Content
1 DALAM MAHKAMAH RAYUAN MALAYSIA DI PUTRAJAYA (BIDANG KUASA RAYUAN) RAYUAN JENAYAH NO: B-05(M)-43-01/2016 ANTARA DANNY DUTT (W/NEGARA INDIA) ... PERAYU DAN PENDAKWA RAYA … RESPONDEN [Dalam Perbicaraan Jenayah di Mahkamah Tinggi Shah Alam Perbicaraan Jenayah No: 45A-218-12/2013] Antara Pendakwa Raya Lawan Danny Dutt (W/Negara India) KORUM: MOHTARUDIN BIN BAKI, HMR ZAKARIA BIN SAM, HMR ABDUL KARIM BIN ABDUL JALIL, HMR 2 PENGHAKIMAN [1] Perayu, seorang warganegara India telah dituduh melakukan kesalahan mengedar dadah berbahaya jenis Methamphetamine seberat 2,149.5 gram. Perayu telah dibicarakan dan disabitkan kesalahan seperti pertuduhan. Perayu telah dijatuhkan hukuman mati mandatori. Kami telah mendengar rayuan Perayu dan memutuskan sebulat suara bahawa rayuan Perayu ditolak sebagai tidak bermerit. [2] Pertuduhan: “Bahawa kamu pada 7.3.2013, lebih kurang jam 1.30 pagi di Cawangan Pemeriksaan Penumpang 2 (CPP 2), Balai Ketibaan Antarabangsa, Lapangan Terbang Tambang Murah (LCCT), Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, di dalam Daerah Sepang, di dalam Negeri Selangor Darul Ehsan, telah didapati mengedar dadah berbahaya iaitu Methamphetamine seberat 2,149.5 gram, dan dengan itu kamu telah melakukan suatu kesalahan di bawah seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah seksyen 39B(2) Akta yang sama.” [3] Kes Prima facie: Hakim bicara telah menghuraikan fakta kes pendakwaan dalam penghakiman bertulis beliau di muka surat 4 hingga 7 Rekod Rayuan Jld. 1. Kami tidak berhasrat untuk mengulanginya kecuali fakta-fakta tertentu untuk tujuan penekanan penghakiman kami.