/akn/my/judgment/court-of-appeal/2018/2c356174-a6ea-4724-8c05-d0d007adac65
Court of Appeal of Malaysia25 Oct 2018B-05(M)-579-12/2017
The written judgment as the court issued it, with the coram, case number, and source links. Every paragraph has its own anchor.
Text
1 DALAM MAHKAMAH RAYUAN MALAYSIA DI PUTRAJAYA (BIDANG KUASA RAYUAN) RAYUAN JENAYAH NO: B-05(M)-579-12/2017 ANTARA FATEMEH ANSARI MOOSA (No. PASSPORT: H24290350) …. PERAYU DENGAN PENDAKWA RAYA … RESPONDEN (Dalam Mahkamah Tinggi Shah Alam Dalam Perkara Perbicaraan Jenayah No. 45A-70-07/2015 Antara Pendakwa Raya Dengan Fatemeh Ansari Moosa Mohammad Rouhani Ghasem) KUORUM: MOHTARUDIN BIN BAKI, HMR ABDUL KARIM BIN ABDUL JALIL, HMR RHODZARIAH BINTI BUJANG, HMR 2 PENGHAKIMAN [1] Perayu bersama-sama dengan seorang tertuduh bernama Ansari Moosa Mohammad Rouhani Ghasem (tertuduh kedua) telah dituduh di Mahkamah Tinggi dengan kesalahan mengedar dadah berbahaya di bawah s.39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 (ADB 1952) sepertimana yang berikut: “Bahawa kamu bersama-sama pada 06 Disember 2014 jam lebih kurang 3.20 petang di kawasan Tuntutan Bagasi Ketibaan Antarabangsa, Aras 3, MTB KLIA, di dalam Daerah Sepang, di dalam Negeri Selangor Darul Ehsan, telah mengedar dadah berbahaya iaitu sejumlah berat 3110 gram Methamphetamine dan dengan itu kamu telah melakukan satu kesalahan di bawah seksyen 39B (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah seksyen 39B (2) Akta yang sama.” Tertuduh kedua telah dilepas dan dibebaskan di akhir kes pendakwaan. Manakala perayu pula diarah untuk membela dirinya, dan di akhir perbicaraan, telah didapati bersalah dan dijatuhkan hukuman gantung sampai mati oleh Hakim Mahkamah Tinggi (Hakim bicara). Terkilan, perayu merayu ke mahkamah ini. [2] Fakta kes telah digariskan dengan jelas dalam alasan penghakiman Hakim bicara. Kami tidak akan mengulanginya di sini kecuali yang berikut. Pada 6.12.2014, perayu, warganegara Iran berumur lebih kurang 36 tahun, telah ditahan oleh D/Sjn Mejar Abdul Rahman bin Hj Yassin (SP2) pada pukul lebih kurang 3.20 petang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur sebaik sahaja tiba dengan pesawat Qatar Airway QR439 dari Doha, Qatar. Perayu 3 sebelum itu berlepas dari Iran via Doha untuk ke Malaysia. Perayu ditahan bersama-sama dengan dua buah beg yang dibawanya, ekshibit P10 dan P11, yang setelah diperiksa ditemukan, di samping barangan peribadi, di bawah pelapik hitam yang mempunyai lubang-lubang di empat-empat penjuru di sekeliling kedua-dua beg (cara yang sama setiap satu beg) itu serbuk putih yang disyaki dadah. SP2 juga mendapati ada serbuk putih terkeluar dari lubang-lubang itu. Serbuk putih itu kemudiannya disahkan oleh ahli kimia Norhaya binti Jaafar (SP3) sebagai dadah berbahaya jenis Methamphetamine seberat 3110 gram, hal perkara pertuduhan. [3] Di akhir kes pendakwaan Hakim bicara telah menerima keterangan saksi-saksi pendakwaan dan membuat dapatan bahawa perayu mempunyai kawalan dan jagaan ke atas beg-beg berkenaan dan setelah mengamati bagaimana dadah-dadah tersebut disembunyikan, perayu semestinya mempunyai pengetahuan tentang dadah-dadah tersebut. Perayu juga telah didapati mengedar dadah tersebut dengan membawa dadah tersebut dari Iran ke Malaysia dalam maksud takrifan pengedaran dalam s.2 ADB 1952. Selain itu, kami juga berpendapat anggapan di bawah s.37 (d) ADB 1952 telah juga terpakai di sini iaitu perayu mempunyai milikan serta pengetahuan tentang bentuk dadah yang tersembunyi di dalam dua-dua beg tersebut. Oleh itu kami bersetuju dengan keputusan Hakim bicara bahawa pendakwaan telah berjaya membuktikan satu kes prima facie terhadap perayu. 