Content
1 DALAM MAHKAMAH TINGGI MALAYA DI KOTA BHARU DALAM NEGERI KELANTAN DARUL NAIM, MALAYSIA PERBICARAAN JENAYAH NO: DA-45A-11-05/2020 DI ANTARA PENDAKWARAYA LAWAN MOHD KAMAL BIN IBRAHIM (NO. K/P: 900401-03-5321) ALASAN PENGHAKIMAN
DA-45A-11-05/2020
High Court of Malaysia16 Oct 2025
The written judgment as the court issued it, with the coram, case number, and source links. Every paragraph has its own anchor.
Content
1 DALAM MAHKAMAH TINGGI MALAYA DI KOTA BHARU DALAM NEGERI KELANTAN DARUL NAIM, MALAYSIA PERBICARAAN JENAYAH NO: DA-45A-11-05/2020 DI ANTARA PENDAKWARAYA LAWAN MOHD KAMAL BIN IBRAHIM (NO. K/P: 900401-03-5321) ALASAN PENGHAKIMAN
1
Tertuduh (OKT) di dalam kes ini telah dituduh dengan satu pertuduhan mengedar dadah berbahaya jenis Methamphetamine seberat 8,246.8 gram menurut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) Akta yang sama.
2
Di akhir kes pendakwaan, Mahkamah ini telah mendapati pihak pendakwaan telah gagal untuk membuktikan satu kes Prima Facie terhadap OKT. Lantas, Mahkamah ini telah memerintahkan agar OKT dilepaskan dan dibebaskan tanpa dipanggil untuk membela diri.
3
Terkilan dengan keputusan Mahkamah ini, pihak pendakwaan telah memfailkan rayuan ke Mahkamah Rayuan. Berikut adalah alasan-alasan Mahkamah ini melepaskan dan membebaskan OKT tanpa dipanggil membela diri.
4
Pertuduhan yang dikemukakan terhadap OKT adalah seperti berikut: “Bahawa kamu pada 5 September 2019 jam lebih kurang 12.15 tengah hari, dalam sebuah kereta jenis Proton Wira nombor pendaftaran NBL6566 bertempat di simpang tiga lampu isyarat Gaung Lati, Lebuhraya Pasir Mas-Rantau Panjang, di dalam Daerah Pasir Mas, di dalam Negeri Kelantan, telah mengedar dadah berbahaya iaitu 8,246.8 gram Methamphetamine dan dengan itu, kamu telah melakukan suatu kesalahan di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 [Akta 234] yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) Akta yang sama. Hukuman Seksyen 39B(2) Akta 234: hendaklah dihukum apabila disabitkan dengan mati atau penjara seumur hidup dan hendaklah, jika tidak dihukum mati, dihukum sebat tidak kurang daripada 15 kali.
5
Pada 5 September 2019 jam lebih kurang 9.00 pagi, DSP Mohd Faizal Bin Abd Kadir (SP2) bersama dengan 7 orang anggota serbuan telah hadir untuk taklimat di Kota Bharu berkaitan satu maklumat pengedaran dadah oleh suspek yang menaiki sebuah kereta Proton Wira nombor pendaftaran NBL 6566 di kawasan Rantau Panjang, Pasir Mas. Setelah sesi taklimat selesai pada jam lebih kurang 9.40 pagi, SP2 telah mengumpulkan kesemua ahli pasukannya untuk penugasan dan untuk membawa kelengkapan taktikal.
6
SP2 telah membahagikan pasukan serbuannya kepada 2 kumpulan. Kumpulan pertama seramai 4 orang yang dianggotai oleh SP2 sendiri, D/Kpl Mohamad Izwan Mazlan, Konst. Helton Adrian Madais dan Konst. Mohammad Rafiuddin bergerak menggunakan kenderaan Toyota Vios manakala kumpulan kedua yang juga seramai 4 orang dianggotai oleh DSP Fazrul Subhi, D/Kpl Mohamad Norhayat, SM/D Mazlan Badli dan Sjn/D Shahpri Mohd Salleh bergerak menggunakan kenderaan Proton Persona.
7
Pada jam 10.20 pagi, SP2 dan pasukan serbuannya telah membuat pemerhatian di tepi jalan Rantau Panjang - Pasir Mas dan lebih kurang pada jam 11.45 pagi, SP2 melihat sebuah kereta Proton Wira No. Pendaftaran NBL 6566 (“kereta tersebut”) melalui Jalan Rantau Panjang - Pasir Mas.
8
SP2 dan pasukannya telah bergerak bersama kereta tersebut di mana kereta Toyota Vios mengikuti dari belakang kereta tersebut manakala kereta Proton Persona mendahului di depan kereta tersebut.
9
Kereta tersebut kemudiannya telah berhenti di persimpangan lampu isyarat Gaung Lati, Lebuhraya Rantau Panjang - Pasir Mas apabila lampu isyarat bertukar merah. Pada masa itu SP2 mengarahkan kereta Toyota Vios untuk berhenti di belakang sebelah kiri kereta tersebut dan mengarahkan kereta Proton Persona untuk berhenti di hadapan sebelah kiri kereta tersebut. Pada masa yang sama juga SP2 telah turun dari kereta Vios dan memasuki kereta tersebut dari pintu penumpang hadapan sebelah kiri pemandu manakala D/Kpl Izwan, Konst. Helton dan Konst. Rafiuddin telah membuka pintu pemandu kereta tersebut dan menarik OKT keluar. Hanya OKT seorang sahaja yang berada dalam kereta tersebut.
10
Oleh kerana pada masa itu, kereta tersebut berada di tengah-tengah jalan, maka SP2 telah mengarahkan DSP Fazrul untuk mengawal lalu lintas dan OKT dibawa masuk semula ke dalam kereta tersebut dan Konst. Rafiuddin memandu kereta tersebut ke bahu kiri jalan untuk pemeriksaan.
11
Di tepi jalan berhampiran dengan lokasi asal tempat kereta tersebut ditahan, SP2 telah membuat pemeriksaan dalam boot kereta tersebut sambil disaksikan oleh OKT. Boot dibuka dengan menggunakan kunci kereta tersebut dan di dalamnya terdapat 3 guni berwarna putih bertulisan Thailand dalam keadaan mampat tetapi tidak ber“seal”.
12
SP2 telah membuat pemeriksaan lanjut ke atas salah sebuah guni tersebut dan mendapati di dalamnya terdapat beberapa bungkusan kekuningan. Dalam salah satu bungkusan kekuningan tersebut terdapat 3 paket plastik lutsinar mengandungi bungkusan kertas. Dalam setiap bungkusan kertas tersebut pula mengandungi 10 paket plastik biru diikat dengan gelang getah yang berisi pil-pil disyaki dadah berbahaya.
13
SP2 juga turut menjumpai sebuah beg hitam berjenama Nike di tempat duduk penumpang hadapan kereta tersebut yang mengandungi kad pengenalan OKT dan beberapa helai pakaian dan telefon bimbit.
14
SP2 kemudiannya meminta OKT menunjukkan rumahnya untuk tujuan pemeriksaan lanjut. SP2 telah menaiki kereta tersebut bersama-sama OKT dan beberapa orang anggotanya untuk ke rumah OKT yang pertama di alamat PT 395 Jalan Guchil Bayam, Kota Bharu. Tiada sesiapa yang berada dalam rumah tersebut dan tiada apa-apa barang salah ditemui di rumah tersebut.
15
OKT kemudiannya telah membawa SP2 dan pasukannya ke rumah kedua yang beralamat di Blok A, Level 5, Unit 12, Kiara D Riva, Jalan Sultanah Zainab, Kota Bharu. Tiada sesiapa yang berada dalam rumah tersebut dan tiada apa-apa barang salah ditemui di rumah kedua tersebut.
16
Seterusnya OKT membawa SP2 dan pasukannya ke rumah ketiga pula di Kampuang Kubang Kual, Rantau Panjang. Apabila tiba di rumah ketiga tersebut, SP2 mendapati pintu depan rumah tersebut terbuka dan terdapat seramai 5 orang lelaki berada di dalamnya iaitu: i) Mohamad Shah Rizal Bin Mohamad Ariff; ii) Muhammad Annuar Bin Daud; iii) Mohd Khairul Anuar Bin Yasin; iv) Muhammad Rizarean Bin Mohd Azudin; dan v) Mohamad Faiz Bin Mohamad Ariff.
17
Pemeriksaan yang dijalankan di dalam rumah ketiga tersebut juga tidak menemui sebarang barang salah. Kesemua 5 lelaki yang berada dalam rumah tersebut turut ditangkap kerana disyaki terlibat dalam kes pengedaran dadah tersebut.
18
OKT seterusnya membawa SP2 dan pasukannya ke rumah keempat di Lot 4058, Kampung Gual Mesa, Gual Periuk, Rantau Panjang. Tiada sesiapa yang berada dalam rumah keempat tersebut dan tiada apa-apa barang salah ditemui di dalamnya.
19
SP2 dan pasukannya kemudiannya telah membawa OKT ke IPD Pasir Mas di mana pemeriksaan ke atas ketiga-tiga guni putih yang ditemui dalam boot kereta tersebut dibuat. Hasil pemeriksaan mendapati seperti berikut: Bil.
1
Satu guni putih bertulisan Thai dengan tulisan “Thailand White Sugar” dengan gambar obor.
2
34 bungkusan kekuningan dalam guni bertulisan “Thailand White Sugar” A1 sehingga A34
3
3 peket plastik lutsinar dalam setiap bungkusan kekuningan (3 x 34 = 102 peket) A1a,A1b, A1c sehingga A34a, A34b dan A34c
4
Bungkusan kertas dalam setiap peket plastik lutsinar (102 helai) A1aa, A1bb, A1cc sehingga A34aa, A34bb dan A34cc
5
Dalam setiap bungkusan kertas mengandungi 10 peket plastik biru, menjadikan jumlah keseluruhan peket biru dalam setiap bungkusan kekuningan adalah 30 peket. Jumlah peket biru dalam Guni A = (30 x 34 =1020 peket) A1aa1-A1aa10, A1bb1-A1bb10, A1cc1-A1cc10 sehingga A34aa1- A34aa10,A34bb1- A34bb10, A34cc1-A34cc10 Bil. Barang Kes Tandaan 1. Satu guni putih bertulisan Thai bergambar burung enggang
2
33 bungkusan kekuningan dalam guni bertulisan Thai bergambar burung enggang B1 sehingga B33 3. 3 peket plastik lutsinar dalam setiap bungkusan kekuningan (33 x 3 = 99 peket) B1a, B1b, B1c sehingga B33a, B33b dan B33c 4. Bungkusan kertas dalam setiap peket plastik lutsinar (99 helai) B1aa, B1bb, B1cc sehingga B33aa, B33bb dan B33cc 5. Dalam setiap bungkusan kertas mengandungi 10 peket plastik biru, menjadikan jumlah keseluruhan peket biru dalam setiap bungkusan kekuningan adalah 30 peket. Jumlah peket biru dalam Guni B = (30 x 33 = 990 peket) B1aa1-B1aa10, B1bb1-B1bb10, B1cc1-B1cc10 sehingga B33aa1- B33aa10,B33bb1- B33bb10, B33cc1-B33cc10 Bil. Barang Kes Tandaan 1. Satu guni putih bertulisan Thai bergambar buaya.
2
33 bungkusan kekuningan dalam guni bertulisan Thai bergambar buaya C1 sehingga C33 3. 3 peket plastik lutsinar dalam setiap bungkusan kekuningan (33 x 3 = 99 peket) C1a, C1b, C1c sehingga C33a, C33b dan C33c 4. Bungkusan kertas dalam setiap peket plastik lutsinar (99 helai) C1aa, C1bb, C1cc sehingga C33aa, C33bb dan C33cc
5
Dalam setiap bungkusan kertas mengandungi 10 peket plastik biru, menjadikan jumlah keseluruhan peket biru dalam setiap bungkusan kekuningan adalah 30 peket. Jumlah peket biru dalam Guni C= (30 x 33 = 990 peket) C1aa1-C1aa10, C1bb1- C1bb10, C1cc1-C1cc10 sehingga C33aa1- C33aa10,C33bb1- C33bb10,
20
Ujian saringan awal air kencing yang dijalankan ke atas OKT mendapati urinnya negatif dari sebarang jenis dadah. Kesemua lelaki yang ditangkap dari rumah ketiga telah dilepaskan tanpa syarat kecuali Mohamad Shah Rizal Bin Mohamad Ariff (SP6).
21
SP2 kemudian telah mencatat tarikh dan menurunkan tandatangannya serta membuat tandaan pada barang-barang kes dan telah menyediakan borang senarai geledah (P21), akuan penerimaan barang kes (P22) dan membuat 8 laporan polis (P23 - P30). SP2 akhirnya telah menyerahkan OKT bersama-sama barang kes kepada pegawai penyiasat kes iaitu Insp. Hafis bin Nazarah (SP10).
22
Pada 10.09.2019, SP10 telah menghantar barang kes ke Jabatan Kimia Malaysia (JKM) untuk analisa. Barang kes telah diserah secara kendiri kepada Encik Zulkfeli Bin Mohd Edin iaitu Pegawai Kimia (SP1). Satu resit rasmi Jabatan Kimia Malaysia dengan no makmal 19-FR-D-04756 (P6) telah diserahkan oleh SP1 kepada SP10 sebagai bukti penerimaan. SP1 kemudiannya telah menjalankan proses analisis kimia ke atas barang kes. Analisis SP1 telah direkodkan dalam satu laporan kimia (P16) di mana SP1 mengesahkan seperti berikut: i) Dalam kotak polistirena bertanda “A”, terdapat tablet-tablet berwarna merah dengan berat bersih 18,771 gram yang mengandungi Methamphetamine seberat 2,740 gram dan juga tablet-tablet berwarna hijau dengan berat bersih 189.5 gram yang mengandungi Methamphetamine seberat 28.2 gram. ii) Dalam kotak polistirena bertanda “B”, terdapat tablet-tablet berwarna merah dengan berat bersih 18,275 gram yang mengandungi Methamphetamine seberat 2,741 gram dan juga tablet-tablet berwarna hijau dengan berat bersih 185.2 gram yang mengandungi Methamphetamine seberat 27.7 gram. iii) Dalam kotak polistirena bertanda “C”, terdapat tablet-tablet berwarna merah dengan berat bersih 18,000 gram yang mengandungi Methamphetamine seberat 2,682 gram dan juga tablet-tablet berwarna hijau dengan berat bersih 184.1 gram yang mengandungi Methamphetamine seberat 27.9 gram.
23
Tugas pihak pendakwaan diakhir kes pendakwaan adalah untuk membuktikan satu kes prima facie terhadap OKT sebagaimana prinsip yang dinyatakan oleh Mahkamah Persekutuan dalam kes Balachandran vs PP [2004] 2 MLRA 547: “[23] … The test at the close of the case for prosecution would therefore be: Is the evidence sufficient to convict the accused if he elects to remain silent? If the answer is in the affirmative then a prima facie case has been made out. This must, as of necessity, require a consideration of the existence of any reasonable doubt in the case for the prosecution. If there is any such doubt there can be no prima facie case.”
24
Tugas Mahkamah perbicaraan pula di peringkat ini, menurut Seksyen 180 Kanun Tatacara Jenayah adalah untuk memutuskan sama ada pihak pendakwaan telah berjaya menimbulkan satu kes prima facie terhadap tertuduh. Jika Mahkamah mendapati bahawa pihak pendakwaan gagal menimbulkan satu kes prima facie terhadap tertuduh, Mahkamah hendaklah merekodkan satu perintah pelepasan dan pembebasan dan jika sebaliknya Mahkamah mendapati pihak pendakwaan telah berjaya menimbulkan satu kes prima facie terhadap tertuduh, Mahkamah hendaklah memanggil tertuduh untuk membela diri.
