Tiada tanda-tanda yang menunjukkan OKT menghuni premis tersebut dengan mana-mana individu lain semasa SP3 dan pasukannya menyerbu masuk premis tersebut. [20] Nas undang-undang adalah jelas berkaitan dadah yang dijumpai telah disembunyikan di dalam laci almari di dalam bilik OKT di mana dadah tersebut dibungkus di dalam beg peket Nestle Everyday (peket susu tepung). Dadah-dadah tersebut bukan sekadar disembunyikan di dalam almari malah dibungkus dengan peket susu serbuk agar tidak dikesan oleh pihak berkuasa. Mana mungkin untuk mengatakan OKT tidak mengetahui kandungan peket-peket susu serbuk tersebut malahan tidak ada penjelasan mengapa OKT menyimpan ‘susu’ dalam stok yang begitu banyak. [21] Di dalam kes ini, OKT merupakan penghuni dan penyewa kepada premis dan bilik yang mana dadah tersebut itu dijumpai. Merujuk kes PP v Zolzaya Natsagroj [2015] 6 CLJ 579, Mahkamah menyatakan- “(1) The prosecution's evidence showed that the bag containing the drugs was found inside the respondent's bag concealed from view, the respondent was the sole tenant of the room and nobody else had the key to the room. Therefore, at the material time the respondent had actual possession, custody and control of the exh. P67. The respondent had admitted putting the drugs in her bag. The concealment of the bag supported the inference of knowledge of the contents of the bag. Based on the quantity and weight of the drugs, the trial judge had rightly invoked the presumption under s. 37(da) of the Act. Therefore, the trial judge had correctly ordered the respondent to enter her defence. (paras 21)” [22] OKT ditangkap hanya selepas SP3 dan pasukannya telah menyerbu premis tersebut. OKT pada asalnya tidak berada di rumah. Beliau hanya dibawa pulang kemudian oleh SP3 dan pasukannya apabila OKT telah disoalsiat oleh SP3. Hasil daripada soalsiasat tersebut, barang-barang salah tersebut dijumpai di premis OKT. Selain itu, semasa serbuan dilakukan, tiada individu lain yang berada di rumah tersebut. Oleh itu, adalah inferens yang nyata bahawa OKT mempunyai pengetahuan ke atas dadah yang dijumpai. [23] Selain itu, pihak Pendakwaan telah berjaya membuktikan OKT mempunyai kawalan atau jagaan dan pengetahuan akan dadah yang berada dalam jagaannya itu dengan mengecualikan orang lain mempunyai akses pada tempat di mana dadah itu dikatakan dijumpai. Berdasarkan ini intipati (b) telah dipenuhi. Pembuktian Initipati (c) OKT telah melakukan perbuatan pengedaran dadah tersebut. [24] Di dalam kes ini, bagi intipati pengedaran, memandangkan intipati pemilikan telah berjaya dibuktikan, maka Mahkamah membuat dapatan bahawa satu kes prima facie dibuktikan menurut seksyen 180(4) KTJ, dengan pemakaian anggapan bawah seksyen 37(da) ADB 1972 untuk pengedaran berdasarkan berat dadah. Oleh itu, anggapan pengedaran di bawah s 37(da) ADB 1952 adalah terpakai. [25] Intipati (c) telah dipenuhi. KEPUTUSAN DI AKHIR KES PENDAKWAAN [26] Setelah Mahkamah meneliti keterangan melalui saksi-saksi Pendakwaan bersama ekshibit yang dikemukakan dalam kes ini, hujahan kedua-dua pihak serta setelah diaplikasikan prinsip penilaian maksima terhadap kesemua keterangan yang dikemukakan, Mahkamah memutuskan bahawa pihak Pendakwaan telah berjaya membuktikan bahawa wujudnya suatu kes prima facie terhadap OKT berdasarkan keterangan yang jelas untuk intipati pertama dan kedua serta dengan bergantung kepada anggapan di bawah seksyen 37(da) ADB 1952 bagi intipati ketiga. [27] OKT telah dipanggil untuk membela diri dan diberikan tiga (3) pilihan sama ada untuk memberi keterangan secara bersumpah, memberi keterangan bersumpah dalam kandang OKT atau berdiam diri. OKT memilih memberi keterangan secara bersumpah. KES PEMBELAAN [28] Di peringkat Pembelaan, OKT memilih untuk memberi keterangan bersumpah dengan menggunakan Pernyataan Saksi (PS-D1) serta keterangan lisan. OKT telah memilih untuk tidak memanggil lain-lain saksi. Naratif kes Pembelaan [29] Berikut adalah keterangan OKT melalui penyata saksinya, PS-D1. Secara ringkasnya, OKT menyatakan dia berasa kasihan dengan rakannya Goh Liang Sin bersama teman serumah Goh Liang Sin iaitu Wong Wai Lin yang mana tempoh penyewaannya hampir tamat dan menawarkan untuk tinggal sementara di rumah OKT. [30] Seterusnya OKT menyatakan pada hari kejadian pada 29 Mei 2019, rakannya ingin memindah barang ke rumahnya tetapi OKT tiada di rumah dan teman wanita OKT bernama Pham Nhunga yang berada di rumah OKT telah membenarkan untuk urusan pemindahan barang ke rumah OKT. [31] OKT seterusnya menyatakan pada perenggan 14 PS-D1- “Pada jam lebih kurang 12 tengah hari teman wanita saya telah memaklumkan saya bahawa Goh Liang Sin dan Wong Wai Lin telah datang ke Condo saya dan meletakkan beg pakaian, kotak-kotak dan barang lain ke dalam bilik kedua di unit kami. Mengikut teman wanita saya selepas meletakkan barang tersebut di situ mereka telah terus beredar.”. [32] OKT seterusnya menyatakan pada sebelah petang jam 4.30, Goh Liang Sin telah memintanya menghantar ke tempat kerja kerana tiada pengangkutan. Oleh itu OKT telah membantunya ke tempat kerja. Setiba di tempat kerja Goh Liang Sin, OKT telah diserbu sekumpulan lelaki yang memperkenalkan diri sebagai polis. Tiada barang salah dijumpai pada OKT. [33] OKT kemudian dibawa ke rumahnya sekitar jam 8 malam dan dadah telah dijumpai. OKT menafikan pengetahuan mengenai dadah yang dijumpai dengan menyatakan ianya adalah milik Goh Liang Sin dan/atau Wong Wai Lin dan OKT tidak pernah menunjukkan almari tempat simpanan dadah itu kepada Polis. ANALISA DAN DAPATAN MAHKAMAH DI AKHIR KES PEMBELAAN [34] Beban pembuktian pihak Pembelaan di akhir kes Pembelaan adalah dengan menimbulkan keraguan munasabah ke atas kes Pendakwaan. Manakala beban ke atas pihak Pendakwaan pula adalah untuk membuktikan kes melampaui keraguan yang munasabah. Ini seperti yang diperuntukkan dalam seksyen 182A KTJ. [35] Berdasarkan seksyen 182A KTJ, jika Pendakwaan berjaya membuktikan kesnya melampaui sebarang keraguan yang munasabah, OKT hendaklah didapati bersalah dan disabitkan. Namun jika sebaliknya, Mahkamah hendaklah melepas dan membebaskan tertuduh. (Rujuk kes Balachandran v. PP [2005] 2 MLJ 301; [2005] 1 CLJ 85 dan Mohamad Radhi bin Yaacob v. PP [1991] 3 MLJ 169). Kes Public Prosecutor v Mohd Amin bin Mohd Razali & Ors [2002] 5 MLJ 406). Mahkamah Persekutuan juga telah menjelaskan tentang maksud seksyen 182A KTJ. [36] Oleh itu, OKT memikul beban untuk membangkitkan keraguan munasabah ke atas kes Pendakwaan selain menyangkal anggapan pengedaran dadah di bawah seksyen 37(da) ADB 1952 atas imbangan kebarangkalian. [37] Menjadi anggapan bahawa OKT mengedar dadah tersebut sehingga dibuktikan sebaliknya (until the contrary is proved). OKT dengan ini perlu mengemukakan keterangan yang mencukupi untuk mengakas anggapan tersebut atas imbangan kebarangkalian (rujuk kes PP v. Yuvaraj [1969] 2 MLJ 89; [1968] 1 LNS 116, Ng Chai Kern v PP [1994] 2 MLJ 210; [1994] 2 CLJ 593 dan Mohamad Radhi v PP [1991] 3 MLJ 169; [1991] 3 CLJ 2073). [38] Setelah dibuktikan OKT mempunyai milikan mens rea dadah tersebut, keterangan SP6 yang tidak dicabar berkaitan jenis dan dadah yang terlibat telah membolehkan aplikasi anggapan di bawah seksyen 37(da) ADB 1952. [39] Setelah menilai keterangan OKT dan saksi pihak Pendakwaan, Mahkamah mendapati naratif pembelaan OKT adalah sukar untuk dipercayai memandangkan ianya merupakan penafian kosong yang tidak menimbulkan sebarang keraguan munasabah ke atas kes Pendakwaan yang telah berjaya dibuktikan kesnya. Keterangan OKT seolah dibuat semata-mata untuk melepaskan diri dari kesalahan yang telah dilakukan. Tiada keterangan bukti lain yang menyangkal bahawa dadah telah dijumpai di premis yang diduduki OKT. [40] Mahkamah juga mendapati bahawa atas imbangan kebarangkalian, OKT telah gagal mengakas atau mematahkan anggapan pengedaran. Mahkamah mendapati cerita dan pembelaan OKT tidak menimbulkan sebarang keraguan yang munasabah bahawa OKT tidak mempunyai jagaan dan kawalan atas dadah yang dijumpai di premis yang didudukinya dan dadah bukan miliknya. [41] Ini berdasarkan kes Liam Heng Boon v. PP [2014] 5 MLJ 259 di mana Mahkamah Rayuan telah memutuskan: "So the appellant had to rebut the operative presumption of trafficking under s. 37(da) of the DDA on the balance of probabilities. That level of rebuttal places a higher evidentiary burden on the appellant." [42] Mahkamah berpendapat bahawa keterangan bukti kes Pembelaan bukan sahaja sekadar satu penafian tetapi juga tidak menyakinkan (not convincing). Pembelaan OKT tidak disokong (uncorroborated) dengan keterangan dan pembelaan yang dikemukakan adalah penafian semata-mata yang tidak disertai dengan bukti kukuh. Oleh kerana kes pembelaan hanya sekadar penafian semata-mata, ia tidak dapat membantu OKT. [43] Penafian semata-mata tanpa sebarang keterangan sokongan tidak dapat menimbulkan sebarang keraguan yang munasabah (rujuk kes Ong Hooi Beng v PP [2015] MLJU 22 (CA) dan Ali Tan bin Abdullah v PP [2013] 2 MLJ 676 (CA)). Ia juga seperti diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan dalam kes D.A. Duncan v PP [1980] 2 MLJ 195- “[4] Now this evidence, if accepted and believed, is clearly sufficient to establish a prima facie case against the appellant. The High Court at Alor Star accepted it and called on the defence. The defence was, in effect, a simple denial of the evidence connecting the appellant with the four boxes. We cannot see any plausible ground for saying that the four boxes were not his. In the circumstances of the prosecution evidence, the High Court came, in or view, to the correct conclusion that his denial did not cast a doubt on the prosecution case against the appellant”. [44] Pada peringkat ini, OKT seharusnya menyangkal anggapan di bawah seksyen 37(da) ADB 1952. Walaubagaimanapun, pembelaan OKT yang bersifat penafian semata-mata tanpa keterangan sokongan menunjukkan Pembelaan gagal menyangkal anggapan tersebut. [45] Seterusnya dalam kes Mohd Hanafi Safii v PP [2012] 1 LNS 814; [2013] 5 MLJ 87 Mahkamah Rayuan menyatakan: “It is thus not enough for an accused merely to assert absence of knowledge. The facts of the case must be examined as a whole to see whether he had good reason to suspect that he was carrying drugs. In Yeo Choon Huat v. PP [1998] 1 SLR 217, this court held (at pp. 226-227): In short, ignorance is a defence only when there is no reason for suspicion and no right and opportunity of examination; ignorance simpliciter is not enough.” [46] Berdasarkan kepada prinsip-prinsip kes di atas, adalah terbukti keterangan OKT ini hanyalah bersifat penafian semata-mata dan tidakpun menimbulkan sebarang keraguan yang munasabah. Selain itu, Pembelaan juga tidak memanggil mana-mana saksi untuk mengesahkan versi OKT di dalam kes ini walaupun berpeluang berbuat sedemikian. Alasan yang dinyatakan pihak Pembelaan semasa menutup kes ialah “We applied for subpoenas for Wong Wai Ling and Goh Liang Sing we are unable to trace them.” (rujuk Nota keterangan halaman 106). [47] Oleh itu, setelah meneliti keterangan kes Pembelaan terhadap kes Pendakwaan dan menimbangkan keseluruhan keterangan kes ini, Mahkamah mendapati pihak Pembelaan telah gagal membangkitkan keraguan munasabah ke atas elemen pemilikan mens rea dadah berbahaya seperti dalam pertuduhan. [48] Seterusnya Mahkamah mendapati pihak Pembelaan juga telah gagal menyangkal anggapan pengedaran dadah di bawah seksyen 37(da) ADB 1952 yang terpakai terhadapnya sepertimana mengikut prinsip yang diputuskan dalam kes Mat v Public Prosecutor [1963] 1 LNS 82; [1963] 1 MLJ 263. [49] Dengan itu setelah Mahkamah ini menimbang kesemua keterangan, didapati bahawa OKT gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah ke atas kes pihak Pendakwaan mengenai dadah yang dimilikinya serta atas imbangan kebarangkalian gagal mematahkan anggapan pengedaran ke atas dadah tersebut. Sebaliknya pihak Pendakwaan telah membuktikan kesnya melampaui keraguan munasabah atas alasan yang telah dijelaskan. Sehubungan itu, Mahkamah mensabitkan OKT dengan kesemua pertuduhan terhadapnya.