Content
1 DALAM MAHKAMAH TINGGI JENAYAH DI SHAH ALAM DALAM NEGERI SELANGOR DARUL EHSAN NO KES: BA-45A-38-07/2020 ANTARA PENDAKWA RAYA LAWAN HU TENG TAI (No. K/P: 780905-13-5613) ALASAN PENGHAKIMAN Pengenalan
BA-45A-38-07/2020
High Court of Malaysia24 Jun 2025
The written judgment as the court issued it, with the coram, case number, and source links. Every paragraph has its own anchor.
Citations and treatment detected automatically from later judgments and the authorities this decision relies on.
Later cases and laws citing this decision
Not yet cited by a later decision.
Earlier cases and laws this decision relies on
“working in a company dealing with courier services. Surely he ought to have been aroused and suspicious about the very true purpose of the transaction”. • Nguyen Thanh Ngoc Tuyet v Public Prosecutor [2015] MLJU 2022 (Mahkamah Rayuan) di mana tertuduh adalah “highly educated” dan adalah tidak munasabah sebagai reasonabl”
“ti dibuat berdasarkan latar belakang sebenar tertuduh (termasuk tahap pendidikan dan pemahamannya). Senario kes ini boleh dibezakan dengan kes-kes lain seperti: • Xiao Qing (W/China) v Pendakwa Raya [2019] MLJU 1681 (Mahkamah Rayuan) di mana tertuduh tersebut adalah berkelulusan Economics dari University of Xihua. • Pu”
Auto-detected from judgment text; not a substitute for a citator check.
Content
1 DALAM MAHKAMAH TINGGI JENAYAH DI SHAH ALAM DALAM NEGERI SELANGOR DARUL EHSAN NO KES: BA-45A-38-07/2020 ANTARA PENDAKWA RAYA LAWAN HU TENG TAI (No. K/P: 780905-13-5613) ALASAN PENGHAKIMAN Pengenalan
1
Dalam kes ini, tertuduh telah dituduh di bawah seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 (ADB 1952) kerana mengedar 1,510.4-gram methamphetamine.
2
Pertuduhan terhadap tertuduh adalah seperti berikut: “BAHAWA KAMU PADA 12 NOVEMBER 2019, JAM LEBIH KURANG 7.30 PAGI, BERTEMPAT DI BALAI PERLEPASAN ANTARABANGSA, SEKTOR 7, MESIN X-RAY NO.6, LAPANGAN TERBANG ANTARABANGSA KLIA 2, DI DALAM DAERAH SEPANG, DI DALAM NEGERI SELANGOR DARUL EHSAN TELAH DIDAPATI MEMPEREDARKAN DADAH BERBAHAYA JENIS METHAMPHETAMINE SEBERAT 1,510.4 GRAM DAN DENGAN ITU KAMU TELAH MELAKUKAN SATU KESALAHAN DI BAWAH SEKSYEN 39B(1)(a) AKTA DADAH BERBAHAYA 1952 DAN BOLEH DIHUKUM DI BAWAH SEKSYEN 39B(2) AKTA YANG SAMA.”
3
Tertuduh mengaku tidak bersalah bagi pertuduhan tersebut dan telah dibicarakan.
4
Sepanjang perbicaraan kes pendakwaan, pihak pendakwaan telah memanggil 9 orang saksi pendakwaan iaitu; • SP1: Sarjan Mohd Sazman bin Abdullah (Jurustor) • SP2: D/Kpl Noorlaila binti Abu Hassan (Jurugambar) • SP3: Kons PB Mohd Adif Fazimie bin Ibrahim (Pegawai tangkapan) • SP4: Dr Saravana Kumar a/l Jayaram (Ahli kimia) • SP5: Sjn Roslee bin Hasaim (Pegawai tangkapan) • SP6: Encik Aizuddin bin Ramli (Pengendali CCTV KLIA) • SP7: Insp Ismail bin Derani (Pegawai cap jari) • SP8: Lim Boon How • SP9: Insp Noraini binti Sulaiman (Pegawai Penyiasat)
5
Di akhir kes pendakwaan, Mahkamah ini berpuas hati bahawa pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan setiap satu elemen kesalahan bagi pertuduhan tersebut. Tertuduh kemudiannya telah dipanggil untuk membela diri.
6
Tertuduh kemudiannya telah diarahkan untuk membela diri dan tertuduh telah memilih untuk memberi keterangan bersumpah di kandang saksi selepas tiga pilihan membela diri diterangkan kepadanya. Tiada saksi-saksi pembelaan dipanggil di peringkat ini.
7
Di akhir kes pembelaan, Mahkamah mendapati bahawa tertuduh telah berjaya menimbulkan keraguan yang munasabah dalam kes ini. Mahkamah juga memutuskan bahawa pihak pendakwaan juga telah gagal membuktikan elemen pengetahuan pada tahap beyond reasonable doubt.
8
Sehubungan itu, Mahkamah dengan ini memutuskan bahawa tertuduh dilepaskan dan dibebaskan daripada pertuduhan yang dikenakan terhadapnya. Fakta kes
9
Pada awal pagi 12.11.2019, tertuduh bersama SP8 dengan menaiki kereta grab, telah bergerak ke Lapangan Terbang Antarabangsa KLIA2 daripada 7 Star Hotel. Setibanya di KLIA2, mereka telah mendapatkan boarding pass masing-masing dan menghala ke Balai Pelepasan Antarabangsa.
10
10.
Preamble
Menurut pengadu Konst. Mohd Adif Fazimie (SP3), pada jam lebih kurang 7.30 pagi, semasa SP3 sedang bertugas di Balai Perlepasan Antarabangsa, Sektor 7, Mesin X-Ray No.6, Lapangan Terbang Antarabangsa KLIA2, Sepang, Selangor, bersama Sjn/ PB35825 Zulpakar bin Md Ali dan Insp/PB Muhammad Asyraf bin Abdul Rahim, SP3 telah membuat pemeriksaan tubuh badan keatas tertuduh yang merupakan seorang penumpang bagi penerbangan QZ321 dari Kuala Lumpur ke Surabaya.
11
Hasil pemeriksaan badan tertuduh telah dikesan sesuatu yang tersembunyi di bahagian tepi pinggang kiri kanan dan di bahagian peha kiri kanan tertuduh. SP3 telah mengarahkan tertuduh untuk ke bilik pemeriksaan di mana turut diikuti oleh Sjn Zulpakar dan Insp Muhammad Asyraf.