25
Seksyen 180(4) Kanun Tatacara Jenayah menjelaskan bahawa kes prima facie adalah telah berjaya ditimbulkan apabila pihak pendakwaan telah mengemukakan keterangan yang boleh dipercayai (credible evidence) dan telah membuktikan setiap intisari atau faktor kesalahan yang jika tidak dipatahkan atau diterangkan, akan mewajarkan satu sabitan.
26
Dalam melaksanakan tugas tersebut, Mahkamah perbicaraan hendaklah menjalankan satu penilaian yang menyeluruh dan maksimum terhadap semua keterangan yang telah dikemukakan oleh pihak pendakwaan menurut prinsip yang dinyatakan oleh Mahkamah Persekutuan dalam kes PP vs Mohd Radzi Abu Bakar [2005] 2 MLRA 590: “[12] … What is required of a Subordinate Court and the High Court under the amended ss is to call for the defence when it is satisfied that a prima facie case has been made out at the close of the prosecution case. This requires the court to undertake a maximum evauation of the prosecution evidence when deciding whether to call on the accused to enter upon his or her defence. It involves an assessment of the credibility of the witbesses called by the prosecution and the drawing of inferences admitted by the prosecution evidence. Thus, if the prosecution evidence admits of two or more inferences, one of which is in the accused’s favour, then it is the duty of the court to draw inference that is favourable to the accused. … If the court, upon a maximum evaluation of the evidence placed before it at the close of the prosecution case, comes to the conclusion that a prima facie case has not been made out, it should acquit the accused. If, on the other hand, the court after conducting a maximum evaluation of the evidence of the evidence comes to the conclusion that a prima facie case has been made out, it must call for the defence. If the accused then elects to remain silent, the court must proceed to convict him. It is not open to the court to then re-assess the evidence and to determine whether the prosecution had established its case beyond reasonable doubt. The absence of any evidence from the accused that cast a reasonable doubt on the prosecution’s case renders the prima facie case one that is established beyond reasonable doubt. Put shortly, what the trial Court is obliged to do under ss 173(f) and 180 of the CPC is to ask itself the question: If the accused elects to remain silent, as he is perfectly entitled to do, am I prepared to convict him on the evidence now before me? … If the answer to that question is in affirmative, then the defence must be called. And if the accused remains silent, he must be convicted. If the answer is in the negative, then the accused must be acquitted.”
27
Bagi suatu kes pengedaran dadah di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, di akhir kes pendakwaan, 3 elemen yang perlu dibuktikan oleh Pihak Pendakwaan adalah seperti berikut:
a
Dadah yang dipertuduhkan tersenarai sebagai dadah berbahaya di dalam Jadual Pertama Akta Dadah
b
OKT mempunyai milikan, jagaan dan kawalan terhadap dadah yang dirampas di tempat kejadian.
c
OKT telah mengedar dadah yang dirampas di tempat kejadian di bawah peruntukan seksyen 39B(1)(a) ADB dan boleh dihukum di bawah seksyen 39B(2) Akta yang sama. Elemen Pertama Sama Ada Dadah Yang Dipertuduhkan Tersenarai Sebagai Dadah Berbahaya Di Dalam Jadual Pertama Akta Dadah Berbahaya 1952 (ADB 1952).
28
SP1 iaitu ahli kimia di Jabatan Kimia Malaysia, Kelantan telah menjalankan analisis ke atas barang kes dadah dan telah mengesahkan melalui Laporan Kimianya (P16) bahawa barang kes yang telah dianalisisnya adalah dadah berbahaya dari jenis Methamphetamine yang tersenarai dalam Jadual Pertama Akta Dadah Berbahaya 1952.
29
Mahkamah ini mendapati keterangan SP1 berkenaan hasil analisis yang dijalankan ke atas barang kes dadah telah tidak dicabar dan tidak dipertikaikan oleh pihak pembelaan. Mahkamah ini juga menerima keterangan SP1 serta Laporan Kimia (P16) sebagai keterangan menurut peruntukan seksyen 399 Kanun Tatacara Jenayah.
30
Mahkamah ini juga merujuk dan mengambil panduan daripada kes Munusamy Vengadasalam v PP (1986) 1 MLRA 292 di mana Mahkamah Agung mengatakan seperti berikut: “[9] … As a rule, a chemist in drug cases does not give any opinion as to ownership, control or possession of the substance sent for analysis, but he merely reports the result of the chemical examination of the substance. The only reason for sending the exhibit to he chemis is to determine its identity and to confirm what other witnesses have suspected. … We are therefore of the view, that in this type of cases where the opinion of the chemist is confined only to he elementary nature and identity of substance, the Court is entitled to accept the opinion of the expert of its face value, unless it is inherently incredible or the defence calls evidence in rebuttal by another expert to contradict the opinion. So long as some credible evidence is given by the chemist to support his opinion, there is no necessity for him to go into details of what he did in the laboratory, step by step. … “
31
Prinsip undang-undang yang dinyatakan dalam kes Munusamy Vengadasalam v PP di atas telah diikuti oleh Mahkamah Rayuan dalam kes Tarmizi bin Yaacob dan satu lagi v PP (2006) 2 MLRA 185 di mana Mahkamah Rayuan mengatakan seperti berikut: “[25] Panduan pertama yang ditetapkan dalam kes-kes itu ialah supaya mahkamah perbicaraan menerima prima facie keterangan ahli kimia melainkan ia ternyata sukar dipercayai hingga tiada orang yang berfikiran waras boleh percaya kebenarannya. Keduanya, selagi keterangan itu boleh dipercayai ahli kimia tidak perlu menunjukkan secara terperinci apa yang dibuat di dalam makmalnya. … “
32
Berdasarkan kepada peruntukan seksyen 399 Kanun Tatacara Jenayah serta kes-kes dahuluan yang dinyatakan di atas, Mahkamah ini menerima keterangan SP1 dan ekshibit P16 dan dengan itu juga Mahkamah ini berpuashati bahawa barang kes yang dianalisis tersebut adalah dadah berbahaya dari jenis Methamphetamine yang tersenarai dalam Jadual Pertama Akta dadah Berbahaya 1952. Oleh itu Mahkamah ini mendapati bahawa elemen pertama tersebut telah berjaya dibuktikan oleh pihak pendakwaan. Elemen Kedua Sama Ada OKT Mempunyai Milikan, Jagaan Dan Kawalan Terhadap Dadah Yang Dirampas Di Tempat Kejadian.
