Content
DALAM MAHKAMAH MAJISTRET KUALA SELANGOR DALAM NEGERI SELANGOR DARUL EHSAN KES NO: BJ-87-109-6/2020 PENDAKWARAYA [Bahagian Perkhidmatan Farmasi Negeri Selangor] LWN SAINUKA HABIB SDN BHD [No. Syarikat: 29586-T] ALASAN PENGHAKIMAN PENDAHULUAN [1] Notis rayuan telah difailkan oleh pihak Pendakwaan yang bijaksana pada terhadap keputusan Majistret yang telah melepaskan dan membebaskan Orang Kena Saman (OKS) di akhir kes pendakwaan pada 9.12.2024. [2] Wakil OKS yang hadir dalam kes ini (Muhammad Luqman Nul Islam Bin Yusoff no. k/p: 911207146523) telah dibacakan pertuduhan dan minta dibicarakan sebagaimana pertuduhan seperti berikut: Pertuduhan Pertama – eksibit P3 Bahawa kamu pada 28 November 2018 lebih kurang jam 11.16 pagi di premis Sainuka Habib Sdn Bhd (Farmasi Materia Medica) beralamat di No 6, Jalan Berjuntai 1 Pusat Bandar Batang Berjuntai 45600 Bestari Jaya dalam daerah Kuala Selangor dalam negeri Selangor telah menjual racun Kumpulan B secara runcit kepada Farehah binti Khairuddin (No kad kuasa F0569) melalui pekerja kamu iaitu Siti Zulaiha bt Sa'amin (No. k/p: 960907-14-5602) yang bukan sebagai orang yang diberikuasa di bawah Seksyen 21(1) Akta Racun 1952 iaitu racun Omilock 20mg sebanyak 1 kerajang yang mengandungi Omeprazole yang disenaraikan dalam Jadual Pertama Akta Racun 1952. Dengan itu, kamu telah melanggar Seksyen 21(1) Akta Racun 1952 dan melakukan satu kesalahan dibawah Seksyen 13(b) Akta yang sama dibaca bersama Seksyen 32(4) Akta yang sama dan boleh dihukum dibawah Seksyen 32(2) Akta yang sama. Hukuman: Denda tidak melebihi RM 3000 atau Penjara tidak melebihi 1 tahun atau kedua-duanya sekali. Pertuduhan Kedua – eksibit P4 Bahawa kamu pada 28 November 2018 lebih kurang jam 11.20 pagi di premis Sainuka Habib Sdn Bhd (Farmasi Materia Medica) beralamat di No 6, Jalan Berjuntai 1 Pusat Bandar Batang Berjuntai 45600 Bestari Jaya dalam daerah Kuala Selangor dalam negeri Selangor telah menjual racun Kumpulan B secara runcit kepada Ashraf bin Abdul Mutalib (No kad kuasa F0579) melalui pekerja kamu iaitu Siti Zulaiha bt Sa'amin (No. k/p: 960907-14-5602) yang bukan sebagai orang yang diberikuasa di bawah Seksyen 21(1) Akta Racun 1952 iaitu racun Omilock 20mg sebanyak 1 kerajang yang mengandungi Omeprazole yang disenaraikan dalam Jadual Pertama Akta Racun 1952. Dengan itu, kamu telah melanggar Seksyen 21(1) Akta Racun 1952 dan melakukan satu kesalahan dibawah Seksyen 13(b) Akta yang sama dibaca bersama Seksyen 32(4) Akta yang sama dan boleh dihukum dibawah Seksyen 32(2) Akta yang sama. Hukuman: Denda tidak melebihi RM 3000 atau Penjara tidak melebihi 1 tahun atau kedua-duanya sekali. KES PENDAKWAAN [3] Pihak pendakwaan telah memanggil seramai lapan orang saksi pendakwaan : i. Siti Fareha (SP1) – agen provokatur ii. Ashraf bin Abdul Mutalib (SP2) – agen provokatur iii. Nur Aiman bin Abd Rahman (SP3) – ketua serbuan iv. Siti Zulaiha binti Sa’amin (SP4) – jurujual v. Muhammad Faisal bin Zahidi (SP5) – penyelia stor eksibit vi. Nor Azmi bin Abd Karim (SP6) – ahli kimia vii. Mohd Helmi bin Mohd Yunos (SP7) – jurugambar viii. Muhammad Junaidi bin Jumali (SP8) – pegawai penyiasat [4] Fakta ringkas kes pendakwaan adalah seperti berikut: a) Pada 28.11.2018, lebih kurang jam 11.30 pagi, satu pasukan yang terdiri daripada 5 orang daripada Kementerian Kesihatan Malaysia telah masuk dan menjalankan serbuan ke atas premis Sainuka Habib Sdn Bhd (Farmasi Materia Medica) beralamat di No 6, Jalan Berjuntai 1 Pusat Bandar Batang Berjuntai 45600 Bestari Jaya, Selangor. b) Sebelum serbuan dijalankan oleh SP3, dua uji beli 1 keluaran yang mempunyai Omeprazole telah dilakukan pada hari yang sama, jam 11.15 pagi oleh SP1 (agen provokatur) manakala jam 11.20 pagi oleh SP2 (agen provokatur) di premis yang sama iaitu Farmasi Materia Medica. Kedua-dua uji beli dijalankan atas arahan SP3 yang merupakan ketua serbuan. c) Semasa dua uji beli dikatakan berlaku, ahli farmasi berlesen iaitu Luqman Nul Islam (wakil OKS) tidak hadir semasa uji beli dilakukan oleh SP1 dan SP2 dengan SP5 iaitu juru jual bernama Siti Zulaiha. Fakta kes pendakwaan adalah bahawa Ahli Farmasi berlesen iaitu Muhammad Luqman Nul Islam Bin Yusoff mempunyai pengetahuan langsung akan penjualan 1 kerajang Omilock 20mg (setiap satu uji beli) oleh SP5 kepada SP1 dan SP2. d) Berdasarkan keterangan saksi-saksi pendakwaan, pada tarikh dan masa seperti yang dinyatakan dalam pertuduhan, SP3 bersama-sama 4 lagi anggota serbuan telah masuk ke premis tersebut untuk menjalankan pemeriksaan menurut kuasa yang diperuntukkan di bawah Seksyen 31(8) Akta Racun 1952. Sebelum pemeriksaan dijalankan ke atas premis tersebut, 2 uji beli telah dilakukan oleh SP1 dan SP2 yang mana mereka setiap seorang telah membeli 1 kerajang Omilock 20mg yang diisi di dalam sampul ubat label Farmasi Materia Medica daripada SP5 tanpa preskripsi. e) Setelah itu, SP3 telah masuk dan memperkenalkan diri serta anggota serbuan dengan menunjukkan kad kuasa dan menerangkan tujuan lawatan kepada SP5. Kemudian, SP3 telah mengarahkan SP1 dan SP2 untuk masuk ke dalam premis bagi membuat pengecaman dan mereka berdua telah mengenal pasti SP5 sebagai orang yang menyediakan keluaran yang dibeli, yang menerima wang uji beli serta yang menyerahkan wang baki. Mereka juga memaklumkan yang keluaran yang dibeli diambil dari kabinet racun di belakang kaunter dan wang yang digunakan disimpan di dalam mesin daftar tunai di kaunter pembayaran. f) Kemudian, seorang lelaki yang memperkenalkan dirinya Luqman Nul Islam (wakil OKS) yang mana beliau mengaku sebagai ahli farmasi dan pengurus premis tersebut. SP3 telah menjalankan pemeriksaan dengan dibantu oleh anggota pasukan di hadapan wakil OKS. g) Dalam pemeriksaan tersebut, beberapa keping wang kertas telah dirampas. Turut dirampas adalah 20 kotak "Omilock 20mg" (2x7 capsules) – P26 (1-20) , 1 keping wang kertas RM 50 no.siri GP7670590 – P6c , 1 keping wang kertas RM 50 no. siri JU0393333 – P15 , Sampul ubat label Farmasi Materia Medica – P7 & 16 dan 1 buku warna biru Poison B – P28. Kesemua yang dirampas telah disenaraikan ke dalam Senarai Bongkar dan diserahkan satu salinan kepada Luqman Nul Islam (wakil OKS) setelah beliau menandatanganinya. Kesemua barangan tersebut telah dirampas dan disenaraikan dalam Senarai Bongkar – P25 (a-b). h) Produk yang dirampas dan produk ujibeli dari premis tersebut telah dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia untuk dianalisa. Selepas dianalisa, didapati produk ujibeli dan produk rampasan disahkan mengandungi Omeprazole iaitu racun yang disenaraikan dalam Jadual Pertama Akta racun 1952 seperti dalam Laporan Kimia bertarikh 17.4.2019 – P40 dan dikemukakan melalui keterangan SP6. Beban Pembuktian Di Akhir Kes Pendakwaan [5] Pada akhir kes pendakwaan, adalah tanggungjawab pihak pendakwaan untuk membuktikan satu kes prima facie terhadap OKS. Tugas mahkamah pula ialah untuk membuat penilaian secara maksima semua keterangan yang dikemukakan oleh saksi-saksi pendakwaan dan setelah penilaian ke atas keterangan saksi-saksi tersebut termasuk aspek kebolehpercayaan atau kredibiliti saksi-saksi, mahkamah hendaklah bertanya soalan sama ada sekiranya mahkamah memanggil OKS untuk membela diri dan jika OKS memilih untuk mendiamkan diri adakah mahkamah bersedia utuk mensabitkan OKS berdasarkan kepada keseluruhan keterangan yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan. Sekiranya mahkamah tidak berada dalam kedudukan untuk berbuat demikian maka pihak pendakwaan telah gagal untuk membuktikan satu kes prima facie terhadap OKS. Oleh yang demikian, OKS berhak dilepaskan dan bebaskan. Mahkamah merujuk kepada kes-kes; (LOOI KOW CHAI & ANOR V. PP [2003] 1 CLJ 734; BALACHANDRAN V. PP [2005] 1 CLJ 85; PP V. MOHD RADZI ABU BAKAR [2006] 1 CLJ 457). [6] Merujuk kepada kedua-dua pertuduhan seperti yang dizahirkan di perenggan [2], mahkamah ini mendapati terdapat 3 seksyen penting yang dikemukakan dalam setiap pertuduhan tersebut iaitu Seksyen 21(1) Akta Racun 1952, Seksyen 13(b) dibaca bersama Seksyen 32(4) Akta yang sama. Maka, adalah baik bagi mahkamah ini memperturunkan seksyen-seksyen tersebut untuk penelitian bersama: Seksyen 21 (1)