Content
1 DALAM MAHKAMAH TINGGI MALAYA DI KOTA BHARU DALAM NEGERI KELANTAN DARUL NAIM PERBICARAAN JENAYAH NO: DA-45A-42-12/2024 ANTARA PENDAKWA RAYA LAWAN FADHLI BIN YUSOFF [NO. KP: 790601-03-5997] ALASAN PENGHAKIMAN Mukadimah
DA-45A-42-12/2024
High Court of Malaysia20 Jul 2025
The written judgment as the court issued it, with the coram, case number, and source links. Every paragraph has its own anchor.
Citations and treatment detected automatically from later judgments and the authorities this decision relies on.
Later cases and laws citing this decision
Not yet cited by a later decision.
Earlier cases and laws this decision relies on
“22. Prinsip pemberian diskaun yang dinyatakan dalam kes Mohd Abdullah Ang Swee Kang ini telah digunapakai dalam kes Pendakwa Raya lwn. Yuvandran Vijayaindran [2025] MLRHU 1453 di mana Noorin Badaruddin (Hakim Mahkamah Tinggi pada ketika itu) telah menjatuhkan hukuman 7 tahun penjara dan denda RM3,000.00 ke atas tertudu”
Auto-detected from judgment text; not a substitute for a citator check.
Content
1 DALAM MAHKAMAH TINGGI MALAYA DI KOTA BHARU DALAM NEGERI KELANTAN DARUL NAIM PERBICARAAN JENAYAH NO: DA-45A-42-12/2024 ANTARA PENDAKWA RAYA LAWAN FADHLI BIN YUSOFF [NO. KP: 790601-03-5997] ALASAN PENGHAKIMAN Mukadimah
1
Tertuduh, FADHLI BIN YUSOFF [KP: 790601-03-5997] yang telah ditangkap pada 3 Jun 2024 pada mulanya telah dituduh di Mahkamah Tinggi Kota Bharu dengan dua pertuduhan iaitu pertuduhan pertama di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) Akta yang sama dan pertuduhan kedua di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 12 (3) Akta yang sama.
2
Setelah mempertimbangkan representasi yang dikemukakan oleh tertuduh, pihak pendakwaan telah menawarkan satu pertuduhan pertama pilihan kepada tertuduh di bawah Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 manakala pertuduhan kedua pula kekal sebagaimana yang asal. Pertuduhan Pertama Pilihan “Bahawa kamu pada 3.6.2024, jam lebih kurang 3.00 petang, bertempat di sebuah rumah di alamat Block C-28, Taman Rantau Mas, di dalam Jajahan Pasir Mas, dalam Negeri Kelantan, telah memiliki dadah berbahaya iaitu 15.18 gram Heroin. Oleh itu kamu telah melakukan suatu kesalahan di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(2) Akta yang sama.” Hukuman Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952. Penjara seumur hidup atau untuk satu tempoh tidak kurang daripada 5 tahun dan juga akan dikenakan hukuman sebat tidak kurang daripada 10 sebatan. Pertuduhan Kedua “Bahawa kamu pada 03/06/2024 jam lebih kurang 3.00 petang bertempat sebuah rumah di alamat Block C-28 Taman Rantau Mas di dalam Negeri Kelantan, telah memiliki dadah berbahaya iaitu 2.10 gram Methamphetamine. Oleh itu kamu telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 12(2) ADB 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 12(3) Akta yang sama. HUKUMAN: Denda tidak melebihi RM100,000.00 atau penjara untuk tempoh tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya. Latar belakang
3
Pada 20.07.2025 kedua-dua pertuduhan pertama pilihan dan pertuduhan kedua seperti di atas telah dibaca dan diterangkan kepada tertuduh. Tertuduh yang diwakili oleh peguam bela pada masa itu mengakui bahawa dia memahami kedua-dua pertuduhan yang dibacakan dan diterangkan kepadanya dan tertuduh telah membuat pengakuan bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan tersebut tanpa syarat.
4
Selepas sifat dan akibat pengakuan bersalah telah dijelaskan kepada tertuduh, tertuduh mengakui bahawa dia memahami sifat dan kesan pengakuan bersalahnya dan masih mengekalkan pengakuan bersalahnya terhadap kedua-dua pertuduhan tersebut.
5
Berikutan daripada pengakuan bersalah tertuduh tersebut, pihak pendakwaan telah mengemukakan fakta kes (P5). Fakta kes telah dibacakan dan diterangkan kepada tertuduh dan tertuduh telah mengakuinya benar.
6
Pihak pendakwaan selanjutnya telah mengemukakan ekshibit-ekshibit berikut:- i) Laporan Polis Rantau Panjang 2544/2024 (P6); ii) Laporan Polis Pasir Mas 4778/2024 (P7); iii) Borang senarai geledah (P8); iv) Borang serah/terima brg kes (P9); v) 4 keping gambar barang kes [P10(A-D)]; vi) Rajah kasar & kunci (P11 & P11K); vii) 13 keping gambar-gambar tempat kejadian [P12(A-M)]; viii) Resit rasmi Jabatan Kimia Malaysia No Makmal: 24 FR-D-0- 4279 (P13); ix) Laporan kimia (P14); x) 1 sampul barang kes PDRM (P15) di dalam P15 ada: a) 1 bungkusan plastik lutsinar (P16); b) 2 balutan kertas surat khabar cina (P17 A-B); c) 2 gelang getah (P18 A-B); dan d) 1 plastik lutsinar kecil (P19) xi) 1 beg barang kes PDRM ber”seal” Jabatan Kimia Malaysia bertanda “VV1” (P20) yang ada di dalamnya: a) 1 plastik Jabatan Kimia Malaysia berisi serbuk putih disahkan heroin (P21); b) 20 botol plastik berpenutup kuning [P22(1-20)]. xii) 1 sampul surat putih bertanda “VV2” berseal Jabatan Kimia Malaysia (P23) di dalamnya ada: a) 1 plastik Jabatan Kimia Malaysia yang berisi serbuk berwarna putih methamphetamine (P24); dan b) 3 plastik lutsinar kecil [P25(1-3)].
7
Kesemua barang kes ditunjukkan kepada tertuduh dan tertuduh mengakui kesemua barang kes tersebut.
8
Peguam bela tertuduh telah membuat rayuan mitigasi yang mana antara lainnya mengatakan seperti berikut:
i
Tertuduh telah membuat akuan bersalah pada hari pertama pertuduhan pilihan ditawarkan kepadanya;
II
(ii) Pengakuan bersalah tertuduh telah menjimatkan masa dan kos perbicaraan;
III
(iii) Pengakuan bersalah telah dibuat dengan kerelaan hati tertuduh sendiri;
IV
(iv) Tertuduh tiada sebarang rekod kesalahan lampau dan kesalahan ini adalah kesalahan pertama tertuduh;
v
Tertuduh adalah pemegang kad OKU fizikal – (Pemerhatian Mahkamah:- Tertuduh memang mengalami kecacatan fizikal di mana kaki tertuduh adalah lembik dan tertuduh berjalan secara hencut, terhuyung-hayang dan terumbang-ambing dan tertuduh terpaksa dipapah oleh warden penjara semasa masuk dan keluar dari kandang tertuduh.)
VI
(vi) Tertuduh telah insaf dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan yang sama pada masa depan; dan
VII
(vii) Timbangan berat bersih dadah yang terlibat iaitu Heroin, hanyalah seberat 15.18 gram iaitu 0.18 gram melebihi berat statutori. Ia adalah lebihan yang sangat minima.
9
Berdasarkan faktor-faktor mitigasi tersebut, peguam bela tertuduh merayu untuk suatu hukuman pemenjaraan yang paling minima bagi pertuduhan pilihan pertama dan pertuduhan kedua. Peguam bela tertuduh juga memohon agar hukuman pemenjaraan bagi kedua-dua pertuduhan berjalan serentak bermula dari tarikh tertuduh ditangkap.
10
Timbalan Pendakwa Raya yang bijaksana pula telah membuat hujahan pemberat yang mana antara lainnya seperti berikut:
i
Mohon mahkamah mengambil kira berat dadah yang terlibat dalam kes ini telahpun melebihi anggapan pengedaran dadah;
II
(ii) Mohon mahkamah mengambil kira kepentingan awam di mana kes dadah yang terlalu berleluasa khusunya di Negeri Kelantan dan amnya di Malaysia; dan
III
(iii) Mohon hukuman yang berat dikenakan untuk menjadi pengajaran kepada tertuduh dan juga masyarakat awam yang lain agar tidak turut terlibat dengan kes dadah.
11
Saya sendiri telah sekali lagi menerangkan semula pertuduhan dan kesan dan akibat daripada akuan bersalah kepada tertuduh serta bertanya sama ada tertuduh faham akan kesan dan akibat pengakuan bersalahnya dan adakah tertuduh masih ingin mengaku bersalah? Tertuduh sekali lagi mengakui dia memahami pertuduhan dan kesan serta akibat daripada pengakuan bersalahnya dan tertuduh masih mengekalkan pengakuan bersalahnya.
12
Mahkamah ini, setelah berpuas hati bahawa pengakuan bersalah tertuduh telah dibuat secara rela hati dan setelah tertuduh benar-benar memahami pertuduhan yang dikemukakan terhadapnya serta memahami sifat, kesan dan akibat daripada pengakuan salahnya, telah menerima dan merekodkan pengakuan bersalah tertuduh dan telah mensabitkan tertuduh bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan pertama pilihan dan pertuduhan kedua menurut peruntukan Seksyen 178 (2) Kanun Tatacara Jenayah.
13
Dari segi hukuman pula, setelah mahkamah ini menimbangkan faktor-faktor mitigasi oleh peguam bela tertuduh dan hujahan pemberat pihak pendakwaan seperti di atas, Mahkamah telah menjatuhi tertuduh hukuman seperti berikut:
i
Bagi pertuduhan pertama pilihan: Hukuman pemenjaraan selama 6 tahun 6 bulan bermula dari tarikh tertuduh ditangkap (3.6.2024) dan 10 sebatan.
II
(ii) Bagi pertuduhan kedua: Hukuman pemenjaraan selama 6 bulan bermula dari tarikh tertuduh ditangkap (3.6.2024). Hukuman pemenjaraan bagi kedua-dua pertuduhan hendaklah berjalan serentak.
14
Dalam menjatuhkan hukuman ke atas tertuduh, Mahkamah ini mempertimbangkan beberapa faktor antaranya adalah seperti berikut:
15
Pertamanya, kuasa untuk menjatuhkan hukuman ke atas tertuduh yang telah disabitkan bersalah adalah kuasa budibicara mahkamah perbicaraan.
16
Tugas Mahkamah apabila telah mensabitkan seseorang tertuduh itu bersalah adalah untuk menjatuhkan hukuman menurut undang-undang menurut peruntukan Seksyen 183 Kanun Tatacara Jenayah.
17
Undang-undang yang berkenaan dalam kes ini khususnya yang memperuntukkan tentang hukuman yang harus dijatuhkan adalah Seksyen 39A(2) dan Seksyen 12(3) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang masing-masing memperuntukkan seperti berikut:
i
Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952: “ … shall, instead of being liable to the punishment provided for that offence under the section under which the person has been so found guilty, be punished with imprisonment for life or for a term which shall not be less than five years, and he shall also be punished with whipping of not less than ten strokes.
II
(ii) Seksyen 12(3) Akta Dadah Berbahaya 1952: “Any person who contravenes subsection (2) of this section shall be guilty on an offence against this Act and shall be liable on conviction to a fine not exceeding one houndred thousand ringgit or to imprisonment for a term not exceeding five years or to both.”
18
Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 memberikan kuasa budibicara yang terhad kepada mahkamah perbicaraan untuk menjatuhkan hukuman pemenjaraan seumur hidup atau untuk suatu tempoh yang tidak kurang daripada 5 tahun dan hendaklah juga dihukum dengan hukuman sebatan yang tidak kurang 10 sebatan. Seksyen 39A(2) ini tidak memberi sebarang pilihan kepada mahkamah perbicaraan untuk menjatuhkan hukuman yang lebih rendah dari itu.
19
Mahkamah ini mempertimbangkan dan mengambil kira faktor mitigasi tertuduh terutamanya berkenaan bahawa kesalahan ini adalah kesalahan pertama tertuduh dan yang paling utama adalah faktor pengakuan bersalah tertuduh yang telah dibuat secara sukarela pada peringkat awal pertuduhan pilihan ditawarkan kepadanya. Selain dari itu, Mahkamah ini juga mengambil kira keadaan tertuduh yang merupakan seorang OKU fizikal serta timbangan berat barang kes yang sedikit sahaja melebihi anggapan pengedaran iaitu 0.18 gram.
20
Mahkamah ini merujuk dan mengambil panduan daripada kes yang selalu dirujuk apabila membicarakan pertimbangan yang harus diberikan kepada tertuduh yang telah mengaku bersalah iaitu kes Sau Soo Kim v. PP [1975] 1 MLRA 176 dimana Mahkamah Persekutuan melalui penghakiman Lee Hun Hoe (Hakim Besar Borneo pada ketika itu) menyatakan: “Whether a person is a hardened criminal or not I feel that a plea of guilty should be treated as a mitigating factor. It not only saves the country a great expenses of a lengthy trial but also saves time and inconvenience of many particularly the witnesses.”
21
Dalam kes Mohd Abdullah Ang Swee Kang v. PP [1987] 1 MLRA 43, Mohamed Azmi HMP dalam keputusannya telah mengatakan: “[15] … For determining the length of custodial sentence in pleading guilty cases, the test to be adopted could be found in R.V. Boyd [1980] 2 Cr. App. R(S) 234 where Cumming-Bruce LJ said: The policy of the Courts is that where a man does plead guilty, which does give rise to public advantage and avoids the expense and nuisance of a trial, which may sometimes be a long one, the court encourages plea of guilty by knocking something off the sentence which would have been imposed if there had not been a plea of guilty. So one asks oneself, if there ad been a plea of not guilty, and when he had been convicted, what would have been the appropriate sentence? The answer to that is that the appropriate sentence in these circumstances would not have been more than three years. That points to the fact that this sentence was rather on the heavy side, because it did not give sufficient allowance for plea of guilty.” [16] … It is generally accepted that the extent of reduction on account of a plea of guilty would be between one-quarter and one-third of what otherwise would have been the sentence.”
22
Prinsip pemberian diskaun yang dinyatakan dalam kes Mohd Abdullah Ang Swee Kang ini telah digunapakai dalam kes Pendakwa Raya lwn. Yuvandran Vijayaindran [2025] MLRHU 1453 di mana Noorin Badaruddin (Hakim Mahkamah Tinggi pada ketika itu) telah menjatuhkan hukuman 7 tahun penjara dan denda RM3,000.00 ke atas tertuduh bagi satu kesalahan di bawah Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman pemenjaraan sehingga 30 tahun dan denda.
23
Dalam kes PP v. Loo Choon Fatt [1976] 1 MLRH 23 mahkamah mengatakan: “[3] In respect of sentencing there can be only general guidelines. No two cases can have exactly the same facts to the minutest detail. Facts do differ from case to case and ultimately each case has to be decided on its own merits. In practice sentences do differ not only from case to case but also from court to court. All things being equal the variations are inevitable if only because of the human element involved. But, of course, there must be limits to permissible variations.”
24
Mahkamah juga menimbangkan faktor pemberat oleh pihak pendakwaan terutamanya berkenaan dengan kepentingan awam. Mahkamah ini merujuk kepada dan mengambil panduan daripada kes PP v Teh Ah Cheng [1976] 1 MLRH 76 yang mengatakan bahawa dalam menjatuhkan hukuman, secara umumnya kepentingan awam mestilah menjadi pertimbangan utama. Atas dasar tersebut, walau pun tertuduh telah mengaku bersalah namun Mahkamah ini tidak menjatuhkan hukuman pemenjaraan yang paling minimum ke atasnya sebagaimana yang dibenarkan oleh undang-undang iaitu 5 tahun pemenjaraan dan 10 sebatan.
25
Walaupun Mahkamah ini menyedari bahawa kes dadah adalah berleluasa di seluruh negara, namun tertuduh harus diadili dan dihukum atas kesalahannya sendiri dan di atas merit kesnya sendiri. Adalah tidak adil untuk menidakkan faktor-faktor peringanan tertuduh dan menghukum tertuduh dengan hukuman yang lebih berat semata-mata kerana mengambil kira kesalahan orang-orang lain yang telah melakukan kesalahan yang sama terdahulu yang telah menyumbang kepada berleluasanya kes dadah.
26
Parlimen dalam kebijaksanaannya telah mengambil kira faktor kepentingan awam serta keseriusan kes dadah dalam menetapkan hukuman minimum dalam peruntukan Seksyen 39A(2) Akta tersebut di mana mahkamah perbicaraan tidak diberi pilihan untuk menjatuhkan hukuman yang lebih ringan daripada hukuman minimum tersebut. Oleh itu, selagi hukuman diberikan pada atau melebihi hukuman minimum tersebut, ia tidak boleh dikatakan terlalu rendah.
27
Pertimbangan berkenaan kepentingan awam oleh Parlimen ini telah dinyatakan dalam kes PP v. Loo Choon Fatt (supra) seperti berikut: “[6] It is common sense to say that behind these legislative exercises was the government’s realization albeit gradual, of the problem of drug abuse in this country, the degenerating effect of the misuse of dangerous drugs and the attendant danger it has posed to society itself. The amendment passed by Parliament therefore reflect the public policy. It must be presumed that behind the public policy is the consideration of public interest.”
28
Bagi pertuduhan pertama pilihan, sekiranya tertuduh memohon untuk dibicarakan dan tertuduh didapati bersalah diakhir kes pembelaan, Mahkamah ini berpendapat hukuman yang wajar dikenakan ke atas tertuduh adalah hukuman pemenjaraan selama antara 9 ke 10 tahun serta 10 sebatan. Oleh itu, atas pengakuan bersalah tertuduh, dia boleh diberikan diskaun 1/3 daripada hukuman yang dia boleh dikenakan sekiranya dia mohon dibicarakan dan didapati bersalah. Oleh itu, Mahkamah ini merasakan hukuman 6 tahun 6 bulan penjara dan 10 sebatan bagi pertuduhan pertama pilihan adalah wajar, adil dan setimpal bagi tertuduh.
29
Begitu juga bagi pertuduhan kedua. Jika tertuduh mohon dibicarakan dan dia didapati bersalah, hukuman yang patut dikenakan ke atasnya adalah antara 9 ke 10 bulan penjara. Oleh itu, Mahkamah ini merasakan hukuman 6 bulan penjara bagi pertuduhan kedua adalah wajar, adil dan setimpal bagi tertuduh.
30
Mahkamah ini juga telah memerintahkan agar kedua-dua hukuman pemenjaraan berjalan serentak memandangkan kedua-dua kesalahan telah berlaku pada tarikh, masa dan tempat yang sama. Ia boleh dianggap sebagai satu urusniaga yang sama (one transaction concept).
31
Berdasarkan alasan-alasan yang telah dinyatakan di atas, Mahkamah ini telah menjatuhkan hukuman sebagaimana yang telah dinyatakan di atas ke atas tertuduh. Alasan Penghakiman ini disediakan pada 23-09-2025. ……………………………….. MOHD ROSLI BIN YUSOFF Hakim, Mahkamah Tinggi (2) Kota Bharu, Kelantan Darul Naim. Bagi pihak Pendakwa Raya: TPR Nik Nur Adila binti Mat Zaidan, Timbalan Pendakwa Raya, Pejabat Pendakwaan Negeri Kelantan, AG-3-03-06, Al-Waqah @ Tunjong, Tingkat 3, Bangunan H Elite Design, 16010 Kota Bharu, Kelantan. Bagi pihak Tertuduh: Ahmad Nizam bin Mohamed, Tetuan Alias Ibrahim & Co, Courts Of 99, PT 1556, KM 4.5, Jalan Tunjung - Pasir Mas, 15100 Kota Bharu, Kelantan.
Wrong text, a broken link, out-of-date content, or a removal request — tell us and we'll check it against the official source.