Content
Page 1 of 21 DALAM MAHKAMAH TINGGI MALAYA DI BUTTERWORTH DALAM NEGERI PULAU PINANG, MALAYSIA PERBICARAAN JENAYAH: PB-45A-48-07/2021 ANTARA PENDAKWA RAYA
PB-45A-48-07/2021
High Court of Malaysia11 Jun 2025
The written judgment as the court issued it, with the coram, case number, and source links. Every paragraph has its own anchor.
Citations and treatment detected automatically from later judgments and the authorities this decision relies on.
Later cases and laws citing this decision
Not yet cited by a later decision.
Earlier cases and laws this decision relies on
“uan [39] Untuk membuktikan pemilikan, pihak pendakwaan perlu membuktikan dua elemen penting iaitu pengetahuan dan kawalan fizikal atau dominasi ke atas barang kes. Di dalam kes Chan Pean Leon v. PP [1956] CLJU 17; [1956] 1 LNS 17; [1956] 22 MLJ 237, Hakim Thomson telah menjelaskan tentang kedua-dua unsur tersebut pada”
Auto-detected from judgment text; not a substitute for a citator check.
Content
Page 1 of 21 DALAM MAHKAMAH TINGGI MALAYA DI BUTTERWORTH DALAM NEGERI PULAU PINANG, MALAYSIA PERBICARAAN JENAYAH: PB-45A-48-07/2021 ANTARA PENDAKWA RAYA
1
VILVA NATHAN A/L SURIANMURTY
2
CHAKRA WARTHI A/L PANNIR SELVAN
3
PUTERI MURNI ALASAN PENGHAKIMAN
a
(A) PENGENALAN [1] Ketiga-tiga OKT, iaitu Vilva Nathan a/l Surianmurty, Chakra Warthi a/l Pannir Selvan dan Puteri Murni, telah dihadapkan ke Mahkamah atas pertuduhan di bawah seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 (“ADB 1952”). Pertuduhan adalah seperti berikut: Page 2 of 21 “Bahawa kamu bersama-sama pada 3 September 2020 jam lebih kurang 11.30 malam bertempat di No. 2 Pintasan Tenggiri 2 Seberang Jaya, 13700 Perai, dalam Daerah Seberang Perai Tengah, dalam Negeri Pulau Pinang telah mengedar dadah berbahaya jenis Methamphetamine seberat 149.7 gram dan dengan itu kamu bersama-sama telah melakukan satu kesalahan di bawah seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah seksyen 39B(2) Akta yang sama dan dibaca bersama seksyen 34 Kanun Keseksaan.”. [2] Di akhir kes pendakwaan, Mahkamah ini memutuskan bahawa pihak pendakwaan telah gagal membuktikan kes prima facie terhadap ketiga-tiga OKT atas pertuduhan tersebut. Oleh itu, ketiga-tiga OKT telah dilepas dan dibebaskan tanpa dipanggil membela diri. [3] Pihak pendakwaan tidak berpuas hati terhadap keputusan tersebut dan telah memfailkan Notis Rayuan pada 25.6.2025. Maka berikut adalah alasan Mahkamah ini.
b
(B) KES PENDAKWAAN [4] Pihak pendakwaan telah memanggil seramai lima (5) orang saksi untuk memberi keterangan, mereka ialah:
a
SP1 - Siti Aishah Che Ani – (Ahli Kimia)
b
SP2 - Surianmurty a/l Ponniah – (Saksi Awam)
c
SP3 - Insp Bahtiyar Bacho – (Pengadu)
d
SP4 - Kpl Muhammad Nasrullah Saidin – (Anggota Serbuan)
e
SP5 - Insp Muhammad Amirul Mukmin Aziz – (Pegawai Penyiasat) Page 3 of 21 [5] Secara ringkasnya, keterangan saksi-saksi pendakwaan menunjukkan bahawa pada 03/09/2020, jam lebih kurang 2200 hrs, semasa SP3 berada di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Seberang Perai Tengah Pulau Pinang, beliau telah menerima satu maklumat mengenai aktiviti pengedaran dadah oleh seorang lelaki berbangsa India di kawasan perumahan Pintasan Tenggiri 2 Seberang Jaya 13700 Perai, Pulau Pinang. [6] Selepas menerima maklumat tersebut, SP3 telah memberikan taklimat penugasan kepada 3 orang anggota pasukan mengenai serbuan yang akan dilaksanakan. Setelah selesai taklimat tersebut, SP3 bersama D/Kpl 175811 Muhammad Nasrullah Bin Saidin, D/Kpl 179661 Muhammad Ibqtisam Bin Abd Rasid dan D/L/Kpl 191643 Mohd Ayub bin Abd Wahab (anggota pasukan) telah menggunakan sebuah van pasukan polis yang tidak berlambang untuk pergi ke kawasan perumahan Pintasan Tenggiri 2, Seberang Jaya 13700 Perai, Pulau Pinang. [7] Sesampai di hadapan rumah beralamat No. 24, Pintasan Tenggiri 2, Seberang Jaya, 13700 Perai, Pulau Pinang (“Rumah No. 24”) SP3 dan anggota pasukan telah membuat pemerhatian selama lebih kurang 10 minit. Kemudiannya SP3 telah melihat satu lelaki India (selepas ini disebut sebagai “OKT1”) dalam keadaan yang mencurigakan lalu SP3 menahan OKT1. [8] SP3 telah memperkenalkan dirinya sebagai pegawai kanan polis kepada OKT1 dengan menunjukkan kad kuasa. Seterusnya SP3 telah menjalankan pemeriksaan fizikal terhadap OKT1 dan telah menjumpai satu (1) beg silang jenama ‘mawin’ yang sedang disilang di badan OKT1. Page 4 of 21 [9] SP3 telah membuka beg silang tersebut dengan disaksikan oleh OKT1. SP3 mendapati di dalamnya satu (1) rangkai kunci dengan empat (4) batang anak kunci. Satu (1) Bil Indah Water beralamat No. 2 Pintasan Tenggiri 2 bandar Seberang Jaya 13700, Perai Pulau Pinang (“Rumah No. 2”), satu (1) Kad Pengenalan atas nama Vilva Nathan a/l Surianmurty, (No. KP: 841209-02-6049). [10]
Preamble
Menurut SP3, beliau telah membaca kata-kata amaran di bawah seksyen 37B(1)(b) ADB 1952, dan kemudiannya bertanya kepada OKT1 sama ada dia memiliki atau menyimpan apa-apa barang yang menyalahi undang-undang. SP3 juga bertanya OKT1 mengenai kunci dan Bil Indah Water Rumah No. 2. [11] OKT1 telah menunjukkan rumah tersebut dengan menggunakan telunjuk tangan kanan. OKT1 juga dikatakan mengaku ada menyimpan dadah jenis Syabu di rumah tersebut. OKT1 telah membawa SP3 bersama anggota polis yang lain ke Rumah No. 2. Rumah tersebut berada pada jarak lebih kurang 200 meter dari tempat OKT1 ditahan. [12] Apabila sampai di rumah tersebut, SP3 mendapati pintu pagar hadapan rumah tersebut dalam keadaan tertutup dan berkunci dengan menggunakan mangga. SP3 telah menggunakan salah satu anak kunci yang dirampas daripada OKT1 untuk membuka mangga bertulis ‘Extra Secure’. Apabila mangga tersebut dapat dibuka, SP3 bersama anggota polis yang lain dan OKT1 telah masuk ke dalam kawasan rumah dan terus ke pintu sliding rumah tersebut. [13] SP3 mendapati pintu sliding tersebut dalam keadaan tertutup tetapi tidak berkunci. SP3 telah mendahului anggota yang lain masuk ke dalam rumah itu dan mendapati satu (1) lelaki iaitu OKT2 dan satu (1) perempuan iaitu OKT3 sedang duduk bersila di atas Page 5 of 21 lantai di ruang tamu rumah tersebut dan disyaki sedang menghisap dadah. [14] SP3 memperkenalkan dirinya sebagai pegawai kanan polis dengan tunjukkan kad kuasa kepada kedua-dua OKT dan mengarahkan mereka untuk berdiri. SP3 kemudiannya menjalankan pemeriksaan fizikal terhadap OKT2 dan tidak menjumpai apa-apa barang salah. [15] Selanjutnya SP3 telah menjalankan pemeriksaan di atas lantai ruang tamu dengan disaksikan oleh ketiga-tiga OKT. Hasil pemeriksaan, SP3 telah menjumpai:
a
empat (4) paket plastik lutsinar di dalamnya berisi hablur-hablur disyaki dadah jenis Methamphetamine;
b
satu (1) bungkusan plastik lutsinar di dalamnya berisi plastik-plastik lutsinar kosong;
c
satu (1) alat penimbang digital;
d
satu (1) botol plastik yang diubah suai disyaki alat untuk menghisap dadah; dan
e
satu (1) pemetik api. [16] Pemeriksaan lanjut dibuat di atas sofa yang terletak di ruang tamu rumah itu dan telah menjumpai dua (2) keping sijil cuti sakit no. 744402 dan no. 788290 atas nama Vilva Nathan a/l Surianmurty (No. KP: 841209-02-6049). [17] SP3 telah merampas kesemua barang tersebut dan hasil pemeriksaan yang selanjutnya, SP3 juga turut merampas satu (1) helai baju jenama ‘guangchanglong’ dan satu (1) helai seluar jenama ‘pro-touch’ yang berada di dalam almari di ruang tamu rumah tersebut. SP3 turut merampas satu (1) mangga bertulis ‘hardened steel’ yang berada di bahagian pintu sliding. Page 6 of 21 [18] Ketiga-tiga tangkapan dan barang rampasan dibawa balik