bahawa pihak pendakwaan gagal mengemukakan keterangan yang mencukupi dan boleh diterima untuk membuktikan bahawa Tertuduh terlibat dalam pengedaran dadah tersebut. Penemuan Mahkamah berkaitan elemen kedua - milikan [32] Setelah meneliti keterangan SP4, Mahkamah mendapati keterangannya berhubung penahanan dan penemuan barang kes dadah adalah munasabah serta boleh dipercayai. Tiada sebarang bukti menunjukkan SP4 mereka-reka cerita atau mempunyai motif untuk menganiayai Tertuduh. Keterangan bahawa bilik tersebut kosong, manakala wanita Thailand bernama Ms. Prapatsorn ditemui di dalam kereta Vios dan bukan di bilik hotel, adalah konsisten dengan masa tangkapan iaitu sekitar jam 12.00 tengah hari, waktu kebiasaan daftar keluar hotel. S/N QsrDnTT4UiaJH1rueYlng [33] Mahkamah turut menimbang hujahan pembelaan bahawa petugas kaunter hotel tidak dipanggil sebagai saksi. Namun, ketiadaan saksi ini tidak menjejaskan kes pendakwaan kerana yang utama ialah keadaan ketika SP4 menahan Tertuduh, di mana beg silang berisi dadah sedang digalas di badannya. [34] Naratif pembelaan bahawa Tertuduh ditahan di luar bilik lalu dibawa ke bilik bernombor 2004 dan bahawa beg silang ditemui di atas meja solek adalah tidak berasas. Resit bayaran jelas menunjukkan Tertuduh telah membuat daftar keluar. Oleh itu, keterangan SP4 bahawa bilik tersebut kosong adalah tepat dan wajar diterima. [35] Pembelaan berhujah bahawa kegagalan SP4 mengemukakan kad akses bilik hotel menjejaskan kes pendakwaan. Kad akses yang dikatakan dijumpai dalam poket Tertuduh tidak dirakamkan dalam Borang Pemeriksaan (P4) dan menurut keterangan SP4, kad tersebut telah dikembalikan kepada pihak hotel kerana ia merupakan milik hotel. Pembelaan menegaskan bahawa kad akses tersebut adalah bukti penting yang menunjukkan Tertuduh masih belum membuat daftar keluar dari hotel. Adalah tidak munasabah, menurut pembelaan, untuk SP4 menyatakan bahawa Tertuduh telah membuat daftar keluar sedangkan beliau masih memiliki kad akses. Malah, pembelaan berhujah kegagalan merekodkan serta mengembalikan kad akses itu adalah satu tindakan sengaja untuk menyembunyikan fakta bahawa dadah sebenarnya dijumpai di dalam bilik hotel, dan bukannya di dalam beg silang yang digalas oleh Tertuduh. [36] Mahkamah tidak menerima hujahan tersebut. Kegagalan mengemukakan kad akses sebagai barang kes tidak menjejaskan kredibiliti atau kekuatan kes pendakwaan. Apa yang lebih penting S/N QsrDnTT4UiaJH1rueYlng adalah fakta bahawa dadah telah ditemui di dalam beg silang jenama ‘Hush Puppies’ yang sedang digalas oleh Tertuduh semasa ditahan, dan bukannya di dalam bilik hotel. Justeru, kewujudan atau ketiadaan kad akses tidak menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap fakta utama berhubung pemilikan dadah tersebut. [37] Berdasarkan keseluruhan keterangan saksi pendakwaan, hujahan pembelaan serta penilaian Mahkamah terhadap isu-isu yang dibangkitkan, Mahkamah berpuas hati bahawa keterangan SP4 adalah konsisten, munasabah dan boleh dipercayai. Hujahan pembelaan berkaitan keadaan bilik hotel mahupun isu kad akses tidak menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan. Hakikat yang tidak dapat disangkal ialah dadah telah dijumpai di dalam beg silang jenama ‘Hush Puppies’ yang sedang digalas oleh Tertuduh ketika ditahan. Oleh itu adalah dapatan Mahkamah ini bahawa Tertuduh mempunyai jagaan serta kawalan ke atas barang kes tersebut kerana kedudukan barang kes tersebut yang begitu dekat dengan Tertuduh. [38] Berdasarkan kedudukan barang kes yang begitu dekat dengan Tertuduh, maka Mahkamah ini berpandangan bahawa hanya Tertuduh yang mempunyai kuasa dan keupayaan untuk berurusan dengan dadah tersebut. Maka adalah dapatan Mahkamah ini bahawa pihak pendakwaan berjaya membuktikan bahawa dadah tersebut berada di dalam jagaan serta kawalan Tertuduh. S/N QsrDnTT4UiaJH1rueYlng Pengetahuan [39] Berkaitan pengetahuan Tertuduh ke atas dadah tersebut, Mahkamah menegaskan bahawa prinsip undang-undang adalah jelas bahawa pengetahuan boleh dibuktikan melalui inferens dari keadaan sekeliling sesuatu kes (rujuk PP v. Badrul Sham Baharom [1987] CLJU 72; [1987] 1 LNS 72). [40] Pihak pendakwaan tidak perlu membuktikan pengetahuan secara terus, tetapi boleh dibuktikan melalui inferens logik berdasarkan fakta sekitaran. Dalam kes ini, dadah tersebut disimpan dalam beg silang milik Tertuduh bersama barangan peribadi seperti kad pengenalan dan lesen memandu. Ketiadaan penjelasan munasabah daripada Tertuduh mengenai kandungan beg silang tersebut menimbulkan inferens bahawa Tertuduh mengetahui akan kewujudan dan sifat barang tersebut. [41] Melalui keterangan SP4 dan SP6, semasa Tertuduh mula-mula ditahan, Tertuduh dalam keadaan terkejut dan cuba melarikan diri. Reaksi Tertuduh yang tersebut, pada pandangan Mahkamah ini adalah relevan di bawah seksyen 8 Akta Keterangan 1950 dan membolehkan Mahkamah ini membuat satu inferens positif bahawa Tertuduh mempunyai pengetahuan ke atas kewujudan barang kes tersebut dan Tertuduh tahu bahawa ia adalah dadah berbahaya. [42] Berdasarkan penilaian dan analisis yang tersebut di atas, Mahkamah memutuskan bahawa pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan pemilikan dadah secara langsung terhadap Tertuduh, apabila dadah tersebut ditemui di dalam beg silang jenama ‘Hush Puppies’ yang sedang digalas oleh Tertuduh. S/N QsrDnTT4UiaJH1rueYlng [43] Mahkamah berpendapat bahawa milikan ini bersifat eksklusif berdasarkan pemilikan dokumen peribadi Tertuduh dalam beg tersebut. Oleh yang demikian, elemen kedua turut terbukti secara kukuh tanpa bergantung kepada anggapan di bawah seksyen 37(d) ADB, sekali gus menutup ruang kepada naratif pembelaan yang cuba dikemukakan. Elemen ketiga Pengedaran: Sama ada Tertuduh mengedar dadah tersebut [44] Memandangkan elemen pemilikan telah berjaya dibuktikan tanpa bergantung kepada anggapan di bawah seksyen 37(d) ADB, maka peruntukan anggapan di bawah seksyen 37(da) Akta 234 dapat diaktifkan berdasarkan kepada berat dadah tersebut, dan adalah mustahil ianya untuk kegunaan sendiri. Pihak pembelaan juga tidak mencadangkan bahawa dadah tersebut untuk kegunaan Tertuduh sendiri. [45] Akhirnya Mahkamah ini mendapati bahawa satu kes prima facie telah berjaya dibuktikan di bawah seksyen 180(4) KTJ, dengan membangkitkan anggapan pengedaran bawah seksyen 37(da) ADB. Oleh itu Tertuduh dipanggil membela diri. KES PEMBELAAN [46] Di dalam kes pembelaan, hanya Tertuduh seorang sahaja yang telah memberi keterangan secara bersumpah. Sebagaimana lazimnya Mahkamah ini telah menerangkan tiga (3) pilihan untuk Tertuduh memberi keterangan. Tertuduh telah memilih untuk memberi keterangan bersumpah dan Tertuduh telah S/N QsrDnTT4UiaJH1rueYlng mengemukakan Pernyataan Saksi (ditandakan sebagai SD1). Keterangan Tertuduh di dalam SD1 adalah seperti berikut: