Content
DALAM MAHKAMAH MAJISTRET SUNGAI BESAR DALAM NEGERI SELANGOR DARUL EHSAN KES NO: BE-82D-1-1/2020 & BE-82D-2-1/2020 PENDAKWARAYA LWN SHAHRIFUZIE BIN SULAIMAN [K/P No.: 840810086101] ALEXSIS ANAK RICHARD [K/P No.: 870206526585] MOHAMAD NAZMIN BIN MAT NAYAM [K/P No.: 820614086341] & PENDAKWARAYA LWN MOHD FAZLY BIN MASHHURI [K/P No.: 881211086477] ALASAN PENGHAKIMAN PENDAHULUAN [1] Notis rayuan telah difailkan bagi kes BE-82D-1-1/2020 sahaja oleh Timbalan Pendakwa Raya yang bijaksana pada 8.4.2024 terhadap keputusan Majistret yang telah melepaskan dan membebaskan OKT-OKT di akhir kes pendakwaan pada 26.3.2024. [2] OKT-OKT bagi kes BE-82D-1-1/2020 telah dituduh dan mohon dibicarakan sebagaimana pertuduhan-pertuduhan (eksibit P2 & eksibit P3) seperti berikut: Pertuduhan Pertama Bahawa kamu bersama-sama pada 20 September 2019 jam lebih kurang 1300 hrs di Berek Polis Balai Polis Sabak Bernam, di dalam daerah Sabak Bernam, di dalam negeri Selangor Darul Ehsan telah ada dalam kawalan kamu 43.1 liter berat bersih Mitragynine dan dengan itu kamu telah melakukan satu kesalahan di bawah Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 30 (5) Akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan. Pertuduhan Kedua Bahawa kamu bersama-sama pada 20 September 2019 jam lebih kurang 1300 hrs di Berek Polis Balai Polis Sabak Bernam, di dalam daerah Sabak Bernam, di dalam negeri Selangor Darul Ehsan telah ada dalam kawalan kamu 3.8 kilogram berat bersih Mitragynine dan dengan itu kamu telah melakukan satu kesalahan di bawah Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 30 (5) Akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan. Hukuman: Denda tidak lebih daripada RM 10,000.00 atau dikenakan hukuman penjara tidak lebih empat tahun atau kedua-duanya sekali [3] Manakala OKT bagi kes BE-82D-2-1/2020 telah dituduh dan mohon dibicarakan sebagaimana pertuduhan (eksibit P4) seperti berikut: Bahawa kamu pada 20 September 2019 jam lebih kurang 1300 hrs di Berek Polis Balai Polis Sabak Bernam, di dalam daerah Sabak Bernam, di dalam negeri Selangor Darul Ehsan telah ada dalam milikan kamu 9.3 liter berat bersih Mitragynine dan dengan itu kamu telah melakukan satu kesalahan di bawah Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 30 (5) Akta yang sama Hukuman: Denda tidak lebih daripada RM 10,000.00 atau dikenakan hukuman penjara tidak lebih empat tahun atau kedua-duanya sekali [4] Untuk makluman, Majistret terdahulu telah membenarkan kedua-dua kes ini dibicarakan bersama atas persetujuan kedua-dua pihak kerana kejadian berlaku dalam satu transaksi yang sama. Saya telah mengambil alih sambung perbicaraan kes ini setelah Majistret terdahulu berpindah perkhidmatan. Demi keadilan, berikut merupakan alasan penghakiman saya bagi kedua-dua kes. KES PENDAKWAAN [5] Fakta ringkas kes pendakwaan adalah seperti berikut: a) Pada 20/09/2019 jam 9.30 pagi, SP1 menerima maklumat berkait aktiviti memproses dan memasak air ketum melibatkan angggota polis di Balai Polis Sabak Bernam. Selepas terima maklumat, SP1 memangggil 1 pasukan untuk taklimat pada jam 10 pagi di pejabat SP1 di Bukit Aman. Pada jam 10.30 pagi, SP1 dan pasukan bergerak ke tempat kejadian iaitu berek polis, Balai Polis Sabak Bernam. Pasukan SP1 terdiri daripada 2 pegawai dan 5 anggota. b) Mereka tiba jam 12.45 tengahari di sekitar Balai Polis SB. SP1 mengarahkan SP3 untuk buat pemerhatian. Di tepi berek ada tapak pembinaan yang kosong untuk SP3 membuat pemerhatian. c) SP3 menghubungi SP1 bahawa terdapat individu di sekitar berek itu untuk SP1 buat pemeriksaan. Jam lebih kurang 1, SP1 pergi ke stor bawah berek bersama pasukannya dan SP1 nampak 1 lelaki keluar dari stor dan kemudian SP1 memperkenalkan diri kepada lelaki itu. SP1 meminta ID dan tertera nama Lans. Kop. Mohd Fazly bin Mashuri. d) Selanjutnya, SP1 bersama OKT Fazly memeriksa stor dan mendapati ada 1 tong berwarna jingga dan di dalamnya ada 6 botol disyaki air ketum. Kemudian, SP1 nampak serangkai kunci di pintu stor yang tertera kunci stor dan kunci motosikal dan merampasnya. e) Selepas itu, SP1 membuat pemeriksaan di satu lagi stor bersebelahan. Stor itu di bawah berek Balai Polis. Pintu stor berkunci, SP1 mengetuk pintu dan kemudian ada orang membuka pintu dari dalam. SP1 mendapati ada 3 orang lelaki sedang memasak dipercayai air ketum. Dalam stor tersebut terdapat peralatan memasak air ketum. f) SP1 memeriksa 3 lelaki itu dan mendapati mereka adalah: Kop. Shahrifuzie, Lans Kop. Alexsis dan Konst. Mohamad Nazmin. SP1 merampas juga peralatan memasak air ketum iaitu; 1. Tong gas, 2.Tong besar warna biru, 3. Periuk memasak,