OKS”); dan Wang RM5,200.00 tersebut adalah sesuatu yang boleh disyaki dengan munasabah diperolehi secara frod. Sekiranya subseksyen 29(1) AKK hanya berbunyi “Any person who has in his possession or conveys in any manner anything which may be reasonably suspected of being stolen or fraudulently obtained shall be liable to a fine not exceeding one thousand ringgit or to imprisonment for a term not exceeding one year or to both”, maka OKS semestinya akan didapati bersalah dan disabitkan seperti dalam pertuduhan pada tahap ini. Namun begitu, perkara yang perlu ditekankan adalah subseksyen 29(1) AKK turut mengandungi syarat “if he fails to account satisfactorily how he came by the same”. Oleh itu, OKS hanya boleh disabitkan sekiranya penjelasan yang diberikan kepada Mahkamah ini bukan satu penjelasan yang memuaskan mengenai bagaimana OKS memiliki sejumlah wang RM5,200.00 yang disyaki diperolehi secara frod di dalam akaun bank OKS. Mahkamah ini dibimbing oleh kes Arunasalam Thevar v. Public Prosecutor [1956] 1 MLJ 109 yang mana Thompson J telah menyatakan 2 persoalan utama yang harus dijawab oleh mahkamah perbicaraan dalam kes yang dibicarakan di bawah subseksyen 29(1) AKK. Thompson J menyatakan: “Now on that there were two questions to be decided one way or the other before there could be any decision as to whether the appellant was to be convicted. The first of these questions was:— Was he carrying something that might be reasonably suspected of being stolen? That was a question to be answered by the Magistrate on a consideration of all the surrounding circumstances. The second question was:— If it were something reasonably suspected of being stolen, did he give a satisfactory account of how he came by it? That, again, was for the Magistrate to decide in the light of the circumstances as a whole. And I hope it is unnecessary for me to observe that it was a question for the Magistrate as a reasonable prudent man as to whether or not the explanation given by the appellant, whether it was given to the Police or whether it was given in Court to the Magistrate himself, was a satisfactory explanation.” Berkenaan persoalan kedua iaitu sama ada OKS memberikan penjelasan yang memuaskan bagaimana RM5,200 itu berada dalam akaun bank OKS, OKS telah menyatakan bahawa dia telah memberikan kawalan akaun bank OKS termasuk kata laluan atas talian akaun bank OKS kepada pihak ketiga yang tidak dikenali pada bulan Jun 2021. Maklumat tersebut diberikan kepada seorang yang dikatakan berbangsa melayu melalui aplikasi Whatsapp atas alasan mendapatkan wang sambilan dengan kerja sambilan (“part-time”) yang ditawarkan. OKS menyatakan bahawa tidak sedar akan akibat memberikan butiran akaunnya kepada pihak ketiga kerana ketika memberikan butiran tersebut, dia hanya berumur 20 tahun. OKS menyatakan bahawa dia tidak tahu bahawa SP1 telah memindahkan wang sebanyak RM5,200.00 ke dalam akaun bank OKS serta tidak mengenali SP1. OKS juga menyatakan bahawa dia tahu bahawa kesemua wang tersebut telah dipindahkan keluar kepada akaun satu Johnny Network Enterprise hanya setelah dimaklumkan oleh Peguambela OKS. Setiap pindahan wang tidak dibuat oleh OKS dan OKS tidak mengesahkan atau meluluskan pindahan wang kepada Johnny Network Enterprise tersebut. Tugas Mahkamah pada tahap ini adalah untuk menentukan sama ada penjelasan yang diberikan ini adalah suatu penjelasan yang memuaskan (“account satisfactorily”). Beban ini adalah berbeza sekali dengan suatu penjelasan yang munasabah. Menjelaskan sesuatu secara memuaskan (“satisfactorily”) adalah lebih ringan bebannya berbanding menjelaskan sesuatu secara munasabah (“reasonable”). Mahkamah ini berpandangan, walaupun wang SP1 telah berada di dalam akaun bank OKS dan wang itu adalah wang yang disyaki diperolehi secara frod, OKS tidak mempunyai kaitan dengan pindahan wang tersebut melainkan hanya merupakan pemilik akaun bank. Tiada keterangan yang menunjukkan OKS mempunyai peranan yang aktif dalam aktiviti penipuan terhadap SP1. Dalam keadaan apabila sejumlah wang dimasukkan secara rawak ke dalam sesuatu akaun bank tanpa tujuan yang jelas (sama ada akibat frod atau kesilapan), dan pemilik akaun menjelaskan bahawa beliau tidak kenal siapa yang memindahkan masuk wang tersebut serta tidak sedar bagaimana wang tersebut dimasukkan ke dalam akaunnya, penjelasan itu bukan sesuatu yang tidak boleh dipercayai atau tidak munasabah. Nombor akaun bank seseorang bukanlah sesuatu rahsia. Ia bolehlah diberikan sewenang-wenangnya kepada sesiapa sahaja untuk tujuan penerimaan bayaran wang ke dalam bank akaunnya. Malah pada era digital abad ke-21 ini, peniaga-peniaga termasuk peniaga kecil-kecilan turut mempamerkan kod QR bersama dengan nombor akaun secara terbuka untuk menerima bayaran ketika berusniaga. Lebih lagi, melalui perkhidmatan pindahan wang segera DuitNow, seseorang boleh membuat pemindahan wang ke dalam akaun bank penerima dengan hanya menggunakan nombor telefon atau nombor kad pengenalan penerima tersebut. Pemilik akaun tidak boleh dipersalahkan atas apa yang telah dilakukan oleh pihak ketiga yang memindahkan wang masuk ke dalam akaun pemilik akaun kerana beliau tidak mempunyai kuasa untuk menghalang seseorang memindahkan wang ke dalam akaun banknya. Oleh itu, sekiranya seseorang pemilik akaun memberikan penjelasan bahawa beliau tidak kenal siapa yang memindahkan atau tidak tahu bagaimana sejumlah wang dipindahkan masuk ke dalam akaunnya tanpa apa-apa sebab, ia boleh dianggap memadai sebagai satu penjelasan yang memuaskan bagi tujuan subseksyen 29(1) AKK. Pada hemat Mahkamah ini, subseksyen 29(1) AKK merupakan suatu undang-undang yang digubal pra-merdeka yang mana internet apatah lagi perbankan atas talian (“online banking”) adalah sesuatu yang masih belum wujud. Ia merupakan undang-undang yang tidak digubal secara khusus untuk menangani jenayah siber. Mahkamah ini memetik kata-kata Wong Siong Tung H dalam kes Ezreen Nasuha yang menyatakan: “[24] The court’s role is to interpret, ensuring that the intentions of the Legislature are adhered to and apply the law as enacted by the Legislature, not to create or legislate new laws. If there are perceived loopholes or inadequacies in the law, particularly concerning emerging commercial crimes, it is the responsibility of the legislature to address these issues through new legislation or amendments to existing laws.” Dalam mempertimbangkan tindakan OKS dalam kes ini, “perbuatan salah” (“wrongdoing”) OKS hanyalah memberikan akses atas talian akaun bank OKS kepada pihak ketiga. Walaupun tindakan ini secara langsung membantu sindiket penipuan dalam aktiviti penipuan mereka, memberikan akses atas talian akaun bank kepada pihak ketiga (sama ada dengan pegetahuan bahawa akaun tersebut akan digunakan untuk tujukan jenayah atau tidak) bukan merupakan suatu kesalahan di sisi undang-undang pada ketika OKS melakukan sebegitu. Sewaktu OKS berbuat begitu, ia sekadar suatu tindakan yang tidak bertanggungjawab dan bukan suatu kesalahan jenayah. Undang-undang untuk menjadikan pemberian kawalan ke atas instrumen pembayaran atau akaun di institusi kewangan kepada pihak ketiga suatu kesalahan jenayah juga telahpun digubal di bawah Akta A1721 dalam bentuk seksyen 424B Kanun Keseksaan. Akta A1721 berkuatkuasa pada 30 Oktober 2024 iaitu selepas OKS dipertuduhkan di mahkamah ini. Oleh itu, penjelasan OKS bahawa dia: