Content
1 DI DALAM MAHKAMAH MAJISTRET DI MACHANG DALAM NEGERI KELANTAN DARUL NAIM KES NO : DH-83-85-09/2021 ANTARA PENDAKWA RAYA LAWAN KU KHENG CHOONG ALASAN PENGHAKIMAN
DH-83-85-09/2021
Magistrates Court of Malaysia2 Sept 2024
The written judgment as the court issued it, with the coram, case number, and source links. Every paragraph has its own anchor.
Citations and treatment detected automatically from later judgments and the authorities this decision relies on.
Later cases and laws citing this decision
Not yet cited by a later decision.
Earlier cases and laws this decision relies on
“46. Mahkamah juga merujuk kepada kes MAT V. PUBLIC PROSECUTOR [1963] 1 LNS 82; [1963] MLJ 263 berkenaan dengan langkah yang harus dipertimbangkan oleh mahkamah sekiranya OKT memberikan keterangannya untuk membela diri. Petikan daripada kes tersebut diperturunkan sebagaimana berikut: “The co”
“59. Dalam menjatuhkan hukuman, mahkamah ini telah merujuk kepada kes yang diputuskan oleh Mahkamah Rayuan iaitu kes PP v. Morah Chekwube Chukwudi [2017] CLJU 864; [2017] 1 LNS 864. Kes tersebut telah menggariskan prinsip-prinsip hukuman yang akan menjadi faktor pemberat ataupun faktor pengurangan sebagaimana berikut; [”
Auto-detected from judgment text; not a substitute for a citator check.
Content
1 DI DALAM MAHKAMAH MAJISTRET DI MACHANG DALAM NEGERI KELANTAN DARUL NAIM KES NO : DH-83-85-09/2021 ANTARA PENDAKWA RAYA LAWAN KU KHENG CHOONG ALASAN PENGHAKIMAN
1
Tertuduh telah hadir ke mahkamah pada 23 September 2021 untuk menjawab satu pertuduhan di bawah Seksyen 44 (1)(b) Akta Pengangkutan Jalan dan boleh dihukum di bawah seksyen yang sama.
2
Pertuduhan ke atas Tertuduh adalah seperti mana berikut: “BAHAWA KAMU PADA 03/02/2019 JAM LEBIH KURANG 12.30 PAGI, DI KM 47 JALAN KOTA BHARU-KUALA KRAI DI DALAM DAERAH MACHANG, DALAM NEGERI KELANTAN SEBAGAI PEMANDU KENDERAAN PICKUP JENIS HILUX NO. PENDAFTARAN DDH 9611 TELAH MEMANDU KENDERAAN TERSEBUT DENGAN DIPENGARUHI ALKOHOL, SEHINGGA MENYEBABKAN KEMATIAN KE ATAS MOHD SYUKRI BIN SEMAN (NO. K/P: 750803-03-5243). OLEH DEMIKIAN ITU, KAMU TELAH MELAKUKAN SATU KESALAHAN DI BAWAH SEKSYEN 44(1)(B) APJ 1987 DAN BOLEH DIHUKUM DI BAWAH SEKSYEN DAN AKTA YANG SAMA”. HUKUMAN: PENJARA TIDAK KURANG 3 TAHUN DAN TIDAK LEBIH 10 TAHUN DAN DENDA TIDAK KURANG RM 8000.00 DAN TIDAK LEBIH RM 20 000.00 SERTA HILANG KELAYAKAN MEMEGANG ATAU MENDAPATKAN LESEN MEMANDU TIDAK KURANG DARI 3 TAHUN
3
Tertuduh telah memohon untuk dibicarakan atas pertuduhan tersebut. Pihak pendakwaan telah memanggil sembilan orang saksi untuk memberikan keterangan bagi membuktikan kes pendakwaan. Di akhir kes pendakwaan, mahkamah telah membuat dapatan bahawa pihak Pendakwaan tidak berjaya membuktikan kes prima facie di bawah Subseksyen 44(1)(b) Akta Pengangkutan Jalan (APJ). Namun mahkamah berpandangan, pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan satu kes prima facie ke atas Tertuduh di bawah Seksyen 41(1) APJ. Oleh yang demikian, mahkamah menggunapakai Seksyen 173(h)(ii) Kanun Tatacara Jenayah (KTJ) meminda pertuduhan kepada seksyen 41(1) APJ dan memanggil tertuduh membela diri di bawah Seksyen 41(1) APJ.
4
Pihak pembelaan telah mengemukakan seorang saksi iaitu Tertuduh sendiri. Setelah mendengar pembelaan Tertuduh dan meneliti keseluruhan keterangan yang telah diberikan di dalam mahkamah, mahkamah berpandangan Tertuduh tidak berjaya menimbulkan keraguan yang munasabah ke atas kes pendakwaan. Oleh yang demikian itu, Tertuduh telah didapati bersalah dan disabitkan dengan kesalahan. Mahkamah telah mengenakan hukuman penjara 3 tahun bermula daripada tarikh jatuh hukum dan denda RM 6000 jika gagal bayar 12 bulan penjara. Mahkamah juga memerintahkan OKT hilang kelayakan memandu selama tempoh 3 tahun. Pihak OKT seterusnya telah merayu terhadap keputusan tersebut. Mahkamah telah membenarkan hukuman pemenjaraan ditangguhkan sementara menunggu rayuan dengan jaminan sebanyak RM6000 dengan satu penjamin.
5
B. FAKTA KES Fakta kes pendakwaan ialah pada tarikh 03.02.2019 jam lebih kurang 12.30 pagi, di KM 47 Jalan Kuala Krai ke Kota Bharu, Kampung Pangkal Petai Machang telah berlaku satu kemalangan jalan raya yang melibatkan tiga buah kenderaan iaitu sebuah motopikap jenis Hilux bernombor pendaftaran DDH 9611 yang dipandu Tertuduh dengan motokar jenis Wolkwagon bernombor pendaftaran WTF 87 yang dipandu Muhammad Shahrul Azman bin Ariffin (SP6) dan motokar jenis Proton Wira bernombor pendaftaran WFJ 6381 sedang ditolak oleh Ismail bin Seman (SP3) dan si mati. Motokar jenis Proton Wira tersebut telah mengalami kerosakan akibat berlanggar dengan motopikap jenis Navara sebelum daripada kemalangan ini, yang menyebabkan ia tidak boleh digunakan dan terpaksa ditolak.