ke Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang (“BSJN IPD SPT”) untuk tindakan lanjut. Pada sepanjang masa semua barang kes dikawal dan dalam jagaan SP3, manakala ketiga-tiga tangkapan itu dikawal oleh anggota pasukan. [19] Setelah sampai di Pejabat BSJN IPD SPT, SP3 telah membuat tandaan iaitu tandatangan dan tarikh kejadian iaitu 03/09/2020 ke atas semua barang kes yang dirampas. [20] SP3 telah mengambil tindakan menyediakan dokumentasi yang berkaitan seperti menyediakan Borang Bongkar, Borang Serah Menyerah dan membuat laporan polis iaitu Seberang Jaya Repot/005619/20 dan Seberang Jaya Repot/005620/20. SP3 mengesahkan bahawa beliau tidak pernah bertemu dengan ketiga-tiga OKT sebelum tangkapan tersebut. [21] Pada 04/09/2020, jam lebih kurang 0700hrs, SP3 telah menyerahkan ke semua barang kes yang dirampas dan juga ketiga-tiga OKT kepada Insp Muhammad Amirul Mukmin bin Aziz (SP5) bertempat di pejabat BSJND IPD SPT. [22] Setelah SP3 menyerahkan barang rampasan dan OKT-OKT kepada SP5, SP5 telah memeriksa dan menimbang berat barang kes. Kemudiannya SP5 telah membuat tandaan pada kesemua barang rampasan tersebut. Selepas itu SP5 telah menyimpan kesemua barang kes ke dalam peti besi berkunci yang hanya boleh diakses oleh beliau. Page 7 of 21 [23] SP5 bersama SP3 dan Jurufoto telah pergi ke tempat kejadian di Rumah No. 24 dan Rumah No. 2. [24] SP3 telah tunjukkan tempat di mana OKT1, OKT2 dan OKT3 ditahan serta tempat barang kes dijumpai. SP5 telah mengarahkan Jurufoto untuk merakam empat belas (14) keping gambar tempat kejadian. SP5 turut melakar rajah kasar tempat kejadian tersebut. [25] Pada 04/09/2020, jam lebih kurang 10.00 malam, bertempat di Pejabat Pegawai Penyiasat Narkotik IPD Seberang Perai Tengah, SP5 telah keluarkan semua barang kes dari peti besi berkunci dan menyusun barang kes tersebut untuk dirakam gambar. SP5 telah mengarahkan Jurufoto untuk merakam sebanyak sembilan belas
19
keping gambar barang kes sebelum dan selepas proses dusting. [26] Selesai merakam gambar-gambar tersebut, SP5 telah memasukkan barang-barang kes yang disyaki dadah ke dalam satu sampul surat bertanda ‘AR’ dan telah menyediakan satu Borang POL 31 untuk diserahkan ke Jabatan Kimia Malaysia bagi tujuan analisis kimia. Kemudiannya sampul surat bertanda ‘AR’ berserta kandungannya telah disimpan semula ke dalam peti besi berkunci. [27] SP5 telah membuat acu pakai baju yang dirampas dengan OKT1 dan mendapati ianya sepadan. SP5 juga telah arahkan Jurufoto untuk merakam tiga (3) keping gambar acu pakai baju tersebut. [28] Pada 09/09/2020 jam lebih kurang 2.24 petang bertempat di Jabatan Kimia Pulau Pinang, SP5 telah menghantar barang kes yang disimpan di dalam sampul surat bertanda AR bersama dengan Borang POL-31 kepada Puan Siti Aishah binti Che Ani (SP1). Kemudiannya SP1 telah menyerahkan kepada SP5 satu resit rasmi dari Jabatan Kimia Malaysia. Page 8 of 21 [29] SP5 juga telah menyimpan satu kotak barang kes PDRM yang bertanda ‘AR’ di stor barang kes berpusat Kepala Batas dan diakui terima oleh Penjaga Stor KPL Ammar Nuzli bin Abdul Rahim. [30] Pada 30/12/2020 jam lebih kurang 10.10 pagi bertempat di Jabatan Kimia Pulau Pinang, SP5 telah mengambil dan menerima semula barang kes yang telah siap dianalisis oleh SP1 di dalam sampul surat bertanda ‘AR’ yang dimeterai dengan label keselamatan Jabatan Kimia Malaysia berserta tiga salinan laporan kimia dengan nombor makmal 20-FR-P-05854. [31] Pada 12/01/2021 jam lebih kurang 3.50 petang, bertempat di Stor Barang Kes Berpusat Kepala Batas, SP5 telah menghantar satu sampul surat bertanda AR yang dimeterai dengan label keselamatan Jabatan Kimia Malaysia 20-FR-P-05854 (di dalamnya terdapat barang kes dadah yang siap dianalisis) dan diakui terima oleh Penjaga Stor iaitu KPL Mohd Zaidi bin Omar.
c
(C) PENILAIAN DAN DAPATAN MAHKAMAH [32] Di akhir kes pendakwaan, adalah menjadi tanggungjawab pihak pendakwaan untuk membuktikan satu kes prima facie terhadap tertuduh sebagaimana yang diperuntukkan di bawah seksyen 180(4) Kanun Tatacara Jenayah. Ini bermaksud, pihak pendakwaan hendaklah mengemukakan keterangan yang kukuh dan boleh dipercayai bagi membuktikan setiap elemen penting bagi kesalahan yang dipertuduhkan, iaitu pengedaran dadah berbahaya. Sekiranya elemen-elemen ini tidak dijelaskan atau disangkal oleh tertuduh, maka tertuduh boleh disabitkan atas pertuduhan tersebut. Page 9 of 21 [33] Dalam menjalankan fungsi kehakimannya, Mahkamah dikehendaki membuat suatu penilaian maksimum terhadap keseluruhan keterangan yang telah dikemukakan. Ini termasuklah menilai kebolehpercayaan dan kebolehterimaan keterangan saksi-saksi pendakwaan secara menyeluruh. Penekanan diberikan terhadap pembuktian semua elemen kesalahan di bawah seksyen 39B(1)(a) ADB 1952. [34] Sekiranya terdapat sebarang keraguan yang munasabah terhadap mana-mana elemen kesalahan, maka manfaat keraguan hendaklah diberikan kepada tertuduh. Dalam keadaan sedemikian, Mahkamah tidak boleh memutuskan bahawa satu kes prima facie telah berjaya dibuktikan terhadap tertuduh. Prinsip ini telah ditegaskan dalam kes Pendakwa Raya v. Mohd Radzi Abu Bakar [2006] 1 CLJ 457. [35] Pada peringkat ini, pihak pendakwaan hendaklah membuktikan elemen-elemen berikut untuk membuktikan kesalahan yang dipertuduhkan ke atas ketiga-tiga OKT, iaitu:
a
dadah yang di jumpai di dalam Rumah No. 2 tersebut adalah dadah berbahaya seperti yang ditakrifkan dalam ADB 1952;
b
dadah tersebut berada dalam milikan ketiga-tiga OKT pada masa tersebut;
c
Ketiga-tiga OKT mengedar dadah tersebut pada masa tersebut;
d
ketiga-tiga OKT mempunyai niat bersama di bawah Seksyen 34 Kanun Keseksaan untuk mengedar dadah tersebut. Page 10 of 21 Elemen Pertama : Identiti dadah [36] Bagi elemen pertama pertuduhan, iaitu berkenaan dengan identiti bahan yang didakwa sebagai dadah berbahaya, Mahkamah mendapati cabaran dikemukakan oleh pihak OKT terhadap keterangan ahli kimia (SP1) tidak melemahkan keterangan SP1. [37] Setelah meneliti keseluruhan keterangan yang diberikan oleh SP1, Mahkamah berpuas hati bahawa keterangan tersebut adalah kukuh, konsisten dan tidak menunjukkan sebarang perkara yang secara inheren tidak boleh dipercayai. SP1 telah mengesahkan bahawa bahan yang dianalisis adalah Methamphetamine seberat 149.7gram, dan bahan tersebut disenaraikan sebagai dadah berbahaya di bawah Jadual Pertama ADB 1952. [38] Sehubungan itu, Mahkamah mendapati bahawa pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan elemen pertama pertuduhan berkaitan identiti dadah seperti dinyatakan dalam pertuduhan. Elemen Kedua : Milikan dan pengetahuan [39] Untuk membuktikan pemilikan, pihak pendakwaan perlu membuktikan dua elemen penting iaitu pengetahuan dan kawalan fizikal atau dominasi ke atas barang kes. Di dalam kes Chan Pean Leon v. PP [1956] CLJU 17; [1956] 1 LNS 17; [1956] 22 MLJ 237, Hakim Thomson telah menjelaskan tentang kedua-dua unsur tersebut pada muka surat 239 seperti berikut: "A movable thing is said to be in possession of a person when he is situated with respect to it that he has the power to deal with it as owner to the exclusion of all other persons and when the circumstances are such that he may be presumed to intend to do so in case of need. To Page 11 of 21 put it otherwise, there is a physical element and mental element which must both be present before possession is made out.". [40] Berpandukan kepada autoriti yang dinyatakan di atas, adalah menjadi suatu prinsip undang-undang yang mantap bahawa bagi membuktikan seseorang itu mempunyai "milikan", perlulah dibuktikan melalui keterangan bahawa seseorang itu mempunyai kawalan atau jagaan ke atas sesuatu barang tersebut dan bebas berurusan atau mengendalikan barang tersebut sepenuhnya tanpa penglibatan orang lain (power of disposal to the exclusion of others) dan mempunyai pengetahuan ke atas barang tersebut. [41] Selaras dengan prinsip undang-undang yang mantap, pihak Pendakwaan perlu membuktikan bahawa ketiga-tiga OKT mempunyai milikan fizikal terhadap dadah tersebut dan bahawa ketiga-tiga OKT mempunyai pengetahuan mengenai kewujudan serta sifat bahan tersebut sebagai dadah berbahaya. [42] Setelah meneliti keseluruhan keterangan yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan serta mengambil kira hujahan yang dikemukakan oleh kedua-dua pihak, Mahkamah mendapati bahawa semua dadah yang menjadi subjek pertuduhan telah ditemui di dalam Rumah No. 2. [43] OKT1 telah ditangkap di lokasi yang berbeza, iaitu di hadapan Rumah No. 24 pada jam 11.15 malam. Keterangan SP3 mengesahkan bahawa lokasi tangkapan adalah kira-kira 200 meter dari Rumah No. 2 dan bahawa OKT 1 tidak mempunyai sebarang kawalan fizikal terhadap dadah tersebut pada ketika beliau ditahan. Page 12 of 21 [44] Semasa Pemeriksaan Balas, SP3 secara jelas bersetuju bahawa OKT1 tidak mempunyai kebolehan untuk memindahkan, mengubah atau menyentuh dadah tersebut pada masa beliau ditangkap. SP3 juga bersetuju bahawa pada masa tangkapan dibuat, dadah tersebut masih belum dijumpai dan OKT 1 sudah berada dalam tahanan pihak polis. Oleh yang demikian, adalah jelas bahawa semasa OKT1 ditahan dia tidak memiliki dadah tersebut. [45] Mahkamah berpendapat bahawa dalam keadaan ini, adalah mustahil untuk Mahkamah membuat satu dapatan bahawa OKT1 mempunyai milikan sebenar terhadap dadah yang dijumpai di dalam Rumah No. 2 tersebut. OKT1 tidak berada di premis tersebut semasa serbuan dilakukan, dan tiada sebarang bukti yang menunjukkan bahawa OKT1 mempunyai kawalan eksklusif terhadap premis tersebut pada masa yang material. [46] Fakta kes ini adalah selari dengan prinsip yang diputuskan dalam kes Roslan Abdullah v PP [2010] 1 CLJ 685, di mana Mahkamah memutuskan bahawa apabila Tertuduh ditangkap di lokasi yang berbeza dan tidak mempunyai kawalan fizikal atau eksklusif terhadap premis di mana dadah dijumpai, maka pihak pendakwaan wajib membuktikan bahawa OKT mempunyai penguasaan eksklusif terhadap premis tersebut. Dalam kes ini, tiada bukti penguasaan eksklusif atau fizikal yang boleh disandarkan kepada OKT1. Dengan itu, Mahkamah berpuas hati bahawa pihak Pendakwaan telah gagal membuktikan elemen milikan terhadap OKT1. Page 13 of 21 [47] Bagi OKT2 dan OKT3 pula, Mahkamah mendapati bahawa satu-satunya keterangan yang mengaitkan mereka dengan dadah yang dirampas adalah bahawa OKT2 dan OKT3 berada di ruang tamu Rumah No. 2 semasa serbuan dilakukan, dan dadah tersebut telah ditemui di atas lantai ruang tamu. [48] Berpandukan prinsip undang-undang yang mantap, bahawa semata-mata kehadiran tertuduh di lokasi dadah dijumpai, adalah tidak mencukupi untuk membuktikan OKT2 dan OKT3 mempunyai milikan terhadap dadah tersebut. Lebih-lebih lagi apabila tiada sebarang kesan cap jari, kesan dadah pada pakaian atau tubuh badan, serta tiada profil DNA kedua-dua OKT yang boleh dikaitkan dengan mana-mana barang kes. [49] Tambahan pula tiada sebarang bukti bahawa OKT2 dan OKT3 adalah penghuni rumah tersebut, atau mereka mempunyai kawalan terhadap premis / rumah tersebut. [50] Keterangan SP3 semasa disoal balas mengesahkan bahawa tiada kesan dadah dijumpai pada ketiga-tiga OKT semasa mereka ditangkap. [51] Mahkamah mendapati bahawa sepanjang perbicaraan, pihak pendakwaan telah gagal mengemukakan sebarang bukti kukuh berkenaan status pemilikan atau penyewaan Rumah No. 2 iaitu lokasi di mana dadah berbahaya telah ditemui. [52] Pihak pendakwaan juga tidak memanggil pemilik rumah atau mana-mana penghuni lain yang berkemungkinan boleh memberikan keterangan berhubung penguasaan ke atas rumah tersebut. Page 14 of 21 [53] Kegagalan ini adalah satu kecacatan material dalam kes pendakwaan dan membolehkan Mahkamah membuat suatu inferens yang tidak memihak kepada pihak pendakwaan menurut peruntukan seksyen 114(g) Akta Keterangan 1950. [54] Tiada carian rasmi pemilikan hartanah rumah tersebut dikemukakan oleh pihak pendakwaan. Tiada carian pejabat tanah atau dokumen sokongan lain yang menunjukkan siapa pemilik sebenar rumah berkenaan. [55] Mahkamah berpandangan bahawa Pegawai Penyiasat telah tidak menjalankan siasatan yang rapi dan teliti khususnya apabila identiti penghuni rumah adalah isu utama dalam pembuktian elemen milikan. [56] Ketiadaan maklumat tersebut menimbulkan keraguan yang serius terhadap pemilikan dan penguasaan ke atas premis tersebut. Berdasarkan gambar-gambar yang dirakam di luar rumah dan di dalam rumah, kelihatan seperti adanya perniagaan dijalankan di rumah tersebut kerana terdapat banner berkaitan perniagaan yang tertentu. [57] Keterangan saksi-saksi pendakwaan sendiri menyokong bahawa kesemua OKT bukanlah penghuni Rumah No. 2. Keterangan SP2 mengesahkan bahawa OKT1 menetap di Rumah No. 24, bukan di Rumah No. 2. SP4 pula turut bersetuju bahawa alamat tempat tinggal OKT1 adalah di Rumah No. 24. [58] Laporan polis P2 dan P3 mengesahkan alamat OKT1 adalah di Nombor 24 Pintas Tenggiri 2 Seberang Jaya dan alamat OKT2 adalah di Rumah pangsa A-3-12 Flat Taman Derga Perdana 05300 Alor Setar Kedah. Page 15 of 21 [59] Berdasarkan alamat tersebut, menunjukkan bahawa mereka bukanlah menetap di rumah tempat serbuan dilakukan. Apakah status mereka berada di rumah tersebut. Perkara ini telah tidak disiasat secara lengkap oleh Pegawai Penyiasat. Tiada perjanjian sewa (tenancy agreement) bagi rumah No. 2 telah diperoleh, dirampas atau dikemukakan di Mahkamah sepanjang siasatan. [60] Semasa disoal balas, SP5 telah mengesahkan bahawa tiada perjanjian sewa ditemui semasa siasatan dijalankan. Tiada keterangan yang membuktikan siapa yang menyewa atau tinggal di rumah tersebut. [61] Dalam keadaan ini, Mahkamah mendapati bahawa pihak pendakwaan telah gagal membuktikan bahawa mana-mana OKT berada dalam penguasaan atau kawalan terhadap premis di mana dadah ditemui. Ketiadaan bukti dokumentar dan keterangan positif yang menunjukkan bahawa OKT adalah penghuni rumah tersebut menjejaskan kes pendakwaan secara serius. [62] Mahkamah berpandangan bahawa semata-mata kehadiran OKT2 dan OKT3 di rumah tersebut pada waktu serbuan tanpa bukti pemilikan atau kawalan eksklusif tidak mencukupi untuk membuktikan elemen milikan di bawah ADB 1952. Tiada keterangan yang menunjukkan penguasaan berterusan, penghunian tetap, atau hak ke atas premis tersebut oleh mana-mana OKT. [63] Mahkamah menerima hujahan pembelaan bahawa pihak pendakwaan seharusnya membuktikan secara positif bahawa ketiga-tiga OKT adalah penghuni premis tersebut dan menolak sebarang kemungkinan bahawa dadah berkenaan telah diletakkan oleh pihak lain yang mungkin turut mempunyai akses kepada Page 16 of 21 rumah tersebut tetapi tidak berada di tempat kejadian semasa serbuan dijalankan. [64] Berdasarkan analisis dan penilaian menyeluruh terhadap keterangan saksi-saksi pendakwaan, Mahkamah mendapati bahawa pihak pendakwaan telah gagal membuktikan elemen milikan dadah berbahaya ke atas ketiga-tiga OKT. Elemen Ketiga : Pengedaran [65] Pihak pendakwaan berhujah bahawa anggapan di bawah seksyen 37(da)(xvi) ADB 1952 adalah terpakai, ini kerana elemen pemilikan dan pengetahuan telah dibuktikan melalui keterangan langsung dan juga keterangan berkeadaan. [66] Sebagaimana yang dihuraikan di atas, adalah dapatan Mahkamah ini bahawa pihak pendakwaan telah gagal membuktikan ketiga-tiga OKT mempunyai milikan dan pengetahuan ke atas dadah tersebut, maka anggapan di bawah seksyen 37(da)(xvi) ADB 1952 tidak boleh digunakan. [67] Berdasarkan keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Muhammad Hassan v PP [1988] 2 CLJ 170, adalah menjadi kehendak undang-undang bahawa Mahkamah hendaklah terlebih dahulu membuat satu dapatan positif berhubung milikan sebelum anggapan pengedaran di bawah seksyen 37(da) ADB 1952 boleh digunakan. [68] Berdasarkan keputusan Mahkamah ini bahawa pihak pendakwaan telah gagal membuktikan elemen milikan, maka anggapan tersebut tidak boleh diaktifkan walaupun berat dadah yang berada dalam milikan OKT melebihi jumlah yang diperuntukkan oleh undang-undang. Page 17 of 21 Elemen Keempat: Niat Bersama di bawah seksyen 34 Kanun Keseksaan [69] Seksyen 34 Kanun Keseksaan – Niat Bersama, memperuntukkan seperti berikut:- “Apabila suatu perbuatan jenayah dilakukan oleh beberapa orang dalam perlaksanaan niat bersama mereka, tiap-tiap seorang daripada mereka itu adalah bertanggungan bagi perbuatan itu seolah-olah ia telah dilakukan olehnya seorang diri.” [70] Pertuduhan keatas ketiga-tiga OKT bahawa mereka telah mengedar dadah berbahaya secara niat bersama seerti yang diperuntukkan di bawah seksyen 34 Kanun Keseksaan. Justeru, beban adalah pada pihak pendakwaan untuk membuktikan kewujudan niat bersama tersebut sebagai salah satu elemen utama pertuduhan. [71] Namun setelah meneliti keseluruhan keterangan yang dikemukakan sepanjang perbicaraan, Mahkamah tidak mendapati apa-apa keterangan yang menunjukkan wujudnya niat bersama ketiga-tiga OKT untuk mengedar dadah yang ditemui di dalam Rumah No. 2. [72] Tiada sebarang bentuk komunikasi, perlakuan atau tindakan bersama yang ditunjukkan oleh mana-mana OKT yang boleh membawa kepada kesimpulan bahawa mereka bertindak secara kolektif atau mempunyai pengetahuan serta perancangan bersama untuk mengedar dadah tersebut. [73] Sebaliknya, keterangan yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan menunjukkan bahawa ketiga-tiga OKT tidak tinggal di rumah tersebut, malah OKT1 ditangkap di lokasi yang berlainan dan bukan di premis di mana dadah dijumpai. Tiada juga Page 18 of 21 keterangan lain yang boleh menghubungkan ketiga-tiga OKT dengan aktiviti pengedaran di premis tersebut. [74] Mahkamah berpendapat bahawa keterangan yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan tidak dapat membuktikan milikan, keupayaan dan niat oleh mana-mana OKT untuk mengedar dadah di rumah tersebut. [75] Ketiadaan keterangan yang menjurus kepada berniat mereka secara bersama-sama untuk mengedar dadah-dadah tersebut, maka Mahkamah memutuskan bahawa pendakwaan telah gagal membuktikan niat bersama tersebut dan ini adalah fatal kepada kes pendakwaan atas kegagalan membuktikan salah satu elemen penting pertuduhan. [76] Mahkamah merujuk kepada keputusan Shamsuddin Hassan & Anor v. Public Prosecutor [1991] 1 CLJ Rep 428, di mana Mahkamah dengan jelas menyatakan bahawa pihak pendakwaan wajib mengemukakan keterangan yang cukup untuk membuktikan kewujudan niat bersama antara OKT-OKT yang didakwa. [77] Berpandukan prinsip yang dinyatakan di dalam kes di atas, maka kegagalan pendakwaan membuktikannya telah menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan.
d
(D) KESIMPULAN [78] Setelah meneliti keseluruhan keterangan yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan serta mengambil kira hujahan yang dikemukakan oleh kedua-dua pihak, Mahkamah ini merumuskan bahawa pihak pendakwaan telah gagal membuktikan satu kes prima facie terhadap ketiga-tiga OKT. [79] Mahkamah ini mengaplikasikan ujian sebagaimana yang telah digariskan dalam kes PP v Mohd Radzi Abu Bakar, iaitu –
a
Pertama, sama ada semua inferens yang munasabah daripada keterangan yang dikemukakan boleh dibuat, dan sekiranya terdapat lebih daripada satu inferens, maka inferens yang paling memihak kepada tertuduh hendaklah dipilih; dan
b
Kedua, sekiranya tertuduh memilih untuk berdiam diri apabila dipanggil membela diri, adakah Mahkamah tetap akan mensabitkan mereka berdasarkan keterangan yang sedia ada? [80] Dalam kes ini, Mahkamah berpendapat bahawa jawapan kepada soalan (b) tersebut adalah "tidak". Ini kerana, berdasarkan keterangan yang dikemukakan, Mahkamah mendapati banyak inferens yang lebih memihak kepada OKT-OKT, dan tidak ada bukti yang cukup kukuh bagi mengaitkan mereka secara langsung atau tidak langsung dengan pertuduhan yang dihadapi. [81] Tambahan pula, Mahkamah mendapati wujudnya keraguan yang munasabah di mana pihak pendakwaan telah gagal membuktikan elemen-elemen penting pertuduhan serta kegagalan untuk menutup jurang dalam keterangan yang telah dikemukakan. Inferens negatif terhadap pihak pendakwaan juga boleh dibuat di bawah Seksyen 114(g) Akta Keterangan 1950 berikutan Page 20 of 21 kegagalan memanggil saksi penting dan mengemukakan keterangan-keterangan yang relevan. [82] Dengan mengambil kira keseluruhan keterangan dan prinsip undang-undang yang terpakai, Mahkamah berpendapat bahawa adalah tidak selamat untuk memanggil OKT-OKT membela diri. Maka, Mahkamah memerintahkan ketiga-tiga OKT dilepaskan dan dibebaskan tanpa dipanggil membela diri. Bertarikh: 17 Ogos 2025 ……………………………… (FATHIYAH BINTI IDRIS) Hakim Mahkamah Tinggi Butterworth Pulau Pinang Page 21 of 21 PIHAK-PIHAK: Bagi pihak pendakwaan: Che Rohana binti Ismail Timbalan Pendakwa Raya Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri Pulau Pinang Bagi pihak OKT1 dan OKT2: Hussaini bin Abdul Rashid Tetuan Hussaini & Co Peguam Bela dan Peguam Cara Pulau Pinang Bagi pihak OKT3: Anbananthan a/l Yathiraju Tetuan Anba & Associates Peguam Bela dan Peguam Cara
Wrong text, a broken link, out-of-date content, or a removal request — tell us and we'll check it against the official source.