4.1 Mahkamah ini telah mempertimbangkan hujahan rayuan oleh tertuduh dan hujahan pemberatan oleh Timbalan-Timbalan Pendakwaraya yang terpelajar, dan berikut adalah faktor-faktor yang dipertimbangkan oleh mahkamah ini dalam menentukan hukuman yang sewajarnya ke atas tertuduh: a. Melihat kepada tarikh-tarikh yang tertera di dalam semua sembilan (9) pertuduhan yang dikenakan ke atas tertuduh, dapat dilihat bahawa tertuduh sekurang-kurangnya telah pun mula melakukan kesalahan pecah amanah jenayah ini pada tahun 2012. Kesalahan-kesalahan seterusnya dalam pertuduhan lain pula dilakukan pada tahun 2017, 2018 dan 2019. Hujahan rayuan tertuduh bahawa beliau tidaklah terlibat secara aktif dalam kesalahan pecah amanah ini tetapi telah disabitkan hanya atas dasar beliau adalah pemilik akaun amanah tersebut, tidak diterima oleh mahkamah ini, dan mahkamah bersetuju dengan hujahan Timbalan Pendakwaraya yang terpelajar bahawa tempoh masa yang panjang antara tarikh-tarikh kesalahan dilakukan menunjukkan bahawa tertuduh mempunyai peluang untuk memperbetulkan kesalahan pecah amanah itu sejak dari tarikh yang S/N jltS9wByvkeR3auB4epog pertama. Namun malangnya seperti yang dapat dilihat, kesalahan pecah amanah itu telah berlanjutan sehingga tahun 2019. b. Mahkamah juga mempertimbangkan jumlah kerugian yang terlibat di dalam kesemua sembilan (9) pertuduhan ini adalah sangat besar, dan melibatkan jutaan ringgit, yang mana tidak satu pun dari mangsa berjaya mendapatkan kembali wang mereka. Bukan sahaja kerugian dari segi wang, mangsa-mangsa di dalam kes ini bahkan terpaksa melalui kesengsaraan dan kerugian dari segi masa, tenaga dan nama baik. Mahkamah juga mendapati terdapat mangsa dan pihak-pihak di dalam kes tertentu telah pun meninggal dunia tanpa sempat melihat keadilan ditegakkan untuk aduan mereka. c. Hujahan rayuan adalah secara majoritinya melibatkan kepentingan diri beliau dan keluarga beliau sendiri. Tiada sebarang hujahan atau bukti menunjukkan tertuduh berusaha untuk mengembalikan wang atau mengurangkan kerugian atau kesengsaraan yang dihadapi oleh mangsa-mangsa yang terlibat di dalam kes-kes ini. d. Mahkamah juga mendapati bahawa kesemua kesembilan pertuduhan yang dikenakan ke atas tertuduh telah dilakukan pada masa yang berbeza, melibatkan pihak-pihak yang berlainan, dan bukanlah di dalam satu transaksi yang sama. Tiada sebab yang mewajarkan mahkamah menjatuhkan hukuman yang berjalan serentak bagi kesemua sembilan pertuduhan tersebut. e. Mahkamah juga telah mengambilkira rayuan tertuduh berkenaan penyakit-penyakit yang beliau hidapi, dan oleh itu mahkamah ini berpendapat hukuman sebatan yang terlalu banyak tidaklah sesuai dijatuhkan kepada tertuduh ini. f. Pengakuan salah yang telah dibuat walaupun lima dari sembilan pertuduhan-pertuduhan tersebut adalah kes separuh dengar. S/N jltS9wByvkeR3auB4epog