Content
DALAM MAHKAMAH SESYEN DI KOTA BHARU DALAM NEGERI KELANTAN DARUL NAIM, MALAYSIA GUAMAN NO.: DA-B52NCvC-18-11/2023 ANTARA DATO’ MOHAMAD ROZALI BIN ISOHAK (No K/P: 500728-03-5291) … PLAINTIF DAN TENAGA NASIONAL BERHAD (NO. SYARIKAT: 200866-W) …DEFENDAN PENGHAKIMAN PENGENALAN [ 1 ] Tuntutan utama Plaintif adalah atas dakwaan bahawa Defendan telah menceroboh tanah yang dikenalpasti sebagai Lot 1174, No. Hakmilik GM 2323, Mukim Maka Kg. Pdg. Siam, Tanah Merah, Kelantan (“Tanah subjek tersebut”). Adalah tidak dipertikaikan bahawa Plaintif bukanlah pemilik berdaftar tunggal bagi Tanah subjek itu. Sebaliknya, Plaintif adalah pemilik berdaftar bersama, berkongsi pemilikan tanah secara sama rata dengan dua individu lain, iaitu Che Dir bin Ibrahim dan 15/04/2025 16:58:01 DA-B52NCvC-18-11/2023 Kand. 90 Hashim bin Yaacob, dengan setiap daripada mereka memiliki satu pertiga (1/3) bahagian Tanah subjek. Namun Plaintif membuat tuntutan ini secara bersendirian tanpa memasukkan dua lagi pemilik tanah berdaftar sebagai pihak dalam guaman ini. [ 2 ] Defendan dalam keterangan dan bukti yang ada membuktikan bahawa Defendan tidak pada bila-bila masa melakukan pendudukan secara tak sah ke atas Tanah subjek tersebut sejak ia memasuki ke atas tanah pada 1979. Defendan telah mengemukakan keterangan dokumentari dalam bentuk Notis bertarikh 14.5.1979 menurut seksyen 53 Akta Elektrik 1949, yang telah dikeluarkan kepada Pejabat Tanah dan Jajahan Tanah Merah (“PTJTM”) mengenai niatnya untuk memasuki beberapa bidang tanah di Tanah Merah, termasuk Tanah subjek itu untuk tujuan mewujudkan dua (2) rantaian rentisan lebar untuk mendirikan menara dan memasang talian pemancaran 275 kV dari Kg Jeli ke Tanah Merah dan talian 132 kV dari Tanah Merah ke Kota Bharu (“Pendawaian Elektrik”). [ 3 ] Defendan memasuki tanah berkenaan sebagai sebahagian daripada kewajipan-kewajipan dan fungsi – fungsi statutori, khususnya untuk membina pemasangan talian pemancaran elektrik bagi membekalkan tenaga eletrik untuk manfaat ribuan penduduk dan masyarakat di kawasan – kawasan sekitar, termasuk Tanah subjek tersebut. [ 4 ] Defendan memasuki Tanah subjek tersebut selama lebih 34 tahun menurut hak-hak statutori yang diperuntukkan di bawah undang-undang persekutuan yang relevan yang mentadbir bekalan elektrik. Plaintif dalam keterangan mengakui bahawa beliau telah membeli Tanah subjek tersebut sekitar tahun 1980-an tetapi hanya mengetahui mengenai kemasukan dan pendudukan Defendan ke atas Tanah subjek tersebut pada atau sekitar Februari 2020 iaitu lebih kurang empat puluh (40) tahun sejak Defendan telah mendapat hak untuk memasuki dan menduduki Tanah subjek itu atas alasan bahawa beliau tidak menggunakan atau mengusahakan Tanah subjek tersebut sejak beliau membelinya pada 1980-an. [ 5 ] Defendan telah membina dan mendirikan struktur-struktur elektrik yang besar, menara-menara, dan kabel-kabel overhed di atas Tanah dengan memberikan pampasan kepada pemilik – pemilik tanah, seperti yang dikehendaki oleh undang-undang. Pihak Berkuasa Negeri telah membuat peniaian jumlah pampasan kepada semua pemilik tanah mengikut keperluan – keperluan undang-undang yang ditetapkan. [ 6 ] PTJTM telah mengadakan perbicaraan pampasan bagi Tanah subjek tersebut pada 5.6.1989, di bawah seksyen 53 dan 58 Akta Elektrik 1949 dan memberikan perintah bayaran pampasan tambahan sebanyak RM38,165.50 kepada kesemua pemilik berdaftar Tanah subjek tersebut, termasuk Plaintif. Defendan juga telah membayar pampasan asal sebanyak RM12,012.50, menjadikan jumlah pampasan yang dibayar kepada RM50,178.00. Perintah PTJTM bertarikh 05.06.1989 jelas memerintahkan Defendan untuk membuat bayaran pampasan bagi Tanah subjek tersebut kepada Hashim bin Yaacob, salah seorang daripada tiga pemilik tanah yang berdaftar. Ini kerana hanya Hashim bin Yaacob yang menghadiri pendengaran bagi pampasan di PTJTM pada 05.06.1989, manakala dua pemilik tanah lain termasuk Plaintif tidak hadir atas sebab-sebab yang tidak diketahui. [ 7 ] Dalam mematuhi perintah PTJTM, Defendan telah membuat bayaran pampasan penuh kepada Hashim bin Yaacob dengan mengisukan cek berjumlah RM38,165.50, bertarikh 31.7.1989, dibayar kepada Hashim bin Yaacob dan memajukan cek kepada PTJTM melalui surat bertarikh 8.8.1989. Plaintif semasa perbicaraan mengakui terdapat kebarangkalian tinggi bahawa Hashim bin Yaacob, sebagai salah seorang daripada tiga pemilik tanah bagi Tanah subjek itu, telah menerima pampasan penuh bagi Tanah subjek tersebut daripada Defendan, berjumlah RM50,178.00. Plaintif pula mengakui bahawa dia tidak pada bila-bila masa cuba untuk menghubungi Hashim untuk mendapatkan dan/atau menuntut jumlah tersebut. Sebaliknya, Plaintif memilih untuk memfailkan tuntutan ini terhadap Defendan untuk menuntut jumlah pampasan. [ 8 ] Defendan mempunyai kebenaran untuk memasuki Tanah subjek melalui hak izin lalu (“wayleave”) statutori. PTJTM juga telah mengarahkan supaya Tanah subjek tersebut diambil alih oleh kerajaan supaya Defendan boleh terus menikmati pendudukan secara aman Tanah subjek tersebut untuk membekalkan elektrik kepada komuniti sekitar. Oleh itu, Plaintif, serta dua pemilik berdaftar lain, iaitu Che Dir bin Ibrahim dan Hashim bin Yaacob, tidak lagi mempunyai sebarang hak pendudukan atau kepentingan dalam Tanah subjek tersebut setelah Defendan mematuhi perintah PTJTM dengan membuat bayaran pampasan sebanyak RM38,165.50 dan pampasan asal RM12,012.50, berjumlah RM50,178.00. [ 9 ] Berdasarkan keterangan yang dikemukakan semasa perbicaraan, sehingga kini, pemilik-pemilik tanah, termasuk Plaintif telah gagal mematuhi perintah PTJTM walaupun telah menerima pampasan penuh daripada Defendan. Ketidakpatuhan ini merupakan satu pelanggaran terhadap perintah PTJTM. Maka, Defendan telah mengeluarkan Notis Berkenaan Kemasukan Kaveat (“Notice Regarding the Entry of Caveat”) di bawah peruntukan-peruntukan yang relevan dalam Kanun Tanah Negara 1965 kepada semua pemilik tanah, termasuk Plaintif. Pada 3.10.2021, Defendan telah mendaftarkan satu kaveat persendirian untuk melindungi haknya ke atas Tanah subjek tersebut dan tiada permohonan dibuat oleh Plaintif kepada PTJTM untuk mencabar atau mengenepikan kaveat persendirian Defendan ke atas Tanah subjek. [ 10 ] Walaupun tanah ini ada tiga pemilik bersama tetapi hanya Plaintif yang memohon jumlah sewa ini. Kedua-dua pemilik tanah berdaftar lain, Che Dir bin Ibrahim dan Hashim bin Yaacob, tidak membangkitkan sebarang tuntutan yang sama untuk dakwaan kerugian sewa. Plaintif telah gagal memenuhi keperluan