Content
1 DALAM MAHKAMAH TINGGI MALAYA DI ALOR SETAR DALAM NEGERI KEDAH DARUL AMAN PERBICARAAN JENAYAH NO: KA-45A-65-09/2018 ANTARA PENDAKWA RAYA
KA-45A-65-09/2018
High Court of Malaysia15 Apr 2025
The written judgment as the court issued it, with the coram, case number, and source links. Every paragraph has its own anchor.
Citations and treatment detected automatically from later judgments and the authorities this decision relies on.
Later cases and laws citing this decision
Not yet cited by a later decision.
Earlier cases and laws this decision relies on
“e court is duty bound to consider whether it might reasonably be true, although not convinced of its truth. On the issue of the court's duty to consider the defence, the age old decision in Mat v. PP [1963] MLJ 263 is still good law today as **Note : Serial number will be used to verify the originality of this document”
“yang dari aspek pembelaan adalah beban yang lebih berat berbanding daripada beban membangkitkan keraguan yang munasabah. Ini sepertimana yang diputuskan oleh Mahkamah Agung di dalam kes PP v. Yuvaraj [1968] CLJU 116; [1968] 1 LNS 116; [1969] 2 MLJ 89. [67] Di dalam masa yang sama, mahkamah menegaskan bahawa adalah menj”
“probabilities, that he had not intended to part with possession of the drugs to anyone else, but to retain them solely for his own consumption.” [33] Manakala di dalam kes PP v. Herlina Purnama Sari [2016] CLJU 1855; [2016] 1 LNS 1855, Mahkamah Persekutuan menyatakan; “[39] We are of the view that whether or not a pers”
Auto-detected from judgment text; not a substitute for a citator check.
Content
1 DALAM MAHKAMAH TINGGI MALAYA DI ALOR SETAR DALAM NEGERI KEDAH DARUL AMAN PERBICARAAN JENAYAH NO: KA-45A-65-09/2018 ANTARA PENDAKWA RAYA
1
SHAHRUL NIZAM BIN ABDULLAH SANI [NO. KP: 750125-02-5037]
2
NUZUL FADZIL BIN MOHAMED NOOR [NO. KP: 810429-07-5473] ALASAN PENGHAKIMAN Pendahuluan [1] Kedua-dua tertuduh di dalam kes ini telah dituduh di bawah seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 (Akta 234) kerana secara bersama-sama mengedar dadah berbahaya jenis Cannabis seberat 83,554 gram dan dibaca bersama-sama seksyen 34 Kanun Keseksaan (Akta 574). [2] Pertuduhan ke atas kedua-dua tertuduh adalah seperti berikut; “Bahawa kamu bersama-sama pada 11/9/2017, jam lebih kurang 10.40 malam, di hadapan Kedai Borong Man, No 26, Jalan Pekan Changlun dalam daerah Kubang Pasu, di dalam negeri Kedah Darul Aman telah didapati mengedar dadah berbahaya Cannabis seberat 83,554 gram. Oleh yang demikian, kamu telah melakukan satu kesalahan di bawah seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah seksyen 39B(2) Akta yang sama dan dibaca bersama-sama di bawah seksyen 34 Kanun Keseksaan” Fakta kes pendakwaan [3] Pihak Pendakwa Raya (PR) telah memanggil seramai 11 orang saksi dan fakta kes pihak pendakwaan bolehlah diringkaskan seperti berikut: a) pada 11/9/2017, SP10 mengetuai sepasukan polis dari PDRM Bukit Aman telah bertolak ke Jitra, Kedah. Ia berdasarkan kepada maklumat yang diterima berkaitan pengedaran dadah menggunakan kenderaan berjenama Ford bernombor pendaftaran PNA1529 (kereta tersebut); b) pada jam 4.35 petang, SP10 dan pasukannya membuat pemantauan di kawasan sekitar Jitra dan telah dapat mengesan kereta tersebut yang dipandu oleh tertuduh 1 serta dapat juga mengesan tertuduh 2; c) pada jam 7.30 malam, arahan telah diberikan oleh SP10 agar SP7 dan pasukannya berkumpul di kawasan sekitar CIQ Bukit Kayu Hitam dan membuat pemerhatian serta pemantauan ke atas pergerakan kereta tersebut; d) pada jam 10.20 malam, pasukan polis telah dapat mengesan tertuduh 2 memasuki CIQ Bukit Kayu Hitam dan keluar dari kawasan tersebut menaiki sebuah teksi bernombor pendaftaran WKB1910 dan di atas arahan SP10, SP7 dan pasukan telah mengekori teksi tersebut dan mendapati tertuduh 2 turun di Restoran Yasmeen di pekan Changlun; e) pada jam lebih kurang 10.35 malam, SP10 telah melihat kereta tersebut melalui jalan utama di CIQ Bukit Kayu Hitam dan SP10 serta pasukan telah mengekori kereta tersebut yang kemudiannya memasuki kawasan pekan Changlun dan berhenti di hadapan sebuah kedai iaitu kedai Borong Man; f) SP10 kemudiannya telah mengarahkan pasukan polis untuk membuat serbuan ke atas kereta tersebut dan mendapati tertuduh 1 berada di bahagian pemandu dan kereta di dalam keadaan enjin masih hidup. Di dalam masa yang sama, tertuduh 2 kelihatan berjalan kaki ke arah kereta tersebut dan tertuduh 2 telah ditahan oleh SP7 apabila mendapati tertuduh 2 berlari berlawan arah dari kereta tersebut; g) kedua-dua tertuduh yang ditangkap telah dibawa ke IPD Kubang Pasu dan SP10 telah membuat pemeriksaan ke atas kereta tersebut dan menemui barang-barang kes seperti berikut; i. 25 ketulan bungkusan plastik dijumpai di dalam ruangan khas di bawah tempat duduk penumpang belakang; ii. 51 ketulan bungkusan plastik dijumpai di dalam ruangan khas di bawah lantai bahagian belakang kereta; iii. 12 ketulan bungkusan plastik ditemui di dalam ruangan khas di dalam rim tayar simpanan di bawah kereta; dan h) kesemua barang kes iaitu 88 ketulan bungkusan tersebut telah disahkan sebagai dadah Cannabis seberat 83,554 gram oleh Ahli Kimia iaitu SP1. Beban pembuktian di akhir kes pendakwaan [4] Beban pembuktian di akhir kes pendakwaan adalah sepertimana yang telah dinyatakan di bawah seksyen 180 Kanun Tatacara Jenayah (Akta 593) iaitu untuk menentukan berdasarkan kepada keterangan-keterangan yang kredibel wujudnya satu kes prima facie. [5] Mahkamah berpandukan kepada 2 kes utama berkaitan prima facie iaitu kes Balachandran v. PP [2005] 1 CLJ 85 dan kes PP v. Mohd Radzi Abu Bakar [2006] 1 CLJ 457. Mahkamah dengan ini merumuskan bahawa di akhir kes pendakwaan bermakna mahkamah ini hendaklah membuat penilaian maksimum ke atas keterangan-keterangan yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan termasuk menilai kredibiliti keterangan-keterangan oleh saksi-saksi pendakwaan. Mahkamah sedar jika terdapat lebih dari satu inferens yang boleh dibuat, maka mahkamah perlu memberi kelebihan kepada inferens yang memihak kepada kedua-dua tertuduh. [6] Berpandukan kepada kes Muhammad Lukman Mohamad v. PP [2021] 7 CLJ 524 elemen yang perlu dipenuhi bagi satu kesalahan pengedaran dadah berbahaya di bawah seksyen 39B Akta 234 adalah seperti berikut; “In our view, there is force in the submission. The requisites that must be satisfied to sustain conviction for the offence of trafficking in dangerous drugs under s. 39B(1)(a) of DDA 1952 are well-settled. The following elements must be established: a) The impugned drugs are dangerous drugs as listed in the First Schedule of DDA 1952; b) The impugned drugs are under the custody, control and possession of the appellant; and c) The appellant trafficked in the said impugned drugs.” Analisis mahkamah di akhir kes pendakwaan Sama ada dadah berbahaya adalah disenaraikan di bawah Jadual 1 Akta 234 dan rantaian keterangan [7] Elemen pertama yang perlu dibuktikan oleh pihak PR adalah berkaitan sama ada dadah yang ditemui tersebut adalah merupakan dadah berbahaya dari dadah-dadah yang terjumlah di bawah Jadual Pertama Akta 234 serta rantaian keterangan dadah-dadah tersebut. Berdasarkan kepada hujahan oleh kedua-dua peguam yang mewakili tertuduh 1 dan tertuduh 2, perkara tersebut adalah tidak dipertikaikan. [8] Berdasarkan kepada keterangan-keterangan yang dikemukakan oleh PR, mahkamah berpuas hati bahawa pihak PR telah melalui keterangan SP10 membuktikan bahawa dadah-dadah tersebut telah ditemui olehnya. SP10 kemudiannya telah menyerahkan kepada Pegawai Penyiasat iaitu SP11 yang telah menyerahkan kepada SP1 iaitu Ahli Kimia. [9] SP1 kemudiannya telah mengesahkan bahawa dadah-dadah tersebut adalah dadah Cannabis seberat 83,554 gram. Tiada cabaran dikemukakan oleh kedua-dua tertuduh ke atas keterangan SP1. [10] Berdasarkan kepada keterangan-keterangan ini, mahkamah emutuskan bahawa pihak PR telah berjaya membuktikan elemen pertama berkaitan jenis dadah berbahaya dan beratnya serta identiti dadah tersebut. Sama ada dadah tersebut berada di dalam milikan kedua-dua tertuduh [11] Ini membawa kepada elemen asas iaitu sama ada dadah-dadah tersebut berada di dalam milikan kedua-dua tertuduh secara niat bersama-sama yang melibatkan elemen jagaan atau kawalan serta pengetahuan mereka ke atas dadah-dadah tersebut. [12] Keterangan menunjukkan bahawa kereta tersebut adalah milik tertuduh 2 sepertimana disahkan melalui dokumen di P113 dan di dalam masa yang sama, SP10 turut menemui dokumen-dokumen di atas nama tertuduh 2 iaitu P138, P139, P140 dan P141. Selain itu, turut ditemui P146 iaitu Letter of Consent yang merupakan kebenaran oleh tertuduh 2 kepada tertuduh 1 untuk memandu kereta tersebut memasuki negara Thailand. [13] Namun di dalam masa yang sama, keterangan menunjukkan bahawa hanya tertuduh 1 yang memandu serta berada di dalam kereta tersebut. Keterangan dengan jelas menunjukkan bahawa di antara jam 10.35 malam sehinggalah ke jam 10.45 malam (P142), hanya tertuduh 1 yang memandu kereta tersebut dari CIQ Bukit Kayu Hitam menuju ke pekan Changlun. Dengan kata yang lain, hanya tertuduh 1 sahaja pada ketika itu mempunyai kawalan ke atas kesemua barang kes yang ditemui termasuk mempunyai kuasa ke atas kereta tersebut. [14] Puan TPR menghujahkan bahawa tertuduh 2 turut mempunyai milikan bersama memandangkan kereta tersebut adalah merupakan miliknya dan terdapatnya keterangan dokumen bagi menunjukkan kebenaran oleh tertuduh 2 kepada tertuduh 1 untuk membawa kereta tersebut. [15] Mahkamah bagaimanapun tidak dapat bersetuju dengan hujahan Puan TPR kerana pembuktian berkaitan jagaan serta kawalan ke atas dadah tersebut bukanlah tertakluk kepada pemilikan kenderaan. Pihak PR sebaliknya perlu membuktikan pemilikan secara bersama-sama oleh kedua-dua tertuduh ke atas dadah-dadah tersebut. [16] Mahkamah berpandangan pihak PR perlu membuktikan bahawa tertuduh 2 mempunyai niat bersama ke atas pemilikan dadah tersebut. Prinsip berkaitan pembuktian elemen niat bersama adalah mantap di mana ia boleh bersandarkan kepada keterangan-keterangan keadaan yang pada pertimbangan Mahkamah gagal dibuktikan oleh pihak PR ke atas tertuduh 2. (rujuk: Krishna Rao Gurumurthi v PP and another appeal [2009] 2 CLJ 603). [17] Penilaian keterangan oleh mahkamah secara maksima mendapati keterangan-keterangan yang dikemukakan hanya membuktikan tertuduh 2 dilihat keluar dari CIQ Bukit Kayu Hitam berseorangan tanpa kenderaan dan menaiki teksi ke pekan Changlun. Tiada apa-apa siasatan dijalankan bagi menunjukkan sama ada tertuduh 2 ada bersama-sama tertuduh 1 semasa kereta tersebut berada di negara Thailand. Malahan SP11 mengakui tiada siasatan lanjut termasuk bagi mendapatkan bantuan dari pihak berkuasa Thailand untuk mendapatkan keterangan semasa tertuduh 1 dan tertuduh 2 berada di negara tersebut. [18] Di peringkat ini, mahkamah merumuskan bahawa tiada apa-apa keterangan untuk mengaitkan tertuduh 2 ke atas dadah-dadah yang ditemui. [19] Ini membawa kepada penilaian mahkamah ke atas keterangan berkaitan kewujudan bahagian-bahagian tertentu di dalam kereta tersebut yang merupakan bahagian-bahagian khas. Persoalan berbangkit adalah sama ada ini dapat mengaitkan tertuduh 2 memandangkan kereta tersebut adalah milik tertuduh 2. [20] Mahkamah berpandangan bahawa walaupun ia merupakan kereta milik tertuduh 2, namun ia sekadar membuktikan bahawa wujud bahagian-bahagian khas tersebut di dalam kereta tersebut. Ia tidak boleh dijadikan asas bagi mahkamah untuk mengatakan bahawa 88 ketulan bungkusan dadah yang diletakkan di dalam ruangan khas tersebut adalah milik tertuduh 2 atau pemilikan bersama kedua-dua tertuduh. Ini kerana kereta tersebut semasa diserbu dan diperiksa hanyalah dibuktikan berada di dalam jagaan serta kawalan tertuduh 1 semata-mata. [21] Selanjutnya adalah berkaitan elemen pengetahuan di mana Puan TPR bergantung kepada seksyen 37(h) Akta 234 yang merupakan peruntukan andaian berkaitan pengetahuan sekiranya dadah ditemui di dalam ruangan khas di dalam sesebuah kenderaan. [22] Prinsip berkaitan seksyen 37(h) Akta 234 adalah mantap iaitu mahkamah perlu menimbangkan sama ada pihak PR telah berjaya membuktikan bahawa ruang di mana 88 ketulan bungkusan dadah tersebut ditemui adalah merupakan satu “compartment specifically constructed”. (rujuk; PP v Saree Hama & Anor [2001] 4 CLJ 475). [23] Bagi maksud tersebut, mahkamah telah menilai secara maksimum keterangan SP4 dan merumuskan seperti berikut; a) SP4 adalah bertugas sebagai Technical Support kepada Syarikat Sime Darby Auto Connexion yang merupakan ajen bagi jualan dan lepas jualan jenama Ford di Malaysia; b) sebagai Technical Support, SP4 bertanggungjawab ke atas spesifikasi kereta serta diagnosis baik pulih; c) SP4 telah membuat pemeriksaan menyeluruh ke atas kereta tersebut di IPD Kubang Pasu; d) SP4 mengesahkan bahawa kereta tersebut adalah sebuah kereta jenama Ford Ranger 2.2 liter cc; e) hasil pemeriksaan SP4 mengesahkan telah berlaku ubahsuai ke atas kereta tersebut seperti berikut: i. ke atas tempat duduk belakang kanan di mana bahagian lantai telah ditebuk sepertimana di gambar P111 L; ii. ke atas bahagian bawah kereta tersebut telah dipasang satu tempat simpanan yang bukan dari asal sepertimana di gambar P111 P; iii. ke atas ruang belakang yang telah ditukar dan diberi akses di mana wujud satu lantai platform yang tertutup yang telah dipotong serta diubahsuai sepertimana di gambar P111 O; dan iv. ke atas tayar simpanan yang telah diubahsuai rimnya menjadikan ianya satu tempat simpanan sepertimana di gambar P111 Q; dan f) SP4 mengesahkan bahawa sememangnya terdapat pengubahsuaian dari spesifikasi asal model Ford Ranger. [24] Selain itu, mahkamah sendiri dengan kehadiran pihak-pihak telah membuat pemeriksaan ke atas kereta tersebut dan telah merekodkan seperti berikut; a) keadaan kerusi belakang penumpang yang perlu diangkat dan kemudiannya bahagian simpanan barang di bawah kerusi perlu dibuka bagi menunjukkan kewujudan ruang di bawahnya seperti gambar 6; b) bahagian belakang kereta perlu dibuka dan dikeluarkan meninggalkan bahagian besi (gambar 8) dan terdapat potongan besi di tengahnya dan apabila diangkat, menampakkan ruang di bawahnya. Namun terdapat ruang yang boleh ditembusi di bahagian bawah; c) tayar dan rim iaitu di P104 yang dikatakan diikat dari bawah kereta bagi menutup ruang yang boleh ditembusi tersebut. Namun P104 tersebut telah dibuka dan diceraikan dari kereta; dan d) ruang di dalam rim tayar yang menunjukkan ruang yang membolehkan simpanan barang dilakukan. [25] Selain itu, keterangan SP10 mengesahkan bahawa kesemua 88 ketulan bungkusan tersebut telah ditemui di dalam keempat-empat ruang khas yang disediakan di dalam kereta tersebut. Ini turut disokong oleh keterangan Pegawai Penyiasat iaitu SP11. [26] Berdasarkan kepada pemerhatian mahkamah serta keterangan daripada SP4, mahkamah merumuskan bahawa ruang khas tersebut adalah tercakup di dalam seksyen 37(h) Akta 234 yang membolehkan mahkamah ini membuat andaian berkaitan pengetahuan tertuduh 1 ke atas kewujudan dadah-dadah tersebut di dalam kereta tersebut. [27] Di samping itu, mahkamah turut berpandangan bahawa kedudukan dadah-dadah tersebut yang disembunyi sebegitu rupa juga boleh membangkitkan inferens pengetahuan tertuduh 1. Ini berpandukan kepada kes Teh Hock Leong v PP [2008] 4 CLJ 764, di mana MR telah memutuskan; “…an attempt to carefully conceal a drug may indicate an intention to avoid detection and thereby point to knowledge….”. [28] Sehubungan dengan itu, mahkamah merumuskan bahawa pihak PR telah berjaya membuktikan elemen pengetahuan dengan bersandarkan kepada peruntukan andaian di bawah seksyen 37(h) Akta 234 hanya ke atas tertuduh 1. Oleh itu, PR telah berjaya membuktikan bahawa dadah-dadah tersebut berada di dalam pemilikan tertuduh 1. Sama ada kedua-dua tertuduh mengedar dadah-dadah tersebut [29] Memandangkan dapatan pemilikan yang bersandarkan kepada peruntukan andaian tersebut, maka bagi elemen terakhir yang perlu dibuktikan oleh PR adalah pengedaran. Bagi maksud tersebut, mahkamah perlu berpuas hati bahawa wujud keterangan-keterangan bagi membuktikan elemen pengedaran secara langsung sepertimana yang ditafsirkan di bawah seksyen 2 Akta 234. [30] Di dalam kes ini, keterangan menunjukkan bahawa tertuduh 1 mengangkut dadah-dadah tersebut sekurang-kurangnya dari ketika kereta tersebut dilihat keluar dari CIQ Bukit Kayu Hitam iaitu pada jam lebih kurang 10.35 malam di mana SP10 telah melihat kereta tersebut melalui jalan utama di CIQ Bukit Kayu Hitam. Selanjutnya SP10 serta pasukan telah mengekori kereta tersebut yang kemudiannya memasuki kawasan pekan Changlun dan berhenti di hadapan sebuah kedai iaitu kedai Borong Man sebelum diserbu. [31] Dari keterangan ini, ia menunjukkan bahawa tertuduh 1 telah mengangkut dadah-dadah ini sekurang-kurangnya dari CIQ Bukit Kayu Hitam ke pekan Changlun. Perbuatan tertuduh 1 menunggu di dalam kereta membolehkan satu inferens bahawa tertuduh 1 seolah-olah menunggu seseorang untuk diserahkan dadah-dadah tersebut. Di dalam masa yang sama jumlah dadah di dalam kes ini adalah juga sangat tinggi. [32] Di dalam membuktikan pengedaran secara langsung di bawah seksyen 2 Akta 234, Mahkamah berpegang kepada panduan yang diberikan oleh Majlis Privi di dalam kes Ong Ah Chuan v. PP [1980-1981] SLR 48 seperti berikut; “So, the presumption works as follows, when an accused is proved to have had controlled drugs in his possession and to have been moving them from one place to another:
1
the mere act of moving them does not of itself amount to trafficking within the meaning of the definition in s. 2; but if the purpose for which they were being moved was to transfer possession from the mover to some other person at their intended destination the mover is guilty of the offence of trafficking under s. 3, whether that purpose was achieved or not. This is the effect of the provisions of s. 3(c) and s. 10.
2
If the quantity of controlled drugs being moved was in excess of the minimum specified for that drug in s. 15, that section creates a rebuttable presumption that such was the purpose for which they were being moved, and the onus lies upon the mover to satisfy the court, upon the balance of probabilities, that he had not intended to part with possession of the drugs to anyone else, but to retain them solely for his own consumption.” [33] Manakala di dalam kes PP v. Herlina Purnama Sari [2016] CLJU 1855; [2016] 1 LNS 1855, Mahkamah Persekutuan menyatakan; “[39] We are of the view that whether or not a person is a trafficker within the definition of s. 2 of the Act is dependent of the facts and circumstances of a given case. In this case, it is not in dispute that when the respondent was arrested she was carrying the luggage bag which amongst other things contained the impugned drugs. The respondent was apprehended in the act of carrying from one place to another a large amount of dangerous drugs. It is in evidence that the respondent was unaccompanied by any person when she carried the luggage bag. The luggage bag was registered in the respondent's name when she checked i in at the Air Asia check-in counter. The impugned drugs were found hidden in the two boxes. In fact, the drugs were neatly and securely concealed from view in both the boxes. We are of the view that the manner in which the impugned drugs were concealed in the luggage bag showed that the respondent knew the existence of the drugs there, and evinced the: intention of the careful planning by the respondent to conceal the impugned drugs to avoid and escape detection" (emphasis added).” [34] Mahkamah berpandangan, keterangan yang diperlukan bukan sekadar tertuduh 1 ditangkap sedang memandu kereta yang di dalamnya ditemukan dadah-dadah berbahaya namun pihak PR pada hemat mahkamah perlu membuktikan bahawa tertuduh 1 mengangkut dadah-dadah tersebut dari satu tempat ke satu tempat yang lain bagi tujuan untuk dipindah milik kepada orang lain yang boleh dibuktikan melalui antara lain jumlah dadah yang diangkut serta cara ianya dibawa dan sebagainya. [35] Berdasarkan kepada keterangan yang dikemukakan, mahkamah berpuas hati bahawa keterangan dengan jelas menunjukkan bahawa tertuduh 1 adalah orang yang dilihat memandu kereta tersebut berseorangan dari CIQ Bukit Kayu Hitam sehinggalah ke pekan Changlun. Dadah-dadah tersebut adalah di dalam jumlah yang banyak dan di dalam 88 bungkusan. Ia juga disimpan di dalam satu ruang khas kereta tersebut. [36] Oleh itu, ia wajar bagi mahkamah ini untuk merumuskan bahawa tertuduh 1 adalah sedang mengedar dadah-dadah tersebut. Dapatan mahkamah ini adalah dibuat tanpa bersandarkan kepada mana-mana peruntukan andaian. Keputusan di akhir kes pendakwaan [37] Oleh yang demikian, di atas pertimbangan maksimum, mahkamah dengan ini memutuskan bahawa pihak PR telah berjaya membuktikan satu kes prima facie ke atas tertuduh 1 dan sehubungan itu tertuduh 1 adalah diperintahkan untuk membela diri bagi pertuduhan yang dikenakan ke atasnya. [38] Manakala bagi tertuduh 2, mahkamah memutuskan bahawa pihak PR gagal membuktikan satu kes prima facie. Oleh itu tertuduh 2 adalah dilepaskan dan dibebaskan dengan serta merta. Kes pembelaan [39] Di peringkat pembelaan, tertuduh 1 memilih untuk memberi keterangan secara bersumpah dengan mengemukakan Pernyataan Bertulis (PS SD1) tanpa memanggil mana-mana saksi lain untuk menyokong keterangannya. [40] Secara amnya, tertuduh 1 tidak menafikan bahawa tertuduh 1 sememangnya memandu kereta tersebut masuk ke Thailand pada 11/9/2017 dan keluar dari Thailand ke Malaysia melalui CIQ Bukit Kayu Hitam pada malam hari yang sama. Namun menurut tertuduh 1, kereta tersebut adalah milik tertuduh 2 dan tertuduh 1 telah diminta oleh tertuduh 2 untuk memandu kereta tersebut dari rumahnya di Jelutong, Pulau Pinang ke Bukit Kayu Hitam. Tertuduh 1 telah menurunkan tertuduh 2 di hentian bas Changlun, Kedah sebelum meneruskan perjalanan ke Thailand. Tertuduh 2 telah meminta tertuduh 1 untuk menunggunya di sebuah kedai makan di Danok, Thailand. [41] Tujuan tertuduh 1 ke Thailand adalah untuk bersuka ria dan tertuduh 1 memandu kereta tersebut melalui CIQ Bukit Kayu Hitam secara berseorangan sebelum bertemu semula dengan tertuduh 2 di kedai makan di Danok, Thailand. Malahan tertuduh 1 mengakui dokumen Letter of Consent merupakan kebenaran tertuduh 2 kepada tertuduh 1 menggunakan kereta tersebut sepertimana di P146. [42]
Preamble
Menurut tertuduh 1, selepas itu kedua mereka telah bergerak menuju ke sebuah resort di Hatyai, Thailand di mana perjalanannya memakan masa selama lebih kurang setengah jam. Tertuduh 1 kemudiannya telah masuk ke sebuah bilik yang disediakan oleh tertuduh 2 dan tidur dengan perempuan dari jam 7.30 malam sehingga 9.45 malam. [43] Di dalam masa tersebut, tertuduh 2 dikatakan telah keluar dengan kereta tersebut untuk berjumpa dengan seorang yang dikenali sebagai Abang Jamal. Lebih kurang jam 10.00 malam, tertuduh 2 telah kembali ke resort dan mengajak tertuduh 1 balik ke Malaysia. Tertuduh 1 kemudiannya telah memandu kereta tersebut bersama-sama tertuduh 2 untuk balik ke Malaysia. [44] Apabila sampai di Danok, Thailand, tertuduh 1 telah meninggalkan tertuduh 2 kerana tertuduh 2 hendak berjumpa dengan kawan. Tertuduh 2 telah mengarahkan tertuduh 1 untuk meneruskan perjalanan dan akan hubunginya jika berkesempatan. Jika tidak sempat, tertuduh 1 diminta untuk meneruskan perjalanan ke Pulau Pinang. [45] Tertuduh 1 kemudiannya ditahan dan di hadapan kedai Borong Man, Changlun, Kedah. [46] Tertuduh 1 menafikan sebarang pengetahuan berkenaan kewujudan 88 ketulan dadah Cannabis yang ditemui di dalam kereta tersebut. Menurutnya, semasa memandu kereta tersebut, tertuduh 1 tidak menghidu apa-apa bau pelik di dalam kereta. Tertuduh 1 turut tidak mempunyai pengetahuan berkenaan kewujudan ruang khas di dalam kereta tersebut dan tidak pernah tahu kereta tersebut telah diubah suai. Analisis dan dapatan mahkamah ke atas kes pembelaan [47] Berdasarkan kepada keterangan tertuduh 1, mahkamah berpandangan bahawa teras pembelaan tertuduh 1 adalah tertuduh 1 tidak ada sebarang pengetahuan sama sekali ke atas kewujudan 88 ketulan dadah Cannabis tersebut. Ini dengan secara langsung menafikan bahawa ia adalah merupakan miliknya. [48] Sebaliknya, tertuduh 1 meletakkan kesalahan tersebut kepada tertuduh 2 dan Abang Jamil. Ini kerana, tertuduh 2 dan Abang Jamil telah berjumpa semasa tertuduh 1 sedang tidur di resort bersama-sama dengan seorang perempuan. Ini ditambah pula dengan ketiadaan keterangan forensik bagi menyokong bahawa 88 ketulan dadah mempunyai kaitan dengannya. [49] Di dalam memulakan analisis mahkamah ke atas pembelaan ini, adalah penting untuk mahkamah menegaskan bahawa semasa mahkamah memerintahkan tertuduh 1 untuk membela diri, teras alasan mahkamah adalah dadah-dadah tersebut ditemui di dalam ruang khas di dalam kereta yang dipandu olehnya. Tiada orang lain di dalam kereta semasa itu dan dokumen P146 menunjukkan bahawa tertuduh 1 dibenarkan oleh tertuduh 2 untuk menggunakan kereta tersebut untuk masuk ke Thailand. [50] Kedudukan di mana dadah-dadah tersebut dijumpai dengan secara langsung dapat membuktikan bahawa ianya adalah berada bawah jagaan dan kawalan tertuduh 1. Berdasarkan dapatan ini, mahkamah telah menggunakan peruntukan andaian di bawah seksyen 37(h) Akta 234 yang merupakan peruntukan andaian berkaitan pengetahuan. Ini membolehkan mahkamah merumuskan bahawa dadah-dadah tersebut berada di dalam pemilikan tertuduh 1. [51] Pembelaan tertuduh 1 kini adalah lebih kepada mengakaskan penggunaan peruntukan andaian yang telah dikenakan oleh mahkamah. Ini dilakukan dengan membangkitkan bahawa kereta tersebut adalah bukan milik tertuduh 1 dan dia tidak mempunyai sebarang pengetahuan berkaitan ubah suai yang dibuat ke atas kereta tersebut. Ini ditambah pula dengan kewujudan nama Abang Jamil yang ditemui oleh tertuduh 2 semasa mereka berada di Hatyai, Thailand. [52] Puan TPR menghujahkan bahawa pembelaan tertuduh 1 adalah satu fikiran terkemudian terutamanya berkaitan tertuduh 2 beredar bersama-sama Abang Jamil semasa mereka berada di resort. Tertuduh 1 dikatakan tidak pernah mendedahkan bahawa tertuduh 1 berehat di resort dan tertuduh 2 keluar dengan Abang Jamil semasa pemeriksaan ke atas saksi-saksi pendakwaan. [53] Sebaliknya, versi tertuduh 1 semasa kes di peringkat pendakwaan adalah kereta tersebut dipandu oleh tertuduh 1 turut membawa Abang Jamil masuk ke Thailand. Apabila sampai di Hatyai, Thailand, Abang Jamil telah meminta tertuduh 1 berhenti di Lee Garden dan meminta tertuduh 1 menunggu di gerai makan sementara Abang Jamil menggunakan kereta tersebut untuk ambil wang sebanyak RM30,000.00 untuk diserahkan kepada tertuduh
1
Keterangan tertuduh 1 semasa pemeriksaan utama dan di PSSD1 turut tidak membangkitkan berkenaan wang RM30,000.00 dan ini dihujahkan sebagai menjejaskan kredibiliti keterangannya. [54] Di dalam menganalisis pembelaan tertuduh 1 ini, mahkamah terpanggil untuk mengingatkan diri mahkamah bahawa mahkamah ini bertanggungjawab untuk menilai pembelaan tertuduh 1 semaksimanya. Di dalam menjalankan analisis tersebut, adalah penting bagi mahkamah untuk membandingkannya dengan keterangan-keterangan yang telah dikemukakan di peringkat pembelaan dan menentukan sama ada pembelaan adalah selari dengan ketidakbersalahannya. Pembelaan tertuduh 1 perlu dinilai sama ada ia semunasabahnya benar walaupun mahkamah tidak diyakinkan dengan kebenarannya. [55] Perkara ini pernah disentuh oleh Hakim Shaikh Daud HMR di dalam kes Ganapathi a/l Rengasamy v PP [1998] 2 CLJ 1 seperti berikut; “It needs to be remembered that however weak a defence may be, trial judges being judges of both fact and law should not just brush aside the defence on the basis that the prosecution witnesses are to be believed and not the defence. Where the law casts the onus of giving an explanation upon an accused person, and the explanation is given, which if consistent with innocence, the court is duty bound to consider whether it might reasonably be true, although not convinced of its truth. On the issue of the court's duty to consider the defence, the age old decision in Mat v. PP [1963] MLJ 263 is still good law today as it was then. This was followed by the Supreme Court in Mohamad Radhi Yaakob v. PP [1991] 3 CLJ 2073” [56] Penelitian mahkamah ke atas keterangan-keterangan di peringkat pendakwaan menunjukkan bahawa sejak dari awal tertuduh 1 telah membangkitkan berkaitan seorang yang dikenali sebagai Abang Jamil. Paling kritikal adalah ketika SP11 iaitu Pegawai Penyiasat memberi keterangan. SP11 telah diperiksa dengan panjang lebar berkaitan seorang yang bernama Abang Jamil. Adalah penting di peringkat ini bagi mahkamah untuk merekodkan bahawa pemeriksaan balas dijalankan secara majoritinya oleh peguam tertuduh 2 memandangkan peguam tertuduh 1 hanya mengambil alih kes ini selepas peguam asal tertuduh 1 meninggal dunia. [57] SP11 telah diperiksa berkaitan Abang Jamil dan mahkamah mendapati bahawa SP11 di dalam jawapannya sering memberi jawapan tidak ingat. Ini termasuk berkaitan siasatan yang SP11 jalankan ke atas seorang yang bernama Abang Jamil dan tertuduh 1 ada maklumkan SP11 bahawa Abang Jamil membawa kereta. [58] SP11 turut menyatakan bahawa SP11 tidak ingat siapa yang memandu kereta di Thailand dan berapa lama kereta tersebut berada di Thailand. Semasa diperiksa semula, SP 11 menegaskan bahawa yang dimaksudkan oleh SP11 sebagai tidak ingat adalah perkara ini disiasat namun SP11 tidak ingat apakah hasil siasatannya. [59] Keseluruhan dari keterangan SP11, maka mahkamah berpandangan bahawa watak Abang Jamil ini adalah wujud dan ianya disiasat namun hasil siasatan tersebut tidak didedahkan oleh SP11 di atas faktor ingatannya. Oleh itu, ia dengan sendirinya menyokong pembelaan tertuduh 1 berkenaan kewujudan Abang Jamil. [60] Keterangan tertuduh 1 berkaitan Abang Jamil adalah meyakinkan. Tertuduh 1 dapat menceritakan berkenaan deskripsi Abang Jamil walaupun tidak dapat mengingati nama penuh dan nombor telefon yang digunakan oleh Abang Jamil. Ini bagi pandangan mahkamah adalah munasabah kerana sukar untuk sesiapa mengingati nombor telefon rakan-rakannya. [61] Malahan tertuduh 1 mengesahkan bahawa ianya telah dimaklumkan kepada SP11 dan ini menyokong analisis awal mahkamah berkenaan keterangan SP11 bahawa watak Abang Jamil telah disiasat namun SP11 tidak ingat apakah hasil siasatannya. [62] Ini membawa kepada pertimbangan mahkamah ini ke atas penjelasan tertuduh 1 bahawa kereta tersebut bukan keretanya dan tertuduh 1 tidak mempunyai pengetahuan berkenaan kewujudan ruang khas di dalam kereta tersebut. Perkara berkaitan hak milik kereta tersebut bukanlah fakta yang dipertikaikan. Malahan pihak PR yang telah mengemukakan Sijil Pengesahan Kenderaan di P113 bagi mengesahkan bahawa kereta tersebut adalah hak milik tertuduh 2. [63] Pengetahuan tertuduh 1 berkaitan kewujudan ruang-ruang khas di dalam kereta tersebut termasuk kereta tersebut telah diubah suai tidak pernah dibuktikan oleh pihak PR semasa kes di peringkat pendakwaan. Maka penjelasan tertuduh 1 di peringkat pembelaan adalah suatu yang munasabah. Apatah lagi semasa diperiksa balas, tertuduh 1 mengakui pernah menggunakan kereta tersebut namun tidak pernah disoal balas berkaitan pengetahuannya berkenaan kewujudan ruang khas tersebut. [64] Malahan keterangan tertuduh 1 baik semasa pemeriksaan utama mahupun semasa pemeriksaan balas adalah konsisten bahawa tertuduh 1 terkejut apabila dadah-dadah tersebut dijumpai di dalam ruang khas sebaik pemeriksaan dijalankan ke atas kereta tersebut. Ini menguatkan keterangan bahawa tertuduh 1 tidak mempunyai pengetahuan ke atas ruang-ruang khas tersebut. [65] Keterangan tertuduh 1 ini pada pandangan mahkamah telah membangkitkan persoalan besar ke atas pengetahuan tertuduh 1 berkaitan kewujudan ruang-ruang khas di dalam kereta tersebut. Ia dengan secara langsung telah berjaya memberi penjelasan di tahap imbangan keberangkalian ke atas andaian statutori yang telah mahkamah ini lakukan di bawah seksyen 37(h) Akta 234 di akhir kes pendakwaan. Dengan kata lain, ia berjaya mengakaskan andaian yang telah mahkamah ini lakukan. [66] Pendekatan mahkamah ini adalah selari dengan prinsip undang-undang berkaitan tanggungjawab tertuduh 1 apabila mahkamah bergantung kepada anggapan statutori sepertimana di dalam kes ini. Beban pembuktian yang tertentu, dan bukannya beban pembuktian am, akan berpindah kepada pihak tertuduh 1 untuk membangkang anggapan sedemikian atas imbangan kebarangkalian yang dari aspek pembelaan adalah beban yang lebih berat berbanding daripada beban membangkitkan keraguan yang munasabah. Ini sepertimana yang diputuskan oleh Mahkamah Agung di dalam kes PP v. Yuvaraj [1968] CLJU 116; [1968] 1 LNS 116; [1969] 2 MLJ 89. [67] Di dalam masa yang sama, mahkamah menegaskan bahawa adalah menjadi prinsip mantap bahawa secara amnya pihak PR masih bertanggungjawab untuk membuktikan kes ke tahap tanpa keraguan munasabah. Beban ini adalah kekal sehinggalah ke akhir kes termasuk semasa kes di peringkat pembelaan kerana beban tidak ditanggung oleh tertuduh 1 untuk membuktikan ketidakbersalahan dirinya tetapi