4 [4] Perayu memberikan keterangan secara bersumpah dan mengemukakan pembelaan pembawa polos/ikhlas (innocent carrier). Bagaimanapun, di akhir kes, setelah mempertimbangkan pembelaan tersebut dengan kes pendakwaan, Hakim bicara mendapati pembelaan tersebut merupakan satu rekaan dan penafian semata-mata. Perayu lantaran itu didapati bersalah dan dihukum sepertimana dinyatakan di atas. [5] Di hadapan kami peguam perayu terpelajar hanya memberikan fokus kepada satu alasan utama iaitu pembelaan pembawa polos/ikhlas (innocent carrier) perayu tidak dihayati dan dinilai secukupnya oleh Hakim bicara untuk menyokong rayuannya. Dihujahkan perayu tidak mempunyai pengetahuan langsung tentang dadah yang disembunyikan dalam beg-beg berkenaan. Beg-beg tersebut dipinjamkan kepada perayu oleh Nazanin (Nazi) dan teman lelakinya yang bernama Amir untuk dibawa dan digunakan semasa melancung ke Malaysia. Ditegaskan lagi oleh peguam perayu bahawa terdapat pengedar sebenar (actual trafficker) di sini iaitu Nazi, Amir dan Mehdi yang gagal disiasat oleh pegawai penyiasat, Inspektor Adzilee bin Suii, SP5. Secara alternatif, perayu hanya bersalah atas kesalahan pemilikan dan bukan mengedar dadah berbahaya tersebut. [6] Bagi isu yang dibangkitkan, kami telah mempertimbangkan hujahan kedua-dua pihak dan menghayati keterangan dalam rekod. Kami mendapati semua isu yang dibangkitkan di hadapan kami telah dipertimbangkan dengan terperinci oleh Hakim bicara dalam penghakimannya. Kami tidak dapati adanya kekhilafan yang telah 5 dilakukan atau salah arah tentang isu yang dibangkitkan untuk mewajarkan campur tangan kami. Isu pembawa polos/ikhlas melibatkan penemuan fakta dan semestinya melibatkan penilaian atas kredibiliti saksi-saksi (rujuk: PP v Herlina Purnama Sari [2017] 1 MLRA 499). Kami hanya boleh campur tangan jika terdapatnya kekhilafan atau salah arah dalam keputusan Hakim bicara tersebut (rujuk-Wong Swee Chin v PP[1980] 1 LNS 138; Public Prosecutor v Mohd Radzi bin Abu Bakar [2005] 2 MLRA 590; [2005] 6 MLJ 393; [2006] 1 CLJ 457; dan, Low Kian Boon & Anor v Public Prosecutor [2010] 4 MLJ 425). [7] Mengenai pembelaan pembawa polos/ikhlas, kami mendapati Hakim bicara tidak tersalah arah dirinya dan telah berlandaskan prinsip yang betul dalam membuat dapatan berikut: “[36] Jalur Pembelaan Tertuduh adalah beliau membawa beg itu secara ikhlas tanpa mengetahui beg troli tersebut mengandungi dadah ... (Hakim bicara merujuk kes Venkatesen China Semi v. Public Prosecutor (2011) 1 LNS 1736...) Dengan itu sama ada jalur Pembelaan Tertuduh sebagai seorang pembawa ikhlas adalah bergantung kepada hal keadaan fakta kes ini. Seperti yang dinyatakan sebelum ini bahawa Pembelaan Tertuduh bahawa beliau meminjam beg P10 dan P11 itu dari Nazi. Tertuduh telah mendapati tiada barang lain di dalam beg itu. Tanpa mengetahui wujudnya dadah di dalam beg itu. Tertuduh telah memasukkan pakaiannya di dalam beg dan membawanya masuk ke Malaysia. Fakta kes ini amat berbeza dengan kes Eko Feryanto v PP (Rayuan Jenayah no. B-05[M]-196-07/2015 yang dirujuk oleh Peguambela Tertuduh yang dalam hal keadaan kes