Content
1 DALAM MAHKAMAH TINGGI MALAYA DI KOTA BHARU DALAM NEGERI KELANTAN PERBICARAAN JENAYAH NO. DA-45A-22-09/2020 DAN DA-45A-23-09/2020 ANTARA PENDAKWA RAYA
DA-45A-23-09/2020
High Court of Malaysia24 Mar 2024
The written judgment as the court issued it, with the coram, case number, and source links. Every paragraph has its own anchor.
Citations and treatment detected automatically from later judgments and the authorities this decision relies on.
Later cases and laws citing this decision
Not yet cited by a later decision.
Earlier cases and laws this decision relies on
“aan serta kawalan dan selanjutnya berkaitan elemen pengetahuan. Kedua-dua elemen ini membentuk apa yang dimaksudkan sebagai milikan. Ini bersandarkan kepada kes-kes duluan seperti Chan Pean Leon v PP [1956] MLJ 237, Ibrahim Mohamad & Anor v PP [2011] 4 CLJ 113 dan Romi Amora Amir v PP [2011] 1 CLJ 870. Disamping itu, m”
Auto-detected from judgment text; not a substitute for a citator check.
Content
1 DALAM MAHKAMAH TINGGI MALAYA DI KOTA BHARU DALAM NEGERI KELANTAN PERBICARAAN JENAYAH NO. DA-45A-22-09/2020 DAN DA-45A-23-09/2020 ANTARA PENDAKWA RAYA
1
MOHD AZMAN BIN HUSIN [K/P: 640229-03-5697]
2
MOHD AFIQ BIN MOHD AZMAN [K/P: 880708-29-5245]
3
MOHAMAD SYAFIQ HUSAINI BIN MOHD HANAPI [K/P: 940829-03-6233] ALASAN PENGHAKIMAN Pendahuluan [1] Di dalam kes ini terdapat dua kes yang melibatkan pertuduhan-pertuduhan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 (Akta 234). Pertamanya kes yang didaftarkan sebagai DA-45A-22-09/2020 yang melibatkan 3 pertuduhan pengedaran dadah jenis Methamphetamine dan Methylenedioxymethamphetamine. Manakala kes yang kedua adalah didaftarkan sebagai DA-45A-23- 09/2020 yang melibatkan 2 pertuduhan bagi kesalahan pengedaran dadah jenis yang sama iaitu Methamphetamine dan Metylenedioxymethamphetamine. Kesemua pertuduhan adalah dibaca bersama-sama dengan seksyen 34 Kanun Keseksaan (KK) iaitu ianya dikatakan dilakukan secara bersama-sama. [2] Kedua-dua kes telah dibicarakan bersama di atas persetujuan kedua-dua pihak kerana ia melibatkan saksi-saksi serta fakta kes yang sama. [3] Pertuduhan-pertuduhan terhadap OKT-OKT adalah seperti berikut:- Kes No: DA-45A-22-09/2020 Pertuduhan Pertama Pindaan “Bahawa kamu bersama-sama pada 28 Februari 2020 jam lebih kurang 12.45 pagi bertempat di sebuah kilang beralamat Ruby Food Industries, Lot 155 Kampung Sireh, di dalam Jajahan Kota Bharu, di dalam Negeri Kelantan telah mengedar dadah berbahaya iaitu 3754.8 gram Methamphetamine dan dengan itu kamu telah melakukan suatu kesalahan dibawah seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum dibawah seksyen 39B
2
Akta yang sama dibaca bersama seksyen 34 Kanun Keseksaan.” Pertuduhan Kedua “Bahawa kamu bersama-sama pada 28 Februari 2020 jam lebih kurang 12.45 pagi bertempat di sebuah kilang beralamat Ruby Food Industries, Lot 155 Kampung Sireh, di dalam Jajahan Kota Bharu, di dalam Negeri Kelantan telah mengedar dadah berbahaya iaitu 111.3 gram Methylenedioxymethamphetamine dan dengan itu kamu telah melakukan suatu kesalahan dibawah seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum dibawah seksyen 39B (2) Akta yang sama dibaca bersama seksyen 34 Kanun Keseksaan.” Pertuduhan Ketiga “Bahawa kamu bersama-sama pada 28 Februari 2020 jam lebih kurang 12.45 pagi bertempat di sebuah kilang beralamat Ruby Food Industries, Lot 155 Kampung Sireh, di dalam Jajahan Kota Bharu, di dalam Negeri Kelantan telah mengedar dadah berbahaya iaitu 81.7 gram Methylenedioxymethamphetamine dan dengan itu kamu telah melakukan suatu kesalahan dibawah seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum dibawah seksyen 39B (2) Akta yang sama dibaca bersama seksyen 34 Kanun Keseksaan.” Kes No: DA-45A-23-09/2020 Pertuduhan Pertama “Bahawa kamu bersama-sama pada 28 Februari 2020 jam lebih kurang 12.45 pagi bertempat di sebuah kilang beralamat Ruby Food Industries, Lot 155 Kampung Sireh, di dalam Jajahan Kota Bharu, di dalam Negeri Kelantan telah mengedar dadah berbahaya iaitu 20.8 gram Methamphetamine dan dengan itu kamu telah melakukan suatu kesalahan dibawah seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum dibawah seksyen 39B
2
Akta yang sama dibaca bersama seksyen 34 Kanun Keseksaan.” Pertuduhan Kedua “Bahawa kamu bersama-sama pada 28 Februari 2020 jam lebih kurang 12.45 pagi bertempat di sebuah kilang beralamat Ruby Food Industries, Lot 155 Kampung Sireh, di dalam Jajahan Kota Bharu, di dalam Negeri Kelantan telah mengedar dadah berbahaya iaitu 55.4 gram Methylenedioxymethamphetamine dan dengan itu kamu telah melakukan suatu kesalahan dibawah seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum dibawah seksyen 39B (2) Akta yang sama dibaca bersama seksyen 34 Kanun Keseksaan.” Fakta kes [4] Seramai 4 saksi telah dipanggil oleh pihak Pendakwa Raya (PR). Fakta kes pihak PR adalah diringkaskan seperti berikut:
a
pada 28/2/2020 jam lebih kurang 12.45 pagi, bertindak atas maklumat dadah, SP1 dan pasukan serbuan telah membuat serbuan di tempat kejadian iaitu sebuah kilang keropok dan berjaya menahan (3) lelaki melayu iaitu OKT-OKT di dalam sebuah bilik bersama-sama dengan dadah yang ditemui di dalam sebuah kotak yang terbuka (P17). Pada masa serbuan dan rampasan, hanya OKT-OKT ini sahaja ditangkap;
b
SP1 telah membawa OKT-OKT dan barang kes untuk diserahkan kepada SP4 untuk tindakan lanjut; dan
c
seterusnya barang kes dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia pada 8/3/2020 (P36) dan hasil analisis daripada Jabatan Kimia Malaysia (P37) mengesahkan barang-barang kes di dalam plastik yang ditandakan sebagai DV1(P18), DV2(P21) dan DV3(P24) tersebut mengandungi dadah berbahaya sepertimana pertuduhan-pertuduhan yang dikenakan ke atas OKT-OKT. Beban pembuktian di akhir kes pendakwaan [5] Beban pembuktian di akhir kes pendakwaan adalah sepertimana yang telah dinyatakan di bawah seksyen 180 Kanun Tatacara Jenayah (“KTJ”) iaitu untuk menentukan berdasarkan kepada keterangan-keterangan yang kredibel wujudnya satu kes prima facie. [6] Mahkamah telah berpandukan kepada 2 kes utama berkaitan prima facie iaitu kes kes Balachandran v PP [2005] 1 CLJ 85 dan kes PP v Mohd Radzi Abu Bakar [2006] 1 CLJ 457. Mahkamah dengan ini merumuskan bahawa di akhir kes pendakwaan bermakna Mahkamah ini hendaklah membuat penilaian maksimum ke atas keterangan-keterangan yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan termasuk menilai kredibiliti keterangan-keterangan oleh saksi-saksi pendakwaan. Mahkamah sedar jika terdapat lebih dari satu inferens yang boleh dibuat, maka Mahkamah perlu memberi kelebihan kepada inferens yang memihak kepada kesemua OKT. [7] Berpandukan kepada kes Muhammad Lukman Mohamad v PP [2021] 7 CLJ 524 elemen yang perlu dipenuhi bagi satu kesalahan pengedaran dadah berbahaya di bawah seksyen 39B Akta tersebut seperti berikut; “In our view, there is force in the submission. The requisites that must be satisfied to sustain conviction for the offence of trafficking in dangerous drugs under s. 39B(1)(a) of DDA 1952 are well-settled. The following elements must be established:
a
The impugned drugs are dangerous drugs as listed in the First Schedule of DDA 1952;
b
The impugned drugs are under the custody, control and possession of the appellant; and
c
The appellant trafficked in the said impugned drugs.” Analisis dan dapatan Mahkamah Elemen pertama: Sama ada dadah yang dirampas adalah dadah berbahaya sepertimana yang disenaraikan di bawah Jadual Pertama Akta 234 [8] Bagi elemen yang pertama, Peguam menghujahkan bahawa terdapat pecahan ke atas rantaian keterangan barang kes berdasarkan kepada 3 situasi. Pertamanya adalah berdasarkan kepada keterangan SP2 jika dibandingkan dengan Laporan Kimia di P37 yang berlaku di dalam kes DA-45A-22-09/2020 di mana berlakunya percanggahan pada DV1 da DV2. Keduanya ke atas kes DA-45A-23-09/2020 apabila terdapat percanggahan dalam pernyataan bertulis SP2 dan laporan kimia di P37 berkaitan jumlah peket plastik dan ketiganya bagi kes DA-45A-23-09/2020 juga terdapat percanggahan dalam pernyataan bertulis SP2 dan laporan kimia di P37 berkaitan jumlah peket plastik. [9] Peguam OKT-OKT telah menghujahkan bahawa berdasarkan kepada seksyen 92 Akta Keterangan 1950 (Akta 56) P37 tersebut tidak boleh dipinda semasa perbicaraan sepertimana yang berlaku di dalam kes ini. Ini kerana ianya merupakan dokumen rasmi dan kesilapan ini secara langsung menjejaskan identiti dadah yang dikemukakan di dalam kes ini. [10] Peguam telah merujuk dan berpegang kepada keputusan Mahkamah Tinggi di dalam kes PP v Sulaiman bin Mohamad Noor [1996] 1 MLJ 196 dan keputusan Mahkamah Rayuan di dalam kes Nolose Albert Raleshome v PP [2014] 2 MLJ 301. [11] Mahkamah telah meneliti keterangan yang telah diberikan oleh SP1 yang merupakan Pegawai Polis yang membuat serbuan dan tangkapan, SP4 yang merupakan Pegawai Penyiasat serta SP2 yang merupakan Ahli Kimia. Mahkamah mendapati bahawa kesemua saksi-saksi pihak pendakwaan ini telah mengecam dan mengenal pasti barang-barang kes yang berkaitan berdasarkan kepada tandaan masing-masing dengan merujuk kepada Laporan Kimia (P37) dan Pernyataan Bertulis masing-masing. [12] Kesilapan yang berlaku ke atas laporan yang disediakan oleh SP2 telah disedari semasa memberi keterangan dan telah diperjelaskan oleh SP2 yang menyatakan bahawa ia bukannya kesilapan mesin timbangan tetapi lebih kepada kesilapan manusia (human error) iaitu semasa SP2 menaip laporan P37 tersebut. [13] Mahkamah telah meneliti keterangan SP2 dan menilai keterangan lisannya. Bagi Mahkamah penjelasan SP2 adalah