernama Dira kerana satu kunci kuarters ada bersamanya, satu lagi diletakkan tertuduh di dalam pasu bunga yang terletak di luar di pintu kuarters dan satu lagi kunci ada bersama tertuduh di rumah diduduki di Kuala Selangor. Selain Dira, kuarters ini juga diguna oleh Fabrianti seorang lagi teman wanita tertuduh dan juga boleh diakses rakan sekerja tertuduh bernama Wazini yang pernah hadir dan masuk ke kuarters ini untuk meminjam helmet tertuduh dengan kebenaran dan setelah dimaklumkan oleh tertuduh kunci berada dalam pasu. [34] Keterangan Wazini menyatakan yang sama bahawa dia pernah ke kuarters tertuduh dalam bulan Mei 2019 untuk meminjam helmet dan dapat memasuki kuarters menggunakan kunci yang berada dalam pasu di depan kuarters sebagaimana dimaklumkan oleh tertuduh. Pada ketika itu, Wazini mendapati sebuah kotak speaker di luar hadapan pintu kuarters dan telah mengambilnya dan diletakkan dalam kuarters tertuduh di hadapan pintu dalam rumah di rak kasut. Wazini lupa untuk memberitahu tertuduh perihal kotak speaker ini dan hanya memberitahu tertuduh apabila Wazini melawat tertuduh 4-5 bulan lepas. [35] Mahkamah telah melihat tarikh kedua tertuduh dan Wazini SD2 memberi keterangan dan mendapati kedua-duanya memberi keterangan pada bulan Disember 2022. Oleh itu, keterangan SD2 bahawa dia lupa untuk memberitahu tertuduh mengenai penemuan kotak speaker oleh SD2 di luar rumah dan hanya memberitahunya pada tertuduh 4-5 bulan lepas adalah satu penafian kosong semata-mata lebih-lebih lagi apabila tertuduh ketika memberi keterangan (dalam tempoh yang singkat sebelum Wazini), tidak ada menyebut langsung mengenai penemuan tertuduh dengan Wazini SD2 yang dikatakan menceritakan perkara penemuan kotak speaker tersebut. [36] Ini ditambah dengan pembelaan tertuduh bahawa dia dianiaya oleh seseorang tetapi tidak langsung mencadangkan secara khusus, siapa orang yang dia syaki telah menganiayanya dengan meletakkan speaker mengandungi dadah di luar hadapan pintu kuartersnya. Wazini juga tidak ada menceritakan menggunakan kuarters tertuduh sebagai transit persinggahan sebelum atau selepas kerja dan meninggalkan uniforms di kuarters tertuduh, oleh itu cadangan seumpama ini oleh pembelaan di dalam kes pendakwaan melalui soalbalas pegawai penyiasat SP9 dan tidak dipersetujui oleh SP9, tidak dibuktikan melalui keterangan Wazini. [37] Berhubung keterangan SD3 anggota penjara yang memberi keterangan bahawa dia diarahkan untuk ke IPD Sg. Buloh oleh Inspektor Haffiz (tidak dipanggil sebagai saksi tetapi ditawarkan oleh pendakwaan) yang juga dari Penjara Sg Buloh dan kedua-dua mereka telah ke IPD Sg. Buloh bersama. Keterangan SD3 seterusnya menyatakan Insp. Haffiz telah mengarahkan SD3 untuk tunggu di luar sementara Insp. Haffiz naik menemui Insp. Amir. Keterangan SD3 selanjutnya ialah dia telah diarahkan untuk mengiringi pasukan polis ini dari IPD Kuala Selangor ke penjara dengan SD3 mendahului pasukan polis dan anggota penjara yang terdiri daripada 3 buah kereta semuanya. [38] Terdapat percanggahan keterangan SD3 ini kerana pada awalnya menyatakan dia diarahkan untuk ke IPD Sg. Buloh dan mengiringi pasukan ke Penjara Sg. Buloh. Kemudian, didapati ceritanya bertukar apabila dia menyatakan mengiringi pasukan dari IPD Kuala Selangor ke Penjara Sg. Buloh. [39] Perbezaan ini adalah material kerana IPD Kuala Selangor merupakan kejadian serbuan pertama di rumah beralamat di Kuala Selangor sepertimana P38 manakala IPD Sg. Buloh ialah tempat serbuan kedua di kuarters Sg. Buloh sepertimana laporan polis P39. Oleh itu, tidak logik untuk SD3 diberi arahan untuk mengiringi pasukan dari IPD Sg. Buloh ke Penjara Sg. Buloh sedangkan serbuan telahpun dibuat oleh pasukan polis yang diketuai oleh SP7 dan SP8 apabila mereka menuju ke kuarters Sg Buloh ini setelah taklimat dibuat di IPD Kuala Selangor. [40] Keterangan SP7 bersetuju pasukan penjara dimaklumkan mengenai serbuan yang akan dibuat oleh pasukan SP7 dan berada di kuarters semasa pasukan SP7 tiba tetapi mereka tidak hadir semasa