Schedule
Jadual Pertama ADB 1952. Elemen Kedua: Pemilikan - jagaan, kawalan dan pengetahuan OKT-OKT ke atas dadah tersebut 26. Dalam kes dadah, milikan tidak boleh dibuktikan semata-mata melalui syak, proximity atau fakta bahawa sesuatu barang ditemui di tempat yang ada kaitan dengan Tertuduh. Milikan memerlukan pembuktian bahawa Tertuduh mempunyai jagaan atau kawalan, pengetahuan dan kuasa untuk berurusan dengan dadah tersebut seolah-olah miliknya. 27. Prinsip undang-undang berkaitan elemen kedua ini telah diperjelaskan dalam banyak kes duluan di antaranya (sekadar merujuk beberapa kes yang seringkali dirujuk) kes PP v. Denish a/l Madhavan [2009] 2 MLJ 194 / [2009] 2 CLJ 209; Chan Pean Leon v. Public Prosecutor [1956] LNS 17 / [1956] 1 MLJ 237; Pendakwa Raya v. Lim Chsung Meng & Anor & Another Appeal [2015] 1 LNS 1226 / [2015] MLJU 2234 dan Emmanuel Yaw Teiku v. PP [2006] 3 CLJ 597 / [2006] MLJ 209. 28. Dalam kes Chan Pean Leon v. PP [1956] 22 MLJ 237, adalah diputuskan bahawa jagaan dan kawalan merujuk kepada keadaan di mana seseorang itu mempunyai kuasa untuk berurusan dengan sesuatu benda itu sebagai kepunyaannya dengan mengecualikan semua orang lain. Manakala dalam kes Parlan Dadeh v. PP [2009] 1 CLJ 717 menyatakan bahawa pengetahuan selalunya adalah suatu perkara inferens daripada hal keadaan kes itu. Hujahan pendakwaan berkaitan Milikan 29. Pendakwaan berhujah bahawa tertuduh mempunyai milikan ke atas dadah-dadah yang dijumpai dalam boot kereta Toyota Vios berdasarkan fakta-fakta berikut – Milikan Tertuduh terhadap dadah dalam boot Toyota Vios telah dibuktikan melalui gabungan keterangan keadaan, tingkah laku (conduct) Tertuduh, penemuan kunci Vios, dokumen-dokumen milik Tertuduh, dan rakaman percakapan ID55 serta ID56. Milikan tidak semestinya dibuktikan melalui pemilikan berdaftar kenderaan atau dadah berada pada badan Tertuduh. 30. Selepas Tertuduh ditahan pada 22.11.2020 jam lebih kurang 6.40 petang, Tertuduh telah disoal siasat oleh SP3 dan dikatakan telah mendedahkan bahawa dia menyimpan 8 pound dadah di dalam kereta miliknya di satu lokasi yang hanya diketahui olehnya. 31. Tertuduh telah membawa SP3 dan pasukan polis ke sebuah bilik di rumah beralamat di 42-07-19, Apartment Desa Green, Jalan Van Praagh, Georgetown. Dalam bilik tersebut terdapat sebuah almari yang dalamnya terdapat satu beg hitam jenama Pixon. Tertuduh telah membuka almari lalu mengeluarkan sebuah beg dan Tertuduh telah membuka 7zip beg tersebut dan mengeluarkan satu anak kunci Toyota berwarna perak. Dalam beg Pixon tersebut turut ditemukan beberapa dokumen dan gambar milik Tertuduh. 32. Pendakwaan menghujahkan bahawa penemuan kunci Vios dalam beg yang turut mengandungi barang-barang milik Tertuduh menyokong inferens bahawa kunci tersebut berada dalam jagaan dan kawalan Tertuduh, bukan sekadar ditemui secara kebetulan. 33. Selepas itu, Tertuduh telah membawa SP3 dan pasukan polis kepada sebuah kereta Toyota Vios dengan nombor pendaftaran PKE 5442 yang diparkir di premis cuci kereta tidak bernombor di Jalan Besar, Simpang Ampat. Tertuduh telah menuding jari telunjuk kanan ke arah bahagian boot kereta. SP3 kemudian membuka boot Vios tersebut menggunakan kunci Toyota yang dirampas di rumah Desa Green dan mendapati dalam boot tersebut terdapat sebuah beg plastik berwarna hitam bertulis “Padini” yang mengandungi 8 bungkusan dadah. 