12
Di bilik pemeriksaan tersebut, SP3 mengarahkan tertuduh untuk menanggalkan seluarnya dan didapati terdapat beberapa paket plastik lutsinar berisi bahan disyaki dadah yang telah dilekatkan di bahagian pinggang dan peha tertuduh pada kedua-dua belah kiri dan kanan kaki tertuduh.
13
SP3 kemudiannya telah mengarahkan tertuduh untuk memakai seluar semula dan seterusnya menunggu kehadiran anggota narkotik, SP3, Sarjan Zulpakar bersama tertuduh dan anggota narkotik pergi ke Pejabat Narkotik IPD KLIA untuk pemeriksaan yang lebih menyeluruh.
14
Apabila tiba di Pejabat Narkotik, Aras 2, Lapangan Terbang KLIA2, SP3 telah melakukan pemeriksaan yang teliti keatas tertuduh dan pihak berkuasa menjumpai: - a) Di dalam seluar dalam sebelah pinggang kanan: 1 paket plastik lutsinar dan salotape yang berisi ketulan kristal disyaki dadah; b) Di dalam seluar dalam sebelah pinggang kiri: 1 paket plastik lutsinar dan salotape yang berisi ketulan kristal disyaki dadah; c) Di bahagian peha kanan: 1 balutan plastik lutsinar dan salotape di dalamnya terdapat 3 paket plastik lutsinar dan salotape setiap satu paket berisi ketulan kristal disyaki dadah; dan d) Di bahagian peha kiri: 1 balutan plastik lutsinar dan salotape didalamnya terdapat 3 paket plastik lutsinar dan salotape setiap satu paket berisi ketulan kristal disyaki dadah.
15
SP2 telah merakamkan gambar-gambar yang menunjukkan paket-paket dadah yang dilekatkan pada badan tertuduh sebagaimana gambar P32(1-6). SP3 juga telah membuat penandaan ke atas paket-paket plastik lutsinar berisi dadah yang dirampas daripada badan tertuduh.
16
Selain itu turut dirampas barang peribadi tertuduh seperti berikut: - a) paspot atas nama tertuduh; b) 1 boarding pass atas nama tertuduh; c) 1 telefon bimbit jenama ASUS dan 2 kad sim; d) 1 beg silang warna coklat bertulis JRSTAR mengandungi barangan peribadi tertuduh; e) Pakaian yang sedang dipakai oleh tertuduh semasa tangkapan; dan f) 1 beg hitam putih yang mengandungi pakaian tertuduh.
17
Kesemua barang kes tersebut dan tertuduh kemudiannya diserahkan kepada Pegawai Penyiasat (SP9) iaitu lnsp Noraini binti Sulaiman.
18
Barang kes disyaki dadah telah dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisa dan hasil analisa oleh SP4/ Ahli Kimia mendapati bahan kristal jernih merupakan dadah berbahaya jenis methamphetamine sebanyak 1510.4 gram. Penilaian dan dapatan Mahkamah di akhir kes pendakwaan
19
Dalam konteks pengedaran dadah, adalah wajar diingatkan bahawa pihak pendakwaan, hendaklah membuktikan di akhir kes pendakwaan bahawa;
a
Barang kes yang dirampas adalah dadah yang termasuk dalam Akta Dadah Berbahaya;
b
Tertuduh mempunyai jagaan, kawalan dan milikan terhadap dadah tersebut;
c
Tertuduh mempunyai pengetahuan berkenaan dadah tersebut; dan
d
Tertuduh mengedar dadah tersebut.
20
Di akhir kes pendakwaan, Mahkamah ini berpuas hati bahawa pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan setiap satu elemen kesalahan bagi pertuduhan tersebut sepertimana berikut; a. Pertama, berkenaan identiti dadah, berdasarkan keterangan SP4 (Ahli Kimia), beliau mengesahkan bahawa selepas analisa, bahan yang dirampas adalah dadah jenis methamphetamine yang mempunyai berat bersih sebanyak 1,510.4 gram sebagaimana laporan kimia yang dikeluarkan oleh beliau. (Ekhibit P56) b. Kedua, berkenaan isu jagaan, kawalan dan milikan terhadap dadah tersebut. Dadah tersebut dijumpai dilekatkan pada badan tertuduh menggunakan pita dan ini bukan sekadar milikan biasa, tetapi ia merupakan satu bentuk pemilikan terus dan nyata. Keterangan SP3 yang menyaksikan keadaan fizikal dadah tersebut ketika rampasan adalah jelas, tidak bercanggah dan memadai untuk menunjukkan jagaan, kawalan dan milikan oleh tertuduh. Hujahan berhubung ketiadaan cap jari atau bukti DNA tidak mencukupi untuk menjejaskan elemen ini. c. Ketiga, pengetahuan. Penemuan dadah dalam keadaan tersembunyi di badan tertuduh, disokong dengan keterangan bersadarkan keadaan (circumstantial evidence), memperkukuh andaian bahawa beliau memang tahu apa yang dibawanya. d. Keempat, pengedaran. Berat dadah yang melebihi had ambang serta kaedah penyimpanan yang mencurigakan memberikan asas munasabah untuk menyimpulkan bahawa ia bukan untuk kegunaan peribadi, tetapi adalah bertujuan untuk pengedaran.
21
Tambahan pula, segala isu teknikal yang ditimbulkan (sama ada berkaitan rantaian jagaan, percanggahan kecil dalam keterangan saksi, atau prosedur siasatan) tidak berjaya menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kredibiliti kes Pendakwaan secara keseluruhan.
22
Oleh yang demikian, Mahkamah setelah mempertimbangkan secara maksimum keseluruhan keterangan saksi-saksi pendakwaan dan eksibit-eksibit yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan dan juga setelah meneliti dan menghalusi sedalam-dalamnya semua keterangan dan hujahan-hujahan pihak-pihak, Mahkamah ini berpuas hati bahawa pihak pendakwaan telah berjaya mengemukakan keterangan-keterangan yang berwibawa (credible evidence) bagi membuktikan setiap satu elemen kesalahan di bawah seksyen 39B ADB. Mahkamah ini juga menggunapakai anggapan di bawah seksyen 37(d) ADB di akhir kes pendakwaan. Oleh yang demikian, Mahkamah mendapati bahawa pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan satu kes prima facie ke atas tertuduh.
23
Tertuduh kemudiannya telah diarahkan untuk membela diri dan tertuduh telah memilih untuk memberi keterangan bersumpah di kandang saksi selepas tiga pilihan membela diri diterangkan kepadanya. Hujahan pihak tertuduh di akhir kes pembelaan Versi Cerita tertuduh
24
Pihak pembelaan berhujah bahawa tertuduh tidak mengetahui langsung bahawa barang yang ditemui pada tubuhnya adalah dadah. Menurut keterangan tertuduh sendiri, beliau: a. hanyalah seorang tukang masak dari Bintulu yang berpendidikan sekolah rendah datang ke Kuala Lumpur atas jemputan seseorang bernama Ker Sing, atau lebih dikenali sebagai Tomboi, untuk mencari kerja. b. Segala perjalanan, termasuk tiket penerbangan dan wang tunai, telah diatur oleh individu tersebut. c. Setibanya di Kuala Lumpur, tertuduh menurut sahaja arahan yang diberikan kepadanya, termasuk menerima kehadiran dua orang lelaki di bilik hotelnya pada awal pagi, di mana seorang daripada mereka, dikenali sebagai Lim Boon How (SP8), telah mengikat bungkusan pada pinggang dan peha tertuduh. d. Apabila ditanya mengenai isi kandungan bungkusan tersebut, tertuduh diberitahu bahawa ia hanyalah “ubat pelali” yang perlu disorok bagi tujuan mengelak daripada dikenakan cukai.
25
Tertuduh menyatakan bahawa dia hanya mengikut arahan SP8 sahaja dan tidak pernah mengesyaki bahawa dia sedang digunakan untuk membawa dadah. Di KLIA2, tertuduh hanya mengekori SP8 dari belakang dan segala pergerakannya dipandu oleh SP8. Ketika ditahan oleh pihak berkuasa, tertuduh dengan serta-merta memberikan maklumat kepada polis mengenai SP8, termasuk butiran awal yang membantu dalam penahanan individu tersebut.
26
26.
Preamble
Menurut tertuduh, ini menunjukkan bahawa dia tidak cuba melarikan diri atau menyembunyikan penglibatan sesiapa. Tambahan pula, pihak polis telah merampas telefon bimbit tertuduh, namun tiada pemeriksaan forensik dibuat ke atas perbualan-perbualan yang ada yang menurut tertuduh, mengandungi komunikasi antara dia dan Tomboi yang boleh menyokong keterangannya.
27
Secara keseluruhan, hujahan pembelaan adalah bahawa tertuduh bertindak dalam kejahilan dan kekurangan daya faham, tanpa kawalan atau niat jenayah. Dia hanyalah seorang lelaki yang mudah dipengaruhi dan telah digunakan oleh orang lain untuk tujuan yang tidak diketahuinya. Hujahan undang-undang oleh tertuduh
28
Pihak pembelaan mengemukakan 6 hujahan.
29
Pertamanya, berkenaan Elemen (b): jagaan dan kawalan dadah, meskipun barang tersebut berada pada tubuh tertuduh, ia telah diikatkan oleh individu lain iaitu Ker Sing / Tomboi dan Lim Boon How (SP8). Tertuduh tidak pernah mengendalikan barang tersebut sendiri dan tidak mempunyai kebebasan untuk berbuat apa-apa dengannya. Tiada bukti kukuh yang menunjukkan bahawa tertuduh mempunyai kawalan fizikal atau mental terhadap barang itu, apatah lagi niat untuk memilikinya seperti yang disyaratkan oleh undang-undang.
30
Kedua, dari segi pengetahuan, elemen (c), tertuduh langsung tidak dimaklumkan bahawa barang yang dibawanya adalah dadah. Dia diberitahu oleh Tomboi dan SP8 bahawa ia hanyalah ubat pelali yang perlu disorok bagi mengelakkan cukai. Tertuduh mempercayai maklumat tersebut dan tiada sebab untuk meragui kata-kata mereka.
31
Tambahan pula, apabila ditahan oleh pihak polis, tertuduh tidak cuba menafikan atau menyembunyikan apa-apa, malah memberi kerjasama penuh sehingga membawa kepada penahanan SP8. Ini menunjukkan ketiadaan niat jenayah atau cubaan untuk menutup fakta sebenar.
32
Ketiga, pihak pembelaan juga menegaskan bahawa keterangan tertuduh bukanlah satu penafian kosong atau rekaan selepas tertuduh ditangkap. Dari awal hingga akhir, tertuduh memberikan versi yang sama dan konsisten tanpa cuba mengubah cerita atau menyesuaikan diri dengan fakta yang timbul di Mahkamah. Keterangan yang diberikannya seiring dengan keadaan sekeliling dan logik dan ini seharusnya menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan. Pembelaan bukan sekadar satu alasan remeh tetapi satu versi yang nyata dan menyeluruh yang tidak boleh ditolak begitu sahaja.
33
Keempat, pihak pembelaan berkata bahawa keterangan yang diberikan oleh tertuduh adalah satu versi yang konsisten sejak awal yang turut disokong oleh keterangan saksi pendakwaan sendiri. Identiti Ker Sing atau Tomboi bukanlah sesuatu yang direka pada saat akhir; kewujudannya telah disebut sejak peringkat awal siasatan dan turut disahkan oleh saksi pendakwaan, Lim Boon How (SP8) yang mengenali individu tersebut melalui aplikasi WeChat
34
Malah, kegagalan pihak penyiasat (SP9) untuk menyiasat lebih lanjut tentang Ker Sing / Tomboi termasuk mendapatkan rakaman CCTV di Hotel 7 Star dan menjalankan siasatan forensik terhadap telefon bimbit yang terlibat menunjukkan kecuaian siasatan yang serius.
35
Kelemahan ini, menurut pembelaan, telah menjejaskan kes pendakwaan dan meninggalkan jurang yang ketara. Tambahan pula, SP9 dilihat seolah-olah berpuas hati dengan hanya menyiasat tertuduh sedangkan ada petunjuk jelas bahawa Ker Sing / Tomboi dan SP8 mungkin sebenarnya dalang utama dalam kes ini. SP8 sendiri telah ditangkap pada hari yang sama berdasarkan maklumat daripada tertuduh sendiri dan kemudian ditangkap di PPA Simpang Renggam di bawah Undang-Undang Pencegahan Khas Akta 316. Ini merupakan satu fakta yang cukup untuk menimbulkan keraguan terhadap kredibiliti beliau sebagai saksi utama pendakwaan.
36
Oleh itu, pihak pembelaan menekankan bahawa Mahkamah ini tidak boleh bergantung semata-mata kepada siasatan yang cacat dan keterangan saksi yang tidak kredibel. Sebaliknya, Mahkamah hendaklah menilai secara adil sama ada versi tertuduh boleh dianggap munasabah dan berkemungkinan benar. Dalam keadaan ini, adalah tidak adil untuk menyimpulkan bahawa keterangan tertuduh semata-mata satu penafian, tanpa mempertimbangkan kegagalan siasatan dan bukti-bukti sokongan.
37
Kelima, pihak tertuduh berhujah bahawa beliau telah memberikan maklumat penting kepada polis sejurus ditahan di mesin imbas, termasuk penjelasan bahawa barang yang dijumpai padanya bukan miliknya, sebaliknya milik individu lain bernama SP8 dan Ker Sing @ Tomboi.
38
Pihak pembelaan menekankan bahawa maklumat ini diberi dengan tujuan untuk membantu siasatan, namun SP9 telah gagal menyiasat secara menyeluruh dan adil seperti yang diputuskan dalam kes Alcontara a/l Ambross Anthony v Public Prosecutor [1996] 1 CLJ 705. Ini telah menimbulkan keraguan terhadap integriti siasatan dan kredibiliti keterangan pegawai penyiasat.
39
Akhir sekali hujahan keenam, pihak pembelaan berhujah bahawa anggapan milikan di bawah seksyen 37(d) ADB tidak boleh diterima pakai terhadap tertuduh kerana tertuduh: • tiada pengetahuan, kawalan terhadap barangan yang diikat pada badannya oleh pihak lain; dan • tiada kebebasan untuk berurusan dan/atau mengendalikan barang tersebut.
40
Tambahan pula, tiada bukti yang menunjukkan tertuduh terlibat dalam pengedaran dadah dan berat dadah semata-mata tidak mencukupi untuk membawa kepada satu kesimpulan yang tidak dapat dielakkan bahawa tertuduh berniat untuk mengedar.
41
Kesimpulannya, pihak pembelaan berhujah bahawa keterangan tertuduh adalah munasabah, konsisten dan disampaikan secara jujur semasa perbicaraan. Berdasarkan prinsip undang-undang dan fakta kes, anggapan undang-undang telah berjaya dipatahkan dan satu keraguan munasabah telah timbul terhadap kes pendakwaan. Dengan itu, tertuduh dalam kes ini patut dilepaskan dan dibebaskan daripada pertuduhan. Hujahan pihak Pendakwaan di akhir kes pembelaan
42
Pihak pendakwaan menghujahkan bahawa pembelaan yang dikemukakan oleh tertuduh adalah satu penafian kosong tanpa sokongan bukti yang kukuh.
43
43.
Preamble
Menurut pihak pendakwaan, sepanjang sesi pemeriksaan balas, tertuduh gagal menunjukkan sebarang alasan yang boleh menimbulkan keraguan munasabah terhadap elemen milikan, jagaan, kawalan dan pengetahuan terhadap dadah yang dijumpai pada badannya. Tertuduh tidak membuat laporan polis, tidak mendapatkan bantuan di tempat awam seperti di lapangan terbang dan tidak membantah ketika dadah tersebut dikatakan dilekatkan pada tubuhnya.
44
Malah, dakwaan tertuduh bahawa dadah itu diletakkan oleh pihak lain tidak disokong oleh mana-mana saksi, termasuk individu bernama Ker Sing yang didakwa menyaksikan perbuatan tersebut, tetapi tidak dipanggil untuk memberi keterangan.
45
Pihak pendakwaan juga menegaskan bahawa saksi-saksi seperti SP3 dan SP9 telahpun memberikan keterangan yang konsisten walaupun diasak semasa soal balas. Tiada bukti menunjukkan bahawa saksi-saksi ini mempunyai niat jahat atau sebab untuk memalsukan keterangan. Oleh itu, mengikut prinsip undang-undang dan anggapan di bawah seksyen 114
e
Akta Keterangan 1950, Mahkamah boleh mengandaikan bahawa pegawai yang menjalankan tugas rasmi telah bertindak secara jujur dan menurut lunas undang-undang.
46
Dalam keadaan dua versi yang bertentangan dikemukakan kepada Mahkamah, pihak pendakwaan berhujah bahawa versi mereka lebih munasabah dan berasas. Maka, tertuduh gagal menimbulkan keraguan yang munasabah dan pihak pendakwaan menegaskan bahawa semua Elemen pertuduhan
a
(a), (b), (c) dan (d) telahpun berjaya dibuktikan melampaui keraguan yang munasabah.
47
Pihak pendakwaan juga berhujah bahawa tertuduh dalam kes ini tidak boleh bergantung kepada pembelaan innocent carrier. Namun jika tertuduh cuba menimbulkan pembelaan tersebut, Mahkamah perlu menilai sama ada penjelasannya menunjukkan kejahilan yang benar-benar tulen terhadap kewujudan dadah dalam milikannya. Dalam hal ini, konsep “kebutaan sengaja” atau wilful blindness menjadi penting, iaitu keadaan di mana seseorang sengaja menutup mata terhadap sesuatu yang sepatutnya jelas.
48
Dalam kes ini, pendakwaan menegaskan bahawa tertuduh tidak memberikan maklumat lengkap tentang individu bernama Ker Sing, meskipun dia mendakwa mengenalinya selama beberapa tahun. Kegagalan memberikan butiran yang boleh membantu siasatan menimbulkan persoalan besar terhadap kesahihan pembelaan tersebut. Malah, sejarah komunikasi dengan Ker Sing juga telah dipadam dari telefon tertuduh, menyebabkan siasatan lanjut tidak dapat dijalankan.
49
Justeru, pihak pendakwaan berhujah bahawa tiada sebarang keterangan sokongan yang dapat menyokong dakwaan tertuduh bahawa dadah-dadah tersebut dilekatkan oleh orang lain tanpa pengetahuannya. Mengikut prinsip yang ditetapkan dalam kes-kes terdahulu, keadaan ini tidak mencukupi untuk membangkitkan pembelaan innocent carrier secara berkesan.
