Content
DALAM MAHKAMAH MAJISTRET (2) KOTA BHARU, KELANTAN DALAM NEGERI KELANTAN DARUL NAIM KES TANGKAP NO: DA-82D-14-05/2021 ANTARA
DA-82D-14-05/2021
Magistrates Court of Malaysia18 Nov 2024
The written judgment as the court issued it, with the coram, case number, and source links. Every paragraph has its own anchor.
Citations and treatment detected automatically from later judgments and the authorities this decision relies on.
Later cases and laws citing this decision
Not yet cited by a later decision.
Earlier cases and laws this decision relies on
“ahkamah yakin dan percaya, tempoh tersebut mampu menginsafkan Tertuduh dan individu lain. [51] Mahkamah ini memetik penghakiman Mahkamah Tinggi di dalam kes Mohd Sulaiman Bin Miskon v Pendakwa Raya [2020] MLJU 1222 di mana dinyatakan seperti berikut:- “Once convicted, a trial court must start with the maximum sentence”
“by the powers that-be to stem the scourge but nevertheless, there is no sign of its abatement. The position is best stated by His Lordship, Mohd Zawawi Salleh JCA, in Public Prosecutor v Ling Leh Hoe [2015] MLJU 1006; [2015] 4 CLJ 869, in the following terms: **Note : Serial number will be used to verify the originalit”
Auto-detected from judgment text; not a substitute for a citator check.
Content
DALAM MAHKAMAH MAJISTRET (2) KOTA BHARU, KELANTAN DALAM NEGERI KELANTAN DARUL NAIM KES TANGKAP NO: DA-82D-14-05/2021 ANTARA
1
Ini merupakan alasan penghakiman berikutan rayuan yang difailkan oleh Tertuduh terhadap sabitan dan hukuman yang dijatuhkan ke atas Tertuduh bagi pertuduhan kesalahan di bawah seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah seksyen 12(3) Akta yang sama.
2
Tertuduh yang merupakan seorang penjawat awam iaitu anggota polis Pasukan Gerakan Am (PGA) BN 8 Pengkalan Chepa, Kelantan telah dituduh di bawah seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah seksyen 12(3) Akta Dadah Berbahaya 1952. Seusai perbicaraan penuh dijalankan, Mahkamah dapati Tertuduh bersalah atas pertuduhan pindaan dan mensabitkan Tertuduh atas kesalahan yang dipertuduhkan.
3
Setelah memperimbang keseluruhan fakta kes, keterangan yang dikemukakan pihak-pihak sepanjang perbicaraan, hujahan pemberatan dan mitigasi hukuman, Mahkamah ini telah mendapati Tertuduh salah dan disabitkan atas pertuduhan pindaan, seterusnya telah menjatuhkan hukuman pemenjaraan selama 10 bulan dari tarikh sabitan.
4
Terkilan dengan keputusan tersebut, Tertuduh telah tidak berpuashati terhadap keseluruhan keputusan Mahkamah terhadap sabitan dan hukuman yang dijatuhi, justeru telah memfailkan rayuan.
5
Sebagai pencerahan awal, kes ini telah terlebih dahulu diperingkat kes Pendakwaan didengar oleh Majistret terdahulu dan diperintahkan supaya Tertuduh dilepas dan dibebaskan tanpa dipanggil membela diri di akhir kes pendakwaan. Namun setelah rayuan pihak pendakwaan dibenarkan di Mahkamah Tinggi, kes telah dihantar semula ke Mahkamah ini dan Tertuduh telah diperintahkan untuk membela diri di peringkat kes pembelaan.
6
Justeru, tanpa menyentuh atau ‘revisit’ dapatan Mahkamah Tinggi terhadap perintah untuk Tertuduh dipanggil membela diri tersebut, Mahkamah ini tertumpu untuk menyambung pendengaran kes ini di peringkat bela diri dan membuat dapatan terhadap pembelaan Tertuduh di dalam kes ini. Dalam pada itu juga, bagi membantu membuat dapatan pada peringkat kes pembelaan ini, Mahkamah juga telah meneliti keseluruhan rakaman perbicaraan, minit-minit terdahulu dan ekshibit-ekshibit yang telah dikemukakan dan Mahkamah ini menyambung pendengaran kes peringkat bela diri ini sebagaimana ianya didengar dari awal oleh Mahkamah ini.
7
Berikut diperturunkan pertuduhan pindaan sebagaimana yang dikenakan ke atas Tertuduh: PERTUDUHAN DAN HUKUMAN PERTUDUHAN PINDAAN Bahawa kamu pada 27/5/2021, jam lebih kurang 1820 Hrs bertempat di sebuah rumah beralamat C2-T2-07 Blok Cempaka, Kuarters Perumahan PGA, Pengkalan Chepa, 16100 Kota Bharu, Kelantan, telah ada dalam kawalan kamu dadah berbahaya jenis Methamphetamine seberat 0.05 gram (berat bersih). Oleh yang demikian, kamu telah melakukan suatu kesalahan di bawah seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah seksyen 12(3) Akta yang sama. HUKUMAN SEKSYEN 12(3) ADB 1952 Hendaklah didenda sebanyak tidak melebihi RM100,000.00 atau dikenakan hukuman penjara selama tempoh tidak lebih daripada 5 tahun atau kedua-duanya sekali
8
Fakta ringkas kes pendakwaan adalah sebagaimana berikut:
8
8.1 Pada 27/05/2021 jam lebih kurang 1820 Hrs, pengadu iaitu SP1 bersama-sama 2 orang anggota tugasan PGA termasuklah SP3 telah ke sebuah rumah beralamat C2-T2-07 Blok Cempaka, Kuarters perumahan PGA, Pengkalan Chepa 16100 Kota Bharu, Kelantan untuk membuat pemeriksaan bagi mencari Tertuduh kerana kegagalan Tertuduh untuk menghadirkan diri di tempat penugasan iaitu di sempadan negeri Kelantan.
