Content
DALAM MAHKAMAH TINGGI MALAYA DI ALOR SETAR DALAM NEGERI KEDAH DARUL AMAN PERBICARAAN JENAYAH NO: KA-45A-79-12/2019 PENDAKWA RAYA
KA-45A-79-12/2019
High Court of Malaysia16 Apr 2024
The written judgment as the court issued it, with the coram, case number, and source links. Every paragraph has its own anchor.
Citations and treatment detected automatically from later judgments and the authorities this decision relies on.
Later cases and laws citing this decision
Not yet cited by a later decision.
Earlier cases and laws this decision relies on
“tidak kurang daripada 12 sebatan. [24] Di dalam kes Md Masud Rana v Public Prosecutor [2024] MLJU 154, Mahkamah Rayuan telah memutuskan seperti berikut: “[35] For offences under section 302 of the Penal Code, Act 846 has given the discretionary power to this Court to determine the punishment that should be given to the”
“hukuman terhadap OKT, iaitu sama ada menjatuhkan hukuman mati, ataupun hukuman penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada 12 sebatan. [24] Di dalam kes Md Masud Rana v Public Prosecutor [2024] MLJU 154, Mahkamah Rayuan telah memutuskan seperti berikut: “[35] For offences under section 302 of the Penal Code,”
Auto-detected from judgment text; not a substitute for a citator check.
Content
DALAM MAHKAMAH TINGGI MALAYA DI ALOR SETAR DALAM NEGERI KEDAH DARUL AMAN PERBICARAAN JENAYAH NO: KA-45A-79-12/2019 PENDAKWA RAYA
1
OKT telah dituduh dengan tiga (3) kesalahan di bawah seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 (“ADB 1952”) yang boleh dihukum di bawah seksyen 39B(2) Akta yang sama.
2
Pertuduhan-pertuduhan terhadap OKT adalah seperti berikut: Pertuduhan Pertama “Bahawa kamu pada 03/03/2019, jam lebih kurang 05.15 petang, di kawasan Jeti Point, Mukim Kuah, di dalam daerah Langkawi di dalam Negeri Kedah Darul Aman, telah didapati mengedar dadah berbahaya iaitu Heroin seberat 21.8 gram. Oleh yang demikian, kamu telah melakukan satu kesalahan di bawah seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah seksyen 39B(2) Akta yang sama.” Pertuduhan Kedua “Bahawa kamu pada 03/03/2019, jam lebih kurang 05.15 petang, di kawasan Jeti Point, Mukim Kuah, di dalam daerah Langkawi di dalam Negeri Kedah Darul Aman, telah didapati mengedar dadah berbahaya iaitu Methamphetamine seberat 222.7 gram. Oleh yang demikian, kamu telah melakukan satu kesalahan di bawah seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah seksyen 39B(2) Akta yang sama.” Pertuduhan Ketiga “Bahawa kamu pada 03/03/2019, jam lebih kurang 05.15 petang, di kawasan Jeti Point, Mukim Kuah, di dalam daerah Langkawi di dalam Negeri Kedah Darul Aman, telah didapati mengedar dadah berbahaya iaitu Monoacetylmorphines seberat 15.0 gram. Oleh yang demikian, kamu telah melakukan satu kesalahan di bawah seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah seksyen 39B(2) Akta yang sama.”
3
Kes terhadap OKT telah dijalankan secara perbicaraan penuh dan pada 16.4.2024, OKT telah disabitkan dengan ketiga-tiga pertuduhan terhadapnya. Setelah mendengar hujahan mitigasi dan hujahan pemberatan hukuman, Mahkamah ini telah menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup (30 tahun) bermula dari tarikh jatuh hukum bagi setiap pertuduhan. Ketiga-tiga hukuman pemenjaraan juga telah diperintahkan untuk berjalan secara serentak. Tiada hukuman sebatan diperintahkan kerana OKT merupakan seorang wanita, selaras dengan peruntukan seksyen 289(a) Kanun Tatacara Jenayah (“KTJ”).