itu inti pati Pembelaan Perayu sebagai pembawa ikhlas telah menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pihak Pendakwaan. Dalam kes Eko Feriyanto v. PP (supra) yang dirujuk, Mahkamah Rayuan dalam mempertimbangkan sama ada Pembelaan pembawa ikhlas telah berjaya menimbulkan keraguan yang munasabah dengan mempertimbangkan hal keadaan kes itu dengan menyatakan: 6 “[12] Intipati pembelaan Perayu ialah “pembawa ikhlas” (‘innocent carrier’). Dalam mempertimbangkan sama ada Pembelaan tersebut telah berjaya menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan, fakta atau keterangan relevan yang pada lazimnya diambilkira oleh Mahkamah, antara lain ialah:- a) sama ada beg/bekas yang mengandungi dadah berbahaya itu, apabila dilihat dengan mata kaar, kelihatan biasa, tidak diubahsuai dan tidak menampakkan sesuatu yang mencurigakan; b) sama ada perayu telah memberikan kerjasama penuh semasa dia ditahan dan semasa bagasinya diperiksa oleh pihak berkuasa; c) sama ada Perayu berada dalam keadaan biasa, tidak menunjukkan perasaan cemas atau takut atau cuba melarikan diri apabila dia diminta oleh pihak berkuasa untuk membuat imbasan dan apabila beg/bekas tersebut didapat mengandungi dadah berbahaya; d) sama ada Perayu memberikan reaksi terkejut atau terperanjat selepas diberitahu bahawa terdapat dadah di dalam beg/bekas yang dibawanya; dan e) sama ada apabila dadah berbahaya telah dijumpai di dalam beg/bekas yang dibawanya, Perayu dengan kadar yang seberapa segera yang praktikal telah memaklumkan kepada pihak berkuasa orang atau orang-orang yang pada fikirannya bertanggungjawab meletakkan dan/atau memasukkan dadah berbahaya di dalam beg/bekas tersebut tanpa pengetahuannya. [37] Di dalam kes Eko Feriyanto v. PP (supra) Pembelaan Tertuduh (Perayu) adalah beliau seorang pekerja sambilan menjual talipon bimbit di Roxy Jakarta. Perayu telah pergi ke Maldives untuk mengambil baju-baju atas permintaan kawanya Agus Hasanah. Baju-baju itu dikatakan untuk diberi kepada Jerry berbangsa Afrika yang berada di Malaysia. Tiket penerbangan Perayu ke Maldives ditanggung sepenuhnya oleh Agus Hasanah manakala hotel ditempah oleh Jerry. Agus Hasanah memberitahu Perayu bahawa seorang bernama Patricia akan menunggunya di hotel tempat Perayu menginap. Patricia akan memberikan baju-baju tersebut kepada Perayu. Perayu dikehendaki membawa baju-baju tersebut kepada Jerry di Malaysia. Patricia telah menyerahkan satu beg beserta dua anak kunci kepada Perayu sebelum bertolak ke Kuala Lumpur. Perayu telah menjelaskan rupa bentuk dan fizikal Patricia dan Jerry. Perayu telah memaklumkan kepada SP9 yang diakui sendiri oleh SP9 7 (pegawai penyiasat) bahawa Agus Hasanah telah mengirimkan wang ke Western Union dalam eksibit P38A dan terdapat alamat dan no. talipon Agus Hasanah. SP9 mendapati hanya pakaian wanita dalam beg (P6) yang dibawa oleh Perayu yang merupakan pakaian baru yang masih terdapat tag. Walaupun pada permulaan pemeriksaan beg Perayu nampak tenang dan bekerjasama, namun apabila dadah ditemui di dalam beg, Perayu telah terkejut dan hampir pitam, yang diakui sendiri oleh saksi Pendakwaan SP2. Atas fakta ini Mahkamah rayuan telah menimbang faktor-faktor yang disebutkan itu dan mendapati pembelaan ‘pembelaan iklhas’ oleh Perayu telah menimbulkan keraguan yang munasabah. [38] Di dalam kes di hadapan Mahkamah ini, penceritaan Tertuduh mengenai ketidaktahuannya akan dadah di dalam beg itu adalah terlalu longgar dan sukar dipercayai. Tertuduh hanya menyatakan bahawa beliau meminjam beg itu daripada Nazi. Tertuduh tidak mengetahui di dalamnya ada dadah. Tertuduh hanya membawa beg itu untuk mengisi pakaiannya bagi tujuan melancung ke Malaysia. Penceritaan Tertuduh berbeza dengan penceritaan di dalam kes Eko Feriyanto v PP (supra) tersebut. Dengan itu faktor yang menjadi pertimbangan di dalam Eko Feriyanto v PP (supra) adalah tidak berkaitan. [39] Sekiranya benar beg itu kepunyaan Nazi yang diketahuinya mengandungi dadah kenapa mesti Nazi memberi pinjam kepada Tertuduh untuk di bawa masuk ke Malaysia. Kalau benar Nazi tahu ada dadah di dalam beg itu, tentunya Nazi telah menggunakan Tertuduh untuk mengedar dadah itu ke Malaysia dan Nazi akan meminta Tertuduh menyerahkan beg itu kepada pihak ketiga bukan dengan hanya memberi pinjam kepada Tertuduh. Dalam hal keadaan kes ini, tanpa penjelasan itu, hanya satu kesimpulan yang boleh dibuat oleh Mahkamah ini iaitu Tertuduh menyedari akan wujud dadah dalam kedua-dua beg itu untuk dibawa masuk ke dalam Malaysia dan untuk di serahkan kepada pihak ketiga. Tidak mungkin Nazi yang dikatakan oleh Tertuduh sebagai rakannya sengaja hendak menganiyai (sic) rakan baiknya dengan satu kesalahan dadah. [40] Mahkamah ini juga mendapati penceritaan Tertuduh terhadap Nazi dan Amir itu semata-mata rekaan beliau. Tertuduh akui Nazi adalah kawan perempuan yang tinggal bersamanya tidak mungkin beliau tidak mengetahui nama sebenar, alamat serta no talipon penama. Tertuduh hanya menggunakan kesempatan komunikasi yang menyebabkan SP2 dan SP5 tidak memahaminya mengenai penama Nazi dan Amir yang dibangkitkan kepada mereka. Sedangkan Tertuduh seorang pekerja salun di Iran dan mengembara 8 menggunakan penerbangan yang tidak sepenuhnya menggunakan bahasa dan tulisan Parsi. Tertuduh telah berjaya sampai ke KLIA dan melepasi Imigresen dan mengambil begnya tanpa apa-apa masalah komunikasi atau masalah arah tunjuk. Dari ini tentunya Tertuduh mengetahui sedikit sebanyak menulis dalam tulisan biasa. Tertuduh sengaja memberi alasan bahawa penama Nazi dan Amir telah ditimbulkan semasa tahanannya, cumanya pihak polis tidak memahami mereka. [41] Seperkara lagi, Tertuduh menyatakan beliau datang ke Malaysia melancung untuk 3-4 hari. Ketidakmunasabahnya penceritaan Tertuduh ini adalah kenapa semestinya beliau membawa 2 beg yang penuh diisi pakaian, seluar, t shirt, baju tebal, tuala dan kasut. Selain itu, kelakuan Tertuduh yang dihujahkan oleh Peguambela bukan menunjukkan Tertuduh tidak mengetahui kewujudan dadah tersebut tetapi sebaliknya dalam keadaan dadah disorokkan itu menunjukkan Tertuduh mengetahui terdapat dadah di dalam beg tersebut, sepertimana yang telah dijelaskan sebelum daripada ini.” [8] Mengenai isu kegagalan pegawai penyiasat SP5 untuk menyiasat kewujudan dan peranan Nazi, Amir dan Mehdi sebagai pengedar sebenar (actual trafficker), kami mendapati isu ini adalah a non starter dan lebih bersifat red herring. Harus dicatatkan tiadanya konsep pengedar sebenar dalam skema ADB 1952. Utamanya, apa yang menjadi kesalahan di bawah peruntukan seksyen 39B (1) ADB 1952 ialah kesalahan pengedaran dadah berbahaya dalam bentuk dan dengan elemen yang digariskan dalam Akta tersebut. Konsep pengedaran dalam skema Akta ini dengan jelas tidak semata-mata merangkumi empunya atau pemilik dadah tersebut. Sesiapa jua yang didapati inter alia memiliki dengan pengetahuan dadah tersebut dan telah melakukan jenis-jenis perbuatan nyata sepertimana ditakrifkan sebagai pengedaran dalam s. 2 ADB 1952, atau dianggap sedemikian, telah melakukan kesalahan mengedar dadah tersebut. Itu tumpuannya. Ini termasuklah juga mereka yang digelar sebagai keldai dadah. 9 [9] Oleh itu, apa yang perlu dibuktikan oleh pendakwaan adalah sama ada perayu memiliki dengan pengetahuan dadah tersebut dan bukan merupakan pembawa polos/ikhlas. Hakim bicara mendapati bahawa pendakwaan telah berjaya membuktikan elemen-elemen di atas dan telah juga menolak pembelaan pembawa polos/ikhlas sepertimana dihuraikan di atas. Dalam keadaan dapatan ini dan selaras dengan skema ADB 1952, kegagalan SP5 untuk mencari, mengesan atau menentu sahkan kewujudan penama-penama di atas sepertimana ditegaskan oleh peguam terpelajar tidak menimbulkan atau mencipta apa-apa kemudaratan kepada perayu atau pun pada kes pendakwaan. [10] Namun begitu, kami mendapati Hakim bicara telah mempertimbangkan kewujudan dan peranan ketiga-tiga penama ini viz-a-viz isu ketiadaan pengetahuan akan dadah dalam beg-beg tersebut dan pembelaan pembawa polos/ikhlas. Kami bersetuju dengan dapatan Hakim bicara tentang isu ini dan mendapati tiadanya kekhilafan yang boleh dirayu dilakukan dalam membuat dapatan, inter alia, yang berikut: “[30] Di dalam kes di hadapan Mahkamah ini, penceritaan Tertuduh mengenai ketidaktahuannya akan dadah di dalam kedua-kedua beg serta kewujudan kawannya bernama Nazi, Amir dan Mehdi adalah terlalu longgar dan sukar dipercayai. Tertuduh meletakkan kaitan dadah dan beg tersebut dengan Nazi serta teman lelakinya Amir. Walaupun Tertuduh menyatakan bahaawa (sic) nama Nazi dan Amir ada sebut kepada polis semasa ditahan polis dan semasa ditahan di lock up, namun Tertuduh tidak pernah memberi nama penuh dan lain-lain butir penama tersebut kepada polis. Malah semasa memberi keterangan di Mahkamah juga Tertuduh tidak pernah menyatakan apakah nama penuh dan no talipon bimbit Nazi dan Amir serta lain-lain butir mereka. Mahkamah ini percaya bahawa Tertuduh tidak pernah memberitahu apa-apa butir berkenaan Nazi dan Amir tersebut.
preamble
Menurut Tertuduh Nazi merupakan rakan perempuan yang telah dikenali sejak 6 tahun lalu dan Amir dikenali sejak 2 tahun lalu di 10 Kharaj Iran. Sebagai rakan yang telah dikenali lama pastinya seseorang itu mengetahui serba sedikit walaupun tidak lengkap akan butir rakannya seperti tempat kerja, alamat penuh dan no talipon yang hendak dihubungi serta latar belakang keluarganya. Tertuduh hanya dalam keterangannya menyatakan pihak polis tidak membenarkan beliau menjawab panggilan talipon semasa pemerksaan beg dilakukan. Sementara itu dari pemerhatian Mahkamah ini semasa SP2 disoal balas tidak pula ditanyakan mengenai kejadian talipon beliau berbunyi dan beliau tidak dibenarkan menjawabnya. SP2 tidak ditanya. [31] Begitu juga Tertuduh dalam pembelaannya menceritakan bahawa beliau telah meminjamkan kedua-dua beg itu daripada Nazi. Nazi dan teman lelakinya Amir telah menghantar Tertuduh ke lapangan terbang di Sulamaniyah. Beg-beg tersebut telah diuruskan masuk (check in) oleh Nazi dan Amir. Walau bagaimanapun penama Nazi ini tidak dibangkitkan langsung semasa SP2 di soal balas. Manakala penama Amir ini dibangkitkan secara sepintas lalu semasa SP2 di soal balas yang tidak dipersetujui oleh SP2. Sementara itu, semasa SP5 disoal balas dibangkitkan bahawa di dalam rakaman percakapan Tertuduh menyatakan kedua-dua beg itu diberikan oleh Amir dan Amir ini dikenali oleh Tertuduh melalui Mehdi dan seorang wanita bernama Nazi. Ini amat bertentangan dengan penceritaan Tertuduh semasa mengemukakan pembelannya iaitu Nazi yang memberi pinjam kedua-dua beg itu pada beliau dan Amir merupakan teman lelaki Nazi. [32] Dengan itu, Mahkamah ini mendapati Tertuduh tidak secara serius membangkitkan soal butir-butir Nazi dan Amir ini melalui saksi SP2 dan SP5. Malahan peranan Amir dan Nazi yang dibangkitkan melalui SP5 bercanggah dengan peranan mereka semasa Tertuduh mengemukakan jalur pembelaannya. Mahkamah ini dengan itu mendapati bahawa sememangnya Tertuduh tidak pernah memberitahu baik kepada SP2 dan SP5 mengenai kedua-dua penama Nazi dan Amir ini kepada pihak polis. Mahkamah percaya talipon Tertuduh tidak pernah berbunyi sepanjang pemeriksaan dijalankan. Dengan itu Mahkamah mendapati penama Nazi dan Amir ini merupakan perwatakan yang sengaja direka-reka oleh Tertuduh.” [11] Mengenai siasatan SP5 ke atas penama-penama berkenaan, kami bersetuju dengan dapatan Hakim bicara sepertimana yang berikut: “[34] Tidak di dalam kes ini yang mana Tertuduh tidak ada memberi apa-apa maklumat lengkap berkenaan penama Nazi dan Amir kepada 11 pihak polis. Dengan itu adalah mustahil pegawai penyiasat dapat menyiasat tentang kebenaran kewujudan penama Nazi dan Amir tersebut. Begitu juga dalam kes Rina Sumanjuntak v. PP (2005) 3 MLJ 177 yang mana maklumat yang ada dalam penyataan amaran Perayu telah berjaya membuktikan identiti penama Dr. Jossy adalah wujud berdasarkan kepada Yahoo Messenger Chat dan Perayu telah dibebaskan. Dari situ jelas bahawa maklumat mengenai orang yang dikatakan di dalam percakapan beramaran yang mempunyai pengetahuan tentang dadah disembunyikan di dalam beg itu haruslah dikemukakan agar pegawai penyiasat dapat membuat pengesahan versi yang dikatakan itu bukan sekadar satu yang diada-adakan (fictious). [35] Oleh itu Mahkamah ini menyimpulkan bahawa penceritaan Tertuduh mengenai Nazi dan Amir itu semata-mata direka-reka dan diada-adakan oleh Tertuduh. Lebih meyakinkan Mahkamah bahawa penceritaan itu satu yang direka-reka adalah kenapa mesti Nazi dan Amir memberi pinjam beg yang dia sendiri mengetahui mengandungi dadah kepada Tertuduh tanpa apa-apa tujuan. Tidak mungkin tujuan Nazi dan Amir semata-mata untuk menganiaya Tertuduh dengan pertuduhan dadah sedangkan beliau merupakan teman Tertuduh yang dikenali sejak 2 tahun lalu. Tentunya persoalan ini menunjukkan cerita Nazi dan Amir dan kaitan beg itu dengannya adalah semata-mata satu rekaan Tertuduh.” [12] Sebagai kesimpulan dan berdasarkan alasan-alasan di atas, kami sebulat suara mendapati tiadanya merit dalam rayuan ini. Kami mendapati sabitan adalah selamat. Dengan itu, rayuan perayu ditolak dan keputusan Mahkamah Tinggi disahkan dan dikekalkan. t.t ABDUL KARIM ABDUL JALIL Hakim Mahkamah Rayuan Malaysia Putrajaya Tarikh : 20 Mei 2020 12 Bagi pihak Perayu: Muhammad Rafique Rashid Ali Tetuan Law Practice of Rafique Bagi pihak Responden: Faizah Mohd Salleh Timbalan Pendakwa Raya Jabatan Peguam Negara
Wrong text, a broken link, out-of-date content, or a removal request — tell us and we'll check it against the official source.