34. Pendakwaan berhujah bahawa Tertuduh bukan sahaja mengetahui lokasi kereta Vios, tetapi juga mengetahui bahawa dadah berada di dalam boot kereta tersebut. Oleh itu, conduct Tertuduh membawa polis dari tempat tangkapan ke rumah untuk mendapatkan kunci, kemudian membawa polis ke Vios dan menunjukkan bahagian boot, adalah keterangan keadaan yang menunjukkan milikan, kawalan dan pengetahuan Tertuduh terhadap dadah. 35. Pendakwaan juga turut bergantung kepada rakaman percakapan Krishnamah A/P Tambiraja (ID56), yang mendakwa Tertuduh telah menghuni rumah Desa Green sejak 8 tahun lalu dan tiada keterangan menunjukkan orang lain tinggal di situ. Dalam ID56 juga menyatakan bahawa Toyota Vios PKE 5442 digunakan oleh Tertuduh dan satu kunci dipegang oleh Tertuduh. 36. Pendakwaan juga bergantung kepada ID55, iaitu rakaman percakapan Parudi A/P Subramaniam. Menurut Pendakwaan, ID55 menyatakan bahawa Toyota Vios PKE 5442 adalah milik Parudi tetapi digunakan oleh anaknya, iaitu Tertuduh, dan hanya Tertuduh sahaja memegang kunci kereta tersebut. 37. Pendakwaan berhujah walaupun Vios didaftarkan atas nama Parudi, pengguna sebenar dan orang yang mempunyai kawalan terhadap Vios ialah Tertuduh. Maka, kenderaan tersebut boleh dikaitkan kepada Tertuduh melalui penggunaan, pegangan kunci dan conduct Tertuduh membawa polis kepada kereta tersebut. 38. Pendakwaan juga menghujahkan bahawa pengetahuan dan milikan boleh dibuktikan melalui seksyen 8 Akta Keterangan, iaitu melalui conduct Tertuduh. Di mana dalam kes ini tertuduh telah membawa polis dan menunjukkan tempat barang dadah disimpan dan dijumpai boleh diterima sebagai conduct. 39. Berdasarkan hujahan yang dikemukakan, Pendakwaan memohon Mahkamah membuat inferens bahawa Tertuduh mempunyai milikan sebenar atau kawalan efektif terhadap dadah-dadah yang dijumpai dalam boot Toyota Vios PKE 5442. Hujahan Pembelaan berkaitan milikan 40. Pembelaan berhujah bahawa pihak pendakwaan telah gagal membuktikan Tertuduh memiliki dadah berbahaya tersebut atas alasan-alasan berikut – i) Pertama, Tertuduh ditahan pada jam lebih kurang 6.40 petang semasa memandu Toyota Hilux PPA 1285 di lampu isyarat Taman Tang Ling. Tiada dadah, kunci Vios atau barang salah ditemui pada badan Tertuduh atau dalam Toyota Hilux tersebut. SP3 dan SP4 juga bersetuju bahawa semasa serbuan pertama, Tertuduh tidak melakukan apa-apa kesalahan dan tiada barang salah ditemui bersamanya. ii) Kedua, dadah hanya ditemui kira-kira jam 9.00 malam, iaitu lebih kurang 2 jam 20 minit selepas Tertuduh ditahan, dalam boot Toyota Vios PKE 5442 di premis cuci kereta. Pada masa dadah ditemui, Tertuduh telah pun berada dalam tahanan polis. SP3 dan SP4 bersetuju bahawa semasa Tertuduh ditahan, dia berada jauh daripada kereta Vios dan dadah, dan tertuduh tidak mempunyai kawalan terhadap Vios, tidak mempunyai keupayaan untuk mengubah dadah, dan tidak mempunyai milikan terhadap apa-apa barang yang berada dalam boot Vios. iii) Ketiga, Toyota Vios PKE 5442 bukan milik Tertuduh. Ia didaftarkan atas nama Parudi A/P Subramaniam. Pemilik Vios ialah saksi material yang boleh menjelaskan siapa pengguna sebenar Vios, siapa memegang kunci utama, dan bagaimana Vios boleh berada di premis car wash tersebut. Keterangan juga menunjukkan Parudi mempunyai lesen memandu dan boleh memandu kereta tersebut. iv) Keempat, kunci kereta Vios tidak ditemui pada badan Tertuduh semasa