Content
1 DALAM MAHKAMAH RAYUAN MALAYSIA DI PUTRAJAYA (BIDANG KUASA RAYUAN) RAYUAN JENAYAH NO: N-05(M)-191-05/2016 ANTARA FAIZAL BIN TOED … PERAYU DENGAN PENDAKWA RAYA … RESPONDEN (Dalam Perbicaraan Jenayah di Mahkamah Tinggi Seremban Negeri Sembilan dalam Perbicaraan Jenayah No : 45B-09-05/2014 Antara Pendakwa Raya Lawan Faizal bin Toed) KORUM: MOHTARUDIN BAKI, HMR HARMINDAR SINGH DHALIWAL, HMR ABDUL KARIM ABDUL JALIL, HMR 2 PENGHAKIMAN Mukadimah [1] Ini ialah rayuan oleh Faizal bin Toed, perayu, terhadap sabitan dan hukuman mati yang diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi Seremban terhadapnya atas kesalahan membunuh yang boleh dihukum di bawah seksyen 302 Kanun Keseksaan (Kanun). Kesalahan membunuh itu dibutirkan seperti mana yang berikut: “Bahawa kamu, pada 27 Mac 2012 antara jam lebih kurang 2.00 pagi hingga jam 7.00 pagi, di tepi Kampung Pasir, Rantau, di dalam daerah Seremban, di dalam negeri, Negeri Sembilan, dengan niat telah melakukan pembunuhan dengan menyebabkan kematian Ruzina binti Jaafar (No KP: 720426-05-5224), dengan itu kamu telah melakukan satu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.” [2] Terkilan dengan keputusan di atas, perayu telah merayu ke mahkamah ini. Setelah mendengar penghujahan kedua-dua pihak dan mempertimbangkan keterangan dalam rekod rayuan, kami menolak rayuan perayu dan mengekalkan keputusan mahkamah tinggi tersebut. Berikut ialah alasan kami. Fakta Kes [3] Secara ringkasnya, Rosnah bt Manan, (SP3), seorang tukang urut, semasa sedang mencari akar kayu pada pukul 8.00 pagi 27.3.2012 di tepi sungai Kampung Pasir, Rantau, Negeri Sembilan, telah terjumpa mayat 3 Ruzina binti Jaafar (si mati) dalam keadaan terlentang. Laporan polis (P7) terus dibuat mengenai penemuan tersebut dan jentera siasatan polis digerakkan. [4] Siasatan polis mendedahkan pada sekitar pukul 11.00 malam 26.3.2012, Syukri bin Mohd Jamil (SP6), suami si mati, telah pulang lebih awal ke rumah kerana kurang sihat. Si mati masih lagi berada di warung, yang diusahakan bersama SP6, bersama pekerjanya yang bernama Bai Haggi bin Muhammad Jamil (SP7). Menurut SP7, pada sekitar pukul 11.30 malam, perayu ada datang ke warung berkenaan dan memesan makanan serta minuman. Perayu juga dilihat ada berbual singkat dengan si mati sebelum beredar dari warung tersebut pada lebih kurang pukul 12.00 tengah malam. [5] Pada lebih kurang pukul 2.00 pagi, SP7 melihat si mati beredar dan masuk ke dalam keretanya iaitu sebuah kereta Proton Wira berwarna kelabu bernombor pendaftaran NAP 7570. SP7 terus menutup warung dan pulang ke rumah. Itulah kali terakhir SP7 melihat si mati. [6] SP6, dalam keterangannya, mengatakan dia terjaga daripada tidur pada sekitar pukul 7.00 pagi dan menyedari si mati masih lagi belum pulang. Selepas menyiapkan anak-anak dan menghantar mereka ke sekolah, dia mula mencari isterinya di sekitar kawasan kampung. Apabila usaha pencariannya gagal menemukan sebarang petunjuk, SP6 seterusnya membuat laporan polis. Tidak lama selepas itu, SP6 menerima panggilan telefon daripada Balai Polis Rantau memaklumkan penemuan mayat seorang perempuan dengan ciri-ciri si mati berdasarkan repot SP6. 4 [7] Susulan penemuan itu, Pasukan Forensik Inspektor Tan Cheng Kiat (SP17), D/Kpl Zakaria bin Bakar (SP18), Inspektor Kentnorten (SP21) dan D/Kpl Agus Widodo bin Sukarno (SP2) telah ditugaskan untuk mengumpulkan bukti forensik di tempat kejadian. Lantas, lakaran rajah kasar kedudukan mayat, gambar tempat kejadian, dan sampel tanah diambil dan diserahkan kepada pegawai penyiasat iaitu ASP Wee Huat Nee (ASP Wee Huat Nee telah meninggal dunia sebelum perbicaraan ini bermula di Mahkamah Tinggi). Mayat si mati kemudiannya dibawa ke Hospital Tunku Jaafar, Seremban untuk dibedah siasat. [8] Bedah siasat telah dijalankan oleh Dr. Sharifah Safoorah bt Syed Alwee Al-Idrus (SP4). Selain tubuh si mati mempunyai 22 jenis luka, lebam, dan bengkak di seluruh badan, SP4 mengesahkan punca kematian si mati ialah “compression of the neck”. Sampel pakaian, darah, kuku, rambut, dan swab vagina serta dubur (anus) diambil dan diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut. [9] Selain itu, sebuah kereta Proton Iswara Aeroback 1.3 berwarna kelabu, bernombor pendaftaran WJN 1578 yang digunakan oleh perayu turut dirampas. Beberapa ekshibit telah diambil daripada kenderaan tersebut antaranya dua helai rambut/bulu di tempat duduk sebelah kanan bahagian belakang, sehelai rambut/bulu ditemui di tempat duduk sebelah bahagian tengah belakang, sehelai rambut/bulu di tempat duduk sebelah tengah bahagian belakang, dua helai rambut/bulu di tempat duduk sebelah kiri bahagian belakang, sehelai rambut/bulu di penyandar tengah tempat duduk bahagian belakang, segumpal rambut di tempat letak kaki penumpang sebelah kanan, sebuah telefon bimbit Nokia ditemukan di tepi 5 sebelah kiri stereng, sampel tanah di tempat letak kaki pemandu sebelah kanan, swab kesan peluh di bahagian dalam pintu sebelah kiri penumpang hadapan kenderaan, swab kesan peluh di bahagian dalam pintu sebelah kanan penumpang belakang kenderaan, dua helai rambut/bulu di sebelah kiri but belakang kenderaan dan sampel tanah diambil dari tayar sebelah kiri hadapan kenderaan. Selain itu, rampasan satu tali pinggang hitam, sehelai baju dalam lelaki, dua helai seluar panjang, dan sehelai baju lengan panjang telah juga dibuat di rumah ibu bapa perayu di Felda Sg. Lui, Bandar Seri Jempol. [10] Berdasarkan maklumat daripada SP7, SP9 dan ASP Norazman bin Bain (SP10) telah menangkap perayu di kawasan pam minyak Petronas Parit Raja, Batu Pahat Johor. Hasil soal siasat berkenaan barangan milikan si mati, perayu telah memandu arah Insp Azman bin Zaini (SP12) ke sebuah premis No. 6 Tingkat Atas, Jalan Perhentian Bas, Bahau dan menunjukkan seorang yang bernama Mohd Shah Azmi bin Bidin (SP 14). SP14 kemudiannya mengesahkan dia ada membeli barang kemas dan rantai loket daripada perayu. [11] Selain itu, beberapa penemuan yang mengaitkan perayu dengan si mati telah dikemukakan seperti yang berikut: