Setelah mendengar keseluruhan keterangan lisan saksi-saksi Plaintif dan Defendan dan setelah meneliti keterangan-keterangan dokumen yang dikemukakan dalam perbicaraan ini dan setelah meneliti hujah-hujah kedua-dua pihak peguam, Mahkamah ini berpuas hati bahawa Plaintif telah berjaya membuktikan sebahagian daripada tuntutannya di atas imbangan kebarangkalian. Mahkamah ini telah memerintahkan seperti berikut: i) Pengisytiharan bahawa 1/3 bahagian tanah yang tidak dipecahkan dalam tanah tersebut yang telah dipindahmilikkan daripada si mati Siti Noor Binti Omar kepada Defendan Pertama melalui nombor perserahan pindahmilik 496/2016 pada 21/1/2016 adalah terbatal. ii) Defendan Kedua diperintahkan untuk mendaftarkan semula nama si mati sebagai pemilik berdaftar 1/3 bahagian yang tidak dipecahkan bagi menggantikan nama Defendan Pertama dalam dokumen hakmilik daftaran dan keluaran (Register and Issue Document of Title) tanah tersebut seberapa segera yang munasabah selepas sesalinan perintah bermeterai ini diserahkan kepada Defendan Kedua tanpa memerlukan instrument 14A. iii) Sekiranya dokumen hakmilik keluaran (Issue Document of Title) bagi tanah tersebut gagal diserahkan kepada Defendan Kedua oleh mana-mana pihak yang memegang dokumen tersebut selepas diserahkan oleh Defendan Kedua suatu notis menurut s. 15 (1)(e)(i) KTN, Defendan Kedua hendaklah mengeluarkan dokumen hakmilik sambungan (title in continuation) atau mengeluarkan dokumen hakmilik pendua (duplicate document of title) bagi tanah tersebut, menurut mana-mana yang mana difikirkan sesuai oleh Defendan Kedua. Jika tiada persetujuan di antara pemilik-pemilik bersama tentang siapa yang patut memegang dokumen hakmilik keluaran, Defendan Kedua hendaklah menahan dokumen hakmilik keluaran tersebut menurut s. 343(2) KTN namun Defendan Kedua boleh, atas permintaan mana-mana pemilik bersama tanah tersebut, mengeluarkan salinan dokumen hakmilik keluaran yang diendorskan menurut s.343(3) KTN. iv) Perlaksanaan perintah dalam perenggan (ii) di atas hendaklah dilaksanakan tanpa mengira sebarang halangan atau bebanan yang terdapat atas atau pada tanah tersebut pada masa perintah ini diserahkan kepada Defendan Kedua. v) Gantirugi Am dan Khas serta faedah tidak dibenarkan kerana plaintif bukan pentadbir pesaka kepada si mati, menurut prinsip yang dinyatakan oleh Mahkamah Persekutuan dalam kes Al Rashidy Kassim & Ors v. Rosman Roslan [2007] 1 MLRA 307 iaitu ganti rugi am dan khas tidak boleh dituntut bagi pihak harta pusaka si mati melainkan sebagai pentadbir pusaka. vi) Tiada perintah berkenaan kos. Alasan Penghakiman ini disediakan pada 11.03.2026. ……………………………….. MOHD ROSLI BIN YUSOFF Hakim Mahkamah Tinggi (2) Kota Bharu Kelantan Darul Naim Peguam Plaintif: Mohd Nasir Bin Abdullah, Tetuan Mohd Nasir & Co, PT 311-T1, Wisma Jaza, Seksyen 22, Jalan Kuala Krai 15200 Kota Bharu, Kelantan. Peguam Defendan Pertama: Hisham Bin Fauzi, Norazham Bin Yahaya, Rusilawati Bt Zakaria@ Ismail & Mazni Adibah Binti Mhd Rahim, Tetuan Hisham Fauzi & Assoc, 4087-T Lorong Merican, Off Jalan Telipot, 15150 Kota Bharu, Kelantan. Peguam Defendan Kedua: Adam Bin Mohamed @ Mamat, Penolong Penasihat Undang-Undang Negeri Kelantan, Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri Kelantan, Tingkat Bawah, Blok 5, Kota Darulnaim, 15050 Kota Bharu, Kelantan.