Content
1 DALAM MAHKAMAH SESYEN DI KUALA LUMPUR DALAM NEGERI WILAYAH PERSEKUTUAN, MALAYSIA GUAMAN NO: WA–A52NCvC–164–02/2024 ANTARA ENFORCE SECURITY SERVICES (M) SDN BHD (No. Syarikat: 899589-X) … PLAINTIF DAN PERBADANAN PENGURUSAN SRI PUTRAMAS (No. Pendaftaran: 2541) A52NCvC-164-02/2024 ... DEFENDAN ALASAN PENGHAKIMAN (Lampiran 9 Permohonan Mengetepikan Penghakiman Ingkar) PENGENALAN [1] Ini adalah alasan penghakiman saya bagi keputusan pada 04 hari bulan September 2025, yang memutuskan bahawa permohonan Perayu/Defendan melalui lampiran 9 untuk mengetepikan Penghakiman Ingkar Kehadiran bertarikh 05.04.2024 yang dirakamkan terhadap Defendan dan/atau kebenaran diberikan kepada Defendan untuk memfailkan Memorandum Kehadiran ke Mahkamah di luar jangka masa dan/atau Defendan diberikan lanjutan masa sebanyak 14 hari dari tarikh perintah Mahkamah untuk memfailkan dan menyerahkan pembelaan Defendan (Lampiran 9) ditolak dengan kos sebanyak RM3,000.00 [2] Saya mendapati serahan writ dan penyata tuntutan ke atas defendan kedua adalah teratur dan defendan kedua tidak mempunyai pembelaan bermerit. 27/10/2025 00:57:18 WA-A52NCvC-164-02/2024 Kand. 58 SERAHAN ADALAH TERATUR [3] Salinan writ dan penyata tuntutan telah diserah kepada defendan di alamat penyampaiannya pada 19.3.2024. Afidavit penyampaian telah difailkan oleh plaintif. Di dalam afidavit penyampaian dinyatakan bahawa penyampaian writ di buat pada 19.3.2024 secara pos berdaftar A.R. kepada defendan di alamat penyampaiannya di Sri Putramas Condominium Mangement Office, Club House Ground Floor, No.1, Jalan Putramas 1, Off Jalan Kuching 51200 Kuala Lumpur. [4] Serahan ini adalah selaras dengan peruntukan Aturan 10 Kaedah 1 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012. TIADA PEMBELAAN BERMERIT [5] Tuntutan plaintif adalah untuk pembayaran invois bagi perkhidmatan pengawal keselamatan untuk defendan di Kondominium Sri Putramas berdasarkan Surat Award bertarikh 24.2.2023. Tunggakan pembayaran adalah sebanyak RM284,000.02. [6] Invois-invois telah dikemukakan kepada defendan menuntut pembayaran tersebut dan telah diakui terima oleh defendan. Namun pembayaran tidak di buat. [7] Di dalam afidavit menyokong permohonan ini, defendan menyatakan bahawa kegagalan dan/atau kelewatan kehadiran pengawal-pengawal Plaintif serta penyelia yang menyebabkan tolakan-tolakan dilakukan. [8] Defendan juga telah membangkitkan bahawa beberapa pengawal yang dibekalkan oleh Plaintif juga tidak mempunyai permit / visa bekerja yang sah. Defendan berhak kepada tolakan sebanyak RM200.00 sehari bagi setiap pengawal yang tidak mempunyai visa dan/atau permit bekerja yang sah. [9] Walau bagaimanapun, menurut Plaintif, pengawal-pengawal yang terlibat mempunyai permit bekerja yang sah dan, bagi menyokong fakta ini, Plaintif telah mengemukakan dokumen-dokumen sokongan [10] Saya mendapati bahawa Defendan gagal menunjukkan bahawa plaintif telah melakukan kesalahan atau tidak mematuhi terma perkhidmatan pengawal keselamatan yang diberikan dari bulan Julai 2023 sehingga bulan Disember 2023. [11] Rekod kehadiran pengawal-pengawal ada disimpan di dalam biometric device yang terletak di pejabat pengurusan defendan. Setiap pengawal perlu membuat pengesahan hadir dan keluar clock in dan clock out di mesin biometric tersebut. [12] Defendan tidak mengemukakan laporan dari biometric device untuk menyokong dakwaan defendan bahawa pengawal keselamatan tidak hadir bekerja, atau bekerja di dalam jumlah jam yang kurang atau bilangan pengawal kurang dari yang sepatutnya atau tuntutan plaintif melebihi dari perkhidmatan pengawal yang dibekalkan. [13] Mengenai isu permit kerja yang sah untuk setiap pengawal yang bertugas, kebenaran telah dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen di bawah Program Rekalibrasi Tenaga Kerja dan tidak menjadi suatu isu yang harus dipertikaikan. KESIMPULAN [14] Di dalam kes ini, saya mendapati bahawa serahan writ saman dan penyata tuntutan telah di buat dengan sempurna. Maka penghakiman ingkar terhadap Defendan adalah teratur. Seterusnya, saya mendapati bahawa Defendan tidak mempunyai pembelaan bermerit. [15] Oleh yang demikian, permohonan Defendan untuk mengetepikan Penghakiman Ingkar ditolak dengan kos. Bertarikh pada hari ini 15/10/2025. Zaman Mohd Noor Hakim Mahkamah Sesyen 1 Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur