Keputusan di akhir kes pendakwaan [33] Sehubungan dengan itu, mahkamah dengan ini memutuskan bahawa berdasarkan kepada pertimbangan maksimum mahkamah ke atas keterangan-keterangan yang dikemukakan, pihak PR telah berjaya membuktikan satu kes prima facie ke atas ketiga-tiga pertuduhan yang dikenakan ke atas tertuduh. [34] Tertuduh dengan ini diperintahkan untuk membela diri bagi ketiga-tiga pertuduhan dan 3 pilihan diterangkan kepadanya. Pembelaan tertuduh [35] Di peringkat pembelaan, hanya tertuduh sahaja yang memberi keterangan. [36] Secara amnya, keterangan tertuduh menyatakan bahawa beg P24 tersebut adalah bukan kepunyaannya tetapi sebaliknya kepunyaan seorang yang dikenali sebagai Raj. Menurut tertuduh, Raj dikenalinya kerana mereka menggunakan gimnasium yang sama iaitu di Just Fitness di Jitra, Kedah. Raj dikatakan tinggal Taman Seri Aman di Jitra, Kedah. [37] Pada hari kejadian iaitu pada 25/12/2019 yang merupakan cuti hari Krismas, Raj telah mengajak tertuduh untuk pergi bercuti ke Langkawi. Tertuduh yang tinggal di Jitra telah diminta untuk mengambil Raj di Hospital Seberang Perai yang kononnya datang melawat saudaranya yang sakit. Tertuduh telah memandu keretanya dan bertemu Raj di sana dan tertuduh mendapati Raj pada ketika itu membawa 3 beg dan salah satunya P24. Beg-beg tersebut diletakkan di dalam kereta tertuduh oleh Raj. [38] Mereka kemudiannya telah menuju ke Kuala Perlis dengan kereta dan menaiki feri dari Kuala Perlis ke Langkawi. Raj telah membawa beg-beg tersebut ke dalam feri dan mereka sampai di Langkawi pada lebih kurang jam 4.00 petang. Sebelum turun dari feri, Raj telah membawa 2 dari begnya dan meminta tertuduh untuk membawa P24. Mereka kemudiannya telah turun dari feri dan berjalan keluar dari jeti. [39] Tertuduh berjalan sambal menggalas P24 dan Raj dikatakan berada bersebelahan dengannya. Secara tiba-tiba, tertuduh telah ditahan oleh beberapa lelaki yang kemudiannya dikenali sebagai pihak polis yang diketuai oleh SP4. Pemeriksaan SP4 ke atas P24 telah menemui dadah yang menjadi sabjek pertuduhan di dalam kes ini. Menurut tertuduh, Raj telah berlalu pergi dan ini menyebabkan tertuduh panik dan terkejut apabila SP4 menemui dadah yang dikatakan bukan miliknya. [40] Secara ringkasnya, pembelaan tertuduh adalah Raj adalah pemilik sebenar P24 dan dadah-dadah yang ditemui di dalamnya. Tertuduh adalah dengan kata lain telah kononnya dianiayai oleh Raj. [41] Pembelaan berkenaan penama Raj ini telah berbangkit sejak kes di peringkat pendakwaan lagi. Namun mahkamah menegaskan bahawa di peringkat pendakwaan cadangan-cadangan yang dibangkitkan adalah hanya bersifat cadangan dan bukannya keterangan. Oleh itu, ia tidak dapat dinilai sebagai keterangan. Ini pernah disentuh oleh Mahkamah Rayuan di dalam kes Ali Hosseinzadeh Bashir v. Public Prosecutor [2015] 1 CLJ 918; [2015] MLJU 2069 seperti berikut; “[23] It must be understood that what counsel puts or suggests to a witness in cross examination is not evidence. They are merely suggestions and to give notice to the prosecution that the defence has a different version of the events. They prove nothing and will remain nothing unless confirmed