50
Akhir sekali, pihak pendakwaan menekankan bahawa penafian tertuduh hanyalah satu penafian kosong yang tidak disokong oleh apa-apa bukti yang kukuh. Penafian semata-mata ini tidak mencukupi untuk menimbulkan sebarang keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan, sebagaimana yang telah ditetapkan dalam kes-kes sebelum ini. Keterangan daripada saksi-saksi pendakwaan kekal utuh dan tidak berjaya digugat oleh pembelaan tertuduh.
51
Tambahan pula, dadah yang dirampas telah ditemui tersembunyi pada badan tertuduh dalam keadaan yang mencurigakan dan disengajakan supaya tidak dapat dikesan. Ini menunjukkan satu usaha yang jelas untuk menyeludup dadah, selaras dengan maksud pengedaran seperti yang dihuraikan dalam seksyen 2 Akta Dadah Berbahaya. Hujahan tertuduh bahawa dia tidak tahu tentang kandungan dadah tersebut adalah tidak munasabah memandangkan dia mempunyai banyak peluang untuk memeriksa sendiri kandungan bungkusan yang dibalut pada tubuhnya atau meminta bantuan orang lain jika benar beliau tidak mahu terlibat.
52
Tertuduh juga cuba meletakkan kesalahan pada kegagalan pihak polis menyiasat seseorang bernama Ker Sing yang disebut dalam Notis Alcontara. Namun, hujahan ini wajar ditolak kerana maklumat yang diberikan adalah tidak lengkap. Dalam hal ini, tindakan tertuduh yang tidak bertanya atau menyiasat secara lanjut telah menjerumuskannya ke dalam situasi yang digambarkan sebagai wilful blindness, iaitu sengaja menutup mata terhadap perkara yang jelas mencurigakan.
53
Maka, pihak pendakwaan berhujah bahawa versi pembelaan tertuduh tidak berlandaskan logik dan tidak berdaya untuk menimbulkan sebarang keraguan yang munasabah. Penjelasan tertuduh bukan sahaja gagal menjawab isu utama dalam kes ini, malah juga telah gagal memberi gambaran yang masuk akal mengapa dia sanggup mempercayai seseorang yang baru dikenali untuk membalut sesuatu yang mencurigakan pada badannya. Berdasarkan keseluruhan bukti yang dikemukakan, pihak pendakwaan menegaskan bahawa tertuduh bersalah kerana mengetahui sepenuhnya tentang dadah yang dibawanya dan terlibat secara aktif dalam pengedaran.
54
Dalam erti kata lain, tertuduh dalam kes ini patut disabit dan dihukum atas kesalahan seperti yang dinyatakan dalam kertas pertuduhan. Analisa dan Dapatan Mahkamah di akhir kes pembelaan
55
Dalam kes ini, Mahkamah perlu menentukan sama ada pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan kes melampaui keraguan yang munasabah diakhir kes pembelaan. Di peringkat ini adalah menjadi tugas Mahkamah untuk menimbang kesemua keterangan pihak pendakwaan termasuk keterangan tertuduh sendiri dan membuat keputusan sama ada tertuduh telah berjaya membangkitkan keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan, yang seterusnya membolehkan tertuduh dilepaskan dan dibebaskan. (Rujukan kes Balachandran v Public Prosecutor [2005] 1 CLJ 85).
56
56.
Preamble
Mengikut kes Mohamad Radhi Yaakob v Public Prosecutor [1991] 1 CLJ (Rep) 311, Mohd Azmi SCJ, Mahkamah Agung telah memutuskan bahawa: - "It is a well-established principle of Malaysian criminal Jaw that the general burden of proof lies throughout the trial on the prosecution to prove beyond reasonable doubt the guilt of the accused for the offence with which he is charged. There is no similar burden placed on the accused to prove his innocence. He is presumed innocent until proven guilty. To earn an acquittal, his duty is merely to cast a reasonable doubt in the prosecution case... lf defence is called, the duty of the accused is only to cast a reasonable doubt in the prosecution case. He is not required to prove his innocence beyond reasonable doubt. To earn an acquittal, the Court may not be convinced of the truth of the defence story or version. Raising a reasonable doubt in the guilt of the accused will suffice." Isu milikan fizikal dadah
57
Dalam kes ini, fakta bahawa dadah dijumpai dilekatkan secara langsung pada badan tertuduh tidak boleh dinafikan. Ini bukan situasi di mana dadah ditemui di bilik kongsi, di dalam beg milik orang lain atau tersembunyi di tempat yang tidak dapat dipastikan pemiliknya. Dadah tersebut dijumpai dibalut kemas pada pinggang dan paha tertuduh, satu keadaan yang cukup untuk menggunapakai anggapan milikan di bawah seksyen 37(d) Akta Dadah Berbahaya.
58
Oleh itu, dalam keadaan ini, Mahkamah tidak perlu meneka atau membuat spekulasi berkenaan tuan empunya barang tersebut melainkan tertuduh dapat memberi penjelasan yang meyakinkan bahawa dadah tersebut bukan di bawah milikan tertuduh. Dalam erti kata lain, beban beralih kepada tertuduh untuk menjelaskan situasi tertuduh tersebut seperti yang berlaku ketika tangkapan di KLIA2. Isu pengetahuan tertuduh
59
Mahkamah perlu memberi pemberatan kepada keterangan oleh tertuduh semasa pemeriksaan utama di peringkat pembelaan yang diringkaskan oleh Mahkamah seperti berikut: - i. Tertuduh berasal dari Bintulu, Sarawak dan telah tinggal di Bintulu selama 40 tahun. Dia bekerja sebagai tukang masak di satu kedai makan. ii. Dia mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Jenis Cina sampai darjah 3 sahaja. iii. Sudah berkahwin selama 20 tahun dan mempunyai seorang anak berumur 15 tahun. iv. Pada 11.11.2019, tertuduh telah datang dari Bintulu, Sarawak ke Kuala Lumpur atas permintaan Ker Sing (Tomboi) yang merupakan pelanggan tetap tertuduh di kedai makan tempat tertuduh bekerja. v. Ker Sing telah mengaturkan perjalanan tertuduh dengan membelikan tiket penerbangan dari Bintulu ke Kuala Lumpur dan memberikan tertuduh wang tunai sebanyak RM200. vi. Sesampainya di KLIA2 pada pukul 10.30 malam, tertuduh mengambil Grab ke 7 Star Hotel sepertimana diarahkan oleh Ker Sing. vii. Tertuduh sampai di 7 Star Hotel pada pukul 1.00 pagi dan berjumpa Ker Sing di Lobby Hotel. Ker Sing menyuruh tertuduh untuk check-in hoteldan tertuduh membayar sendiri kos penginapan tersebut yang berjumlah sebanyak RM60.00. viii. Tertuduh seorang sahaja di bilik tersebut dan pada pukul 4.00 pagi, ada orang yang mengetuk bilik tertuduh dan apabila membukanya, tertuduh mendapati Ker Sing dan seorang bernama Lim (SP8)ada di hadapan pintu. ix. Kedua mereka masuk ke bilik tersebut .SP8 ada membawa satu beg dan SP8 membuka beg tersebut lalu mengeluarkan satu bungkusan yang dikatakan kepada tertuduh hanyalah ubat pelali. x. Seterusnya SP8 membalut barang yang dikatakan ubat pelali tersebut pada peha kiri dan kanan tertuduh. Apabila ditanya oleh tertuduh kenapa perlu dibalut pada pehanya, SP8 berkata, untuk lari daripada cukai. xi. Sesudah Lim siap mengikat bungkusan pada peha tertuduh, Kersing meminta SP8 dan tertuduh turun ke lobi hotel. xii. SP8 memanggil Grab untuk ke KLIA2. Ker Sing memberitahu tertuduh untuk ikut cakap SP8 sahaja. Hanya SP8 dan tertuduh menaiki Grab ke KLIA2 dan semasa di dalam Grab, SP8 memberitahu tertuduh untuk ikut sahaja apa SP8 buat. Mereka sampai di KLIA2 dalam pukul 6 lebih pagi. xiii. Semasa di KLIA2, tertuduh mengikut SP8 dan semasa tertuduh sampai di mesin X-Ray, tertuduh ditahan oleh pihak polis. xiv. Tertuduh tidak tahu itu barang apa dan memberitahu polis bahawa barang tersebut adalah milik SP8 dan Ker Ling.
60
Berdasarkan keterangan tertuduh semasa pemeriksaan utama oleh peguambela tersebut, isu utama yang perlu diteliti oleh Mahkamah adalah sama ada tertuduh benar-benar mengetahui bahawa barang yang dibalut pada badannya itu mengandungi dadah atau tidak. Persoalan-persoalan seperti: - Sama ada tertuduh tahu atau tidak bahawa apa yang dibawanya itu adalah dadah. Sama ada Ker Ling dan SP8 mempergunakan tertuduh atau tidak dan sama ada tertuduh sekadar menjadi pembawa tanpa sedar atau tidak merupakanpersoalan-persoalan yang telah menimbulkan keraguan terhadap kes pendakwaan ini
61
Dalam pembelaan, tertuduh berkata bahawa dia tidak tahu bahawa kandungan bungkusan itu adalah dadah. Menurut keterangannya, dia diberitahu oleh Ker Sing dan SP8 bahawa kandungan bungkusan itu hanyalah ubat-ubatan pelali yang perlu disorok untuk mengelakkan pembayaran cukai.
62
Mahkamah tidak menolak bahawa semasa tertuduh memberi keterangan semasa peringkat pembelaan, dari pemerhatian Mahkamah, terutama apabilamelihat kepada gerak-geri (demeanour) tertuduh, dari segi zahirnya, tertuduh kelihatan sangat naif dan baik. Segala soalan yang ditanya oleh pendakwaan semasa pemeriksaan balas dijawab dengan ikhlas dan jujur. Mahkamah mendapati bahawa, dari jawapan yang diberikan tertuduh, tertuduh tidak tahu berkenaan barang dadah tersebut dan dia telah diarahkan oleh Ker Ling untuk mengikut sahaja SP8 dari Lobby Hotel 7 Star sehinggalah dia ditahan di pengimbas X-Ray oleh pihak Polis.
63
Daripada keseluruhan keterangan yang dikemukakan oleh tertuduh, Mahkamah mendapati tertuduh adalah seseorang yang berpendidikan rendah dan naif serta demeanor tertuduh juga tidak menunjukkan sebarang tanda bahawa dia faham risiko besar apabila disabitkan dengan kesalahan pengedaran dadah. Adalah tidak masuk akal bagi seseorang yang munasabah untuk tidak tahu bahawa cara pembalutan tersebut akan dapat dikesan di mesin X-Ray.
64
Melihat kepada bahasa tubuhnya (body language) semasa memberi keterangan, cara dia menjawab soal balas dan gaya penyampaiannya, kesemuanya mencerminkan bahawa tertuduh mempunyai tahap kefahaman yang rendah. Dia juga tidak agresif, tidak defensif, malah dia kelihatan seperti baru sedar yang sebenarnya dia telah dipergunakan oleh Ker Sing dan SP8 pada waktu kejadian.
65
Pihak pendakwaan berhujah bahawa tertuduh sepatutnya berasa syak wasangka berkenaan identiti barang yang dibalut pada badannya. Bahawa dia sepatutnya bertanya. Bahawa dia tidak seharusnya menerima apa-apa untuk dibalut pada tubuhnya tanpa memastikan kandungannya. Dia juga sepatutnya Patut memaklumkan kepada pekerjahotel atau membuat laporanpolis tentang barang yang dilekatkan pada badannya. Bagi isu-isu ini yang telah dibangkitkan oleh pendakwaan semasa pemeriksaan balas di peringkat pembelaan, isu-isu ini telah dijawab dengan jelas oleh tertuduh di mana dia menyatakan bahawa diahanya mengikutsahaja arahan oleh Ker Ling dan SP8. Mahkamah mendapati semua ini adalah ukuran (standard) seseorang yang berpendidikan setakat darjah 3 iaitu standard seseorang yang hidup dalam dunia kecilnya sendiri, yang percaya kepada apa yang diberitahu oleh orang lain.