8
8.2 Setelah sampai di tempat kejadian, SP1 dan SP3 telah mengetuk pintu rumah yang tertutup dan kemudian melihat Tertuduh sendiri yang telah membuka pintu rumah tersebut.
8
8.3 Berdasarkan keterangan SP1 dan SP3, setelah SP1 memperkenalkan sebagai polis, pemeriksaan badan telah dibuat ke atas Tertuduh dan tidak menjumpai apa-apa barang salah. SP1 juga telah membuat pemeriksaan di rumah tersebut dan telah menjumpai di atas meja makan di ruang tamu (1) bekas plastik lutsinar iaitu ekshibit P8 dan di dalamnya mengandungi (1) peket plastik cerah iaitu ekshibit P12 yang berisi ketulan-ketulan kristal dan 1 botol kaca berpenutup hitam iaitu ekshibit P9 yang disyaki sebagai alat menghisap dadah. Pengadu telah tangkap Tertuduh dan rampas barang kes untuk tindakan lanjut.
8
8.4 Barang kes dan Tertuduh diserahkan kepada pegawai penyiasat, SP4 untuk siasatan lanjut.
8
8.5 SP4 telah menyerahkan barang kes kepada ahli kimia (SP5) untuk dianalisa. Hasil analisa mendapati berat bersih bahan kristal jernih tersebut ialah 0.05 gram yang mengandungi Methamphetamine. Methamphetamine adalah disenaraikan dalam jadual Pertama Akta Dadah Berbahaya 1952. VERSI DAN KETERANGAN PEMBELAAN [9] Pihak pembelaan telah memanggil 2 orang saksi iaitu Tertuduh sendiri selaku SD1 dan juga isterinya, SD2 untuk memberikan keterangan secara bersumpah sebagaimana keterangan yang diringkaskan seperti berikut:
9
9.1 SD1(Tertuduh) pada hari kejadian, baru pulang ke rumah iaitu tempat kejadian dari tempat kerja setelah bertugas di ICQS Bukit Bunga. Setelah mandi serta tidur, telah terdengar pintu rumahnya diketuk. SD1(Tertuduh) kemudian telah membuka pintu rumahnya dan dapati SP1 hadir untuk membuat pemeriksaan.
9
9.2 Rumah tersebut adalah penempatan yang diberikan kepada Tertuduh yang tinggal bersama keluarganya termasuk SD2. Namun ketika kejadian, keluarga SD1(Tertuduh) termasuklah SD2 tiada di rumah kerana telah pulang ke kampung. Walaubagaimanapun, SD1(Tertuduh) sendiri tidak tahu sejak bila SD2 dan keluarganya pulang ke kampung kerana terlibat dengan operasi.
9
9.3 SD1(Tertuduh) nyatakan kunci rumah tersebut, kebiasaanya diletakkan dalam rak kasut supaya tidak terlupa serta mudah untuk orang lain termasuklah keluarga dan jiran-jiran boleh memasuki rumah tersebut. SD2 juga menyatakan perkara sama serta mengesahkan bahawa dirinya adalah orang yang terakhir menutup pintu rumah, mengunci pintu grill rumah sekaligus yang meletakkan kunci itu di dalam rak kasut ketika SD1 bertugas di sempadan.
9
9.4 SD2 juga maklumkan akan dan telah pastikan keadaan rumah tersebut kemas dan bersih sebelum dirinya pulang kampung sebelum kejadian.
9
9.5 SD1(Tertuduh) sahkan ada rampasan barang kes dikatakan dadah oleh SP1 dan juga alat menghisap dadah P9 yang dijumpai atas meja makan ruang tamu rumahnya, namun menyatakan tiada pengetahuan terhadap barang-barang kes tersebut.
9
9.6 SD2 pula hanya tahu tangkapan terhadap SD1 (Tertuduh) setelah pulang semula ke rumahnya selepas itu serta SD2 tiada sebarang pengetahuan tentang apa yang berlaku pada masa material sepanjang kejadian tangkapan SD1 (Tertuduh) berlaku. ANALISIS DAN DAPATAN MAHKAMAH DI PERINGKAT KES PEMBELAAN [10] Mahkamah setelah meneliti keterangan yang diberikan oleh SD1 (Tertuduh) dan SD2 memutuskan bahawa keterangan pembelaan yang dikemukakan adalah suatu penafian kosong dan pernyataan kosong semata-mata, wujud percanggahan material, tidak kredibel dan tidak munasabah, sekaligus gagal mewujudkan pembelaan atau keraguan yang munasabah terhadap kes ini.
i
Pembelaan yang berbentuk penafian kosong semata (bare denial) dan pernyataan kosong semata (bare assertion) [11] Tertuduh telah menafikan pengetahuannya terhadap barang kes yang dijumpai atas meja ruang tamu rumahnya ketika dirinya hanya bersendirian seorang sahaja di dalam rumah tersebut. Pembelaan Tertuduh juga adalah berasaskan akses orang lain yang boleh masuk ke dalam rumahnya memandangkan kunci rumah Tertuduh hanya disimpan di dalam rak kasut sepanjang masa material dan perkara ini cuba disokong melalui pernyataan SD2 sebagai orang yang terakhir keluar dari rumah tersebut yang akan membuat perkara sama bagi memudahkan akses orang lain seperti penama Adriana dan Kak Yah ke dalam rumah tersebut. [12] Walaubagaimanapun, Mahkamah dapati pembelaan ini adalah bersifat penafian kosong dan pernyataan kosong semata. Hal ini adalah kerana, tidak pernah ditimbulkan sama sekali sebarang keraguan terhadap fakta bahawa Tertuduh sememangnya ketika kejadian berada seorang diri sahaja di dalam rumah bersama kewujudan barang kes pada masa material. Keseluruhan keterangan pihak pembelaan juga tidak pernah, apatah lagi berjaya menimbulkan keraguan terhadap fakta-fakta berikut yang dipersetujui sendiri oleh Tertuduh (SD1) dan juga SD2: a. Tertuduh ketika ditangkap pada waktu kejadian berada di rumahnya bersendirian seorang diri sahaja. b. Tertuduh telah berada di rumah tersebut dalam tempoh yang agak lama sehingga boleh melakukan persiapan diri untuk mandi dan tidur sebelum datangnya SP1 mengetuk pintu dan membuat pemeriksaan. c. Tertuduh sendiri yang membuka pintu rumahnya setelah kehadiran SP1 dan SP3 untuk membuat pemeriksaan. d. Hasil pemeriksaan SP1, barang kes juga dijumpai di atas meja ruang tamu dalam rumah Tertuduh sewaktu kehadiran Tertuduh seorang diri di dalam rumahnya. e. SD2 tiada di rumah tersebut ketika kejadian tangkapan Tertuduh dan penemuan barang kes dadah oleh SP1. [13] Fakta ini sekaligus membuktikan pada masa material, hanya Tertuduh yang memasuki atau akses ke dalam rumah yang mempunyai barang kes dadah tersebut tanpa kehadiran orang lain. Hakikat ini yang membawa kepada pengamatan Mahkamah bahawa ketika kejadian, Tertuduh sememangnya mempunyai milikan, kawalan dan jagaan penuh serta ekslusif terhadap rumah dan barang kes dadah yang dijumpai. Namun, keterangan SD1 (Tertuduh) hanya membuat penafian semata bahawa dia tidak tahu tentang barang kes dadah tersebut dan barang kes dadah itu bukanlah kepunyaan miliknya. [14] Dalam pada itu, sama ada benar wujud akses orang lain ke dalam rumah tersebut menggunakan kunci yang dikatakan ditinggalkan oleh SD2 di rak kasut sebelum kejadian, SD1 (Tertuduh) dan SD2 sendiri tidak dapat sahkan dan buktikan kepada Mahkamah memandangkan penama-penama seperti Kak Yah atau Adriana mahupun mana-mana orang lain yang diwujudkan melalui keterangan pembelaan tidak pernah sama sekali dipanggil untuk memberikan keterangan di Mahkamah untuk mengesahkan kewujudan akses ke dalam rumah tersebut. [15] Ketiadaan keterangan konkrit yang lain menjadikan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan gagal ditimbulkan dan keterangan pembelaan Tertuduh adalah kekal bersifat penafian kosong dan pernyataan kosong semata. [16] Mahkamah merujuk kepada Seksyen 103 Akta Keterangan 1950 yang menyatakan sebagaimana berikut: “103 Burden of proof as to particular fact The burden of proof as to any particular fact lies on that person who wishes the court to believe in its existence, unless it is provided by any law that the proof of that fact shall lie on any particular person.” [17] Memandangkan keterangan pembelaan telah menimbulkan fakta kewujudan akses atau kebolehupayaan akses orang lain ke dalam rumah tempat kejadian sama ada pada sebelum atau semasa kejadian, maka adalah menjadi tanggungjawab Tertuduh untuk membuktikannya bagi mengabsahkan suatu keraguan munasabah dalam kes pihak pendakwaan. [18] Ketiadaan penjelasan dikemukakan terhadap pertuduhan dan keterangan pendakwaan, serta sekadar membuat penafian atau pernyataan tanpa sokongan keterangan yang kredibel menjadikan pembelaan Tertuduh bersifat penafian dan pernyataan kosong semata. Penafian kosong semata bukanlah dengan sendirinya boleh dianggap suatu bentuk pembelaan yang harus diambil kira oleh Mahkamah. Ini berdasarkan prinsip yang diputuskan oleh Mahkamah Rayuan di dalam kes Mr Losali v. Public Prosecutor [2011] 4 MLJ 694: “[54] The learned trial judge rightly held that the defence of the appellant was a bare denial. It is trite law that the defence of bare denial is no defence. What this amounts to is this. That the appellant did not offer any explanation to the two charges and merely denied the evidence advanced by the prosecution. That was indeed a perilous course to undertake.” [19] Mahkamah juga merujuk kepada kes Vijaykumar Munusamy v PP [2015] 1 LNS 242 apabila Mahkamah Rayuan telah memutuskan suatu prinsip apabila pihak