Lampiran
Lampiran 19 (permohonan ini) untuk mendapatkan pelbagai dokumen yang didakwa berkaitan dengan asas keputusan PBT. 8. Berdasarkan hujahan Pemohon dokumen-dokumen tersebut diperlukan untuk membuktikan bahawa keputusan PBT tidak dibuat secara adil, untuk melihat asas substantif Keputusan, untuk membuktikan elemen kesilapan fakta, bagi membuktikan kewujudan ‘mala fide’ atau ketidakrasionalan dan untuk menyediakan prosiding Semakan Kehakiman dengan lebih lengkap. 9. Responden-Responden pula menghujahkan bahawa JR tidak menyentuh merit substantif Keputusan maka dokumen-dokumen tersebut adalah tidak relevan, pemohon juga tidak menunjukkan bagaimana setiap dokumen berkaitan dengan ‘illegality’, ‘irrationality’, atau ‘procedural impropriety’, tambahan pula banyak dokumen adalah bersifat sulit (‘classified’), ‘privileged’, atau dilindungi kerahsiaan perkhidmatan awam, permohonan adalah terlalu luas, tidak spesifik, dan merupakan ‘fishing expedition’. Tambahan pula dalam Keputusan di bawah Peraturan 49(3), tiada keperluan untuk menunjukkan rekod siasatan, kerana kuasa PBT adalah budi bicara luas serta Pemohon gagal menunjukkan bahawa dokumen tersebut adalah ‘necessary for the fair disposal of the JR proceedings’ sebagaimana ditetapkan oleh undang-undang. 10. Dalam hujahan responden, pelbagai kes dikemukakan untuk menyokong penolakan permohonan, antaranya Rama Chandran v Industrial Court of Malaysia [1997] 1 MLJ 145 (FC), Ranjit Kaur v Hotel Excelsior (M) Sdn Bhd [2010] 6 MLJ 1 (FC), Pengarah Tanah dan Galian, Wilayah Persekutuan v Sri Lempah Enterprise Sdn Bhd [1979] 1 MLJ 135 (FC), Petroliam Nasional Bhd v Nik Ramli Nik Hassan [2004] 2 MLJ 288 (CA), Swedish Motor Assemblies Sdn Bhd v ABM Vehicles [2012] 9 CLJ 873 (HC), Bayerische Motoren Werke AG v Multi-Purpose Holdings Bhd [2004] 1 MLJ 259 (CA), Swiss Singapore Overseas Enterprises Pte Ltd v SMI Industries Sdn Bhd [1999] 2 MLJ 551 (CA), Skandinaviska Banken AB v Asia Pacific Pulp & Paper Co Ltd [1998] 1 MLJ 1 (CA) dan lain-lain lagi. 11. Responden juga berhujah bahawa berdasarkan kes-kes tersebut, Pemohon gagal membuktikan bahawa dokumen-dokumen tersebut adalah relevan secara langsung kepada isu undang-undang JR, diperlukan (‘necessary’) untuk penyelesaian JR, tidak bersifat ‘privileged’. Tambahan pula dokumen-dokumen tersebut tidak digunakan untuk memutuskan merit keputusan pentadbiran serta ianya tidak bertentangan dengan prinsip bahawa JR tidak menilai kes substantif tetapi hanya menilai keabsahan proses (‘legality’, ‘not correctness’). ISU-ISU UNTUK DIPUTUSKAN OLEH MAHKAMAH ISU 1: Sama ada dokumen-dokumen yang diminta Pemohon memenuhi ujian ‘relevance’ di bawah Aturan 24 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012. ISU 2: Sama ada dokumen-dokumen tersebut adalah’ necessary for the fair disposal of the JR proceedings’, memandangkan prosiding masih pada peringkat ‘leave’/’grant’’/record’ dan belum ke peringkat merit. ISU 3: Sama ada Mahkamah mempunyai bidang kuasa untuk memerintahkan penzahiran dokumen-dokumen terperingkat, sulit atau ‘privileged’ kerajaan, termasuk dokumen yang dilindungi oleh Akta Rahsia Rasmi 1972 (Akta 88), Public Interest Immunity (PII), Dokumen dalaman agensi kerajaan, rekod tatatertib, ulasan AGC, laporan SPRM, minit LPU/PT dan mengambil kira bahawa tiada permohonan Pemohon untuk nyahklasifikasi dokumen-dokumen tersebut. ISU 4: Sama ada permohonan ini merupakan suatu fishing expedition dan oleh itu tidak memenuhi prinsip keperluan (necessity) di bawah Aturan 24 serta menyalahi batas permohonan penzahiran dalam Semakan Kehakiman. ISU DAN ANALISA MAHKAMAH ISU 1 — Sama ada dokumen-dokumen yang diminta Pemohon memenuhi ujian ‘relevance’ di bawah Aturan 24 KKM 2012. 12. Aturan 24 Kaedah 3 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 memperuntukkan bahawa Mahkamah boleh mengarahkan mana-mana pihak mendedahkan dokumen yang berada dalam milikannya, penjagaannya atau kawalannya, jika dokumen tersebut adalah relevan kepada isu yang perlu diputuskan dalam prosiding. Ujian relevansi adalah ujian pertama dan paling asas sebelum pertimbangan necessity atau sebarang isu ‘privilege’. 13. Prinsip asas ini telah ditegaskan dalam beberapa keputusan, antaranya: i. Skandinaviska Banken AB v Asia Pacific Pulp & Paper Co Ltd [1998] 1 MLJ 1 (CA) Mahkamah menegaskan bahawa penzahiran tidak boleh melebihi skop relevansi yang munasabah dan dokumen mesti berkaitan secara langsung dengan persoalan yang akan diputuskan. ii. Rama Chandran v Industrial Court of Malaysia [1997] 1 MLJ 145 (FC) 14. Dalam konteks semakan kehakiman, Mahkamah hanya berurusan dengan kesahan proses dan bukan penilaian semula fakta substantif. Maka, dokumen yang relevan hanyalah dokumen yang membentuk ‘record of decision’, bukan segala bahan penyiasatan. 15. Dalam prosiding ini, Pemohon memohon pelbagai dokumen termasuk laporan siasatan SPRM, minit mesyuarat dalaman, ulasan undang-undang oleh Jabatan Peguam Negara, dan rekod pertimbangan Pihak Berkuasa Tatatertib. Namun, Pemohon tidak menunjukkan hubungan langsung dokumen-dokumen tersebut dengan isu undang-undang dalam Semakan Kehakiman, yang pada hakikatnya tertumpu kepada soalan: 1) Sama ada kuasa tatatertib telah dilaksanakan secara sah; 2) Sama ada terdapat pelanggaran asas keadilan asasi; 3) Sama ada keputusan dibuat secara ‘ultra vires’ atau tidak munasabah. 16. Sebahagian besar dokumen yang diminta Pemohon tidak membentuk asas rekod keputusan (‘record of decision’) tetapi hanya dokumen latar (‘background materials’) atau dokumen penyiasatan yang tidak menjadi sebahagian daripada proses pembuatan keputusan tatatertib di bawah Peraturan 49(3) PPPA 1993. 17. Mahkamah ini mendapati bahawa Pemohon gagal menunjukkan bagaimana setiap dokumen yang diminta mempunyai kaitan langsung dengan persoalan undang-undang yang perlu diputuskan dalam JR ini. Oleh itu, syarat relevansi tidak dipenuhi. Analisa Isu 1 18. Aturan 24 Kaedah 3 KKM 2012 memberikan kuasa kepada Mahkamah untuk memerintahkan mana-mana pihak menzahirkan dokumen dalam milikan, penjagaan atau kawalannya jika dokumen tersebut relevan kepada isu yang akan diputuskan dalam prosiding. Prinsip asasnya ialah dokumen mesti mempunyai ‘direct bearing’ terhadap isu undang-undang dalam tindakan tersebut. 19. Dalam konteks Semakan Kehakiman, isu yang diputuskan adalah terhad kepada persoalan: (a) sama ada keputusan pentadbiran dibuat secara sah, teratur dan mengikut undang-undang; (b) sama ada terdapat pelanggaran keadilan asasi; dan (c) sama ada keputusan adalah wajar, rasional dan tidak bersifat ‘Wednesbury unreasonable’. 20. Ini selaras dengan prinsip utama yang ditegaskan oleh Mahkamah Persekutuan dalam kes Rama Chandran v Industrial Court of Malaysia (supra) Mahkamah dalam kes tesebut menjelaskan bahawa JR tidak bertujuan untuk mengkaji merit substantif tetapi hanya menilai proses dan tatacara membuat keputusan. 21. Pemohon dalam afidavit sokongan telah memohon pelbagai dokumen termasuk: laporan SPRM, minit mesyuarat LPU/PBT, dokumen ulasan undang-undang oleh Jabatan Peguam Negara, dokumen penyiasatan dalaman, rekod cadangan tindakan tatatertib, termasuk rekod perbincangan dalaman agensi. Namun Pemohon tidak menunjukkan kaitan langsung dokumen-dokumen tersebut dengan persoalan undang-undang khusus dalam JR ini. 22. Mahkamah Rayuan dalam kes Skandinaviska Banken AB v Asia Pacific Pulp & Paper Co Ltd (supra) menegaskan bahawa relevansi mesti bersifat langsung, bukan hanya berkaitan secara longgar atau bersifat latar. 23. Dalam kes ini, keputusan tatatertib dibuat oleh Pihak Berkuasa Tatatertib di bawah Peraturan 49(3) Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993, yang memberi kuasa membuat keputusan demi kepentingan awam tanpa keperluan menjalankan perbicaraan penuh. Rekod keputusan tersebut tidak merangkumi laporan siasatan penuh atau dokumen lain yang diminta Pemohon. 24. Oleh itu Mahkamah mendapati Pemohon gagal menghubungkan dokumen-dokumen diminta dengan elemen penting JR, iaitu keabsahan proses keputusan. Maka syarat relevansi tidak dipenuhi. ISU 2 — Sama ada dokumen-dokumen tersebut necessary for the fair disposal of the JR proceedings 25, Selain relevansi, Aturan 24 mensyaratkan bahawa dokumen yang diminta mestilah perlu (‘necessary’) untuk penyelesaian adil prosiding. Ujian ‘necessity’ adalah lebih ketat dalam konteks Semakan Kehakiman kerana Mahkamah tidak menilai merit substantif tetapi hanya menilai proses pembuatan keputusan. 26. Prinsip ini diperjelaskan di dalam kes-kes berikut: Hotel Jaya Puri Bhd v National Union of Hotel, Bar & Restaurant Workers [1980] 1 MLJ 109 (FC). Dimana Mahkamah menekankan bahawa penzahiran tidak boleh dijadikan alat untuk merombak penyiasatan asal atau mendapatkan maklumat tambahan yang tidak diperlukan untuk menentukan isu undang-undang. Majlis Amanah Rakyat v Aik Heng Trading & Construction [1979] 2 MLJ 229 (FC) memutuskan necessity bermaksud dokumen itu mesti diperlukan untuk keadilan prosedur, bukan untuk memudahkan pihak membina semula kes substantif. Ranjit Kaur v Hotel Excelsior (M) Sdn Bhd [2010] 6 MLJ 1 (FC) menyatakan dalam JR, Mahkamah hanya memeriksa sama ada proses dan tatacara adalah sah dan dokumen luar rekod keputusan tidak perlu didedahkan. 27. Dalam prosiding tatatertib sektor awam khasnya di bawah Peraturan 49(3) PPPA 1993, keputusan boleh dibuat “demi kepentingan awam” tanpa perlu menjalankan perbicaraan tatatertib penuh. Justeru rekod yang wujud hanyalah record of the decision, bukan laporan penyiasatan penuh atau dokumen sokongan dalaman. 28. Pemohon tidak menunjukkan bahawa dokumen yang diminta adalah perlu untuk Mahkamah menentukan isu undang-undang berhubung keputusan tatatertib. Sebaliknya, dokumen yang diminta bersifat sangat luas, melibatkan dokumen terperingkat atau ‘privileged’, tidak menunjukkan keperluan untuk penyelesaian adil JR, dan menyentuh bahan siasatan yang tidak menjadi rekod keputusan. 