Schedule
Jadual 2: P1 (A-C) Pertuduhan P2 Laporan Perubatan oleh SP1 bertarikh 14/02/2023 P3 Laporan Perubatan Psikiatri oleh SP2 bertarikh 29/01/2023 P4 Laporan Polis oleh SP4 (Batu Gajah Report No. 696/22 bertarikh 04/11/2022, jam 01.13 AM) (‘Laporan Tangkap’) P5 Laporan Polis oleh SP5 (Btg Merbau Report No. 545/22 bertarikh 04/11//2022, jam 07.06 AM) (‘Laporan Tangkap’) P6 Laporan Polis oleh SP5 (Tanah Merah Report No. 4726/22 bertarikh 04/11//2022, jam 02.05 AM) (‘Laporan Rampasan’) P7 Laporan Polis oleh SP5 (Tanah Merah Report No. 4735/22 bertarikh 04/11/2022, jam 07.51 AM) (‘Laporan Rampasan’) P8 (A-G) 7 keping gambar barang kes ID9 Baju T-shirt lengan panjang P9 Salinan Sijil Kelahiran SP6 ID10 Cardigan IDD11 4 keping gambar tempat kejadian P12 Laporan Perubatan SP8 bertarikh 08/12/2022 P13 Laporan Polis SP6 (Btg Merbau Report No. 541/22 bertarikh 04/11/2022), jam 12.51 AM (‘FIR’) FAKTA KES PENDAKWAAN [17] Laporan polis mengenai kejadian yang membawa kepada tangkapan dan pertuduhan terhadap tertuduh-tertuduh telah dibuat oleh mangasa (SP6) pada 04.11.2022 jam 12.51 pagi (Eksibit P13). SP6 seterusnya telah dibawa ke Hospital Tanah Merah untuk pemeriksaan pada hari yang sama. [18] SP3 adalah doktor yang bertugas di Bahagian Kecemasan yang telah membuat pemeriksaan awal ke atas SP6. Hasil pemeriksaan oleh SP3 ke atas SP6 menyatakan diagnosis seperti berikut (Eksibit P2): “Alleged rape and sodomy (fresh case) with no external injury.” [19] Seterusnya, SP6 telah dirujuk ke Bahagian “O&G” dan telah diperiksa oleh SP8. Hasil pemeriksaan oleh SP8 menyatakan diagnosis seperti berikut (Eksibit P12): “Alleged raped with old hymenal tear at multiple o’clock.” [20] Berdasarkan keterangan SP8, koyakan lama pada hymen (“old hymenal tear”) bermaksud koyakan yang berlaku lebih dari seminggu. Berdasarkan tarikh pemeriksaan pada 04.11.2022, ini bermakna, kesan koyakan tersebut telah berlaku sebelum tarikh 30.10.2022. [21] Seterusnya, pada bahagian “Sejarah (History)” dalam Eksibit P12, SP8 menyatakan, antaranya, seperti berikut: “15 years old, nulliparous, sexually active. …….. OKU card holder (slow learner). …. Further history, patient has been sexually active with her boyfriend since September 2022.” [22] SP6 juga telah dirujuk ke Bahagian Psikiatri pada tarikh yang sama. Laporan Perubatan yang disediakan oleh SP3 menyatakan diagnosis seperti berikut (Eksibit P3): “(1) Suspek mangsa rogol dengan dengan gangguan psikologi ringan (Alleged rape with mild psychological sequalae); (2) OKU Pembelajaran (slow learner).” [23] Pada 03.11.2022 jam 07.20 petang, SP4 bersama anggota pasukan telah membuat tangkapan ke atas tertuduh Shah Riman dan Aliff di sebuah rumah beralamat Lot 4516, Kampung Lawang, Batu Gajah, Tanah Merah, Kelantan berkaitan satu laporan polis yang telah dibuat mengenai kes orang hilang. Turut berada di rumah tersebut adalah SP6 dan turut ditangkap adalah seorang lagi bernama “Atiqullah” (Eksibit P4). Tangkapan ke atas Syamir telah dibuat oleh SP5 dan anggota pada 04.11.2022 jam 05.00 pagi di sebuah rumah beralamat Lot 3285, Felda Kemahang 2, Tanah Merah (Eksibit P5). Keterangan SP6 [24] SP6 telah memberi keterangan di Mahkamah pada 09.06.2024 (pemeriksaan-utama di hadapan HMS terdahulu) dan pada 29.12.2024 (pemeriksaan-balas di hadapan HMS pengganti). Pemeriksaan-Utama SP6 (09.06.2024) [25] Pada 30.10.2022 jam lebih kurang 2.00 petang, SP6 telah keluar bersama kawan lelaki bernama Aliff untuk pergi ke air terjun ‘Lata Bijih’ dengan menaiki motosikal yang di bawa oleh Aliff. SP6 baru mengenali Aliff melalui kawan SP6 bernama ‘Atiq’. Pada malam sebelumnya, Aliff telah menghantar pesanan ‘whatsapp’ kepada SP6 mengajaknya pergi ke air terjun tersebut. Esoknya, Aliff telah mengambil SP6 ditempat kerja SP6 dan semasa dalam perjalanan, Aliff telah menghentikan motosikal untuk menunggu kawannya. Mereka kemudian disertai oleh kawan Aliff iaitu Iwan dan Adam Arif yang menaiki sebuah lagi motosikal. Selepas mereka mandi di air terjun tersebut, Aliff telah menarik SP6 naik ke suatu kawasan bukit di air terjun tersebut dengan diikuti oleh Iwan dan Adam Arif. Di atas bukit tersebut, SP6 telah dirogol (kemaluan penama masuk ke dalam kemaluan SP6) secara bergilir-gilir dimulai oleh Aliff, kemudian oleh Iwan dan Adam Arif. SP6 telah cuba untuk melepaskan diri tetapi telah diugut bunuh oleh Aliff. [26] SP6 seterusnya telah di bawa ke rumah ‘kakak angkat’ kepada Aliff atau Iwan yang bernama ‘Alia’ yang terletak di ‘Bukit Bunga’ dengan menaiki sebuah motosikal bersama Aliff dan Iwan. Mereka sampai di rumah Alia pada jam lebih kurang 5.00 petang. Pada jam lebih kurang 8.00 malam di ruang tamu rumah Alia, SP6 sekali lagi telah dirogol (kemaluan penama masuk ke dalam kemaluan SP6) oleh Aliff dan Iwan. Selain dirogol, SP6 juga telah diliwat (kemaluan penama masuk ke dalam dubur SP6) oleh Iwan. SP6 telah dipukul di bahagian muka oleh Aliff apabila SP6 menjerit meminta tolong. Pada masa kejadian, tiada orang lain di rumah tersebut kerana Alia dan suami serta anaknya telah keluar untuk membeli barang. Setelah Alia pulang ke rumah pada malam tersebut, SP6 telah menceritakan kepada Alia apa yang berlaku dan meminta pertolongan Alia untuk menghantarnya pulang ke rumah. Alia menyatakan tidak dapat menghantar SP6 pulang kerana tiada kenderaan. SP6, Aliff dan Iwan tidur di ruang tamu rumah pada malam tersebut. [27] Pada pagi hari esoknya (31.10.2022), Aliff dan Iwan keluar bekerja. SP6 sekali lagi meminta pertolongan Alia untuk menghantarnya pulang ke rumah. SP6 tidak dapat menghubungi ibu atau ahli keluarga lain kerana telefon bimbitnya diambil oleh Aliff dan SP6 tidak dapat menghubungi mereka dengan menggunakan telefon bimbit Alia kerana SP6 tidak ingat nombor telefon mereka. [28] Pada sebelah petang, Alif dan Iwan pulang ke rumah Alia. Pada sebelah malam, Adam Arif tiba di rumah Alia dengan menaiki kereta Kancil dan SP6 bersama Aliff, Iwan dan Adam Arif telah menaiki kereta tersebut dan mereka telah pergi ke sebuah kedai kosong milik Atiq di ‘Kemahang’. Mereka sampai di kedai tersebut pada jam lebih kurang 12.00 tengah malam (01.11.2022). SP6 telah dibawa masuk ke dalam sebuah kedai kosong dimana SP6 dapati terdapat anggaran 8 orang lelaki yang berada di dalam kedai tersebut. Keadaan dalam kedai gelap kerana tiada lampu dan hanya samar-samar dengan cahaya daripada luar bangunan kedai tersebut yang terletak di tepi jalan. SP6 kemudiannya telah dirogol (kemaluan penama masuk ke dalam kemaluan SP6) oleh beberapa orang lelaki di dalam kedai kosong tersebut. Sebelum dirogol, Atiq telah membuka pakaian SP6 dan kemudian memanggil seorang kawannya masuk. SP6 cuba melawan dengan menolak lelaki