2. Keadaan Tertuduh adalah terkejut, berpeluh-peluh dan dalam ketakutan telah membuktikan bahawa Tertuduh mempunyai pengetahuan terhadap barang kes dadah; dan 3. Serbuk dan ketulan kristal telah dianalisa dan disahkan mengandungi 6.46 gram methamphetamine. Dalam kes ini, rakan sekerja Tertuduh yang bernama Mohd Azuan bin Omar (“SP3”) juga ditangkap bersama Tertuduh semasa serbuan dibuat. SP3 berada di tempat kejadian membaiki sebuah motolori bersama Tertuduh. Semasa memberikan keterangan bersumpah di kandang saksi pada peringkat kes pendakwaan, SP3 telah menyatakan bahawa barang kes dadah yang dirampas daripada motokar WLK169 merupakan milik beliau. SP3 menyatakan bahawa sebelum serbuan, beliau menggunakan motokar WLK169 milik Tertuduh untuk membeli makanan tetapi juga telah pergi membeli barang kes dadah selepas itu. Setelah memperolehi barang kes dadah tersebut, beliau meletakkannya di bahagian brek tangan motokar WLK169. Apabila tiba kembali ke bengkel, beliau meletakkan rangkai anak kunci motokar WLK169 tersebut di atas meja bersama makanan yang telah dibeli tetapi telah meninggalkan barang kes dadah di dalam motokar WLK169. Beliau menyatakan bahawa barang kes dadah yang dijumpai di dalam motokar WLK169 merupakan dadah yang sama seperti yang dibeli oleh beliau. Susulan daripada SP3 memberikan keterangan sebegitu, pihak pendakwaan telah memulakan prosiding untuk mencabar kebolehpercayaan (“impeachment proceedings”) terhadap SP3. Setelah satu perbicaraan dalam perbicaraan, Mahkamah ini telah memutuskan bahawa kebolehpercayaan SP3 telah berjaya dicabar oleh pihak pendakwaan. Oleh itu, keterangan diberikan oleh SP3 menjadi tidak bernilai dan dikeluarkan keseluruhannya. Pada peringkat kes pembelaan, semasa memberikan keterangan bersumpah dari kandang saksi, Tertuduh menyatakan bahawa SP3 menggunakan motokar WLK169 untuk pergi membeli makanan dan juga telah membeli barang kes dadah daripada individu dengan panggilan “Budak Jengka 14”. Tertuduh menegaskan bahawa orang yang terakhir menggunakan motokar WLK169 itu adalah SP3. Tertuduh juga menyatakan beliau tidak pernah melihat barang kes dadah yang dijumpai sebelum masa serbuan dan rampasan. Anak kunci motokar WLK169 juga tidak dirampas daripada kocek Tertuduh tetapi berada di atas meja berhampiran. Berdasarkan kepada keterangan-keterangan ini, Tertuduh menegaskan bahawa SP3 merupakan pemilik barang kes dadah yang dirampas daripada motokar WLK169. Dalam kes Public Prosecutor v Somasundram A/L Rajasegaran & Anor [2016] MLJU 619, Collin Lawrence Sequerah PK telah menyatakan “Apart from the duty imposed upon a trial court at the conclusion of the whole case as described already, a trial court must carry out a maximum re-evaluation of the prosecution’s case but this time considered and tested as against the sworn evidence given by the accused. This was of course, something that was not possible to do at the close of the prosecution case.” Invididu yang boleh menyangkal atau menyokong keterangan Tertuduh adalah SP3 sendiri. Beliau merupakan saksi material bukan sahaja kepada pihak pembelaan malah juga kepada pihak pendakwaan. SP3 satu-satunya yang boleh menyatakan sama ada barang kes dadah berada di dalam motokar WLK169 semasa beliau menggunakannya mahupun sama ada benar beliau menggunakan motokar WLK169 sebelum serbuan dibuat. Beliau juga dapat mengesahkan dari mana anak kunci motokar WLK169 dirampas. Memandangkan impeachment proceedings terhadap SP3 telah berjaya, maka keseluruhan keterangan yang diberikan oleh SP3 haruslah dan telahpun diabaikan oleh Mahkamah ini. Oleh itu, ia seolah-olah SP3 tidak memberikan apa-apa keterangan di mahkamah. Dalam ketiadaan keterangan SP3, Mahkamah ini tidak berupaya untuk menimbang dan menilai kes pihak pendakwaan berkenaan penglibatan SP3 terhadap keterangan bersumpah yang diberikan oleh Tertuduh. Selain itu, dalam Nagappan Kuppusamy v. PP [1988] 1 CLJ Rep 229, Mahkamah Agong telah memutuskan seperti berikut: "In a criminal proceeding, the onus on the prosecution throughout is to prove beyond reasonable doubt. From the beginning to the end, the burden remains on the prosecution to prove the guilt of the accused. At the close of the whole case, the court has to consider all the evidence adduced by both the prosecution and the defence and has to be satisfied that the case has been proved beyond reasonable doubt. In other words, at the close of the whole case, the court has to consider all the evidence before it whether they satisfy all the ingredients of the offence. If upon the whole evidence the court is left in a real state of doubt, the prosecution is said to have failed to satisfy the onus of proof which lies upon it." (penekanan ditambah) Berpandukan kepada nas undang-undang ini, Mahkamah ini berpendapat bahawa pihak pendakwaan mempunyai beban untuk menyisihkan kemungkinan (“exclude possibilities”) bahawa SP3 juga mempunyai akses kepada barang kes dadah dalam motokar WLK169. Mahkamah ini berpendapat bahawa pihak pendakwaan telah gagal untuk melunaskan beban tersebut akibat impeachment proceedings terhadap SP3 yang berjaya. Oleh itu, Mahkamah ini mendapati versi Tertuduh bahawa barang kes dadah yang dirampas diletakkan oleh SP3 di dalam motokar WLK169 dan sebenarnya milik SP3 merupakan salah satu inferens yang sah. Sekiranya wujud dua atau lebih inferens yang berbeza, Mahkamah ini haruslah memberikan faedah keraguan (“benefit of the doubt”) kepada Tertuduh dan memilih inferens yang paling menyebelahi Tertuduh. Kes Ganapathy Rengasamy v PP [1998] 2 MLJ 557 menyatakan seperti berikut: - “It needs to be remembered that however weak a defence may be, trial judges being judges of both fact and law should not just brush aside the defence on the basis that the prosecution witnesses are to be believed and not the defence. Where the law casts the onus of giving an explanation upon an accused person, and the explanation is given, which is consistent with innocence, the court is duty bound to consider whether it might reasonably be true, although not convinced of its truth.” Dalam mempertimbangkan penjelasan daripada Tertuduh, Mahkamah ini tidak yakin akan kebenaran (“convinced of its truth”) keseluruhan pembelaan Tertuduh. Namun begitu, Mahkamah ini mendapati pembelaan yang dikemukakan berkemungkinan benar (“might reasonably be true”). Versi kes pembelaan juga telah dibangkitkan semasa peringkat kes pendakwaan. Demikian, pembelaan ini bukanlah suatu pemikiran kemudian (“afterthought”) yang hanya dikemukakan semasa peringkat kes pembelaan. Oleh itu, setelah penilaian semula maksimum kes pendakwaan terhadap kes pembelaan Tertuduh, Mahkamah ini memutuskan bahawa pihak pembelaan telah berjaya menimbulkan satu keraguan yang munasabah. Pihak pendakwaan gagal membuktikan kes melampaui keraguan munasabah. Tertuduh dilepaskan dan dibebaskan daripada pertuduhan yang dipertuduhkan di Mahkamah ini. Wang jaminan dikembalikan. TAN CHIEW KING Majistret Mahkamah Majistret (1) Temerloh 10 April 2025 *Penghakiman ini diberikan secara lisan pada 10 April 2025 dan bukanlah alasan keputusan penuh Mahkamah ini. Alasan keputusan bertulis penuh akan disediakan sekiranya rayuan difailkan. Pihak-pihak: Adriana binti Azrin (Timbalan Pendakwa Raya) untuk pihak Pendakwaan Aedi bin Tajudin (Aedi & Ooi) untuk Tertuduh