4
OKT tidak berpuas hati terhadap hukuman-hukuman yang telah dijatuhkan oleh Mahkamah ini dan telah memfailkan rayuan terhadap hukuman-hukuman tersebut pada 21.4.2024. Secara spesifik, OKT merayu terhadap hukuman-hukuman penjara yang diperintahkan bermula daripada tarikh jatuh hukum supaya diperintahkan bermula daripada tarikh ditangkap.
5
Bertindak atas maklumat, pada 03.03.2019, jam lebih kurang 4.30 petang, Insp. Muhamad bin Ibrahim (Pengadu) dan sepasukan anggota polis telah sampai di Jeti Point, Kuah, Langkawi untuk mengesan OKT berdasarkan ciri-ciri maklumat yang telah diterima. Selepas pemantauan dan pemerhatian selama lebih kurang 30 minit, Pengadu sendiri telah nampak OKT yang sedang memakai baju berwarna hitam dan berseluar pendek hitam, sedang membimbit satu (1) beg berwarna hitam di tangan kanannya dan satu (1) beg berwarna hijau di tangan kirinya, sedang berjalan keluar dari pintu keluar Jeti Point, Kuah. OKT dilihat sedang berjalan seorang diri dan berjalan ke arah hadapan Restoran KFC Jeti Point tersebut.
6
Pengadu melihat OKT berdiri di hadapan Restoran KFC Jeti Point tersebut dan Pengadu serta anggota pasukan telah mendekati OKT serta memperkenalkan diri Polis. Ketika memperkenalkan diri Polis, Pengadu nampak dengan jelas air muka OKT tiba-tiba berubah menjadi gelisah dan percakapannya tersekat-sekat semasa menjawab soalan-soalan Pengadu.
7
Setelah OKT dan kedua-dua begnya dibawa balik ke IPD Langkawi, Pengadu telah membuat pemeriksaan terhadap kedua-dua beg tersebut dan mendapati bahawa satu (1) beg hitam tersebut bertulisan BUM ESTABLISHED (eksibit P16), manakala pemeriksaan terhadap satu (1) beg hijau tersebut pula mendapati beg hijau tersebut bertulisan ABBOT (eksibit P28).
8
Pemeriksaan Pengadu ke atas beg hitam P16 tersebut mendapati dalamnya terdapat beberapa helai pakaian dan satu (1) helai tuala berwarna putih (eksibit P21) dalam keadaan berlipat. Apabila lipatan tuala putih tersebut dibuka, didapati dalamnya mengandungi dua (2) balutan surat khabar Bahasa Malaysia (eksibit-eksibit P22 dan P23) dan satu (1) balutan surat khabar Bahasa Inggeris (eksibit P24), serta satu (1) kotak berwarna hijau bertulisan BRAND’S (eksibit P25). Apabila dibuka kedua-dua balutan surat khabar Bahasa Malaysia tersebut didapati di dalam setiap satunya mengandungi satu (1) paket plastik lutsinar berisi ketulan dan serbuk disyaki dadah Heroin (eksibit-eksibit P44 dan P45). Seterusnya apabila Pengadu membuka balutan surat khabar Bahasa Inggeris pula, Pengadu menjumpai satu (1) lagi paket plastik lutsinar berisi ketulan dan serbuk disyaki Heroin (eksibit P46).
9
Pengadu selanjutnya membuat pemeriksaan ke atas kotak berwarna hijau bertulisan BRAND’S (eksibit P25) dan mendapati dalamnya mengandungi tiga (3) paket plastik lutsinar berisi hablur kristal dan serbuk disyaki dadah jenis Syabu (eksibit-eksibit P48, P49 dan P50).
10
Selanjutnya, pemeriksaan ke atas beg hijau bertulisan ABBOT (eksibit P28) mendapati dalamnya mengandungi pakaian dan barang-barang peribadi OKT. Pengadu juga turut merampas 1 keping tiket feri (eksibit P57) yang dijumpai dalam poket hadapan sebelah kanan seluar jeans hitam yang dipakai OKT. Pengadu telah menyediakan Borang Senarai Geledah (eksibit P54) dan turut membuat laporan polis pada 3.3.2019 jam lebih kurang 7 petang iaitu KUAH/001565/19 (eksibit P55).
11
Selanjutnya, Pengadu telah menyerahkan kesemua barang-barang kes yang telah dirampas, laporan polis P55, Borang Senarai Geledah P54 serta OKT kepada Pegawai Penyiasat (Insp. Mohd Saiful Hazlee bin Mohd Lazzim – SP7).
12
Hasil analisa oleh Ahli Kimia, Yathindra a/l Marimuthu (SP3) mendapati bahawa barang-barang kes dadah yang ditemui mengandungi dadah berbahaya jenis Heroin seberat 21.8 gram, Monoacetylmorphines seberat 15.0 gram dan Methamphetamine seberat 222.7 gram (laporan kimia – eksibit P43). Heroin, Monoacetylmorphines dan Methamphetamine adalah dadah berbahaya seperti yang ditakrifkan di bawah Seksyen 2 ADB 1952.
13
Pada akhir kes Pendakwaan, setelah Mahkamah ini membuat penelitian maksima terhadap keseluruhan keterangan pihak Pendakwaan, telah memutuskan bahawa pihak Pendakwaan telah berjaya membuktikan ketiga-tiga pertuduhan terhadap OKT pada tahap prima facie dan telah memanggil OKT untuk membela diri bagi ketiga-tiga pertuduhan.
14
OKT telah memilih untuk memberi keterangan secara bersumpah dan hanya OKT sahaja yang telah memberikan keterangan di peringkat pembelaan. Secara ringkasnya, pembelaan OKT adalah bahawa semasa di dalam feri penumpang ke Langkawi, beg hitam (eksibit P16) yang dibawa OKT telah diletakkan di tempat bagasi umum dalam feri penumpang tersebut dan tiada dalam kawalan OKT. OKT juga menegaskan tidak mengetahui isi kandungan beg hitam (eksibit P16) tersebut.
15
Pada 16.4.2024, di akhir kes pembelaan, Mahkamah ini telah mendapati bahawa pembelaan OKT adalah penafian semata-mata dan telah gagal menimbulkan sebarang keraguan yang munasabah atas elemen pemilikan dan pengetahuan, serta telah gagal mematahkan anggapan pengedaran di bawah seksyen 37(da)(i),
III
(iii) dan (xvi) ADB 1952 yang telah dibangkitkan atas imbangan kebarangkalian. Sehubungan itu, Mahkamah ini mendapati bahawa pihak Pendakwaan telah berjaya membuktikan ketiga-tiga pertuduhan terhadap OKT pada tahap melampaui keraguan yang munasabah, dan telah mensabitkan OKT bagi ketiga-tiga pertuduhan tersebut dan menjatuhkan hukuman sebagaimana dinyatakan di perenggan [3] di atas. HUKUMAN [16] Setelah Mahkamah ini mensabitkan OKT terhadap ketiga-tiga pertuduhan terhadapnya, kedua-dua pihak Pembelaan dan Pendakwaan telah mengemukakan hujahan mitigasi dan hujahan pemberatan hukuman masing-masing. Hujahan mitigasi OKT: [17] Pihak Pembelaan telah menghujahkan bahawa OKT kini berumur 41 tahun dan mempunyai 2 orang anak perempuan berumur 22 dan 21 tahun, dan kedua-dua anak OKT sudah bekerja dan menjaga diri sendiri. Sebelum ditangkap OKT bekerja sebagai tukang jahit dan juga sbg waitress secara sampingan. OKT telahpun insaf dan menyedari akibat kesilapannya. Pihak Pembelaan memohon Mahkamah ini untuk mengambilkira bahawa semasa OKT ditangkap, tiada melibatkan orang-orang lain dan juga tiada melibatkan sebarang transaksi kewangan atau penjualan dadah. OKT hanya membawa dadah ketika ditahan oleh pihak yang membuat serbuan. Juga berdasarkan fakta-fakta dihujahkan tersebut, supaya satu hukuman yang rendah dan berkuatkuasa dari tarikh tangkap dijatuhkan terhadap OKT. Pihak Pembelaan turut memohon jika OKT dijatuhi hukuman penjara supaya kesemua hukuman pemenjaraan diperintahkan berjalan secara serentak. Hujahan pemberatan hukuman: [18] Secara ringkasnya, pihak Pendakwaan menghujahkan bahawa dadah merupakan musuh pertama negara, dan kepentingan awam mengatasi segala kepentingan peribadi OKT. Dihujahkan juga bahawa terdapat tiga (3) pertuduhan pengedaran dadah berbahaya terhadap OKT, yang menunjukkan bahawa dadah berbahaya tersebut bukanlah untuk kegunaan peribadi OKT. OKT juga telah membawa dadah berbahaya ke Langkawi iaitu sebuah pulau pelancongan negara. Pihak Pendakwaan turut menghujahkan bahawa hukuman adalah budibicara Mahkamah dan dalam ketiga-tiga pertuduhan terhadap OKT ini, budibicara adalah sama ada menjatuhkan hukuman mati ataupun hukuman penjara seumur hidup (30 tahun). Pihak Pendakwaan juga turut mengesahkan bahawa OKT tiada rekod kesalahan lampau. Hukuman: [19] Budibicara menentukan hukuman adalah terletak kepada Mahkamah yang membicarakan. Sebagaimana diperuntukkan dalam seksyen 183 KTJ, apabila seseorang itu disabitkan dengan kesalahan, Mahkamah hendaklah menjatuhkan hukuman menurut undang-undang (sentence according to law). Di dalam kes Jafa bin Daud [1981] 1 MLJ 315 telah diputuskan bahawa: “A "sentence according to law" means that the sentence must not only be within the ambit of the punishable section, but it must also be assessed and passed in accordance with established judicial principles.” [20] Berpandukan kepada kes Jafa bin Daud (supra), budibicara tersebut hendaklah berpandukan kepada prinsip undang-undang yang telah ditetapkan. [21] Dalam mempertimbangkan hukuman yang sesuai dan munasabah terhadap OKT, Mahkamah ini telah mempertimbangkan kesemua faktor-faktor peringanan hukuman yang dihujahkan oleh pihak Pembelaan dan juga faktor-faktor pemberatan hukuman yang telah dihujahkan oleh pihak Pendakwaan. [22] Ketiga-tiga pertuduhan yang dihadapi OKT memperuntukkan hukuman yang sama iaitu hukuman mati, atau penjara seumur hidup dan tidak kurang daripada 12 sebatan. Berdasarkan seksyen 3 Akta Keadilan Jenayah 1953 [Akta 345], penjara seumur hidup bererti hukuman penjara untuk selama 30 tahun. Dengan itu, berdasarkan ketiga-tiga pertuduhan yang dihadapi OKT dan juga peruntukan undang-undang berkaitan hukuman bagi ketiga-tiga pertuduhan tersebut iaitu seksyen 39B(2) ADB 1952 dan seksyen 3 Akta 345, sekiranya Mahkamah ini memutuskan untuk tidak menjatuhkan hukuman mati terhadap OKT, hukuman yang boleh dijatuhkan hanyalah penjara seumur hidup iaitu selama tempoh 30 tahun dan minimum 12 sebatan. [23] Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 [Akta 846] yang mula berkuat kuasa pada 4.7.2023 telah memberikan Mahkamah ini budi bicara yang sepenuhnya dalam menjatuhkan hukuman terhadap OKT, iaitu sama ada menjatuhkan hukuman mati, ataupun hukuman penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada 12 sebatan. [24] Di dalam kes Md Masud Rana v Public Prosecutor [2024] MLJU 154, Mahkamah Rayuan telah memutuskan seperti berikut: “[35] For offences under section 302 of the Penal Code, Act 846 has given the discretionary power to this Court to determine the punishment that should be given to the accused, which is either the death penalty or a prison sentence of not less than 30 years which can be extended up to 40 years and whipping not less than 12 lashes. [36] In this situation, we are of the opinion that we can still consider the applicable legal principles in deciding whether the death penalty should be imposed or otherwise. The introduction of Act 846 does not in any way prevent us from referring to the basis of the existing sentencing principle. [37] We also refer to the Official Statement of the Dewan Rakyat (Fifteenth Parliament, Second Term First Meeting) on 03.04.2023, which stated that Parliament’s intention to amend the existing law by introducing Act 846 to abolish the death penalty is an initial step in transforming the justice system crime in Malaysia. In addition, the basic principle behind every sentencing