Schedule
Jadual Ketiga, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2012 (P.U(A)490/2012). Dengan ini kamu telah melakukan suatu kesalahan di bawah seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 yang boleh dihukum di b awah seksyen 135(1)(iii)(bb) Akta yang sama”. Pertuduhan di atas telah dibacakan dan diterangkan kepada tertuduh. Mahkamah berpuashati tertuduh faham sifat dan akibat pengakuannya dan mohon dibicarakan. Perbicaraan dijalankan dengan 8 orang saksi Pendakwaan memberi keterangan iaitu: SP-1 : Mohd Sufian Bin Mohd Yusof –pengadu/pegawai serbuan. SP-2 : Mohd Shayfulrizan Bin Mohd Pazin –anggota serbuan. SP-3 : Mohd Izwa Hanif Bin Mohamad – anggota serbuan/jurugambar. 4 SP-4 : Rabi’atul Adawiyah Binti Abdul Wahab – Pegawai Penilaian. SP-5 : Anita –peniaga lama di kedai tempat kejadian. SP-6 : Ahmad Khasmal Bin Alias – Pegawai Stor. SP-7 : Noor Hairi Binti Mohamad Da – Pemilik kedai tempat kejadian. SP-8 : Mohd Zaidi Bin Muhamad Sharif – Pegawai Penyiasat. Di akhir kes Pendakwaan, Mahkamah mendapati pihak Pendakwaan telah berjaya membuktikan suatu kes Prima Facie ke atas tertuduh. Mahkamah telah memerintahkan tertuduh untuk membela diri. Pembelaan tertuduh diberi secara bersumpah. Di akhir kes pembelaan, Mahkamah mendapati Pendakwaan telah berjaya membuktikan suatu kes melampaui keraguan munasabah ke atas tertuduh. Tertuduh didapati bersalah dan disabitkan dengan pertuduhan seterusnya Mahkamah menjatuhkan hukuman Penjara 24 bulan bermula dari tarikh sabitan/jatuh hukum (2 Julai 2018). PERUNTUKAN SEKSYEN 135 (1) (iii) (bb) AKTA KASTAM 1967 Denda tidak kurang dari 10 kali ganda nilai barang kes dan tidak lebih dari 20 kali ganda atau dipenjarakan selama tempoh tidak lebih lima (5) tahun atau kedua-duanya. (Bagi kes ini, denda minima adalah RM190,023.20 dan hukuman maksima bagi denda adalah RM380,046.40) KES PIHAK PENDAKWAAN 5 Pada 21-10-2015 lebih kurang jam 12.00 tengahari, SP-1 bersama sepasukan anggota Kastam telah membuat pemeriksaan di premis Yen Hing Mini Market beralamat 22/3628, Batu 5, Jalan Kuantan - Gambang. Pemilik premis tersebut dikenali sebagai Tam Sut Kin (tertuduh). Hasil pemeriksaan di alamat tersebut, SP-1 dan anggota pasukan telah menjumpai pelbagai jenis rokok kretek dan rokok putih yang disyaki belum lulus kastam di lokasi berikut: (1) Di bahagian kabinet/laci kaunter kedai telah menjumpai pelbagai jenis rokok kretek dan rokok putih ditandakan eksibit sebagai P2. (2) Di bahagian rak 1 di dalam kedai telah menjumpai rokok kretek yang disimpan bersama dengan barang-barang jualan runcit ditandakan eksibit sebagai P3. (3) Di bahagian rak yang kedua di dalam kedai juga telah menjumpai rokok kretek dan rokok putih yang disimpan bersama barang-barang jualan runcit ditandakan eksibit sebagai P4. (4) Di bahagian rak yang ketiga bahagian atas dalam kedai telah menjumpai kotak berwarna coklat yang berisi dengan rokok kretek dan rokok putih ditandakan eksibit sebagai P5. (5) Di bahagian rak yang ketiga bahagian bawah dalam kedai telah menjumpai kotak berwarna coklat yang berisi dengan rokok kretek dan rokok putih ditandakan eksibit sebagai P6. (6) Di rak yang keempat di dalam kedai tersebut juga telah menjumpai rokok kretek dan rokok putih ditandakan eksibit sebagai P7. Pemeriksaan seterusnya dibuat di dalam stor bahagian belakang kedai dan menemui pelbagai jenis rokok kretek dan rokok putih yang disyaki belum lulus kastam di lokasi berikut: (1) Di rak yang pertama eksibit ditandakan sebagai P8. 6 (2) Di rak yang kedua bahagian stor eksibit ditandakan sebagai P9. Kesemua barang kes dirampas dan tertuduh ditangkap serta dibawa balik ke Pejabat Kastam Kuantan. Tertuduh beserta barang kes telah diserahkan kepada pegawai penyiasat. Pemeriksaan rapi sehingga menampakkan batang-batang rokok menurut s.120 Akta Kastam 1967 telah dijalankan oleh Pegawai Penyiasat di Pejabat Kastam Kuantan pada tarikh yang sama. Seterusnya pada 23-10-2015, barang kes dihantar ke Jabatan Kimia dan pada 26-01-2016, pegawai penyiasat menerima laporan kimia dan mengesahkan bahawa sebahagian barang kes mengandungi “tembakau” dan sebahagiannya megandungi “tembakau dan cengkih”. Barang kes juga dihantar ke Bahagian Perkhidmatan Teknik, Cawangan Penjenisan, Jabatan Kastam dan mengesahkan bahawa barangk kes sesuai diperjeniskan di bawah kod tariff “2402.20.200 dan 2402.20.900”. Penilaian harga dan taksiran duti/cukai bagi rokok yang dirampas juga telah dibuat dan hasilnya rokok-rokok tersebut dinilaikan sejumlah RM9.501.16 sebagaimana pertuduhan. BEBAN PEMBUKTIAN DI AKHIR KES PENDAKWAAN Beban pembuktian adalah ke atas pihak pendakwaan untuk membuktikan suatu kes prima facie seperti yang diperuntukkan di bawah s. 180 Kanun Tatacara Jenayah. Prinsip undang-undang berkenaan dengan isu ini telah mantap. Keterangan-keterangan saksi-saksi pendakwaan hendaklah 7 dinilai secara maksimum (Looi Kow Chai & Anor v. PP [2003] 1 CLJ 734; [2003] 2 AMR 89 dan Roslan @ Rosli Abdullah v. PP [2009] 1 LNS 875). Di dalam kes PP v. Mohd Radzi Abu Bakar [2006] 1 CLJ 457 Mahkamah Persekutuan menjelaskan bagaimana sesuatu kes prima facie ditentukan, iaitu seperti yang berikut: “For the guidance of the