33
Dalam kes ini, daripada keterangan pengadu (SP2), tangkapan OKT adalah hasil daripada satu maklumat dadah yang mengatakan satu aktiviti dadah akan berlaku yang melibatkan kereta Proton Wira NBL 6566. Di sepanjang pemerhatian SP2 dan pasukannya, OKT hanya memandu kereta tersebut sehingga dia ditangkap. Tiada sebarang keterangan yang menunjukkan OKT ada pada bila-bila masa membuka boot kereta tersebut atau memasukkan ketiga-tiga guni tersebut ke dalam boot kereta tersebut.
34
SP2 juga mengatakan bahawa barang kes dadah telah ditemui di dalam boot kereta tersebut yang berada dalam 3 guni berwarna putih bertulisan Thai yang bertutup tetapi tidak ber”seal”. Guni-guni tersebut diletakkan secara terdedah di dalam boot kereta tersebut tanpa dilindungi atau ditutupi oleh sebarang objek. Barang kes dadah tersebut tidak disembunyikan di dalam satu ruang khas “special compartment” yang dibuat untuk tujuan menyorokkan sesuatu barangan.
35
Pegawai penyiasat (SP10) telah mendapati bahawa kereta tersebut didaftarkan atas nama Nur Irni Binti Fauzi yang tidak hadir memberi keterangan dalam perbicaraan ini. Walaupun pihak polis mempunyai maklumat bahawa Nur Irni Binti Fauzi ini tinggal di Seksyen 27 Shah Alam, namun tiada sebarang usaha dibuat untuk mengesannya di sana.
36
SP8 telah pada 7.9.2019 merakamkan percakapan Nur Irni Binti Fauzi menurut Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah. Pada tarikh tersebut pihak polis telah pun mengetahui bahawa Nur Irni tidak lagi tinggal di Rantau Panjang tetapi tinggal bersama ibu bapanya di Seksyen 27 Shah Alam, Selangor.
37
SP9, Insp. Nurul Nabilah yang ditugaskan untuk mengesan Nur Irni Binti Fauzi hanya cuba mengesan Nur Irni dalam bulan April dan Mei 2025 iaitu selepas perbicaraan kes ini telahpun bermula. Walaupun keberadaan Nur Irni di Seksyen 27 Shah Alam telah ada dalam maklumat pihak polis sejak 7.9.2019 namun SP9 masih cuba mengesan Nur Irni di alamat lamanya di Kg. Gertak 3, Rantau Panjang serta membuat hebahan dan sebaran pencarian Nur Irni dalam FB dan Instagram IPD Pasir Mas sahaja. Tiada sebarang usaha telah dibuat untuk mengesan Nur Irni di Seskyen 27 Shah Alam. SP9 tidak meminta bantuan darpada IPD Shah Alam atau IPK Selangor untuk membuat hebahan bagi mengesan Nur Irni. SP9 juga tidak membuat sebarang pertanyaan kepada mana-mana syarikat telco untuk mengesan nombor telefon terkini Nur Irni.
38
Berdasarkan keterangan SP9, Mahkamah ini tidak berpuashati dengan usaha yang telah dijalankan untuk mengesan Nur Irni Binti Fauzi iaitu pemilik berdaftar kereta tersebut. Oleh yang demikian, Mahkamah ini tidak mengambil kira pernyataan di bawah s.112 Kanun Tatacara Jenayah yang telah dirakamkan daripada Nur Irni Binti Fauzi (P59) oleh SP8 iaitu Insp. Zulfadly Syazwan kerana gagal memenuhi kehendak s. 32 Akta Keterangan 1950. Dengan keadaan dan tahap usaha untuk mengesan Nur Irni Binti Fauzi dalam kes ini, Nur Irni Binti Fauzi ini tidak boleh dikatakan sebagai seorang yang tidak boleh ditemui, sebaliknya tiada usaha yang munasabah dibuat untuk mengesannya.
39
Mohamad Shah Rizal (SP6) dalam keterangannya mengatakan bahawa OKT mempunyai kenderaan lain selain daripada kereta tersebut dan kereta tersebut pernah digunakan oleh SP6 sebelum SP6 dan OKT ditangkap. SP6 juga mengatakan bahawa seorang lagi lelaki bernama Megat yang merupakan rakan rumah sewa OKT juga pernah menggunakan kereta tersebut.
