Perayu juga menyatakan bahawa Perayu ada dimaklumkan oleh seorang anggota polis yang CCTV di hotel di mana Perayu menyewa menunjukkan Perayu keluar dari hotel tersebut tanpa membawa apa-apa barang. Rayuan Jenayah No: W-05(M)-148-04/2017 8 [9] Di akhir perbicaraan, hakim bicara mendapati pembelaan Perayu bahawa dia tidak ada pengetahuan terhadap dadah berbahaya dalam beg P11 tersebut dan bahawa Perayu hanya seorang pembawa yang tidak bersalah (‘innocent carrier’) tidak dapat diterima. Sebaliknya hakim bicara mendapati doktrin ‘wilful blindness’ terpakai terhadap Perayu. [10] Selebihnya, hakim bicara memutuskan pembelaan Perayu yang membangkitkan watak ‘John’ sebagai satu rekaan semata-mata. Pembelaan Perayu bahawa terdapat rakaman CCTV di hotel penginapannya menunjukkan Perayu keluar dari hotel itu dengan tanpa membawa apa-apa barang termasuk beg P11 sebagai satu keterangan dengar cakap (hearsay) dan satu pemikiran terkemudian (afterthought) oleh kerana anggota polis tidak dipanggil sebagai saksi dan isu yang sama tidak pernah diletakkan (put) semasa kes pendakwaan. [11] Hakim bicara berpuas hati pembelaan Perayu gagal menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan serta gagal untuk mematahkan anggapan di bawah seksyen 37(d) dan 37(da)(i) Akta atas imbangan kebarangkalian. Perayu oleh itu telah disabitkan atas pertuduhan. Rayuan Perayu [12] Di hadapan kami, peguam bela Perayu yang terpelajar hanya membangkitkan satu isu sahaja iaitu pemakaian anggapan berganda di bawah seksyen 37(d) dan 37(da) oleh hakim bicara sebagai tidak berperlembagaan (unconstitutional) menyebabkan sabitan tidak selamat. Bantahan peguam bela berlandaskan kepada keputusan terbaru Rayuan Jenayah No: W-05(M)-148-04/2017 9 Mahkamah Persekutuan dalam kes Alma Nudo Atenza v. PP & Another Appeal [2019] 5 CLJ 780; [2019] 3 MLRA 1. Dapatan dan keputusan kami [13] Kami telah meneliti Penghakiman hakim bicara. Tidak disangkal bahawa hakim bicara telah menggunapakai anggapan berganda dalam mensabitkan Perayu. Ini dapat dilihat seperti di perenggan 13, 14 dan 47 penghakiman hakim bicara yang kami petik seperti berikut: “[13] Sehubungan itu, anggapan di bawah seksyen 37(d) adalah terpakai iaitu OKT dianggap mempunyai milikan terhadap dadah dalam beg kertas (P11) tersebut kecuali dibuktikan sebaliknya. [14] Setelah ‘milikan’ terhadap dadah tersebut dibuktikan dan berat dadah berkenaan adalah melebihi berat statutori di bawah seksyen 37(da), maka peruntukan ini adalah terpakai iaitu OKT dianggap mengedar dadah berkenaan kecuali dibuktikan sebaliknya. …….. [46] Berdasarkan keseluruhan keterangan yang dikemukakan dalam kes ini, saya dapati pihak pembelaan gagal menyangkal anggapan ‘milikan’ terhadap dadah berkenaan oleh OKT di bawah seksyen 37(d) ADB 1952 pada imbangan kebarangkalian. [47] Pada penilaian yang berasingan saya dapati pihak pembelaan juga gagal menyangkal anggapan ‘pengedaran’ di bawah seksyen 37(da) Akta yang sama.” [14] Apa yang telah diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan dalam kes Alma Nudo Atenza [supra] adalah bahawa peruntukan seksyen 37A Akta Rayuan Jenayah No: W-05(M)-148-04/2017 10 yang membenarkan pemakaian anggapan berganda diisytiharkan sebagai tidak berperlembagaan kerana mencabuli perkara 5(1) dibaca bersama dengan perkara 8(1) Perlembagaan Persekutuan dan dengan itu prinsip yang telah diputuskan dalam kes Muhammed bin Hassan v. PP [1998] 2 MLJ 273 masih sah, berkuat kuasa dan “still good law”. [15] Puan Timbalan Pendakwa Raya yang bijaksana (‘Puan TPR’) bersetuju bahawa sabitan terhadap Perayu atas kesalahan pengedaran adalah tidak selamat berdasarkan keputusan hakim bicara yang hanya bergantung kepada anggapan di bawah seksyen 37(da)(i) Akta semata-mata. Puan TPR turut menghujahkan bahawa sabitan terhadap Perayu wajar digantikan dengan sabitan atas kesalahan pemilikan di bawah seksyen 12(2) yang boleh membawa hukuman di bawah seksyen 39A(2) Akta. Kesimpulan [16] Atas alasan-alasan yang kami sebutkan di atas, dengan sebulat suara kami membenarkan sebahagian rayuan Perayu. Kami memerintahkan sabitan dan hukuman Mahkamah Tinggi diketepikan dan digantikan dengan perintah Perayu disabitkan atas kesalahan pemilikan dadah berbahaya di bawah seksyen 12(2) dan dihukum di bawah seksyen 39A(2) Akta. Selepas mendengar pihak-pihak, kami menjatuhkan hukuman 18 tahun penjara berjalan mulai tarikh Perayu ditangkap dan 10 sebatan rotan ke atas Perayu. Rayuan Jenayah No: W-05(M)-148-04/2017 11 Bertarikh: 25 September 2019 t.t. (KAMARDIN BIN HASHIM) Hakim Mahkamah Rayuan Malaysia Kaunsel Bagi Pihak Perayu: Richard Ho Peng Kwang Tetuan Richard Ho & Yap Suite 20-10, 20th Floor, Wisma UOA 11 21, Jalan Pinang 50450 Kuala Lumpur Bagi Pihak Responden: Dhiya Syazwani Izyan bt Mohd Akhir