courts below, we summarise as follows the steps that should be taken by a trial court at the close of the prosecution's case: (i) the close of the prosecution's case, subject the evidence led by the prosecution in its totality to a maximum evaluation. Carefully scrutinise the credibility of each of the prosecution's witnesses. Take into account all reasonable inferences that may be drawn from that evidence. If the evidence admits of two or more inferences, then draw the inference that is most favourable to the accused; (ii) ask yourself the question: If I now call upon the accused to make his defence and he elects to remain silent am I prepared to convict him on the evidence now before me? If the answer to that question is "Yes", then a prima facie case has been made out and the defence should be called. If the answer is "No" then, a prima facie case has not been made out and the accused should be acquitted; (iii) after the defence is called, the accused elects to remain silent, then convict; 8 (iv) after defence is called, the accused elects to give evidence, then go through the steps set out in Mat v. Public Prosecutor [1963] 1 LNS 82; *1963+ MLJ 263”. Seterusnya dengan menggunakan ujian penilaian maksima, Mahkamah akan menentukan sama ada keterangan yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan berjaya membuktikan satu kes prima facie terhadap tertuduh. INTIPATI PERTUDUHAN Bagi kesalahan ini, adalah menjadi tanggungan pihak Pendakwaan untuk membuktikan intipati-intipati berikut: 1. OKT mempunyai kawalan yang eksklusif ke atas barang kes. 2. OKT mempunyai pengetahuan bahawa barang kes yang dirampas adalah barang-barang yang dilarang import. 3. Adanya keterangan menunjukkan bahawa barang kes adalah barang – barang yang dilarang pengimportannya di bawah Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2012. 4. Barang kes yang dirampas adalah barang kes yang sama dikemukakan ke Mahkamah dan dicamkan oleh semua saksi-saksi pendakwaan. 1. ALASAN DAN DAPATAN MAHKAMAH OKT mempunyai kawalan yang eksklusif ke atas barang kes. 9 Pendakwaan menghujahkan bahawa tertuduh mempunyai kawalan terhadap rokok-rokok (P2-P9) yang dirampas. Ini kerana perniagaan Yen Hing Mini market telah didaftarkan atas nama tertuduh dan tertuduh mempunyai kuasa melupuskan rokok-rokok (P2-P9) tersebut dengan cara jualan. Pendakwa merujuk kepada kes Low Nghee Lim v Regina [1955] 1 LNS 53 bagi maksud milikan esklusif. Peguam menghujahkan bahawa apabila SP-1 membuat pemeriksaan di Yen Hing Mini market, selain daripada tertuduh, seorang lagi yang dikatakan bernama Rahayu juga berada dalam kedai tersebut. Maka, Pembelaan menghujahkan bahawa tertuduh tidak mempunyai ‘exclusive access/possession’ ke atas eksibit yang dijumpai. Rahayu juga tidak dipanggil sebagai saksi mahupun ditawarkan kepada Pembelaan. Atas sebab itu, Pembelaan menggunapakai s.114 (g) Akta Keteranagn 1950. Rujukan dibuat kepada kes PP v Mohd Zambri bin Mohd Zelah [2005] 2 AMR 23; Ti Chuee Hiang v PP [ 1995] 2 MLJ 433. Mahkamah merujuk kepada keterangan saksi-saksi Pendakwaan. Berdasarkan kepada fakta kes yang dihuraikan melalui keterangan saksi-saksi Pendakwaan telah membuktikan bahawa perniagaan yang dijalankan atas nama Yen Hing Mini Market telah didaftarkan atas nama tertuduh dan ini adalah perniagaan jenis milikan tunggal (rujuk maklumat SSM-P14(c)). Walaupun premis tempat kejadian dimiliki oleh SP -7 dan diberi sewa kepada tertuduh tetapi tertuduh yang telah menjalankan perniagaan di dalam premis tersebut. 10 Pada tarikh serbuan dijalankan oleh Pegawai Kastam, tertuduh berada di dalam kedai di bahagian kaunter. Keberadaan tertuduh di bahagian kaunter kedai ini adalah ‘direct evidence’ untuk menunjukkan bahawa, kedai ini dikawal oleh tertuduh dan perniagaan itu dijalankan oleh tertuduh. Ini telah menunjukkan bahawa isi kandungan barang-barang dalam kedai juga dimiliki oleh tertuduh termasuk rokok-rokok (P2-P9) yang dirampas. Secara eksklusifnya, hanya tertuduh yang mengawal barang-barang dalam kedai dan ‘inescapable evidence’ adalah barangan dalam kedai diuruskan, dijaga, dikawal dan dimiliki oleh tertuduh sahaja. Keberadaan tertuduh di kaunter juga adalah terlalu hampir ’close proximity’ dengan rokok-rokok yang dirampas (P2-P9) terutama sekali rokok-rokok yang ditemui di bahagian laci kaunter (P2) dan ’close proximity’ ini adalah mencukupi untuk ’find a case to answer' (Public Prosecutor v Foo Jua Eng [1966] 1 MLJ 197). Justeru itu, hanya satu ‘inferens’ yang boleh Mahkamah letakkan ke atas tertuduh iaitu tertuduh mempunyai fizikal milikan , jagaan dan kawalan yang eksklusif ke atas rokok-rokok (P2-P9) yang dirampas. Fakta ini relevan bagi membuktikan elemen ’actus reus’ tertuduh di dalam pertuduhan ini. Tambahan pula, kedudukan tertuduh di bahagian kaunter menunjukkan bahawa hanya tertuduh sahaja mempunyai kuasa melupuskan rokok-rokok tersebut dengan cara jualan. 