pembelaan gagal memanggil watak yang ditimbulkan, maka pembelaanya kekal sebagai suatu pernyataan kosong dan tidak dapat dipercayai: “[21] Perayu dalam keterangannya mengatakan beliau di maklumkan oleh Khairul bahawa kereta tersebut telah rosak dan mahukan perayu mengambil balik kereta tersebut. Bagaimanapun perayu tidak memanggil Khairul sebagai saksi. Kami sedia maklumkan kegagalan perayu memanggil Khairul sebagai saksi tidak boleh mengundang pemakaian s. 114(g) Akta Keterangan terhadapnya. Walau bagaimanapun, tanpa kehadiran Khairul sebagai saksi, perayu telah gagal membuktikan dakwaan atau fakta penting pembelaannya bahawa kereta itu telah rosak pada hari kejadian. Dengan itu, pembelaannya mengenai Khairul adalah bersifat bare oral assertion: PP v. Badrulsham b. Baharem [1987] 1 LNS 72; [1988] 2 MLJ 585.” [20] Tertuduh dan pihak pembelaan gagal menjelaskan dan memperlihatkan apa jua keterangan kepada Mahkamah bagaimana Tertuduh boleh dikatakan tidak mengetahui tentang kewujudan barang kes di dalam rumahnya sedangkan ketika kejadian, hanya dia sahaja yang berada dan miliki akses penuh terhadap rumah tersebut termasuklah apa jua barang di dalamnya. Bahkan, rumah tersebut juga ketika kejadian adalah tertutup dan kemudian dibuka sendiri oleh Tertuduh setelah kehadiran SP1. Jelas, Tertuduh ketika itu bukan sekadar ‘mere presence’ di dalam rumahnya, sebaliknya mempunyai kawalan dan jagaan penuh terhadap rumah termasuklah ‘power of disposal’ terhadap barang kes di dalamnya. [21] Tertuduh dan pihak pembelaan juga gagal menjelaskan bagaimana melalui kunci yang dikatakan diletakkan di rak kasut itu boleh menyebabkan wujudnya akses oleh orang lain sedangkan penama yang ditimbulkan itu tidak pernah dipanggil untuk mengesahkan perkara sedemikian. Kegagalan memperlihatkan kepada Mahkamah perkara ini, sekaligus memuktamadkan dapatan Mahkamah bahawa penafian dan keterangan OKT hanyalah penafian kosong (bare denial) dan (bare assertion) semata.
II
(ii) Keterangan SD1 (Tertuduh) dan SD2 yang bercanggah, tidak kredibel dan meyakinkan. [22] Berkait isu akses orang lain ke dalam rumah tempat kejadian, SD2 hadir ke Mahkamah menyatakan telah meletakkan kunci rumah tempat kejadian di rak kasut memandangkan telah menjadi amalan sedia kala bagi memudahkan orang lain akses ke rumah tersebut sepertimana penama Kak Yah dan Adriana yang pernah dikatakan memasuki rumah dengan cara sebegitu. Namun begitu, SD2 juga maklumkan andai orang lain ingin masuk ke dalam rumah tersebut, akan menghubunginya terlebih dahulu bagi meminta izin. [23] Walaubagaimanapun, dapatan Mahkamah bahawa adalah sesuatu yang pasti dan jelas daripada keterangan SD2 tersebut, bahawa pernyataan mana-mana penama seperti Kak Yah dan Adriana yang jika dikatakan benar-benar wujud dan akses rumah tersebut, pernyataan itu diperlihatkan kepada Mahkamah adalah berlaku pada waktu-waktu sebelum kejadian sahaja. SD2 sememangnya tiada melihat atau mengetahui sesiapa pun yang memasuki rumah tersebut sepanjang masa material. Tiada juga keizinan SD2 dipohon oleh mana-mana individu sepanjang masa material telah dikemukakan. Yang pasti adalah, hanya Tertuduh yang dibuktikan telah wujud berada dan akses rumah tersebut bersama kewujudan barang kes sewaktu masa material kerana Tertuduh memang tinggal dan berada di situ pada masa material. [24] SD2 sendiri tidak melihat kejadian tangkapan ke atas Tertuduh dan tidak juga melihat hasil pemeriksaan SP1 terhadap rumah tersebut ketika Tertuduh berada berseorangan di tempat kejadian. Dalam keadaan itu, Mahkamah dapati keterangan SD2 adalah tidak relevan, tiada kredibel dan tidak meyakinkan sekaligus tidak mampu menyokong keterangan SD1 (Tertuduh) dan mengesahkan akses orang lain dan pemilikan individu lain terhadap barang kes di dalam rumah tersebut selain daripada Tertuduh sepanjang masa material. [25] Lebih parah lagi, apabila wujud percanggahan ketara antara keterangan antara SD1(Tertuduh) sendiri dan SD2 mengenai akses masuk orang lain ke dalam rumah tempat kejadian akibat meletakkan kunci rumah tersebut di rak kasut. SD1(Tertuduh) sendiri menyatakan tidak pernah ada orang lain mahupun jiran yang masuk ke rumah tersebut walaupun kunci diletakkan di rak kasut pada waktu-waktu sebelum hari kejadian. Namun, berbeza dengan keterangan SD2 yang menimbulkan beberapa watak serta kewujudan individu lain yang pernah ada masuk ke rumah tersebut untuk mengambil atau meletakkan apa-apa barang. [26] Perbezaan keterangan ini menjadikan Mahkamah tidak yakin dengan keterangan yang dikemukakan berkait akses orang lain, walhal SD1(Tertuduh) dan SD2 adalah suami isteri dan tinggal bersekali. Masakan SD1(Tertuduh) sebagai pemilik rumah tidak pula ada sebarang pengetahuan terhadap orang yang ingin masuk ke rumah tempat tinggalnya. Percanggahan dan kecelaruan keterangan ini, sekaligus menjadikan versi dan keterangan pembelaan ini tidak dapat dipercayai oleh Mahkamah.
II
(ii) Versi atau jalan cerita pihak pembelaan adalah tidak logik dan munasabah yang membangkitkan konsep ‘Wilfull Blindness’. [27] Konsep atau doktrin ‘wilfull blindness’ telah diterangkan dengan panjang lebar oleh Mahkamah Persekutuan di dalam kes PP v. Herlina Purnama Sari [2017] 1 MLRA 499 sebagaimana berikut: “[43] In our judgment, that the manner in which the impugned drugs, were concealed in the two boxes which were found in the respondent’s luggage goes to show that the respondent knew the contents of the two boxes. It is not enough for the respondent to merely assert absence of knowledge. On the facts, there are many reasons for the respondent to be suspicious that the luggage she was carrying contained impugned drugs. But she wilfully shut her eyes. It is preposterous to accept the respondent’s defence that she had agreed to carry something in the luggage to help Jo, a total stranger, to have the two boxes delivered to Jo’s friend in Laos. [44] In our assessment, looking at the evidence in totality, the respondent could not exculpate herself from her involvement in the trafficking of the seized drugs by saying that she had no knowledge or that she was an ‘innocent carrier’ in this transaction. In our view, she could not be ‘innocent’ when she voluntarily agreed to hand over the boxes to a third party that she hardly knew in another country without enquiring further as to the contents of the said boxes. The respondent, without any such inquiry, which she wound have been reasonably expected to make in any event, had agreed to give the boxes to someone just as a favour for her friend Vivian. The respondent should have refused to carry out such an assignment if no satisfactory explanation as to their contents was forthcoming from Vivian whom she was in contact with. Her failure to do so makes her guilty of wilful blindness. [45] Wilful blindness necessarily entails an element of deliberate action. If the person concerned has a clear reason to be suspicious that something is amiss but then embarks on a deliberate decision not to make further inquiries in order to avoid confirming what the actual situation is, then such a decision is necessarily a deliberate one. The key threshold element in the doctrine of wilful blindness itself is that of suspicion followed by (and coupled with) a deliberate decision not to make further investigations. Whether the doctrine of wilful blindness should be applied to any particular case would be dependent on the relevant inferences to be drawn by the trial judge from all the facts and circumstances of the particular case, giving due weight, where necessary, to the credibility of the witnesses. (see PP v. Tan Kok An [1995] 4 MLRH 256). [46] The concept of “wilful blindness” had been discussed in a number of local cases but it seems to have had its genesis in the dissenting judgment of Yong Pung How CJ (Singapore) in the case of Public Prosecutor v. Hla Win [1995] 2 SLR 424. The doctrine of “wilful blindness” can be summarized to be applicable to a situation where the circumstance are such as to raise suspicion sufficient for a reasonable person to be put on inquiry as to the legitimacy of a particular transaction. To put it another way, if the circumstancesare such as to arouse suspicion, then it is incumbent on a person to make the necessary inquiries in order to satisfy himself as to the genuineness of what was informed to him. Should he fail to embark upon this course of action, then he will be guilty of ‘wilful blindness’. In other words, he is then taken to know the true situation. He then cannot be said to have either rebutted the presumption of knowledge or have raised a reasonable doubt as to his knowledge of the situation. [47] Most of the cases where the concept was held to apply concerned cases in which the accused was asked to carry certain articles, or a package, or a bag, or to swallow certain items. In these circumstances, where the request to do any of those things mentioned would be such as would arouse the suspicion of a reasonable person as to the contents, it was upon the accused to make sufficient inquiries so as to dispel or to set straight such suspicions. Should the accused not make any or any sufficient inquiries under those circumstances, the concept to wilful blindness would apply so as to fasten upon him or her the necessary knowledge as to the nature of those contents. In other words, if he deliberately ‘shuts his eyes’ to the obvious, because he ‘doesn’t want to know’ he is taken to know. [28] Berdasarkan fakta kes kejadian serta keterangan yang dikemukakan sepanjang perbicaraan, Mahkamah dapati bahawa doktrin ‘wilfull blindness’ ini adalah terpakai terhadap Tertuduh yang menunjukkan adanya pengetahuan Tertuduh ke atas barang kes dadah yang dijumpai di atas meja ruang tamu dalam rumahnya. [29] Hal ini adalah jelas berdasarkan keterangan SD2 menyatakan telah memastikan rumahnya termasuklah meja ruang tamu itu dalam keadaan bersih dan kemas serta bukanlah dalam keadaan sebagaimana dalam gambar P3 sebelum dirinya keluar untuk pulang ke kampung. Justeru, apabila wujudnya barang kes seperti tupperware sebagaimana keterangan Tertuduh di atas meja rumahnya yang telah pun ditinggalkan dalam keadaan bersih serta kemas oleh SD2 itu, sudah pasti terdapat asas atau keperluan untuk Tertuduh mengetahui dan memeriksa lebih lanjut mengenai barang kes tupperware tersebut. Lebih-lebih lagi, apabila wujud juga alat menghisap dadah P9 dan seperti gambar (P4-B) yang turut diakui Tertuduh berada di atas meja yang sama sewaktu ditemui oleh SP1. [30] Fakta juga menunjukkan Tertuduh sendiri telah berada di rumah tersebut seorang diri dalam tempoh yang agak lama sehingga boleh melakukan persiapan diri untuk mandi dan tidur sebelum datangnya SP1 mengetuk pintu dan membuat pemeriksaan. Manakala, barang kes tupperware itu pula hanyalah berada di atas meja ruang tamu yang sememangnya jelas pada penglihatan dan pengetahuan Tertuduh yang berada di dalam rumah tersebut sepanjang masa material. [31] Berdasarkan fakta dan keterangan di atas, dapatan Mahkamah adalah telah wujud suatu inferens atau asas kepada pemakaian doktrin ‘wilfull blindess’ terhadap Tertuduh. Adalah mustahil untuk Tertuduh tidak timbul syak dan sebarang prasangka terhadap barang kes tupperware yang wujud di atas meja bersama dengan alat menghisap dadah yang dalam keadaan terdedah dan berada bersamanya sepanjang kejadian di dalam rumah itu melainkan Tertuduh sebenarnya memang sudah ada pengetahuan bahawa barang kes yang ditemui tersebut pada masa material adalah suatu barang salah yang berada dalam pemilikan, kawalan, jagaan dan ‘power of disposal’ Tertuduh. [32] Penafian Tertuduh mengatakan dia tidak ada pengetahuan terhadap kewujudan dadah di atas meja rumahnya sendiri itu, sedangkan inferens yang ada jelas menuntut Tertuduh sebagai pemilik dan orang yang mempunyai kawalan dan jagaan terhadap rumah serta barang kes tersebut untuk bertindak normal mendapatkan kepastian tentang barang kes yang berada bersamanya di dalam rumah tersebut menunjukkan bahawa Tertuduh telah dengan sengaja ‘shuts his eyes’ terhadap perkara yang jelas dan nyata, seolah-olah Tertuduh tidak mahu untuk mengetahuinya. Keadaan inilah yang menjadi dapatan Mahkamah bahawa padahal pada keadaan yang sebenarnya, kewujudan dadah di atas meja ruang tamu yang terbuka dan terdedah dalam rumah tersebut memang telah ada lama dalam pengetahuan Tertuduh. KESIMPULAN [33] Setelah meneliti keseluruhan keterangan yang ada di Mahkamah, Mahkamah telah memutuskan, Tertuduh telah gagal untuk menimbulkan keraguan yang munasabah ke atas kes pendakwaan. Sekaligus, menjadikan pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah terhadap Tertuduh. Oleh yang demikian, Mahkamah mendapati Tertuduh bersalah di bawah Seksyen 12(2) ADB 1952 dan disabitkan dengan kesalahan. HUJAHAN PEMBERATAN DAN MITIGASI [34] Rayuan mitigasi Tertuduh melalui peguambelanya telah memohon supaya Mahkamah mengenakan denda yang minima mengambil kira bahawa kesalahan kes ini telah lama iaitu pada tahun 2021. Pada ketika ini juga, Tertuduh telah digantung kerja dan kemungkinan dengan sabitan ini, Tertuduh akan kehilangan pekerjaan. Tertuduh juga sekarang ini menghidapi Minor Stroke Attack yang akan menambahkan lagi ketidakupayaan Tertuduh mencari pekerjaan selain daripada masih mempunyai temujanji serta rawatan susulan dengan Klinik Kesihatan Pengkalan Chepa. Tertuduh juga dihujahkan tiada sebarang rekod kesalahan terdahulu serta tiada masalah disiplin berdasarkan keterangan saksi. Tertuduh juga telah memberi kerjasama baik dengan selalu hadir ke Mahkamah sejak kes tahun 2021 dan perjalanan kes yang berjalan sekian lama bukanlah atas faktor Tertuduh semata. Peguam juga hujahkan barang kes yang dijumpai dalam kes ini adalah amat sedikit iaitu 0.05 gram Methamphetamine sahaja. Justeru, denda yang minima adalah dipohon memandangkan kepentingan awam juga boleh dicapai tanpa perlu untuk Tertuduh dipenjarakan bagi kesalahan ini. [35] Pihak pendakwaan pula di dalam kes ini menghujahkan bahawa Tertuduh dipohon untuk dikenakan hukuman yang setimpal supaya dapat dijadikan pengajaran kepada Tertuduh. Tertuduh juga telah disabitkan dengan kesalahan setelah menjalani perbicaraan penuh yang mengambil masa panjang serta melibatkan saksi yang ramai perlu dipanggil ke Mahkamah. Selanjutnya, pihak pendakwaan hujahkan memandangkan Tertuduh ketika kejadian merupakan seorang anggota polis, seharusnya menjadi contoh yang baik kepada masyarakat. Justeru, hukuman setimpal dipohon agar Tertuduh tidak mengulangi lagi kesalahan ini. Pihak pendakwaan juga pohon Mahkamah mengambil kira berat bersih barang kes dadah yang dijumpai untuk menjatuhkan hukuman yang sewajarnya ke atas Tertuduh. [36] Mahkamah setelah hujahan pihak-pihak telah menjatuhkan hukuman pemenjaraan selama 10 bulan dari tarikh sabitan ke atas Tertuduh. ALASAN DAN JUSTIFIKASI HUKUMAN [37] Sekalipun wujud faktor-faktor mitigasi sepertimana yang dihujahkan oleh peguambela yang bertindak mewakili Tertuduh, namun menjadi tanggungjawab Mahkamah ini juga memperhalusi faktor-faktor pemberatan serta fakta kes yang berkaitan dalam mempertimbangkan bentuk dan kuantum hukuman yang bersesuaian dengan kesalahan Tertuduh sepertimana yang dipertuduhkan. Berikut adalah sebab dan alasan Mahkamah: 1) Kepentingan Awam Melebihi Kepentingan Seseorang Tertuduh [38] Mahkamah sedia maklum mengenai prinsip kepentingan awam sebagai suatu faktor pemberatan yang sering kali ditekankan oleh pihak pendakwaan supaya hukuman yang bakal dijatuhkan dapat memberi pengajaran kepada tertuduh ("deterrent") dan orang awam supaya tidak mengulangi kesalahan yang sama pada masa akan datang. [39] Justeru, Mahkamah bersetuju bahawa dalam apa jua pertimbangan faktor yang harus diambil kira, prinsip pertama dan utama yang perlu dipertimbangkan oleh Mahkamah dalam menjatuhkan hukuman dalam kes jenayah ialah faktor kepentingan awam. [40] Di dalam kes ini, kesalahan yang dilakukan oleh Tertuduh adalah melibatkan penyalahgunaan najis dadah yang menjadi suatu barah kepada masyarakat. Apatah lagi, pemilikan dadah berbahaya oleh Tertuduh melibatkan dadah berbahaya jenis Methamphetamine yang merupakan suatu dadah jenis sintetik yang boleh menyebabkan ketagihan melampau dan merosakkan akal fikiran. Fakta inilah yang membawa kepada pengamatan penting Mahkamah bahawa kepentingan awam harus menjadi tunjang utama dalam Mahkamah menjatuhkan hukuman sedemikian kepada Tertuduh. Justeru, hukuman pemenjaraan adalah wajar dan munasabah bagi memberi cerminan kepada Tertuduh dan orang awam supaya tidak sewenang-wenangnya melakukan kesalahan sedemikian rupa dan berjinak dengan najis dadah. [41] Selain itu, sungguhpun hujahan mitigasi Tertuduh telah dibuat dan diambil kira oleh Mahkamah, Mahkamah juga berpandu kepada prinsip keseimbangan antara kepentingan awam dan kepentingan seseorang tertuduh. Dalam melakukan proses perimbangan tersebut, Mahkamah juga tidak boleh terlalu bersimpati dengan mitigasi seperti kesusahan keluarga dan kesusahan hidup Tertuduh. Ini adalah sepertimana yang dijelaskan dalam kes PP v Loo Choon Fatt (Supra) oleh Hashim Yeop Sani J: “Presidents and Magistrates are often inclined quite naturally to be over-sympathetic to the accused. This is a normal psychological reaction to the situation in which the lonely accused is seen facing an array of witnesses with authority. The mitigation submitted by a convicted person will also normally bring up problems of family hardship and the other usual problems of living. In such a situation the courts might perhaps find it difficult to decide as to what sentence should be imposed so that the convicted person may not be further burdened with additional hardship. This in my view is a wrong approach. The correct approach is to strike a balance, as far as possible, between the interests of the public and the interests of the accused. Lord Goddard L.C.J. in Rex v Grondkowski [1946] 1 All ER 560 561 offered some good advice when he said:– "The judge must consider the interests of justice as well as the interests of the prisoners. It is too often nowadays thought, or seems to be thought, that the interests of justice means only the interests of the prisoners." [42] Mahkamah berpendapat bahawa hukuman berbentuk penjara selama 10 bulan adalah wajar dan munasabah bagi memberi pencegahan kepada Tertuduh dan orang awam supaya tidak sewenang-wenangnya melakukan kesalahan sedemikian rupa, sekaligus dilihat mampu menjaga kepentingan awam. [43] Tempoh pemenjaraan 10 bulan yang dikenakan ke atas Tertuduh juga dinilai oleh Mahkamah sebagai suatu tempoh yang terbaik bagi memberikan Tertuduh ruang dan peluang yang mencukupi untuk melakukan muhasabah diri agar Tertuduh sedar bahawa setiap tindakan yang dilakukannya mempunyai sebab dan akibat yang perlu ditanggung. Ini dilihat mampu untuk memberikan pengajaran yang berguna keatas Tertuduh secara khusus dan masyarakat awam secara umumnya agar berfikir panjang sebelum terdetik dalam fikiran untuk melakukan apa jua perbuatan jenayah. 2) Jenis dan graviti kesalahan [44] Mahkamah mengambil kira trend kes-kes melibatkan penyalahgunaan dadah yang semakin meningkat serta berleluasa di Malaysia terutamanya di negeri Kelantan dan di daerah Kota Bharu. Setiap hari masyarakat dihidangkan dengan berita-berita tentang penyalahgunaan dadah yang berlaku di negara kita. Saban hari, puluhan kes melibatkan pertuduhan kes penyalahgunaan dadah akan dihadapkan ke Mahkamah. Tiada sebarang tanda trend ini bakal menurun. [45] Pelbagai usaha telah dijalankan oleh pelbagai pihak bagi membanteras kes penyalahgunaan dadah di kalangan rakyat Malaysia supaya ianya tidak menjadi barah yang memudaratkan negara. Justeru, Mahkamah amat memandang berat kes-kes sebegini memandangkan dadah adalah barah masyarakat yang boleh membawa kepada punca permasalahan dan berlakunya jenayah-jenayah lain. [46] Dalam kes Public Prosecutor v Yap Kim Wang [2016] 2 MLJ 402, Mahkamah Rayuan memutuskan seperti berikut: “We were in full agreement with the learned DPP. We were all on common ground that the offences committed by the respondent were indeed serious and prevalent. Much has been done by the powers that-be to stem the scourge but nevertheless, there is no sign of its abatement. The position is best stated by His Lordship, Mohd Zawawi Salleh JCA, in Public Prosecutor v Ling Leh Hoe [2015] MLJU 1006; [2015] 4 CLJ 869, in the following terms: “. abuse of dangerous drugs is a scourge to our society leading to many spinoff incidences of criminal behaviour. It is a purveyor of death. Therefore, one could hardly deny that drug offenders are a threat to our society from which we must be protected, sometimes by means of lengthy custodial sentence.” [47] Justeru, Mahkamah berpendapat hukuman penjara 10 bulan yang dikenakan ke atas Tertuduh dalam kes ini adalah wajar bagi melindungi kepentingan awam dan juga diri Tertuduh. Walaupun hukuman denda turut diperuntukkan oleh undang-undang bagi kesalahan ini, Mahkamah berpendapat hukuman berbentuk keinsafan dan kesedaran harus diberikan kepada Tertuduh yang melibatkan diri dengan najis dadah. Justeru, Mahkamah percaya tauladan melalui jeriji besi mampu membentuk keinsafan yang mendalam terhadap diri Tertuduh agar tidak mengulangi kesalahan sama pada masa hadapan. 3) Latar belakang OKT dan kes [48] Tertuduh merupakan seorang penjawat awam yang menjadi sebahagian daripada denyut nadi kumpulan perkhidmatan awam bagi membantu dan membangunkan masyarakat. Oleh sebab itu, saringan yang dibuat untuk menjadi seorang penjawat awam amat teliti termasuklah harus bersih dari apa jua perbuatan jenayah dan perkara yang melanggar undang-undang negara. Atas dasar tersebut, Tertuduh seharusnya lebih bertanggungjawab dan mempunyai disiplin diri yang lebih tinggi berbanding dengan masyarakat umum yang lain. [49] Ironinya, Tertuduh telah didapati terlibat dengan kes jenayah sebegini dan didapati salah oleh Mahkamah. Justeru, mengambil kira juga perjalanan kes yang memakan masa dan kos, hukuman berbentuk pemenjaraan adalah wajar dan sesuai demi memberi pengajaran kepada Tertuduh dan juga masyarakat di luar, termasuklah kepada penjawat awam lain yang dipandang tinggi oleh masyarakat kerana menjadi kelompok barisan hadapan yang berkhidmat untuk negara. Kes sebegini juga merupakan satu kesalahan yang acap kali berulang dan kini mula menular di kalangan penjawat awam. Tertuduh sebagai penjawat awam seharusnya menghormati dan menjunjung tinggi undang-undang. [50] Mahkamah dapati tiada hal keadaan yang boleh meringankan (extenuating circumstances) sewaktu Tertuduh melakukan kesalahan ini. Oleh itu, hukuman pemenjaraan selama 10 bulan oleh Mahkamah adalah tidak melampau kerana masih dalam ruang lingkup peruntukan undang-undang yang dibenarkan (within ambit of the law), malah tempoh tersebut adalah jauh kurangnya daripada hukuman pemenjaraan maksimum yang dibolehkan undang-undang. Mahkamah yakin dan percaya, tempoh tersebut mampu menginsafkan Tertuduh dan individu lain. [51] Mahkamah ini memetik penghakiman Mahkamah Tinggi di dalam kes Mohd Sulaiman Bin Miskon v Pendakwa Raya [2020] MLJU 1222 di mana dinyatakan seperti berikut:- “Once convicted, a trial court must start with the maximum sentence allowed by law. It must then consider the facts and circumstances of the case, giving “discounts” for less than the most serious manner of commission.” [52] Berdasarkan kepada alasan-alasan di atas, Mahkamah ini berpendapat bahawa keputusan Mahkamah ini adalah adil, wajar dan munasabah bagi sabitan dan hukuman sepertimana yang telah diberikan kepada Tertuduh. Disediakan oleh AHMAD SYAFIQ AIZAT BIN NAZRI Majistret Mahkamah Majistret (2) Kota Bharu Kelantan
Wrong text, a broken link, out-of-date content, or a removal request — tell us and we'll check it against the official source.