Content
1 DALAM MAHKAMAH MAJISTRET DI TANAH MERAH DALAM NEGERI KELANTAN DARUL NAIM, MALAYSIA KES TANGKAP NO.: DC-83D-302-02/2024 ANTARA PENDAKWA RAYA … PENDAKWAAN
DC-83D-302-02/2024
Magistrates Court of Malaysia28 May 2025
The written judgment as the court issued it, with the coram, case number, and source links. Every paragraph has its own anchor.
Citations and treatment detected automatically from later judgments and the authorities this decision relies on.
Later cases and laws citing this decision
Not yet cited by a later decision.
Earlier cases and laws this decision relies on
“fenomena jenayah berulang yang menuntut respon kehakiman yang lebih tegas dan berkesan melalui penghukuman (lihat Lee Chow Meng v. PP [1975] 1 LNS 80; [1976] 1 MLJ 287; PP v. Saifulzainizam Mat Nasir [2021] CLJU 1074; [2021] 1 LNS 1074). [9] Hukuman tersebut bukan sahaja untuk pemulihan tertuduh, tetapi turut berfungsi”
Auto-detected from judgment text; not a substitute for a citator check.
Content
1 DALAM MAHKAMAH MAJISTRET DI TANAH MERAH DALAM NEGERI KELANTAN DARUL NAIM, MALAYSIA KES TANGKAP NO.: DC-83D-302-02/2024 ANTARA PENDAKWA RAYA … PENDAKWAAN
1
MOHD AKMAL BIN AB KHALIL
2
WAN MUHAMAD MUSTAQIM BIN WAN ISMAIL
3
LOKMAN NUR HAKIM BIN GHANI (NO. K/P: 900109-03-6239) … TERTUDUH-TERTUDUH ALASAN PENGHAKIMAN PENDAHULUAN [1] Alasan penghakiman ini disediakan berikutan Notis Rayuan yang difailkan oleh tertuduh, Lokman Nur Hakim bin Ghani, pada 05.06.2025, terhadap hukuman pemenjaraan yang telah dijatuhkan oleh Mahkamah ini pada 28.05.2025. Rayuan ini hanya melibatkan aspek hukuman. Oleh yang demikian, segala dapatan dan pertimbangan Mahkamah dalam penghakiman ini adalah terhad kepada tertuduh berkenaan sahaja. [2] Pada 13.02.2024, tertuduh telah dituduh atas dua kesalahan berkaitan pemilikan bersama racun berjadual di bawah Akta Racun 1952 [Akta 366]. Pertuduhan-pertuduhan tersebut adalah seperti berikut: Pertuduhan Pertama “Bahawa kamu bersama sama pada 10/02/2024 jam lebih kurang 1.55 pagi, bertempat di sebuah rumah beralamat kampung Jedok, di dalam daerah Tanah Merah, dalam negeri Kelantan, di dapati ada dalam kawalan kamu bersama sama cecair warna keperangan mengandungi racun jenis “Mitragynine” isipadu bersih 500 mililiter. Oleh yang demikian kamu bersama sama telah melakukan satu kesalahan di bawah seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan boleh di hukum di bawah seksyen 30(5) Akta yang sama dan dibaca bersama seksyen 34 Kanun Keseksaan.” Pertuduhan Kedua “Bahawa kamu bersama sama pada 10/02/2024 jam lebih kurang 1.55 pagi, bertempat di sebuah rumah beralamat kampung Jedok, di dalam daerah Tanah Merah, dalam negeri Kelantan, di dapati ada dalam kawalan kamu bersama sama racun jenis “Diphenhydramine” isipadu bersih 50 mililiter. Oleh yang demikian kamu bersama sama telah melakukan satu kesalahan di bawah seksyen 9(1) Akta Racun 1952 dan boleh di hukum di bawah seksyen 32(2) Akta yang sama dan dibaca bersama seksyen 34 Kanun Keseksaan.” [3] Pada peringkat awal kes ini, tertuduh telah mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan dan mohon untuk dibicarakan. Namun, pada 28.05.2025, tertuduh telah memohon agar pertuduhan-pertuduhan tersebut dibacakan semula. Setelah kedua-dua pertuduhan dibacakan kepada tertuduh dalam Bahasa Malaysia, tertuduh mengesahkan bahawa dia memahami sepenuhnya sifat pertuduhan dan akibat suatu pengakuan salah. Tertuduh kemudiannya mengaku bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan tersebut secara sukarela, tanpa paksaan, janji atau syarat. [4] Susulan itu, pihak pendakwaan telah mengemukakan fakta kes dan beberapa dokumen lain untuk ditandakan sebagai Ekshibit. Fakta kes yang ditandakan sebagai Ekshibit P4 telah dibacakan kepada tertuduh, dan tertuduh mengakuinya sepenuhnya tanpa pertikaian. [5] Setelah meneliti semua ekshibit serta menimbangkan faktor-faktor mitigasi dan pemberatan yang dihujahkan oleh pihak-pihak, Mahkamah telah mensabitkan tertuduh atas kedua-dua pertuduhan tersebut. Bagi pertuduhan pertama, Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 8 bulan, manakala bagi pertuduhan kedua, hukuman penjara 5 bulan. Mahkamah turut memerintahkan agar kedua-dua hukuman tersebut berjalan serentak dan hanya bermula selepas tertuduh selesai menjalani hukuman bagi kes no. DC-83D-37-01/2025 (“kes 37”). [6] Memandangkan rayuan ini hanya menyentuh aspek hukuman, Mahkamah tidak berhasrat untuk mengulas lanjut fakta kes ini (“kes 302”) yang telah diperakui sepenuhnya oleh tertuduh. Namun, Mahkamah hanya akan merujuk kepada beberapa fakta yang relevan sebagai asas pertimbangan terhadap hukuman yang telah dijatuhkan. PERTIMBANGAN MAHKAMAH MENGENAI HUKUMAN [7] Sepanjang tahun 2024, sebanyak 3,405 kes jenayah telah didaftarkan di Mahkamah Majistret Tanah Merah sahaja. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 2,541 kes (74.63%) melibatkan kesalahan berkaitan penyalahgunaan dan pemilikan racun berjadual, serta dadah berbahaya di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 [Akta 234] (“ADB”). Ini bersamaan dengan purata 211.75 kes sebulan, hanya bagi kategori kesalahan ini. [8] Statistik ini menunjukkan bahawa kesalahan-kesalahan tersebut bukan sahaja berleluasa, malah telah menjadi satu ancaman serius yang berakar dalam kalangan masyarakat setempat. Justeru, Mahkamah telah mengambil pengiktirafan kehakiman (judicial notice) terhadap kekerapan dan keseriusan masalah ini di Tanah Merah. Ia bukan lagi suatu insiden terpencil tetapi merupakan fenomena jenayah berulang yang menuntut respon kehakiman yang lebih tegas dan berkesan melalui penghukuman (lihat Lee Chow Meng v. PP [1975] 1 LNS 80; [1976] 1 MLJ 287; PP v. Saifulzainizam Mat Nasir [2021] CLJU 1074; [2021] 1 LNS 1074). [9] Hukuman tersebut bukan sahaja untuk pemulihan tertuduh, tetapi turut berfungsi sebagai amaran dan pencegahan bahawa Mahkamah tidak akan berkompromi dengan kesalahan ini. Dalam konteks jenayah yang berleluasa, sebarang kelonggaran dalam penghukuman hanya akan menjejaskan usaha pemulihan sosial dan memberikan isyarat yang salah kepada masyarakat setempat. Hukuman tegas adalah perlu demi menjaga kepentingan awam (lihat PP v. Ooi Teng Chian [2005] 4 CLJ 557; [2006] 1 MLJ 213; Tia Ah Leng v. PP [2004] 4 CLJ 77; [2004] 4 MLJ 249; Balanchandran v PP [2005] 1 CLJ 213; [2005] 2 MLJ 301). [10] Mahkamah mengambil maklum bahawa jumlah isipadu racun-racun yang dirampas adalah kecil. Namun, Mahkamah berpandangan bahawa faktor ini tidak boleh dijadikan asas pengurangan hukuman secara automatik. Dalam konteks jenayah yang berleluasa, jumlah yang kecil tetap berpotensi untuk menyebabkan ketagihan, penyalahgunaan dan kemudaratan kepada masyarakat. Maka, hukuman penjara 8 bulan dan 5 bulan bagi kedua-dua pertuduhan adalah wajar dan setimpal. [11] Dalam mempertimbangkan sama ada hukuman pemenjaraan bagi kes 302 wajar bermula selepas tamatnya hukuman bagi kes 37, Mahkamah berpandukan kepada peruntukan seksyen 292(1) Kanun Tatacara Jenayah (“KTJ”) yang memperuntukkan seperti berikut: “292 Commencement of sentence of imprisonment on prisoner already undergoing imprisonment
1
When a person who is an escaped convict or is undergoing a sentence of imprisonment is sentenced to imprisonment, such imprisonment shall commence either immediately or at the expiration of the imprisonment to which he has been previously sentenced, as the Court awarding the sentence may direct.” [12] Dalam kes Pendakwa Raya v. Ooi Wang San [1998] 3 CLJ 270, Mahkamah Rayuan menyatakan bahawa penentuan sama ada hukuman berjalan serta-merta atau berturutan bergantung kepada fakta dan keadaan setiap kes. Berpandukan prinsip ini, Mahkamah telah menilai secara menyeluruh fakta dan keadaan kes 302, termasuk tempoh selepas tertuduh dijamin hingga pengakuan salahnya pada 28.05.2025. [13] Berdasarkan rekod, tertuduh dijamin sebanyak RM7,000.00 pada 13.02.2024 bagi kes 302. Namun, semasa dalam tempoh jaminan, tertuduh ditangkap semula pada 30.12.2024 atas kesalahan memiliki 1.27 gram dadah jenis Methamphetamine di bawah seksyen 12(2) ADB bagi kes 37. Pada 19.03.2025, selepas laporan kimia diterima dan pertuduhan dibacakan, tertuduh mengaku salah serta-merta dan dihukum penjara 14 bulan dari tarikh tangkap. Hanya pada 28.05.2025, semasa menjalani hukuman bagi kes 37, tertuduh mengaku bersalah bagi kes 302. [14] Perbuatan tertuduh melakukan kesalahan baharu semasa dalam jaminan menunjukkan sikap tidak menghormati serta tidak gentar kepada undang-undang. Ia mencerminkan ketiadaan keinsafan atau penyesalan terhadap kesalahan terdahulu dan menunjukkan suatu pola tingkah laku yang berulang dan disengajakan, bukan sekadar kesilapan terpencil. Dalam keadaan ini, Mahkamah berpandangan bahawa hukuman yang ringan tidak memadai untuk mencegah, memulih atau memberi pengajaran yang setimpal kepada tertuduh. Sebaliknya, ia berisiko menggalakkan pengulangan jenayah. Maka, hukuman pemenjaraan secara berturutan adalah wajar dan perlu demi kepentingan awam. [15] Mahkamah mengambil maklum bahawa pengakuan salah tertuduh menjimatkan masa dan kos semua pihak. Meskipun tertuduh mempunyai kecenderungan untuk mengulangi kesalahan sama, pengakuan tersebut masih satu faktor mitigasi yang sah (lihat Sau Soo Kim v. PP [1975] 2 MLJ 134; PP v. Ravindran & Ors [1993] 1 MLJ 45). Namun, pengakuan tersebut dibuat hanya selepas lebih setahun prosiding kes 302 berjalan, dan selepas tertuduh ditangkap serta disabitkan dalam kes 37. Sekiranya dibuat awal, khususnya pada 06.08.2024, hukuman bagi kes 302 boleh disempurnakan dahulu. Dalam keadaan sedemikian, isu pelaksanaan hukuman secara berturutan di bawah seksyen 292(1) tidak akan timbul. [16] Mahkamah akui bahawa kedua-dua kes melibatkan kesalahan yang serupa dari segi sifat jenayahnya. Namun, memandangkan ia dilakukan pada masa berasingan dan bukan dalam satu transaksi yang sama, prinsip undang-undang menetapkan bahawa hukuman bagi kesalahan berasingan hendaklah dijalankan secara berturutan (lihat Bachik Abdul Rahman v. PP [2004] 2 CLJ 572). Oleh yang demikian, pelaksanaan hukuman penjara secara berturutan dengan hukuman dalam kes 37 adalah munasabah, wajar dan selaras dengan prinsip tersebut. [17] Mahkamah turut mengambil maklum bahawa prinsip penghukuman menuntut suatu imbangan yang adil antara kepentingan tertuduh sebagai individu dan kepentingan awam secara keseluruhan (lihat Raja Izuddin Shah v. PP [1979] 1 MLJ 170; PP v Loo Choon Fatt [1976] 2 MLJ 256). Sehubungan itu, Mahkamah telah menimbangkan sama ada pelaksanaan hukuman penjara bagi kes 302 secara berturutan dengan kes 37 akan membawa kesan yang menghancurkan (crushing effect) kepada tertuduh. [18] Setelah disemak dengan pihak Penjara Machang, hukuman penjara bagi kes 37 dijangka tamat pada 10.10.2025, manakala bagi kes 302 pada 20.03.2026, setelah mengambil kira remitan penjara. Meskipun jumlah keseluruhan hukuman yang dijatuhkan adalah selama 22 bulan, tempoh pemenjaraan sebenar yang perlu dijalani oleh tertuduh hanyalah sekitar 15 bulan. Dalam keadaan ini, Mahkamah berpandangan bahawa hukuman tersebut tidak membawa kesan menghancurkan, tidak keterlaluan, dan masih berada dalam lingkungan yang munasabah. KESIMPULAN [19] Berdasarkan pertimbangan di atas, Mahkamah berpandangan bahawa hukuman yang dijatuhkan adalah wajar, setimpal dan adil. Ia bukan sahaja memberi pengajaran kepada tertuduh dan peluang untuk berubah, tetapi turut menyampaikan mesej pencegahan yang jelas kepada masyarakat di daerah Tanah Merah. Bertarikh: 12hb Julai 2025 (TUN FAEZ FIKHRIE BIN TUN ASRUL SAINI) Majistret Mahkamah Majistret Tanah Merah PIHAK-PIHAK Bagi pendakwaan : Siti Hajar binti Mazlan Timbalan Pendakwa Raya Pejabat Penasihat Undang-undang Negeri Kelantan Bagi tertuduh : Nor Zihan binti Ibrahim Peguambela & Peguamcara Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan Negeri Kelantan
Wrong text, a broken link, out-of-date content, or a removal request — tell us and we'll check it against the official source.