6
Berdasarkan keterangan SP3, SP4, dan SP6, keadaan lalulintas dari arah Kuala Krai ke Kota Bharu pada waktu kejadian adalah agak sibuk dengan kenderaan kerana ianya ialah hari cuti perayaan Tahun Baru Cina. SP3 pada masa tersebut berada di bahagian pintu pemandu manakala si mati berada di bahagian belakang motokar. SP4 juga berada di bahagian belakang motorkar Proton wira dengan menghadap ke arah Kuala Krai dan sedang memberikan isyarat lampu kepada kenderaan lain dengan menggunakan lampu daripada “power bank”. Ketika sedang menolak motokar tersebut, SP3 telah melihat lampu kenderaan yang datang dengan laju dari arah Kuala Krai-Kota Bharu dan memotong kenderaan di hadapannya dengan menggunakan laluan bertentangan. Kenderaan tersebut kemudian telah masuk semula ke laluan Kuala Krai-Kota Bharu secara tiba-tiba kerana mengelak kenderaan dari arah hadapan lalu melanggar motokar yang dipandu SP6 pada bahagian bumper dan rim belakang. Motopikap tersebut seterusnya telah melanggar motokar Proton Wira yang berada di kiri jalan dan sedang ditolak oleh SP3 dan si mati. Akibat daripada perlanggaran tersebut, motokar Proton Wira itu telah berpusing dan menyebabkan SP3 terpelanting ke atas jalan manakala si mati terjatuh ke dalam longkang. Motopikap tertuduh juga telah terbabas ke longkang selepas perlanggaran tersebut. Selepas kemalangan berlaku, SP6 telah pergi kea rah motopikap yang dipandu Tertuduh dan SP6 menyatakan bahawa, tertuduh kelihatan seperti sedikit pening ketika keluar daripada motorpikapnya serta berbau masam.
7
Perlanggaran tersebut telah mengakibatkan kematian kepada Syukri bin Seman. Berdasarkan kepada laporan bedah siasat (P21) yang dikemukakan, punca kematian si mati adalah disebabkan oleh kecederaan di bahagian sistem yang pelbagai akibat trauma daripada kemalangan atau “polytrauma”. Hasil pemeriksaan oleh doctor (SP8) ke atas jasad di mati mendapati si mati mengalami “severe lung injury”, “intrabdominal injury”, dan “suspected brain injury”.
8
SP9 iaitu pegawai penyiasat menyatakan bahawa dia telah pergi ke tempat kejadian pada jam lebih kurang 1250 pagi bagi menjalankan siasatan dan mendapati kedudukan kenderaan masih lagi di tempat asal. Hanya motokar volkwagon WTF 87 yang dialihkan ke tepi jalan. SP 9 telah mengambil gambar dan melakar rajah kasar sebelum pergi ke hospital untuk menjalankan siasatan lanjut. Pada jam 530 pagi, SP9 telah menjalankan ujian saringan air kencing ke atas tertuduh dan hasil ujian saringan tersebut mendapati Tertuduh, negatif daripada sebarang jenis dadah. SP9 seterusnya telah mengarahkan Tertuduh untuk pulang ke rumah terlebih dahulu. SP9 kemudiannya telah diarahkan oleh ketua bahagiannya untuk mengambil sampel darah dan air kencing tertuduh untuk dijalankan analisa. SP9 seterusnya pada jam 830 pagi telah menghubungi Tertuduh dan mengarahkannya untuk hadir ke balai. Pada jam 1030 pagi, Tertuduh telah dibawa ke hospital untuk diambil sampel darah dan air kencingnya oleh SP7. Sampel darah dan air kencing tersebut telah dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia. Hasil analisa oleh SP5 ke atas sampel air kencing tertuduh mendapati air kencing tertuduh mengandungi 483 miligram etil alkohol di dalam 100 mililiter darah.
9
Hasil siasatan SP9 di tempat kejadian mendapati kemalangan berlaku di laluan Kota Bharu-Kuala Krai. SP9 juga merujuk kepada keterangan oleh SP3, SP4, dan SP6 selaku saksi awam yang melihat kemalangan tersebut berlaku dan mendapati motorpikap tertuduh telah memotong kenderaan di laluan bertentangan (Kota Bharu-Kuala Krai) dan telah masuk semula ke laluan Kuala Krai-Kota Bharu dan melanggar motokar dipandu SP6 dan juga motokar yang ditolak oleh SP3 dan si mati sehingga menyebabkan SP3 dan si mati terpelanting. Daripada keterangan-keterangan ini dan juga keputusan analisa kimia, SP9 merumuskan bahawa tertuduh telah memandu di bawah pengaruh alkohol dan telah gagal mengawal kenderaannya sehingga menyebabkan kemalangan serta kematian.
10
Setelah mendengar kesemua saksi-saksi pendakwaan dan meneliti seluruh keterangan yang dikemukakan oleh pendakwaan, Mahkamah mendapati, pihak pendakwaan tidak berjaya membuktikan elemen kesalahan di bawah Seksyen 44(1)(b) APJ sebaliknya telah berjaya membuktikan prima facie kes bagi kesalahan dibawah Seksyen 41(1). Oleh itu mahkamah telah memanggil tertuduh untuk membela diri atas pertuduhan pindaan tersebut. Tertuduh telah diterangkan dengan 3 pilihan yang ada dia telah memilih untuk memberikan keterangan bersumpah.
11
Tertuduh telah mengemukakan satu saksi iaitu dia sendiri semasa membela diri. Di dalam keterangannya, Tertuduh menyatakan bahawa sebelum kemalangan berlaku, dia sedang dalam perjalanan daripada Gua Musang ke Kota Bharu. Perjalanannya adalah lancar dan hanya sesak ketika menghampiri tempat kejadian kerana ada berlaku kemalangan. Di kawasan kemalangan tersebut, terdapat jalan dua lorong dan nak menjadi satu lorong menghala ke Kota Bharu serta keadaan adalah gelap. Tertuduh menyatakan, pada masa tersebut dia berada di lorong kanan (A4-A5) dan sebelum kemalangan berlaku, terdapat sebuah motokar jenis volkwagon yang turut berada di lorong yang sama dengan tertuduh, telah menukar lorong dari lorong kanan (A4-A5) ke lorong sebelah kiri (A3-A4). Kemudiannya motokar tersebut sekali lagi masuk ke lorong kanan (A4-A5) yang digunakan oleh tertuduh tanpa sebarang isyarat dan masuk di hadapan motorpikap tertuduh. Tertuduh menyatakan bahawa apabila Volkwagon tersebut masuk di hadapannya, dia telah membrek dan mengelak ke kiri sehingga berlanggar dengan bumper belakang sebelah kiri volkwagon tersebut dan seterusnya melanggar proton wira yang ditolak si mati dan SP3. Tertuduh menyatakan bahawa dia tidak nampak Proton Wira tersebut kerana ia dilindungi oleh Volkwagon.
12
Tertuduh menafikan bahawa dia ada memotong kenderaan lain. Sebaliknya dia berada di lorong kanan iaitu lorong A4-A5 pada sepanjang jalan. Dia juga menyatakan bahawa dia memandu dengan perlahan semasa menghampiri kawasan kemalangan dan kemalangan tersebut berlaku kerana Volkwagon itu telah secara tiba-tiba masuk ke laluannya untuk mengelak daripada motokar Wira yang berada di hadapan Volkwagon itu.
13
Di akhir kes pembelaan, setelah meneliti keseluruhan keterangan yang ada dan ekshibit-ekshibit yang dikemukakan, mahkamah berpandangan Tertuduh tidak berjaya menimbulkan keraguan ke atas kes pendakwaan. Tertuduh gagal untuk mengemukakan keterangan “in rebuttal” terhadap kes pendakwaan. Oleh yang demikian, Tertuduh telah didapati salah dan sabit atas pertuduhan serta dijatuhi hukuman penjara 3 tahun bermula dari tarikh sabitan dan denda RM6000 jika gagal bayar 12 bulan penjara.
14
ELEMEN PERTUDUHAN DAN DAPATAN MAHKAMAH Mahkamah Tinggi di dalam kes OLIVIA CHONG OI YUN v PUBLIC PROSECUTOR 2020 4 CLJ 246 di perenggan 47 telah menyenaraikan elemen pertuduhan bagi Seksyen 44(1)(b) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) sebagaimana berikut; [47] What required to be proven for the purpose of the charge under s 44(1)(b) of the RTA as highlighted by the learned SCJ are: that the appellant was the one driving the said motor vehicle on a road or public place and it was the said motor vehicle which caused the whole accident; that the alcohol level in the appellant’s body exceeded the ‘prescribed limit’, the limit allowed by the law is 80mg of alcohol in 100ml of blood; and, that the reckless driving of the appellant had caused the death of four persons and injury to another person.
15
Oleh itu berdasarkan panduan di dalam kes di atas, pihak pendakwaan perlu membuktikan; i) Tertuduh yang memandu Motorpikap Hilux bernombor pendaftaran DDX9611, ii) Tertuduh memandu motorpikap tersebut dengan dipengaruhi alcohol melebihi had yang ditetapkan di bawah undang-undang iii) Pemanduan tertuduh yang dipengaruhi alcohol melebihi had tersebut itu telah menyebabkan kematian kepada si mati dalam kes ini.
16
Bagi elemen pertama pertuduhan, mahkamah percaya ianya adalah satu fakta yang jelas dari keterangan yang diberikan bahawa Tertuduh merupakan pemandu motorpikap nombor DDX9611. Mahkamah merujuk kepada pengecaman yang dibuat oleh saksi awam, SP6 dan pegawai penyiasat, SP9 yang mengecamkan dan mengesahkan Tertuduh sebagai pemandu motorpikap tersebut. SP6 mengecamkan Tertuduh sebagai pemandu motorpikap tersebut dan mengatakan bahawa pada malam tersebut, dia telah pergi melihat pemandu Hilux tersebut setelah kemalangan berlaku. SP6 nampak tertuduh yang keluar dalam keadaan terhuyung hayang dan berbau masam.
17
SP9 juga mengesahkan bahawa Tertuduh yang memandu motorpikap tersebut berdasarkan siasatannya dan laporan polis yang dibuat Tertuduh sendiri (Ekshibit P2). Pengecaman oleh SP6 dan SP9 ini, pada penelitian mahkamah adalah satu keterangan yang mencukupi bagi membuktikan elemen pertama pertuduhan. Malahan sepanjang kes ini dibicarakan fakta ini tidak pernah dinafikan oleh Tertuduh. Atas dasar ini mahkamah berpandangan elemen pertama telah dipenuhi.
18
Seterusnya elemen kedua yang perlu dibuktikan oleh pihak pendakwaan ialah Tertuduh telah memandu motorpikapnya dengan dipengaruhi alkohol melebihi daripada had yang ditetapkan oleh undang-undang.
19
Dalam kes ini, sampel darah dan air kencing Tertuduh telah dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia untuk dianalisa. Hasil analisa oleh SP5 ke atas sampel air kencing tertuduh mendapati air kencing tertuduh mengandungi 483 miligram etil alkohol dalam 100 mililiter darah. Ini jelas melebihi had limit yang dibenarkan di bawah Subseksyen 45G (1) APJ yang memperuntukkan had limit alkohol dalam air kencing ialah sebanyak 67 mg/100 ml. Subsekyen tersebut diperturunkan sebagaimana berikut; 45G Interpretation of sections 44 and 45B to 45F
1
For the purposes of sections 44 and 45B to 45F- "prescribed limit" means-
a
22 microgrammes of alcohol in 100 millilitres of breath;
b
50 milligrammes of alcohol in 100 millilitres of blood; or
c
67 milligrammes of alcohol in 100 millilitres of urine.
20
Daripada laporan kimia tersebut tidak dapat dipertikaikan bahawa kandungan alkohol di dalam urin Tertuduh melebihi had yang dibenarkan. Namun yang menjadi persoalan kepada mahkamah ialah sama ada semasa kemalangan berlaku Tertuduh memandu motorpikapnya, dengan kadar alcohol melebihi had yang ditetapkan. Daripada keterangan yang diberikan oleh SP9, dia menyatakan bahawa, setelah ujian saringan awal urin dibuat ke atas Tertuduh pada jam 5.30 pagi, dia telah mengarahkan Tertuduh untuk pulang ke rumah. Dia kemudiannnya telah menghubungi semula tertuduh pada jam 8.30 pagi atas arahan ketua bahagian Trafik dan memintanya untuk hadir semula ke balai bagi tujuan pengambilan sampel darah dan air kencing. Tertuduh hadir semula ke balai pada jam 10.30 pagi.
21
Berdasarkan keterangan ini, mahkamah berpandangan bahawa terdapat jurang waktu 5 jam daripada masa Tertuduh dibenarkan pulang dan kembali semula ke balai. SP9 tidak dapat mengesahkan apa yang dilakukan oleh Tertuduh dalam tempoh 5 jam tersebut. Oleh itu wujud kemungkinan bahawa tertuduh ada mengambil minuman beralkohol dalam tempoh masa tersebut sehingga menyebabkan kandungan alkohol dalam urinnya melebihi had yang yang dibenarkan. Maka pada hemah mahkamah ini, telah timbul keraguan sama ada, kandungan alcohol semasa Tertuduh memandu adalah sama sebagaimana dengan hasil analisa urin tersebut. SP9 juga tidak mengesahkan bahawa kandungan alkohol itu disebabkan oleh pengambilan minuman selepas kemalangan atau sebelum kemalangan. Oleh itu adalah tidak selamat untuk mengatakan kandungan alkohol dalam badan Tertuduh semasa kemalangan berlaku adalah sama dengan kandungan alkohol semasa sampel diambil. Oleh itu mahkamah berpandangan, pihak pendakwaan telah gagal untuk membuktikan elemen kedua pertuduhan.
22
Pada kesempatan ini juga, mahkamah ingin mengulas berkenaan dengan pertuduhan yang dikemukakan ke atas tertuduh dalam kes ini. Seksyen 44(1) APJ jelas memperuntukkan bahawa hanya dua kesalahan yang boleh dituduh ke atas Tertuduh di bawah seksyen itu iaitu; a. Mana-mana orang yang semasa memandu sesuatu kenderaan motor di jalan atau tempat awam lain berada di bawah pengaruh minuman yang memabukkan atau dadah, setakat yang menyebabkan tidak berdaya mengawal kenderaan itu dengan sepatutnya; atau b. Mana-mana orang yang, semasa memandu sesuatu kenderaan motor di jalan atau tempat awam lain mempunyai sebegitu banyak alcohol dalam badannya sehingga kadar alcohol di dalam nafas, darah atau air kencingnya melebihi had yang ditetapkan.
23
Namun hasil penelilitian mahkamah terhadap pertuduhan yang dikenakan ke atas Tertuduh, pihak pendakwaan tidak menyatakan kesalahan manakah yang dikenakan ke atas tertuduh. Pertuduhan ke atas OKT menyebut memandu kenderaan tersebut dengan dipengaruhi alkohol sehingga menyebabkan kematian. Pertuduhan ini pada pandangan mahkamah tidak menunjukkan kesalahan yang diperuntukkan di bawah seksyen 44 (1). Atas alasan ini sahaja pada pandangan mahkamah adalah cukup untuk melepaskan dan membebaskan OKT daripada pertuduhan kerana pertuduhan yang dikenakan kepadanya tidak menunjukkan kesalahan di bawah Seksyen 44(1) APJ.
24
Walau bagaimanapun, setelah meneliti keseluruhan keterangan-keterangan yang ada di hadapan mahkamah, mahkamah berpandangan pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan elemen bagi kesalahan di bawah Seksyen 41(1) APJ iaitu tertuduh telah memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian setelah mengambil kira semua hal dan keadaan jalan.
25
Mahkamah telah merujuk kepada kes PP V BALA A/L ARULAPPAN [2007] 9 CLJ 521di mana YA Pesuruhjaya Kehakiman (pada ketika itu) telah merujuk kepada beberapa kes dalam mentakrifkan pemanduan berbahaya. Di dalam kes tersebut mahkamah telah menyatakan bahawa; “Di dalam APJ definisi pemanduan yang berbahaya kepada orang awam tidak dijelaskan, namun pengertiannya telah diperjelaskan di dalam kes Lim Chin Poh v. PP [1969] 1 LNS 92; [1969] 2 MLJ 159. Di dalam kes ini Hakim Choor Singh memutuskan: “In my opinion the expression driving in a manner which is dangerous to the public indicates some dangerous act or manoeuvre on the part of the driver of a vehicle, eg, overtaking a vehicle on the wrong side of it, or overtaking in the face of oncoming traffic or overtaking when unable to see oncoming traffic, or crossing a junction against traffic light, and so on. There must be some positive act on the part of the driver which is dangerous having regard to all circumstances. Prinsip yang sama di gariskan di dalam kes PP v. Ong Kia Chian [2006] 4 CLJ 334 yang diputuskan oleh Hakim Low Hop Bing ketika itu seperti berikut: In a case of dangerous driving, the prosecution must establish that:
a
a situation created by the accused is dangerous eg, turning right into the side road without stopping to give way to through traffic; and
b
when creating such a situation the accused was at fault. Fault involves a failure; a failing below the care and skill of a competent and experienced driver in relation to the manner of driving and the relevant circumstances (per Raja Azlan Shah) in Ramiah v. Public Prosecutor at pp. 258-259.”
26
Bagi membuktikan pemanduan secara berbahaya, pihak pendakwaan perlu membuktikan bahawa OKT telah menimbulkan satu situasi yang berbahaya setelah dia mengambil kira semua keadaan yang sepatutnya dan situasi itu timbul akibat dari tindakan yang salah dipihak OKT (at fault).
27
Bagi elemen pemanduan berbahaya mahkamah telah mengaplikasikan prinsip undang-undang berkenaan dengan pemanduan secara berbahaya seperti yang diputuskan di dalam kes PP v Bala A/L Arulappan, Lim Chim Poh v PP, dan PP v Ong Kia Chian. Dalam kes ini, terdapat tiga saksi yang melihat bagaimana kemalangan berlaku. Keterangan tiga-tiga saksi ini secara jelas menyatakan bahawa kemalangan berlaku akibat daripada tindakan Tertuduh yang masuk secara tiba-tiba ke laluan yang digunakan oleh SP6 ketika cuba mengelak daripada kenderaan di laluan bertentangan.
28
Mahkamah berpandangan keterangan saksi-saksi ini boleh dipercayai dan saling menyokong. Malahan sekiranya wujud percanggahan ia tidak menjejaskan fakta yang material. SP6 menyatakan bahawa sebelum kemalangan berlaku, jalan adalah sesak akibat banyak kenderaan. Pada ketika itu dia nampak hanya kenderaan tertuduh berada di laluan kanan dan sedang memotong kenderaan lain. Walaupun SP6 tidak dapat menyatakan di lorong mana kenderaan Tertuduh berada, namun keterangannya yang menyatakan bahawa hanya motorpikap Tertuduh yang berada di kanannya menunjukkan Tertuduh menggunakan laluan bertentangan. Ini kerana laluan menghala ke Kota Bharu adalah sesak dengan kenderaan. Tidak logik untuk Tertuduh memandu dengan laju di laluan Kuala Krai-Kota Bharu kerana ianya sedang sesak. Keterangan SP6 juga disokong oleh SP3 yang menyatakan dia nampak kenderaan Tertuduh dari laluan bertentangan dan masuk ke laluan Kuala Krai-Kota Bharu. Sekiranya benar seperti dicadangkan peguambela bahawa Tertuduh tidak memotong sebaliknya hanya mengikuti laluan sahnya, tidak mungkin SP6 dan SP3 boleh melihat kenderaan Tertuduh bergerak laju dalam keadaan jalan yang sesak dan kenderaan lain perlahan.
29
Selain itu kesan kerosakan pada kenderaan juga menyokong keterangan saksi-saksi yang menyatakan Tertuduh dalam keadaan laju. Jika dirujuk kepada gambar motokar Proton Wira di ekshibit P7F jelas menunjukkan kerosakan yang teruk pada bahagian belakang kenderaan tersebut. Mahkamah percaya kesan tersebut hanya boleh terjadi akibat daripada rempuhan kuat dari kenderaan yang dipandu laju. Sekiranya Tertuduh ada membrek sebagaimana yang dinyatakan di dalam laporan polisnya (P2) sudah pasti kesan kerosakan tidak akan seteruk itu. Kerosakan yang teruk ini pada pandangan mahkamah menunjukkan Tertuduh memandu dengan laju dan memberikan impak yang kuat kepada motokar Wira tersebut. Keterangan ini pada hemah mahkamah menyokong versi yang diberitahu oleh SP3 dan SP6. Berdasarkan keterangan-keterangan ini, jika ianya dirangkumkan bersama hanya membawa kepada satu dapatan fakta sahaja iaitu Tertuduh telah memotong di laluan bertentangan dan masuk secara tiba-tiba ke laluan Kuala Krai-Kota Bharu sehingga menyebabkan kemalangan. Tindakan Tertuduh yang masuk secara tiba-tiba ke laluan Kuala Krai-Kota Bharu ini pada pandangan mahkamah telah menimbulkan situasi bahaya kepada mana-mana kenderaan yang ada di laluan tersebut.
30
Setelah meneliti keterangan-keterangan yang diberikan, mahkamah berpuas hati kemalangan berlaku akibat daripada tindakan tertuduh yang masuk ke laluan Kuala Krai-Kota Bharu secara mengejut dan merempuh motokar yang ditolak si mati. Tindakan ini pada pandangan mahkamah jelas menunjukkan bahawa Tertuduh telah melakukan satu tindakan salah sehingga menimbulkan situasi berbahaya sehingga menyebabkan kemalangan ((a) a situation created by the accused is dangerous seperti yang dinyatakan di dalam kes Ong Kia Chian). Tindakan Tertuduh yang masuk ke laluan si mati seperti itu juga pada pandangan mahkamah menunjukkan satu tindakan “dangerous act or manoeuvre on the part of the driver of a vehicle” seperti yang dikatakan oleh Hakim Choor Singh dalam kes Lim Chin Poh v. PP [1969] 1 LNS 92; [1969] 2 MLJ 159.
31
Mahkamah juga percaya bahawa tindakan Tertuduh menunjukkan bahawa Tertuduh telah memandu di bawah standard kemahiran yang sepatutnya ada pada mana-mana pemandu yang mahir. Ini kerana, mana-mana pemandu yang mahir sudah pasti tidak akan masuk secara mengejut ke laluan lain melainkan adalah selamat untuk dilakukan. Tindakan tertuduh yang memotong di jalan yang sesak dengan menggunakan laluan bertentangan dan masuk ke laluan si mati berada secara tiba-tiba jelas menunjukkan tertuduh gagal untuk mengambil semua hal keadaan jalan semasa memandu. Ini jelas menimbulkan risiko bahaya kepada pengguna jalan raya yang lain. Apatah lagi tertuduh di dalam kes ini telah memandu sebuah kenderaan yang besar iaitu motopikap hilux.
32
Tertuduh telah memandu di bawah kemahiran yang sepatutnya ada bagi seorang pemandu mahir dan berpengalaman. Memandu di bawah kemahiran yang sepatutnya ada bagi pemandu yang mahir, telah diputuskan sebagai satu kesilapan (fault) di pihak Tertuduh sepertimana diputuskan di dalam kes PP V. ONG KIA CHIAN [2006] 4 CLJ 334 iaitu [(b) when creating such a situation the accused was at fault. Fault involves a failure; a failing below the care and skill of a competent and experienced driver in relation to the manner of driving and the relevant circumstances].
33
Mahkamah juga merujuk kepada kes yang diputuskan oleh Mahkamah Rayuan iaitu kes Ng Beng Kok vs PP [2017] 7 CLJ 157, di mana YA Hakim Mahkamah Rayuan telah memberikan garis panduan berkenaan dengan ujian yang perlu dibuat oleh mahkamah dalam menentukan pemanduan berbahaya: “[31] It appears to us from the decisions of the above cases that the important consideration in determining whether an accused was driving "dangerously" are as follows:
i
the test to be applied is an "objective" one and not "subjective". Therefore, the opinion of the accused whether he was driving dangerously is immaterial;
II
(ii) the 'test' to be applied is whether an ordinary or reasonable person would have thought that the defendant was driving dangerously having regard to all the circumstances of the case including the nature, condition and use of the road, and the amount of traffic which is actually at the time, or which might reasonably be expected to be, on the road in question;”
34
Berdasarkan garis panduan tersebut, mahkamah berpandangan, secara objektifnya, mana-mana orang yang munasabah dan pemandu yang mahir akan berpendapat tindakan Tertuduh yang menukar laluan secara mengejut dan tanpa memastikan ianya selamat untuk berbuat demikian merupakan satu tindakan yang berbahaya serta tidak harus dilakukan. Tindakan Tertuduh itu juga, pada pandangan mahkamah, bukanlah satu tindakan yang akan diambil oleh mana-mana pemandu yang mahir di dalam situasi sedemikian. Atas alasan ini, mahkamah berpandangan, pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan elemen pemanduan berbahaya oleh Tertuduh.
35
Berkenaan dengan elemen ketiga pertuduhan, mahkamah berpuas hati dengan keterangan yang diberikan oleh SP3. SP3 telah mengecam si mati. Satu laporan polis juga telah dibuat oleh SP3 untuk menyokong keterangannya iaitu Trafik Machang repot 97/19 (ekshibit P3). Keterangan SP3 ini pada pandangan mahkamah adalah mencukupi untuk mengecam si mati yang terlibat dalam kemalangan tersebut.
36
Mahkamah seterusnya telah meneliti keterangan serta SP8 iaitu doktor yang mengesahkan kematian dan menjalankan bedah siasat ke atas si mati. Berdasarkan keterangan SP8, si mati masih bernyawa semasa di bawa ke bahagian kecemasan. Semasa di bahagian kecemasan pernafasan si mati adalah lemah dan tahap kesedarannya juga rendah. Si mati telah diintubasi dan diberikan active resuscitation namun tidak berjaya diselamatkan. SP8 kemudian telah menjalankan bedah siasat ke atas si mati. Hasil bedah siasat tersebut mendapati punca kematian si mati adalah kecederaan di bahagian sistem yang pelbagai akibat trauma daripada kemalangan atau “polytrauma”. Hasil pemeriksaan oleh SP8 ke atas jasad di mati mendapati si mati mengalami “severe lung injury”, “intrabdominal injury”, dan “suspected brain injury”.
37
SP8 telah mengesahkan punca kematian si mati sebagaimana ekshibit P21 (laporan bedah siasat), P22 (perakuan pegawai perubatan mengenai sebab-sebab kematian), dan P23 (Daftar kematian) ialah disebabkan “polytrauma”. Menurut SP8 lagi, kecederaan yang dialami oleh si mati adalah selari dengan kecederaan akibat daripada impak yang tinggi. Berdasarkan keterangan daripada SP8, mahkamah berpuas hati bahawa punca kecederaan si mati adalah disebabkan oleh kemalangan jalan raya. Tiada keterangan lain yang menunjukkan sebaliknya. Malahan tempoh masa daripada kemalangan berlaku dan si mati dibawa ke hospital juga adalah tidak terlalu lama sehingga memberikan kesan kepada dapatan SP8. Oleh yang demikian, berdasarkan keterangan SP8 berkaitan punca kematian dan juga laporan polis berkaitan kemalangan dan siasatan SP9, mahkamah berpuas hati bahawa kecederaan yang dialami oleh si mati sehingga menyebabkan kematian adalah berpunca dari kemalangan yang berlaku di antara Tertuduh dan si mati. Oleh yang demikian, pada pandangan mahkamah, elemen ketiga juga telah berjaya dibuktikan oleh pihak pendakwaan.
38
Setelah membuat penilaian yang maksimum terhadap keterangan-keterangan yang diberikan sepertimana yang ditetapkan oleh prinsip undang-undang yang mantap (LOOI KOW CHAI & ANOR V PP [2003] 1 CLJ 734 dan BALACHANDRAN V PP [2005] 1 CLJ 85 adalah dirujuk), mahkamah berpuas hati bahawa pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan elemen-elemen pertuduhan dan kes prima facie terhadap OKT di bawah Seksyen 41(1) APJ. Oleh yang demikian, mahkamah menggunapakai Seksyen 173(h)(ii) KTJ meminda pertuduhan kepada seksyen 41(1) APJ dan memanggil Tertuduh membela diri atas kesalahan di bawah Seksyen 41(1) APJ.
39
Mahkamah telah menyediakan Pertuduhan Pindaan dan dibacakan kepada tertuduh. Pertuduhan pilihan tersebut diperturunkan sebagaimana berikut; PERTUDUHAN PINDAAN: BAHAWA KAMU PADA 03/02/2019 JAM LEBIH KURANG 1230 PAGI, DI KM 47 JALAN KOTA BHARU - KUALA KRAI DI DALAM DAERAH MACHANG, DI DALAM NEGERI KELANTAN, SEBAGAI PEMANDU MOTORPIKAP JENIS TOYOTA HILUX NO. PENDAFTARAN DDH 9611 TELAH MEMANDU MOTORPIKAP TERSEBUT DENGAN CARA YANG MANA SETELAH MENGAMBIL PERHATIAN TENTANG SEGALA HAL KEADAAN TERMASUK JENIS KEADAAN, SAIZ JALAN DAN KESESAKAN LALULINTAS YANG DIJANGKAKAN YANG ADA ATAU MUNGKIN ADA DI JALAN ITU, ADALAH BERBAHAYA KEPADA ORANG AWAM, SEHINGGA MENYEBABKAN KEMATIAN KEPADA PENAMA MOHD SYUKRI BIN SEMAN N0.K/P: 750803-03-5243. OLEH YANG SEDEMIKIAN ITU, KAMU TELAH MELAKUKAN SATU KESALAHAN DI BAWAH SEKSYEN 41(1) AKTA PENGANGKUTAN
40
Setelah pertuduhan pindaan dibacakan kepada Tertuduh, Tertuduh telah memohon untuk dibicarakan. Tertuduh seterusnya telah diterangkan dengan tiga pilihan untuk membela diri dan dia memilih untuk memberikan keterangan bersumpah.
41
Pihak pembelaan telah mengemukakan seorang saksi iaitu tertuduh sendiri. Tertuduh semasa dipanggil membela diri telah memberikan keterangan bersumpah. Di dalam keterangannya, Tertuduh menyatakan bahawa pada hari kejadian, dia dalam perjalanan balik dari Gua Musang ke Kota Bharu. Perjalanan baliknya adalah lancar dan hanya sesak ketika menghampiri tempat kejadian. Tertuduh menyatakan bahawa dia memandu motorpikapnya di laluan A4-A5 jika dirujuk kepada rajah kasar (P9). Semasa menghampiri tempat kejadian, motokar Volkwagon yang dipandu oleh SP6, yang pada awalnya berada di belakang motorpikap Tertuduh telah memotong melalui sebelah kiri dan masuk ke laluan A3- A4. Motokar Volkwagon tersebut kemudiannya telah masuk semula ke laluan A4-A5 di hadapan Tertuduh tanpa memberikan sebarang isyarat. Tindakan Volkwagon tersebut telah menyebabkan tertuduh yang berada di belakang tidak sempat berbuat apa-apa dan tidak sempat membrek.
42
Tertuduh seterusnya tidak sempat mengelak dan melanggar belakang sebelah kiri Volkwagon. Tertuduh seterusnya telah mengelak lagi dan berlanggar dengan sebuah motokar Wira yang sedang ditolak. Tertuduh menyatakan bahawa semasa Volkwagon tersebut masuk ke laluannya, jarak antara motorpikapnya dan kenderaan depan adalah seluas sebiji kereta sahaja. Tertuduh juga mengatakan bahawa dia dalam keadaan perlahan pada ketika itu dan ketika Volkwagon tersebut masuk ke laluannya, hanya kepala Volkwagon yang berada di laluan A4-A5, manakala ekor Volkwagon tersebut masih berada di laluan A3-A4. Tertuduh seterusnya menyatakan bahawa dia terpaksa mengelak ke kiri jalan kerana terdapat mototreler yang membawa tong gas di laluan bertentangan. Oleh itu dia tak dapat mengelak ke laluan bertentangan dan memilih untuk mengelak ke kirinya kerana pada fikirannya, dia hanya akan jatuh ke dalam parit sahaja jika berlaku kemalangan.
43
Tertuduh juga menyatakan bahawa kali pertama dia nampak motokar Wira tersebut adalah ketika dia melanggarnya. Dia tidak nampak motokar Wira tersebut kerana dilindungi oleh motokar Volkwagon. Dia juga menyatakan bahawa dia tidak nampak cahaya lampu pada motokar Wira tersebut dan ketika dia melanggar motokar Wira tersebut, motokar itu berada di laluan A3-A4. Tertuduh menyatakan dia tidak sengaja melanggar motokar Wira sebaliknya ia berlaku kerana dia mengelak daripada motokar Volkwagon yang masuk di depannnya tanpa sebarang isyarat.
44
Peruntukan undang-undang iaitu Seksyen 173 (m) (i) dan (ii)Kanun Tatacara Jenayah telah menetapkan bahawa di akhir perbicaraan kes, mahkamah perlu menilai keseluruhan keterangan dan memutuskan sama ada pihak pendakwaan telah memutuskan kesnya di atas keraguan munasabah. Mahkamah merujuk kepada kes BALACHANDRAN V PP [2005] 1 CLJ 85, di dalam kes ini YA Hakim Mahkamah Rayuan Augustine Paul telah menyatakan di muka surat 100 perenggan E; “Since the court, in ruling that a prima facie case has been made out, must be satisfied that the evidence adduced can be overtrown only by evidence in rebuttal it follows that if it is not rebutted it must prevail”
45
Berdasarkan kepada kes di atas, pihak pembelaan perlu mengemukakan keterangan in rebuttal yang boleh mematahkan kes pendakwaan. Mahkamah telah menilai keterangan-keterangan pihak pembelaan serta seluruh keterangan yang dikemukakan di mahkamah dan mendapati keterangan yang diberikan gagal untuk menimbulkan keraguan yang munasabah ke atas kes prima facie dan kes pendakwaan.
46
Mahkamah juga merujuk kepada kes MAT V. PUBLIC PROSECUTOR [1963] 1 LNS 82; [1963] MLJ 263 berkenaan dengan langkah yang harus dipertimbangkan oleh mahkamah sekiranya OKT memberikan keterangannya untuk membela diri. Petikan daripada kes tersebut diperturunkan sebagaimana berikut: “The correct law for Magistrates to apply is as follows. If you accept the explanation given by or on behalf of the accused, you must of course acquit. But this does not entitle you to convict if you do not believe that explanation, for he is still entitled to an acquittal if it raises in your mind a reasonable doubt as to his guilt, as the onus of proving his guilt lies throughout on the prosecution. If upon the whole evidence you are left in a real state of doubt, the prosecution has failed to satisfy the onus of proof which lies upon it”.
47
Keterangan Tertuduh bahawa kemalangan berlaku akibat tindakan SP6 yang masuk secara tiba-tiba tanpa sebarang isyarat tidak disokong oleh mana-mana keterangan lain. Mahkamah berpandangan ianya adalah rekaan Tertuduh semata-mata. Ini kerana sekiranya benar versi kemalangan adalah sebagaimana keterangan Tertuduh dan motokar Volkwagon SP6 berada dalam keadaan menyerong ketika ia masuk ke laluan A4-A5, tidak mungkin Tertuduh akan melanggar motokar SP6 di bahagian kanan bumper dan rim belakang. Berdasarkan kerosakan motokar Volkwagon, Mahkamah percaya, ia hanya boleh berlaku sekiranya motokar Volkwagon tersebut berada dalam keadaan lurus dan Tertuduh masuk secara pancung dalam bentuk S sebagaimana keterangan SP6.
48
Selain itu keterangan tertuduh juga bercanggah. Pada mulanya dia menyatakan dia memandu pada kelajuan 80 kmj. Kemudian dia menyatakan bahawa dia dalam keadaan perlahan ketika motokar SP6 masuk ke laluannya tanpa isyarat. Mahkamah inu, tidak dapat memastikan keterangan manakah yang benar di antara dua keterangan ini. Sekiranya benar kelajuan Tertuduh ialah 80kmj dan dia berada di laluan A4-A5 iaitu laluan Kuala Krai-Kota Bharu, ianya pada pandangan mahkamah bercanggah dengan logik akal. Ini kerana SP3, SP4, dan SP6 menyatakan keadaan jalan adalah sesak pada ketika itu menghala ke Kota Bharu. Oleh itu adalah mustahil Tertuduh boleh memandu dengan kelajuan 80 kmj.
49
Sebaliknya sekiranya Tertuduh memandu perlahan pula, sudah pasti Tertuduh sempat membrek ketika motokar SP6 dikatakan masuk ke laluannya tanpa isyarat memandangkan dari keterangannya jarak antara motorpikapnya dan kereta di hadapan ialah seluas sebiji kereta. Oleh yang demikian, pada hemah mahkamah ini, keterangan Tertuduh yang berbeza ini, menunjukkan ianya hanyalah satu rekaan dan penafian semata-mata.
50
Tambahan lagi, keterangan SP3, SP4 dan SP6 jelas menunjukkan bahawa semua kenderaan dalam keadaan perlahan pada masa tersebut. SP6 juga menyatakan bahawa hanya kenderaan Tertuduh yang berada di laluan kanan dan laju. Keterangan ini adalah disokong oleh SP3. Selain itu, keterangan Tertuduh yang menyatakan dia tidak memotong juga tidak boleh dipercayai oleh mahkamah ini, kerana sekiranya dia berada di laluan Kuala Krai-Kota Bharu (A4-A5), sudah pasti kenderaan yang dipandu olehnya tidak boleh dipandu dengan laju kerana jalan sesak sebagaimana keterangan SP3, SP4 dan SP6. Adalah tidak logik, dalam keadaan jalan yang sesak kerana ada kemalangan, laluan A4-A5 adalah kosong sedangkan kenderaan lain yang sesak boleh menggunakan laluan tersebut untuk mengelakkan kesesakan.
51
Selanjutnya mahkamah juga percaya adalah mustahil Tertuduh tidak nampak cahaya lampu yang dipasang oleh SP4 memandangkan ianya boleh dilihat oleh SP6 yang bergerak perlahan di tempat kemalangan. Apatah lagi Tertuduh semasa kejadian sedang memandu motorpikap yang lebih tinggi daripada kenderaan lain. Sudah pasti tahap penglihatan Tertuduh adalah lebih jelas kerana ianya berada di kedudukan yang tinggi. Oleh yang demikian, mahkamah berpendapat pembelaan yang ditimbulkan oleh Tertuduh hanyalah sekadar rekaan dan penafian semata-mata.
52
Di dalam kes ini, oleh kerana mahkamah telah mendapati bahawa terdapat kes prima facie terhadap OKT, maka pihak pembelaan perlu memberikan satu keterangan yang kuat in rebuttal untuk mengetepikan keterangan pihak pendakwaan. Walaubagaimanapun setelah merujuk kepada keterangan yang dikemukakan oleh pembelaan dan membuat penilaian yang maksimum terhadap semua keterangan-keterangan yang diberikan di dalam kes ini sepertimana yang ditetapkan oleh prinsip undang-undang yang mantap (LOOI KOW CHAI & ANOR V PP [2003] 1 CLJ 734, BALACHANDRAN V PP [2005] 1 CLJ 85 dan MAT V. PUBLIC PROSECUTOR [1963] 1 LNS 82; [1963] MLJ 263 adalah dirujuk), mahkamah mendapati pihak pembelaan telah gagal untuk menimbulkan keraguan yang munasabah ke atas kes pendakwaan. Oleh yang demikian mahkamah telah mendapati OKT bersalah atas pertuduhan dan disabitkan dengan kesalahan di bawah Seksyen 41(1)
53
HUKUMAN Bagi kesalahan di bawah seksyen ini, hukuman yang diperuntukkan ialah penjara tidak kurang 2 tahun dan boleh sampai 10 tahun dan denda tidak kurang RM5000 dan tidak melebihi RM20000 serta tertuduh hilang kelayakan memegang lesen memandu selama 3 tahun.
54
Di dalam hujahan mitigasinya, peguambela memohon agar Tertuduh dikenakan perintah di bawah Seksyen 294 iaitu Bon Berkelakuan Baik selama 2 tahun. Peguam menghujahkan bahawa Seksyen 294 memperuntukkan Mahkamah untuk pertimbangkan keadaan latar belakang, umur dan keadaan sesuatu kes itu, dan mahkamah wajar melepaskan Tertuduh di bawah Bon Berkelakuan Baik. Faktor keseriusan kesalahan adalah wajar diambilkira. Peguam bela menghujahkan bahawa kesalahan ini bukan satu kesalahan yang serius bawah Seksyen 52A Kanun Keseksaan memandangkan kejadian ini berlaku sebelum pindaan kepada Seksyen 41(1) APJ. Peguam bela juga menghujahkan bahawa Mahkamah wajar mempertimbangkan Bon Berkelakuan Baik ini memandangkan Bon Berkelakuan Baik bukanlah satu bentuk hukuman yang ringan, kerana sekiranya Tertuduh melakukan kesalahan semula, bon boleh dibatalkan dan Tertuduh masih boleh dikenakan hukuman penjara.
55
Peguambela turut menghujahkan bahawa mahkamah perlu memberikan imbangan terhadap kepentingan awam dan kepentingan individu dalam menjatuhkan hukuman dan Bon Berkelakuan Baik adalah satu bentuk hukuman yang sesuai kerana ianya bersifat reformatory. Tertuduh wajar diberi peluang dan kepentingan awam tak semestinya dicapai sekiranya Tertuduh dihantar ke penjara. Tertuduh kini telah kesal dan insaf atas kejadian ini. Kemalangan ini meninggalkan kesan trauma dan Tertuduh menghadapi tekanan sepanjang perbicaraan berlangsung. Tertuduh juga tidak pernah melakukan sebarang kesalahan lain selepas dituduh dengan kesalahan ini.
56
Selain itu, peguambela turut menghujahkan bahawa kepentingan awam juga termasuk kepentingan Tertuduh dan keluarga tertuduh. Tertuduh baru sahaja berkerja semula sebagai penyelia lombomng dengan pendapatan RM 3000. Dia kini menanggung isteri, ibu berusia 67 tahun yang menghidap strok dan memerlukan jagaan tertuduh dan isteri. Selain itu, dia turut menanggung adiknya yang OKU lembam. Tertuduh yang menjaga ibunya kerana bapanya telah meninggal dunia manakala dia lagi adik beradik berada di luar negeri. Peguam turut menghujahkan bahawa ini merupakan kesalahan pertama tertuduh dan sekiranya Tertuduh dilepaskan dengan Bon Berkelakuan Baik ianya akan mengubah Tertuduh menjadi lebih baik. Jika Tertuduh dikenakan hukuman penjara ianya akan memberi kesan kepada keluarga dan ekonomi keluarga Tertuduh. Hukuman pemenjaraan juga akan menyebabkan Tertuduh bergaul dengan banduan lain dan ini wajar dielakkan.
57
Pihak pendakwaan membantah permintaan peguambela yang memohon Tertuduh dikenakan Bon Berkelakuan Baik dan memohon agar Tertuduh dijatuhkan dengan hukuman yang asal. Puan TPR terpelajar telah menghujahkan bahawa parlimen dan Kerajaan mengambil berat bagi kesalahan seumpama ini sehinggakan parlimen telah meminda dengan menaikkan jumlah hukuman bagi kesalahan dibawah Seksyen 41(1) APJ akibat daripada peningkatan kes kemalangan maut. Ini jelas menunjukkan niat Parlimen untuk kesalahan ini dikenakan hukuman setimpal dan berat. Oleh yang demikian Puan TPR memohon agar mahkamah melihat kepada kepentingan awam dan menjatuhkan hukuman yang memberikan pengajaran kepada Tertuduh dan orang awam yang lain agar tidak cuai dan leka semasa memandu sehingga menyebabkan kematian. Pihak pendakwaan turut memohon agar hukuman berbentuk pengajaran diberikan supaya Tertuduh berhati-hati, sabar dan peka dengan keadaan jalan semasa pemanduan. Pihak pendakwaan juga memohon agar mahkamah mempertimbangkan kesan dan akibat pemanduan Tertuduh telah menyebabkan kematian kepada mangsa. Ini memberikan kesan kepada ekonomi dan emosi keluarga mangsa. Kematian si mati sudah pasti memberikan kesan emosi kepada ahli keluarganya. Oleh itu Puan TPR menghujahkan bahawa hukuman di bawah Seksyen 294 KTJ adalah tidak bersesuaian diberikan kepada Tertuduh.
58
Setelah menimbang hujahan pengurangan dan pemberatan dari kedua-dua pihak, mahkamah menjatuhi hukuman penjara selama 3 tahun dari tarikh sabitan dan denda RM 6000 jika gagal bayar 12 bulan penjara ke atas Tertuduh. Mahkamah juga memerintahkan Tertuduh hilang kelayakan untuk memandu selama 3 tahun bermula daripada tarikh jatuh hukum.
59
Dalam menjatuhkan hukuman, mahkamah ini telah merujuk kepada kes yang diputuskan oleh Mahkamah Rayuan iaitu kes PP v. Morah Chekwube Chukwudi [2017] CLJU 864; [2017] 1 LNS 864. Kes tersebut telah menggariskan prinsip-prinsip hukuman yang akan menjadi faktor pemberat ataupun faktor pengurangan sebagaimana berikut; [5] It is well established that there are a number of factors that courts take into consideration before sentencing. Some of them are as follows:
a
the gravity or severity of the facts constituting the offence;
b
the circumstances in which it was committed;
c
the rampancy of such offence in the area;
d
the offender's previous record;
e
the offender's contribution and support to his family members;
f
the offenders means;
g
the effect of conviction and sentence on his job opportunities;
h
the age and health of the accused;
i
whether it is his first offence;
j
whether the accused had cooperated with the police after the commission of the offence;
k
whether the accused had pleaded guilty;
l
status of the accused;
m
whether there was violence during the crime; and
n
public interest, etc.
60
Dalam menjatuhkan hukuman ke atas Tertuduh mahkamah telah mengambil kira kepentingan awam dan juga kepentingan Tertuduh. Mahkamah percaya hukuman tiga tahun yang dikenakan adalah sepadan dan memadai berdasarkan dapatan fakta di hadapan mahkamah, di mana mahkamah telah mempertimbangkan cara pemanduan Tertuduh yang menyebabkan kemalangan. Pemanduan Tertuduh menunjukkan kepada mahkamah bahawa dia tidak mengambil kira bahaya yang akan berlaku kepada pengguna jalan raya yang lain akibat daripada pemanduannya. Tambahan dari itu, mahkamah juga turut mempertimbangkan kesan kemalangan tersebut kepada keluarga si mati. Semasa memberikan keterangan, SP3 jelas menunjukkan kesan kepada emosinya akibat dari kematian adiknya dalam kemalangan ini.
61
Selain itu, Mahkamah juga percaya hukuman ini tidak terlalu melampau ke atas Tertuduh kerana pemenjaraan yang dikenakan tidak melebihi separuh daripada hukuman penjara maksimum yang ditetapkan di bawah undang-undang. Mahkamah telah mengambil kira latar belakang Tertuduh dan kesan kepada tanggungan Tertuduh sekiranya tertuduh dipenjarakan lebih lama. Hukuman pemenjaraan tiga tahun dari tarikh jatuh hukum dan denda RM 6000 ini pada pandangan mahkamah cukup untuk memberikan pengajaran kepada Tertuduh. Oleh itu mahkamah percaya hukuman ini telah memadai ke atas Perayu dengan mengambilkira OKT masih mempunyai isteri, ibu dan adik OKU di bawah jagaannya. Mahkamah juga percaya, hukuman ini telah mengimbangi di antara kepentingan awam dan juga kepentingan Tertuduh dan keluarganya.
62
Tambahan dari itu, mahkamah turut mengambilkira kesesakan yang berlaku di dalam penjara di Negeri Kelantan dan berpandangan hukuman pemenjaraan yang lama lebih wajar diberikan kepada penjenayah tegar berbanding dengan Tertuduh ini. Pemenjaraan yang lebih lama juga pada pandangan mahkamah akan memberikan kesan buruk kepada Tertuduh. Sebaliknya Kepentingan awam akan lebih terjaga sekiranya Tertuduh boleh berubah menjadi warganegara yang lebih bertanggungjawab dan baik pada masa hadapan sebagaimana yang dinyatakan di dalam kes AMIT BUDIN V PP [1994] 1 LNS 8 di mana mahkamah menyatakan bahawa; “I am of the view that the object of turning the appellant into a good citizen can be better achieved by not sending him to prison.”
63
Dengan mengambil kira faktor-faktor yang dinyatakan tadi, mahkamah percaya hukuman yang diberikan adalah memadai dan akan memberi pengajaran kepada Tertuduh serta masyarakat umum yang lain agar lebih berhati-hati semasa memandu di jalan raya. Oleh yang demikian, mahkamah berpendapat ini merupakan hukuman yang sesuai ke atas OKT. Sekian, untuk pertimbangan. TPR : Siti Asma’a binti Che Omar, TPR Negeri Kelantan Peguambela : Ahmad Firdaus bin Abdul Hamid, Tetuan Syariful & Wan Zul Disediakan oleh
5
5.
11
11.2024
Wrong text, a broken link, out-of-date content, or a removal request — tell us and we'll check it against the official source.