Content
1 DALAM MAHKAMAH RAYUAN MALAYSIA DI PUTRAJAYA (BIDANG KUASA RAYUAN) RAYUAN JENAYAH NO: B-05-111-04/2015 ANTARA FAIZUL NIZAM BIN JAAFAR … PERAYU DENGAN PENDAKWA RAYA … RESPONDEN (Dalam Perbicaraan Jenayah di Mahkamah Tinggi Malaya di Shah Alam, Selangor dalam Perbicaraan Jenayah No : 45A-23-03/2014 Antara Pendakwa Raya Lawan Faizul Nizam bin Jaafar) KORUM: IDRUS HARUN, HMR ABDUL KARIM ABDUL JALIL, HMR ASMABI MOHAMAD, HMR 2 PENGHAKIMAN Pengenalan [1] Perayu, Faizul Nizam bin Jaafar, telah didakwa, disabitkan dan dijatuhkan hukuman gantung sampai mati oleh hakim bicara yang bersidang di Mahkamah Tinggi Shah Alam atas pertuduhan seperti yang berikut: “Bahawa kamu pada 1 Julai 2013, jam lebih kurang 5.00 petang, bertempat di kawasan bawah Bangunan Blok Emerald Perdana Kondominium, Jalan PJU 8/3 Damansara Perdana, di dalam Daerah Petaling Jaya, dalam Negeri Selangor Darul Ehsan telah didapati memperedarkan dadah berbahaya seberat 18,493 gram Cannabis dan dengan itu kamu telah melakukan satu kesalahan di bawah seksyen 39B(1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah seksyen 39B(2) Akta yang sama.” [2] Terkilan, perayu telah merayu ke Mahkamah ini dan setelah mendengar penghujahan peguamnya yang terpelajar dan Timbalan Pendakwa Raya (TPR), kami mendapati rayuannya tidak bermerit. Arkian, kami dengan sebulat suara menolak rayuan ini dan alasan kami memutuskan sedemikian menyusur selepas ini. Latar Belakang Kes [3] Ikhtisarnya, bertindak atas maklumat pengedaran dadah yang diterima, pada 1.7.2013 ASP Mohd Sahar bin Mohd Yunus (SP10) bersama-sama dengan lima (5) kumpulan anggotanya telah pada pukul 4.45 petang menjalankan intipan dan serbuan di Emerald Perdana Kondominium, Jalan PJU 8/3 Damansara Perdana, Petaling Jaya (Emerald Kondo). Pada lebih kurang pukul 5.00 petang, setelah 3 membuat intipan selama 15 minit, SP10 telah melihat sebuah kereta Toyota Estima berwarna hitam bernombor pendaftaran “AHH 57” (kereta Estima) yang dipandu oleh perayu telah masuk ke kawasan kondominium tersebut. Kereta Estima itu kemudiannya berhenti di tepi bangunan parkir kereta (di laluan kereta di hadapan blok). [4] Dengan kemunculan kereta Estima tersebut, SP10 telah bertindak mengarahkan anggota serbuannya untuk menyerbu dan menghalang kereta Estima itu dari semua arah. Laluan keluar dari kondominium tersebut juga telah ditutup. SP10 seterusnya menuju ke kereta Estima itu dan mendapati perayu seorang sahaja yang berada di dalam kereta tersebut. SP10 lantas memperkenalkan dirinya sebagai anggota polis dan mengarahkan perayu untuk keluar dari dalam kereta tersebut. Perayu telah keluar dan dilihat dalam keadaan terkejut dan tergamam. [5] Setelah perayu keluar dari dalam kereta Estima, SP10 telah membuat pemeriksaan ke atas badannya tetapi tiada apa-apa barang salah dijumpai. Pemeriksaan selanjutnya dibuat ke atas kereta Estima dengan disaksikan oleh perayu dan anggota serbuan. Hasil pemeriksaan, SP10 menemukan satu beg plastik hitam dari tempat letak kaki penumpang hadapan sebelah kiri yang di dalamnya mengandungi dua puluh (20) ketulan mampat daun-daun kering disyaki ganja yang dibalut dengan plastik lut sinar dan kerajang (foil) aluminium (seperti mana ditunjukkan dalam gambar ekshibit P5). Ekoran penemuan itu, perayu telah ditangkap dan barang kes dirampas dan seterusnya dibawa ke IPD Petaling Jaya untuk tindakan selanjutnya. 4 [6] Barang kes yang disyaki dadah itu kemudiannya telah dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisis. Setelah dianalisis,Puan Suhana Ismail, Ahli Kimia (SP4), mengesahkan bahan-bahan tersebut ialah dadah berbahaya jenis cannabis seberat 18,493 gram, dan cannabis disenaraikan dalam Jadual Pertama Akta Dadah Berbahaya 1952 “ADB 1952” (dadah). [7] Pendakwaan telah juga memanggil Harizan bin Ahmad (SP5) dan Norfasli bin Abdul Nordin (SP6). Mereka mengenali perayu tetapi menafikan mempunyai apa-apa kaitan dengan dadah yang ditemukan di dalam kereta Estima. SP5 dan SP6 juga menafikan melihat atau mengenali Mohd Khairul bin Hassan (Khairul) dan Mohd Apandi bin Abdullah (Apandi) pada hari kejadian. Selain itu, SP6 telah juga melihat perayu mengeluarkan beg seakan di ekshibit P5 dari kereta Satria dan memasukkan ke dalam kereta Estima. [8] SP7, Chun Mei Ngor, pula ialah pemilik kereta Estima dan majikan perayu. SP7 mengesahkan perayu ialah pemandunya dan telah menghantarnya ke pejabat pada pukul 4.00 petang hari tersebut. Namun pada pukul 6.45 petang SP7 gagal menghubungi perayu dan dimaklumkan oleh pihak polis kemudiannya bahawa perayu telah ditangkap. SP7 juga menafikan mempunyai apa-apa pengetahuan tentang dadah yang ditemukan di dalam kereta Estimanya. 5 Kes Prima Facie [9] Di akhir kes pendakwaan, hakim bicara, setelah menilai dan menimbangkan secara maksimum keterangan kesemua saksi, membuat dapatan bahawa pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan satu kes prima facie terhadap perayu. [10] Hakim bicara telah menghuraikan pembuktian elemen-elemen pertuduhan dengan jelas dalam penghakimannya. Mengenai pemilikan mens rea dadah berkenaan, hakim bicara telah menerima utamanya keterangan SP5, SP6, SP7, SP8 (anak SP7), Sarjan Ismail Nooruddin (SP9) dan SP10 untuk membuat dapatan fakta yang berikut: