Pemakaian anggapan di bawah seksyen 6B(4) ADB 1952 telah dinyatakan oleh Mahkamah Rayuan dalam kes PP v Azmani Che Rose [2011] 1 LNS 1954 seperti yang berikut: “[15] Tiada terdapat sebarang keterangan secara langsung untuk membuktikan bahawa Azmani telah menanam pokok-pokok cannabis tersebut. Pihak pendakwaan bergantung kepada anggapan di bawah s. 6B(4) ADB yang memperuntukkan: Any person found on land or who occupies land on which, or any person found in possession of any receptacle in which, any plant, from which raw opium, coca leaves, poppy-straw or cannabis may be obtained either directly or indirectly, is planted or cultivated shall be presumed, until the contrary is proved, to be the person who planted or cultivated such plant. [16] Di bawah seksyen tersebut, terdapat dua situasi yang menimbulkan anggapan penanaman pokok cannabis. Pertama, orang yang ditemui atas tanah, atau menduduki tanah di mana-mana pokok cannabis ditanam hendaklah dianggap, sehingga dibuktikan sebaliknya, sebagai orang yang menanam pokok cannabis berkenaan. Kedua, orang yang didapati memiliki sebarang bekas yang di dalamnya ditanam pokok cannabis, hendaklah dianggap, sehingga dibuktikan sebaliknya, sebagai orang yang menanam pokok cannabis itu. YA hakim bicara memutuskan bahawa anggapan pertama di bawah seksyen tersebut tidak terpakai. Beliau menyatakan: Meneliti seksyen ini saya dapati keadaan pertama seksyen ini tidak terpakai dalam kes ini. Walaupun bawah National Land Code, "land" termasuk bangunan tetapi susun ayat dalam s. 6B(4) ini jelas menunjukkan perkataan "land" di sini digunakan tidak lebih dari perkataan biasa yang membawa makna tanah biasa yang boleh ditanam dengan tanaman. Ia bukan bermaksud "tanah" seperti difahami di bawah National Land Code. Ini bermakna, "land" di sini tidak termasuk bangunan kondominium seperti dalam ke sini. Interpretasi ini menjadi jelas apabila diambil kira bahawa penggubal undang-undang mendapati perlu untuk memasukkan bahagian kedua dalam seksyen yang sama. Jelas bahagian kedua ini bertujuan meliputi tumbuhan yang tidak ditanam di atas tanah tetapi dalam sebarang bekas dan disimpan di mana-mana bangunan atau tempat. [17] Kami bersetuju dengan beliau.”