tangkapan, ini melemahkan nexus antara Tertuduh dengan kereta Vios dan dadah kerana Tertuduh tidak mempunyai akses fizikal kepada kereta Vios pada masa beliau ditahan. Lebih lanjut, pembelaan membangkitkan bahawa kunci Vios yang ditemui ialah kunci pendua, manakala kunci utama dan siapa pemegangnya tidak diketahui. v) Kelima, rumah di Desa Green bukan premis yang aksesnya eksklusif kepada Tertuduh. SP4 mengesahkan bahawa Parudi dan Krishnamah berada di rumah semasa Tertuduh dan pasukan polis dating ke rumah tersebut, dan mereka turut menyaksikan pemeriksaan. Keterangan SP3 pula bahawa tiada orang lain berada dalam rumah pada masa tersebut. Pembelaan berhujah bahawa percanggahan keterangan SP3 dan SP4 adalah material mengenai terdapat orang lain di rumah tersebut yang mempunyai akses kepada rumah dan kunci Vios. vi) Keenam, keadaan almari tempat beg Pixon ditemui tidak berkunci. Beg Pixon juga tidak berkunci. SP3 mengakui bahawa beliau tidak tahu siapa pemilik pakaian dalam almari, siapa orang terakhir yang membuka almari, atau siapa yang meletakkan kunci Vios dalam beg tersebut. SP4 juga mengesahkan bahawa beg Pixon berada dalam keadaan terdedah, almari tidak berkunci, dan sesiapa dalam rumah boleh membuka almari serta melihat beg itu. Oleh itu, penemuan kunci Vios dalam beg Pixon tidak membuktikan bahawa kunci tersebut berada dalam kawalan eksklusif Tertuduh. vii) Ketujuh, Pembelaan menghujahkan bahawa walaupun Pendakwaan bergantung kepada ID55 dan ID56 untuk menyatakan bahawa Vios digunakan oleh Tertuduh dan hanya Tertuduh memegang kunci, kedua-dua rakaman percakapan itu tidak wajar diterima di bawah seksyen 32 Akta Keterangan. Parudi dan Krishnamah ialah saksi material, tetapi usaha mengesan mereka tidak mencukupi. SP5 hanya diarahkan mengesan mereka selepas kira-kira lima tahun. Semakan keberadaan mereka berdua dibuat hanya sekali sahaja di rumah masing-masing. Tiada semakan lanjut dengan syarikat telekomunikasi, JPN atau Imigresen dan tidak mengiklankan dalam surat khabar. SP4 mengakui usaha mengesan Parudi dan Krishnamah adalah tidak mencukupi. viii) Kelapan, Pembelaan menegaskan bahawa tiada saksi yang melihat Tertuduh memandu Vios, meletakkan Vios di car wash, membuka boot Vios atau memasukkan beg Padini berisi dadah ke dalam boot. SP3 mengakui beliau tidak tahu siapa yang meletakkan Vios di car wash, tidak tahu siapa pengguna-pengguna Vios, dan tidak melihat siapa yang meletakkan dadah dalam boot. SP4 juga bersetuju bahawa tiada saksi awam melihat Tertuduh meletakkan Vios di car wash atau meletakkan 8 pound dadah dalam boot kereta tersebut. ix) Kesembilan, dadah dalam boot Vios tidak disembunyikan dalam ruangan yang tersorok/tersembunyi. SP3 dan SP4 bersetuju bahawa apabila boot dibuka, beg Padini yang mengandungi dadah boleh dilihat. Mereka juga bersetuju bahawa jika polis memeriksa sendiri kereta tersebut, dadah tetap akan dijumpai. Maka, perbuatan Tertuduh yang dikatakan menuding ke arah boot tidak membuktikan pengetahuan atau milikan eksklusif, kerana penemuan (discovery) tidak bergantung kepada pengetahuan khusus Tertuduh. x) Kesepuluh, Pembelaan mencabar temubual/soal siasat dan ID21. Menurut Pembelaan, tiada kata-kata amaran diberikan dan dijelaskan kepada Tertuduh sebelum temubual dijalankan. Tambahan pula, SP4 bersetuju bahawa apabila suspek kes narkotik ditahan dan tiada barang salah ditemui, SOP