tiada sebarang isu kredibiliti berkait SP2. Tidak pernah timbul sebarang isu bahawa SP2 menokok tambah atau menjual cerita-cerita yang tidak benar kepada pihak Mahkamah bagi kes ini. Keterangan SP2 adalah mantap, tidak diragui kesahihannya dan diterima pakai oleh Hakim Bicara dalam dapatan beliau (finding of facts). [23] Oleh yang demikian, pihak Pendakwaan menghujahkan bahawa kegagalan SP2 dalam memasukkan Ekshibit P6A ke dalam Ekshibit P8, adalah suatu “minor omission” yang langsung tidak mencacatkan kes Pendakwaan. Pihak Pendakwaan telah merujuk kepada penghakiman Mahkamah Persekutuan di dalam kes Wan Marzuki bin Wan Abdullah v. PP [2013] 1 CLJ 177 yang mana Richard Malanjum CJSS (pada ketika itu) telah menyebut (berkenaan isu di dalam Borang Bongkar, tidak dinyatakan di mana tempat dadah dijumpai) seperti berikut: “[32] As for the search list we are of the view that the omission is minor and one which could be and was in fact clarified in court by the relevant witnesses called. There is no reason why the omission should be considered fatal as to render the evidence of the relevant witnesses otiose. [33] In any event the learned trial judge did analyse the evidence adduced including the oral testimonies of the witnesses called by the prosecution and the appellant. He came to his findings with the advantage of having the audiovisual of the witnesses called. Thus, as we have said earlier on in this judgment the finding of fact by the learned trial judge should be given due weight and deference” [24] Maka, pihak Pendakwaan memohon agar rayuan ini ditolak dan keputusan YA Hakim Mahkamah Tinggi dikekalkan. ANALISA DAN DAPATAN MAHKAMAH [25] Di dalam rayuan ini, setelah Mahkamah ini meneliti lanjut alasan penghakiman yang disediakan oleh YA Hakim Mahkamah Tinggi serta hujahan pihak-pihak, kami simpulkan bahawa teras kepada rayuan ini adalah berkenaan dengan isu Ekshibit P6A iaitu plastik merah yang membungkus dadah berbahaya dan dijumpai dalam bakul motosikal. Maka, tugas Mahkamah dalam rayuan ini adalah untuk meneliti sama ada terdapat apa yang dikatakan break in the chain of evidence (putusnya rantaian keterangan) di pihak pendakwaan berhubung dengan dadah khususnya berhubung dengan eksibit P6A (plastik merah tersebut) dan sekiranya YA Hakim Mahkamah Tinggi telah khilaf dalam membuat keputusan yang mensabitkan Perayu atas dua pertuduhan pindaan. [26] Setelah kami mempertimbangkan hujahan yang telah diketengahkan, dan setelah kami meneliti Alasan Penghakiman YA Hakim Mahkamah Tinggi berhubung dengan perkara tersebut kami mendapati bahawa terdapat dapatan fakta oleh YA Hakim Mahkamah Tinggi berhubung dengan perkara tersebut dan dapatan fakta tersebut telah pun diberikan alasan atau apa yang dikatakan cogent reason yang mana Mahkamah mendapati bahawa discrepancies atau terdapatnya isu berkenaan perkara tersebut telah pun dijelaskan oleh saksi berkenaan (SP2) yang mana Mahkamah menerima sebagai penjelasan yang munasabah. Keterangan SP2 berhubung dengan keterangan tersebut juga telah disokong oleh keterangan-keterangan semasa (contemporary evidence) iaitu Borang Serah Menyerah dan Laporan Polis beliau. [27] Dalam hal ini, kami telah meneliti keterangan SP2 serta mempertimbangkan mengenai pembelaan Perayu yang menafikan dadah-dadah berbahaya yang ditemui bukan milik Perayu. Namun, isu berkenaan plastik merah yang tiada dinyatakan dalam Borang Bongkar tersebut gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan. Lebih jelas lagi, di dalam kes terhadap Perayu ini, plastik yang mengandungi dadah berbahaya tersebut telah disenaraikan dalam Borang Bongkar yang ditandatan oleh Perayu. Hanya plastik merah sahaja yang tercicir daripada senarai dan sebab ianya berlaku telah dijelaskan oleh SP2 semasa memberi keterangan di Mahkamah. Kewujudan plastik merah tersebut bagi kami adalah tidak material kerana apa yang paling penting untuk dianalisa oleh Ahli Kimia adalah plastik yang mengandungi dadah berbahaya tersebut. [28] Tambahan pula, tiada dinyatakan dimana-mana, sama ada di dalam alasan penghakiman YA Hakim Mahkamah Tinggi atau di dalam hujahan pihak Perayu bahawa kredibiliti SP2 ini telah dicabar semasa memberi keterangan. Maka, dalam hal ini, sewajarnya, keterangan SP2 tersebut diterima. Penilaian kami terhadap seluruh keterangan SP2 juga mendapati bahawa SP2 merupakan saksi yang kredibel dan kesilapan beliau tidak menyenaraikan beg plastik merah tersebut merupakan suatu kesilapan kecil. [29] Dalam memutuskan hal ini, kami merujuk kepada keputusan Mahkamah Rayuan oleh Gopal Sri Ram (Hakim Mahkamah Rayuan pada ketika itu) di dalam kes Wan Marzuki bin Wan Abdullah v Public Prosecutor [2008] MLJU 285 yang berikut: “There is clear authority for the proposition that in an appeal of this nature which turns on questions of fact particularly in relation to issues of credibility, this court will be reluctant to interfere with the findings made by the primary trier of fact. We need go no further than to quote the following passage from the judgment of Shaik Daud JCA in Andy bin Bagindah v Public Prosecutor [2000] 3 MLJ 647 : “There is no dearth of authorities to say that in every case, there are bound to be contradictions and discrepancies. The question to be decided by the trial judge is whether those contradictions and/or discrepancies are material ones so as to strike at the very root of the charge. It is for the trial judge to consider this since he was the one who saw and heard the evidence. In the present case the learned judge concluded that there were discrepancies but those discrepancies were not material ones. Since this involved the credibility of witnesses, we held that the learned judge was a better person to decide and an appellate court ought not to interfere with such findings”. [30] Keputusan Mahkamah Rayuan tersebut telah disahkan oleh Mahkamah Persekutuan di dalam kes Wan Marzuki bin Wan Abdullah v. PP [2013] 1 CLJ 177 sebagaimana yang telah dihujahkan oleh pihak Pendakwaan. [31] Oleh yang demikian, kami berpendapat bahawa keciciran Ekshibit P6A tersebut merupakan perkara yang tidak material dan telah pun diperjelaskan oleh saksi pendakwaan iaitu SP2. YA Hakim Mahkamah Tinggi juga telah menganalisa kesemua keterangan yang dikemukakan di hadapannya termasuklah keterangan lisan saksi-saksi yang dipanggil yang mana beliau telah membuat dapatan dengan kelebihan melihat dan mendengar secara langsung saksi-saksi tersebut. Dapatan fakta tersebut harus diberikan pertimbangan dan penghormatan sewajarnya. KESIMPULAN [32] Setelah meneliti alaan penghakiman YA Hakim Mahkamah Tinggi, hujahan bertulis dan hujahan lisan pihak-pihak serta setelah mengambilkira keterangan yang dikemukakan dalam kes ini secara keseluruhannya dan undang-undang yang terpakai, kami berpuas hati bahawa Hakim Mahkamah Tinggi tidak terkhilaf dalam keputusannya. Oleh itu, kami dapati sabitan adalah selamat. Kami dapati tiada merit berhubung dengan rayuan oleh pihak Perayu. Sabitan dan hukuman yang telah dijatuhkan oleh Hakim Mahkamah Tinggi adalah dikekalkan. Rayuan adalah ditolak. -sgd- (AZMAN BIN ABDULLAH) Hakim Mahkamah Rayuan Malaysia Putrajaya Bertarikh: 07 Ogos 2025 Bagi pihak Perayu : Ibrahim Haikal bin Razak [Tetuan Lydiana Law Chambers (Johor Bahru) dan Haikal & Co. (Skudai)] For the Respondent : TPR Afzainizam bin Abdul Aziz [Jabatan Peguam Negara]