in Malaysia is the rehabilitation of prisoners so that they can return to society and become individuals who serve the family, community and country after completing their sentence. The Court also needs to take this into account.” [penekanan ditambah] [25] Walaupun autoriti kes Md Masud Rana (supra) di atas merujuk kepada kesalahan di bawah seksyen 302 Kanun Keseksaan, namun begitu Akta 846 turut memperuntukkan budibicara yang sama kepada Mahkamah bagi kesalahan pengedaran dadah berbahaya di bawah seksyen 39B ADB 1952. [26] Setelah mendengar hujahan mitigasi OKT dan hujahan pemberatan hukuman oleh Pendakwaan, Mahkamah ini berpendapat bahawa kes terhadap OKT ini bukanlah suatu kes yang mewajarkan suatu hukuman mati dijatuhkan. Adalah menjadi tanggungjawab Mahkamah untuk mempertimbangkan tujuan penggubalan Akta 846 ini dalam mempertimbangkan hukuman yang bersesuaian terhadap OKT. [27] Namun begitu, fakta bahawa terdapat tiga (3) pertuduhan di bawah kesalahan yang sama yang telah dipertuduhkan iaitu pengedaran dadah berbahaya terhadap OKT yang melibatkan tiga (3) jenis dadah yang berbeza juga merupakan faktor-faktor yang perlu dipertimbangkan oleh Mahkamah ini. Dalam hal ini, Mahkamah telah mengambil pendekatan berbentuk deteren iaitu dengan memerintahkan supaya hukuman pemenjaraan hendaklah bermula daripada tarikh jatuh hukum dan bukannya daripada tarikh OKT ditangkap. [28] Seksyen 282(d) KTJ memperuntukkan bahawa hukuman pemenjaraan yang diperintahkan hendaklah bermula daripada tarikh hukuman dijatuhkan melainkan Mahkamah memerintahkan sebaliknya, yang termasuklah perintah supaya hukuman pemenjaraan bermula daripada tarikh ditangkap (lihat kes Public Prosecutor v. Iran Bin Sakdon [1998] 7 MLJ 503). [29] Dalam kes Iran bin Sakdon (supra) di atas, Mahkamah Tinggi telah turut menjelaskan tentang budibicara Mahkamah dalam mempertimbangkan tempoh seseorang tertuduh berada dalam reman/tahanan sebelum pelupusan kes terhadapnya, dan sama ada boleh diambilkira bagi tujuan penentuan hukuman pemenjaraan yang bersesuaian. Dalam kes tersebut Mahkamah Tinggi telah memutuskan seperti berikut: “… A court may also make some allowance in imposing sentence where the accused has spent a long time in custody while awaiting trial (see R v Layton (1959) Crim LR 61; R v Newman (1959) Crim LR 138; R v Yakimovitch (1960) Crim LR 66). The exercise of this power is again discretionary and thus I would not agree, respect, with the view expressed in Lian Kian Boon v PP [1991] 1 MLJ 51 (at p 55) '… that in the ordinary course of events the period of his detention should have been taken into consideration and deducted from the sentence of 12 months.' In my opinion a period of remand can therefore operate in favour of an offender in only one of the two following ways. If the sentence of imprisonment is to take effect from the date it was passed then the period spent in remand may be considered in assessing the prison term. If that course is adopted then the prison term cannot be ordered to take effect from the date of arrest. If the period spent in remand is not taken into account in assessing sentence then the sentence of imprisonrnent imposed may be ordered to take effect from the date of arrest. A consideration of the period in remand in assessing sentence followed by an order that the sentence of imprisonment is to take effect from the date of arrest amounts to double credit being given for the same factor. This is wrong in law.” [30] Dalam kes tersebut di atas, Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa sekiranya tempoh reman diambil pertimbangan oleh Mahkamah dalam penentuan tempoh hukuman pemenjaraan yang wajar dan bersesuaian, maka hukuman pemenjaraan tidak boleh diperintahkan bermula daripada tarikh ditangkap, sebaliknya hendaklah bermula daripada tarikh hukuman dijatuhkan. [31] Berbalik kepada kes terhadap OKT, Mahkamah ini mengambil pendekatan yang sama tetapi dalam perspektif yang berbeza. Ini kerana hukuman pemenjaraan di bawah seksyen 39B(2) adalah hukuman penjara seumur hidup (30 tahun) yang tidak membenarkan Mahkamah menetapkan tempoh hukuman pemenjaraan selain daripada tempoh tersebut. Budibicara yang diberikan oleh undang-undang hanyalah sama ada menjatuhkan hukuman mati ataupun penjara seumur hidup. Mengambil pendekatan yang serupa dalam kes Iran bin Sakdon (supra) di atas, Mahkamah ini telah mempertimbangkan bahawa OKT telah ditahan reman sebelum pelupusan kes terhadapnya dan memutuskan bahawa tempoh tersebut wajar dipertimbangkan dalam menentukan sama ada hukuman mati atau hukuman penjara seumur hidup yang wajar dijatuhkan terhadap OKT. Dan dalam hal ini, Mahkamah ini berpendapat tempoh OKT dalam reman telah mewajarkan Mahkamah ini untuk tidak menjatuhkan hukuman mati terhadapnya. Lebih-lebih lagi dalam hal keadaan di mana dadah yang terlibat dalam kes terhadap OKT ini adalah banyak dan pelbagai jenis. Mahkamah juga telah turut mempertimbangkan keseluruhan fakta kes terhadap OKT ini dalam memerintahkan supaya ketiga-tiga pertuduhan terhadapnya diperintahkan berjalan secara serentak. [32] Di samping itu juga, dalam menentukan bila hukuman pemenjaraan seumur hidup hendaklah berkuatkuasa, Mahkamah ini telah turut mengambil kira faktor bahawa kesalahan pengedaran dadah berbahaya semakin berleluasa, terutamanya di negeri Kedah yang bersempadanan dengan negara jiran. Dalam kes terhadap OKT ini juga, dadah berbahaya yang terlibat telah dibawa masuk ke salah sebuah pulau pelancongan terkenal di Malaysia, iaitu Pulau Langkawi. Sebarang kegiatan atau aktiviti yang melibatkan dadah berbahaya akan membawa kesan buruk kepada nama baik pulau pelancongan tersebut di samping membawa kesan buruk kepada nama baik negara keseluruhannya. Dalam hal ini, Mahkamah ini berpendapat bahawa adalah menjadi tanggungjawab Mahkamah untuk memberikan amaran yang keras dan jelas kepada OKT dan masyarakat umum secara keseluruhannya, bahawa aktiviti pengedaran dadah berbahaya akan ditangani secara tegas. KESIMPULAN [33] Berdasarkan alasan-alasan dinyatakan di atas, Mahkamah dengan ini menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup (30 tahun) bermula daripada tarikh jatuh hukum terhadap OKT bagi setiap pertuduhan. Mahkamah ini turut memerintahkan agar ketiga-tiga pertuduhan terhadap OKT diperintahkan berjalan secara serentak. Tiada hukuman sebatan diperintahkan kerana OKT merupakan seorang wanita, selaras dengan peruntukan seksyen 289(a) KTJ. Mahkamah ini berharap dengan hukuman pemenjaraan yang dijatuhkan terhadap OKT ini akan dapat memberikan pengajaran kepada OKT dan juga masyarakat umum keseluruhannya supaya tidak terlibat dengan sebarang aktiviti dan jenayah melibatkan dadah berbahaya. Evawani (Evawani Farisyta binti Mohammad) Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Jenayah (2) Alor Setar, Kedah Bertarikh 7 Jun 2024. Bagi pihak Pendakwa Raya: Noor Azrul bin Abdul Rahman Timbalan Pendakwa Raya Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri Kedah Bagi pihak OKT: B. Murthy Tetuan B. Murthy & Co.
Wrong text, a broken link, out-of-date content, or a removal request — tell us and we'll check it against the official source.