11 Tiada keterangan menunjukkan bahawa kedai diuruskan oleh orang lain selain daripada tertuduh atau barang-barang di dalam kedai disusun atur oleh orang lain selain daripada tertuduh. Fakta ini telah menafikan sebarang anggapan bahawa barang kes bukan dikawal oleh tertuduh. Walaupun adanya keterangan bahawa wujudnya seorang kanak-kanak lelaki dan seorang wanita Indonesia bernama Rahayu di dalam kedai tersebut, namun tiada keterangan yang menunjukkan bahawa kanak-kanak lelaki dan Rahayu mengawal perniagaan apatah lagi mengawal barang kes yang dirampas. Tiada keteranagn bahawa tugas menyusun atur kedudukan barang dalam kedai dibuat oleh Rahayu. Begitu juga tiada keterangan mengenai kawalan stok dan perbelanjaan diuruskan oleh Rahayu. Sebaliknya melalui keterangan pegawai penyiasat (SP-8), kewujudan Rahayu tersebut ditugaskan untuk memasak bagi pihak tertuduh. Sekalipun, Rahayu tersebut tidak dipanggil ke Mahkamah untuk memberikan keterangan dan tidak pula ditawarkan kepada Pembelaan, Mahkamah masih tidak menggunakan anggapan di bawah s.114(g) Akta Keterangan 1950. Ini kerana, penggunaan s.114(g) Akta Keterangan 1950 tidak terpakai kepada semua kes melainkan adanya unsur ‘suppression evidence’, dan bukan hanya kegagalan memanggil saksi semata-mata (Munusamy v Public Prosecutor [1987] 1 MLJ 492). Dan di dalam kes ini, wujudnya keterangan daripada SP-8 bahawa Rahayu ditugaskan untuk memasak dan bukannya menjaga perniagaan/kedai ini apatah lagi boleh mengawal rokok-rokok (P2-P9) yang dirampas. Ini 12 menunjukkan pihak kastam tidak menyembunyikan fakta mahupun mempunyai motif serong tentang kewujudan Rahayu ini. Pada hemat Mahkamah, jika Pendakwa percaya melalui saksi-saksi Pendakwaan yang dipanggil ini dapat membuktikan kesnya pada tahap melampaui keraguan yang munasabah tanpa memanggil Rahayu memberikan keterangan, maka adverse inference di bawah s 114(g)Akta Keterangan 1950 tidak boleh dipakai terhadap pihak pendakwaan. Dalam keadaan yang sedemikian itu adalah juga tidak perlu bagi pihak pendakwaan menawarkan mereka atau ‘make them available’ kepada pihak pembelaan Public Prosecutor v Chia Leong Foo [2000] 6 MLJ 705). Tambahan pula s.134 Akta Keterangan 1950 tidak menghadkan bilangan saksi yang perlu dipanggil oleh Pendakwaan sebagaimana diputuskan di dalam kes Khaw Cheng Bok & Ors v Khaw Cheng Poob & Ors [1998] 3 MLJ 457 : “s 134 of the Evidence Act 1950 provides that no particular number of witnesses shall in any case be required for the proof of any fact. This section reflects the legal maxim that evidence has to be weighed and not counted, meaning one witness, if believed, is sufficient to establish any fact”. Sehubungan dnegan itu, kegagalan menawarkan Rahayu kepada Pembelaan, pada hemat Mahkamah, ia bukanlah menyebabkan kes Pendakwaan fatal (Pendakwa Rava v Mansor Mohd Rashid [1996] 3 MLJ 560). Mahkamah tidak nampak apa-apa motif yang salah (Salehoddin Ahmad v PP [2011] 1 LNS 231) di pihak pendakwaan dengan tidak memanggil saksi ini. 13 Tambahan pula, naratif kes ini dapat diwujudkan melalui keterangan saksi-saksi pendakwaan. Pertuduhan ke atas tertuduh adalah di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam iaitu dengan disedarinya mempunyai dalam milikan barang-barang larangan ("knowingly in possession of prohibited goods"). Berdasarkan alasan dinyatakan di atas, pada hemat Mahkamah, tertuduh sudahpun berada di dalam kedai tempat kejadian dan sudahpun mengawal rokok-rokok (P2-9) tersebut. 2. OKT mempunyai pengetahuan bahawa barang kes yang dirampas adalah barang-barang yang dilarang import. Pendakwaan menghujahkan bahawa niat dan pengetahuan tertuduh di dalam kes ini boleh dibuktikan melalui fakta dan juga “circumstances surrounding each particular case”. Rujukan dibuat kepada kes (Chan Pean Leon v PP 1 LNS 17; Federal Keng Soon Finance v Pegawai Kanan Kastam, Johor Bharu (1981) 2 MLJ 251). Fakta telah menunjukkan bahawa tertuduh mempunyai niat menyimpan dan mengelak barangan larangan import iaitu rokok-rokok (P2-P9) diketahui oleh pihak berkuasa bila mana kesemua rokok-rokok (P2-P9) ini ditemui di tempat yang disembunyikan. Ini bermakna tertuduh mempunyai pengetahuan penuh tentang sebab akibat pemilikan rokok-rokok (P2-P9) ini. Rujukan dibuat kepada s.135(2) Akta Kastam 1967; (Lau Kien Chung v PP (1993) 3 CLJ 295; PP v Koo Cheh Yew & Anor (1980) 2 MLJ ms 242). 14 Bagi elemen niat dan pengetahuan, telah menjdi prinsip undang-undang bahawa kedua-dua ‘physical element’ and ‘mental element’ haruslah wujud dalam kes ini. Niat adalah perkara hakikat yang bukan dapat dibuktikan dengan bukti langsung. Ia hanya dapat dibuktikan dengan kesimpulan dari keadaan sekitar (surrounding circumstances). Mahkamah merujuk kepada keterangan SP-1. Rokok-rokok (P2-P9) yang dirampas ada sebahagiannya disorokkan di dalam kotak coklat bersama-sama barang jualan, di dalam laci kaunter dan diletakkan di bahagian belakang barang-barang jualan. Berbeza dengan rokok-rokok yang telah lulus kastam, ianya ditemui di rak pameran dalam kedai tersebut. Fakta rokok-rokok ini disembunyikan dan disorok adalah ‘inescapable evidence’ bagi menunjukkan bahawa tertuduh cuba mengelak rokok-rokok (P2-9) ini daripada diketahui umum apatah lagi pihak berkuasa. Tambahan pula, kaedah penyimpanan rokok-rokok (P2-P9) ini adalah amat berbeza dengan kaedah penyimpanan dan penjualan yang biasa ‘in the ordinary course of business’ bilamana terdapat rokok-rokok lain yang turut ditemui di rak pameran. Ia sekaligus menunjukkan bahawa tertuduh mempunyai pengetahuan di mindanya dan di fikirannya bahawa rokok-rokok (P2-P9) ini adalah barangan larangan import dan tertuduh mengetahui sebab dan akibat pemilikannya di sisi undang-undang melainkan tertuduh boleh membuktikan sebaliknya. 15 Apabila adanya bukti dan fakta menunjukkan baha wa tertuduh mempunyai pengetahuan dan kawalan/milikan rokok-rokok (P2-P9) yang dirampas sebagai barang larangan import, maka Mahkamah seterusnya boleh menggunapakai anggapan di bawah s.135(2) Akta Kastam 1967. Dalam kes: Wolfgang Pzetzholdt v. Public Prosecutor (1970) 1 NLRH 284, (1970) 2 MLJ 195, Sharma J memutuskan: "................there is no doubt that the presumption came into operation once it was proved that the prohibited goods were in the possession of the appellant. All the presumption says is that the appellant was thereby deemed to have knowledge that those goos were prohibited goosd or uncustomed goods unless he proved to the contrary.............". Begitu juga dalam kes: Pendakwa Raya v. Sekaram a/l Odayam (2010) MLJU 1729, Mahkamah memutuskan: "...........I agree with the contention of the learned defence counsel that before the prosecution can invoke the presumption under Section 135(2) of the Customs Act, 1967, the element of possession of the prohibited items by the respondent/ accused has to be established. In other words, that this is a "parasitic presumption" which does not stand alone but relieson the proof of possession. Without proof of possession the element of "knowingly concerned" cannot be established..........." Seksyen 135 (2) Akta Kastam 1967 memperuntukan bahawa: 16 “Dalam mana-mana pendakwaan dibawah seksyen ini atau seksyen 139, apa-apa barang-barang berduti,tak berkastam atau larangan hendaklah disifatkan barang-barang berduti, tak berkastam atau larangan,mengikut mana-mana yang berkenaan, dengan disedari oleh defendan melainkan jika dibuktikan sebaliknya oleh Defendan itu”. Kini, adalah menjadi beban kepada tertuduh untuk ‘rebut presumption’ bahawa tertuduh tiada pengetahuan tentang kewujudan rokok-rokok (P2-P9) yang dirampas itu dan rokok-rokok (P2-P9) tersebut adalah barangan larangan pengimportannya. 3. Adanya keterangan menunjukkan bahawa barang kes adalah barang – barang yang dilarang pengimportannya di bawah Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2012. Pendakwa menghujahkan bahawa rokok-rokok (P2-9) yang dirampas adalah barangan larangan di bawah Butiran Satu(1), Bahagian Dua (2), Jadual Ketiga, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2012. Rokok-rokok ini juga tidak menepati syarat yang dinyatakan dalam Ruangan Lima(5), Butiran Satu(1), Bahagian (2), Jadual Ketiga, Perintah Kastam yang sama. Laporan kimia telah mengesahkan bahawa rokok-rokok yang dirampas mengandungi “tembakau” dan “tembakau dan cengkih” manakala keputusan ujian 17 penjenisan mengesahkan rokok-rokok tersebut sesuai diperjeniskan di bawah kod tariff “2402.20.200 dan 2402.20.900”. Peguam mnghujahkan bahawa pegawai penyiasat tidak menjalankan siasatan untuk menentukan barang-barang (P2-P9) ini dikilangkan di luar negara. Pembuktian mengenai barang-barang (P2-P9) adalah barang import hanya anggapan atau andaian Pendakwaan sahaja dan bukan pembuktian suatu fakta. Begitu juga Laporan Penjenisan (P31) gagal membuktikan bahawa barang-barang (P2-P9) adalah barangan import dan dikilangkan di luar negara Malaysia. Bagi maksud barang-barang larangan, Mahkamah merujuk kepada peruntukan s.2 Akta Kastam 1967 yang mendefinisikan "barang-barang larangan" sebagai: " barang-barang yang mana import atau eksportnya dilarang, sama ada dengan mutlak, atau dengan bersyarat oleh suatu perintah di bawah seksyen 31 atau mana-mana undang bertulis yang lain". Manakala Seksyen 31 (1) Akta Kastam 1967 memperuntukkan: “31. Kuasa Menteri melarang import atau eksport. (1) Menteri boleh, dengan perintah- (a) Melarang pengimportan ke dalam , atau pengeksportannya dari, Malaysia………………apa-apa barang atau kelas barang-barang; dan 18 (b) Melarang pengimportan ke dalam, atau pengeksportan dari, Malaysia…………………apa-apa barang atau kelas barang-barang…………..” Berdasarkan kepada s.31 Akta Kastam 1967 ini, satu Perintah telah digubal bagi menetapkan syarat-syarat pengimportan sesuatu barang iaitu Perintah Kastam (Larangan mengenai Import) 2012. Bahagian III, Jadual Ketiga Perintah ini menetapkan syarat yang mesti dipatuhi berkenaan rokok import iaitu: 1. Mempamerkan amaran kesihatan. 2. Mempamerkan amaran kesihatan bergambar. 3. Mempunyai setem cukai yang diluluskan oleh Ketua Pengarah Kastam. Berdasarkan kepada peruntukan di atas menunjukkan bahawa Menteri dengan kuasa yang diberikan kepadanya di bawah s.31(1)(a) Akta Kastam 1967 telah mengeluarkan Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2012 tersebut serta menetapkan syarat bagi rokok-rokok yang diimport ke dalam Malaysia. Sekaligus menjadikan rokok sebagai ‘barang larangan’ sebagaimana definisi s.2 Akta Kastam 1967. Pada asasnya, sememangnya rokok adalah barangan larangan import sebagaiman termaktub di bawah Peraturan 18 Peraturan-Peraturan Kastam 1977 kecuali dengan suatu lesen import yang dikeluarkan oleh Ketua Pengarah Kastam. Merujuk kepada keterangan saksi-saksi Pendakwaan, secara keseluruhanya keterangan saksi-saksi Pendakwaan menyokong antara satu sama lain terhadap fakta bahawa rokok-rokok yang dirampas tidak mematuhi 19 syarat yang ditetapkan oleh Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2012 ini. Menurut saksi-saksi Pendakwaan terutama sekali SP-1 dan SP-3, sebahagian rokok yang dirampas walaupun mempunyai amaran kesihatan bergambar tetapi tidak mempunyai pelekat setem cukai. Ini jelas menunjukkan bahawa rokok-rokok yang dirampas (P2-9) tidak mematuhi Bahagian III, Jadual Ketiga, Perintah Kastam (Larangan mengenai Import) 2012. Laporan kimia (P29) juga telah mengesahkan kandungan rokok-rokok (P2-9) yang dirampas mengandungi “tembakau” dan “tembakau dan cengkih”. Seterusnya sijil penjenisan (P31) mengesahkan bahawa rokok-rokok (P2-P29) sesuai diperjeniskan di bawah kod tariff “2401.20.200 dan 2402.20.900” selaras dengan kehendak di dalam Bahagian III, Jadual Ketiga, Perintah Kastam (Larangan mengenai Import) 2012. Berdasarkan kepada peruntukan-peruntukan undang-undang di atas juga, adalah jelas bahawa barang larangan yang dimaksudkan merujuk kepada rokok-rokok bertujuan untuk diimport dan bukannya rokok-rokok pengilangan tempatan. Pertuduhan yang dikenakan terhadap tertuduh juga merujuk kepada rokok-rokok yang dilarang import dan bukannya berkenaan dengan rokok yang dikilangkan secara tempatan di mana ianya tidak tertakluk kepada kehendak dibawah Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2012. Dalam hal demikian, rokok-rokok tersebut tidak boleh dianggap sebagai barangan dilarang import (prohibition on import). Melihat kepada kotak rokok-rokok (P2-P9) dan Lampiran C, Permohonan Penilaian Harga dan Cukai Bagi Rokok (P18) mengesahkan bahawa rokok-rokok (P2-9) tersebut bukan dikilangkan oleh pengilang tempatan malahan ianya 20 diimport dari Negara Indonesia. Sebahagiannya tidak dinyatakan negara asal rokok-rokok (P2-P9) di bahagian luar kotak, namun Mahkamah tidak dengan mudah membuat kesimpulan bahawa ianya dikilangkan secara tempatan. Mahkamah juga tidak dengan mudahnya menyatakan bahawa rokok-rokok yang tidak dinyatakan negara asalnya adalah rokok-rokok import. Pada hemat Mahkamah, dalam menentukan rokok-rokok (P2-P9) yang tidak dinyatakan negara asal ini (di bahagian luar kotak rokok) adalah barang larangan import atau sebaliknya, Mahkamah perlulah melihat kepada ‘overwhelming evidence’ yang ada. Samaada ‘overwhelming evidence’ ini menjurus kepada rokok-rokok (P2-P9) ini dikilangkan di Malaysia atau diimport ke Malaysia sebagai barang larangan import. Dalam hal demikian, Mahkamah berbalik semula kepada undang-undang asas berkenaan rokok import ini iaitu Perintah Kastam (Larangan mengenai Import) 2012 Bahagian III Jadual Ketiga yang menetapkan syarat yang mesti dipatuhi berkenaan rokok import. Rokok-rokok (P2-P9) yang tidak dinyatakan negara asalnya telah tidak mematuhi syarat-syarat berkenaan rokok import di dalam Perintah Kastam (Larangan mengenai Import) 2012 Bahagian III Jadual Ketiga dan kehendak lesen import di bawah Peraturan 18 Peraturan-Peraturan Kastam 1977. Maka, di sinilah wujudnya ‘overwhelming evidence’ terhadap rokok-rokok yang tidak dinyatakan negara asal telah gagal mematuhi syarat-syarat ini dan menjadikan ianya (rokok-rokok tanpa dinyatakan negara asal) sebagai barang larangan import. Kes ini berbeza dengan kes di mana pegawai penyiasat gagal menyiasat pengilang tempatan sebagaimana nama syarikat yang tertera di atas kotak 21 rokok –rokok yang dirampas, sebaliknya dalam kes ini, sebahagian rokok-rokok yang dirampas langsung tidak dinyatakan nama syarikat pengilang tempatan untuk disiasat oleh pegawai penyiasat. Tambahan pula, semasa ditangkap dan di dalam siasatan sekalipun, tertuduh tidak pernah mengemukakan apa-apa dokumen bagi menunjukkan bahawa rokok-rokok (P2-P9) yang dirampas adalah telah lulus kastam dan cukainya telah dibayar atau sekurang-kurangnya tertuduh mempunyai lesen import ke atas rokok-rokok yang dirampas (P2-P9) Kini, beban berpindah kepada tertuduh untuk membuktikan sebaliknya iaitu rokok-rokok (P2-P9) yang dirampas adalah diimport secara sah dan bukan barang larangan import sebagaimana peruntukan s.119 Akta Kastam 1967. Peruntukan menyatakan:- "Jika dalam mana-mana pendakwaan berkenaan dengan apa-apa barang yanag disita kerana tidak membayar duti …………………..beban membukti kes itu terletak pada Defendan dalam pendakwaan itu”. 4. Barang kes yang dirampas adalah barang kes yang sama dikemukakan ke Mahkamah dan dicamkan oleh semua saksi-saksi pendakwaan. Pebelaan menghujahkan bahawa Kuantan report 31874/15 (P13) tidak menyatakan berapakah jumlah, jenis/jenama dan nombor siri barang yang dirampas. Senarai bongkar (P1) juga tidak dikepilkan bersama-sama laporan polis (P13). Tambahan pula tiada nama tertuduh di dalam senarai bongkar (P1) tersebut. 22 Pendakwaan menghujahkan bahawa tiada undang-undang yang sedang berkuatkuasa mengkehendaki bahawa setiap butir rampasan perlu dicatat di dalam polis. Begitu juga senarai bongkar, Akta Kastam 1967 tidak mengkehendaki senarai bongkar disediakan oleh pegawai serbuan (PP v Chin Hock Aun [1989] 1 MLJ 509). Walau bagaimanapun, senarai bongkar yang disediakan oleh SP-1 sudah memadai dengan mencatat butir-butir rampasan dan tertuduh menurunkan tandatangan di dalam senarai bongkar (P1) tersebut selaras dengan peruntukan s.64 dan 65 Kanun Tatacara Jenaya. Ini membuktikan bahawa teruduh melihat dan mengesahkan barang-barang yang dirampas oleh SP-1. Fungsi senarai bongkar (P1) juga adalah untuk memastikan adanya rampasan pada tarikh serbuan dilakukan (San Soo Ha v PP [1968] 1 MLJ 34. Mahkamah merujuk kepada Kuantan report 3187/15 (P13) yang dibuat oleh SP-1. Jelas dinyatakan di dalam laporan polis (P13) bahawa rampasan yang dibuat adalah rokok putih dan keretek yang disyaki belum lulus kastam. Ada dinyatakan apakah barang rampasan di dalam laporan polis (P13) ini cuma ianya tidak dinyatakan dengan ditil iaitu memasukkan jenis, warna dan nombor siri barang tersebut. Pada hemat Mahakamah, hanya kerana isu ini sahaja, ianya tidak menjadikan kes Pendakwaan fatal. Ini kerana, laporan polis (P13) juga bukanlah ‘encyclopedia’ (Herchun Singh & Ors v Public Prosecutor [1969] 2 MLJ 209; [1969] 1 LNS 52; Lam Chun Wing Joe v Public Prosecutor [2012] 7 MLJ 504) untuk menceritakan setiap ditil dengan tepat. Memadai ianya mencerminkan adanya rampasan rokok dan tangkapan ke atas tertuduh telah dilakukan. 23 Pun begitu, keterangan SP-1 berkenaan laporan polis (P13) sentiasa disokong oleh senarai bongkar (P1). SP-1 dapat mengecam barang kes berdasarkan tandaan yang dibuat ke atas barang kes yang dirampas. Tambahan pula, penyediaan senarai bongkar bukalah 1 ‘requirement atau pre-requisite’ yang perlu ada apabila tangkapan dilakukan. Ia memadai untuk ‘refresh’ memori pegawai yang membuat senarai bongkar (P1) tersebut bahawa adanya rampasan rokok-rokok (P2-P9) pada tarikh kejadian. Ketiadaan tandatangan tertuduh di atas senarai bongkar (P1) juga bukanlah menjadikan senarai bongkar (P1) ini harus ditolak oleh Mahkamah dan kes Pendakwaan menjadi fatal. Ini kerana, tertuduh tidak pernah menafikan itu tandatangannya dan tidak dibuktikan juga di Mahkamah ini bahawa tandatanganya berbeza dengan tandatangan yang terdapat di dalam senarai bongkar (P1). Tambahan pula, saksi-saki pendakwaan menjelaskan bahawa nombor siri bagi setiap rokok-rokok (P2-9) yang dirampas mempunyai nombor siri yang sama. Maka, kegagalan menulis nombor siri di dalam laporan polis (P13) mahupun di dalam senarai bongkar (P1) bukanalah menjadikan kes Pendakwaan fatal. Seterusnya, keterangan SP-1 adalah terang, jelas dan nyata pada hemat Mahkamah untuk menceritakan ditil-ditil kejadian dan rampasan pada tarikh serbuan dilakukan. Keterangan SP-1 adalah berturut bermula dari 24 sampai ke tempat kejadian, pemeriksaan dan rampasan barang kes, serahan kepada pegawai penyiasat, pemeriksaan menurut s.120 Akta Kastam 1967 sehingga laporan polis (P13) serta senarai bongkar (P1) dibuat. Saksi-saksi Pendakwaan juga dapat mengecam kesemua eksibit yang dirampas melalui tandaan yang telah dibuat. Tiada keterangan eksibit ini tertukar, dikacau ganggu, bercelaru atau hilang. Eksibit yang dirampas adalah eksibit yang sama diserahkan kepada pegawai penyiasat, penjaga stor barang kes, ahli kimia, pegawai penilai dan dikemukakan di Mahkamah ini. Maka, tiada sebab untuk Mahkamah tidak mempercayai keterangan saksi-saksi Pendakwaan kerana Mahkamah tidak nampak apa –apa ‘bad motive’ di pihak Pendakwaan dengan tidak menulis butir-butir rampasan di dalam laporan polis (P13). Akhirnya, ingin Mahkamah tegaskan bahawa tiada keraguan mengenai perjalanan pergerakan barang kes ini. Semua keterangan saksi saling menyokong antara satu sama lain dan konsinten (PP v. Muhamed Ali [1962] 1 LNS 129). KEPUTUSAN DI AKHIR KES PENDAKWAAN Di peringkat pendakwaan ini, Mahkamah berdasarkan keterangan yang dikemukakan oleh pihak Pendakwaan dan Mahkamah ini membuat penilaian keseluruhan fakta secara maksimum. Sepertimana beban pembuktian kes Pendakwaan yang telah dibincangkan di atas tadi dan sepertimana peruntukan Seksyen 180 Kanun Tatacara Jenayah, Mahkamah di peringkat ini mendapati pihak Pendakwaan telah berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh. Oleh yang demikian, Mahkamah ini telah memanggil tertuduh 25 membela diri atas pertuduhan dibawah Seksyen 135 (1) (d) (bb) Akta Kastam 1967. KES PEMBELAAN Setelah mahkamah memerintahkan untuk tertuduh membela diri, Mahkamah ini telah menerangkan tiga (3) pilihan untuk membela diri dan akibatnya secara terang, jelas dan terperinci kepada tertuduh. Tertuduh memilih untuk membela diri dengan memberi keterangan secara bersumpah dari kandang saksi. Di peringkat pembelaan, hanya tertuduh seorang sahaja memberikan keterangan. Keterangan tertuduh adalah pada 21-10-2015 jam lebih kurang 12.00 tengahari, pegawai kastam ada hadir ke kedai miliknya untuk membuat pemeriksaan rokok-rokok belum bayar cukai. Tertuduh mengakui ada seorang pekerja wanita Indonesia pada hari tersebut yang dikenali sebagai Adik. Tertuduh turut mengakui kedai tempat kejadian adalah kedai miliknya. Tertuduh menfaikan ada melihat pemeriksaan yang dijalankan, menafikan ada melihat barang rampasan seterusnya menafikan pemilikan rokok-rokok (P2-P9) tersebut sebagai miliknya. Namun sewaktu pemeriksaan balas, tertuduh bersetuju bahawa rokok-rokok yang dirampas adalah sebahagian miliknya. Setrusnya pada peringkat pemeriksaan semula, tertuduh menafikan pula rokok-rokok (P2-P9) tersebut sebagai miliknya. 26 BEBAN PEMBUKTIAN DI AKHIR KES PEMBELAAN Di peringkat ini, Mahkamah hendaklah memastikan bahawa samada pihak Pendakwaan telah berjaya membuktikan kes mereka pada tahap "beyond reasonable doubt". Prinsip undang-undang yang terpakai adalah tertuduh menimbulkan keraguan yang munasabah sudah mencukupi untuk membebaskan tertuduh walaupun versi pembelaan tidak meyakinkan kebenarannya (Gunalan a/l Ramachandran v PP [2006] 2 MLJ 197, Mohamad Radhi bin Yaakob v PP [2006] 1 CLJ 457). DAPATAN DAN ALASAN MAHKAMAH Pendakwaan menghujahkan bahawa Pembelaan tertuduh adalah satu rekaan dan penafian semata-mata bermotifkan pemalsuan fakta sebenar. Keterangan tertuduh juga berbeza-beza di peringkat pemeriksaan utama dan pemeriksaan balas, malah ianya juga bersifat pemikiran terkemudian apabila fakta-fakta yang dibentangkan tidak pernah dibangkitkan sewaktu kes Pendakwaan. Rujukan dibuat kepada kes Mohd Arabi bin Aminudden [2017] 11 MLJ 546; Mohamed bin Kaddi v PP [1969] 1 MLJ 135; Pembelaan menghujahkan bahawa nama tertuduh tidak tercatit di dalam senarai bongkar (P1) dan tandatangan yang diturunkan ke atas senarai bongkar (P1) oleh tertuduh hanyalah sebagai pengakuan penerimaan dan bukan satu ‘confession’ (PP v Lee Soo Sian [1993] 2 CLJ 214) Mahkamah merujuk kepada keterangan tertuduh. Pertama, Mahkamah memberikan perhatian kepada isu pemilikan, kawalan eksklusif dan 27 pengetahuan tertuduh ke atas rokok-rokok (P2-P9) yang dirampas. Keterangan tertuduh di peringkat pemeriksaan utama menyatakan bahawa barang kes (P2- P9) bukan miliknya. Seterusnya di peringkat pemeriksaan balas menyatakan bahawa sebahagiannya adalah miliknya dan ianya disita di premis tertuduh sendiri. Namun apabila diasak oleh peguam di peringkat pemeriksaan semula, tertuduh kemudiannya menyatakan rokok-rokok (P2-P9) bukan miliknya. Keterangan tertuduh berbeza-beza di setiap peringkat dan ianya tidak meyakinkan Mahkamah bahawa tertuduh bercakap benar dan boleh dipercayai. Tidak timbul isu tertuduh tidak faham Bahasa Melayu dan tidak faham soalan yang diutarakan oleh Pendakwaan mahupun Peguamnya sendiri kerana sepanjang keterangan, bahasa terjemahan yang digunakan adalah bahasa Mandarin. Kedua, berkenaan isu barang larangan import. Tiada keterangan menjelaskan mengapakah rokok-rokok (P2-P9) disorokkan dan tidak diletakkan kesemuanya di rak pameran bagi ‘rebut’ anggapan bahawa tertuduh mempunyai pengetahuan bahawa rokok-rokok (P2-P9) ini adalah barang larangan import. Sepanjang kes pembelaan juga, tertuduh tidak pernah mengemukakan apa-apa bukti bahawa rokok-rokok (P2-P9) yang dirampas adalah rokok-rokok sah import untuk ‘rebut’ anggapan di bawah s. 135(2) Akta Kastam 1967 yang digunapakai oleh pihak Pendakwaan. Tertuduh menyatakan bahawa tertuduh tidak melihat pemeriksaan yang dijalankan. Ini bertentangan dengan keterangan SP-1 yang mana, setiap pemeriksaan dijalankan dengan kehadiran tertuduh. Namun fakta ini tidak ditimbulkan seawal kes Pendakwaan. Tidak juga disol balas menjadikan keterangan saksi pendakwaan iaitu SP-1 boleh diterima di Mahkamah ini 28 sebagai benar. Tambahan pula, tetuduh tidak pernah manafikan tandatangan tertuduh yang tertera di atas senarai bongkar (P1) dan tidak pula ditunjukkan contoh tandatangan sebenar di dalam Mahkamah ini. Pada hemat Mahkamah, keseluruhan keterangan tertuduh adalah bersifat penafian kosong semata-mata, rekaan dan pemalsuan fakta, malah lebih mengukuhkan kes Pendakwaan dengan adanya keterangan mengakui rokok-rokok (P2-P9) sebagai miliknya. Dalam keadaan keseluruhan barang kes yang tidak menimbulkan keraguan menjadikan keseluruhan keterangan tertuduh hanyalah berbentuk penafian semata-mata. Harus diingat bahawa penafian bukanlah satu pembelaan (DA Duncan v. PP [1980] 1 LNS 12; [1980] 2 MLJ 195 ). Mahkamah juga menilai secara maksimum segala isu-isu dibangkitkan di peringkat melampaui keraguan munasabah ini dan adalah didapati tiada sebarang keterangan yang boleh menunjukkan mana-mana saksi Pendakwaan mempunyai niat untuk menganiayai tertuduh (Public Prosecutor v Abd Latif bin Sakimin [2005] 6 MLJ 351) . Ini menjadikan pembelaan tertuduh amat tidak meyakinkan Mahkamah dan sekaligus gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah ke atas kes Pendakwaan. KEPUTUSAN DI AKHIR KES PEMBELAAN Di akhir kes pembelaan, dalam keadan tertuduh sahaja memberikan keterangan, Mahkamah menilai keseluruhan fakta dan otoriti yang dikemukakan. Mahkamah akhirnya mendapati bahawa pihak Pendakwaan telah berjaya membuktikan suatu kes melampaui keraguan yang munasabah 29 ke atas tetruduh di bawah s. 135(1)(d)(bb) Akta Kastam 1967. Tettuduh didapati bersalah dan disabitkan. Setelah mendengar mitigasi tertuduh melalui peguambelanya dan hujahan Pendakwaan mengenai faktor pemberat hukuman, Mahkamah menjatuhkan hukuman ke atas tertuduh iaitu penjara 24 bulan dari tarikh sabitan (2 Julai 2018). ALASAN PENGHAKIMAN (HUKUMAN) Berikut adalah alasan-alasan Mahkamah dalam menjatuhkan hukuman ke atas OKT . 1. Definisi hukuman Nyata hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah ini masih lagi di dalam lingkungan kehendak hukuman dan maksud itu sendiri (PP v. Abu Hurairah Abu Samah dan Satu Lagi [2010] 1 LNS 308) dan bersesuaian untuk tertuduh yang minta dibicarakan sehingga peringkat akhir kes pembelaan. 2. Umur tertuduh. Sewaktu kejadian, tertuduh berusia 50 tahun. Ini satu usia yang matang (PP v. Hairuldin Bin Zainal Abidin [2001] 6 CLJ 480; [2001] 6 MLJ 146) dan tertuduh sepatutnya sudah boleh membezakan buruk baik akibat daripada sesuatu perbuatan itu sebelum tertuduh sendiri memilih untuk melakukan perbuatan salah tersebut. 3. Kesalahan serius. Mahkamah mendapati kesalahan tertuduh ini adalah satu kesalahan yang serius dan hukuman berat patut dikenakan ke atas tertuduh (PP v. Nazmi 30 ganih [2010] 1 LNS 1168, Sia Ah Kew & Ors v. PP[1974] 1 LN S154). Ini kerana perbuatan tertuduh telah mencemarkan imej negara dengan bertambahnya jumlah pesalah yang melanggar perintah Kastam. 4. Rekod lampau. Dikemukakan rekod lampau tertuduh (P37). Perlu diberi perhatian bahawa kesalahan yang dilakukan dalam kes hari ini adalah sama dengan kesalahan lampau tertuduh iaitu s.135(1)(d) Akta Kastam 1967. Tertuduh adalah seorang ”habitual offender” dengan melakukan kesalahan yang sama berulang kali. Ini juga sekaligus menunjukkan bahawa tertuduh tidak insaf apatah lagi kesal dengan kesalahan dan hukuman yang dikenakan ke atas tertuduh sebelum ini. Maka hukuman berat patut dikenakan ke atas tertuduh (PP V Jafa bin Daud [1981] 1 MLJ 315). 5. Kes diputuskan melalui perbicaraan penuh. Perbicaraan dijalankan dengan 8 orang saksi Pendakwaan dan 1 orang saksi pembelaan. Prosiding memakan masa selama hampir 1 tahun setengah bermula dari tarikh tertuduh di tuduh di Mahkamah ini iaitu 05-12-2016 sehingga hukuman dijatuhkan pada 02-07-2018. Banyak masa yang Mahkamah, Pendakwaan dan semua pihak peruntukkan untuk menjalankan kes ini. Begitu juga banyak kos yang dihabiskan oleh Kerajaan bagi melaksanakan perbicaraan ini (Abdul Hadi Bokhari v. PP [2009] 1 LNS 1678) terutamanya membayar kos kehadiran saksi ke Mahkamah sepanjang prosiding perbicaraan dijalankan. 31 6. Hukuman sebagai pengajaran. Hukuman berat patut dikenakan ke atas tertuduh bagi memberi pengajaran berguna kepada tertuduh dan kepada orang lain (PP v. Yap Chong Fatt [1962] 1 LNS 144; [1963] MLJ 136) agar tidak sekali-kali terlibat dengan jenayah. 7. Hukuman sebagai pencegahan. Hukuman berat juga patut dikenakan ke atas tertuduh agar dapat mencegah tertuduh dan orang lain daripada menceburi bidang penjualan barangan larangan import atau melakukan apa-apa kesalahan jenayah lain di masa akan datang (PP v. Yap Chong Fatt [1962] 1 LNS 144). 8. Melindungi kepentingan awam Hukuman berat berbentuk pemenjaraan patut dikenakan ke atas tertuduh demi melindungi kepentingan awam melebihi kepentingan tertuduh sendiri (Tan Sri Abdul Rahim Bin Mohd Nor v. Public Prosecutor [2001] 4 CLJ 9; [2001] 3 MLJ 1 CA). Pendakwaan juga telah mengemukakan statistik, laporan akhbar serta kajian-kajian institusi tempatan dan antarabangsa bagi menunjukkan peningkatan jumlah jualan rokok-rokok seludup berbanding rokok-rokok sah import. Ini memberi kesan kepada ketirisan hasil cukai dan menjejaskan ekonomi serta pendapatan negara. Maka hukuman penjara ini dapat mencerminkan kepada negara khususnya dan dunia secara amnya bahawa kerajaan dan negara ini benar-benar telah bertindak dalam memerangi jenayah. PERINTAH LUCUT HAK 32 Berkenaan barang kes yang dirampas, satu perintah perlucutan hak kepada Kastam Di Raja Malaysia telah diberikan oleh Mahkamah ini sejajar dengan peruntukan s.127 (1) Akta Kastam 1967.Peruntukan Seksyen 127 (1) Akta Kastam 1967 adalah sepertimana berikut:- (1)Suatu perintah bagi melucuthak atau bagi melepaskan apa-apa jua yang boleh dilucuthak dibawah Akta ini hendaklah dibuat oleh mahkamah yang pendakwaan tentangnya telah diadakan, dan suatu perintah bagi melucuthak barang-barang itu hendaklah dibuat jika dibuktikan dengan memuaskan hati mahkamah bahawa suatu kesalahan terhadap Akta ini atau mana-mana peraturan yang dibuat dibawahnya telah dilakukan dan bahawa barang-barang ituadalah hal perkara atau digunakan dalam melakukan kesalahan itu walaupun tiada seorang pun mungkin disabitkan atas kesalahan itu. Selaras dengan peruntukan di atas, maka semua barang kes yang disita diperintahkan untuk dilucuthak kepada Pendakwaan/ pihak Kastam Di Raja Malaysia. KESIMPULAN Berdasarkan kepada alasan-alasan di atas, Mahkamah ini penuh percaya dan yakin bahawa segala elemen pertuduhan telah dipenuhi. Keputusan yang Mahkamah berikan adalah adil dan munasabah di sisi-sisi undang-undang pada tahap melampaui keraguan yang munasabah dari segi sabitan dan hukuman, serta ia wajar dikekalkan. 33 Disediakan oleh: t.t NURUNAIM BINTI ABDULLAH Majistret, Mahkamah Majistret Kuantan, Pahang Darul Makmur. Tarikh : 2 Nov 2018 Pihak-pihak: En. Mohd Khairuddin Niesha bin Mohd Shafee. Pegawai Pendakwa. ...bagi pihak Pendakwaraya. Dato’ Bob S. Arumugam. Tetuan Bob S. Arumugam & Co, Kuantan. ...bagi pihak tertuduh.