munasabah dan ia satu kesilapan yang tidak disengajakan. Ia bagi pandangan Mahkamah kesilapan menaip dan ia tidak sepatutnya menjejaskan analisis yang telah dilakukan oleh SP2 ke atas barang kes. [14] Di dalam masa yang sama ia juga tidak sepatutnya menjejaskan keterangan berkaitan identiti barang kes sepertimana yang diberikan oleh saksi-saksi pendakwaan terutamanya berkaitan tandaan serta pengecaman mereka ke atas gambar-gambar yang telah dikemukakan dan ke atas fizikal barang-barang kes tersebut. [15] Bagi Mahkamah, tidak terdapat sebarang percanggahan atau keraguan ke atas pengecaman mereka. Kesemua saksi-saksi ini adalah saksi-saksi yang tidak mempunyai sebarang alasan untuk mereka-rekakan keterangan. Oleh itu, tiada alasan bagi Mahkamah menolak keterangan mereka. [16] Sehubungan dengan itu, bagi elemen pertama, Mahkamah memutuskan bahawa pihak PR telah berjaya membuktikan elemen tersebut. Elemen Kedua: sama ada dadah yang dipersoalkan adalah di bawah milikan OKT-OKT [17] Elemen kedua yang perlu dibuktikan adalah sama ada dadah yang dipersoalkan adalah di bawah jagaan, kawalan dan milikan OKT-OKT. Bagi perkara ini terdapat dua perkara utama iaitu berkaitan jagaan serta kawalan dan selanjutnya berkaitan elemen pengetahuan. Kedua-dua elemen ini membentuk apa yang dimaksudkan sebagai milikan. Ini bersandarkan kepada kes-kes duluan seperti Chan Pean Leon v PP [1956] MLJ 237, Ibrahim Mohamad & Anor v PP [2011] 4 CLJ 113 dan Romi Amora Amir v PP [2011] 1 CLJ 870. Disamping itu, memandangkan kes ini turut melibatkan seksyen 34 KK, maka pihak PR turut perlu membuktikan elemen “bersama-sama” sepertimana yang diperlukan di bawah seksyen 34 KK. [18] Teras keterangan pihak PR bagi membuktikan elemen kedua adalah seperti berikut:
a
SP1 dan SP3 mengesahkan pemerhatian telah dibuat di luar kawasan kilang dengan jarak yang selamat. Mereka juga turut mengatakan sepanjang pemerhatian, tiada individu atau kenderaan yang masuk atau keluar di kawasan premis tersebut;
b
SP1 telah memperkenalkan diri sebelum masuk ke bilik dan SP1 tidak dapat melihat siapa yang berada dalam bilik tersebut kerana ditutupi oleh langsir. Apabila SP1 masuk dan sekali lagi memperkenalkan diri sebagai Pegawai Kanan Polis, SP1 dapati hanya OKT-OKT dalam kes ni sahaja yang berada dalam bilik tersebut;
c
SP1 turut mengatakan telah nampak kotak barang kes yang mengandungi dadah berada di dalam bilik tersebut dan berada sangat dekat dengan OKT-OKT, tambahan pula kotak tersebut berada dalam keadaan terbuka; dan
d
bilik tersebut juga mempunyai satu pintu belakang yang tertutup dimana SP1 awal-awal lagi telah mengarahkan anggota untuk mengawasi kawasan belakang kilang tersebut. [19] Mahkamah bagaimanapun mendapati bahawa berdasarkan kepada P35 iaitu rajah kasar, secara keseluruhannya terdapat lima
5
