Content
1 DALAM MAHKAMAH MAJISTRET DI JELI DALAM NEGERI KELANTAN DARUL NAIM, MALAYSIA KES TANGKAP NO: DE-83-176-07/2025 ANTARA PENDAKWA RAYA … PENDAKWAAN LAWAN MOHAMAD KHATAMI BIN MOHD NASKAM (NO. K/P: 000319-03-1037) … TERTUDUH
DE-83-176-07/2025
Magistrates Court of Malaysia10 Aug 2025
The written judgment as the court issued it, with the coram, case number, and source links. Every paragraph has its own anchor.
Content
1 DALAM MAHKAMAH MAJISTRET DI JELI DALAM NEGERI KELANTAN DARUL NAIM, MALAYSIA KES TANGKAP NO: DE-83-176-07/2025 ANTARA PENDAKWA RAYA … PENDAKWAAN LAWAN MOHAMAD KHATAMI BIN MOHD NASKAM (NO. K/P: 000319-03-1037) … TERTUDUH
1
Pertuduhan terhadap tertuduh adalah seperti berikut: “Bahawa kamu pada 28/6/2025 jam lebih kurang 8.30 pagi bertempat di N3 kawasan perumahan Taman Muhibah dalam Jajahan Jeli, dalam negeri Kelantan telah didapati memiliki harta curi iaitu sebuah kereta Perodua Alza 1500 AV Nombor Chasis PM2AA1AB00M039070 dan Nombor Enjin 2NR3A83985 warna hitam kepunyaan Norshara Ezila binti Mohd Asri, No KPT: 911018035824. Oleh yang demikian kamu telah melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum di bawah seksyen 411 Kanun Keseksaan.”
2
Pertuduhan dibacakan dan diterangkan kepada tertuduh dalam bahasa Malaysia. Tertuduh faham sifat pertuduhan dan akibat pengakuan salah, lalu mengaku salah secara sukarela tanpa syarat. Pendakwaan kemudian mengemukakan beberapa dokumen untuk ditandakan sebagai ekshibit, termasuk fakta kes (ekshibit P1) yang dibacakan dan diakui oleh tertuduh tanpa pertikaian.
3
Setelah meneliti semua ekshibit serta menimbangkan faktor mitigasi dan pemberatan yang dikemukakan, Mahkamah mensabitkan tertuduh dan memerintahkan tertuduh dilepaskan dengan bon berkelakuan baik selama dua (2) tahun dengan cagaran RM7,000 dan seorang penjamin, tertakluk kepada syarat-syarat tambahan berikut: a) Tertuduh hendaklah melapor diri di balai polis berdekatan sebulan sekali sebelum jam 5.00 petang; dan b) Tertuduh hendaklah berjanji dan memastikan dirinya tidak terlibat dalam mana-mana kesalahan jenayah lain sepanjang tempoh bon tersebut.
4
Susulan keputusan tersebut, pihak pendakwaan memfailkan rayuan terhadap hukuman.
5
Pada 28.06.2025, jam lebih kurang 10:00 pagi, pengadu mendapati kereta Perodua Alza warna hitam bernombor pendaftaran SYA 7637 yang diletakkan di hadapan rumahnya telah hilang, lalu membuat laporan polis (Jeli Repot 1180/25 – ekshibit P2).
6
Hasil risikan, tertuduh ditangkap pada 29.06.2025 sekitar jam 6:15 petang di Lot 1516, Kampung Senang, Kedai Lalat, Kota Bharu. Semasa pemeriksaan di bilik tertuduh, pihak polis menemui satu alat kawalan jauh berjenama Perodua di dalam poket hadapan kanan seluar di atas katil bilik tersebut.
7
Tertuduh kemudiannya menunjukkan kepada pihak polis sebuah kereta Perodua Alza warna hitam bernombor pendaftaran VKK 7794 yang diletakkan di hadapan sebuah rumah kosong berhampiran kediamannya. Semakan mendapati nombor pendaftaran tersebut palsu kerana nombor casis (PM2AA1AB00M039070) tidak sepadan dengan nombor VKK 7794. Semakan lanjut melalui sistem JPJ mengesahkan nombor casis tersebut didaftarkan di bawah SYA 7637, iaitu kereta yang dilaporkan hilang.
8
Kereta tersebut bersama satu anak kunci serta tertuduh dibawa ke Balai Polis untuk tindakan lanjut. Hasil siasatan polis mendapati tertuduh memiliki secara tidak jujur kenderaan tersebut.
9
Dalam mitigasi, peguam berhujah pengakuan salah tertuduh telah menjimatkan masa dan kos semua pihak. Tertuduh berumur 27 tahun, duda, menanggung seorang anak berumur 4 tahun dan ibu yang uzur. Tertuduh bekerja sebagai panel bank AEON Credit dengan pendapatan RM2,000 sebulan, namun telah kehilangan pekerjaan tersebut akibat kes ini. Tertuduh juga tidak mempunyai rekod jenayah lampau, menyesal, dan janji tidak akan mengulangi kesalahan.
10
Pendakwaan pula pohon hukuman setimpal sebagai pengajaran.
11
Dalam kes ini, kesalahan tertuduh melibatkan kenderaan bermotor. Hukuman bagi kesalahan ini adalah penjara mandatori antara enam bulan hingga lima tahun, dan tertuduh juga boleh dikenakan denda.
12
Peruntukan s. 411 Kanun Keseksaan (“KK”) adalah seperti berikut: “411 Dishonestly receiving stolen property Whoever dishonestly receives or retains any stolen property, knowing or having reason to believe the same to be stolen property, shall be punished with imprisonment for a term which may extend to five years or with fine or with both; and if the stolen property is a motor vehicle or any component part of a motor vehicle as defined in section 379A, shall be punished with imprisonment for a term of not less than six months and not more than five years, and shall also be liable to fine.” (Penekanan ditambah)
13
Walau bagaimanapun, setelah mengambil kira faktor seperti umur, latar belakang tertuduh, keterukan kesalahan, dan keadaan meringankan lain, Mahkamah telah memerintahkan tertuduh dilepaskan dengan bon berkelakuan baik di bawah s. 294(1) Kanun Tatacara Jenayah (“KTJ”).
14
Persoalannya, adakah peruntukan s. 294 KTJ terpakai dalam kes yang memperuntukkan hukuman penjara mandatori? atau hukuman mandatori seperti s. 411 KK mengatasi dan menafikan pemakaian s. 294?
15
Persoalan ini telah dijawab dalam PP v. Bahar bin Abu [2007] 4 CLJ 604; [2007] 8 MLJ 219. Dalam kes tersebut, responden telah dituduh di bawah s. 411 KK kerana menyimpan motosikal curi. Mahkamah Majistret telah melepaskan tertuduh dengan bon berkelakuan baik di bawah s. KTJ. Pendakwaan kemudiannya merayu terhadap keputusan tersebut atas alasan hukuman “jelas tidak mencukupi”. Dalam menolak rayuan pendakwaan, Nallini Pathmanathan PK (kini HMP) memutuskan bahawa s. 294 boleh digunakan walaupun kesalahan memperuntukkan hukuman penjara mandatori. Beliau turut menyatakan bahawa frasa “punishable by imprisonment” dalam s. 294 merangkumi semua kesalahan yang boleh dihukum penjara, sama ada secara mandatori atau pilihan.
16
Pendekatan tersebut kemudiannya disahkan oleh Parlimen melalui pindaan terhadap s. 294 KTJ menerusi Akta A1274 yang berkuat kuasa pada 6.10.2006. Frasa asal “not being a youthful offender has been convicted of any offence punishable with imprisonment” telah digantikan dengan frasa baharu “has been convicted of any offence”. Pindaan tersebut bukan sahaja mengesahkan tafsiran Mahkamah dalam Bahar (supra), malah memperluaskan skop pemakaian s. 294 kepada semua pesalah tanpa mengira umur dan menghapuskan kekangan terdahulu yang mengehadkannya kepada kesalahan yang boleh dihukum penjara semata-mata (lihat PP v. Sainin Sidon [2009] 3 CLJ 181).
17
Selain itu, dalam PP v. Kandasamy Muniandy [2005] 2 CLJ 201, Mahkamah turut memutuskan bahawa s. 294 KTJ tidak diketepikan oleh peruntukan s. 411 KK. Pindaan terhadap s. 298A(2) KK yang secara nyata mengecualikan pemakaian s. 173A dan s. 294 KTJ menunjukkan bahawa bagi kesalahan lain tanpa peruntukan pengecualian sedemikian, Mahkamah masih mempunyai budi bicara untuk menggunapakai s. 294.
18
Mahkamah juga ingin menegaskan, sebagaimana yang dijelaskan oleh Mahkamah Rayuan dalam Nor Afizal Azizan v. PP [2012] 6 CLJ 370, perintah bon berkelakuan baik di bawah s. 294 tidak melepaskan tertuduh daripada sabitan. Sabitan kekal direkodkan sebagai sebahagian daripada rekod jenayahnya. Peruntukan ini pada hakikatnya hanya merupakan satu bentuk hukuman tertangguh (“suspended sentence”), yang memberi ruang dan peluang kepada tertuduh untuk berubah sepanjang tempoh bon tersebut. Sekiranya syarat bon berjaya dipatuhi, hukuman penjara yang sepatutnya dijatuhkan terhadap tertuduh tidak perlu dilaksanakan. Namun, sekiranya gagal, tertuduh boleh ditangkap semula dan dihukum atas kesalahan asal.
19
Setelah meneliti prinsip undang-undang, tafsiran kehakiman dan perkembangan perundangan yang berkaitan, Mahkamah kini beralih kepada penilaian terhadap fakta dan keadaan kes ini. Pertimbangan utama ialah sama ada, dengan mengambil kira sifat kesalahan, latar belakang tertuduh serta kepentingan awam, pemakaian peruntukan s. 294 KTJ bagi melepaskan tertuduh dengan bon berkelakuan baik adalah wajar dan selaras dengan matlamat keadilan keseluruhan.
20
Kepentingan awam merupakan pertimbangan utama Mahkamah dalam menjatuhkan hukuman. Dalam Rex v. Kenneth John Ball [1951] 35 Cr App R 164, Hilbery H (beliau pada ketika itu) menyatakan: “In deciding the appropriate sentence a court should always be guided by certain considerations. The first and foremost is the public interest. The criminal law is publicly enforced, not only 7 with the object of punishing crime, but also in the hope of preventing it. A proper sentence, passed in public, serves the public interest in two ways. It may deter others who might be tempted to try crime as seeming to offer easy money on the supposition, that if the offender is caught and brought to justice, the punishment will be negligible. Such a sentence may also deter the particular criminal from committing a crime again, or induce him to turn from a criminal to an honest life. The public interest is indeed served, and best served, if the offender is induced to turn from criminal ways to honest living. Our law does not, therefore, fix the sentence for a particular crime, but fixes a maximum sentence and leaves it to the court to decide what is, within that maximum, the appropriate sentence for each criminal in the particular circumstances of each case. Not only in regard to each crime, but in regard to each criminal, the court has the right and duty to decide whether to be lenient or severe.” (Penekanan ditambah)
21
Mahkamah sedar bahawa kesalahan yang melibatkan kenderaan bermotor amat berleluasa dan menjejaskan keyakinan awam terhadap keselamatan harta benda. Hukuman lazim yang dikenakan adalah berbentuk pemenjaraan sebagaimana yang telah diperuntukkan di bawah s. 411 KK bagi memastikan pencegahan umum tercapai.
22
Walaupun kepentingan awam menuntut hukuman yang memberi kesan pencegahan, Mahkamah berpendapat bahawa ia tidak semestinya bermaksud setiap kes perlu dihukum dengan pemenjaraan. Hukuman 8 yang dijatuhkan hendaklah pada masa yang sama memberi peluang kepada pemulihan dan reformasi diri tertuduh apabila ada tanda keinsafan dan kesediaan untuk memperbaiki diri, selagi hukuman yang dipilih adalah berlandaskan undang-undang dan tidak menjejaskan mesej pencegahan umum terhadap kesalahan seumpamanya.
23
Prinsip ini sejajar dengan keputusan dalam Raja Izzuddin Shah v. PP [1979] 1 MLJ 270, di mana Mahkamah berpendapat bahawa kepentingan awam boleh juga dicapai melalui pemulihan diri pesalah di bawah pengawasan undang-undang yang berterusan berbanding dengan hukuman penjara.
24
Dalam kes ini, Mahkamah mengambil kira pengakuan salah tertuduh yang dibuat secara sukarela selepas pertuduhan dan fakta kes dibacakan serta difahaminya. Pengakuan tersebut merupakan faktor mitigasi yang signifikan kerana ia menunjukkan keinsafan awal dan penyesalan tulus daripada tertuduh, di samping menjimatkan masa serta kos semua pihak.
25
Dalam kes ini, tertuduh telah ditahan reman selama kira-kira satu bulan lapan hari sebelum dijatuhi hukuman. Tempoh penahanan tersebut telah menjejaskan kehidupannya sebagai pencari nafkah utama dan memberi kesan langsung kepada anak kecil serta ibu yang bergantung kepadanya. Akibat daripada penahanan tersebut, tertuduh juga telah kehilangan pekerjaan tetapnya sebagai panel Bank AEON Credit dengan pendapatan sekitar RM2,000 sebulan. Mahkamah tidak menganggap tempoh reman ini sebagai pengganti hukuman, namun menilai kesan sosial dan ekonomi yang dialami tertuduh sebagai faktor meringankan yang relevan dalam menentukan hukuman yang seimbang.