sebaliknya hanya membangkitkan sebarang keraguan. (rujuk; Mohamad Radhi Yaakob v PP [1991] 1 MLRA 158). [68] Di samping itu, PR berhadapan dengan isu baru di mana tertuduh 1 menegaskan tidak mempunyai pengetahuan berkaitan kewujudan ruang-ruang khas di dalam kereta tersebut. Perkara ini tidak menjadi keutamaan semasa kes di peringkat pendakwaan kerana fakta pada ketika itu adalah hanya tertuduh 1 yang berada di dalam kereta tersebut dan dilihat memandu kereta tersebut. Walaupun pada ketika itu keterangan telah menunjukkan bahawa tertuduh 2 adalah pemegang hak milik kereta tersebut, namun tertuduh 2 adalah turut dituduh secara bersama-sama. [69] Mahkamah berpandangan isu berkenaan pengetahuan tertuduh 1 berkaitan kewujudan ruang-ruang khas ini adalah satu keterangan baru dan hanya tertuduh 2 sebagai pemilik kereta tersebut dapat memberi penjelasan berkenaan pengetahuan tertuduh 1. Namun pihak PR tidak mengambil sebarang inisiatif untuk membuat permohonan bagi mengemukakan sebarang keterangan bantahan (rebuttal evidence) bagi menyanggah keterangan tertuduh 1. Kegagalan pihak PR telah memberi kelebihan kepada tertuduh 1 di dalam penegasannya bahawa dia tidak mempunyai pengetahuan berkenaan ruang-ruang khas tersebut. [70] Pandangan mahkamah adalah selaras dengan apa yang diputuskan di dalam kes PP v Chia Leong Foo [2000] 6 MLJ 705 di mana Hakim Austine Paul HMT (pada ketika itu) menyatakan; “The evidence of the accused and DW2 that the yellow helmet was bought from High Light Park Industry was not effectively challenged by the prosecution. It was only suggested to DW2 that she did not buy it for the accused which she denied. This is an appropriate instance where the prosecution could have called a representative from High Light Park Industry to rebut the defence evidence on the purchase of the helmet. This was not done. Failure by the prosecution to rebut this evidence means that if such evidence in rebuttal had been adduced it would have been adverse to the prosecution. It must therefore be accepted that the helmet was purchased as testified by the defence.” [71] Akhirnya, mahkamah turut berpandangan bahawa ketiadaan keterangan-keterangan forensik seperti cap jari dan DNA tertuduh 1 ke atas barang-barang kes serta ke atas sampel-sampel yang diambil dari kereta tersebut turut memberi kesan ke atas pembuktian kes tanpa keraguan ke atas tertuduh 1. Walaupun secara amnya keterangan-keterangan ini hanya bersifat sokongan semata-mata, namun apabila wujud keraguan sama ada tertuduh 1 sebenarnya mengetahui berkenaan dadah-dadah yang ditemui di ruang-ruang khas di dalam kereta tersebut, maka keterangan sokongan secara forensik akan memberi impak yang besar. Ia boleh menimbulkan keraguan yang munasabah. [72] Ini turut selari dengan apa yang dinyatakan oleh tertuduh 1 bahawa dirinya telah dianaiaya oleh tertuduh 2 dan Abang Jamil. Keputusan di akhir kes [73] Di atas penilaian maksimum ke atas keseluruhan keterangan, mahkamah memutuskan bahawa pertamanya tertuduh 1 di tahap imbangan keberangkaian telah berjaya mengemukakan penjelasan berkaitan andaian statutori di bawah seksyen 37(h) Akta 234 yang telah dibuat oleh mahkamah ini. Keduanya, mahkamah turut memutuskan bahawa watak Abang Jamil adalah suatu watak yang bukan direka-reka dan terdapat keberangkalian yang munasabah bahawa tertuduh 1 tidak mempunyai pengetahuan ke atas kewujudan dadah-dadah tersebut. [74] Oleh yang demikian, adalah tidak selamat bagi mahkamah untuk mensabitkan tertuduh 1. Sehubungan dengan itu, tertuduh 1 adalah dilepas dan dibebaskan. Bertarikh: 12hb. Jun 2025 (DATUK MOHAMAD ABAZAFREE BIN MOHD ABBAS) Hakim Mahkamah Tinggi Malaya Pihak-Pihak: Bagi Pihak Pendakwa Raya : Kamaliza binti Md Zain Wisma Darul Aman Pejabat Penasihat Undang-Undang Aras 4, Blok C Jalan Tengku Bendahara 05250 Alor setar Kedah Darul Aman Bagi Pihak Responden Pertama: Mohamad Nizan bin Azdahari Tetuan Dasuki & Co Peguambela & Peguamcara No. 44-A, Tingkat 4 Jalan PSK 1, Pekan Simpang Kuala Lebuhraya Sultan Abdul Halim 05400 Alor Setar Kedah Darul Aman Bagi Pihak Responden Kedua: Naranya Singh S/O Asa Singh Tetuan Naran Singh & Co Peguambela & Peguamcara 39, First Floor P.O. Box 710 30000 Ipoh Perak Darul Ridzuan Tarikh Keputusan : 15hb. April, 2025 Undang-Undang Yang Dirujuk: ➢ Akta Dadah Berbahaya 1952 ➢ Kanun Keseksaan ➢ Kanun Tatacara Jenayah Kes-Kes Yang Dirujuk: ➢ Balachandran v. PP [2005] 1 CLJ 85 ➢ PP v. Mohd Radzi Abu Bakar [2006] 1 CLJ 457 ➢ Muhammad Lukman Mohamad v. PP [2021] 7 CLJ 524 ➢ Krishna Rao Gurumurthi v PP and another appeal [2009] 2 CLJ 603 ➢ PP v Saree Hama & Anor [2001] 4 CLJ 475 ➢ Teh Hock Leong v PP [2008] 4 CLJ 764 ➢ Ong Ah Chuan v. PP [1980-1981] SLR 48 ➢ PP v. Herlina Purnama Sari [2016] CLJU 1855; [2016] 1 LNS 1855 ➢ Ganapathi a/l Rengasamy v PP [1998] 2 CLJ 1 ➢ PP v. Yuvaraj [1968] CLJU 116; [1968] 1 LNS 116; [1969] 2 MLJ 89 ➢ Mohamad Radhi Yaakob v PP [1991] 1 MLRA 158 ➢ PP v Chia Leong Foo [2000] 6 MLJ 705
Wrong text, a broken link, out-of-date content, or a removal request — tell us and we'll check it against the official source.