laluan keluar dan masuk ke dalam kilang tersebut yang mana kesemuanya boleh menghala dan mempunyai laluan masuk ke dalam bilik hadapan kilang tersebut dimana OKT-OKT telah dijumpai bersama barang kes. [20] Peguam-peguam OKT-OKT telah mengemukakan gambar di tempat kejadian sepertimana di IDD 34(1) – (29) dan ia telah ditunjukkan kepada SP1, SP3 dan SP4 dan ketiga-tiga saksi pendakwaan telah bersetuju bahawa gambar-gambar yang dirujuk adalah menggambarkan kilang tersebut serta bersetuju bahawa sebenarnya terdapat tujuh laluan akses masuk dan keluar ke dalam kilang tersebut yang mana kesemuanya boleh menghala masuk ke dalam bilik hadapan kilang tersebut. [21] Di samping itu, tempat kejadian juga adalah satu tempat yang tidak berkunci. Tiada kunci yang dirampas oleh pihak serbuan dan SP1, SP3 dan SP4 mengakui bahawa tempat kejadian hanya dikunci menggunakan dawai dan palang kayu kecil. [22] Di sebelah kilang tersebut, turut terletak sebuah rumah di dalam kedudukan jarak yang sangat dekat iaitu lebih kurang 1 meter sahaja. SP3 bersetuju bahawa rumah tersebut berpenghuni. Namun, menurut keterangan SP3 semasa pemeriksaan balas, SP3 tidak tahu siapa yang duduk di rumah tersebut kerana tiada sebarang pemeriksaan telah dilakukan terhadap rumah tersebut walaupun jaraknya amat dekat dengan kilang tersebut. SP3 turut mengesahkan bahawa adalah mudah untuk memasuki kilang tersebut melalui pintu sisi kilang yang bersebelahan dengan kilang sepertimana gambar-gambar di P35 dan juga di IDD34(10), (17) dan (20) serta pintu bilik hadapan tersebut. [23] Di samping itu, keterangan turut menunjukkan bahawa terdapat beberapa kenderaan lain selain sebuah kereta Mercedez Benz yang terdapat di hadapan kilang tersebut. Ini dapat dilihat dari keterangan SP1 yang bersetuju terdapat kenderaan-kenderaan lain semasa serbuan dilakukan. [24] Ini menimbulkan satu inferens yang munasabah bahawa terdapat kemungkinan orang lain termasuk pemilik Mercedez Benz tersebut yang turut mempunyai akses ke atas kilang tersebut yang merupakan tempat kejadian. [25] Berdasarkan ke atas analisis ini, maka Mahkamah berpandangan bahawa terdapat kemungkinan yang munasabah bahawa selain OKT-OKT, terdapat orang lain yang turut mempunyai akses ke atas tempat kejadian tersebut. Dengan kata lain, pihak PR gagal untuk melepaskan tanggungjawab pihak PR untuk menafikan akses orang lain selain OKT-OKT ke atas tempat kejadian. [26] Dapatan Mahkamah ini adalah berpaksikan ke atas keputusan oleh Mahkamah Persekutuan di dalam kes Abdullah Zawawi bin Yusoff v PP [1993] 3 MLJ 1 dan keputusan dimana Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Perayu dan mengenepikan sabitan dan hukuman Perayu apabila menutuskan: “Though the room where the drugs were found was occupied only by the accused and SP4, the evidence showed it was accessible to all the other occupants in the house. The trial judge had failed to analyse or assess the testimonies of SP4 and SP5 in this regard. The prosecution had failed to discharge its duty of excluding access to the accused’s room by others. (2) The trial judge also failed to consider that the prosecution had failed to exclude the possibility that other persons could have had access to the drawer where the drugs were found. The onus was not on the defence to prove the possibility of access to the drawer by others.” [27] Ini diberatkan lagi apabila ujian cap jari atau DNA OKT-OKT menunjukkan tiada cap jari tertimbul pada mana-mana barang kes. Walaupun pada asasnya siasatan cap jari dan DNA bukanlah suatu yang penting, namun bagi kes ini, apabila akses ke atas tempat kejadian adalah tidak terhad ke atas OKT-OKT sahaja, maka ketiadaan keterangan ini menimbulkan keraguan yang nyata di peringkat ini. [28] Pergantungan pihak PR hanya ke atas pemerhatian selama 5 minit sebelum serbuan bagi menegaskan ketidakmungkinan akses orang lain adalah suatu yang sangat janggal dan tidak selamat. Ia tidak dapat menyangkal kemunasabahan akses orang lain yang memungkin inferens bahawa selain OKT-OKT, masih terdapat orang lain yang boleh akses tempat kejadian. [29] Tempat kejadian turut disahkan sebagai sebuah kilang dan mempunyai pekerja-pekerja yang keluar masuk ketika operasi. Kewujudan keterangan bahawa terdapat 7 akses dan rumah yang berhampiran tidak wajar diketepikan oleh Mahkamah hanya semata-mata pemantauan selama 5 minit oleh pihak polis. [30] Berkaitan elemen pengetahuan, pihak PR telah berpegang kepada tindak tanduk OKT-OKT iaitu bagaimana barang kes tersebut disimpan apabila ianya dimasukkan ke dalam plastik bertulisan Guanyinwang serta ketidakupayaan OKT-OKT untuk melarikan diri. [31] Mahkamah ingin menegaskan bahawa berdasarkan analisis awalan Mahkamah di atas, isu pengetahuan tidak lagi relevan. Ini kerana tanpa keterangan berkaitan jagaan serta kawalan, pembuktian pengetahuan tidak membawa apa-apa makna. [32] Namun dalam apa jua keadaan, Mahkamah berpandangan, kedua-dua keterangan yang disandarkan oleh pihak PR turut tidak dapat mengasaskan satu inferens pengetahuan. Tiada keterangan asas bagi Mahkamah ini untuk sewenangnya merumuskan tindak tanduk OKT-OKT tidak melarikan diri hanya kerana mereka telah terkepung. Mana mungkin seseorang yang mempunyai niat jahat akan langsung tidak berusaha melepaskan diri dan reda menyerah diri kepada pihak polis sebegitu. Ia suatu yang terlalu baik untuk dipercayai. [33] Tegasan pihak PR bahawa cara dadah disimpan menunjukkan niat jelas OKT-OKT juga sukar untuk Mahkamah terima. Di mana asasnya bahawa OKT-OKTlah yang meletakkan dadah tersebut di dalam plastik-plastik tersebut. Tanpa keterangan asas ini, Mahkamah tidak wajar membuat apa-apa inferens berkaitan tindak tanduk OKT-OKT meletakkan dadah di dalam plastik tersebut. [34] Akhir sekali, Mahkamah turut tidak mendapati sebarang keterangan yang dikemukakan oleh pihak PR untuk menunjukkan elemen bersama-sama di bawah seksyen 34 KK dikemukakan oleh pihak PR. Terdapat dua perkara yang perlu dipertimbangkan oleh Mahkamah iaitu sama ada kedua-dua OKT hadir semasa serbuan dan keduanya sama ada wujud keterangan bagi menunjukkan prior concert or pre-arranged plan. Bagi maksud tersebut, Mahkamah berpegang kepada panduan yang diberikan di dalam kes Namasiyiam Doraisamy v PP & other cases [1987] 1 CLJ 540 dan Farose Tamure Mohd Khan v PP & other appelas [2016] 9 CLJ 769 iaitu Mahkamah perlu meneliti keterangan secara sepenuhnya (in totality) termasuk keterangan-keterangan mengikut keadaan. [35] Di dalam pertimbangan Mahkamah, ini langsung tidak berjaya dibuktikan oleh pihak PR. Ini kerana tiada secebis pun keterangan yang ditunjukkan oleh pihak PR bagi menyokong elemen bersama-sama ini. Apa yang berlaku adalah satu serbuan oleh pihak polis ke tempat kejadian dan selanjutnya penemuan barang-barang kes. Ini tidak mencukupi bagi Mahkamah ini membuat dapatan secara terus atau inferens berkaitan elemen bersama-sama. [36] Sehubungan dengan itu, Mahkamah merumuskan dengan yakin bahawa pihak PR telah gagal membuktikan elemen yang kedua berkaitan pemilikan dadah tersebut. Elemen Ketiga: Sama ada OKT-OKT mengedar dadah tersebut [37] Berkaitan elemen yang ketiga, pihak PR bersandarkan kepada peruntukan andaian di bawah seksyen 37(da) ADB 1952 yang bersandarkan kepada elemen pemilikan. Di bawah peruntukan ini, Mahkamah berhak membuat dapatan bahawa satu kes prima facie pengedaran dibuktikan bawah seksyen 180(4) KTJ, dengan membangkitkan anggapan pengedaran bawah seksyen 37(da) Akta Dadah Berbahaya. Pendekatan ini telah diputuskan sebagai betul di sisi undang-undang oleh Mahkamah Persekutuan melalui penghakiman oleh Hakim Tengku Maimun Tuan Mat KHN di dalam kes Abdullah Atan v. PP & Other Appeals [2020] 9 CLJ 151. [38] Namun memandangkan elemen utama iaitu pemilikan tidak berjaya dibuktikan, maka pihak PR tidak berhak untuk menggunapakai peruntukan andaian tersebut. Di dalam hal keadaan di mana tiada keterangan secara langsung untuk membuktikan elemen pengedaran, maka Mahkamah merumuskan bahawa tiadanya keterangan prima facie bagi membuktikan elemen ini. Kesimpulan [39] Secara keseluruhannya, Mahkamah merumuskan adalah tidak selamat untuk memanggil kesemua OKT membela diri kerana pihak PR telah gagal membuktikan satu kes prima facie bagi kesemua pertuduhan ke atas kesemua OKT. Oleh itu, Mahkamah dengan ini melepas dan membebaskan kesemua OKT dari kesemua pertuduhan. Bertarikh : 6hb. Jun 2024 (DATUK MOHAMAD ABAZAFREE BIN MOHD ABBAS) Hakim Mahkamah Tinggi Malaya Pihak-Pihak: Bagi Pihak Pendakwa Raya : Ahmad Fariz bin Abdul Hamid Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri Kelantan Blok 5, Tingkat Bawah Kompleks Kota Darul Naim 15050 Kota Bharu Kelantan Bagi Pihak Responden : Hazman bin Ahmad Tetuan Omar Ismail Hazman & Co Peguambela & Peguamcara Lot 152-3-10 & 152-3-11 Kompleks Maluri, Jalan Jejaka Taman Maluri 55100 Cheras, Kuala Lumpur : Adenan bin Ismail Tetuan Omar Ismail Hazman & Co Peguambela & Peguamcara No. 9, Jalan Padi Ria Bandar Baru Uda 81200 Johor Bahru, Johor Tarikh Bicara : 21hb. November, 2023 Tarikh Keputusan : 24hb. Mac, 2024 Undang-Undang Yang Dirujuk: ➢ Akta Dadah Berbahaya 1952 ➢ Akta Keterangan 1950 ➢ Kanun Tatacara Jenayah ➢ Kanun Keseksaan Kes-Kes Yang Dirujuk: ➢ Balachandran v PP [2005] 1 CLJ 85 ➢ PP v Mohd Radzi Abu Bakar [2006] 1 CLJ 457 ➢ Muhammad Lukman Mohamad v PP [2021] 7 CLJ 524 ➢ PP v Sulaiman bin Mohamad Noor [1996] 1 MLJ 196 ➢ Nolose Albert Raleshome v PP [2014] 2 MLJ 301 ➢ Chan Pean Leon v PP [1956] MLJ 237, Ibrahim Mohamad & Anor v PP [2011] 4 CLJ 113 ➢ Romi Amora Amir v PP [2011] 1 CLJ 870 ➢ Abdullah Zawawi bin Yusoff v PP [1993] 3 MLJ 1 ➢ Azizan bin Yahaya v Public Prosecutor [2013] 1 MLJ 180 ➢ Namasiyiam Doraisamy v PP & other cases [1987] 1 CLJ 540 ➢ Farose Tamure Mohd Khan v PP & other appelas [2016] 9 CLJ 769 ➢ Abdullah Atan v. PP & Other Appeals [2020] 9 CLJ 151
Wrong text, a broken link, out-of-date content, or a removal request — tell us and we'll check it against the official source.