29. Mahkamah mendapati bahawa Pemohon telah gagal memenuhi syarat ‘necessity’ di bawah Aturan 24 KKM 2012. Tanpa memenuhi syarat ini, permohonan penzahiran tidak boleh diluluskan walaupun dianggap relevan. Analisa Isu 2 30. Ujian kedua di bawah Aturan 24 ialah sama ada dokumen itu perlu untuk penyelesaian adil tindakan. Ujian necessity ini lebih ketat dalam Semakan Kehakiman berbanding tindakan sivil biasa. 31. Mahkamah Persekutuan dalam kes Hotel Jaya Puri Bhd v National Union of Hotel, Bar & Restaurant Workers (supra) dan Majlis Amanah Rakyat v Aik Heng Trading & Construction (supra) menegaskan bahawa penzahiran hanya dibenarkan jika dokumen berkenaan benar-benar diperlukan untuk Mahkamah menentukan isu undang-undang yang dipertikaikan. 32. JR hanya memerlukan rekod keputusan (record of decision), bukan bahan penyiasatan latar belakang. Keperluan ini diulang dalam kes di Mahkamah Persekutuan Ranjit Kaur v Hotel Excelsior (M) Sdn Bhd [2010] 6 MLJ 1 (FC). 33. Pemohon tidak menunjukkan bahawa dokumen-dokumen diminta itu diperlukan untuk Mahkamah menilai kesahan proses tatatertib. Banyak dokumen yang diminta berada di luar ruang lingkup proses membuat keputusan, dan hanya bersifat menyokong, penyiasatan atau persiapan dalaman agensi. 34. Tambahan pula, JR ini masih berada di peringkat awal. Isu merit belum difailkan atau didengar, dan Mahkamah pada tahap ini hanya menilai struktur permohonan, bukan merit substantif. Oleh itu, Mahkamah mendapati syarat necessity juga tidak dipenuhi. ANALISA ISU 1 DAN 2 DENGAN MENGAMBIL KIRA HUJAHAN PEMOHON 35. Mahkamah mengambil maklum bahawa Pemohon dalam hujahan bertulisnya telah merujuk kepada beberapa keputusan Mahkamah Persekutuan dan Mahkamah Rayuan, antaranya Rama Chandran v Industrial Court of Malaysia [1997] 1 MLJ 145 (FC), Alcatel-Lucent Malaysia Sdn Bhd [2017] 3 MLJ 509 (CA), Sugumar Balakrishnan v Pengarah Imigresen Sabah [1998] 3 MLJ 289 (CA), Hong Leong Equipment v Liew Fook Chuan [1996] 1 MLJ 481 (FC), Allied Capital v Mohd Latiff [1997] 3 MLJ 1 (CA), dan Re Guthrie [1983] 1 MLJ 257 (HC). 36. Pemohon menghujahkan bahawa prinsip keadilan asasi dan kewajipan untuk bertindak secara adil menuntut pendedahan penuh dokumen yang berkaitan bagi membolehkan Pemohon mencabar keputusan tatatertib secara saksama. 37. Walau bagaimanapun, Mahkamah berpendapat bahawa kes-kes yang dirujuk Pemohon tersebut harus difahami dalam konteks doktrin ‘record of decision’ dalam JR, iaitu Mahkamah hanya berhak melihat dokumen yang membentuk asas keputusan pentadbiran, bukan laporan penuh siasatan, dokumen dalaman, kertas cadangan atau komunikasi perundangan yang tidak menjadi sebahagian daripada asas keputusan Pihak Berkuasa Tatatertib. 38. Mahkamah juga membezakan bahawa kes-kes rujukan Pemohon tidak melibatkan dokumen yang dilindungi oleh Akta Rahsia Rasmi 1972, tidak melibatkan doktrin ‘public interest immunity’, dan tidak berkaitan dengan keputusan tatatertib di bawah Peraturan 49(3) PPPA 1993 yang membenarkan keputusan demi kepentingan awam tanpa perbicaraan tatatertib penuh. 39. Oleh itu, kes-kes yang dirujuk Pemohon tidak boleh diterapkan secara terus ke dalam situasi ini. Mahkamah mendapati bahawa keadaan faktum permohonan ini jauh berbeza, dan oleh itu kes-kes tersebut tidak membantu Pemohon untuk memenuhi keperluan relevansi dan ‘necessity’ di bawah Aturan 24 KKM 2012. ISU 3 - Sama ada Mahkamah mempunyai bidang kuasa untuk memerintahkan penzahiran dokumen-dokumen terperingkat, sulit atau privileged kerajaan, termasuk dokumen yang dilindungi oleh Akta Rahsia Rasmi 1972 (Akta 88), ‘Public Interest Immunity’ (PII), Dokumen dalaman agensi kerajaan, rekod tatatertib, ulasan AGC, laporan SPRM, minit LPU/PT dan mengambil kira bahawa tiada permohonan Pemohon untuk nyahklasifikasi dokumen-dokumen tersebut. 40. Ini adalah Isu penting yang perlu diputuskan Mahkamah iaitu sama ada bidang kuasa Mahkamah untuk memerintahkan penzahiran dokumen-dokumen di bawah Aturan 24 KKM 2012 meliputi dokumen yang bersifat terperingkat, sulit atau dilindungi oleh undang-undang, termasuk dokumen rasmi kerajaan, laporan siasatan, minit mesyuarat dalaman dan komunikasi perkhidmatan awam. 41. Seksyen 25(2) Akta Mahkamah Kehakiman 1964 memang memperuntukkan kuasa budi bicara Mahkamah untuk membuat apa-apa perintah yang “sewajarnya dan perlu” bagi melaksanakan bidang kuasanya. Namun, kuasa itu bukan kuasa mutlak dan hendaklah dibaca selaras dengan syarat-syarat tatacara yang diperuntukkan oleh Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 serta apa-apa sekatan undang-undang lain yang berkaitan. 42. Aturan 24 Kaedah 3–7 KKM 2012 memberikan kuasa kepada Mahkamah untuk memerintahkan penzahiran dokumen, tetapi kuasa tersebut hanya terpakai kepada dokumen yang relevan secara langsung, diperlukan untuk penyelesaian adil tindakan dan tidak tertakluk kepada sebarang bentuk privilege, sama ada ‘statutory privilege’, ‘public interest immunity’ atau ‘classified official documents’. 43. Akta Rahsia Rasmi 1972 (Akta 88) menetapkan bahawa dokumen tertentu antaranya laporan siasatan agensi penguatkuasaan, minit mesyuarat, rekod rasmi kerajaan dan dokumen yang dikelaskan oleh pihak berkuasa Kerajaan adalah dokumen terperingkat. Seksyen 2 dan Seksyen 8 Akta ini menjadikan pemilikan atau penyebaran dokumen terbabit sebagai suatu kesalahan jenayah melainkan dokumen itu telah dinyahklasifikasikan oleh pihak berkuasa yang kompeten. 44. Dalam prosiding ini, Pemohon tidak memfailkan apa-apa permohonan untuk memohon supaya dokumen-dokumen tersebut dinyahklasifikasikan melalui proses pentadbiran yang sewajarnya. Tanpa proses nyahklasifikasi, Mahkamah tidak mempunyai kuasa untuk memerintahkan penzahiran dokumen yang tergolong sebagai rahsia rasmi, kerana suatu perintah Mahkamah tidak boleh bertentangan dengan suatu undang-undang Parlimen yang bersifat penal. 45. Prinsip ini sejajar dengan keputusan-keputusan terdahulu, antaranya Skandinaviska Banken AB v Asia Pacific Pulp & Paper Co Ltd [1998] 1 MLJ 1 dan Bayerische Motoren Werke AG v Multi-Purpose Holdings Bhd [2004] 1 MLJ 259, yang dengan jelas memutuskan bahawa dokumen yang dilindungi privilege atau classified tidak boleh diperintahkan untuk dizahirkan. Mahkamah tidak boleh memerintahkan penzahiran jika ia menjejaskan kepentingan awam (‘public interest immunity’), keselamatan negara, atau rahsia rasmi kerajaan. 46. Di samping itu, dalam konteks keputusan tatatertib di bawah Peraturan 49(3) PPPA 1993, PBT tidak diwajibkan untuk menyediakan rekod siasatan, laporan terperinci atau minit mesyuarat bagi tujuan semakan kehakiman, kerana keputusan dibuat demi kepentingan awam berdasarkan budi bicara luas yang diberikan oleh peraturan tersebut. Dokumen dalaman tidak membentuk “record of decision” yang wajib dizahirkan seperti dalam JR jenis ‘procedural fairness’ yang klasik. 47. Dengan demikian, Mahkamah mendapati bahawa kuasa Mahkamah di bawah Aturan 24 KKM 2012 dan Seksyen 25(2) Akta Mahkamah Kehakiman tidak boleh mengatasi larangan jelas Akta Rahsia Rasmi 1972 mahupun doktrin kerahsiaan kerajaan. Tanpa permohonan dan perintah nyahklasifikasi, permohonan Pemohon adalah ‘ultra vires’ dan tidak selaras dengan undang-undang. Oleh yang demikian, Mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa untuk memerintahkan penzahiran dokumen-dokumen tersebut. Analisa Isu 3 48. Bidang kuasa Mahkamah yang luas di bawah Seksyen 25(2) Akta Mahkamah Kehakiman 1964 mesti dibaca bersama Aturan 24 KKM 2012 serta had-had undang-undang termasuk Akta Rahsia Rasmi 1972 (Akta 88). Kuasa penzahiran bukanlah kuasa mutlak. 49. Dokumen terperingkat Kerajaan seperti laporan SPRM, minit mesyuarat dalaman, nota AGC, rekod tatatertib dan kertas cadangan dilindungi oleh Akta Rahsia Rasmi 1972, dan pemilikan atau penyebarannya tanpa nyahklasifikasi adalah suatu kesalahan jenayah. 50. Pemohon dalam permohonannya tidak memohon apa-apa perintah untuk ‘declassification’. Tanpa langkah nyahklasifikasi, Mahkamah tidak boleh memerintahkan penzahiran dokumen tersebut. 51. ‘Doktrin Public Interest Immunity’ (PII) juga melindungi dokumen kerajaan yang melibatkan keselamatan, dasar awam atau integriti penyiasatan. Prinsip ini ditegaskan dalam Bayerische Motoren Werke AG v Multi-Purpose Holdings Bhd [2004] 1 MLJ 259 (CA). 52. Oleh itu, Mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa untuk mengarahkan penzahiran dokumen tersebut dalam keadaan ini. ISU 4 - Sama ada permohonan ini merupakan suatu ‘fishing expedition’ dan oleh itu tidak memenuhi prinsip keperluan (‘necessity’) di bawah Aturan 24 serta menyalahi batas permohonan penzahiran dalam Semakan Kehakiman. 53. Mahkamah turut perlu meneliti sama ada permohonan Pemohon ini bersifat ‘fishing expedition’, iaitu percubaan untuk mencari bahan bukti baharu tanpa menunjukkan bagaimana dokumen yang diminta mempunyai hubungan langsung dengan isu yang diputuskan dalam Semakan Kehakiman yang sedang berjalan. 54. Prinsip umum yang diterima pakai adalah bahawa penzahiran tidak boleh digunakan sebagai kaedah memancing bukti bagi membina kes baharu atau mencari alasan bagi mencabar keputusan pentadbiran. Hal ini telah dijelaskan dalam beberapa keputusan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan, antaranya: i. Skandinaviska Banken AB v Asia Pacific Pulp & Paper Co Ltd [1998] 1 MLJ 1 (CA) Ddi dalam kes ini ia Mahkamah menyatakan bahawa penzahiran mesti berkaitan secara langsung dan tidak boleh digunakan untuk ‘speculative or ‘exploratory purposes’. ii. Teras Narang Sdn Bhd v Kerajaan Malaysia [1996] 4 CLJ 1052 (HC) Memutuskan permohonan penzahiran ditolak apabila tujuan sebenar adalah untuk mencari bukti bagi menguatkan kes yang belum ditentukan asasnya. iii. Bayerische Motoren Werke AG v Multi-Purpose Holdings Bhd [2004] 1 MLJ 259 (CA) Mahkamah menegaskan bahawa permohonan penzahiran tidak boleh diluluskan jika ia tidak menunjukkan hubungan terus/’direct connection’ dengan isu yang akan diputuskan. 55. Di dalam konteks Semakan Kehakiman, Mahkamah hanya menilai proses dan tatacara keputusan pentadbiran, dan bukannya menentukan kebenaran fakta substantif. Oleh itu, dokumen yang diperlukan hanyalah “record of decision” atau dokumen yang menunjukkan proses membuat keputusan. Dokumen seperti laporan siasatan SPRM, minit mesyuarat, ulasan AGC, kertas dalam, rekod tatatertib, atau dokumen dalaman Pihak Berkuasa Perkhidmatan bukanlah dokumen yang membentuk asas rekod keputusan di bawah prinsip Rama Chandran v Industrial Court of Malaysia [1997] 1 MLJ 145 (FC). 56. Apabila Pemohon memohon dokumen yang luas, umum dan tidak terhad kepada asas keputusan tatatertib atau keputusan Pihak Berkuasa Tatatertib, permohonan tersebut mempunyai ciri-ciri ‘fishing expedition’, kerana Pemohon tidak menunjukkan bagaimana dokumen berkenaan akan membantu Mahkamah menentukan isu undang-undang dalam JR, iaitu sama ada keputusan dibuat secara sah, adil dan mengikut undang-undang. 57, Sementara Aturan 24 membenarkan penzahiran dalam keadaan yang sesuai, Mahkamah tidak seharusnya membenarkan permohonan yang melampaui skop Semakan Kehakiman dan bertujuan merombak siasatan tatatertib atau mencari bahan untuk membina merit substantif. Ini khususnya benar apabila JR masih belum memasuki peringkat substantive hearing. 58. Berdasarkan affidavit-afidavit dan hujahan pihak-pihak, Mahkamah mendapati bahawa dokumen-dokumen yang diminta Pemohon adalah umum, luas, melibatkan dokumen terperingkat dan sebahagiannya tidak berkaitan secara langsung dengan isu JR. Pemohon juga gagal menunjukkan bagaimana dokumen tersebut diperlukan pada tahap ini. Oleh itu, permohonan ini jatuh dalam kategori ‘fishing expedition’ dan tidak memenuhi syarat Aturan 24 KKM 2012. Analisa Isu 4 59. Mahkamah perlu meneliti sama ada Pemohon cuba mendapatkan dokumen bagi tujuan mencari bahan untuk membina kes JR substantif. Mahkamah telah menegaskan di dalam kes Skandinaviska Banken dan Teras Narang Sdn Bhd v Kerajaan Malaysia [1996] 4 CLJ 1052 bahawa penzahiran tidak boleh menjadi alat untuk memancing bukti. 60. Dokumen yang diminta Pemohon adalah umum, luas, merangkumi dokumen terperingkat, dan tidak terhad kepada rekod keputusan. Permohonan seperti ini memenuhi ciri-ciri ‘fishing expedition’. Oleh itu, Mahkamah mendapati permohonan ini melampaui skop Semakan Kehakiman dan tidak wajar dibenarkan. DAPATAN MAHKAMAH 61. Setelah meneliti hujahan kedua-dua pihak, keseluruhan affidavit Pemohon dan juga Responden, dan afidavit-afidavit berkaitan) serta dokumen sokongan yang dirujuk, Mahkamah mendapati bahawa Pemohon tidak berjaya memenuhi keperluan asas Aturan 24 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 berhubung permohonan penzahiran dokumen. 62. Mahkamah menerima hujahan Responden bahawa dokumen-dokumen yang dipohon adalah berada di luar ruang lingkup relevansi Semakan Kehakiman. Isu JR yang akan diputuskan nanti berkisar kepada kesahan proses membuat keputusan, bukan kepada substansi atau merit penyiasatan dalaman yang dijalankan oleh agensi kerajaan atau Pihak Berkuasa Tatatertib. 