66
Mahkamah menerima bahawa tindakan tertuduh mungkin tampak bodoh atau terlalu mempercayai orang lain. Namun, dalam menilai sama ada wujudnya pengetahuan khususnya untuk senario tertuduh dalam kes ini, Mahkamah tidak boleh mengukur dengan akal orang yang cerdik. Penilaian mesti dibuat berdasarkan latar belakang sebenar tertuduh (termasuk tahap pendidikan dan pemahamannya). Senario kes ini boleh dibezakan dengan kes-kes lain seperti: • Xiao Qing (W/China) v Pendakwa Raya [2019] MLJU 1681 (Mahkamah Rayuan) di mana tertuduh tersebut adalah berkelulusan Economics dari University of Xihua. • Public Prosecutor v Jagadish Siddalingappa Arjunagi [2017] 5 MLJ 99 (Mahkamah Rayuan) di mana tertuduh dalam kes itu adalah berkelulusan Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Computer Science dan ada pengalaman kerja dalam sektor courier service. Menurut Mahkamah Rayuan pada ketika itu, “He had all the experience working in a company dealing with courier services. Surely he ought to have been aroused and suspicious about the very true purpose of the transaction”. • Nguyen Thanh Ngoc Tuyet v Public Prosecutor [2015] MLJU 2022 (Mahkamah Rayuan) di mana tertuduh adalah “highly educated” dan adalah tidak munasabah sebagai reasonable man untuk mempercayai seorang yang bernama "Miss Tam".
67
Dalam kes ini, tidak ada bukti bahawa tertuduh menerima bayaran luar biasa. Tertuduh hanya menerima setakat RM200 yang diberikan oleh Ker Ling kepadanya. Tiada bukti bahawa dia sengaja (atas inisiatif sendiri) memadamkan komunikasi untuk melupuskan bukti. Tambahan pula, tiada percubaan dilakukan oleh tertuduh untuk melarikan diri sewaktu ditahan di KLIA2. Malah, ketika ditahan, dia menurut sahaja. Ini bukan kelakuan seseorang yang tahu bahawa dia sedang membawa dadah bernilai ratusan ribu ringgit. Ini adalah sikap seseorang yang benar-benar tidak tahu apa-apa berkenaan barangan yang dibawa di tubuh badannya.
68
Pihak pendakwaan menyatakan bahawa tiada saksi lain yang dipanggil untuk menyokong versi tertuduh. Namun, Mahkamah berpendapat bahawa adalah tidak adil untuk mempersalahkan tertuduh atas kegagalan pihak lain (termasuk pihak penyiasat) untuk menjejaki atau menyiasat individu bernama Ker Sing/Tomboi. Ketiadaan saksi bukanlah bermaksud bare assertion dsb; ia hanya mencerminkan kelemahan siasatan atau keterbatasan akses tertuduh.
69
Dalam kes jenayah, prinsip asas adalah bahawa seseorang tidak boleh disabitkan jika terdapat keraguan yang munasabah. Mahkamah mendapati bahawa penjelasan tertuduh tetap konsisten, reasonable dan tidak bercanggah dengan logik asas. Ia tidak mustahil. Ia tidak direka. Ia sekadar satu kisah sedih tentang seseorang yang terlalu jahil untuk menyedari bahawa dia sedang diperalat. Dalam konteks ini, Mahkamah berpuas hati bahawa tertuduh tidak mempunyai pengetahuan sebenar tentang kewujudan dadah tersebut. Oleh itu, pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan yang munasabah mengenai elemen pengetahuan. Doktrin wilful blindness
70
Mahkamah ini juga perlu mengambil kira prinsip undang-undang yang dikenali sebagai wilful blindness atau kebutaan sengaja. Ini bukan konsep yang asing dalam undang-undang jenayah. Ia digunakan apabila tertuduh dengan sengaja memilih untuk tidak tahu, sedangkan keadaan sekeliling sudah cukup untuk menimbulkan curiga dan menggesa dia bertanya lebih lanjut. Ia bukan pengetahuan secara langsung, tetapi satu bentuk pengetahuan yang “dianggap wujud” kerana tindakan sengaja menutup mata terhadap kebenaran.
71
Prinsip ini penting kerana ia mengelakkan penjenayah daripada bersembunyi di sebalik alasan “saya tak tahu” sedangkan dia sengaja mengelak daripada mengetahuinya. Dalam erti kata lain, seseorang yang mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena tetapi memilih untuk tidak bertanya atau menyemak kerana dia tidak mahu tahu jawapan tidak boleh berlindung di sebalik kejahilannya sendiri.
72
Namun, prinsip ini mesti digunakan dengan berhati-hati. Ia bukan satu jalan pintas untuk pihak pendakwaan. Bukan semua orang yang tidak bertanya itu bersalah. Kadang-kadang, orang tidak bertanya kerana mereka memang tidak tahu bahawa mereka patut bertanya. Kadang-kadang, mereka terlalu percaya. Kadang-kadang, mereka terlalu naif untuk memahami bahawa mereka sedang diperdaya. Dalam kes ini, Mahkamah perlu meneliti sama ada keadaan yang dihadapi oleh tertuduh cukup untuk menimbulkan syak wasangka yang wajar sehingga dia sepatutnya bertanya. Adakah terdapat tanda-tanda jelas yang menunjukkan bahawa bungkusan itu mencurigakan?
73
Mahkamah mendapati bahawa tiada bukti menunjukkan tertuduh menerima ganjaran luar biasa. Tidak ada tingkah laku yang mencurigakan seperti menyembunyikan komunikasi atau mengelak pemeriksaan. Tiada juga bukti bahawa beliau tahu atau patut tahu tentang kandungan bungkusan tersebut berdasarkan saiz, bentuk atau bau.
74
Tambahan pula, tertuduh mempunyai tahap pendidikan dan latar belakang yang sangat rendah (fakta kes ini dibezakan dengan kes Baharudeen Mohamed Yusoff Ghaney v Public Prosecutor [2013] 2 MLJ 425 (Mahkamah Rayuan) di mana tertuduh tersebut adalah “highly educated” dan adalah tidak munasabah untuk beliau mengangkut 31 tin gula-gula). Dia tidak mempunyai sejarah jenayah, tidak menunjukkan tanda-tanda sebagai seseorang yang terbiasa dengan dunia penyeludupan atau penipuan. Dalam hal ini, Mahkamah perlu membezakan antara “seseorang yang sengaja tutup mata” dan “seseorang yang tidak tahu pun bahawa dia patut membuka mata”. Setelah mempertimbangkan semua keterangan, Mahkamah lebih cenderung kepada penilaian bahawa tertuduh termasuk dalam kategori kedua.
