Content
1 | P a g e DALAM MAHKAMAH TINGGI MALAYA DI BUTTERWORTH DALAM NEGERI PULAU PINANG PERBICARAAN JENAYAH NO: PB-45A-19-02/2022 ANTARA PENDAKWA RAYA
PB-45A-19-02/2022
High Court of Malaysia26 Jun 2025
The written judgment as the court issued it, with the coram, case number, and source links. Every paragraph has its own anchor.
Citations and treatment detected automatically from later judgments and the authorities this decision relies on.
Later cases and laws citing this decision
Not yet cited by a later decision.
Earlier cases and laws this decision relies on
“elaskan dalam kes-kes duluan di antaranya (sekadar merujuk beberapa kes yang seringkali dirujuk) kes PP v. Denish a/l Madhavan [2009] 2 MLJ 194 / [2009] 2 CLJ 209; Chan Pean Leon v. Public Prosecutor [1956] LNS 17 / [1956] 1 MLJ 237; Pendakwa Raya v. Lim Chsung Meng & Anor & Another Appeal [2015] 1 LNS 1226 / [2015] ML”
“(iv) after defence is called, the accused elects to give evidence, then go through the steps set out in Mat v. Public Prosecutor [1963] 1 LNS 82; [1963] MLJ 263.”. [16] Kes prima facie bermaksud kes yang mencukupi untuk memanggil tertuduh membela diri terhadap pertuduhan yang dihadapi, di mana keterangan yang dikemukak”
“nakala OKT2 merupakan penyewa rumah, maka kedua-duanya mempunyai kawalan serta pengetahuan terhadap kewujudan dadah dalam rumah tersebut. [30] Pendakwaan merujuk prinsip di dalam kes PP v Foo Jua Eng [1965] CLJU 137, PP v Mohd Bandar Shah Nordin & Anor [2004] CLJU 574, dan PP v Mohd Farid Mohd Sukis & Anor [2002] 8 CLJ”
“ntuk membuktikan OKT-OKT mempunyai jagaan atau kawalan ke atas dadah-dadah tersebut. [69] Syak wasangka walaupun kuat tidak boleh menggantikan pembuktian prima facie (lihat PP v. Mohamed Kassim Yatim [1976] CLJU 105; [1976] 1 LNS 105; [1977] 1 MLJ 64). Berdasarkan penilaian maksimum terhadap keterangan saksi-saksi pend”
“a mempunyai kawalan serta pengetahuan terhadap kewujudan dadah dalam rumah tersebut. [30] Pendakwaan merujuk prinsip di dalam kes PP v Foo Jua Eng [1965] CLJU 137, PP v Mohd Bandar Shah Nordin & Anor [2004] CLJU 574, dan PP v Mohd Farid Mohd Sukis & Anor [2002] 8 CLJ 814 yang telah memutuskan bahawa proximity, kelakuan”
“on v. Public Prosecutor [1956] LNS 17 / [1956] 1 MLJ 237; Pendakwa Raya v. Lim Chsung Meng & Anor & Another Appeal [2015] 1 LNS 1226 / [2015] MLJU 2234 dan Emmanuel Yaw Teiku v. PP [2006] 3 CLJ 597 / [2006] MLJ 209. [27] Prinsip yang dinyatakan di dalam kes-kes tersebut bahawa untuk membuktikan milikan terhadap sesuatu”
“sh a/l Madhavan [2009] 2 MLJ 194 / [2009] 2 CLJ 209; Chan Pean Leon v. Public Prosecutor [1956] LNS 17 / [1956] 1 MLJ 237; Pendakwa Raya v. Lim Chsung Meng & Anor & Another Appeal [2015] 1 LNS 1226 / [2015] MLJU 2234 dan Emmanuel Yaw Teiku v. PP [2006] 3 CLJ 597 / [2006] MLJ 209. [27] Prinsip yang dinyatakan di dalam k”
Auto-detected from judgment text; not a substitute for a citator check.
Content
1 | P a g e DALAM MAHKAMAH TINGGI MALAYA DI BUTTERWORTH DALAM NEGERI PULAU PINANG PERBICARAAN JENAYAH NO: PB-45A-19-02/2022 ANTARA PENDAKWA RAYA
2
PARTIBEN A/L MANOGARAN
a
(A) PENDAHULUAN [1] Kedua-dua OKT telah didakwa atas tiga pertuduhan mengedar dadah berbahaya — Heroin (476.22 gram), Methamphetamine (5664.5 gram), dan Monoacetylmorphines (128.561gram) — di sebuah unit kondominium pada 22 September 2020. Pertuduhan adalah seperti berikut: 2 | P a g e “PERTUDUHAN PERTAMA Bahawa kamu bersama-sama pada 22.9.2020 jam lebih kurang 12.30 pagi di No. 13-03A, Kondominium Sentral, Jalan Juru Sentral, 14000 Bukit Mertajam, Dalam Daerah Seberang Perai Tengah, di Dalam Negeri Pulau Pinang telah didapati mengedar dadah berbahaya iaitu Heroin seberat 476.22 gram. Oleh itu kamu telah melakukan satu kesalahan di bawah seksyen bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) Akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan. PERTUDUHAN KEDUA Bahawa kamu bersama-sama pada 22.9.2020 jam lebih kurang 12.30 pagi di No. 13-03A, Kondominium Sentral, Jalan Juru Sentral, 14000 Bukit Mertajam, Dalam Daerah Seberang Perai Tengah, Di dalam Negeri Pulau Pinang telah didapati mengedar dadah berbahaya iaitu Methamphetamine seberat 5664.5 gram. Oleh itu kamu telah melakukan satu kesalahan di bawah seksyen bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) Akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan. PERTUDUHAN KETIGA Bahawa kamu bersama-sama pada 22.9.2020 jam lebih kurang 12.30 pagi di No. 13-03A, Kondominium Sentral, Jalan Juru Sentral, 14000 Bukit Mertajam, di dalam Daerah Seberang Perai Tengah, Di Dalam Negeri Pulau Pinang telah didapati mengedar dadah berbahaya iaitu Monoacetylmorphines seberat 128.561 gram. Oleh itu kamu telah melakukan satu kesalahan di bawah seksyen bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) Akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan. 3 | P a g e HUKUMAN Hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan juga hendaklah disebat tidak kurang 12 sebatan jika tidak dihukum dengan hukuman mati. [2] Di akhir kes pendakwaan, Mahkamah ini memutuskan bahawa pihak pendakwaan telah gagal membuktikan kes prima facie terhadap kedua-dua OKT atas ketiga-tiga pertuduhan tersebut, oleh itu kedua-dua OKT telah dilepas dan dibebaskan tanpa dipanggil membela diri. [3] Pihak pendakwaan tidak berpuashati terhadap keputusan tersebut dan telah memfailkan Notis Rayuan pada 2.7.2025. Maka berikut adalah alasan Mahkamah ini. Naratif kes pendakwaan [4] Pihak pendakwaan telah memanggil seramai 7 orang saksi untuk memberi keterangan, mereka ialah—
a
SP1 – Abdul Jalil Bin Abdul Rahman (Ahli Kimia)
b
SP2 – Insp. Tharumaselan A/L Ramanathan (Pengadu)
c
SP3 – Sjn. Mohd Fadli Bin Awang Kechik (Anggota Serbuan)
d
SP4 – Lee Guan Choon (Pemilik Rumah)
e
SP5 – P’ng Zhe Wyin (Ejen Rumah)
f
SP6 – Insp. Mohd Azmi Mohd Nor Mandharan (Pegawai
g
SP7 – Insp. Nor Hafizah Binti Hashim (Pegawai Penyiasat) [5] Berdasarkan keterangan saksi-saksi pendakwaan yang tersebut, fakta kes menunjukkan bahawa pada 22 September 2020 jam lebih kurang 12.30 pagi, satu serbuan telah dijalankan oleh 4 | P a g e sepasukan pegawai dan anggota polis diketuai oleh SP2 di unit 13- 03A, Kondominium Sentral, Butterworth, Pulau Pinang. [6] Semasa pasukan polis menghampiri premis tersebut, mereka telah melihat seorang lelaki India keluar dari unit berkenaan dan mengunci pintu jeriji utama. Apabila anggota polis memperkenalkan diri, lelaki itu cuba melarikan diri namun berjaya ditahan pada jarak lebih kurang 6 hingga 7 meter dari unit tersebut. Lelaki itu kemudiannya dikenali sebagai Sivasangkaran a/l Moganil (“OKT1”). [7] Pemeriksaan badan telah dilakukan terhadap OKT1 dan menemui satu rantai kunci (keychain) yang mengandungi 14 anak kunci (ekshibit P86) di dalam poket seluar bahagian kanan OKT1. SP2 kemudiannya menggunakan salah satu daripada anak kunci tersebut untuk membuka pintu jeriji dan pintu utama unit 13-03A. Sepanjang proses membuka kedua-dua pintu tersebut, SP3 dan OKT1 berada berhampiran dan menyaksikan tindakan SP2 itu. [8] Sebaik sahaja pintu dibuka, pasukan polis mendapati keadaan di dalam rumah tersebut terang-benderang dengan lampu dan kipas masih terpasang, serta terhidu bau kuat bahan kimia. Semua pintu dan tingkap rumah berkenaan juga didapati tertutup sepenuhnya. Tiada orang lain berada di dalam unit 13-3A pada masa tersebut. [9] SP2 dan anggota pasukannya telah melakukan pemeriksaan lanjut ke atas premis tersebut dan telah membawa kepada penemuan pelbagai jenis bahan disyaki dadah, antaranya:
a
Di ruang tamu: Beberapa bungkusan plastik hijau bertulisan “Chinese Pin Wei” dan plastik lutsinar berisi hablur kristal disyaki dadah (eksibit P36–P38). Analisis kimia kemudian mengesahkan kandungan bungkusan tersebut sebagai Methamphetamine seberat 4,248.1 gram. 5 | P a g e
b
Di bilik sebelah kanan: Lapan (8) bungkusan foil aluminium berisi serbuk yang disyaki dadah (ekshibit P43–P50). Hasil analisis kimia disahkan mengandungi Heroin seberat 1,717.6 gram dan Monoacetylmorphines seberat 166.1 gram [10] Selain daripada penemuan dadah-dadah tersebut, pasukan polis turut menemui pelbagai peralatan dan bahan kimia yang lazimnya digunakan untuk pemprosesan dadah, iaitu:
a
Penimbang digital (3 unit)
b
Alat ‘sealer’ (2 unit)
c
Periuk dan senduk
d
Dapur gas dan besen
e
Bahan kimia seperti asid asetik, peluntur Clorox, ammonia, dan cuka. [11] Susulan penemuan itu, seorang lagi individu dikenali sebagai Partiben a/l Manogaran (“OKT2”) telah ditangkap oleh SP6 di lokasi berasingan, tangkapan dibuat berdasarkan arahan oleh SP2. [12] SP4 mengesahkan bahawa beliau ialah pemilik unit 13-03A dan SP5 pula mengesahkan bahawa beliau ialah ejen hartanah dan menguruskan penyewaan unit 13-03A tersebut. Menurut SP5 satu perjanjian sewaan berkaitan unit tersebut telah ditandatangani oleh OKT2. SP5 telah merujuk kepada Perjanjian sewaan bertarikh 1.7.2020 (Ekshibit P29) yang mana SP5 mengesahkan nama dan tandatangan OKT2 di dalam P29 tersebut. [13] Semua barang kes yang dijumpai di dalam unit 13-03A tersebut telah dirampas dan SP2 telah membuat tandaan sebelum diserahkan kepada Pegawai Penyiasat (SP7). Barang kes yang disyaki dadah telah dihantar ke Jabatan Kimia dan hasil analisis oleh ahli kimia (SP1) mengesahkan seperti di dalam Laporan Kimia 6 | P a g e (P13) bahawa barang kes yang telah dianalisis adalah dadah berbahaya iaitu Heroin seberat 476.22 gm, Methamphetamine seberat 5664.5 gm dan Monoacetylmorphines seberat 128.561gm seperti yang disenaraikan dalam Jadual pertama Akta Dadah Berbahaya 1952 (“ADB”).
b
(B) DAPATAN MAHKAMAH DI AKHIR KES PENDAKWAAN [14] Di akhir kes pendakwaan pihak pendakwaan hendaklah mengemukakan satu keterangan yang kukuh untuk membuktikan wujudnya satu kes prima facie seperti yang diperuntukkan oleh Seksyen 180(1) Kanun Tatacara Jenayah (“KTJ”). [15] Di dalam kes PP vs Mohd Radzi Abu Bakar [2006] 1 CLJ 457, Mahkamah telah memberi panduan yang jelas mengenai langkah-langkah yang perlu diambil selaras dengan seksyen 180(1) KTJ, seperti berikut: “[15] For the guidance of the courts below, we summarise as follows the steps that should be taken by a trial court at the close of the prosecution’s case-
i
at the close of the prosecutions’s case, subject the evidence led by the prosecution in its totality to a maximum evaluation. Carefully scrutinise the credibility of each of the prosecution’s witnesses. Take into account all reasonable inferences that may be drawn from that evidence. If the evidence admits of two or more inferences, then draw the inference that is most favourable to the accused.
II
(ii) ask yourself the question: if I now call upon the accused to make his defence and he elects to remain silent am I prepared to convict him on the evidence now before me? If the answer to that question is “Yes”, then a prima facie case has been made out and the defence should 7 | P a g e be called. If the answer is “No” then, a prima facie case has not been made out and the accused should be acquitted;
III
(iii) after the defence is called, the accused elects to remain silent, then convict;
IV
(iv) after defence is called, the accused elects to give evidence, then go through the steps set out in Mat v. Public Prosecutor [1963] 1 LNS 82; [1963] MLJ 263.”. [16] Kes prima facie bermaksud kes yang mencukupi untuk memanggil tertuduh membela diri terhadap pertuduhan yang dihadapi, di mana keterangan yang dikemukakan memadai untuk menyokong sabitan sekiranya tidak disangkal atau ditolak oleh keterangan lain (rujuk Balachandran v. PP [2005] 1 CLJ 85). [17] Mahkamah ini merujuk kepada keputusan di dalam kes Looi Kow Chai v. Public Prosecutor [2003] 2 MLJ 65, seperti berikut: “It therefore follows that there is only one exercise that a judge sitting alone under s. 180 of the CPC has to undertake at the close of the prosecution case. He must subject the prosecution evidence to maximum evaluation and to ask himself the question: if I decide to call upon the accused to enter his defence and he elects to remain silent, am I prepared to convict him on the totality of the evidence contained in the prosecution case? If the answer is in the negative, then no prima facie case has been made out, and the accused would be entitled to an acquittal.” [18] Di dalam kes Magendran Mohan v. Public Prosecutor [2011] 1 CLJ 805, Mahkamah persekutuan memutuskan mengenai pembuktian kes prima facie seperti berikut: “[44] The test at the end of the prosecution’s case is ‘prima facie case’ based on a maximum evaluation of evidence. The evidence has to be scrutinised properly and not perfunctorily, cursorily or superficially. If the evaluation of the evidence results in doubts in the prosecution’s 8 | P a g e case, then a prima facie case has not been made out. The defence ought not to be called merely to clear or clarify such doubts.” [19] Di dalam menentukan sama ada pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie atau tidak, Mahkamah hendaklah membuat satu penilaian yang maksimum terhadap keseluruhan keterangan yang dikemukakan termasuklah menilai kredibiliti saksi-saksi dan melihat inferens yang boleh dibuat dari keterangan pendakwaan untuk membuktikan setiap elemen kesalahan (rujuk kes PP v. Mohd Radzi Abu Bakar [2006] 1 CLJ 457). [20] Selanjutnya di dalam seksyen 180(4) KTJ menyatakan: “(4) For the purpose of this section, a prima facie case is made out against the accused where the prosecution has adduced credible evidence proving each ingredient of the offence which if unrebutted or unexplained would warrant a conviction.”. [21] Frasa “mengemukakan keterangan kukuh yang membuktikan setiap satu elemen kesalahan” tersebut membawa maksud bahawa pihak pendakwaan hendaklah membuktikan setiap elemen kesalahan sama ada melalui keterangan langsung yang boleh dipercayai, membuat inferens daripada fakta yang terbukti, atau dengan mengguna pakai anggapan undang-undang. [22] Di dalam membuat keputusan, Mahkamah ini telah meneliti dan membuat suatu penilaian yang maksimum terhadap kebolehpercayaan semua keterangan yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan. [23] Mahkamah ini juga telah menghalusi hujahan bertulis dan hujahan lisan peguam kedua-dua pihak serta nas undang-undang yang dirujuk. Untuk membuktikan suatu kes prima facie terhadap kedua-dua OKT, pihak pendakwaan mesti membuktikan elemen kesalahan seperti berikut: 9 | P a g e
a
dadah tersebut adalah dadah berbahaya yang tersenarai di dalam Jadual Pertama ADB 1952;
b
dadah tersebut dalam milikan kedua-dua OKT; dan
c
kedua-dua OKT mengedar dadah tersebut dengan niat bersama. Elemen Pertama: Dadah yang dipertuduhkan tersenarai di dalam
Schedule
Jadual Pertama ADB 1952 [24] Berdasarkan keterangan lisan dan Penyata Saksi oleh SP1 yang merupakan seorang Ahli Kimia yang berkelayakan dan juga Laporan Kimia yang telah dikemukakan sebagai ekshibit P13, Mahkamah mendapati bahawa SP1 adalah seorang saksi yang credible, keterangannya adalah mencukupi bagi membuktikan barang kes yang dianalisis adalah dadah-dadah jenis Methamphetamine, Heroin dan Monoacetylmorphines dalam kuantiti melebihi had minimum yang dinyatakan di bawah Seksyen 37(da) ADB. [25] Mahkamah ini merujuk kepada kes Munusamy Vengadasalam v. PP [1987] CLJ (Rep) 221 yang telah diputuskan seperti berikut:- “...the Court is entitled to accept the opinion of the expert of its face value, unless it is inherently incredible of the defence calls evidence in rebuttal by another expert to contradict the opinion. So long as some credible evidence is given by the Chemist to support his opinion, there is no necessity for him to go into details of what he did in the laboratory, step by step.”. Mahkamah ini menerima keterangan SP1 dan hasil analisis yang telah dijalankan berkaitan identiti dan kuantiti dadah-dadah tersebut sebagaimana yang di nyatakan di dalam Laporan Kimia. 10 | P a g e Heroin, Monoacetylmorphine dan Methamphetamine adalah dadah-dadah berbahaya yang disenaraikan dalam Jadual Pertama ADB 1952. Elemen Kedua: Pemilikan - jagaan, kawalan dan pengetahuan OKT-OKT ke atas dadah tersebut [26] Prinsip undang-undang berkaitan elemen kedua ini telah diperjelaskan dalam kes-kes duluan di antaranya (sekadar merujuk beberapa kes yang seringkali dirujuk) kes PP v. Denish a/l Madhavan [2009] 2 MLJ 194 / [2009] 2 CLJ 209; Chan Pean Leon v. Public Prosecutor [1956] LNS 17 / [1956] 1 MLJ 237; Pendakwa Raya v. Lim Chsung Meng & Anor & Another Appeal [2015] 1 LNS 1226 / [2015] MLJU 2234 dan Emmanuel Yaw Teiku v. PP [2006] 3 CLJ 597 / [2006] MLJ 209. [27] Prinsip yang dinyatakan di dalam kes-kes tersebut bahawa untuk membuktikan milikan terhadap sesuatu barang, pihak pendakwaan mesti menunjukkan tertuduh mempunyai jagaan atau kawalan ke atas dadah tersebut dan tertuduh mempunyai pengetahuan mengenainya. [28] Di dalam kes Chan Pean Leon v. PP [1956] 22 MLJ 237, adalah diputuskan bahawa jagaan dan kawalan merujuk kepada keadaan di mana seseorang itu mempunyai kuasa untuk berurusan dengan sesuatu benda itu sebagai kepunyaannya dengan mengecualikan semua orang lain. Manakala di dalam kes Parlan Dadeh v. PP [2009] 1 CLJ 717 menyatakan bahawa pengetahuan selalunya adalah suatu perkara inferens daripada hal keadaan kes itu. 11 | P a g e [29] Hujahan pihak pendakwaan bahawa kedua-dua OKT mempunyai milikan ke atas dadah-dadah tersebut berdasarkan fakta-fakta berikut: (a) OKT1 telah dilihat keluar dari unit 13-03A dan mengunci pintu jeriji sebelum ditahan. Semasa OKT1 ditahan, telah dijumpai bersamanya serangkai 14 anak kunci (Eksibit P86) di poket seluarnya. SP2 telah menggunakan kunci tersebut untuk membuka pintu jeriji dan pintu utama unit 13-03A. (b) Di dalam rumah tersebut terdapat bau kimia yang kuat dan ianya adalah terhasil dari bau pelbagai jenis dadah (Heroin, Methamphetamine, Monoacetylmorphines) yang dalam keadaan terdedah di ruang tamu dan bilik tidur. Lampu dan kipas dalam keadaan terpasang, menunjukkan rumah tersebut ada penghuni. (c) Rumah tersebut digunakan untuk memproses dadah memandangkan terdapatnya peralatan seperti besen, alat penimbang, bahan kimia, sealer dan peralatan memasak. (d) Walaupun OKT2 telah ditangkap di lokasi yang lain, tetapi berdasarkan Perjanjian Sewa Rumah (Ekshibit P29) yang ditandatangani oleh OKT2 membuktikan dia adalah penyewa sah unit 13-03A. (e) OKT1 memiliki kunci rumah, manakala OKT2 merupakan penyewa rumah, maka kedua-duanya mempunyai kawalan serta pengetahuan terhadap kewujudan dadah dalam rumah tersebut. [30] Pendakwaan merujuk prinsip di dalam kes PP v Foo Jua Eng [1965] CLJU 137, PP v Mohd Bandar Shah Nordin & Anor [2004] CLJU 574, dan PP v Mohd Farid Mohd Sukis & Anor [2002] 8 CLJ 814 yang telah memutuskan bahawa proximity, kelakuan semasa 12 | P a g e tangkapan, serta hak dan akses terhadap lokasi dadah dijumpai menyokong inferens pengetahuan. Kelakuan (Conduct) OKT1 yang cuba melarikan diri apabila disapa oleh pihak polis dan reaksi OKT2 yang ketakutan semasa ditahan adalah relevan di bawah seksyen 8 Akta Keterangan 1950 untuk menunjukkan consciousness of guilt. [31] Selanjutnya dihujahkan bahawa berdasarkan keterangan-keterangan yang dikemukakan iaitu OKT1 mempunyai kunci rumah 13-03A dan OKT2 merupakan penyewa rumah tersebut, serta pemakaian Seksyen 34 Kanun Keseksaan, bahawa kedua-dua OKT bertindak dengan niat bersama dan mempunyai milikan, kawalan atau jagaan serta pengetahuan terhadap dadah-dadah tersebut. [32] Manakala pihak pembelaan berhujah bahawa pihak pendakwaan telah gagal membuktikan kedua-dua OKT memiliki barang kes dadah berbahaya tersebut atas alasan-alasan yang berikut: - (a) OKT1 hanya dilihat keluar dari unit 13-03A dan dia tidak berada di dalam premis semasa serbuan dilakukan. Tiada bukti menunjukkan bahawa dadah-dadah tersebut berada dalam kawalan atau jagaan OKT1 atau OKT2. (b) Tiada keterangan langsung atau tidak langsung yang boleh menyokong bahawa kedua-dua OKT mempunyai pengetahuan tentang kewujudan dadah di unit tersebut. Kehadiran bau kimia dan kelengkapan pemprosesan dadah tidak boleh secara automatik membuktikan pengetahuan OKT-OKT, apatah lagi apabila mereka tidak ditemui di lokasi semasa serbuan. (c) Untuk membolehkan pihak pendakwaan bergantung kepada inferens, keterangan yang ada mestilah kuat hingga 13 | P a g e membentuk satu kesimpulan yang munasabah. Pihak pendakwaan telah gagal untuk mengenepikan kemungkinan bahawa orang lain juga mempunyai akses ke unit tersebut, memandangkan tiada bukti eksklusif tentang kawalan oleh kedua-dua OKT ke atas lokasi dadah ditemui. (d) Pihak pendakwaan gagal membuktikan niat bersama di bawah Seksyen 34 Kanun Keseksaan. Hubungan antara OKT1 dan OKT2 tidak dibuktikan secara jelas, tiada keterangan mengenai interaksi mereka dalam mengurus atau mengedar dadah. (e) Pegawai Penyiasat gagal mengesan penghuni sebenar unit tersebut dan gagal menyiasat kemungkinan pihak lain menggunakan premis itu. Tiada bukti forensik seperti cap jari atau DNA yang mengaitkan kedua-dua OKT dengan barang kes. (f) Bagi membolehkan pihak pendakwaan bergantung kepada dokumen dan tandatangan untuk mengaitkan OKT2 dengan rumah tersebut, pihak pendakwaan sewajarnya mengemukakan keterangan pakar tulisan tangan untuk mengesahkan tandatangan tersebut sebenarnya tandatangan OKT2. [33] Kesimpulannya pembelaan berhujah bahawa semata-mata OKT1 ditahan di hadapan rumah tersebut dan nama OKT2 di dalam Perjanjian Sewaan, fakta ini tidak cukup untuk membuktikan mereka memiliki dan mempunyai pengetahuan mengenai dadah-dadah tersebut. 14 | P a g e Dapatan Mahkamah mengenai milikan [34] Mahkamah mendapati adalah tidak dipertikaikan bahawa OKT1 telah ditangkap di hadapan rumah beralamat 13-03A, iaitu premis tempat serbuan dilakukan dan di dalam rumah tersebut semua barang salah telah ditemui. [35] Maka, isu utama yang perlu dipertimbangkan adalah sama ada kedua-dua OKT merupakan penghuni atau individu yang mempunyai akses, kawalan, dan milikan terhadap premis tersebut pada masa kejadian. [36] Setelah meneliti keseluruhan keterangan yang dikemukakan, Mahkamah ini mendapati tiada sebarang dokumen peribadi, pakaian, atau aksesori lain milik mana-mana OKT yang ditemui di dalam rumah tersebut. Tiada juga sebarang kad akses atau kad imbasan (scan card) dirampas daripada kedua-dua OKT yang menunjukkan hubungan fizikal mereka dengan premis berkenaan. [37] Walaupun terdapat satu Perjanjian Sewaan bertarikh 1.7.2020 hingga 1.7.2021 (ekshibit P29) yang menunjukkan nama OKT2 sebagai penyewa rumah tersebut, Mahkamah ini berpandangan bahawa fakta tersebut, secara sendiri, tidak memadai untuk membuktikan bahawa OKT2 adalah penghuni premis tersebut pada masa kejadian. [38] Pemilik rumah (SP4) sendiri tidak mengenali dan tidak dapat mengecam OKT2, dan tidak ada keterangan mengenai siapa yang membayar deposit atau sewa bulanan untuk rumah tersebut. [39] Tambahan pula OKT2 tidak berada di rumah tersebut semasa serbuan dilakukan dan hanya ditangkap kemudian di lokasi yang lain berjauhan daripada tempat kejadian. Semasa tangkapan, dia 15 | P a g e juga tidak memiliki kunci rumah tersebut untuk membolehkannya akses kepada rumah tersebut. [40] OKT2 tidak dibawa oleh pihak polis untuk menyaksikan pembongkaran barang kes di rumah tersebut dan tidak menandatangani sebarang borang berkaitan penemuan barang salah. Ujian saringan air kencing ke atas OKT2 juga menunjukkan keputusan negatif terhadap pengambilan dadah. [41] Keterangan SP6 turut mengesahkan bahawa ketika ditangkap, OKT2 tidak melakukan sebarang kesalahan dan alamat kediamannya adalah di Blok E2-11-12, Jalan Perai Jaya 6, bukannya di tempat kejadian. [42] SP2, SP6 dan SP7 dalam keterangan mereka mengesahkan bahawa OKT2 tidak mempunyai sebarang kawalan, milikan, atau keupayaan untuk menyusun atau mengurus barang kes yang ditemui di rumah tersebut. [43] Tiada keterangan yang menunjukkan bahawa kedua-dua OKT membawa masuk ke dalam unit 13-3A kesemua dadah yang dirampas dan lain-lain barang kes yang turut dirampas. [44] Mahkamah ini berpendapat bahawa semata-mata keterangan bahawa OKT1 mempunyai kunci rumah dan semata-mata nama OKT2 di dalam perjanjian sewaan, tidak boleh dibuat suatu kesimpulan yang munasabah bahawa kedua-dua OKT mempunyai kawalan ekslusif keatas rumah tersebut dan mempunyai jagaan atau kawalan ke atas dadah-dadah yang dijumpai di dalam rumah tersebut. [45] Mahkamah ini tidak menerima hujahan pendakwaan bahawa berdasarkan wujudnya nama OKT2 di dalam Perjanjian Sewa, maka inferens munasabah boleh dibuat bahawa dia mempunyai pengetahuan atau kawalan terhadap barang salah yang ditemui. 16 | P a g e [46] Mahkamah ini menerima pakai keputusan yang dinyatakan di dalam kes-kes yang dirujuk oleh pihak pembelaan, iaitu kes Muhd. Yusuf Bukhari v. PP [2012] 7CLJ 580, yang menyatakan – “hanya merupakan seorang penyewa premis atau bilik tidak secara terus membuktikan penyewa mempunyai milikan dadah yang di temui di dalamnya - Tambahan pula, dadah tersebut dijumpai di tempat yang terbuka dan jelas kelihatan kepada sesiapa yang berada di dalam bilik tersebut. Dengan hanya sebagai penyewa bilik tersebut dan terjumpanya barang-barang lain milik perayu di dalam bilik tersebut tidak memadai bagi membuktikan bahawa hanya perayu sahaja yang berhak dan mempunyai kawalan mutlak ke atas bilik dan barang-barang yang dijumpai di dalamnya. Keterangan ini tidak cukup untuk menyabitkan perayu atas dasar perayu mempunyai jagaan dan kawalan eksklusif ke atas bilik berkenaan” [47] Manakala di dalam kes Roslan Abdullah v. PP [2010] 1CLJ 685 iaitu, menyatakan – “The appellant was arrested probably miles from the said house, while the proscribed drugs were found inside a bag (P12) in a bedroom of the said house. Indisputably, the appellant was not in actual physical custody or control of the prescribed drugs. In those circumstances, so as to prove possession of the proscribed drugs, the prosecution had to prove that the appellant had exclusive possession of the bedroom to begin with. But exclusive possession of that bedroom was not proved, for that bedroom was the bedroom of SP4 and appellant. Worse still, the evidence was that the bedroom had no door and was accessible to neighbours and friends” [48] Mahkamah ini mendapati bahawa tiada keterangan yang menunjukkan bahawa OKT1 merupakan penghuni unit 13-03A. Keterangan yang dikemukakan tidak membuktikan dan tidak dapat 17 | P a g e mengesahkan bahawa OKT1 tinggal, menetap atau mempunyai sebarang urusan berkaitan dengan premis tersebut. [49] Serbuan tersebut telah dijalankan berdasarkan maklumat yang diterima mengenai seorang lelaki bernama “Siva” yang dikatakan terlibat dalam aktiviti dadah dan memiliki senjata api di alamat berkenaan. Namun, tiada keterangan yang mengaitkan nama “Siva” itu dengan mana-mana OKT, sama ada OKT1 mahupun OKT2. SP2 sendiri tidak mengesahkan bahawa “Siva” merujuk kepada OKT1. SP7 juga gagal untuk mengenalpasti atau mengesahkan identiti sebenar “Siva”. [50] Semasa serbuan dilakukan, SP2 mengesahkan bahawa beliau tidak mengetahui sama ada OKT1 tinggal dan menetap di rumah tersebut. Malah, beliau menyatakan bahawa rumah tersebut dalam keadaan tidak berpenghuni pada masa kejadian. Hal ini disokong oleh ketiadaan dokumen, pakaian atau barangan peribadi yang boleh mengaitkan OKT1 sebagai penghuni rumah tersebut. [51] Mahkamah ini juga mengambil perhatian terhadap kelemahan siasatan yang dijalankan oleh SP7. Siasatan menyeluruh tidak dijalankan untuk mengenalpasti penghuni sebenar rumah tersebut. Kegagalan dalam siasatan telah meninggalkan kelompangan dalam kes pendakwaan. [52] Sebagaimana yang dihujahkan oleh pihak Pembelaan bahawa antara kegagalan siasatan yang dikenal pasti termasuklah: (a) Ketiadaan maklumat atau siasatan mengenai pihak yang membuat bayaran deposit dan sewa bulanan rumah; (b) Tiada siasatan terhadap rekod akaun utiliti seperti TNB dan PBA untuk menentukan atas nama siapa akaun tersebut didaftarkan dan dibayar; 18 | P a g e (c) Kegagalan mendapatkan rakaman CCTV di kawasan apartment, khususnya lokasi serbuan untuk mengenal pasti keluar masuk OKT ke premis tersebut; (d) Tiada siasatan berkaitan penggunaan kad akses lif yang mana jika siasatan dilakukan ianya berpotensi mengesahkan akses kedua-dua OKT ke tingkat rumah berkenaan; (e) Tiada siasatan lanjut dengan pejabat pengurusan apartmen mengenai pendaftaran kad akses dan maklumat berkaitan lot letak kereta serta pemilik kenderaan; (f) Walaupun identiti pengawal keselamatan yang membantu pasukan serbuan dikenal pasti, namun mereka tidak dipanggil sebagai saksi dan tidak ditawarkan kepada pihak Pembelaan. (g) Keterangan daripada pengawal keselamatan adalah penting dan boleh mengesahkan siapakah individu yang kerap atau kali terakhir memasuki rumah tersebut sebelum serbuan. [53] Semasa disoal balas SP7 bersetuju bahawa beliau gagal menjalankan siasatan menyeluruh berkenaan penghuni rumah tersebut. SP7 turut bersetuju bahawa tiada sebarang bukti yang dapat kaitkan OKT1 dengan rumah tersebut selain daripada fakta bahawa OKT1 berada di hadapan rumah semasa ditahan. [54] Bagi OKT2 pula, dia telah ditahan semata-mata atas alasan namanya terdapat dalam perjanjian sewaan (ekshibit P29) tersebut. OKT2 telah ditahan di lokasi yang jauh dari rumah tersebut. [55] Memandangkan tiadanya keterangan yang positif dan siasatan yang tidak menyeluruh berkenaan status kepenghunian dan akses ke premis tersebut, Mahkamah ini tidak dapat membuat penemuan yang kukuh bahawa kedua-dua OKT merupakan penghuni rumah, 19 | P a g e mempunyai kawalan, atau milikan ke atas premis dan dadah-dadah yang dijumpai di dalamnya. [56] Mahkamah ini juga mengambil perhatian identiti dan status rampasan 14 batang anak kunci yang dikatakan diperolehi daripada OKT1. SP2 menyatakan bahawa beliau hanya membuat dua tandaan pada dua (2) batang kunci, manakala SP7 pula membuat tandaan “NH3” ke atas kesemua kunci. Namun, tiada penjelasan dikemukakan oleh pendakwaan berhubung tandaan-tandaan lain yang wujud pada baki 12 batang kunci. [57] SP4 (Pemilik Rumah) dan SP5 (Ejen Rumah) secara konsisten memberi keterangan bahawa kunci rumah telah diserahkan dalam satu keychain yang berasingan. SP5 tidak dapat mengenal pasti kunci rumah tempat dadah-dadah dijumpai apabila kunci-kunci tersebut dirujuk kepadanya untuk pengecaman. [58] Mahkamah ini berpendapat bahawa kegagalan pihak pendakwaan untuk menjelaskan mengenai tandaan-tandaan yang terdapat pada 12 batang anak kunci, telah menyokong versi pembelaan bahawa hanya kunci bagi rumah bernombor 11-03A yang berada pada OKT1 ketika tangkapan, dan bukan kunci bagi rumah tempat serbuan 13-03A. [59] Meneliti keterangan SP2 bahawa dadah-dadah dan peralatan memproses dadah, sepucuk pistol dan peluru telah dijumpai dalam keadaan tersusun di pelbagai ruang dalam rumah. SP2 juga mengakui bahawa penyusunan begitu akan mengambil masa yang lama dan memerlukan lebih daripada seorang individu. [60] Mahkamah mendapati tiada saksi yang melihat mana-mana OKT memasuki rumah atau menyusun barang-barang tersebut. Saksi-saksi pendakwaan mengakui mereka tidak tahu siapa yang 20 | P a g e membawa masuk barang-barang tersebut ke dalam rumah berkenaan. [61] Mahkamah ini turut menilai keterangan saintifik dan forensik yang telah dikemukakan oleh pihak pendakwaan. Berdasarkan keterangan SP7 dan laporan-laporan forensik, Mahkamah mendapati bahawa: (a) Tiada kesan bahan kimia atau dadah pada tangan atau pakaian OKT1, walaupun SP2 menyatakan rumah tersebut berbau kimia kuat dan peralatan memproses dadah dijumpai di dalamnya; (b) Tiada kesan DNA atau cap jari mana-mana OKT ditemui pada barang kes yang dijumpai dan dirampas; (c) Tiada kesan DNA mana-mana OKT dijumpai pada barangan peribadi seperti tuala, berus gigi dan chopstick yang dijumpai di rumah tersebut; (d) Tiada keterangan saintifik yang menunjukkan OKT1 pernah berada dalam rumah tersebut selama lebih 30 minit seperti yang dihujahkan oleh pihak pendakwaan berdasarkan pemantauan SP2. [62] Kesemua keterangan saintifik ini, bukan sahaja gagal menyokong versi pendakwaan, malah memperkukuhkan versi pembelaan bahawa kedua-dua OKT tidak pernah masuk ke rumah tersebut, mereka tiada akses, kawalan atau milikan terhadap dadah-dadah yang dijumpai. [63] Mahkamah percaya bahawa dapatan ini adalah selaras dengan prinsip yang dinyatakan dalam kes PP v Hanif Basree Abdul Rahman [2004] 3 CLJ 700, bahawa keterangan saintifik, sekiranya tidak menyokong versi pendakwaan, boleh menimbulkan keraguan 21 | P a g e munasabah yang mencukupi untuk menolak pembuktian prima facie. [64] Mahkamah juga mendapati berdasarkan keterangan menunjukkan bahawa barang-barang kes telah digunakan dalam satu sidang media sebelum dihantar ke Jabatan Kimia, namun tiada keterangan lengkap siapa yang membawa, mengendalikan dan menyimpannya selepas itu. Ketiadaan rekod keluar-masuk, borang pengeluaran, atau penyimpanan rasmi untuk sidang media menjejaskan integriti rantaian barang kes. [65] Dalam kes ini, Mahkamah berpuas hati bahawa kelemahan dalam rantaian barang kes, keraguan terhadap identiti anak kunci, serta keterangan saintifik yang menyebelahi pembelaan telah menimbulkan keraguan yang nyata dan substantial terhadap kes pendakwaan. Tambahan pula, beberapa aspek siasatan yang penting tidak dilaksanakan atau tidak dibuktikan dengan memuaskan seperti mana yang dibincangkan di atas. [66] Berdasarkan keseluruhan analisis terhadap keterangan dan undang-undang yang berkaitan, Mahkamah mendapati bahawa elemen kedua gagal dibuktikan oleh pihak pendakwaan terhadap kedua-dua OKT. Inferens yang cuba ditimbulkan tidak bersifat satu-satunya dan tidak bebas daripada keraguan munasabah. [67] Keterangan saksi-saksi pendakwaan tidak dapat membuktikan bahawa kedua-dua OKT merupakan penghuni rumah atau menggunakan premis tersebut, melainkan inferens semata-mata berdasarkan kewujudan kunci rumah yang dirampas daripada OKT1 dan nama OKT2 dalam perjanjian sewa tersebut. Mahkamah berpendapat bahawa inferens tidak boleh berdiri sendiri tanpa asas fakta yang kukuh. 22 | P a g e [68] Tiada keterangan menunjukkan hanya OKT-OKT sahaja yang mempunyai kuasa untuk berurusan dengan dadah tersebut sebagai kepunyaannya dengan mengecualikan semua orang lain. Keterangan terhadap OKT-OKT hanya menunjukkan syak wasangka besar (grave suspicion) dan tidak mencukupi untuk membuktikan OKT-OKT mempunyai jagaan atau kawalan ke atas dadah-dadah tersebut. [69] Syak wasangka walaupun kuat tidak boleh menggantikan pembuktian prima facie (lihat PP v. Mohamed Kassim Yatim [1976] CLJU 105; [1976] 1 LNS 105; [1977] 1 MLJ 64). Berdasarkan penilaian maksimum terhadap keterangan saksi-saksi pendakwaan, Mahkamah berpuas hati bahawa OKT-OKT tidak mempunyai jagaan atau kawalan terhadap dadah tersebut. [70] Oleh itu, pihak pendakwaan telah gagal membuktikan elemen milikan dan pengetahuan yang menjadi asas pertuduhan, serta gagal mewujudkan satu kes prima facie terhadap kedua-dua OKT. Ringkasnya, syak wasangka bukanlah bukti. Tanpa jagaan, tanpa kawalan, dan tanpa pengetahuan yang dibuktikan, pertuduhan ini tidak dapat dipertahankan. Elemen ketiga: Pengedaran [71] Bagi membuktikan pertuduhan di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, selain membuktikan bahawa bahan yang dirampas adalah dadah berbahaya dan berada dalam milikan OKT-OKT, pihak Pendakwaan juga perlu membuktikan bahawa OKT-OKT telah mengedar dadah berkenaan. 23 | P a g e [72] Menurut Seksyen 2 ADB, “pengedaran” (trafficking) termasuklah membekal, menjual, menghantar, membawa, mengedarkan dan seumpamanya. [73] Pihak pendakwaan berhujah bahawa anggapan statutori di bawah Seksyen 37(da) ADB adalah terpakai kerana pemilikan dan pengetahuan telah dibuktikan melalui keterangan langsung. [74] Namun, untuk mengaktifkan anggapan di bawah Seksyen 37(da) ADB, pihak pendakwaan terlebih dahulu mesti membuktikan milikan sebenar (actual possession) terhadap dadah tersebut. [75] Mahkamah telah membuat dapatan bahawa pihak pendakwaan gagal membuktikan bahawa kedua-dua OKT mempunyai milikan, kawalan atau pengetahuan terhadap dadah yang dirampas. Oleh itu, elemen asas untuk mengaktifkan anggapan pengedaran tidak wujud. [76] Sebagaimana ditegaskan oleh Mahkamah Rayuan dalam kes Goh Ming Han v PP [2015] 3 CLJ 17 dan disokong oleh Mahkamah Persekutuan dalam Helmi Hafifi Abd Halim v PP [2019] 10 CLJ 534, anggapan pengedaran tidak boleh diaktifkan melainkan dan sehingga Mahkamah terlebih dahulu membuat dapatan positif dan jelas terhadap pemilikan (custody and control). [77] Kegagalan membuktikan milikan telah menggugurkan asas kepada penggunaan Seksyen 37(da) ADB, dan dengan itu, anggapan pengedaran tidak dapat diguna pakai terhadap mana-mana OKT. [78] Mahkamah mengambil perhatian bahawa tiada bukti langsung atau tidak langsung yang menunjukkan wujudnya sebarang perbuatan pengedaran oleh kedua-dua OKT, seperti aktiviti menjual, membekal atau menghantar dadah. Tiada wang tunai dalam jumlah yang mencurigakan, tiada peralatan pembungkusan 24 | P a g e dadah yang dikaitkan secara langsung dengan kedua-dua OKT, dan tiada komunikasi atau dokumen yang menunjukkan aktiviti pengedaran. Niat Bersama di bawah seksyen 34 Kanun Keseksaan [79] Selanjutnya adalah menjadi beban kepada pihak pendakwaan untuk membuktikan bahawa kedua-dua OKT telah berkomunikasi serta mempunyai suatu perancangan bersama untuk melakukan kesalahan pengedaran dadah seperti yang dinyatakan dalam pertuduhan. [80] Namun begitu, tiada sebarang bukti yang menunjukkan wujudnya sebarang bentuk hubungan antara OKT1 dan OKT2, sama ada melalui komunikasi telefon mahupun bentuk perancangan lain antara mereka berdua. Tiada sebarang keterangan yang menunjukkan bahawa kedua-dua OKT telah bertindak secara bersama in concert. [81] Berdasarkan keseluruhan keterangan yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan, Mahkamah mendapati bahawa kes pendakwaan tidak berjaya dibuktikan berdasarkan keterangan yang credible. Wujud keraguan berhubung dengan mens rea possession dan Mahkamah berpuas hati pihak pendakwaan gagal membuktikan elemen milikan ini secara prima facie terhadap kedua-dua OKT. [82] Kegagalan membuktikan akses fizikal, kawalan efektif dan pengetahuan terhadap bahan tersebut, ditambah pula dengan ketiadaan bukti forensik dan saintifik yang mengaitkan kedua-dua OKT secara langsung dengan barang kes, telah menimbulkan keraguan yang nyata dan munasabah. 25 | P a g e [83] Sehubungan itu Mahkamah tidak boleh mempertimbangkan pemakaian anggapan statutori berkenaan pengedaran, yang hanya boleh diguna pakai jika elemen pemilikan dapat dibuktikan terlebih dahulu. (C) KEPUTUSAN [84] Setelah membuat penilaian maksimum terhadap keseluruhan keterangan pihak pendakwaan, Mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal mewujudkan satu kes prima facie terhadap kedua-dua OKT bagi ketiga-tiga pertuduhan. [85] Berdasarkan keterangan yang ada di hadapan Mahkamah ini, adalah tidak selamat untuk memanggil kedua-dua OKT membela diri, malah Mahkamah tidak akan mensabitkan OKT-OKT sekiranya pembelaan dipanggil dan mereka memilih untuk berdiam diri. [86] Akhirnya Mahkamah ini memutuskan bahawa pihak pendakwaan telah gagal membuktikan satu kes prima facie terhadap kedua-dua OKT menurut Seksyen 180(4) KTJ, maka OKT1, Sivasangkaran a/l Moganil dan OKT2, Partiben a/l Manogaran, dilepaskan dan dibebaskan tanpa dipanggil untuk membela diri. Bertarikh: 14 Ogos 2025 ……………………………… (FATHIYAH BINTI IDRIS) Hakim Mahkamah Tinggi Butterworth Pulau Pinang 26 | P a g e PIHAK-PIHAK: Bagi pihak Pendakwaan: Che Rohana binti Ismail Timbalan Pendakwa Raya Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri Pulau Pinang Bagi pihak OK-OKT: Hussaini bin Abdul Rashid Hussaini & Co Peguam Bela dan Peguam Cara Pulau Pinang
Wrong text, a broken link, out-of-date content, or a removal request — tell us and we'll check it against the official source.