63. Mahkamah turut bersetuju bahawa Pemohon gagal menunjukkan bagaimana dokumen-dokumen tersebut ‘necessary for the fair disposal of JR’ ini. Dokumen-dokumen yang diminta bersifat umum, meluas dan tidak menunjukkan pertalian langsung kepada rekod keputusan yang dipertikaikan. Permohonan ini tidak memenuhi ‘standard necessity’ yang ketat sebagaimana digariskan dalam kes-kes seperti Hotel Jaya Puri, Aik Heng Trading, dan Ranjit Kaur (supra) 64. Mahkamah menerima penghujahan Responden bahawa banyak daripada dokumen yang diminta adalah dokumen terperingkat atau ‘privileged’, termasuk laporan siasatan SPRM, minit mesyuarat dalaman, ulasan Jabatan Peguam Negara dan rekod tatatertib. Dokumen-dokumen ini dilindungi oleh Akta Rahsia Rasmi 1972 (Akta 88) dan juga doktrin ‘Public Interest Immunity’ (PII). Tanpa permohonan nyahklasifikasi yang sewajarnya, Mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa untuk mengarahkan penzahiran dokumen tersebut. 65. Mahkamah seterusnya mendapati bahawa permohonan Pemohon mempunyai ciri-ciri ‘fishing expedition’, iaitu bertujuan untuk mencari bahan bagi membina kes substantif JR, dan bukan untuk menentukan isu undang-undang yang sebenar dalam proses Semakan Kehakiman. Permohonan bersifat spekulatif seperti ini telah ditegah oleh Mahkamah dalam kes Skandinaviska Banken, Bayerische Motoren Werke (supra) dan Teras Narang (supra) 66. Dengan sebab-sebab di atas, Mahkamah mendapati bahawa permohonan Pemohon tidak wajar dan tidak berlandaskan prinsip undang-undang yang ditetapkan bagi penzahiran dokumen dalam JR. Mahkamah lebih lanjut berpendapat bahawa permohonan ini tidak selaras dengan kerangka undang-undang tatakelola pentadbiran awam, khususnya di bawah Peraturan 49(3) PPPA 1993 yang memberi bidang kuasa luas kepada Pihak Berkuasa Tatatertib untuk membuat keputusan demi kepentingan awam. 67. Mahkamah telah meneliti kes-kes rujukan Pemohon, namun setelah menimbang fakta permohonan ini, Mahkamah mendapati bahawa keputusan-keputusan tersebut tidak mengubah dapatan di atas bahawa dokumen yang dipohon adalah tidak relevan, tidak ada keperluan, dilindungi undang-undang, dan permohonan bersifat ‘fishing expedition’. KEPUTUSAN & PERINTAH 68. Berdasarkan analisis keseluruhan di atas, Mahkamah dengan ini memutuskan bahawa Pemohon gagal memenuhi syarat-syarat relevansi, ‘necessity’, bidang kuasa dan larangan undang-undang yang terpakai di bawah Aturan 24 KKM 2012 untuk penzahiran dokumen. 69. Mahkamah mendapati: (a) Dokumen yang diminta tidak relevan secara langsung kepada isu undang-undang dalam JR; (b) Dokumen tersebut tidak ‘necessary for fair disposal’; (c) Mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa untuk memerintahkan penzahiran dokumen terperingkat di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972; (d) Permohonan ini merupakan satu ‘fishing expedition’ 70. Oleh itu, Mahkamah dengan ini MENOLAK PERMOHONAN PENZAHIRAN DOKUMEN OLEH PEMOHON DENGAN KOS DALAM KAUSA. Rekod prosiding JR akan diteruskan mengikut ketetapan Mahkamah seperti biasa. BERTARIKH: 17 DISEMBER 2025 t.t MANIRA BINTI MOHD NOR PESURUHJAYA KEHAKIMAN MAHKAMAH TINGGI SIVIL 4 JOHOR BAHRU Peguam Bagi Pihak Pemohon Azamuddin bersama Najib Tetuan Misyail Othman & Co Kuala Lumpur Peguam Bagi Pihak Responden Puan Zahilah binti Mohammad Yusoff Bersama Intan Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri Johor