undang-undang dan bukti yang diperlukan untuk mewajarkan relif-relif yang dipohon dalam Writ dan Pernyataan Tuntutan. Defendan di dalam Tuntutan Balas bertarikh 27.12.2023 menyatakan bahawa tuntutan Plaintif, seperti yang dibuktikan oleh kekurangan asas yang wajar atau kukuh dan tuntutan yang tidak munasabah menunjukkan motif – motif yang tidak wajar dan salah. FAKTA-FAKTA YANG DIPERSETUJUI [ 11 ]. Plaintiff merupakan seorang warganegara Malaysia yang cukup umur dan mempunyai alamat penyampaian di No. 484, Kampung Padang Bongor, Sebelah Kastam, Jalan Pengkalan Chepa, 15400, Kota Bharu Kelantan. Defendan pula adalah sebuah Syarikat Berhad yang diperbadankan dan ditubuhkan di bawah Akta Syarikat 1965 dan Akta Bekalan Elektrik Syarikat Pengganti 1990 (‘Electricity Supply Successor Company Act 1990’) [ 12 ]. Sebelum 1.9.1990, Defendan dimiliki sepenuhnya oleh Kerajaan Malaysia menurut Akta Elektrik 1949 (‘Electricity Act 1949’). Melalui Akta Syarikat 1965 dan Akta Pembekalan Elektrik Syarikat Pengganti 1990 (‘Electricity Supply Successor Company Act 1990’), Defendan telah mengambil alih Lembaga Letrik Negara Tanah Melayu (‘LLN’) (‘National Electricity Board’) Negara Malaysia . Tugas-tugas (‘duties’) dan fungsi-fungsi (‘functions’) Defendan adalah seperti yang diperuntukkan dan dikeluarkan oleh perlesenan statutori dibawah Akta Bekalan Elektrik 1990 (‘Electricity Supply Act 1990’) untuk membekalkan kuasa elektrik ke seluruh semenanjung Malaysia. ISU – ISU UNTUK DIBICARAKAN [13]. Terdapat enam belas isu-isu untuk dibicarakan yang dipersetujui di hadapan Mahkamah ini seperti yang dilihat dalam Isu-Isu Untuk Dibicarakan bertarikh 16.02.2024 dalam Kandungan No. 12: a) Sama ada pengambilan tanah adalah defektif dan tidak sah di sisi undang-undang disebabkan alasan-alasan berikut:- i. Pengambilan tanah tersebut adalah tidak mengikut Akta Elektrik 1949 ii. Notis serahan bagi pengambilan tanah milik Plaintif tidak pernah diterima oleh Plaintif selaku salah seorang daripada pemilik asal tanah tersebut. iii. Tiada kebenaran daripada Plaintif selaku pemilik tanah dimana Plaintif merupakan pemilik berdaftar tanah tersebut. iv. Tiada sebarang bayaran pampasan yang pernah diterima dan/atau diberikan oleh Defendan kepada Plaintif. b) Sama ada Defendan telah secara salah menceroboh dan/atau memasuki tanah Plaintif dan melakukan kerosakan kepada tanah tersebut? c) Sama ada Plaintif selaku pemilik berdaftar berhak untuk menuntut wang sebanyak RM 461,560.00 dan prayer-prayer seperti yang diplidkan di dalam Pernyataan Tuntutan bertarikh 15.11.2023 ke atas pencerobohan dan kerugian atau perbuatan menceroboh oleh Defendan sebagai jumlah gantirugi? d) Sama ada pada semua masa yang material,Plaintif merupakan salah seorang pemilik berdaftar tanah yang dikenali sebagai Lot 1174, No. Hakmilik GM2323, Mukim Maka Kampung Padang Siam, Tanah Merah, Kelantan (selepas ini dirujuk sebagai "Tanah tersebut")?, e) Sama ada kemasukan Defendan ke dalam Tanah tersebut di tahun 1989 adalah sah di bawah undang-undang dan di bawah peruntukan Akta Elektrik 1949 dan atau Akta Bekalan Elektrik 1990 bagi tujuan mendirikan pepasangan talian penghantaran elektrik untuk membekalkan elektrik bagi memberikan perkhidmatan kepada masyarakat sekitar?. f) Sama ada Perintah yang diberikan oleh pihak Pentadbir Tanah Jajahan Tanah Merah (PTJTM) pada 5 Jun 1989 adalah sah kerana pampasan berjumlah RM50,178.00 sepertimana diperintahkan oleh PTJTM telahpun diselesaikan secara penuh oleh Defendan pada masa yang material? g) Sama ada keputusan PTJTM adalah satu perintah akhir ("final order") dan tidak boleh dicabar dari sisi undang-undang ("cannot be challenged in law") kerana pemilik-pemilik tanah tersebut termasuk Plaintif tidak membuat sebarang rayuan terhadap perintah PTJTM berkenaan bayaran pampasan tanah tersebut di bawah peruntukan Akta Elektrik 1949 dan / atau Akta Bekalan Elektrik 1990? h) Sama ada Plaintif telah mengingkari perintah PTJTM bertarikh 5 Jun 1989 kerana gagal menyerahkan keseluruhan Tanah tersebut kepada Kerajaan menggunakan Borang 12A, Kanun Tanah Negara 1965 walaupun Defendan telah membayar pampasan keseluruhan Tanah tersebut? i) Sama ada Plaintif dalam membawa tindakan ini terhadap Defendan pada tahun 2023 (kira-kira 34 tahun setelah Defendan telah memperoleh hak statutori 'wayleave' di bawah Akta Elektrik 1949 dan/atau Akta Bekalan Elektrik 1990) bagi pencerobohan yang didakwa adalah suatu pemikiran kemudian dan mala fide dengan tujuan untuk memperkaya dirinya sendiri secara tidak adil? j) Sama ada Defendan telah menikmati kenikmatan aman sentosa di Tanah tersebut selama kira-kira 34 tahun seiring dengan kewajiban kepentingan awamnya untuk membekalkan elektrik kepada masyarakat di kawasan sekitar Tanah tersebut? k) Sama ada Defendan menikmati kenikmatan aman sentosa di Tanah tersebut untuk membekalkan elektrik ke kawasan sekitar 34 tahun adalah berdasarkan persetujuan ("acquiescence") yang jelas dan / atau pengetepian hak pemilik asal Tanah tersebut? l) Sama ada Defendan boleh menggunakan doktrin laches terhadap Plaintif kerana kelewatan oleh Plaintif dalam mengemukakan tindakan ini walaupun telah menjadi salah satu pemilik-pemilik Tanah tersebut sejak tahun 1998? m) Sama ada Plaintif diestop dari tuduhan pencerobohan terhadap Plaintif kerana membawa tindakan ini di luar tempoh had masa ("limitation period") di bawah Akta Had Masa 1953? n) Sama ada pampasan yang dipohon oleh Plaintif daripada Defendan adalah tidak bertatasusila dan telah dibuat semata-mata mencederakan reputasi Defendan dengan niat-jahat dan / atau niat yang tidak betul "improper motive" dan/atau niat yang tidak sah "wrongful motive"? o) Sama ada Defendan berhak untuk menuntut ganti rugi kerana Plaintif telah memulakan prosiding tersebut tanpa sebab yang sepatutnya dan membuat pendakwaan sivil yang berniat jahat bagi mencederakan reputasi Defendan serta tidak mempunyai asas untuk tindakan tersebut? p) Sama ada Defendan berhak kepada Tuntutan sepertimana diplidkan di perenggan 35 Pernyataan Pembelaan dan Tuntutan Balas bertarikh 27.12.2023? UNDANG-UNDANG [ 14 ] Plaintif menanggung beban bukti untuk menuntut faedah atau caj pembayaran lewat seperti yang dijelaskan dalam kes Tenaga Nasional Bhd lwn Marwin Industries Sdn. Bhd [2012] 2 MLJ 421 selepas memetik s. 101 Akta Keterangan 1950 : “[6] In law, the party who desires the court to give judgment as to any legal right or liability bears the burden of proof ( s 101(1) of the Evidence Act 1950). The burden of proof is on that party is twofold: