Content
1 DALAM MAHKAMAH MAJISTRET DI BACHOK DALAM NEGERI KELANTAN DARUL NAIM KES JENAYAH NO.: DD-83-136-09/2024 PENDAKWA RAYA
DD-83-136-09/2024
Magistrates Court of Malaysia18 Aug 2025
The written judgment as the court issued it, with the coram, case number, and source links. Every paragraph has its own anchor.
Content
1 DALAM MAHKAMAH MAJISTRET DI BACHOK DALAM NEGERI KELANTAN DARUL NAIM KES JENAYAH NO.: DD-83-136-09/2024 PENDAKWA RAYA
1
Pertuduhan terhadap Tertuduh adalah sebagaimana berikut: “Bahawa kamu pada 28/01/2022 jam lebih kurang 8.00 malam bertempat di tepi Jalan Pengkalan Petah, Tawang dalam jajahan Bachok di dalam negeri Kelantan dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Muhamad Hafiz bin Awang, KPT: 910218035293 dengan menggunakan sebilah parang. Oleh yang demikian kamu telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah seksyen 324 Kanun Keseksaan.” Hukuman: Hukuman dengan pemenjaraan selama tempoh yang boleh sampai sepuluh tahun atau dengan denda atau dengan sebat atau dengan mana-mana dua daripada hukuman itu.
2
Usai kes Pendakwaan, Mahkamah ini telah membuat dapatan bahawa pihak Pendakwaan telah gagal untuk membuktikan suatu kes prima facie terhadap Tertuduh. Oleh yang demikian, Tertuduh diperintahkan untuk dilepaskan dan dibebaskan daripada pertuduhan.
3
Naratif kes pihak Pendakwaan, sebagaimana keterangan saksi-saksi pihak Pendakwaan, secara ringkasnya adalah sebagaimana berikut: i. Pada 28.01.2022, pada pukul lebih kurang 8.00 malam, Muhamad Hafis bin Awang (SP2) yang merupakan mangsa dalam kes ini, sedang dalam perjalanan ke tempat kerja telah ternampak Tertuduh di hadapan kedai runcit di tepi jalan di kawasan kampungnya. ii. Selepas melewati jalan kecil dan keluar ke jalan besar, SP2 telah ternampak Tertuduh telah tunggu. Tertuduh telah mengejar SP2 dengan menunggang motosikal dan telah melibas parang ke bahagian muka SP2. Ketika itu, SP2 memakai topi keledar. iii. SP2 seterusnya telah membrek motosikalnya, berpusing arah menghala ke arah Bachok, dan Tertuduh telah melibas parang sekali lagi ke bahagian belakang badan SP2. 3 iv. Tertuduh terus mengejar SP2 sehingga ke persimpangan Kampung Balai. SP2 telah melarikan diri ke rumah kawannya, dan selanjutnya telah pergi ke Klinik Kesihatan Bachok serta Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM). v. SP2 telah mendapat rawatan di HUSM selama tiga (3) hari dengan kecederaan luka di hidung dan luka di belakang badan.
4
Mahkamah ini telah meneliti keterangan SP2 berkenaan kronologi kejadian yang berlaku dengan merujuk silang kepada ekshibit P7 (laporan polis SP2). Dalam P7, keterangan ringkas dinyatakan bahawa Tertuduh secara tiba-tiba dengan menunggang motosikal jenis EX5 Dream berwarna hitam bernombor pendaftaran PEB 236 telah datang menghampiri SP2 dan terus melibas ke arah muka SP2 dengan sebilah parang tetapi terkena di cermin topi keledar. Merujuk keterangan SP2 di dalam Mahkamah, SP2 menyatakan bahawa semasa SP2 dalam perjalanan ke tempat kerja, SP2 telah ternampak Tertuduh berada di hadapan kedai runcit di tepi jalan kampung dengan berpakaian t-shirt, kain pelikat dan kopiah. SP2 turut menyatakan bahawa Tertuduh telah tunggu di tempat kejadian, lalu ikut belakang dan libas dengan parang.
5
Mahkamah ini sedaya upaya cuba untuk memahami rantaian kronologi kejadian yang berlaku ke atas SP2 dengan mengambil kira keterangan SP2 yang merupakan orang awam. Namun, terlalu banyak kontradiksi dan ketidakselarian dalam versi keterangan SP2 di dalam Mahkamah jika dirujuk silang kepada ekshibit P7. Keterangan SP2 di Mahkamah sahaja jika diteliti, terdapat versi yang berbeza. Pada satu versi, menyatakan bahawa Tertuduh sedang berada di hadapan kedai runcit, manakala keterangan versi yang lain pula menyatakan Tertuduh yang sedang menunggang motosikal telah menunggu di tempat kejadian sebelum melibas parang. Merujuk silang ekshibit P7, keterangan ringkas menyatakan SP2 secara tiba-tiba diserang oleh Tertuduh.
6
Mahkamah ini merujuk ekshibit P5(A-D) iaitu gambar-gambar tempat kejadian serta P10 (Rajah Kasar) dan P10k (Kekunci Rajah Kasar). Kedai runcit yang dinyatakan oleh SP2 dalam keterangannya, bukanlah termasuk dalam kawasan tempat kejadian. Tanpa apa-apa penjelasan berkenaan pernyataan ini, Mahkamah ini tidak boleh membuat sebarang kesimpulan berkenaan fakta kejadian sebenar yang berlaku.
7
Identiti motosikal yang ditunggang oleh Tertuduh juga menjadi persoalan dalam kes ini. Dalam P7, jelas dinyatakan bahawa motosikal yang ditunggang oleh Tertuduh ialah jenis EX5 Dream berwarna hitam bernombor pendaftaran PEB 236. Pada ketika masa kejadian, SP2 menyatakan bahawa telah nampak dengan jelas nombor pendaftaran motosikal tersebut yang tertera ditampal di bahagian hadapan di kiri dan kanan. Walau bagaimanapun, pemeriksaan ke atas barang kes motosikal (ekshibit P8) di Mahkamah, mendapati bahawa nombor pendaftaran di bahagian belakang 5 adalah tidak lengkap kerana nombor 2 adalah tidak kelihatan (patah). Manakala pemeriksaan di bahagian hadapan motosikal pula mendapati bahawa tiada sebarang nombor pendaftaran di bahagian hadapan.
8
Dalam hal keadaan ini, terdapat dua (2) isu yang perlu diperhalusi iaitu identiti penunggang motosikal dan identiti motosikal yang ditunggang. Merujuk keterangan SP2 di dalam Mahkamah, motosikal yang ditunggang oleh Tertuduh tiada lampu dan Tertuduh hanya memakai lampu yang dipasang di atas kepala. Tiada lampu jalan di tempat kejadian. Menurut SP2 lagi, Tertuduh telah melibas parang dengan datang dari arah belakang sebelah kanan dan berlaku adegan kejar-mengejar antara mereka dengan kelajuan sekitar lapan puluh (80) km/j. Dalam keadaan gelap dan kekalutan yang sedemikian, Mahkamah ini mendapati bahawa adalah sesuatu yang tidak logik bahawa identiti pelaku boleh dikaitkan secara konkrit kepada Tertuduh, manakala adalah tidak logik juga SP2 dapat melihat dengan jelas nombor pendaftaran motosikal Tertuduh. Apatah lagi dengan keadaan eskhibit P8 yang tidak menunjukkan nombor pendaftaran yang lengkap ketika proses pengecaman di Mahkamah, tanpa apa-apa penjelasan, menambah keraguan terhadap isu identiti ini.