taklimat dibuat di IPD Kuala Selangor. Keterangan SP7 menyatakan pasukan serbuan ini terdiri daripada 10 orang termasuk SP7 dan SP8 dengan nombor badan mereka telah dinyatakan secara jelas di dalam laporan polis P39. Menurut SP7 lagi mereka menaiki 3 kenderaan yang dibahagi 3-4 orang setiap sebuah kenderaan. Kesemua keterangan pendakwaan ini adalah konsisten dan munasabah untuk diterima. [41] Pihak pembelaan semasa kes pendakwaan mencadangkan pintu kuarters ditendang oleh anggota penjara bernama Hamdan, namun menerusi keterangan Hamdan SD3 yang dipanggil oleh pembelaan, peranannya hanya berhenti setakat dia disuruh tunggu di tangga kuarters. Oleh itu, versi pembelaan (jikapun ia merupakan sebahagian pembelaan yang dikemukakan tertuduh) bahawa seolah-olah pihak penjara yang cuba memerangkap tertuduh tidak diterima oleh Mahkamah ini kerana tidak dibuktikan. [42] Pembelaan tertuduh yang dikemukakan semasa soal balas SP7 dan dipersetujui SP7 bahawa menurut IGSO seorang tertuduh hendaklah bergari ke belakang, namun tidak dicadangkan dengan lebih lanjut bahawa tertuduh dalam keadaan bergari ke belakang semasa serbuan dibuat di kuarters, bertujuan untuk menafikan keterangan oleh SP7 bahawa tertuduh yang mengambil dan menyerahkan kotak speaker tersebut. [43] Dengan demikian, ini tidak menjadikan soalan peguam semasa soal balas sebagai satu keterangan. Ini adalah kerana pada pandangan Mahkamah, soalan dalam pemeriksaan balas seperti “Kamu adalah seorang pencuri, bukan?” tidak membuktikan dengan sendirinya melalui soalan ini saksi atau tertuduh ini seorang pencuri. Keterangan perlulah datang dari saksi yang relevan (lihat maksud “keterangan” atau “evidence” di bawah Akta Keterangan 1950. Dalam kes ini, keterangan SP7 turut disokong oleh SP8 dan laporan polis P39. [44] Oleh itu, di akhir perbicaraan, tiada apa-apa keterangan untuk Mahkamah membuat penemuan fakta yang berbeza berhubung isu ini. Tambahan pula keterangan SD3 yang menyatakan Insp. Haffiz mengarahkan dia (SD3) untuk tunggu di luar pejabat sementara dia (Insp. Haffiz) menemui Insp. Amir adalah satu keterangan dengarcakap kerana Insp. Haffiz ditawarkan kepada pihak pembelaan tetapi tidak dipanggil. (Lihat: PP v Dato’ Seri Anwar Bin Ibrahim (supra). Ini adalah kerana tujuan keterangan ini dikemukakan bukan untuk menunjukkan Insp. Haffiz wujud tetapi untuk menunjukkan kehadiran mereka di ‘IPD Sg. Buloh’ melalui arahan yang diberi oleh Insp. Haffiz serta arahan Insp. Haffiz kepada SD3 untuk tunggu di luar (lihat kes Mahkamah Persekutuan Adiswaran Tharumaputrintar v. PP & other appeals [2014] 3 CLJ 813) [45] Atas keseluruhan alasan ini, pembelaan tertuduh telah gagal menimbulkan keraguan munasabah ke atas kes pendakwaan bersabit milikan, kawalan dan pengetahuan seterusnya gagal mengakas anggapan pengedaran di bawah seksyen 37(da) Akta. [46] Bagi pertuduhan mengedar P2 dan P4, setelah mendengar hujahan pihak-pihak, tertuduh disabitkan dan dijatuhkan hukuman mati gantung mandatori sebagaimana yang diperuntukkan oleh Akta kerana tiada apa-apa keterangan yang boleh memenuhi limb (d) di bawah seksyen 39B(2A). Bagi pertuduhan P6, dijatuhkan hukuman 2 tahun penjara dan 3 sebatan. Bagi pertuduhan P8, hukuman 1 tahun penjara. Hukuman diperintahkan berjalan serentak. [47] Bagi hukuman atas pertuduhan P35 dan P37, Mahkamah pada hari yang sama setelah memanggil pembelaan juga atas kedua-dua pertuduhan ini, menjatuhkan hukuman masing-masing 1 tahun penjara dan hukuman 6 bulan penjara bagi kedua-dua pertuduhan ini. Kesemua hukuman diperintahkan berjalan serentak dengan hukuman bagi pertuduhan P6 dan P8. Pesuruhjaya Kehakiman MTJ3 Shah Alam Bertarikh: 31hb Januari 2023 Shahrul Ekhsan bin Hasim, Timbalan Pendakwa Raya Pejabat Timbalan Pendakwa Raya Tingkat 4, Podium Utara, Bangunan SSAAS 40152 Shah Alam Selangor Darul Ehsan En. Zameri Bin Mat Nawang Tetuan Zameri & Associates Peguambela & Peguamcara, Lot 2009, Tingkat 1, Depan Balai Islam Lundang, Jalan Sultan Yahya Petra, 15200 Kota Bharu, Kelantan Darul Naim