26
Mahkamah turut mengambil kira penjelasan yang diberikan sendiri oleh tertuduh semasa prosiding bahawa kenderaan tersebut milik bekas teman wanitanya (pengadu) dan pertikaian antara mereka berpunca daripada hutang peribadi berjumlah RM6,000 yang tidak dibayar. Apabila Mahkamah meminta pengesahan, pendakwaan tidak membantah dan mengesahkan penjelasan itu sebagai benar (rujuk Nota Keterangan, m/s 3-4 PDF). Berdasarkan fakta ini, Mahkamah menilai bahawa tindakan tertuduh berpunca daripada pertikaian peribadi dan emosi, bukan dengan niat jahat untuk memperoleh keuntungan haram. Tiada bukti bahawa tertuduh cuba menjual, meleraikan atau menggunakan kenderaan itu bagi tujuan komersial. Maka kesalahan ini lebih bersifat salah pertimbangan peribadi, bukan jenayah terancang yang mengancam masyarakat.
27
Faktor-faktor ini, digabung dengan usia tertuduh yang masih muda, statusnya sebagai bapa tunggal serta ketiadaan sebarang rekod jenayah lampau, menunjukkan potensi pemulihan yang tinggi.
28
Mahkamah juga menilai bahawa perintah bon selama dua (2) tahun dengan cagaran tinggi serta syarat pelaporan bulanan merupakan bentuk peringatan dan pengawasan yang efektif. Sekiranya tertuduh melanggar mana-mana syarat bon, dia boleh dihadapkan semula ke Mahkamah dan dikenakan hukuman pemenjaraan asal di bawah s. 411 KK.
29
Dalam konteks ini, Mahkamah berpendapat bahawa kepentingan awam bukan hanya boleh dicapai melalui pemenjaraan tertuduh, tetapi juga melalui kejayaan sistem keadilan memulihkan tertuduh agar kembali menyumbang kepada masyarakat. Dengan memberi peluang di bawah s. 294 KTJ, Mahkamah bukanlah menafikan keperluan pencegahan tetapi menyalurkannya melalui pengawasan undang-undang yang berterusan.
30
Sebagaimana yang ditegaskan dalam Kenneth John Ball (supra), kepentingan awam adalah “best served if the offender is induced to turn from criminal ways to honest living”. Sekiranya hukuman pemenjaraan yang digantung itu melalui perintah bon berkelakuan baik berupaya memulihkan tertuduh, maka kepentingan awam telah pun tercapai dan malah tercapai dengan sebaik-baiknya.
31
Oleh yang demikian, Mahkamah berpendapat bahawa perintah bon berkelakuan baik di bawah s. 294 KTJ dalam kes ini adalah wajar, adil dan setimpal selaras dengan matlamat keadilan menyeluruh. Ia bukan suatu pelepasan daripada sabitan, tetapi satu peluang kepada tertuduh untuk membuktikan keinsafan dan perubahan dirinya sepanjang tempoh bon tersebut.
32
Setelah meneliti keseluruhan fakta, faktor mitigasi dan pemberatan serta prinsip undang-undang yang berkaitan, Mahkamah berpendapat bahawa perintah bon berkelakuan baik selama dua tahun dengan cagaran RM7,000 dan seorang penjamin merupakan hukuman yang adil dan seimbang. Ia mengekalkan unsur pencegahan melalui pengawasan berterusan dan memastikan tertuduh bertanggungjawab sepanjang tempoh bon tersebut.
33
Perintah ini tidak bermaksud meremehkan keseriusan kesalahan, tetapi melaksanakan matlamat dwi fungsi keadilan jenayah—pencegahan dan pemulihan—dalam kerangka budi bicara yang sah di sisi undang-undang serta selaras dengan kepentingan awam keseluruhan. Bertarikh: 17hb Oktober 2025 (TUN FAEZ FIKHRIE BIN TUN ASRUL SAINI) Majistret Mahkamah Majistret Jeli PIHAK-PIHAK Bagi pendakwaan : Ahmad Irfan Aizat bin Mohd Daud Timbalan Pendakwa Raya Pejabat Penasihat Undang-undang Negeri Kelantan Bagi tertuduh : Nur Murni binti Che Mood Peguambela & Peguamcara Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan Negeri Kelantan (YBGK)
Wrong text, a broken link, out-of-date content, or a removal request — tell us and we'll check it against the official source.