Content
1 DALAM MAHKAMAH MAJISTRET DI TEMERLOH DALAM NEGERI PAHANG DARUL MAKMUR [CB-85-153-07/2023] PENDAKWA RAYA LAWAN DHEVRAAM A/L VERAMANI NO. K/P: 010819-10-0923 ALASAN PENGHAKIMAN
CB-85-153-07/2023
Magistrates Court of Malaysia26 Sept 2025
The written judgment as the court issued it, with the coram, case number, and source links. Every paragraph has its own anchor.
Citations and treatment detected automatically from later judgments and the authorities this decision relies on.
Later cases and laws citing this decision
Not yet cited by a later decision.
Earlier cases and laws this decision relies on
“21. Dua kes terkini yang dilaporkan berkenaan isu ini telah diputuskan oleh Mahkamah Tinggi. Kes Pendakwa Raya lwn. Linges A/L Ragunathan dan lain-lain kes [2024] MLJU 1125 (“Linges”) dalam Mahkamah Tinggi di Temerloh dan kes Ezreen Nasuha bt Razuli v. Public Prosecutor [2025] 8 MLJ 300 (“Ezreen Nasuha”) dalam Mahkamah”
Auto-detected from judgment text; not a substitute for a citator check.
Content
1 DALAM MAHKAMAH MAJISTRET DI TEMERLOH DALAM NEGERI PAHANG DARUL MAKMUR [CB-85-153-07/2023] PENDAKWA RAYA LAWAN DHEVRAAM A/L VERAMANI NO. K/P: 010819-10-0923 ALASAN PENGHAKIMAN
1
Orang kena saman (“OKS”) dalam kes ini dituduh untuk satu kesalahan di bawah subseksyen 29(1) Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 (“AKK”). Pertuduhan tersebut adalah seperti berikut: Pertuduhan “BAHAWA KAMU NAMA DHEVRAAM A/L VERAMANI NOMBOR KAD PENGENALAN 010819-10-0923 PADA 09/06/2021 BERTEMPAT DI TAMAN SRI KEMUNING, DI DALAM DAERAH TEMERLOH DALAM NEGERI PAHANG DARUL MAKMUR, TELAH MENERIMA WANG BERJUMLAH RM 5,200.00 KEPUNYAAN NUR SHAKERAH BINTI RAZALI, NOMBOR KAD PENGENALAN 991215-06-5080 SECARA FROD KE DALAM AKAUN MAYBANK, NO. AKAUN: 162900173570 MILIK KAMU YANG MANA KAMU TIDAK DAPAT MEMBERIKAN KETERANGAN YANG MEMUASKAN TENTANG BAGAIMANA KAMU MEMPEROLEHINYA. OLEH YANG DEMIKIAN KAMU TELAH MELAKUKAN SATU KESALAHAN YANG BOLEH DI HUKUM DIBAWAH SEKSYEN 29(1) AKTA KESALAHANKESALAHAN KECIL 1955 (AKTA 336).”
2
OKS tidak mengaku salah terhadap pertuduhan dan telah mohon untuk dibicarakan.
3
Selepas pihak pendakwaan menutup kes dan sebelum Mahkamah memberikan keputusan akhir kes pendakwaan, Mahkamah ini telah meminda pertuduhan seperti berikut di bawah seksyen 158 Kanun Tatacara Jenayah (“KTJ”): Pertuduhan Pindaan “BAHAWA KAMU PADA 09/06/2021 BERTEMPAT DI NO 6 PERMAI 1, TAMAN SRI KEMUNING, DI DALAM DAERAH TEMERLOH DALAM NEGERI PAHANG DARUL MAKMUR, TELAH DIDAPATI MEMILIKI SEJUMLAH WANG RM5,200.00 KEPUNYAAN NUR SHAKERAH BINTI RAZALI (NO. KP: 991215-06-5080) YANG DISYAKI DENGAN MUNASABAH DIPEROLEHI SECARA FRAUD DI DALAM AKAUN MAYBANK NO. AKAUN: 162900173570 MILIK KAMU YANG MANA KAMU GAGAL MEMBERIKAN PENJELASAN YANG MEMUASKAN BAGAIMANA WANG TERSEBUT BERADA DI DALAM AKAUN MILIK KAMU. OLEH YANG DEMIKIAN KAMU TELAH MELAKUKAN SATU KESALAHAN YANG BOLEH DIHUKUM DIBAWAH SUBSEKSYEN 29(1) AKTA KESALAHAN KECIL 1955 [AKTA 336].”