polis ialah pergi ke rumah suspek untuk pemeriksaan lanjut. Oleh itu, sama ada temubual atau pandu arah berlaku atau tidak, polis tetap akan pergi ke rumah tersebut dan tetap akan menemui beg Pixon jika pemeriksaan dibuat. xi) Kesebelas, Pembelaan menghujahkan bahawa kegagalan memanggil saksi-saksi material seperti Parudi, Krishnamah dan saksi-saksi berkaitan car wash meninggalkan lompang besar dalam kes Pendakwaan. Saksi car wash adalah penting kerana mereka boleh menjelaskan siapa yang meletakkan Vios di situ, sejak bila Vios berada di situ, dan sama ada terdapat mana-mana orang membuka boot atau memasukkan sesuatu ke dalam boot. SP3 sendiri bersetuju bahawa pemilik atau pekerja car wash adalah saksi penting bagi isu tersebut. 41. Kesimpulannya, Pembelaan menghujahkan bahawa Pendakwaan gagal membuktikan fakta asas bahawa Tertuduh mempunyai custody and control terhadap Vios dan dadah dalam boot. Tertuduh ditahan di tempat lain, kunci Vios ditemui di tempat lain, dan dadah ditemui di tempat ketiga. Terdapat akses oleh pihak lain kepada rumah, kunci, Vios dan boot. Oleh itu, inferens yang lebih selamat ialah bahawa Tertuduh tidak memiliki dadah-dadah tersebut, dan anggapan di bawah seksyen 37(d) serta 37(da) Akta Dadah Berbahaya tidak boleh digunakan secara selamat Dapatan Mahkamah berkaitan milikan, kawalan dan pengetahuan 42. Saya telah meneliti keseluruhan keterangan dan hujahan kedua-dua pihak di akhir kes Pendakwaan. Kes Pendakwaan bergantung terutamanya kepada naratif bahawa selepas Tertuduh ditahan pada jam 6.40 petang, Tertuduh telah memberitahu SP3 bahawa dia menyimpan 8 pound dadah dalam sebuah kereta di car wash; kemudian Tertuduh membawa polis ke rumah di Desa Green untuk mengambil kunci Toyota Vios; seterusnya membawa polis ke car wash dan menuding ke arah boot Toyota Vios PKE 5442, tempat dadah ditemui. 43. Namun, setelah menilai keterangan secara maksimum, saya mendapati rangkaian fakta tersebut tidak mencukupi untuk membuktikan bahawa Tertuduh mempunyai custody and control terhadap dadah yang ditemui dalam boot kereta Toyota Vios. 44. Fakta yang tidak dipertikaikan ialah Tertuduh ditahan pada jam 6.40 petang semasa memandu Toyota Hilux PPA 1285. Pemeriksaan ke atas badan Tertuduh dan Hilux tidak menemui apa-apa barang salah. SP3 dan SP4 juga bersetuju bahawa semasa serbuan pertama, Tertuduh tidak melakukan apa-apa kesalahan kerana tiada barang salah ditemui. 45. Dadah pula hanya ditemui lebih kurang jam 9.00 malam, iaitu kira-kira 2 jam 20 minit selepas Tertuduh ditahan, di dalam boot Toyota Vios PKE 5442 di lokasi yang lain. Toyota Vios tersebut bukan milik Tertuduh, tetapi didaftarkan atas nama Parudi A/P Subramaniam. 46. Semasa Tertuduh ditahan pada jam 6.40 petang, kunci Toyota Vios tidak berada pada badan Tertuduh. Kunci tersebut hanya ditemui kemudian di rumah Desa Green. Keterangan SP3 dan SP4 yang dipetik oleh Pembelaan menunjukkan bahawa semasa Tertuduh ditahan, beliau berada jauh daripada Vios dan dadah, tiada kawalan terhadap Vios, tiada keupayaan untuk mengubah dadah, dan tiada milikan terhadap apa-apa yang berada dalam boot Vios. 47. Mahkamah ini juga merujuk kepada kes PP vs Ranovich Matthew (2019) 1 LNS 2338, yang mana turut membincangkan mengenai akses eksklusif kepada kereta yang mengandungi dadah. Mahkamah telah mendapati dan memutuskan bahawa tertuduh tidak mempunyai akses eksklusif kepada kereta tersebut kerana keterangan saksi pendakwaan sendiri menunjukkan bahawa PW9, Paul dan Frank turut mempunyai akses kepada kereta tersebut, dan PW9 pernah dilihat menggunakan kereta itu. Mahkamah menerima bahawa terdapat asas kepada pembelaan bahawa PW9 boleh meletakkan dadah dalam boot kereta tanpa pengetahuan tertuduh. 48. Fakta dalam kes Ranovich tersebut adalah juga hampir sama dengan fakta dalam kes di hadapan Mahkamah ini, di mana kereta Toyota Vios PKE 5442 bukan milik Tertuduh tetapi milik Parudi. Parudi mempunyai lesen memandu dan boleh memandu kereta. Tertuduh tidak ditahan di dalam Vios. Selanjutnya tiada saksi yang melihat Tertuduh memandu Vios, meletakkan Vios di premis mencuci kereta, membuka boot Vios atau memasukkan dadah ke dalam boot kereta Vios tersebut. 49. Pada hemat saya, pengakuan SP3 adalah material yang mengesahkan bahawa pada masa tangkapan, Tertuduh tidak mempunyai kawalan fizikal terhadap dadah tersebut. Dalam kes pengedaran dadah yang melibatkan penemuan barang kes dadah dalam kenderaan, Pendakwaan mesti membuktikan nexus yang jelas antara Tertuduh, kenderaan dan dadah. Nexus tersebut tidak boleh diasaskan semata-mata kepada syak atau andaian. Akses kepada rumah dan kunci Vios 50. Pendakwaan menghujahkan bahawa kunci Vios ditemui dalam beg Pixon bersama dokumen dan gambar milik Tertuduh, dan ini menunjukkan Tertuduh mempunyai kawalan terhadap Vios. Namun, dapatan ini tidak selamat apabila dibandingkan dengan keseluruhan keterangan. 51. Keterangan menunjukkan bahawa rumah Desa Green bukanlah premis yang aksesnya eksklusif kepada Tertuduh. SP4 mengesahkan bahawa semasa serbuan kedua di rumah tersebut, Parudi dan Krishnamah berada di rumah dan menyaksikan pemeriksaan. Ini bercanggah dengan keterangan SP3 yang menyatakan tiada orang lain di rumah semasa serbuan. 52. Manakala almari tempat beg Pixon ditemui dalam keadaan yang tidak berkunci. SP3 mengakui beliau tidak tahu siapa penghuni rumah, siapa pemilik pakaian dalam almari, berapa set kunci rumah yang wujud, siapa pemegang kunci-kunci tersebut, dan siapa orang terakhir yang membuka almari atau memasukkan sesuatu ke dalam almari. SP3 juga bersetuju bahawa beg Pixon tidak berkunci dan sesiapa sahaja boleh membuka serta menutup beg tersebut. 53. SP4 juga mengesahkan bahawa beg Pixon berada dalam keadaan terdedah, almari tidak berkunci, sesiapa dalam rumah boleh membuka almari dan melihat beg tersebut, dan pakaian dalam almari tidak diketahui milik siapa. 54. Mahkamah ini merujuk kepada kes PP vs Chua Teik Beng (2009) 8 CLJ 169, di mana fakta kes tersebut mengenai penemuan barang kes adalah hampir sama dengan kes di hadapan Mahkamah ini. Dalam kes Chua, dadah telah ditemui dalam sebuah almari plastik dalam bilik di sebuah rumah. Barang peribadi Chua seperti buku akaun Maybank, pasport dan sijil lahir juga ditemui di tempat yang sama. Mahkamah itu telah memutuskan bahawa Pendakwaan gagal membuktikan tertuduh memiliki dadah tersebut kerana bilik tersebut dikongsi oleh orang lain, almari tersebut terbuka, dan orang lain mempunyai akses kepada rumah serta bilik tersebut. 55. Mahkamah itu juga mendapati pada masa serbuan terdapat empat orang berada di dalam rumah. Bilik tempat dadah ditemui turut dikongsi oleh tertuduh dengan adik-beradiknya. Mereka boleh keluar masuk bilik tersebut pada bila-bila masa dan mereka mempunyai kunci rumah. Oleh itu, terdapat kemungkinan orang lain mempunyai akses kepada rumah dan bilik tempat dadah ditemui. 56. Dalam kes di hadapan Mahkamah ini, kunci kereta Toyota Vios ditemui bukan pada badan Tertuduh, tetapi dalam sebuah beg Pixon yang disimpan dalam sebuah almari dalam bilik di rumah Desa Green. Tiada bukti yang kukuh bahawa hanya Tertuduh mempunyai akses kepada bilik dan rumah tersebut. SP4 mengesahkan bahawa terdapat orang lain di rumah tersebut semasa Tertuduh dan pasukan polis sampai di sana. Orang yang berada di rumah pada masa itu ialah Parudi dan Krishnamah, dan mereka menyaksikan pemeriksaan yang dijalankan oleh anggota serbuan. 57. Almari tempat beg Pixon ditemui tidak berkunci. SP3 mengakui bahawa beliau tidak tahu siapa pemilik pakaian dalam almari, tidak tahu siapa orang terakhir membuka almari, dan SP3 bersetuju bahawa beg Pixon tidak berkunci serta boleh dibuka oleh sesiapa sahaja. SP4 juga mengesahkan bahawa kedudukan beg Pixon dan folder biru dalam almari tidak tersembunyi, dan sesiapa dalam rumah boleh membuka almari tersebut. 58. Berdasarkan keterangan saksi pendakwaan Mahkamah merumuskan bahawa penemuan kunci Vios dalam beg Pixon tidak membuktikan secara eksklusif bahawa kunci itu berada dalam kawalan Tertuduh. Dalam keadaan rumah tersebut boleh diakses oleh orang lain, termasuk Parudi dan Krishnamah, terdapat inferens munasabah bahawa orang lain juga boleh mempunyai akses kepada kunci tersebut. Permohonan seksyen 32 Akta Keterangan — ID55 dan ID56 59. Saya juga telah menimbangkan permohonan Pendakwaan untuk memasukkan ID55 dan ID56 sebagai ekshibit pendakwaan menurut seksyen 32 Akta Keterangan 1950. ID55 ialah rakaman percakapan Parudi, pemilik Vios, manakala ID56 ialah rakaman percakapan Krishnamah. Kedua-dua percakapan ini penting kepada Pendakwaan kerana ia digunakan untuk menyokong dakwaan bahawa rumah tersebut dihuni oleh Tertuduh, Vios digunakan oleh Tertuduh, dan hanya Tertuduh memegang kunci Vios. 60. Kedua-dua saksi tersebut adalah saksi material. Mereka boleh memberi keterangan langsung berhubung isu akses kepada rumah, kunci Vios dan penggunaan Vios. Namun mereka tidak dipanggil untuk memberi keterangan. 61. Saya mendapati usaha Pendakwaan untuk mengesan kedua-dua saksi tersebut tidak mencukupi. SP5 hanya diarahkan untuk mengesan saksi selepas kira-kira lima tahun, dan hanya sekali pergi ke rumah Parudi dan sekali ke rumah Krishnamah. Tiada siasatan lanjut dengan syarikat telekomunikasi, tiada semakan dengan JPN atau Imigresen dan tiada iklan dalam surat khabar. SP5 mengakui usaha yang dijalankan tidak mencukupi. 62. Dalam keadaan ini, pra syarat seksyen 32 Akta Keterangan tidak dipenuhi. Rakaman percakapan ID55 dan ID56 tidak wajar diterima sebagai ekshibit. Kegagalan memanggil Parudi dan Krishnamah telah meninggalkan lompang material dalam kes Pendakwaan, khususnya berhubung persoalan siapa sebenarnya mempunyai akses kepada Vios, kunci Vios dan boot kenderaan tersebut. Serbuan di premis cuci kereta dan penemuan dadah dalam boot kereta Toyota Vios 63. Bagi serbuan di premis cuci kereta, keterangan menunjukkan bahawa dadah ditemui dalam boot Vios dalam satu beg plastik berwarna hitam bertulis “Padini”. SP3 dan SP4 bersetuju bahawa dadah tersebut bukan disembunyikan dalam ruangan tertutup (hidden compartment); sebaliknya, apabila boot dibuka, beg tersebut boleh dilihat. SP3 dan SP4 juga bersetuju bahawa jika polis memeriksa sendiri kereta tersebut, dadah itu tetap akan ditemui. 64. Saya berpendapat tingkah laku / conduct Tertuduh yang dikatakan menuding jari ke arah boot kereta Toyota Vios tidak mempunyai nilai probatif yang tinggi untuk membuktikan pengetahuan eksklusif. Jika dadah itu berada dalam keadaan yang mudah dilihat selepas boot dibuka, dan polis tetap akan memeriksa kenderaan tersebut, maka discovery tersebut bukanlah discovery yang hanya boleh berlaku melalui pengetahuan khusus Tertuduh. 65. Tambahan pula, tidak ada saksi yang melihat Tertuduh memandu Vios, meletakkan Vios di car wash, membuka boot Vios atau memasukkan beg Padini berisi dadah ke dalam boot. SP3 tidak tahu siapa yang meletakkan kereta Toyota Vios di car wash tersebut, tidak tahu siapa pengguna-pengguna Vios, dan tidak melihat siapa yang meletakkan dadah dalam boot Vios. SP4 juga bersetuju bahawa tiada saksi awam melihat Tertuduh meletakkan Vios di car wash atau meletakkan 8 pound dadah dalam boot. 66. SP3 bersetuju bahawa pemilik atau pekerja car wash adalah saksi penting kerana mereka boleh mengesahkan siapa yang meletakkan Vios di situ, sejak bila kenderaan itu berada di situ, dan sama ada terdapat individu membuka boot atau meletakkan sesuatu dalam boot. Namun, keterangan sedemikian tidak dikemukakan secara mencukupi untuk menutup lompang tersebut. Temubual, ID21 dan conduct Tertuduh 67. Pendakwaan turut bergantung kepada temubual antara SP3 dan Tertuduh, termasuk kertas catatan temubual atau soaljawab yang dibuat oleh SP3 dengan tertuduh selepas serbuan pertama (ID21). Namun, keterangan menunjukkan bahawa tiada keterangan jelas bahawa kata-kata amaran telah diberikan dan dijelaskan kepada Tertuduh sebelum temubual tersebut. SP3 tidak menyatakan dalam keterangannya bahawa amaran diberikan dan difahami oleh Tertuduh; tiada catatan dalam P2 atau ID21 yang menunjukkan amaran telah diberikan. 68. Saya menerima hujahan Pembelaan bahawa temubual dan pandu arah tersebut tidak boleh diterima atau sekurang-kurangnya tidak mempunyai nilai probatif yang mencukupi kerana polis tetap akan pergi ke rumah Tertuduh mengikut SOP narkotik apabila tiada barang salah ditemui pada badan suspek. 69. SP4 bersetuju bahawa apabila suspek ditahan dan tiada barang salah ditemui, SOP tugas polis ialah pergi ke rumah suspek untuk pemeriksaan lanjut. Dalam keadaan ini, sama ada temubual berlaku atau tidak, pihak polis tetap akan pergi ke rumah tersebut untuk mematuhi SOP tugas mereka. SP3 juga bersetuju dengan cadangan pendakwaan bahawa jika polis membuat penggeledahan sendiri di rumah tersebut, polis tetap akan menjumpai beg Pixon kerana ia berada dalam almari yang tidak berkunci dan tidak tersembunyi. 70. Saya menerima hujahan pendakawaan bahawa conduct boleh, dalam keadaan yang sesuai, menjadi keterangan relevan di bawah seksyen 8 Akta Keterangan. Namun, dalam kes ini, conduct tersebut tidak mencukupi untuk membuktikan milikan dan pengetahuan apabila fakta-fakta lain menunjukkan terdapat akses oleh pihak lain kepada rumah, kunci, Vios dan boot kenderaan tersebut. Anggapan seksyen 37(d) dan 37(da) Akta Dadah Berbahaya 71. Pendakwaan menghujahkan bahawa selepas elemen jenis dan berat dadah dibuktikan, peruntukan seksyen 37(d) Akta Dadah Berbahaya 1952 terpakai. Dengan hormat, saya tidak bersetuju bahawa seksyen 37(d) boleh terpakai secara automatik semata-mata kerana barang kes disahkan sebagai dadah berbahaya. 