by the witness or by the party on whose behalf the suggestions are made when his turn comes to give evidence.” [42] Maka tugas mahkamah di peringkat pembelaan adalah untuk menimbang dengan secara tuntas sama ada pembelaan yang telah dikemukakan oleh tertuduh dengan membandingkannya dengan keterangan-keterangan yang telah dikemukakan oleh pihak PR bagi menentukan sama ada versi yang dikemukakan oleh tertuduh ini telah menimbulkan keraguan dan mewajarkannya dilepaskan. [43] Mahkamah ini berkesempatan untuk melihat dan meneliti keterangan yang diberikan oleh tertuduh di dalam pernyataan bertulis dan keterangan lisan iaitu sama ada semasa soalan tambahan di peringkat pemeriksaan utama dan semasa pemeriksaan balas serta pemeriksaan semula. Mahkamah mendapati bahawa keterangan yang diberikan oleh tertuduh adalah mencurigakan dalam beberapa aspek seperti berikut: a) tertuduh mengakui bahawa P24 tersebut digalas olehnya ketika ditahan oleh SP4, namun menyatakan bahawa bersama-sama dengannya terdapat beg pakaian tertuduh sendiri. Perkara ini tidak pernah berbangkit semasa SP4 dan SP5 memberi keterangan. Malahan di dalam Borang Geledah di P27, tidak wujud pun beg selain P24 yang dirampas dari tertuduh; b) ketiadaan beg lain bersama-sama tertuduh selain P24 menunjukkan bahawa keterangan tertuduh bahawa tujuan tertuduh ke Langkawi adalah untuk bercuti bersama-sama dengan Raj adalah suatu yang direka-reka bagi menjustifikasikan pembelaannya. Mahkamah berpandangan adalah tidak logik bagi seseorang ke Langkawi untuk bercuti tidak membawa apa-apa pakaian; c) lebih menambah kesangsian adalah tertuduh langsung tidak membuat apa-apa tempahan hotel mahupun kenderaan untuk digunakan di Langkawi sedangkan tertuduh mengakui bahawa ia merupakan satu percutian yang diajak oleh Raj. Kebiasaannya sesuatu percutian mestilah dirancang dengan membuat tempahan hotel dan mengatur perjalanan; d) tertuduh turut di dalam keterangannya menyatakan bahawa tertuduh telah membawa keretanya dari Jitra ke Hospital Seberang Perai untuk menggambil Raj yang kononnya melawat saudaranya yang sakit. Agak pelik kenapa tertuduh perlu memandu ke Seberang Jaya sedangkan Raj tinggal di Jitra yang kononnya di kawasan kediaman yang sama dengan tertuduh. Kenapa perlu tertuduh bersusah payah ke Seberang Jaya sedangkan jeti ke Langkawi berada di Kuala Perlis atau di Kuala Kedah; dan e) Raj juga menurut tertuduh membawa 3 beg sedangkan mereka kononnya pergi ke Langkawi untuk bercuti dan tertuduh sendiri tidak membawa apa-apa beg. Ini jelas direka oleh tertuduh bagi memberi justifikasi kenapa tertuduh perlu membawa salah satu beg kerana Raj perlu membawa 2 bag yang lain. [44] Dari keseluruhan pertimbangan ke atas keterangan tertuduh ini, mahkamah merumuskan bahawa tertuduh adalah seorang saksi yang tidak berwibawa dan keterangannya adalah meragukan serta dicurigai. Dengan kata yang lain, tertuduh bukanlah seorang yang berkredibiliti untuk diterima keterangannya. [45] Pertimbangan mahkamah seterusnya adalah berkaitan penama Raj yang dibangkitkan oleh tertuduh di dalam pembelaannya. Nama Raj ini memang telah dibangkitkan sejak kes di peringkat pendakwaan lagi terutamanya semasa SP4 dan SP5 memberi keterangan. Kedua-dua saksi ini menegaskan bahawa nama ini tidak pernah berbangkit semasa tertuduh ditahan mahupun semasa tertuduh disiasat. [46] Namun tertuduh menegaskan bahawa tertuduh telah memaklumkan kepada pihak polis kononnya Raj ada bersama-sama dengannya dan P24 adalah milik Raj. Tertuduh turut menyatakan bahawa tertuduh telah memaklumkan berkenaan Raj kepada SP5 semasa siasatan dijalankan ke atasnya. [47] Namun mahkamah agak sukar menerima keterangan tertuduh berkaitan Raj. Selain dari kredibiliti tertuduh sebagai saksi adalah mencurigakan sepertimana yang telah mahkamah bincangkan, mahkamah turut mendapati keterangan tertuduh berkaitan Raj ini turut mencurigakan. Pertamanya tiada sebarang keterangan yang dapat menyokong dakwaan tertuduh bahawa nama Raj telah dimaklumkan kepada pihak polis atau sekurang-kurangnya kepada SP5. Ia hanya bersandarkan kepada keterangan lisan tertuduh dan sepertimana mahkamah telah nyatakan, tertuduh adalah seorang saksi yang tidak berwibawa. [48] Keduanya jika sekalipun ianya ada dimaklumkan, adakah butiran Raj mencukupi bagi SP5 mengesan dan menahan Raj tersebut. Jika dilihat dari keterangan tertuduh, jelas tertuduh sendiri pun tidak dapat memberikan butiran yang jelas mengenai Raj. Tertuduh sendiri tidak tahu nama sebenarnya dan tidak dapat memberikan nombor telefon serta alamat Raj. [49] Jika dakwaan tertuduh berkenaan penama Raj telah dimaklumkan kepada SP5, pasti ianya telah dinyatakan oleh tertuduh di dalam Percakapan Beramarannya. Namun, ia tidak dikemukakan oleh tertuduh kepada mahkamah untuk dinilai. Wujud tanda tanya yang munasabah adakah dakwaan tertuduh ini adalah benar apatah lagi bila tertuduh berhadapan dengan penafian oleh SP5. [50] Berdasarkan penilaian oleh mahkamah ke atas keterangan-keterangan ini, mahkamah merumuskan bahawa terdapat kecurigaan yang nyata di dalam keterangan tertuduh ke atas kewujudan penama Raj. Dapatan mahkamah ini adalah bersandarkan kepada keputusan Mahkamah Rayuan di dalam kes Muhammad Kamil Abdullah & Satu Lagi lawan PP [2019] 1 LNS 74 yang telah memutuskan: “[20] Walaupun pihak ketiga "Rajah" telah ditimbulkan seawal kes pendakwaan, kegagalan pihak polis untuk menyiasat mengenai "Rajah" adalah tidak memudaratkan kes pendakwaan. Semasa pemeriksaan balas Pegawai Tangkapan (SP4) di m.s. 57 Rekod Rayuan Jld. 2, jelas menyatakan bahawa Perayu 1 tidak memberitahu SP4 bahawa dadah dan barang-barang lain yang berkaitan adalah kepunyaan "Rajah". Seterusnya dari penelitian kami, Perayu 1 juga tidak memberitahu Pegawai Penyiasat (SP5) mengenai butir-butir peribadi, alamat, nombor telefon dan sebagainya mengenai "Rajah" (rujuk m.s. 81 Rekod Rayuan Jld. 2). Kegagalan berbuat demikian bererti syarat-syarat "Alcontara Notice" tidak dipatuhi. Kami juga mendapati bahawa Percakapan Beramaran Perayu 1 tidak dikemukakan untuk menentukan sama ada butir-butir peribadi "Rajah" telah diberikan oleh Perayu 1 atau tidak. [21] Keperluan "Percakapan Beramaran" bukanlah meletakkan beban berlebihan ke atas pembelaan. Ianya adalah wajar apabila Pegawai Tangkapan (SP4) menafikan bahawa Perayu 1 ada memberitahu SP4 bahawa dadah dan barang-barang berkaitan adalah kepunyaan "Rajah". Malah keterangan Pegawai Penyiasat (SP5) walaupun mengakui Perayu 1 ada memberitahu bahawa secara lisan mengenai "Rajah" tetapi Perayu 1 tidak memberitahu butir-butir peribadi "Rajah". Otoriti tersohor PP v. Ling Tee Huah [1980] 1 LNS 212; [1982] 2 MLJ 234 menyatakan: "a mere denial without other proof to reasonably dislodge the prosecution's evidence is not sufficient..." [51] Ini telah menjadikan pembelaan tertuduh suatu penafian kosong. Di dalam kes Mahkamah Persekutuan Teng Howe Sing v. PP [2009] 3 CLJ 733 telah dinyatakan: "[30]...On this point we would like to refer to the case of PP v. Badrulsham bin Baharom [1987] 1 LNS 72; [1988] 2 MLJ 58, wherein Lim Beng Choon J at p 591 said: So we are left with nothing more than the bare assertion of the accused that it was Noor Azlan who asked him to collect the bag on behalf of the former and that the accused himself had no knowledge of the contents of P3. If that be the case, one would hardly imagine that he would not have told either PW3 or PW5 at the railway station at Alor Setar at the tme of his arrest that P3 belonged to Noor Azlan instead of saying that there was nothing in P3. .......... [32] Applying the principle in Badrulsham's case to the facts of the instant case, the learned trial Judge was correct to conclude that the appellant had two opportunities to rovide information about "Ho Seng", i.e. at the time of his arrest and five days later during recording of his cautioned statement but he failed to do so. We are therefore of the view that in the circumstances, the appellant's failure to provide relevant information about "Ho Seng" for the police to carry out a thorough investigation into the probability of his defence, entitled the learned trial judge to disbelieve him." Kesimpulan di Akhir Kes pembelaan [52] Setelah membuat penilaian maksima dan menimbangkan keseluruhan keterangan pihak pendakwaan dan pembelaan tertuduh serta kredibiliti saksi-saksi pendakwaan dan saksi pembelaan, mahkamah ini mendapati bahawa pembelaan tertuduh, atas imbangan kebarangkalian, telah gagal mematahkan anggapan pengedaran dadah berbahaya di bawah seksyen 37(da) Akta 234. Mahkamah turut berpuas hati bahawa pembelaan tertuduh juga secara keseluruhannya telah gagal menimbulkan sebarang keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan mengikut prinsip yang diputuskan dalam kes Mat v. Public Prosecutor [1963] 1 LNS 82; [1963] 1 MLJ 263. [53] Oleh yang demikian, mahkamah ini berpuas hati dan mendapati pihak PR telah berjaya membuktikan kesnya melampaui keraguan yang munasabah terhadap tertuduh bagi pertuduhan-pertuduhan yang dihadapkan ke atas tertuduh. Sehubungan itu, tertuduh dengan ini didapati bersalah dan disabitkan bagi pertuduhan-pertuduhan tersebut. Hukuman [54] Peguam tertuduh telah memohon mahkamah untuk tidak mengenakan hukuman mati dan menyatakan bagi pihak tertuduh perkara-perkara berikut: a) tertuduh kini berusia 35 tahun dan masih bujang; b) jumlah dadah di dalam kes ini tidak banyak; c) ini merupakan kesalahan pertama tertuduh; d) tertuduh telah direman sejak ditangkap pada 25/12/2019 dan ini memberi keinsafan kepada tertuduh; dan e) terdapat 3 pertuduhan dan peguam memohon hukuman penjara dijalankan secara serentak. [55] Puan TPR seperti kebiasaannya telah menegaskan bahawa mahkamah perlu menjatuhkan hukuman bagi menunjukkan ketegasan mahkamah dengan memberi pertimbangan utama ke atas kepentingan awam. Walaubagaimanapun, bagi pihak PR, tiada desakan dikemukakan oleh Puan TPR bagi mahkamah ini mengenakan hukuman mati. [56] Menerusi Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 (Akta 846), hukuman bagi kesalahan di bawah seksyen 39B(1)(a) Akta 234 telah dipinda iaitu hendaklah dihukum apabila disabitkan dengan mati atau penjara seumur hidup dan hendaklah, jika dia tidak dijatuhkan hukuman mati, dihukum sebat tidak kurang daripada dua belas sebatan. Ini bermakna, budi bicara diberi sepenuhnya kepada mahkamah untuk menentukan pilihan hukuman. [57] Mahkamah telah menimbang bahawa ini adalah kesalahan pertama tertuduh dan oleh itu wajar tertuduh diberi peluang kedua. Keterangan kes turut menunjukkan bahawa kes ini tidak melibatkan keterangan secara langsung pengedaran namun sebaliknya berdasarkan andaian pengedaran. Mahkamah bersetuju dengan hujahan peguam tertuduh agar tertuduh wajar diberi pertimbangan untuk tidak dikenakan hukuman mati. [58] Mahkamah menegaskan betapa tertuduh sangat bernasib baik apabila hanya dihakimi selepas Akta 846 berkuatkuasa di mana hukuman sudah berubah dan mahkamah mempunyai pilihan di dalam menjatuhkan hukuman. [59] Mahkamah dengan ini menjatuhkan hukuman seperti berikut: a) pertuduhan pertama – tertuduh dipenjara seumur hidup dan dikenakan 12 sebatan; b) pertuduhan kedua – tertuduh dipenjara seumur hidup dan dikenakan 12 sebatan; dan c) pertuduhan ketiga – tertuduh dipenjara seumur hidup dan dikenakan 12 sebatan. Bertarikh: 19hb. Jun 2025 (DATUK MOHAMAD ABAZAFREE BIN MOHD ABBAS) Hakim Mahkamah Tinggi Malaya Pihak-Pihak: Bagi Pihak Pendakwa Raya : Kamaliza binti Md Zain Wisma Darul Aman Pejabat Penasihat Undang-Undang Aras 4, Blok C Jalan Tengku Bendahara 05250 Alor setar Kedah Darul Aman Bagi Pihak Responden: Naranya Singh S/O Asa Singh Tetuan Naran Singh & Co Peguambela & Peguamcara 39, First Floor P.O. Box 710 30000 Ipoh Perak Darul Ridzuan Tarikh Keputusan : 6hb. Mei, 2025 Undang-Undang Yang Dirujuk: ➢ Akta Dadah Berbahaya 1952 ➢ Kanun Tatacara Jenayah ➢ Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 Kes-Kes Yang Dirujuk: ➢ Zainuddin bin Abbas v PP [2014] 1 LNS 1356 ➢ Chan Kim Seng v PP [2016] 3 MLJ 80 ➢ Adib Nafis bin Hassane Nafis lwn Public Prosecutor [2020] 1 LNS 1240 ➢ PP v Norhazwan Abd Wahab [2013] 3 CLJ 1221 ➢ PP v Zulkifli bin Desa [2022] MLJU 308 ➢ Ghasem Gharezadehsharbiani v PP [2014] 1 LNS 752 ➢ Rosli bin Yusof v. Public Prosecutor [2021] 7 CLJ 681; [2021] 4 MLJ 479 ➢ Esmaeili Ghadratollah Mahmod v PP [20178] MLJU 50 ➢ Abdullah Atan v. PP & Other Appeals [2020] 9 CLJ 151 ➢ Ali Hosseinzadeh Bashir v. Public Prosecutor [2015] 1 CLJ 918; [2015] MLJU 2069 ➢ Muhammad Kamil Abdullah & Satu Lagi lawan PP [2019] 1 LNS 74 ➢ Teng Howe Sing v. PP [2009] 3 CLJ 733 ➢ Mat v. Public Prosecutor [1963] 1 LNS 82; [1963] 1 MLJ 263