75
Untuk menggunakan doktrin wilful blindness, Mahkamah perlu yakin bahawa tertuduh mempunyai kecurigaan sebenar dan sengaja mengelak daripada mencari kebenaran. Namun, ia tidak wujud dalam kes ini. Apa yang Mahkamah lihat dan dapati hanyalah kepercayaan seorang lelaki terhadap orang lain. Mahkamah juga mengambil kira bahawa tiada apa-apa dalam tindakan tertuduh yang menunjukkan niat untuk berbohong atau menipu. Mahkamah ini juga mendapati ketiadaan pemeriksaan oleh tertuduh bukanlah kerana takut kepada kebenaran, tetapi kerana dia sendiri tidak menyangka ada sesuatu yang perlu dicurigai.
76
Oleh itu, Mahkamah tidak bersetuju bahawa prinsip wilful blindness boleh dipakai dalam kes ini. Ia bukan kerana Mahkamah ingin melindungi kebodohan atau ketidakpekaan, tetapi kerana prinsip ini tidak seharusnya digunakan untuk menghukum mereka yang memang benar-benar tidak tahu. Jika Mahkamah ini tidak berbuat sedemikian, penggunaan doktrin dalam kes ini akan mengaburkan garis antara kejahilan yang sengaja dan kejahilan yang tulen. Seperti yang sering diungkap, “the Court must appreciate the facts”, dan undang-undang mestilah adil dan keadilan bermula dengan membezakan niat jahat dengan ketidaktahuan yang tidak disengajakan. Seperti yang diputuskan oleh Raus Sharif PMR (pada ketika itu) dalam Public Prosector v Herlina Purnama Sari [2017] 1 MLRA 499: … Whether the doctrine of willful blindness should be applied to any particular case would be dependent on the relevant inferences to be drawn by the trial judge. From all the facts and circumstances of the particular case, giving due weight, where necessary, to the credibility of the witnesses.
77
Maka, Mahkamah mendapati bahawa pihak pendakwaan tidak berjaya membuktikan bahawa tertuduh sengaja membutakan dirinya terhadap kebenaran. Pemakaian anggapan di bawah seksyen 37(d) ADB
78
Di bawah seksyen 37(d) Akta Dadah Berbahaya, apabila dadah ditemui dalam milikan fizikal seseorang, Mahkamah boleh menganggap bahawa orang itu mengetahuinya dan memilikinya. Namun, anggapan ini bukanlah bersifat mutlak. Ia boleh dipatahkan jika tertuduh berjaya mengemukakan bukti yang cukup untuk menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap elemen pengetahuan. Dalam kes ini, walaupun dadah ditemui dalam milikan fizikal tertuduh, dibalut kemas pada tubuhnya, Mahkamah berpendapat bahawa tertuduh telah mengemukakan pembelaan yang sah dan boleh dipercayai (seperti yang dianalisa di atas).
79
Pembelaan tertuduh bahawa dia tidak mengetahui bahawa bungkusan itu mengandungi dadah bukan sahaja dikemukakan secara konsisten, tetapi juga disokong oleh faktor-faktor luaran yang menjadikannya munasabah. Antaranya ialah latar belakang peribadi tertuduh, tahap pendidikan yang rendah serta ketiadaan sebarang usaha untuk melarikan diri atau menyembunyikan identiti ketika melalui lapangan terbang. Maka, Mahkamah memutuskan bahawa tertuduh telah berjaya mematahkan anggapan seksyen 37(d) ADB dengan keterangan yang konsisten dan munasabah.
80
Setelah mempertimbangkan semua keterangan, Mahkamah ini mendapati bahawa kes ini bukan tentang membebaskan seorang penjenayah. Ia adalah untuk memastikan bahawa hanya mereka yang benar-benar bersalah dengan niat, dengan pengetahuan, dengan pemahaman tentang apa yang dilakukan dihukum. Undang-undang tidak menghukum kerana “kebodohan”. Ia menghukum kerana seseorang itu tahu akan kesalahan yang dibuat olehnya.
81
Justeru, Mahkamah memutuskan bahawa pihak pendakwaan gagal membuktikan elemen pengetahuan dan pengedaran pada tahap beyond reasonable doubt. Mahkamah juga mendapati bahawa tertuduh telah berjaya menimbulkan keraguan yang munasabah dalam kes ini. Dalam erti kata lain, tertuduh bukanlah seorang penjenayah licik, tetapi satu watak tragik; terperangkap bukan kerana niat jahat; tetapi kerana kebodohan yang tulen, kepercayaan yang tidak cermat, dan kejahilan yang nyata.
82
Sehubungan itu, Mahkamah dengan ini memutuskan bahawa tertuduh dilepaskan dan dibebaskan daripada pertuduhan yang dikenakan terhadapnya. Latifah Binti Haji Mohd Tahar Hakim Mahkamah Tinggi Jenayah 4 Mahkamah Tinggi Shah Alam Selangor Darul Ehsan 18.9.2025 Peguam bagi pihak Perayu : Alison Chan May Kam Timbalan Pendakwa Raya Selangor Peguam bagi pihak Responden: Gurubachan Singh Johal Tetuan Nashir Johal & Co G. Manivannan A/L Gowindasamy Chambers of Manivannan Gowin Senarai rujukan kes/Akta;
1
Balachandran v Public Prosecutor [2005] 1 CLJ 85
2
Mohamad Radhi Yaakob v Public Prosecutor [1991] 1 CLJ (Rep)
3
Xiao Qing (W/China) v Pendakwa Raya [2019] MLJU 1681
4
Public Prosecutor v Jagadish Siddalingappa Arjunagi [2017] 5
5
MLJ 99 Nguyen Thanh Ngoc Tuyet v Public Prosecutor [2015] MLJU 2022
6
Baharudeen Mohamed Yusoff Ghaney v Public Prosecutor [2013] 2 MLJ 425
7
Public Prosector v Herlina Purnama Sari [2017] 1 MLRA 499
8
Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952
9
Seksyen 37(d) Akta Dadah Berbahaya 1952
Wrong text, a broken link, out-of-date content, or a removal request — tell us and we'll check it against the official source.