72. Sebelum apa-apa anggapan boleh digunakan, fakta asas bahawa Tertuduh mempunyai custody or control terhadap dadah atau benda yang mengandungi dadah mesti dibuktikan terlebih dahulu. Dalam kes ini, fakta asas tersebut tidak dibuktikan. Tertuduh tidak ditahan bersama Vios, tidak memegang kunci Vios semasa tangkapan, tidak berada berhampiran dadah, dan Vios bukan miliknya. Keterangan juga menunjukkan akses kepada rumah dan kunci tidak eksklusif kepada Tertuduh. 73. Oleh itu, seksyen 37(d) tidak boleh digunakan secara selamat untuk menganggap Tertuduh mempunyai milikan dan pengetahuan terhadap dadah. Seterusnya, kerana milikan tidak dibuktikan, anggapan pengedaran di bawah seksyen 37(da) juga tidak boleh digunakan secara selamat. Inferens yang memihak kepada Tertuduh 74. Dalam kes ini, terdapat beberapa inferens munasabah yang saya percaya memihak kepada Tertuduh; iaitu – i) Pertama, Vios bukan milik Tertuduh tetapi milik Parudi. ii) Kedua, Parudi dan Krishnamah berada di rumah semasa serbuan kedua dan mempunyai akses kepada rumah. iii) Ketiga, almari dan beg Pixon tidak berkunci. iv) Keempat, kunci Vios yang ditemui adalah kunci pendua, manakala kunci utama dan siapa pemegangnya tidak diketahui. v) Kelima, tidak ada saksi melihat Tertuduh memandu Vios atau meletakkan dadah dalam boot. vi) Keenam, dadah ditemui di lokasi berasingan selepas Tertuduh berada dalam tahanan polis selama lebih 2 jam. vii) Ketujuh, saksi material seperti Parudi dan Krishnamah tidak dipanggil, dan ID55 serta ID56 tidak boleh menampung kegagalan tersebut kerana usaha mengesan saksi tidak mencukupi. 75. Dalam keadaan terdapat dua atau lebih inferens yang timbul daripada keterangan Pendakwaan, inferens yang memihak kepada Tertuduh hendaklah diterima pada peringkat akhir kes Pendakwaan. 76. Saya juga ingin menekankan prinsip bahawa sekiranya Tertuduh dipanggil membela diri dan memilih untuk berdiam diri, Mahkamah masih perlu bertanya sama ada selamat untuk mensabitkan Tertuduh berdasarkan keterangan Pendakwaan sahaja. 77. Pada hemat saya, jika Tertuduh memilih untuk berdiam diri, adalah tidak selamat untuk mensabitkannya atas keterangan yang ada. Ini menunjukkan bahawa kes prima facie tidak dibuktikan. 78. Berdasarkan keseluruhan keterangan, saya mendapati Pendakwaan hanya berjaya membuktikan bahawa dadah berbahaya jenis heroin dan monoacetylmorphines telah ditemui dalam boot kereta Toyota Vios PKE 5442. Namun, Pendakwaan gagal membuktikan bahawa Tertuduh mempunyai milikan, kawalan, jagaan dan pengetahuan terhadap dadah tersebut. 79. Kegagalan membuktikan elemen milikan dan pengetahuan adalah fatal kepada kedua-dua pertuduhan. Tanpa milikan dan pengetahuan, elemen pengedaran juga tidak dapat dibuktikan sama ada melalui keterangan langsung atau melalui anggapan statutori. Kesimpulan 80. Oleh itu, saya mendapati bahawa pihak Pendakwaan telah gagal membuktikan satu kes prima facie terhadap Tertuduh bagi kedua-dua pertuduhan. Dengan ini, Mahkamah memutuskan bahawa Tertuduh, Sangaran A/L Tambiraja, tidak dipanggil untuk membela diri dan dilepas dan dibebaskan daripada kedua-dua pertuduhan. Bertarikh: 8 Julai 2026 FATHIYAH BINTI IDRIS HAKIM MAHKAMAH TINGGI BUTTERWORTH PULAU PINANG Untuk Pihak Perayu : Timbalan Pendakwaraya Untuk Pihak Responden : Tetuan Hussaini & Co. Peguambela & Peguamcara