4
OKS tidak mengaku salah terhadap pertuduhan pindaan ini dan pihak-pihak telah nyatakan tiada keperluan untuk mana-mana saksi dipanggil untuk diperiksa semula di bawah seksyen 162 KTJ. Pada akhir kes pendakwaan, Mahkamah ini telah memanggil OKS untuk membela diri terhadap pertuduhan pindaan tersebut.
5
OKS telah memberikan keterangan bersumpah dari kandang saksi. Pada akhir kes, Mahkamah ini telah melepaskan dan membebaskan OKS daripada pertuduhan pindaan.
6
Berdasarkan perenggan 173(h)(i) KTJ, Mahkamah seharusnya memutuskan sama ada pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan satu kes prima facie terhadap OKS. Perenggan 173(h)(i) KTJ juga memperuntukkan bahawa beban pembuktian pihak pendakwaan di akhir kes pendakwaan adalah suatu kes prima facie. Perenggan 173(h)(iii) KTJ selanjutnya menjelaskan bahawa satu kes prima facie wujud apabila bukti yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan mewajarkan satu sabitan kes atas OKS sekiranya tidak disangkal oleh OKS. Sekiranya kes prima facie dibuktikan oleh pihak pendakwaan, maka OKS akan dipanggil untuk membela diri.
7
Mahkamah ini juga sedia maklum dengan prinsip-prinsip di dalam kes Balachandran v. PP [2005] 1 CLJ 85, Looi Kow Chai & Anor v. PP [2003] 1 CLJ 734, PP v. Mohd Radzi Bin Abu Bakar [2006] 1 CLJ 457 dan Dato' Mokhtar bin Hashim & Anor v. Public Prosecutor [1983] 1 CLJ 138 berkenaan tugas Mahkamah ini pada akhir kes pendakwaan.
8
Oleh itu, Mahkamah ini akan menimbangkan sama ada pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan kes prima facie terhadap OKS atau tidak dengan menilai keterangan pihak pendakwaan secara maksimum dan bertanya kepada dirinya sendiri: sekiranya Mahkamah ini memutuskan untuk memanggil OKS membela diri dan dia memilih untuk berdiam diri, adakah Mahkamah bersedia untuk mensabitkannya berdasarkan keseluruhan keterangan yang terkandung dalam kes pendakwaan?
9
Pihak pendakwaan telah memanggil sebanyak 5 orang saksi dalam kes ini iaitu: SP1: Nur Shakerah binti Razali – Pengadu SP2: Badlisham bin Hamzah – Pegawai Bank Maybank Cawangan Bandar Bukit Tinggi SP3: Ruzhan bin Abdul Razak – Pegawai Bank Maybank Cawangan Temerloh SP4: Insp Ahmad Aizuddin bin Mohammed – Pegawai Tangkapan SP5: Sjn Muhamad Nazrul bin Muhamad – Pegawai
10
SP1 telah menyatakan bahawa pada 9 Jun 2021, beliau telah menerima pesanan daripada satu akaun media sosial Instagram dengan nama pengguna akaun “miss_dena_coin_collector” yang kemudiannya telah menghantar pesanan Whatsapp kepada SP1 dengan nama “Miss Dena”.
11
SP1 menghantar gambar wang syiling lama yang ingin dijual kepada “Miss Dena” tersebut dan “Miss Dena” menyatakan bahawa dia hendak membeli wang syiling tersebut dengan harga RM200,000.00. SP1 bersetuju untuk menjual wang syiling beliau kepada “Miss Dena”.
12
Namun begitu, SP1 telah dimaklumkan oleh “Miss Dena” bahawa bayaran akan dibuat melalui pindahan wang dari luar negara ke Malaysia dan SP1 perlu membuat “bayaran” terlebih dahulu untuk proses pindahan wang tersebut serta untuk pembayaran cukai.
13
Oleh itu, bayaran dibuat oleh SP1 kepada “Miss Dena” pada 9 Jun 2021 dengan memindahkan wang sebanyak 4 kali dengan nilai RM850, RM2000, RM1500 dan RM850 daripada akaun bank SP1 ke satu akaun bank Maybank dengan nombor 162900173570 atas nama OKS (“akaun bank OKS”) melalui perbankan atas talian (“online banking”). Jumlah pindahan wang online banking yang dibuat oleh SP1 ini adalah sebanyak RM5200. Transaksi-transaksi ini disahkan berlaku oleh SP2 dan
14
Setelah itu, SP1 menerima pesanan Whatsapp daripada nombor lain yang menyatakan bahawa wang SP1 telah disekat dan SP1 perlu membuat bayaran sebanyak RM4000 lagi. Pada ketika itulah SP1 merasakan telah ditipu dan membuat laporan polis Mentakab/003365/21 (“P1”).
15
OKS telah ditangkap dan dikenalpasti sebagai pemilik akaun bank Maybank dengan nombor 162900173570 yang menerima wang sebanyak RM5200 yang dipindahkan oleh SP1. SP2 memberikan keterangan bahawa akaun bank OKS dibuka oleh OKS pada 13 Ogos 2018. SP2 juga menyatakan bahawa jumlah RM5200 tersebut kemudiannya telah dipindahkan keluar daripada akaun bank OKS kepada akaun bank perniagaan yang bernama “Johnny Network Enterprise” pada hari yang sama.
16
Bagi pertuduhan di bawah subseksyen 29(1) AKK, elemen kesalahan yang perlu dibuktikan (berdasarkan pertuduhan yang dihadapi oleh OKS) oleh pihak pendakwaan adalah: a. OKS didapati dalam milikan sesuatu yang disyaki secara munasabah telah diperoleh secara fraud; dan b. OKS telah gagal untuk memberikan penjelasan yang memuaskan bagaimana sesuatu yang disyaki secara munasabah telah diperoleh secara fraud itu berada dalam miliknya.
17
SP1 telah memberikan keterangan bahawa beliau merasakan dirinya telah ditipu untuk memasukkan wang sebanyak RM5200 ke dalam akaun bank OKS. Keterangan SP1 yang menyatakan bahawa beliau telah mengalami jumlah kerugian sebanyak RM5200 menunjukkan bahawa beliau tidak mendapatkan kembali RM5200 tersebut. Oleh itu, RM5200 milik SP1 yang berada di dalam akaun bank OKS adalah wang yang disyaki secara munasabah telah diperoleh secara fraud.
18
Keterangan SP2 pula menyatakan bahawa akaun bank Maybank dengan nombor 162900173570 merupakan akaun bank yang dibuka dan dimiliki oleh OKS.
19
Oleh itu, isu yang perlu diputuskan oleh Mahkamah ini adalah sama ada wang SP1 yang berada di dalam akaun bank OKS boleh dikira sebagai OKS memiliki sesuatu (“anything”) yang disyaki secara munasabah telah diperoleh secara fraud.
20
Mahkamah ini mendapati bahawa tiada kes Mahkamah Rayuan yang dilaporkan yang telah memutuskan sama ada wang yang didapati dalam akaun bank seseorang tertuduh boleh dikira sebagai dalam milikan sesuatu yang secara munasabah disyaki diperoleh secara fraud bagi maksud subseksyen 29(1) AKK atau tidak.
21
Dua kes terkini yang dilaporkan berkenaan isu ini telah diputuskan oleh Mahkamah Tinggi. Kes Pendakwa Raya lwn. Linges A/L Ragunathan dan lain-lain kes [2024] MLJU 1125 (“Linges”) dalam Mahkamah Tinggi di Temerloh dan kes Ezreen Nasuha bt Razuli v. Public Prosecutor [2025] 8 MLJ 300 (“Ezreen Nasuha”) dalam Mahkamah Tinggi di Sibu bercanggah dalam dapatannya berkenaan isu ini.
22
Walau bagaimanapun, mengikut kes Public Prosecutor v. Ahmad Saiful Islam bin Mohamad [2023] 2 MLJ 950, dalam situasi terdapatnya dua keputusan Mahkamah Tinggi yang bercanggah, Mahkamah Majistret mempunyai budi bicara untuk memilih keputusan Mahkamah Tinggi yang pada pandangannya lebih sesuai untuk diikuti tanpa mengambil kira tarikh keputusan tersebut diberikan.
23
Oleh itu, selagi isu ini masih tidak diputuskan oleh Mahkamah Rayuan, Mahkamah ini memilih untuk mengikuti keputusan Mahkamah Tinggi di Temerloh dalam kes Linges yang mana Roslan Mat Nor H telah menyatakan: “Adalah jelas dan nyata bahawa apabila pengadu memasukkan wang tersebut ke dalam akaun Responden-Responden maka pengadu telah mengakibatkan dia kehilangan salah (wrongful loss) dan telah memberikan kedapatan salah (wrongful gain) kepada Responden-Responden. Wang tersebut telah secara curang diperolehi oleh Responden-Responden dalam akaun mereka. Adalah menjadi tanggungjawab mereka untuk menjelaskan kepada Mahkamah bagaimana wang tersebut boleh berada di dalam akaun mereka. Pada hemat Mahkamah ia sudah memadai untuk maksud seksyen 29 Akta Kesalahan Kecil 1955. Oleh itu tidak timbul sama ada wang dalam akaun tersebut adalah tergolong sebagai harta atau tidak. Ini adalah disebabkan wang tersebut adalah dimiliki secara tipuan berada dalam akaun Responden-Responden yang menyebabkan pengadu telah mengalami kehilangan salah (wrongful loss).” (penekanan ditambah)
24
Oleh itu, berdasarkan kepada keterangan SP1 serta SP2 dan mengikut kes Linges, Mahkamah memutuskan seperti berikut: a. OKS didapati memiliki sejumlah wang RM5,200.00 yang dipindahkan oleh SP1 ke dalam akaun bank Maybank No. Akaun: 162900173570 yang dibuka dan dimiliki oleh OKS. b. Wang RM5,200.00 tersebut adalah sesuatu yang boleh disyaki dengan munasabah diperolehi secara fraud; dan c. Pada tahap ini, tiada penjelasan yang memuaskan mengenai bagaimana wang berjumlah RM5,200.00 yang disyaki diperoleh melalui fraud boleh berada dalam akaun bank OKS.
25
Dengan itu, Mahkamah ini telah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan satu kes prima facie terhadap OKS dan memanggil OKS untuk membela diri.
26
Setelah Mahkamah ini memberikan keputusan di akhir kes pendakwaan, Mahkamah ini telah membaca dan menerangkan kepada OKS berkenaan tiga pilihan yang boleh dibuat oleh OKS sepertimana yang terkandung dalam subseksyen 173(ha) KTJ iaitu: a. untuk memberikan keterangan bersumpah dalam kandang saksi; b. untuk memberikan pernyataan tidak bersumpah dari kandang tertuduh; atau c. untuk berdiam diri.
27
OKS dalam kes ini telah memilih untuk memberikan keterangan bersumpah dari kandang saksi.
28
Pada kes pembelaan, OKS telah menyatakan bahawa dia telah memberikan butiran dan kawalan akaun bank OKS termasuk kata laluan online banking akaun bank OKS kepada pihak ketiga yang tidak dikenali pada bulan Jun 2021. Maklumat tersebut diberikan kepada seorang yang dikatakan berbangsa melayu melalui aplikasi Whatsapp atas alasan mendapatkan wang sambilan dengan kerja sambilan (“part-time”) yang ditawarkan. OKS menyatakan bahawa tidak sedar akan akibat memberikan butiran dan kawalan akaun banknya kepada pihak ketiga kerana ketika memberikan butiran dan kawalan tersebut, dia hanya berumur 20 tahun.
29
OKS menyatakan bahawa dia tidak tahu bahawa SP1 telah memindahkan wang sebanyak RM5,200.00 ke dalam akaun bank OKS serta tidak mengenali SP1. OKS juga menyatakan bahawa dia tahu bahawa kesemua wang tersebut telah dipindahkan keluar kepada akaun satu “Johnny Network Enterprise” hanya setelah dimaklumkan oleh peguambela OKS. Setiap pindahan wang tidak dibuat oleh OKS dan OKS tidak mengesahkan atau meluluskan pindahan wang daripada akaun bank OKS kepada “Johnny Network Enterprise” tersebut.
30
OKS juga mengemukakan percakapan dalam pemeriksaannya (“D9”) yang inter alia menjelaskan perkara yang lebih kurang sama. TUGAS MAHKAMAH PADA AKHIR KES UNTUK SATU
31
Perenggan 173(m)(i) KTJ jelas menyatakan tugas Mahkamah pada penutupan perbicaraan iaitu Mahkamah hendaklah menimbangkan segala keterangan yang dikemukakan di hadapannya dan hendaklah memutuskan sama ada pihak pendakwaan telah membuktikan kesnya tanpa keraguan yang munasabah.
32
Mahkamah Agong dalam kes Mohamad Radhi bin Yaakob v. Public Prosecutor [1991] 1 CLJ (Rep) 311; [1991] 3 MLJ 169 juga telah menjelaskan seperti berikut: “To earn an acquittal, the court may not be convinced of the truth of the defence story or version. Raising a reasonable doubt in the guilt of the accused will suffice. It is not, however, wrong for the court to be convinced that the defence version is true, in which case the court must order an acquittal. In appropriate cases it is also not wrong for the court to conclude that the defence story is false or not convincing, but in that instance, the court must not convict until it asks a further question, that even if the court does not accept or believe the defence explanation, does it nevertheless raise a reasonable doubt as to his guilt? It is for this reason that in dealing with the defence story or explanation, the majority of judges rightly prefer to adopt straightaway the legally established 'reasonable doubt' test, rather than to delve in the 'believable and convincing' test before applying the 'reasonable doubt' test.”.
33
Dalam kes Gunalan Ramachandran & Ors v. PP [2006] 1 CLJ 857, Arifin Zakaria HMP menyatakan seperti berikut: “In our criminal law at the close of the defence case what the court needs to decide is whether the defence had succeeded to raise any reasonable doubt on the prosecution case. If the answer is in the positive then the accused person is without more entitled to his acquittal. It has to be remembered always that at no time, except in special circumstances, the burden of proof is cast on the defence: the burden rest all throughout on the prosecution to prove its case beyond any reasonable doubt. (See Mohamad Radhi bin Yaakob v. Public Prosecutor [1991] 3 CLJ 2073; [1991] 1 CLJ (Rep) 311). The issue here is whether the accused had in the circumstances raised a reasonable doubt on the prosecution case.”.
34
Oleh itu, adalah jelas tugas Mahkamah pada tahap ini adalah untuk menentukan sama ada OKS telah berjaya menimbulkan satu keraguan munasabah atau tidak.
35
Untuk satu pertuduhan di bawah subseksyen 29(1) AKK yang melibatkan wang yang disyaki diperoleh melalui fraud di dalam sebuah akaun bank, Mahkamah juga perlu menilai dengan khususnya penjelasan OKS terhadap wang yang berada di dalam akaun banknya.
36
Sekiranya subseksyen 29(1) AKK hanya berbunyi “Any person who has in his possession or conveys in any manner anything which may be reasonably suspected of being stolen or fraudulently obtained shall be liable to a fine not exceeding one thousand ringgit or to imprisonment for a term not exceeding one year or to both”, maka OKS semestinya akan didapati bersalah dan disabitkan seperti dalam pertuduhan pada tahap ini.
37
Namun begitu, perkara yang perlu ditekankan adalah subseksyen 29(1) AKK turut mengandungi syarat “if he fails to account satisfactorily how he came by the same”.
38
Mahkamah ini dibimbing oleh kes Arunasalam Thevar v. Public Prosecutor [1956] 1 MLJ 109 yang mana Thompson H telah menyatakan 2 persoalan utama yang harus dijawab oleh mahkamah perbicaraan dalam kes yang dibicarakan di bawah subseksyen 29(1) AKK. Thompson H menyatakan: “Now on that there were two questions to be decided one way or the other before there could be any decision as to whether the appellant was to be convicted. The first of these questions was:— Was he carrying something that might be reasonably suspected of being stolen? That was a question to be answered by the Magistrate on a consideration of all the surrounding circumstances. The second question was:— If it were something reasonably suspected of being stolen, did he give a satisfactory account of how he came by it? That, again, was for the Magistrate to decide in the light of the circumstances as a whole. And I hope it is unnecessary for me to observe that it was a question for the Magistrate as a reasonable prudent man as to whether or not the explanation given by the appellant, whether it was given to the Police or whether it was given in Court to the Magistrate himself, was a satisfactory explanation.”
39
Oleh itu, OKS hanya boleh disabitkan dalam kes ini sekiranya penjelasan yang diberikan kepada Mahkamah ini bukan suatu penjelasan yang memuaskan untuk menjelaskan bagaimana OKS memiliki sejumlah wang RM5,200.00 yang disyaki diperolehi secara fraud di dalam akaun bank OKS.
40
Tugas Mahkamah pada tahap ini adalah untuk menentukan sama ada penjelasan yang diberikan ini adalah suatu penjelasan yang memuaskan (“account satisfactorily”). Beban ini adalah berbeza sekali dengan suatu penjelasan yang munasabah. Menjelaskan sesuatu secara memuaskan (“satisfactorily”) adalah lebih ringan bebannya berbanding menjelaskan sesuatu secara munasabah (“reasonable”).
41
Mahkamah ini berpandangan, walaupun wang SP1 telah berada di dalam akaun bank OKS dan wang itu adalah wang yang disyaki diperolehi secara fraud, OKS tidak mempunyai kaitan dengan pindahan wang tersebut melainkan hanya merupakan pemilik akaun bank. Tiada keterangan yang menunjukkan OKS mempunyai peranan yang aktif dalam aktiviti penipuan terhadap
42
Dalam keadaan apabila sejumlah wang dimasukkan secara rawak ke dalam sesuatu akaun bank tanpa tujuan yang jelas (sama ada akibat fraud atau kesilapan), dan pemilik akaun bank menjelaskan bahawa beliau tidak kenal siapa yang memindahkan masuk wang tersebut serta tidak sedar bagaimana wang tersebut dimasukkan ke dalam akaun banknya, penjelasan itu bukan sesuatu yang tidak boleh dipercayai atau tidak munasabah.
43
Nombor akaun bank seseorang bukanlah sesuatu rahsia. Ia bolehlah diberikan sewenang-wenangnya kepada sesiapa sahaja untuk tujuan penerimaan bayaran wang ke dalam akaun banknya. Malah pada era digital abad ke-21 ini, peniaga-peniaga termasuk peniaga kecil-kecilan turut mempamerkan kod QR bersama dengan/atau nombor akaun bank secara terbuka untuk menerima bayaran ketika berusniaga.
44
Lebih lagi, melalui perkhidmatan pindahan wang segera DuitNow, seseorang boleh membuat pemindahan wang ke dalam akaun bank penerima dengan hanya menggunakan nombor telefon atau nombor kad pengenalan penerima tersebut.
45
Pemilik akaun bank tidak boleh dipersalahkan atas apa yang telah dilakukan oleh pihak ketiga yang memindahkan wang masuk ke dalam akaun bank pemilik akaun bank kerana beliau tidak mempunyai kuasa untuk menghalang seseorang memindahkan wang ke dalam akaun banknya.
46
Oleh itu, sekiranya seseorang pemilik akaun bank memberikan penjelasan bahawa beliau tidak kenal siapa yang memindahkan atau tidak tahu bagaimana sejumlah wang dipindahkan masuk ke dalam akaun banknya tanpa apa-apa sebab, ia boleh dianggap memadai sebagai suatu penjelasan yang memuaskan bagi tujuan subseksyen 29(1) AKK.
47
Pada hemat Mahkamah ini, subseksyen 29(1) AKK merupakan suatu undang-undang yang digubal pra-merdeka yang mana internet apatah lagi online banking adalah sesuatu yang masih belum wujud. Ia merupakan undang-undang yang tidak digubal secara khusus untuk menangani jenayah siber.
48
Mahkamah ini memetik kata-kata Wong Siong Tung H dalam kes Ezreen Nasuha yang menyatakan: “[24] The court’s role is to interpret, ensuring that the intentions of the Legislature are adhered to and apply the law as enacted by the Legislature, not to create or legislate new laws. If there are perceived loopholes or inadequacies in the law, particularly concerning emerging commercial crimes, it is the responsibility of the legislature to address these issues through new legislation or amendments to existing laws.”
49
Dalam mempertimbangkan tindakan OKS dalam kes ini, “perbuatan salah” (“wrongdoing”) OKS hanyalah memberikan butiran dan kawalan online banking akaun bank OKS kepada pihak ketiga.
50
Walaupun tindakan ini secara langsung membantu sindiket penipuan dalam aktiviti penipuan mereka, memberikan butiran dan kawalan online banking akaun bank kepada pihak ketiga (sama ada dengan pegetahuan bahawa akaun bank tersebut akan digunakan untuk tujukan jenayah atau tidak) bukan merupakan suatu kesalahan di sisi undang-undang pada ketika OKS melakukan sebegitu. Sewaktu OKS berbuat begitu, ia sekadar suatu tindakan yang tidak bertanggungjawab dan bukan suatu kesalahan jenayah.
51
Undang-undang untuk menjadikan pemberian kawalan ke atas instrumen pembayaran atau akaun di institusi kewangan kepada pihak ketiga suatu kesalahan jenayah juga telahpun digubal di bawah Akta A1721 dalam bentuk seksyen 424B Kanun Keseksaan. Akta A1721 berkuatkuasa pada 30 Oktober 2024 iaitu selepas OKS dipertuduhkan di Mahkamah ini.
52
Oleh itu, penjelasan OKS bahawa dia: a. tidak kenal siapa yang memindahkan wang sebanyak RM5,200 serta tidak tahu bagaimana ia boleh berada di dalam akaun bank OKS; dan b. memberikan butiran dan kawalan online banking akaun bank OKS kepada pihak ketiga untuk tujuan mendapatkan wang sambilan dengan kerja sambilan untuk menjelaskan sebab bagaimana wang yang boleh disyaki dengan munasabah diperolehi secara fraud berada di dalam akaun bank OKS merupakan suatu penjelasan yang memuaskan bagi tujuan “account satisfactorily” di bawah subseksyen 29(1) AKK.
53
Mahkamah ini juga berpandangan bahawa penjelasan ini adalah suatu penjelasan yang telus dan bukanlah sesuatu yang direka mahupun afterthought. Perkara yang sama juga telah dinyatakan dalam D9.
54
Setelah mendengar keseluruhan keterangan yang dikemukakan oleh OKS dan mempertimbangkannya terhadap kes pihak pendakwaan, Mahkamah ini memutuskan bahawa pihak pembelaan telah berjaya menimbulkan satu keraguan yang munasabah. Penjelasan yang diberikan oleh OKS semasa memberikan keterangan di Mahkamah ini merupakan suatu penjelasan yang memuaskan. Oleh itu, pihak pendakwaan telah gagal membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.
55
Demikian, OKS dilepaskan dan dibebaskan daripada pertuduhan yang dipertuduhkan di Mahkamah ini. Wang jaminan dikembalikan.
56
Bukan niat Mahkamah ini untuk menyatakan bahawa semua kes yang mana terdapat individu yang didapati dalam milikan sejumlah wang yang secara munasabah disyaki diperoleh secara fraud dalam akaun banknya tidak boleh disabitkan di bawah subseksyen 29(1) AKK.
57
Sekiranya pihak pendakwaan mendakwa seseorang di bawah subseksyen 29(1) AKK kerana memiliki sejumlah wang yang secara munasabah disyaki diperoleh secara fraud dalam akaun banknya, dan individu tersebut mengaku salah tanpa syarat, maka pengakuan salah itu sendiri menunjukkan bahawa tiada penjelasan dikemukakan berhubung wang dalam akaun bank tersebut. Demikian, ia secara langsung memenuhi syarat “fails to account satisfactorily how he came by the same” di bawah subseksyen 29(1) AKK. Dalam situasi sebegitu, Mahkamah boleh mensabitkan OKS atas pertuduhan berkenaan. Bertarikh 30hb November 2025 TAN CHIEW KING MAJISTRET MAHKAMAH MAJISTRET (1) TEMERLOH PAHANG Pihak-pihak: Pihak Pendakwaan: Adriana binti Azrin (Timbalan Pendakwa Raya) Peguambela bagi Kengadharan A/L Ramasamy OKS: (R Kengadharan & Co.)
Wrong text, a broken link, out-of-date content, or a removal request — tell us and we'll check it against the official source.