tersebut dan lelaki tersebut kemudiannya telah menarik rambut SP6 dan menolaknya ke atas sofa dan telah merogol SP6. SP6 kemudian telah dirogol oleh Atiq dan Aliff, kemudian oleh Iwan yang merogol dan meliwat SP6 (kemaluan penama masuk ke dalam kemaluan dan dubur SP6), kemudian oleh Adam Arif dan 2 orang lagi kawan Atiq yang SP6 tidak kenal tetapi boleh ‘cam muka’ mereka. [29] Daripada kedai di Kemahang, SP6 menaiki kereta Kancil bersama Aliff dan Iwan pergi ke rumah Iwan. Mereka sampai di situ jam lebih kurang 2.00 pagi (01.11.2022). Kereta diletakkan di tepi jalan di hadapan rumah. SP6 sekali lagi dirogol oleh Aliff dan Iwan di dalam kereta (kemaluan penama masuk ke dalam kemaluan SP6). SP6 kemudian ditinggalkan berseorangan di dalam kereta dan beliau telah tidur di dalam kereta sehingga keesokan hari. [30] Pada hari esoknya jam lebih kurang 8.00 pagi (01.11.2022), Aliff dan Iwan menaiki kereta dan mereka pergi ke rumah ‘ibu angkat’ Aliff di ‘Bukit Bunga’. SP6 bersarapan dan mandi di rumah tersebut. Aliff dan Iwan keluar bekerja meninggalkan SP6 bersama ibu angkat Aliff. Ibu angkat Aliff kemudian menelefon Aliff untuk pulang kerana beliau ingin keluar memberi barang di Thailand. Aliff pulang tidak lama kemudian dan telah mengunci SP6 di dalam sebuah bilik di rumah tersebut dan mengambil telefon bimbit SP6. Pada jam lebih kurang 7.00 malam, pintu bilik dibuka oleh Aliff dan SP6 di bawa keluar. Tidak lama kemudian, abang dan bapa saudara SP6 tiba di rumah tersebut bersama anggota polis. Merujuk kepada laporan tangkap oleh SP4 (Eksibit P4), kejadian ini berlaku pada 03.11.2022 jam 7.20 malam di rumah beralamat Lot 4516, Kampung Lawang, Batu Gajah, Tanah Merah, Kelantan. Berdasarkan perbandingan tersebut, dapatan yang munasabah adalah bahawa kronologi tarikh kejadian berlaku sebagaimana yang diceritakan oleh SP6 di Mahkamah adalah berbeza dengan tarikh kejadian sebenarnya berlaku, namun ini tidak bermakna SP6 telah memberikan keterangan yang tidak benar mengenai apa yang telah berlaku, tetapi telah tersilap mengenai bila kejadian berlaku. Pemeriksaan-balas SP6 (29.12.2024) [31] Dalam pemeriksaan-balas, SP6 telah merujuk kepada ‘Iwan’ juga dengan nama ‘Shah Riman’. Berdasarkan pemeriksaan-balas oleh peguambela yang mewakil tertuduh Shah Riman, pihak pembelaan tidak menafikan bahawa ‘Iwan’ dan ‘Shah Riman’ merujuk kepada orang yang sama. [32] Terdapat 5 kejadian rogol yang berlaku iaitu di Telaga Bijih, rumah Alia, Kemahang, Bukit Bunga dan Kota Bharu. [33] Semasa pemeriksaan-balas, SP6 telah memberikan keterangan yang konsisten khususnya mengenai kejadian yang berlaku di rumah Alia dan di Kemahang iaitu dua kejadian yang menjadi sabjek pertuduhan. [34] Mengenai kejadian di rumah Alia, keterangan SP6 adalah konsisten bahawa beliau telah dirogol oleh Aliff dan telah dirogol dan diliwat oleh Iwan atau Shah Riman di rumah tersebut. [35] Mengenai kejadian di Kemahang, terdapat perbezaan dengan keterangan semasa Pemeriksaan-Utama seperti berikut: (i) SP6 pergi ke Kemahang bersama Aliff dan Shah Riman; (ii) Terdapat anggaran 10 orang di tempat tersebut; (iii) Orang pertama yang merogol SP6 di situ adalah adalah Atiq; SP6 cam Atiq melalui suara; (iv) Selepas Atiq, SP6 tidak tahu dan tidak ingat siapa orang seterusnya yang telah merogol SP6 kerana keletihan selepas dirogol oleh Atiq. Laporan polis SP6 (Eksibit P13) [36] Pada 30.10.2022, jam 2.00 petang, SP6 keluar dari rumah bersama Aliff dengan menaiki motosikal dan mereka telah pergi ke air terjun Telaga Bijih. [37] Pada 31.10.2022, jam 8.30 pagi, SP6 bersama Alifff, Iwan dan Adam Arif telah pergi ke rumah Iwan di Kedai Lalat, Kota Bharu. Mereka kemudian bersiar-siar di sekitar Kota Bharu dan pergi semula ke rumah Iwan pada jam 2.00 petang. Di rumah tersebut, Adam Arif telah membawa SP6 masuk ke sebuah bilik dan mereka melakukan hubungan seks sekali. Kemudian pada jam 5.00 petang, Aliff dan Iwan telah mengajak SP6 untuk melakukan hubungan seks dan mereka telah melakukan hubungan seks sebanyak 3 kali secara bergilir-gilir di bilik yang sama. Iwan turut memasukkan kemaluannya ke dalam dubur SP6 sekali. [38] Kemudian SP6 telah dihantar ke rumah kakak angkat bernama Alia di Kampung Lawang, Batu Gajah, Tanah Merah. Di rumah Alia, SP6 sekali lagi telah melakukan hubungan seks bersama Aliff dan Iwan di ruang tamu rumah tersebut. [39] Pada 01.11.2022 jam 12.00 tengah malam, Alif dan Iwan telah menghantar SP6 ke rumah Atiq di Kemahang di mana SP6 telah melakukan hubungan seks dengan Atiq dan kawan-kawan Atiq yang SP6 tidak kenal. Laporan Perubatan SP1 (Eksibit P2) [40] Berdasarkan keterangan SP1, hasil dapatan oleh SP1 di bahagian “Sejarah (History)” dalam Eksibit P2 adalah hasil dari keterangan yang diperolehi oleh SP1 daripada SP6 sendiri semasa SP1 membuat pemeriksaan ke atas SP6 pada 04.11.2022. Berdasarkan Eksibit P2, kejadian yang berlaku adalah seperti berikut. [41] Pada 30.10.2022, SP6 telah diambil oleh kawan lelaki di rumahnya dan di bawa ke Telaga Bijih. Di situ, SP6 telah dirogol oleh 2 orang lelaki. Pada sebelah malam, SP6 telah dibawa ke Kedai Lalat dan telah dirogol oleh 3 orang lelaki, seorang daripadanya juga turut meliwat SP6. Pada 31.10.2022, telah dirogol oleh 2 orang lelaki dan seorang daripadanya juga turut meliwat SP6. Pada 01.11.2022, SP6 telah dirogol oleh kawan lelakinya dan juga oleh 4 orang kawan kepada kawan lelakinya. Pada 02.11.2022, SP6 telah dirogol oleh seorang lelaki. ISU-ISU YANG BERBANGKIT DI AKHIR KES PENDAKWAAN [42] Berdasarkan keterangan keseluruhan pihak pendakwaan dan hujahan pihak-pihak, Mahkamah berpendapat bahawa terdapat 2 isu utama yang perlu diputuskan oleh Mahkamah di akhir kes pendakwaan iaitu: (1) Kredibiliti SP6; dan (2) Tarikh dan pengecaman tertuduh oleh SP6 berkaitan pertuduhan bagi kesalahan pada 28.10.2022 jam 2.00 pagi di kedai kosong di Felda Kemahang 2. ISU 1: Kredibiliti SP6 [43] SP6 berumur 15 tahun semasa kejadian dan berumur 17 tahun semasa memberi keterangan di Mahkamah. SP6 telah memberi keterangan di hadapan HMS yang terdahulu pada 09.06.2024 (Pemeriksaan-Utama) dan di hadapan HMS pengganti pada 29.12.2024 (Pemeriksaan-Balas dan Pemeriksaan-Semula). [44] Mahkamah merujuk kepada keterangan SP6 berkaitan kronologi beberapa kejadian rogol yang berlaku berdasarkan keterangan SP6 yang diberikan di Mahkamah semasa Pemeriksaan-Utama pada 09.06.2024 dan Pemeriksaan-Balas pada 29.12.2024, keterangan SP6 semasa membuat laporan polis pada 04.11.2022 (Eksibit P13) dan keterangan SP6 kepada SP1 iaitu doktor yang merawat SP6 pada 04.11.2022 (Eksibit P2). [45] Berikut adalah kronologi kejadian yang berlaku berdasarkan keterangan SP6 yang diberikan pada 4 masa yang berbeza tersebut: