a
(a) Dadah yang dipertuduhkan tersebut adalah dadah berbahaya sebagaimana yang dimaksudkan dan ditakrifkan dalam Akta Dadah Berbahaya 1952;
/akn/my/judgment/high-court/2026/1e65298d-834e-4d59-beab-8a641730b6ae
High Court of Malaysia22 Feb 2026DA-45-12-10/2021
The written judgment as the court issued it, with the coram, case number, and source links. Every paragraph has its own anchor.
Citations and treatment detected automatically from later judgments and the authorities this decision relies on.
Later cases and laws citing this decision
Not yet cited by a later decision.
Earlier cases and laws this decision relies on
“42. Prinsip ini telah dinyatakan di dalam kes PP V. HONG LOY TEE [2006] CLJU 58; dimana telah diputuskan bahawa jika barangan peribadi tidak dibuktikan wujud di tempat kejadian maka boleh dibuat inferens bahawa tertuduh-tertuduh sekadar “temporary visitor” di tempat kejadian.”
“47. Prinsip ini juga telah ditegaskan di dalam kes Roslan bin Hanapi v PP [2015] MLJU 2151 yang mana Mahkamah menegaskan sebagaimana berikut; “[22] But for the presumption under section 37(d) to apply, the prosecution must first establish custody or control of “anything whatsoever contai”
Auto-detected from judgment text; not a substitute for a citator check.
Text
1 DALAM MAHKAMAH TINGGI MALAYA DI KOTA BHARU DALAM NEGERI KELANTAN DARUL NAIM, MALAYSIA PERBICARAAN JENAYAH NO: DA-45A-31-10/2021 DIDENGAR BERSAMA PERBICARAAN JENAYAH NO: DA-45-12-10/2021 DAN PERBICARAAN JENAYAH NO: DA-45D-1-10/2021 DI ANTARA PENDAKWA RAYA DAN
section
1. NOOR NAZMI BIN NAWI (No. Kad Pengenalan: 870930-29-5087)
section
2. MUHAMMAD HAMDEE BIN CHE HASHIM (No. Kad Pengenalan: 970408-03-5635) ALASAN PENGHAKIMAN 13/05/2026 12:01:43 DA-45-12-10/2021 Kand. 27 **Note : Serial number will be used to verify the originality of this document via eFILING portal 2 PENGENALAN
section
1. Tertuduh-tertuduh (OKT-OKT) di dalam kes ini telah dituduh dan dibicarakan bersama berkenaan 3 kes (enam pertuduhan) seperti berikut:- DA-45A-31-10/2021 (Exh. P6) Pertuduhan Pertama: Bahawa kamu bersama-sama pada 3/1/2021, jam lebih kurang 1.00 pagi, bertempat di sebuah rumah di PT3253, Taman Bej Puncak Nering, Kg. Gual Nering, Gual Sitok, Rantau Panjang, di dalam Jajahan Pasir Mas, di dalam Negeri Kelantan telah mengedar dadah berbahaya iaitu 104.1 gram HEROIN dan dengan itu kamu telah melakukan suatu kesalahan seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) Akta yang sama dibaca bersama seksyen 34 Kanun Keseksaan. Pertuduhan Kedua: Bahawa kamu bersama-sama pada 3/1/2021, jam lebih kurang 1.00 pagi, bertempat di sebuah rumah di PT3253, Taman Bej Puncak Nering, Kg. Gual Nering, Gual Sitok, Rantau Panjang, di dalam Jajahan Pasir Mas, di dalam Negeri Kelantan telah memiliki racun iaitu 16 liter PROMETHAZINE dan dengan itu kamu telah melakukan suatu kesalahan seksyen 9(1) Akta Racun 1952 yang boleh dihukum di bawah seksyen 32(2) Akta yang sama dibaca bersama seksyen 34 Kanun Keseksaan. **Note : Serial number will be used to verify the originality of this document via eFILING portal 3 DA-45-12-10/2021 (Exh. P12) Pertuduhan Pindaan Pertama: Bahawa kamu bersama-sama pada 3/1/2021, jam lebih kurang 1.00 pagi, dalam sebuah kereta Nissan Fair Lady No. Plat CCE 31, di hadapan sebuah rumah bertempat di PT3251, Taman Bej Puncak Nering, Kg. Gual Nering, Gual Sitok, Rantau Panjang, di dalam Jajahan Pasir Mas, di dalam Negeri Kelantan telah memiliki dadah berbahaya iaitu 14.25 gram METHAMPHETAMINE dan dengan itu kamu telah melakukan suatu kesalahan seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(1) Akta yang sama. Pertuduhan Pindaan Kedua: Bahawa kamu bersama-sama pada 3/1/2021, jam lebih kurang 1.00 pagi, dalam sebuah kereta Nissan Fair Lady No. Plat CCE 31, di hadapan sebuah rumah bertempat di PT3251, Taman Bej Puncak Nering, Kg. Gual Nering, Gual Sitok, Rantau Panjang, di dalam Jajahan Pasir Mas, di dalam Negeri Kelantan didapati telah ada dalam kawalan kamu racun iaitu 33.88 gram ETIZOLAM dan dengan itu kamu telah melakukan suatu kesalahan di bawah seksyen 30(3) Akta Racun 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 30(5) Akta yang sama dan dibaca bersama seksyen 34 Kanun Keseksaan. **Note : Serial number will be used to verify the originality of this document via eFILING portal 4 DA-45D-1-10/2021 (Exh. P15) Pertuduhan Pindaan Pertama: Bahawa kamu bersama-sama pada 3/1/2021, jam lebih kurang 1.00 pagi, dalam sebuah kereta Nissan Fair Lady No. Plat CCE 31, di hadapan sebuah rumah bertempat di PT3251, Taman Bej Puncak Nering, Kg. Gual Nering, Gual Sitok, Rantau Panjang, di dalam Jajahan Pasir Mas, di dalam Negeri Kelantan telah ada dalam milikan kamu senjata api iaitu sepucuk revolver bertulis S&W 357 MAGNUM No. Siri: CNE4845686-6 yang menyalahi undang-undang, oleh yang demikian kamu telah melakukan suatu kesalahan di bawah seksyen 8 Akta Senjatapi (Penalti Lebih Berat) 1971 dibaca bersama seksyen 34 Kanun Keseksaan. Pertuduhan Pindaan Kedua: Bahawa kamu bersama-sama pada 3/1/2021, jam lebih kurang 1.00 pagi, dalam sebuah kereta Nissan Fair Lady No. Plat CCE 31, di hadapan sebuah rumah bertempat di PT3251, Taman Bej Puncak Nering, Kg. Gual Nering, Gual Sitok, Rantau Panjang, di dalam Jajahan Pasir Mas, di dalam Negeri Kelantan telah ada dalam milikan kamu 3 butir peluru bewarna silver A USA 38 SPL tanpa permit yang sah. Oleh yang demikian kamu telah melakukan suatu kesalahan di bawah seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 dibaca bersama seksyen 34 Kanun Keseksaan. **Note : Serial number will be used to verify the originality of this document via eFILING portal 5 Kes Pendakwaan.
section
2. Pada 03 Januari 2021 jam lebih kurang 1.00 pagi, hasil daripada suatu maklumat pengedaran dadah, Insp. Muhammad Al Azim bin Md Azmi (SP9) bersama sepasukan anggota serbuan telah pergi membuat pemerhatian berhampiran sebuah rumah PT3253 Taman Bej Puncak Nering, Kg Gual Nering, Gual Sitok, Rantau Panjang, Kelantan (rumah pertama).
section
3. Ketika pemerhatian dibuat selama 5 minit, SP9 dapati tiada sebarang pergerakan di dalam rumah tersebut dan mendapati pintu pagar rumah tertutup tetapi tidak berkunci. Pintu sliding rumah juga tertutup.
section
4. SP9 bersama pasukannya kemudiannya telah mendekati rumah tersebut dan telah memperkenalkan dirinya sebagai pegawai polis dengan suara yang kuat dan meminta penghuni rumah tersebut membuka pintu. Seorang lelaki Melayu telah membuka pintu sliding rumah tersebut. SP9 dapati hanya terdapat 2 lelaki Melayu dalam rumah tersebut yang kemudiannya dicamkan sebagai OKT1 dan OKT2.
section
5. SP9 telah membuat pemeriksaan badan ke atas kedua-dua OKT namun tiada apa-apa barang salah ditemui pada diri mereka.
section
6. SP9 seterusnya telah pergi ke sebuah meja makan yang terletak di ruang tamu rumah tersebut dan menjumpai satu plastik hijau yang mengandungi 5 balutan kertas surat khabar Cina yang diikat **Note : Serial number will be used to verify the originality of this document via eFILING portal 6 dengan gelang getah (exh. P26) yang setiap satunya mengandungi 10 botol plastik lutsinar berpenutup berwarna kuning berisi serbuk berwarna putih disyaki dadah heroin [exh. P26(1-10)].
section
7. SP9 juga menjumpai di atas meja makan tersebut 1 anak kunci bertulis “AGASS” (1 anak kunci bertulis “AGASS” ini tidak dikemukakan sebagai ekshibit dalam perbicaraan ini) dan 1 anak kunci motokar (exh. P81).
section
8. SP9 turut menjumpai di atas lantai ruang tamu rumah tersebut 1 kotak berwarna coklat (exh. P18) yang mengandungi 4 botol plastik mengandungi cecair kehitaman disyaki Kodein [exh. P19(1-4)].
section
9. Sepanjang SP9 dan pasukannya menggeledah dan memeriksa rumah tersebut, kedua-dua OKT hanya memerhatikan sahaja segala tindakan SP9 dan pasukannya.
section
10. Setelah selesai menggeledah rumah pertama tersebut, SP9 dan pasukannya selanjutnya telah pergi ke rumah sebelah iaitu rumah PT 3251 (rumah kedua) di mana terdapat sebuah kereta Nissan Fair Lady berwarna merah bernombor pendaftaran CCE 31 (exh. P76) di parkir di anjung depan rumah kedua tersebut. SP9 dan pasukannya telah menjalankan pemeriksaan di dalam rumah kedua tersebut namun tidak menjumpai sebarang barang salah.
section
11. SP9 dan pasukannya seterusnya telah memeriksa kereta Nissan tersebut dan menjumpai 2 bungkusan plastik berwarna hitam, 1 balutan pelitup muka berwarna biru bertali getah putih [exh. P59(1)], 1 bungkusan kain berwarna hitam [exh. P55(1)] yang **Note : Serial number will be used to verify the originality of this document via eFILING portal 7 diikat dengan riben berwarna merah [exh. P56(1)] dan 1 sarung tangan getah putih kekuningan [exh. P60(1)] di poket belakang tempat duduk pemandu kereta tersebut.
section
12. Dalam bungkusan plastik hitam pertama terdapat 17 keping foil aluminium berwarna merah/perak [exh. P32(1-17)] bertulisan Erimin 5 yang diikat dengan gelang getah [exh. P32 (18)]. Setiap keping berisi 10 biji pil disyaki dadah.
section
13. Dalam bungkusan plastik hitam kedua terdapat 1 balutan kertas berwarna putih yang di dalamnya terdapat 1 balutan kertas berwarna kekuningan yang terdapat di dalamnya 1 balutan plastik lutsinar yang didalamnya terdapat 5 paket plastik berwarna biru [exh. P29(1-5)] yang diikat dengan gelang getah dan setiap paket plastik berwarna biru tersebut mengandungi 198 biji pil kemerahan dan 2 biji pil kehijauan yang disyaki dadah.
section
14. Dalam bungkusan kain berwarna hitam yang diikat dengan riben merah terdapat 1 sarung tangan getah yang terdapat di dalamnya 1 kain berwarna merah jambu [exh. P54(1)] yang terdapatnya di dalamnya sepucuk pistol jenis Magnum S&W 357 [exh. P39(A)(1)(a)].
section
15. Dalam pelitup muka yang dijumpai tersebut, terdapat 1 sarung tangan getah yang terdapat di dalamnya 3 butir peluru [exh. P39(B)(1)(A-C)]. **Note : Serial number will be used to verify the originality of this document via eFILING portal 8
section
16. Pada setiap barang kes yang dirampas, SP9 telah membuat 3 tandaan iaitu tandatangannya, tarikh kejadian dan tanda huruf “J”.
section
17. Selepas itu kedua-dua OKT, semua barang kes berkaitan dadah serta kenderaan diserahkan kepada pegawai penyiasat kes iaitu Insp. Hafis Nazarah (SP10) beserta borang geledah (exh. P71 dan P72), borang serah menyerah barang kes (exh. P64, P74 dan P75) dan 1 laporan polis yang dibuat oleh SP9 (exh. P79). Manakala barang kes berkenaan pistol dan peluru diserahkan kepada pegawai penyiasat ASP Nor Mazura binti Yaacob (SP11).
section
18. SP10, setelah menerima barang kes daripada SP9, telah membuat tandaannya sendiri iaitu tandatangannya sahaja pada setiap barang kes yang diterimanya dan kemudiannya telah menghantar barang kes ke Jabatan Kimia untuk dianalisis oleh Ahli Kimia Rozita binti Zakaria (SP1).
section
19. SP1 telah mengeluarkan 1 resit kimia dengan No. Makmal 21-FR-D-00104 (exh. P17) dan juga 1 laporan kimia dengan no makmal yang sama (exh. P34) di mana SP1 telah mengesahkan bahawa barang-barang kes yang diserahkan kepadanya untuk dianalisis adalah seperti berikut: i) 4 botol plastik berwarna putih bertanda “N1” hingga “N4” yang mengandungi 16 liter cecair berwarna hitam adalah mengandungi promethazine yang tersenarai dalam Jadual Pertama Akta Racun 1952. **Note : Serial number will be used to verify the originality of this document via eFILING portal 9 ii) 50 botol plastik bertudung kuning bertanda “NA (1a-1j); “NA (2a-2j); “NA (3a-3j); “NA (4a-4j) dan “NA (5a-5j) mengandungi serbuk berwarna putih dengan berat bersih 104.1 gram Heroin yang tersenarai dalam Jadual Pertama Akta Dadah Berbahaya 1952. iii) 5 paket plastik biru yang setiap paket mengandungi 198 biji tablet merah dan 2 biji tablet hijau di mana tablet-tablet merah mengandungi methamphetamine dengan berat bersih 14.2 gram dan tablet-tablet hijau mengandungi methamphetamine dengan berat bersih 0.05 gram. iv) 17 keping foil yang setiap satunya mengandungi 10 biji tablet berwarna jingga yang mengandungi etizolam dengan berat bersih 33.88 gram. Pembuktian Di Akhir Kes Pendakwaan.
section
20. Tugas pihak pendakwaan di akhir kes pendakwaan adalah untuk membuktikan satu kes prima facie terhadap OKT-OKT sebagaimana prinsip yang dinyatakan oleh Mahkamah Persekutuan dalam kes Balachandran vs PP [2004] 2 MLRA 547: “[23] … The test at the close of the case for prosecution would therefore be: Is the evidence sufficient to convict the accused if he elects to remain silent? If the answer is in the affirmative then a prima facie case has been made out. This must, as of necessity, require a consideration of the existence **Note : Serial number will be used to verify the originality of this document via eFILING portal 10 of any reasonable doubt in the case for the prosecution. If there is any such doubt there can be no prima facie case.”
section
21. Tugas Mahkamah perbicaraan pula di peringkat ini, menurut Seksyen 180 Kanun Tatacara Jenayah adalah untuk memutuskan sama ada pihak pendakwaan telah berjaya menimbulkan satu kes prima facie terhadap tertuduh-tertuduh. Jika Mahkamah mendapati bahawa pihak pendakwaan telah gagal untuk menimbulkan satu kes prima facie terhadap tertuduh, Mahkamah hendaklah merekodkan satu perintah pelepasan dan pembebasan dan jika sebaliknya Mahkamah mendapati pihak pendakwaan telah berjaya menimbulkan satu kes prima facie terhadap tertuduh, Mahkamah hendaklah memanggil tertuduh untuk membela diri.
section
22. Seksyen 180(4) Kanun Tatacara Jenayah menjelaskan bahawa suatu kes prima facie dikatakan telah berjaya ditimbulkan apabila pihak pendakwaan telah mengemukakan keterangan yang boleh dipercayai (credible evidence) dan telah membuktikan setiap intisari atau faktor kesalahan yang jika tidak dipatahkan atau diterangkan, akan mewajarkan satu sabitan.
section
23. Dalam melaksanakan tugas tersebut, Mahkamah perbicaraan hendaklah menjalankan satu penilaian yang menyeluruh dan maksimum terhadap semua keterangan yang telah dikemukakan oleh pihak pendakwaan menurut prinsip yang dinyatakan oleh Mahkamah Persekutuan dalam kes PP vs Mohd Radzi Abu Bakar [2005] 2 MLRA 590: **Note : Serial number will be used to verify the originality of this document via eFILING portal 11 “[12] … What is required of a Subordinate Court and the High Court under the amended ss is to call for the defence when it is satisfied that a prima facie case has been made out at the close of the prosecution case. This requires the court to undertake a maximum evauation of the prosecution evidence when deciding whether to call on the accused to enter upon his or her defence. It involves an assessment of the credibility of the witbesses called by the prosecution and the drawing of inferences admitted by the prosecution evidence. Thus, if the prosecution evidence admits of two or more inferences, one of which is in the accused’s favour, then it is the duty of the court to draw inference that is favourable to the accused. … If the court, upon a maximum evaluation of the evidence placed before it at the close of the prosecution case, comes to the conclusion that a prima facie case has not been made out, it should acquit the accused. If, on the other hand, the court after conducting a maximum evaluation of the evidence comes to the conclusion that a prima facie case has been made out, it must call for the defence. If the accused then elects to remain silent, the court must proceed to convict him. It is not open to the court to then re-assess the evidence and to determine whether the prosecution had established its case beyond reasonable doubt. The absence of any evidence from the accused that cast a reasonable doubt on the prosecution’s case renders the prima facie case one that is established beyond reasonable doubt. Put shortly, what the trial Court is obliged to do under ss 173(f) and 180 of the CPC is to ask itself the question: If the accused elects to remain silent, as he is perfectly entitled to do, am I prepared to convict him on the evidence now before me? … If the answer to that question is in affirmative, then the defence must be called. And if the accused remains silent, he must be convicted. If the answer is in the negative, then the accused must be acquitted.” **Note : Serial number will be used to verify the originality of this document via eFILING portal 12
section
24. Bagi suatu kes pengedaran dadah di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, di akhir kes pendakwaan, 3 elemen yang perlu dibuktikan oleh Pihak Pendakwaan adalah seperti berikut:
a
(a) Dadah yang dipertuduhkan tersebut adalah dadah berbahaya sebagaimana yang dimaksudkan dan ditakrifkan dalam Akta Dadah Berbahaya 1952;
b
(b) OKT mempunyai milikan dadah tersebut; dan
c
(c) OKT telah mengedar dadah tersebut.
section
25. Prinsip ini dengan jelas dinyatakan oleh Mahkamah Rayuan dalam kes Jason Hew Kiong Chew v. PP [2025] 4 MLRA 861 di mana dalam perenggan [46] Mahkamah mengatakan seperti berikut: “The essential ingredients of the offence of trafficking in a dangerous drug, as alleged in the charge, are: i. that the drug is a dangerous drug within the meaning and definition of the DDA 1952; ii. that the Appellant was in possession of the impugned drugs; and iii. that the Appellant was in trafficking in drugs.” **Note : Serial number will be used to verify the originality of this document via eFILING portal 13 Elemen Pertama Sama Ada Dadah Dan Racun Yang Dipertuduhkan Tersenarai Sebagai Dadah Berbahaya Di Dalam Jadual Pertama Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Akta Racun 1952.
section
26. SP1 iaitu ahli kimia di Jabatan Kimia Malaysia, Kelantan telah menjalankan analisis ke atas barang kes dadah serta racun dan telah mengesahkan melalui Laporan Kimianya (P34) bahawa barang kes yang telah dianalisisnya adalah dadah berbahaya dari jenis Heroin dan Methamphetamine yang tersenarai dalam Jadual Pertama Akta Dadah Berbahaya 1952 serta mengandungi Promethazine dan Etizolam yang tersenarai dalam Jadual Pertama dan Jadual Ketiga Akta Racun 1952.
section
27. Mahkamah ini mendapati keterangan SP1 berkenaan hasil analisis yang dijalankan ke atas barang kes dadah telah tidak dicabar dan tidak dipertikaikan oleh pihak pembelaan. Mahkamah ini juga menerima keterangan SP1 serta Laporan Kimia (P34) sebagai keterangan menurut peruntukan seksyen 399 Kanun Tatacara Jenayah.
section
28. Mahkamah ini merujuk dan mengambil panduan daripada kes Munusamy Vengadasalam v PP (1986) 1 MLRA 292 di mana Mahkamah Agung mengatakan seperti berikut: “[9] … As a rule, a chemist in drug cases does not give any opinion as to ownership, control or possession of the substance sent for analysis, but he merely reports the result of the chemical examination of the substance. The only **Note : Serial number will be used to verify the originality of this document via eFILING portal 14 reason for sending the exhibit to he chemis is to determine its identity and to confirm what other witnesses have suspected. … We are therefore of the view, that in this type of cases where the opinion of the chemist is confined only to the elementary nature and identity of substance, the Court is entitled to accept the opinion of the expert of its face value, unless it is inherently incredible or the defence calls evidence in rebuttal by another expert to contradict the opinion. So long as some credible evidence is given by the chemist to support his opinion, there is no necessity for him to go into details of what he did in the laboratory, step by step. … “
section
29. Prinsip undang-undang yang dinyatakan dalam kes Munusamy Vengadasalam v PP (1986) 1 MLRA 292 di atas telah diikuti oleh Mahkamah Rayuan dalam kes Tarmizi bin Yaacob dan satu lagi v PP (2006) 2 MLRA 185 di mana Mahkamah Rayuan mengatakan seperti berikut: “[25] Panduan pertama yang ditetapkan dalam kes-kes itu ialah supaya mahkamah perbicaraan menerima prima facie keterangan ahli kimia melainkan ia ternyata sukar dipercayai hingga tiada orang yang berfikiran waras boleh percaya kebenarannya. Keduanya, selagi keterangan itu boleh dipercayai ahli kimia tidak perlu menunjukkan secara terperinci apa yang dibuat di dalam makmalnya. …”
section
30. Berdasarkan kepada peruntukan seksyen 399 Kanun Tatacara Jenayah serta kes-kes dahuluan yang dinyatakan di atas, Mahkamah ini menerima keterangan SP1 dan ekshibit P34 dan dengan itu juga Mahkamah ini berpuashati bahawa barang kes **Note : Serial number will be used to verify the originality of this document via eFILING portal 15 yang dianalisis tersebut adalah dadah berbahaya dari jenis Heroin dan Methamphetamine yang tersenarai dalam Jadual Pertama Akta Dadah Berbahaya 1952 dan juga Promethazine dan Etizolam yang tersenarai dalam Jadual Pertama dan Jadual Ketiga Akta Racun 1952. Oleh itu Mahkamah ini mendapati bahawa elemen pertama tersebut telah berjaya dibuktikan oleh pihak pendakwaan. Identiti Barang Kes Dadah Dan Racun Dalam Rumah Pertama.
section
31. Walaupun SP1 telah mengesahkan bahawa barang kes dadah dan racun yang dihantar kepadanya untuk dianalisis adalah dadah dari jenis Heroin dan Methamphetamine serta racun Promethazine dan Etizolam namun pihak pendakwaan masih memikul tugas untuk membuktikan bahawa dadah yang dihantar ke jabatan kimia untuk dianalisis oleh ahli kimia tersebut adalah dadah yang sama yang telah dirampas daripada OKT-OKT oleh SP9 yang kemudiannya diserahkan kepada SP10 dan selanjutnya diserahkan kepada SP1 dan akhirnya dikemukakan di Mahkamah semasa perbicaraan.
section
32. Berdasarkan keterangan pegawai penyiasat SP10, dia mengatakan bahawa apabila dia menerima barang kes daripada SP9, dia telah membuat tandaannya sendiri iaitu tandatangannya dan tiada tandaan lain yang dia buat melainkan tandaan sedia ada yang telah dibuat oleh SP9 iaitu tandatangan SP9, tarikh kejadian serta tandaan huruf “J”.
section
33. SP10 mengaku bahawa barang kes yang dia hantar ke jabatan kimia dan diserahkan kepada SP1 adalah barang kes yang sama yang dia terima daripada SP9. **Note : Serial number will be used to verify the originality of this document via eFILING portal 16
section
34. SP1 dalam pernyataan bertulisnya (PSP1) dan juga dalam laporan kimia yang disediakannya (P34) mengatakan bahawa antara barang kes yang dia terima daripada SP10 untuk dianalisis dalam kes ini ialah seperti berikut: i) 4 botol plastik berwarna putih bertanda “N1” hingga “N4” yang mengandungi 16 liter cecair berwarna hitam adalah mengandungi promethazine yang tersenarai dalam Jadual Pertama Akta Racun 1952. ii) 50 botol plastik bertudung kuning bertanda “NA (1a-1j); “NA (2a-2j); “NA (3a-3j); “NA (4a-4j) dan “NA (5a-5j) mengandungi serbuk berwarna putih dengan berat bersih 104.1 gram Heroin yang tersenarai dalam Jadual Pertama Akta Dadah Berbahaya 1952.
section
35. Dari segi jumlah barang kes, 4 botol plastik mengandungi cecair berwarna hitam serta 50 botol plastik berpenutup kuning yang mengandungi serbuk putih adalah sama seperti jumlah dan jenis barang kes yang dirampas oleh SP9 dalam rumah pertama tersebut. Namun SP9 dan SP10 tidak ada membuat tandaan-tandaan “N1-N4” dan “NA (1a-1j); “NA (2a-2j); “NA (3a-3j); “NA (4a-4j) dan “NA (5a-5j) seperti tandaan-tandaan yang terdapat pada barang-barang kes yang diterima oleh ahli kimia SP1.
section
36. Jadi persoalan serius yang timbul ialah barang kes yang manakah sebenarnya dihantar oleh SP10 ke jabatan kimia dan barang kes yang manakah yang diterima oleh SP1 dalam kes ini. Adalah terang **Note : Serial number will be used to verify the originality of this document via eFILING portal 17 lagi bersuluh daripada tandaan-tandaan yang dibuat pada barang-barang kes tersebut bahawa barang kes yang dihantar kepada ahli kimia dan barang kes yang diterima oleh ahli kimia bukanlah barang kes yang sama.
section
37. Keadaan ini telah menimbulkan keraguan serius tentang identiti barang kes yang dikemukakan kepada SP1 untuk dianalisis dan seterusnya dikemukakan di Mahkamah sebagai ekshibit. Adakah ia benar-benar dadah yang dirampas oleh SP9 daripada OKT-OKT ataupun ia adalah barang kes bagi kes tangkapan dadah lain yang telah tertukar dengan barang kes dadah dalam kes ini? Tiada sebarang penjelasan diberikan berkenaan dengan keadaan ini.
section
38. Dalam kes Kumaguru V PP [1994] 1 MLJ 254, Mahkamah menyatakan: “However, in view of the several binding Supreme Court decision and a plethora of High Court authorities on this score, it is untenable for this court to accept a lower standard of custody of drug exhibits for cases tried in the lower court than in the High Courts. It is also settled law that on matters concerning the identity of drug exhibits, the proof of which (on the beyond reasonable doubt basis) lay with the prosecution throughout the case, no requirement rest on the defence to register any challenge on the issue. And as there is no need for the defence to do so, I hold that in this case and upon the evidence, the prosecution has failed to established the identity of the drug exhibits in the court below.” **Note : Serial number will be used to verify the originality of this document via eFILING portal 18
section
39. Oleh itu, Mahkamah ini mendapati terdapat keraguan yang serius pada identiti barang kes sama ada dadah heroin dan cecair kodein yang dirampas oleh SP9 daripada OKT-OKT di dalam rumah pertama tersebut adalah dadah dan cecair racun yang sama yang dihantar ke jabatan kimia dan yang telah dikemukakan dalam Mahkamah ini. Atas isu ini sahaja, OKT-OKT patut dilepaskan dan dibebaskan tanpa dipanggil membela diri berkenaan dua pertuduhan di bawah kes no DA-45A-31-10/2021. Elemen Kedua Sama Ada OKT-OKT Mempunyai Milikan, Jagaan Dan Kawalan Terhadap Dadah dan Racun Yang Dirampas Di Rumah Pertama.
section
40. Dalam kes ini, daripada keterangan pemilik rumah pertama (SP2), rumah pertama tersebut adalah rumahnya dan dia telah meminta OKT1 untuk menjaga rumah tersebut kerana dia pada masa itu bekerja dan menetap di luar Kelantan. Satu set kunci diberikan kepada OKT1 dan SP2 sendiri memegang 1 set kunci rumah tersebut. SP2 juga mengatakan bahawa dia tahu bahawa OKT1 sering melepak di rumah pertama tersebut bersama kawan-kawan OKT1 dan dia tidak mempunyai halangan berkenaan hal tersebut. SP2 juga mengatakan bahawa dia ada balik sekali sekala dan bermalam di rumah tersebut bersama keluarganya. SP2 tidak mengenali OKT2 dan tidak pernah berjumpa OKT2 sebelum hadir ke Mahkamah ini.
section
41. Tiada kunci rumah pertama tersebut dirampas dari OKT-OKT dan tiada sebarang barang-barang peribadi OKT-OKT yang ditemui dan dirampas dari rumah pertama tersebut yang boleh menunjukkan **Note : Serial number will be used to verify the originality of this document via eFILING portal 19 bahawa OKT-OKT sememangnya tinggal atau menetap di rumah tersebut. OKT-OKT hanya pelawat sementara rumah tersebut.
section
42. Prinsip ini telah dinyatakan di dalam kes PP V. HONG LOY TEE [2006] CLJU 58; dimana telah diputuskan bahawa jika barangan peribadi tidak dibuktikan wujud di tempat kejadian maka boleh dibuat inferens bahawa tertuduh-tertuduh sekadar “temporary visitor” di tempat kejadian.
section
43. OKT-OKT juga sebelum dan semasa ditangkap telah memberi kerjasama kepada pihak polis dengan menurut segala arahan polis untuk membuka pintu sliding rumah dan membiarkan diri mereka dan rumah tersebut diperiksa dan digeledah oleh polis tanpa bantahan dan tanpa ada sebarang usaha untuk melarikan diri serta usaha untuk melupuskan barang kes. Penemuan barang kes di dalam rumah pertama tersebut adalah semata-mata hasil penggeledahan SP9 dan pasukannya dan bukan ditunjuk oleh OKT-OKT.
section
44. Keadaan ini boleh menimbulkan inferens bahawa OKT-OKT tidak mempunyai pengetahuan berkenaan apa-apa barang salah yang terdapat dalam rumah pertama tersebut.
section
45. Berdasarkan kes LOW THIAM TECK V. PP [2015] 3 MLJ 134 Mahkamah telah menggunapakai prinsip sebagaimana berikut: “[23] Both the appellant and the 2nd accused did not resist arrest. There was no evidence of any overt act on their part other than "terkejut". In fact their conduct could only benefit **Note : Serial number will be used to verify the originality of this document via eFILING portal 20 the appellant's case as it negatived any inference of knowledge of the drugs from either the appellant or the 2nd accused, particularly the appellant. With no evidence of fear adduced, let alone there was no attempt to escape or a struggle put up against the police, the prosecution had failed to establish any evidence upon which an inference of knowledge about the drugs in the car can be made. Without knowledge, the prosecution had failed to establish the ingredient of possession. (PP v. Salleh Zakaria & Anor [2010] 4 CLJ 671). Further there was insufficient evidence to show that the appellant had possession of the dangerous drugs in question together with the other two accused persons, or with either one of them (PP v. Mohd Bandar Shah Nordin & Anor [2008] 4 CLJ 859). [24] On the issue of proximity to the drugs, we agreed with learned counsel that physical proximity to the drugs per se is insufficient to prove possession without proof of knowledge. Except for the evidence of proximity, there was nothing in the conduct of either the appellant or the 2nd accused at the time of their arrest upon which a prima facie inference could be made that the appellant or both of them had knowledge of the drugs. At the highest, the evidence merely showed that perhaps the appellant had some momentary custody of the bags together with the 2nd accused. In such circumstances there was no possession (per Lord Morris in Warner v. Metropolitan Police Commissioner [1968] 2 All ER 356).”
section
46. Semata-mata berada dalam rumah yang ada dadah di dalamnya tidaklah dengan automatik menjadikan OKT-OKT mempunyai kawalan, jagaan, milikan dan pengetahuan terhadap dadah yang terdapat di dalamnya. **Note : Serial number will be used to verify the originality of this document via eFILING portal 21
section
47. Prinsip ini juga telah ditegaskan di dalam kes Roslan bin Hanapi v PP [2015] MLJU 2151 yang mana Mahkamah menegaskan sebagaimana berikut; “[22] But for the presumption under section 37(d) to apply, the prosecution must first establish custody or control of “anything whatsoever containing any dangerous drug”, in this case the bag containing the 320 bottles of heroin. It is only when either custody or control had been established that the appellant would be presumed to have had knowledge of the drug. To be in custody of a thing is to have physical care of the thing whilst to be in control is to have charge or dominion over the thing. Short of an express admission, proof of having charge or dominion is a matter of inference from the surrounding circumstances. [23] On the evidence we found that neither custody nor control had been established against the appellant. Mere proximity to the bag containing the drug cannot by any stretch of the imagination be equated with custody or control. It must further be shown that the appellant either had physical care of the bag or had charge or dominion over the bag. The presumption under section 37(d) of the DDA therefore had no application against the appellant.”
section
48. Berdasarkan kes tersebut, Mahkamah Rayuan berpendirian bahawa kewujudan dadah semata-mata di sesuatu premis atau kenderaan tidak secara automatik membuktikan bahawa tertuduh mempunyai milikan terhadap dadah tersebut. Apa yang perlu dibuktikan adalah tertuduh mempunyai kawalan sebenar (actual control) dan (dominion) ke atas barang kes. Selanjutnya, Mahkamah menegaskan bahawa kehadiran tertuduh di tempat kejadian semata- **Note : Serial number will be used to verify the originality of this document via eFILING portal 22 mata tidak mencukupi untuk mensabitkan elemen milikan. Kehadiran tertuduh di tempat kejadian semata-mata hanya menimbulkan syak wasangka sedangkan undang-undang menuntut pembuktian melampaui keraguan munasabah bahawa tertuduh mempunyai kawalan dan jagaan ke atas barang kes.
section
49. Oleh itu adalah menjadi dapatan Mahkamah ini bahawa pihak pendakwaan telah gagal untuk membuktikan elemen kedua pertuduhan berkenaan pemilikan, jagaan dan kawalan serta pengetahuan ke atas dadah dan racun yang ditemui dalam rumah pertama tersebut. Sama ada OKT-OKT telah mengedar dadah yang dirampas di tempat kejadian di bawah peruntukan seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah seksyen 39B(2) Akta yang sama.
section
50. Oleh kerana intipati pemilikan, jagaan dan kawalan serta pengetahuan gagal dibuktikan oleh pihak pendakwaan terhadap OKT-OKT, maka elemen pengedaran juga gagal dibuktikan oleh pihak pendakwaan dan Mahkamah ini tidak akan mengulas lanjut berkenaan isu ini. Atas dasar ini juga, Mahkamah ini berpendapat bahawa adalah tidak selamat untuk memanggil OKT-OKT untuk membela diri bagi kedua-dua pertuduhan di bawah kes DA-45A- 31-10/2021. **Note : Serial number will be used to verify the originality of this document via eFILING portal 23 Kes DA-45-12-10/2021 - Rumah Kedua.
section
51. Bagi kes DA-45-12-10/2021 iaitu berkenaan barang kes dadah dan racun yang ditemui dalam kereta Nissan Fair Lady pula Mahkamah ini juga mendapati tiada pertalian atau nexus antara OKT-OKT dengan kereta tersebut.
section
52. Walaupun SP9 mengatakan OKT-OKT telah memandu arah pasukannya ke rumah tersebut, namun tiada sebarang kata-kata amaran telah diterangkan kepada OKT-OKT sebelum OKT-OKT dikatakan memandu arah SP9 dan pasukannya ke rumah tersebut. SP9 mengatakan dia ada menulis kata-kata amaran dan menyerahkan kepada SP10 namun SP10 mengatakan tiada dokumen kata-kata amaran tersebut telah diserahkan kepadanya. Borang-borang senarai geledah (exh. P71) dan (exh. P72) serta borang-borang penyerahan barang kes (exh. P74) dan (exh. P75) juga tidak menyatakan adanya dokumen tersebut disediakan oleh SP9 dan diserahkan kepada SP10.
section
53. Keterangan SP8 (salah seorang anggota pasukan serbuan) juga tidak menyokong keterangan SP9 di mana SP8 mengatakan bahawa pasukan serbuan polis yang telah menjumpai kunci “AGASS” dan kunci motokar tersebut di atas meja makan dalam rumah pertama dan SP9 yang membawa OKT-OKT ke rumah kedua tersebut. SP8 juga mengatakan bahawa rumah kedua tersebut hanya bersebelahan dengan rumah pertama dan tidak perlu dipandu arah untuk SP9 pergi ke rumah kedua tersebut. Selanjutnya SP8 juga mengatakan bahawa barang-barang dadah, racun, pistol dan peluru yang dijumpai dalam kereta Nissan Fair **Note : Serial number will be used to verify the originality of this document via eFILING portal 24 Lady tersebut adalah hasil penggeledahan SP9 dan bukannya ditunjuk oleh OKT-OKT. Sebaliknya SP9 yang menunjukkan barang-barang tersebut kepada OKT-OKT setelah menemuinya.
section
54. Selanjutnya Mahkamah ini juga mendapati bahawa kereta tersebut bukan berada dalam kawalan atau jagaan OKT-OKT secara eksklusif. SP3, tuan rumah kedua tersebut mengatakan bahawa pagar rumah tersebut tidak berkunci. Mangga hanya diletakkan sahaja pada pintu pagar rumah tersebut tetapi tidak dikunci dan sesiapa sahaja boleh memasuki pagar rumah kedua tersebut. SP3 juga mengatakan bahawa anjung rumah (porch) tersebut memang menjadi tempat orang awam parkir kereta terutamanya ketika musim banjir.
section
55. Kunci pagar rumah kedua tersebut gagal dikemukakan sebagai ekshibit semasa perbicaraan dan tiada acu cuba dibuat oleh SP10 untuk pastikan mangga dan kunci pagar tersebut boleh berfungsi.
section
56. Seterusnya, kereta Nissan Fair Lady tersebut juga pada masa itu berada dalam keadaan tidak boleh dihidupkan. Ia dibawa ke IPD secara ditunda. Pintu penumpang kereta tersebut juga telah rosak dan boleh dibuka walaupun dalam keadaan kereta tersebut dikunci. Ini bermaksud bukan sahaja tempat kereta tersebut diparkir boleh diakses oleh mana-mana orang lain namun bahagian dalam kereta tersebut juga boleh diakses oleh mana-mana orang lain. **Note : Serial number will be used to verify the originality of this document via eFILING portal 25
section
57.
preamble
Menurut SP5, iaitu pemilik berdaftar kereta Nissan Fairlady tersebut, dia telah membeli kereta tersebut lebih kurang dalam tahun 2013. Kemudian dia telah menjual kereta tersebut kepada syarikat Lira Automobile iaitu syarikat kereta terpakai secara sambung bayar dalam tahun 2014. Kereta tersebut telah dijual tanpa dibuat penukaran nama kerana pada masa itu kereta tersebut masih mempunyai hutang tertunggak dengan pihak bank. Keterangan SP5 tidak mengaitkan OKT-OKT.
section
58. Mahkamah ini merujuk dan mengambil panduan daripada prinsip undang-undang yang dinyatakan oleh Mahkamah Persekutuan dalam kes Ibrahim Mohamad & Anor v. PP [2011] 1 MLRA 181 di perenggan [12] di mana Zulkefli Makinudin HMP mengatakan: “[12] The Supreme Court in Abdullah Zawawi had therefore highlighted the danger of relying on tip-off’s case as there is a possibility that in such a situation the drugs may have been planted in order to implicate the accused. Hence the need for the prosecution to exclude the possibilities that other individuals may have access to the drugs in question. We find on a proper perusal of the evidence it would show that the prosecution had failed to exclude the possibility of others having access to the said vehicle. No evidence whatsoever was adduced by the prosecution to exclude the possibility that Zainuddin and/or other individual had access to the vehicle prior to the date of arrest. …”
section
59. Dalam kes yang dibicarakan ini, dalam keadaan anjung rumah kedua tersebut dan bahagian dalaman kereta tersebut yang boleh didatangi atau diakses oleh sesiapa sahaja, Mahkamah ini **Note : Serial number will be used to verify the originality of this document via eFILING portal 26 berpendapat bahawa pihak pendakwaan telah gagal untuk mengecualikan akses individu-individu lain terhadap kereta tersebut. Oleh itu, Mahkamah ini mendapati bahawa OKT-OKT tidak mempunyai milikan, jagaan dan kawalan terhadap kereta tersebut termasuklah dadah-dadah, racun, pistol dan peluru yang dijumpai dalam kereta tersebut. Oleh itu adalah menjadi dapatan Mahkamah ini bahawa pihak pendakwaan telah gagal untuk membuktikan elemen-elemen berkenaan pemilikan, jagaan dan kawalan ke atas barang-barang kes yang berada atau ditemui dalam kereta tersebut.
section
60. Atas dasar itu juga Mahkamah ini mendapati adalah tidak selamat untuk memanggil OKT-OKT membela diri bagi kedua-dua pertuduhan dalam kes DA-45-12-10/2021. Kes DA-45D-1-10/2021 (Pistol dan Peluru).
section
61. Berkenaan kawalan dan jagaan ke atas kereta Nissan Fairlady tersebut serta akses oleh pihak ketiga, dapatan Mahkamah ini adalah sama seperti dalam kes DA-45-12-10/2021 di atas.
section
62. Berkenaan terdapatnya kesan profil DNA OKT1 pada sebahagian exhibit menurut laporan kimia forensik (exh. P66), daripada 21 ekshibit yang dihantar ke jabatan kimia untuk dianalisis, hanya pelitup separuh muka yang bertanda “13.1” dan sarung tangan yang bertanda “13.2” yang mempunyai profil DNA OKT1 bersama-sama dengan profil DNA individu lain yang tidak dapat ditentukan. **Note : Serial number will be used to verify the originality of this document via eFILING portal 27
section
63. Terdapat juga profil DNA “lelaki 1” pada exhibit bertanda “12.1.1”. Terdapat profil DNA individu lain yang tidak dapat ditentukan selain OKT-OKT dan “Lelaki 1” pada tuala exhibit “12.2” dan exhibit “7”. Selanjutnya terdapat profil DNA daripada individu lain yang tidak dapat ditentukan yang tidak termasuk OKT-OKT dan “Lelaki 1” pada exhibit-exhibit “11”, “12.3”, “12.4” “12.5” dan “12.6”.
section
64. Ini menunjukkan kehadiran profil DNA OKT1 bukan eksklusif tetapi bersama profil DNA individu lain. SP7 juga mengatakan bahawa DNA seseorang boleh berpindah jika berlaku sentuhan antara individu ke individu atau antara objek ke objek yang bersentuhan.
section
65. SP9 semasa membuat tangkapan ke atas OKT1 tidak memakai sebarang sarung tangan dan selepas itu dia telah menggeledah dan menjumpai serta mengambil keluar barang-barang kes dalam kereta Nissan Fair Lady tersebut juga tanpa memakai sarung tangan.
preamble
Menurut keterangan SP7, keadaan ini boleh menyebabkan DNA OKT1 berpindah ke barang-barang kes yang lain yang disentuh atau dipegang oleh SP9.
section
66. Atas alasan yang sama khususnya berkenaan kawalan dan jagaan ke atas kereta Nissan Fair Lady tersebut serta akses kepada pihak ketiga, Mahkamah ini mendapati adalah tidak selamat untuk memanggil OKT-OKT untuk membela diri bagi kedua-dua pertuduhan memiliki senjata api dan 3 butir peluru dalam kes DA- 45D-1-10/2021. **Note : Serial number will be used to verify the originality of this document via eFILING portal 28 Niat Umum Bersama.
section
67. Dalam pertuduhan-pertuduhan yang dikemukakan terhadap OKT-OKT dalam kes ini yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, tiada fakta telah dibuktikan berkenaan terdapatnya satu rancangan awal (“pre-arrange plan”) antara OKT-OKT untuk melakukan kesalahan-kesalahan yang dipertuduhkan ke atas mereka.
section
68. Bagi membuktikan elemen niat umum bersama, pihak pendakwaan haruslah membuktikan terdapat suatu pra-perancangan untuk melakukan suatu kesalahan diantara OKT-OKT sebelum perbuatan kesalahan itu dilakukan. Adalah tidak penting bilakah pra-perancangan itu dibuat sama ada ia telah dirancang lama atau pun ia hanya dirancang sejurus sebelum perbuatan kesalahan itu dilakukan. Asasnya, perlu ada pra-perancangan yang mendahului perbuatan kesalahan tersebut.
section
69. Prinsip ini ada dinyatakan oleh Mahkamah Persekutuan dalam kes Farose Tamure Mohamad Khan v. PP & Other Appeals [2016] 6 MLRA 337 di mana Mahkamah mengatakan seperti berikut: “[53] Common intention, distinguished from the same or similar intention, requires proof that the criminal act was done in pursuance of a pre-arranged plan (Mahbub Shah (Supra)). Such pre-planning may develop on the sport or in the course of commission of an offence, the crucial test being the plan must precede the commission of the offence (Namasiyiam **Note : Serial number will be used to verify the originality of this document via eFILING portal 29 Doraisamy v. PP & Other Cases [1987] 1 MLRA 73; [1987] 2 MLJ 336; [1987] CLJ Rep 241).”
section
70. Keduanya, pihak pendakwaan perlu membuktikan terdapatnya perbuatan turut serta sebenar (actual participation) oleh OKT-OKT tanpa mengira tahap atau takat perbuatan turut serta tersebut (degree of participation). Semata-mata kehadiran OKT-OKT secara bersama di tempat kejadian tanpa sebarang pra-perancangan dan tanpa sebarang perbuatan turut serta sebenar tidak akan menimbulkan niat umum bersama antara OKT-OKT.
section
71. Prinsip ini dengan jelas dinyatakan dalam kes PP v. Ngumbang Abang & Another Appeal [2024] 5 MLRA 355, Che Mohd Ruzima Ghazali (HMR pada ketika itu) dalam perenggan [23] telah merujuk kepada keputusan Mahkamah Persekutuan seperti berikut: “see also the Federal Court decision in Namasiyiam Doraisamy v. PP & Other Cases [1987] 1 MLRA 73; [1987] 2 MLJ 336; [1987] CLJ Rep 241 where at p 84, Syed Agil Barakbah SCJ opined: “[36] In law, common intention requires a prior meeting of the minds and presupposes some prior concert. Proof of holding the same intention or of sharing some other intention, is not enough. There must be proved either by direct or by circumstancial evidence that there was (a) a common intention to commit the very offence of which the accused persons are sought to be convicted and (b) participation in the commission of the intended offence in furtherance of that common intention.” **Note : Serial number will be used to verify the originality of this document via eFILING portal 30
section
72. Atas keseluruhan keterangan pihak pendakwaan yang ada dalam kes ini, Mahkamah ini mendapati bahawa elemen niat umum bersama ini juga gagal dibuktikan oleh pihak pendakwaan.
section
73. Dalam kes Magendran Mohan v. PP [2012] 5 MLRA 333 Mahkamah Persekutuan menyatakan seperti berikut: “[42] The test at the end of the prosecution’s case is “prima facie” based on a maximum evaluation of evidence. The evidence has to be scrutinised properly and not perfunctorily, cursorily or superficially. If the evaluation of the evidence results in doubts in the prosecution’s case, then a prima facie case has not been made out. The defence ought not to be called merely to clear or clarify such doubts.” Kesimpulan Dan Keputusan Mahkamah.
section
74. Kesimpulannya, daripada keseluruhan keterangan yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan di peringkat kes pendakwaan ini, Mahkamah ini tidak bersedia untuk mensabitkan OKT-OKT bersalah jika sekiranya OKT-OKT dipanggil untuk membela diri berkenaan pertuduhan-pertuduhan yang dikemukakan terhadap mereka dan OKT-OKT memilih untuk berdiam diri. Oleh itu, Mahkamah ini mendapati bahawa pihak pendakwaan telah gagal untuk membuktikan satu kes prima facie terhadap OKT-OKT untuk ketiga-tiga kes atau untuk kesemua 6 pertuduhan yang dikemukakan terhadap mereka, maka OKT-OKT dilepaskan dan dibebaskan tanpa dipanggil untuk membela diri terhadap kesemua pertuduhan-pertuduhan tersebut. **Note : Serial number will be used to verify the originality of this document via eFILING portal 31 Alasan Penghakiman ini bertarikh 13 Mei 2026. ………………………………… (MOHD ROSLI BIN YUSOFF) Hakim Mahkamah Tinggi Malaya (2) Kota Bharu, Kelantan. Bagi pihak Pendakwa Raya: TPR Hazwanie binti Husain Bustari, Timbalan Pendakwa Raya, Pejabat Pendakwaan Negeri Kelantan, AG-3-03-06, Al-Waqah @ Tunjong, Tingkat 3, Bangunan H Elite Design, 16010 Kota Bharu, Kelantan. Bagi pihak OKT1: Amirul Ridzuan Bin Hanif & Nur Syafiah Athirah Binti Ahmad Shafique Selvarajah, The Law Office of Amirul & Athirah, No 10-09 Menara Centera, Jalan Tuanku Rahman Chow Kit, 53200 Kuala Lumpur. Bagi pihak OKT2: Rozilawati binti Mat Hassan, Tetuan Rozilawati Hassan & Co, H-98, Perumahan JPN Lati, Jalan Hospital Lati, 17000 Pasir Mas, Kelantan. **Note : Serial number will be used to verify the originality of this document via eFILING portal
Wrong text, a broken link, out-of-date content, or a removal request — tell us and we'll check it against the official source.