40
40.
Preamble
Menurut SP6 lagi, dalam rumah sewa OKT tersebut, kunci kereta tersebut hanya disangkut di dinding rumah sahaja. SP6 mengatakan bahawa dia boleh menggunakan kereta tersebut pada bila-bila masa sahaja sebab kunci kereta tersebut memang berada di tempat terbuka dalam rumah sewa tersebut dan dia tidak perlu dapatkan kebenaran daripada OKT terlebih dahulu kalau dia hendak menggunakan kereta tersebut.
41
Keterangan SP6 ini menunjukkan bahawa kereta tersebut bukanlah hanya digunakan oleh OKT seorang secara eksklusif tetapi sesiapa sahaja yang berada dalam rumah sewa tersebut boleh menggunakan kereta tersebut tanpa perlu mendapatkan kebenaran daripada OKT. Status kereta tersebut adalah seumpama suatu “harta wakaf” yang boleh digunakan oleh sesiapa sahaja dan pada bila-bila masa sahaja.
42
Selanjutnya, Normazlina Zainuddin iaitu Ahli Kimia DNA (SP5), dalam keterangannya mengatakan bahawa terdapat kehadiran profil DNA 2 orang lelaki yang tidak dikenalpasti berada dalam kereta wira tersebut. 1 profil DNA ditemui pada botol Coca Cola yang ditemui di atas alas kaki/pemijak kaki bahagian pemandu dan 1 profil DNA lagi diperolehi pada tin minuman yang ditemui dalam boot kereta wira tersebut.
43
Keterangan SP5 dan SP6 ini dengan jelas menunjukkan kehadiran individu-individu lain dalam kereta tersebut. Adalah menjadi undang-undang mantap bahawa adalah menjadi tugas pihak pendakwaan untuk membuktikan tiada akses mana-mana pihak lain terhadap dadah yang dipertuduhkan kepada OKT khususnya jika penangkapan OKT adalah berdasarkan maklumat daripada orang awam.
44
Mahkamah ini merujuk dan mengambil panduan daripada prinsip undang-undang yang dinyatakan oleh Mahkamah Persekutuan dalam kes Ibrahim Mohamad & Anor v. PP [2011] 1 MLRA 181 di perenggan [12] di mana Zulkefli Makinudin HMP mengatakan: [12] The Supreme Court in Abdullah Zawawi had therefore highlighted the danger of relying on tip-off’s case as tehere is a possibility that in such a situation the drugs may have been planted in order to implicate the accused. Hence the need for the prosecution to exclude the possibilities tat other individuals may have access to the drugs in question. We find on a proper perusal of the evidence it would show that the prosecution had failed to exclude the possibility of others having access to the said vehicle. No evidence whatsoever was adduced by the prosecution to exclude the possibility that Zainuddin and/or other individual had access to the vehicle prior to the date of arrest. …”
45
Dalam kes yang dibicarakan ini, bukan sahaja pihak pendakwaan gagal untuk mengecualikan akses individu-individu lain terhadap kereta tersebut namun keterangan saksi-saksi pihak pendakwaan sendiri khususnya SP5 dan SP6 mengatakan dan menunjukkan terdapat individu-individu lain yang telah memandu dan mengakses kepada kereta tersebut dan boot kereta tersebut sebelum OKT ditangkap ketika sedang memandu kereta tersebut.
46
Daripada fakta kes ini juga yang menunjukkan bahawa kereta tersebut digunakan oleh OKT dan individu-individu lain secara bebas dan bersilih-ganti, terdapat 2 inferens yang boleh dibuat berkenaan 3 guni putih yang dikatakan mengandungi dadah-dadah yang dijumpai di dalam boot kereta tersebut. Inferens pertama adalah bahawa ketiga-tiga guni tersebut diletakkan dalam boot kereta tersebut oleh OKT sendiri dan inferens kedua adalah ketiga-tiga guni tersebut diletakkan dalam boot kereta tersebut oleh individu-individu lain. Menurut prinsip undang-undang yang terpakai, inferens kedua yang memihak kepada OKT hendaklah diterima pakai.
47
Daripada fakta-fakta di atas, Mahkamah ini berpendapat bahawa OKT bukan sahaja tidak mempunyai milikan, jagaan dan kawalan eksklusif terhadap dadah-dadah yang dijumpai dalam boot kereta tersebut malah terhadap kereta tersebut sendiri. Oleh itu adalah menjadi dapatan Mahkamah ini bahawa pihak pendakwaan telah gagal untuk membukti elemen kedua pertuduhan berkenaan pemilikan, jagaan dan kawalan ke atas dadah-dadah tersebut.
48
48.
Preamble
Menurut ekshibit P58 iaitu buku daftar stor barang kes, catatan pada tarikh 9.9.2019 jam 8.00 pagi menunjukkan SP10 telah mengambil barang kes dadah dari stor barang kes untuk dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia, Kelantan. Menurut ekshibt P6 iaitu resit rasmi yang dikeluarkan oleh Jabatan Kimia Kelantan pula, barang kes diterima oleh Jabatan Kimia Kelantan pada 10.9.2019 jam 2.10 petang iaitu selepas 30 jam barang kes dadah tersebut dikeluarkan dari stor barang kes.
49
SP10, pegawai penyiasat dalam pernyataan bertulisnya PSP10 khususnya di muka surat 9 perenggan 19 juga mengatakan bahawa pada 9.9.2019 SP10 telah mengambil barang-barang kes iaitu 3 kotak polisterin dari stor IPD Pasir Mas dan disimpan di pejabat SP10 untuk persediaan dibawa ke IPK bagi tujuan sidang media dan kemudiannya untuk di bawa ke Jabatan Kimia untuk analisis.
50
SP10 dalam pernyataan bertulisnya PSP10 khususnya di muka surat 9 perenggan 20 mengatakan bahawa pada 10.9.2019, SP10 telah membawa barang-barang kes yang terkandung dalam 3 kotak polisterin tersebut ke IPK untuk sidang media dan sidang media tersebut telah selesai pada jam lebih kurang 12.00 tengah hari. Kemudian dari situ barulah barang-barang kes dihantar ke Jabatan Kimia pada jam 2.10 petang.
51
Daripada fakta ini, Mahkamah mendapati tiada sebarang penjelasan diberikan oleh SP10 berkenaan bagaimana barang-barang kes tersebut disimpan di pejabatnya antara jam 8.00 pagi pada 9.9.2019 hingga sidang media dijalankan pada 10.9.2019 dan seterusnya sehingga ia dibawa ke Jabatan Kimia pada jam
2
2.10 petang. Tiada keterangan bagaimana dan di mana ia disimpan dan di bawah jagaan atau kawalan siapa. Tiada juga keterangan yang mengatakan bahawa barang-barang kes tersebut disimpan dalam kabinet besi berkunci di sepanjang masa tersebut.
52
Dalam ketiadaan keterangan yang jelas dan meyakinkan bahawa barang-barang kes dadah tersebut telah disimpan dengan selamat dalam kabinet besi berkunci dan bebas dari diakses atau dikacau ganggu oleh mana-mana individu lain, Mahkamah ini tidak boleh membuat anggapan sendiri bahawa barang-barang kes dadah tersebut telah disimpan oleh SP10 dalam kabinet besi berkuncinya dengan selamat dan bebas dari kacau ganggu oleh individu lain disepanjang tempoh barang-barang kes tersebut dikeluarkan dari stor barang kes sehingga ia dihantar ke Jabatan Kimia.
53
Berkenaan simpanan selamat barang-barang kes ini, Mahkamah ini bersetuju dengan pandangan dan keputusan Mahkamah Tinggi dalam kes Public Prosecutor v. Saw Kok Leong [1993] 3 MLRH 187 yang mengatakan seperti berikut: “Again, in a capital charge it is not permissible for this Court to presume that PW11 replaced P4A and P5A back into his cabinet and locked them soon or immediately after the photography session by PW2. Such presumptions are no substitute for clear, direct and positive evidence of it’s safe custody, a fortiori in a capital charge.”
54
Sebaliknya, dalam ketiadaan keterangan yang jelas dan meyakinkan bahawa barang-barang kes dadah tersebut telah disimpan dengan selamat dalam kabinet besi berkunci SP10 dan bebas dari diakses atau dikacau ganggu oleh mana-mana individu lain, Mahkamah ini berhak membuat inferens bertentangan (adverse inference) terhadap kes pendakwaan bahawa barang-barang kes dadah tersebut telah tidak disimpan, dijaga dan dikawal dengan selamat disepanjang tempoh lebih 30 jam tersebut dan terdedah kepada kacau ganggu pihak lain.
55
Inferens bertentangan yang memihak kepada OKT ini adalah selari dengan prinsip yang dinyatakan dalam kes PP vs Mohd Radzi Abu Bakar (supra): “Thus, if the prosecution evidence admits of two or more inferences, one of which is in the accused’s favour, then it is the duty of the court to draw inference that is favourable to the accused.”
56
Adalah menjadi prinsip undang-undang yang mantap bahawa dalam suatu kes yang berat dan serius, seorang pegawai penyiasat tidak sepatutnya mengendalikan barang kes secara sambil-lewa sehingga meninggalkan jurang dalam rantaian keterangan. Mahkamah ini merujuk dan mengambil panduan daripada prinsip yang dinyatakan oleh Mahkamah Agong dalam kes Mohd Osman Pawan V. Public Prosecutor [1989] 1 MLRA 67, Mahkamah menyatakan: “ .. In a serious case, such as this, it is pertinent to emphasise again that investigation officer should not treat the custody of exhibits lightly so as to leave a gap in the chain of evidence relating to the exhibits before their production to the court.”
57
Dalam kes Kumaguru V PP [1994] 1 MLJ 254, Mahkamah menyatakan: “However, in view of the several binding Supreme Court decision and a plethora of High Court authorities on this score, it is untenable for this court to accept a lower standard of custody of drug exhibits for cases tried in the lower court than in the High Courts. It is also settled law that on matters concerning the identity of drug exhibits, the proof of which (on the beyond reasonable doubt basis) lay with the prosecution throughout the case, no requirement rest on the defence to register any challenge on the issue. And as there is no need for the defence to do so, I hold that in this case and upon the evidence, the prosecution has failed to established the identity of the drug exhibits in the court below.”
58
Berdasarkan prinsip yang dinyatakan dalam kes-kes Mohd Osman Pawan dan Kumaguru di atas, Mahkamah ini berpendapat bahawa adalah menjadi tugas pendakwaan untuk memastikan rantaian keterangan adalah tidak terputus serta menjejaskan identiti barang kes dadah serta tidak meninggalkan sebarang kelompangan pada kes pendakwaan. Kegagalan pendakwaan menjelaskan apa yang berlaku kepada barang-barang kes di antara jam 8.00 pagi pada
9
9.9.2019 sehingga jam 2.10 petang pada 10.9.2019 adalah padah kepada kes pendakwaan.
59
Berkenaan dengan kehilangan ketiga-tiga guni putih bertulisan Thai tersebut yang di dalamnya dadah-dadah tersebut dikatakan ditemui, SP10 juga mengatakan bahawa guni-guni tersebut telah hilang dari simpanan SP10 dan gagal ditemui dan gagal dikemukakan sebagai sebahagian daripada ekshibit semasa perbicaraan kes ini. Penjelasan SP10 hanyalah bahawa guni-guni tersebut telah hilang dari dalam kabinet besi berkunci miliknya dan dipercayai hilang semasa proses perpindahan daripada IPD Pasir Mas yang lama ke IPD Pasir Mas yang baru.
60
Fakta ini menunjukkan bahawa selain daripada SP10, terdapat orang lain yang mempunyai akses kepada kabinet besi milik SP10 yang telah mengeluarkan barang-barang dalam kabinet besi tersebut sebelum memindahkannya ke IPD Pasir Mas yang baru.
61
Mahkamah ini berpendapat bahawa walaupun 3 guni yang hilang tersebut bukanlah merupakan barang-barang dadah yang dirampas tetapi hanya merupakan bekas dalam mana barang- barang dadah tersebut ditemui namun kewujudan 3 guni tersebut adalah berkait rapat dengan penemuan barang-barang kes dadah tersebut di dalamnya sehinggakan ia merupakan sebahagian daripada ekshibit penting bagi melengkapkan naratif kes pendakwaan. Tanpa adanya guni-guni tersebut maka tiadalah dadah-dadah yang dijumpai di dalamnya. Identiti dadah-dadah yang dirampas adalah tidak lengkap tanpa guni-guni tersebut.
62
Kegagalan pihak pendakwaan menjelaskan kedudukan dan cara penyimpanan dadah-dadah tersebut dalam masa lebih 30 jam di antara ia dikeluarkan dari stor barang kes sehingga ia dihantarkan ke Jabatan Kimia dan juga kegagalan mengemukakan 3 guni yang menjadi bekas dadah-dadah tersebut semasa ditemui telah memberi kesan buruk kepada identiti barang kes dadah dan menyebabkan terputusnya rantaian keterangan kes pendakwaan.
63
Gambar-gambar 3 guni tersebut (P32 A-D) semata-mata adalah tidak mencukupi di bawah prinsip “best evidence rule” untuk membuktikan kewujudan 3 guni tersebut melainkan ia dikemukakan secara fizikal di Mahkamah untuk penilaian dan penelitian Mahkamah, melainkan jika terdapat penjelasan yang memuaskan hati mahkamah. Sama ada OKT telah mengedar dadah yang dirampas di tempat kejadian di bawah peruntukan seksyen 39B(1)(a) ADB dan boleh dihukum di bawah seksyen 39B(2) Akta yang sama.
64
Oleh kerana intipati pemilikan, jagaan dan kawalan gagal dibuktikan oleh pihak pendakwaan terhadap OKT, maka elemen pengedaran juga gagal dibuktikan oleh pihak pendakwaan dan Mahkamah ini tidak akan mengulas lanjut berkenaan isu ini.
65
Dalam kes Magendran Mohan v. PP [2012] 5 MLRA 333 Mahkamah Persekutuan menyatakan seperti berikut: “[42] The test at the end of the prosecution’s case is “prima facie” based on a maximum evaluation of evidence. The evidence has to be scrutinised properly and not perfunctorily, cursorily or superficially. If the evaluation of the evidence results in doubts in the prosecution’s case, then a prima facie case has not been made out. The defence ought not to be called merely to clear or clarify such doubts.”
66
Kesimpulannya, daripada keseluruhan keterangan yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan di peringkat ini, Mahkamah ini tidak bersedia untuk mensabitkan OKT jika OKT dipanggil membela diri dan OKT memilih untuk berdiam diri. Oleh itu, Mahkamah ini mendapati bahawa pihak pendakwaan telah gagal untuk membuktikan satu kes prima facie terhadap OKT, maka OKT dilepaskan dan dibebaskan tanpa dipanggil untuk membela diri. Bertarikh: 29 Disember 2025. (MOHD ROSLI BIN YUSOFF) Hakim Mahkamah Tinggi Malaya Kota Bharu, Kelantan. Bagi pihak Pendakwa Raya: TPR Nik Nur Adila binti Mat Zaidan, Timbalan Pendakwa Raya, Pejabat Pendakwaan Negeri Kelantan, AG-3-03-06, Al-Waqah @ Tunjong, Tingkat 3, Bangunan H Elite Design, 16010 Kota Bharu, Kelantan. Bagi pihak Tertuduh: Wan Azwan Aiman Bin Wan Fakhruddin & Effa Azuin Binti Aidrul Hisham Tetuan Scivetti & Associates M-2-20 (1st Floor), Plaza Damas, 60, Jalan Sri Hartamas 1, Sri Hartamas, 50480 Kuala Lumpur.
Wrong text, a broken link, out-of-date content, or a removal request — tell us and we'll check it against the official source.