Content
DALAM MAHKAMAH MAJISTRET DI TANAH MERAH DALAM NEGERI KELANTAN DARUL NAIM, MALAYSIA JENAYAH NO.: DD-83-131-08/2025 ANTARA PENDAKWA RAYA
DD-83-131-08/2025
Magistrates Court of Malaysia28 Aug 2025
The written judgment as the court issued it, with the coram, case number, and source links. Every paragraph has its own anchor.
Content
DALAM MAHKAMAH MAJISTRET DI TANAH MERAH DALAM NEGERI KELANTAN DARUL NAIM, MALAYSIA JENAYAH NO.: DD-83-131-08/2025 ANTARA PENDAKWA RAYA
1
Pada 28.08.2025, OKT telah mengaku salah dan dijatuhkan hukuman bagi pertuduhan: “BAHAWA KAMU PADA 25/08/2025 JAM LEBIH KURANG 07.00 PAGI DAN 03.01 PETANG BERTEMPAT DI SEBUAH RUMAH BERALAMAT KAMPUNG PAUH SEMBILAN TAWANG DI DALAM JAJAHAN BACHOK, DI DALAM NEGERI KELANTAN DIDAPATI TELAH MENDATANGKAN KETAKUTAN JENAYAH TERHADAP BEKAS ISTERI KAMU NAMA: NORZULAIHA BINTI MOHD ZABIDI, KPT: 940506-11-5244 DAN DENGAN ITU KAMU TELAH MELAKUKAN SUATU KESALAHAN YANG BOLEH DIHUKUM DI BAWAH SEKSYEN 506 KANUN KESEKSAAN. HUKUMAN 506 KANUN KESEKSAAN BARANG SIAPA MELAKUKAN KESALAHAN MENAKUTKAN SECARA JENAYAH HENDAKLAH DIHUKUM DENGAN PENJARA SELAMA TEMPOH YANG BOLEH SAMPAI 7 TAHUN, ATAU DENGAN DENDA, ATAU DENGAN KEDUA-DUANYA.”
2
Pertuduhan telah dibacakan kepada tertuduh dalam Bahasa Malaysia. Sifat serta akibat pengakuan salah turut diterangkan kepada tertuduh. Tertuduh akui faham akan pertuduhan yang dibacakan serta faham sifat dan akibat suatu pengakuan salah. Tertuduh telah mengaku salah tanpa syarat terhadap pertuduhan tersebut.
3
Seterusnya, pihak pendakwaan mengemukakan fakta kes dan beberapa dokumen lain untuk ditandakan sebagai ekshibit (sebagaimana dalam Rekod Rayuan). Fakta kes yang ditandakan sebagai ekshibit P2 telah dibacakan kepada tertuduh dan diakuinya tanpa pertikaian.
4
Setelah meneliti kesemua ekshibit serta menimbangkan faktor mitigasi oleh peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Puan Nurizaidah Binti Abdul Salam dan pemberatan pihak-pihak, tertuduh disabitkan terhadap pertuduhan pindaan dan dijatuhkan hukuman 12 bulan penjara bermula dari tarikh tangkap 26.08.2025. Terkilan, tertuduh memfailkan Notis Rayuan pada 03.09.2025 terhadap hukuman.
5
Pada 25.08.2025 jam 07.00 pagi semasa pengadu iaitu bekas isteri tertuduh berada di rumah alamat Kampung Pauh Sembilan Tawang, 16020 Bachok, Kelantan telah terima email daripada tertuduh telah mengatakan "aku bunuh mu babi aku bunuh mu..ank ank oyak mu ado jatan anjing nate anjing aku bunuh mu". Selepas itu pada jam 03.01 petang tertuduh menghantar email sekali lagi mengatakan "aku bunuh mu anjing...aku sapa jadi ginih anjing..aku bunuh". Untuk makluman pengadu telah bercerai dengan tertuduh pada 02.10.2024.
6
Pengadu datang ke balai polis untuk tindakan pihak polis dan bimbang keselamatan diri pengadu dikemudian hari.
7
Pada 26.08.2025 jam lebih kurang 1.15 pagi, pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Bachok Kelantan telah membuat serbuan di sebuah rumah Lot 2417 Kampung Morak, Palekbang 16040 Tumpat, Kelantan. Kemudian telah memperkenalkan diri sebagai pegawai kanan polis dengan menunjukkan kad kuasa PDRM kepada tertuduh yang berada di dalam sebuah bilik tidur di dalam rumah tersebut.
8
Hasil pertanyaan awal tertuduh telah mengaku telah membuat ugutan jenayah kepada pengadu dengan menggunakan telefon bimbit miliknya. Di pandu arah oleh tertuduh telah menunjukkan sebuah telefon bimbit jenis Samsung Galaxy A54, warna hitam yang terletak di atas katil dalam bilik tidur rumah tersebut. Seterusnya pegawai dan anggota telah tangkap tertuduh untuk siasatan lanjut.
9
Siasatan telah dijalankan oleh Sjn Mohd Shaharudi Abd Rashid dibawah seksyen 506 Kanun Keseksaan. Tempat kejadian telah dilawati dan rajah kasar telah dilakar. Rakaman percakapan pengadu dan tertuduh telah diambil. Hasil siasatan mendapati tertuduh ditangkap kerana mendatangkan ketakutan jenayah ke atas pengadu (A1). Oleh yang demikian tertuduh telah melakukan satu kesalahan dan boleh dihukum dibawah seksyen 506 Kanun Keseksaan.
10
Tertuduh diwakili oleh peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK). Dalam rayuannya, peguam menyatakan bahawa pengakuan salah tertuduh telah menjimatkan masa dan kos semua pihak. Tertuduh berusia 35 tahun dan tidak mempunyai pekerjaan kerana telah berhenti kerja di Kuala Lumpur dan pulang ke Kelantan. Tertuduh merupakan seorang duda dan mempunyai cahaya mata yang tinggal bersama bekas isteri. Tertuduh juga telah insaf akan perbuatannya. Oleh itu, tertuduh mohon hukuman penjara yang minima bermula dari tarikh tangkap.
11
Pihak pendakwaan pula pohon hukuman yang setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat dengan mengambil kira faktor kepentingan awam dan keselamatan pengadu.
12
Tertuduh juga turut dituduh di bawah Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya yang mana pada sebutan pertama bersama-sama dengan pertuduhan ini diberikan jaminan sebanyak RM3000 dengan seorang penjamin. Kes-kes di jajahan Bachok banyak melibatkan kesalahan dadah dan juga ugutan jenayah serta keganasan rumah tangga berlaku.
13
Kesalahan-kesalahan melibatkan dadah di negeri Kelantan adalah berada dalam tahap yang membimbangkan dan semakin berleluasa (rampant). Hasil daripada pengaruh dadah mengakibatkan banyak kes-kes ugutan jenayah dan mencederakan ahli keluarga sepanjang pemerhatian saya menjalankan tugas sebagai Majistret di Mahkamah ini.
14
Maka, berdasarkan mitigasi dari pihak yang YBGK yang memohon hukuman penjara, Mahkamah telah menjatuhkan hukuman penjara selama 12 bulan bermula dari tarikh tangkap ke atas tertuduh. Tertuduh juga tidak menyuarakan apa-apa sewaktu hukuman dijatuhkan.
15
Atas dasar tersebut di atas, Mahkamah berpandangan hukuman yang dijatuhkan ke atas tertuduh adalah setimpal dengan kesalahan yang dilakukannya. Hukuman tersebut bukan sahaja bertujuan menghukum tertuduh tetapi juga untuk mencegah perbuatan serupa dilakukan oleh tertuduh dan orang lain.
16
Oleh yang demikian, hukuman yang diberikan adalah munasabah bagi memberikan kesedaran kepada tertuduh untuk memperbaiki diri, berubah dan mulakan kehidupan baru dengan menjadi contoh yang baik kepada anak-anak dengan harapan tertuduh tidak lagi mengulangi kesalahan yang sama di masa hadapan kerana itu adalah kepentingan awam yang sebaiknya (public interest best served).
17
Ugutan jenayah adalah suatu kesalahan yang tidak boleh dipandang enteng kerana dapat menimbulkan perasaan takut, trauma dan menjejaskan mental dan juga kesihatan mangsa. Hukuman ini juga untuk mendidik tertuduh dan juga Masyarakat bahawa perkataan seperti pukul, tumbuk, bunuh, mati, tembak dan sebagainya tidak boleh sewenang-wenangnya dituturkan kerana ianya boleh mendatangkan implikasi jenayah.
17
Berdasarkan faktor-faktor di atas, Mahkamah berpandangan bahawa hukuman 12 bulan penjara adalah wajar, setimpal dan adil serta mengikut factor mitigasi yang dinyatakan oleh peguam YBGK. Bertarikh: 20 Oktober 2025 (AMIN RASHIDI BIN RAMLI) Majistret Mahkamah Majistret Bachok PIHAK-PIHAK: Bagi pihak pendakwaan Bagi pihak tertuduh Timbalan Pendakwa Raya Peguambela & Peguamcara Pejabat Penasihat Undang-undang Yayasan Bantuan Guaman Negeri Kelantan Kebangsaan (YBGK) Aiman Syahmi bin Mohd Yazid Nurizaidah binti Abdul Salam
Wrong text, a broken link, out-of-date content, or a removal request — tell us and we'll check it against the official source.