9
Berkenaan identiti Tertuduh, telah dinyatakan dalam keterangan SP2 bahawa SP2 ternampak Tertuduh di hadapan kedai runcit di tepi jalan kampung dengan berpakaian t-shirt, kain pelikat dan berkopiah. Namun, agak malang apabila pakaian ini tidak dirampas oleh pihak polis dalam proses penyiasatan. SP2 turut menjawab “tidak ingat” apabila ditanya pakaian yang dipakai oleh Tertuduh ketika menunggang motosikal. Dalam hal keadaan ini, Mahkamah ini berpendapat bahawa ianya adalah penting 6 dan menjadi satu keperluan untuk pakaian ini dirampas, agar dapat membantu proses pengecaman di Mahkamah berkait identiti Tertuduh.
10
Atas dapatan analisis tersebut, Elemen 1 adalah gagal dibuktikan oleh pihak Pendakwaan. Perkaitan Elemen 1 ini akan turut dianalisis dalam isu alibi dalam perenggan yang kemudian nanti.
11
Memandangkan dapatan Mahkamah ini bagi Elemen 1 (supra) adalah tidak dibuktikan, Mahkamah ini tidak berhasrat untuk mengulas lanjut bagi Elemen 2.
12
Pada hemat Mahkamah ini, terdapat dua (2) isu yang menjadi persoalan berkaitan elemen ini. Isu pertama ialah merujuk ekshibit P7, SP2 menyatakan bahawa SP2 telah dilibas oleh Tertuduh dengan sebilah parang. Merujuk ekshibit P9 (laporan perubatan), SP2 telah menyatakan bahawa SP2 telah diserang dengan “golok” (alleged assaulted with “golok” on 28-01-2022). Mahkamah ini telah meneliti keterangan SP2 di dalam Mahkamah. SP2 menyatakan bahawa SP2 telah dilibas dengan parang. Walaupun tidak dibangkitkan secara spesifik berkenaan isu ini semasa perbicaraan, akan tetapi terdapat soalan daripada Peguam bela semasa pemeriksaan balas kepada SP2, berkenaan adakah SP2 nampak apa-apa senjata pada masa itu, SP2 menjawab tidak nampak.
13
Isu kedua ialah barang kes yang menjadi senjata yang digunakan dalam kes ini tidak dirampas oleh pihak polis daripada Tertuduh. Justeru, ianya tidak dapat dikemukakan di dalam Mahkamah semasa perbicaraan.
14
Memandangkan terdapatnya pertikaian berkenaan alat yang digunakan sebagai senjata dalam kes ini, Mahkamah ini berpendapat bahawa pengemukaan barang kes alat yang dijadikan sebagai senjata ini di Mahkamah adalah menjadi keperluan bagi pembuktian elemen ketiga ini. Mahkamah ini tidak boleh membuat sebarang andaian mahu pun kesimpulan berkenaan isu ini, dan hanya berdasarkan keterangan yang ada di hadapan Mahkamah ini, ianya adalah tidak mencukupi untuk mengenalpasti alat senjata yang sebenar yang digunakan oleh Tertuduh. Elemen ketiga secara spesifik memperuntukkan bahawa “apa-apa alat yang dijadikan sebagai senjata yang mungkin boleh menyebabkan kematian”. Pada hemat Mahkamah ini, pembuktian bagi elemen ini adalah spesifik dan identitinya perlu dipastikan secara betul bagi mencapai maksud sebenar pembuktian elemen ini. Dalam hal keadaan kes ini, pihak Pendakwaan telah gagal untuk membuktikan Elemen 3.
15
Terkait isu sama ada Tertuduh yang melakukan perbuatan mencederakan SP2, sebagaimana diulas dalam Elemen 1 pertuduhan (supra), pihak Pembelaan telah menimbulkan isu alibi dalam kes ini. Sebagaimana dihujahkan oleh pihak Pembelaan, Tertuduh semasa disoal 8 siasat oleh pegawai penyiasat (SP5) pada kesempatan yang awal lagi, telah memberikan keterangan bahawa pada masa kejadian yang material, Tertuduh tidak berada di tempat kejadian. Tertuduh sedang berada di rumah di rumah bapa angkatnya yang bernama Pok We di Kampung Kemasin. Pihak Pembelaan juga telah mengemukakan rakaman percakapan Tertuduh (ekshibit D5). Walau bagaimanapun, sebagaimana diakui sendiri oleh SP5, SP5 telah gagal untuk menyiasat perkara tersebut.
16
Dalam hal ini, pihak Pembelaan telah menghantar Notis Alibi menurut peruntukkan di bawah seksyen 402A Kanun Tatacara Jenayah kepada pihak Pendakwaan bagi menyatakan perkara yang sama. Namun demikian, tiada tindakan diambil oleh SP5 ke atas perkara ini. SP5 dalam keterangannya di dalam Mahkamah ketika pemeriksaan balas oleh pihak Pembelaan, mengakui bahawa tiada siasatan dibuat ke atas isu alibi ini. Terdapat beberapa perkara yang penting yang ditimbulkan dalam Notis Alibi yang dikemukakan oleh Tertuduh, termasuk dan tidak terhad kepada, terutamanya berkaitan rumah dan/atau identiti penama Pok We, identiti penama Mak Rozi yang mengetahui berkenaan kecederaan ke atas SP2, identiti pemilik sebenar motosikal (ekshibit P8) dan lain-lain.
17
Hal ini membawa kepada isu pada perenggan yang berikut.
18
Dalam keterangan SP5 di dalam Mahkamah, pelbagai persoalan penting dilontarkan oleh pihak Pembelaan semasa sesi pemeriksaan balas terutamanya berkaitan keterangan Tertuduh semasa disoal siasat termasuk 9 isu alibi. Namun demikian, pada pengamatan Mahkamah ini, jawapan yang kerap kali keluar daripada mulut SP5 ialah “tidak ingat”, “tidak pasti”, “tidak tahu” dan “tidak buat siasatan”.
19
Dengan penuh hormat, Mahkamah ini berpandangan bahawa SP5 tidak melaksanakan tanggungjawabnya sebagai pegawai penyiasat secara menyeluruh. Apabila dimaklumkan oleh Tertuduh tentang versi keberadaan Tertuduh pada masa yang material, yang telah diberikan pada peringkat awal siasatan lagi, SP5 sepatutnya menjalankan siasatan lanjut bagi menentukan kebenaran versi tersebut, walaupun ia berkemungkinan membawa kepada pembebasan Tertuduh daripada sebarang pertuduhan. Kegagalan untuk mengambil langkah tersebut merupakan kecacatan ketara dalam kes pihak Pendakwaan. Adalah tidak wajar untuk meletakkan beban kepada pihak Pembelaan bagi menampung kelemahan yang wujud dalam siasatan yang dijalankan apatah lagi menjadi tugas pihak Pendakwaan untuk membuktikan kes pada peringkat ini.
20
Berpandukan kepada keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Lee Kwan Woh v Pendakwa Raya [2009] 5 CLJ 631, dalam kes tersebut, pegawai penyiasat langsung tidak menyiasat versi fakta yang berbeza seperti yang dikemukakan oleh Tertuduh berkenaan lokasi tangkapan. Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa kegagalan tersebut merupakan kecacatan yang serius dalam kes pihak Pendakwaan, dan oleh itu, satu kesimpulan yang memihak kepada Tertuduh perlu dibuat apabila pihak Pendakwaan menutup kesnya. Gopal Sri Ram FCJ telah menyatakan seperti berikut: “[21] There are three important evidential points. We take the first. The appellant’s case as put to the relevant prosecution witnesses was that he was not apprehended the moment he emerged from the car. He was arrested in the compound of house No. 52. PW3, the investigation officer confirmed under cross examination that the appellant had, during investigations, informed her of this fact. She however failed to investigate this allegation at all. This is a serious omission. In Public Prosecutor v. Lim Ah Bek [1989] 2 CLJ 1090; [1989] 2 CLJ (Rep) 391 there was a doubt whether the investigating officer in that case had investigated the defence of alibi mentioned by the accused in his cautioned statement. Based on this possible omission, Gunn Chit Tuan J (as he then was) drew an inference in favour of the accused in that case. The present case is much stronger in that there was no investigation at all. An inference in the appellant’s favour ought therefore to have been drawn by the learned judge at the close of the prosecution case. Had that been done, doubt would have been cast upon the evidence of PW4 and PW8. Unfortunately this point was missed by the learned trial judge, no doubt, because of his ruling. If he had heard the submission of no case by the appellant, he may perhaps have not acted upon the evidence of these two witnesses.”
21
Dalam kes Rahmani Ali Mohamad v Pendakwa Raya [2014] 7 CLJ 405, Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa kegagalan untuk menyiasat versi fakta yang dikemukakan oleh Tertuduh pada peluang terawal telah menjejaskan hak Tertuduh untuk mendapat perbicaraan yang adil dan 11 membawa kepada ketidakadilan yang nyata. Azahar Mohamed JCA (pada ketika itu) telah menyatakan seperti berikut: “[15] Even more, no investigation at all was carried out by PW8 to disprove the appellant’s version of fact, particularly concerning Mohd Reza, which was given by the appellant at the earliest possible opportunity. In this regard, PW8 said that he did not investigate the appellant’s handphone because “saya terlepas pandang”. PW8 also said, “saya tak periksa rekod-rekod panggilan keluar masuk OKT 2. Jika disiasat mungkin boleh dapat maklumat lanjut”. The appellant cannot be penalised for lack of ingenuity, negligence or inadvertence on the part of the investigator depriving him of the time honoured benefit of doubt (see: Pang Chee Meng v. PP [1992] 1 CLJ 39; [1992] 1 CLJ (Rep) 265; [1992] 1 MLJ 137). The manner in which PW8 had conducted his investigations left many stones unturned and material gaps exists. Based on this omission, an inference in the appellant’s favour ought therefore to have been drawn by learned High Court Judge at the close of the prosecution case (see: Lee Kwan Woh v. PP [2009] 5 CLJ 631 and Alcontara Ambross Anthony v. Public Prosecutor [1996] 1 CLJ 705; [1996] 1 MLJ 209).
16
In our judgment, the appellant’s right to a fair trial has been compromised as a result of the failure of PW8 to carry out investigation to verify the appellant’s version of fact. The appellant may thereby have lost a chance which was fairly opened to him of being acquitted and that there had been occasioned a failure or a miscarriage of justice (see: Mraz v. The Queen
1955
93 CLR 493 quoted with approval in Lim Hock Boon v. PP [2007] 4 CLJ 114; [2007] 1 MLJ 46).”
22
Dalam hal keadaan kes ini, terdapat banyak kelompangan, termasuk dan tidak terhad kepada, kecacatan serius yang telah menjejaskan kes pihak Pendakwaan. Secara keseluruhannya, atas dasar penilaian yang maksimum, Mahkamah ini, setelah membuat pertimbangan yang teliti, berpendapat bahawa pihak Pendakwaan telah gagal untuk membuktikan satu kes prima facie ke atas Tertuduh.
23
Pada akhir kes Pendakwaan, Mahkamah ini memerintahkan Tertuduh untuk dilepaskan dan dibebaskan daripada pertuduhan, tanpa perlu dipanggil untuk membela diri. Wang jaminan dipulangkan kepada Penjamin. Bertarikh 15 Oktober 2025 t.t. MOHD FAUZAN BIN MOHD SUHAIRI Majistret Mahkamah Majistret Bachok Kelantan Bagi pihak Pendakwaan: MUHAMMAD AIMAN SYAHMI BIN YAZID Timbalan Pendakwa Raya Bagi pihak Pembelaan: GHAZALI BIN ISMAIL Tetuan Ghazali Ismail & Co.
Wrong text, a broken link, out-of-date content, or a removal request — tell us and we'll check it against the official source.