Content
1 DALAM MAHKAMAH TINGGI MALAYA DI SEREMBAN DALAM NEGERI SEMBILAN DARUL KHUSUS, MALAYSIA GUAMAN SIVIL NO:NA-21NCvC-1-03/2023 ANTARA FREIGHTWATCH G PATOMOH SECURITY SERVICES SDN BHD
NA-21NCvC-1-03/2023
High Court of Malaysia8 Apr 2026
The written judgment as the court issued it, with the coram, case number, and source links. Every paragraph has its own anchor.
Citations and treatment detected automatically from later judgments and the authorities this decision relies on.
Later cases and laws citing this decision
Not yet cited by a later decision.
Earlier cases and laws this decision relies on
“hortened retirement age. It represents a **Note : Serial number will be used to verify the originality of this document via eFILING portal 13 qualified acceptance, not a valid one. Section 7 of the Contracts Act 1950 requires an acceptance, to be valid, to be absolute and unqualified. The insistence by the respondent t”
Auto-detected from judgment text; not a substitute for a citator check.
Content
1 DALAM MAHKAMAH TINGGI MALAYA DI SEREMBAN DALAM NEGERI SEMBILAN DARUL KHUSUS, MALAYSIA GUAMAN SIVIL NO:NA-21NCvC-1-03/2023 ANTARA FREIGHTWATCH G PATOMOH SECURITY SERVICES SDN BHD
1
DAN
3
KETUA SETIAUSAHA, KEMENTERIAN KESIHATAN
4
KERAJAAN MALAYSIA …DEFENDAN-DEFENDAN 01/07/2026 09:46:26 NA-21NCvC-1-03/2023 Kand. 44 ALASAN PENGHAKIMAN Pendahuluan [1] Plaintif membawa tuntutan ini terhadap Defendan-Defendan untuk tuntutan berjumlah sebanyak RM957,019.72 yang dikatakan jumlah kerugian yang dialami oleh Plaintif berkaitan dua (2) Kontrak Perkhidmatan Kawalan Keselamatan di Hospital Serdang (“HS”) dan Hospital Tuanku Ja’afar (“HTJ”). [2] Oleh itu, di dalam tindakan ini, melalui Writ Saman dan Pernyataan Tuntutan, Plaintif menuntut terhadap Defendan-Defendan untuk mendapatkan relif-relif yang berikut:
a
Wang sejumlah RM957,019.72;
b
Faedah pada kadar 2.5% mulai tarikh penerimaan tawaran kenaikan sehingga penyelesaian penuh;
c
Kos tindakan ini; dan
d
Lain-lain perintah atau relif yang sesuai manfaat yang dianggap sesuai oleh Mahkamah Yang Mulia ini. [3] Seterusnya, melalui Pernyataan Pembelaan Defendan-Defendan Terpinda, antara lainnya, Defendan-Defendan memplidkan bahawa Defendan-Defendan adalah terikat dengan kontrak asal kerana tiada kontrak tambahan yang ditandatangani oleh pihak-pihak dan pelarasan harga kontrak kerajaan adalah tertakluk kepada prosedur dan syarat-syarat yang perlu dipatuhi dan Plaintif telah gagal mematuhi syarat-syarat tersebut di mana Plaintif tidak pernah menerima tawaran pelarasan harga yang ditawarkan oleh Defendan-Defendan sepanjang tempoh kontrak ini masih berkuat kuasa. [4] Setelah mendengar keterangan-keterangan daripada saksi-saksi kedua belah pihak Plaintif dan Defendan-Defendan, maka pada 8.04.2026, Mahkamah dengan ini mendapati bahawa Plaintif telah gagal untuk membuktikan tuntutannya terhadap pihak Defendan-Defendan. Oleh yang demikian, Mahkamah memutuskan untuk menolak tuntutan Plaintif terhadap Defendan-Defendan di dalam kes ini dengan kos. [5] Selanjutnya, Mahkamah juga memutuskan dan menetapkan kos keseluruhan tindakan ini adalah sebanyak RM25,000.00 dan jumlah kos ini mesti dibayar oleh pihak Plaintif kepada Defendan-Defendan tertakluk pada pembayaran fi alokatur. [6] Plaintif merasa tidak berpuashati dengan keseluruhan keputusan Mahkamah ini yang bertarikh 8.04.2026 tersebut di atas dan memfailkan Notis Rayuan bertarikh 5.05.2026 kepada Mahkamah Rayuan terhadap keputusan berkenaan. Ringkasan Fakta Kes [7] Plaintif dan Defendan-Defendan telah memasuki kontrak- kontrak berikut:
a
Perjanjian Perkhidmatan Kawalan Keselamatan Bersenjata dan Tanpa Bersenjata Serta Wang Cash Value in Transit di Hospital Tuanku Ja’afar bertarikh 15.3.2019 (No. Kontrak: KKM-175/2018/K/HTJ(KS) (“Kontrak HTJ”); dan
b
Perjanjian Perkhidmatan Kawalan Keselamatan (Bersenjata dan Tanpa Senjata) dan Penghantaran Wang Cash in Transit (CIT) bagi Tempoh 2 tahun di Hospital Serdang bertarikh 19.12.2018 (No. Kontrak: KKM-87/2018/K/Serdang(KS) (“Kontrak HS”). [Selepas ini akan dirujuk sebagai “kontrak-kontrak tersebut”] [8] Bagi Kontrak HTJ, tempoh kontrak adalah daripada 16.12.2018 sehingga 15.12.2020 dan bayaran perkhidmatan adalah sebanyak RM7.10 sejam (pengawal tanpa senjata). [9] Manakala, bagi Kontrak HS, tempoh kontrak adalah daripada 4.10.2018 sehingga 3.10.2020 dan bayaran perkhidmatan adalah sebanyak RM7.40 sejam (pengawal tanpa senjata). [10] Kementerian Kewangan Malaysia (“MOF”) melalui surat bertarikh 23.10.2018 telah memperkenalkan pelaksanaan Perintah Gaji Minimum 2018 (“PGM 2018”) yang seragam bagi seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak iaitu sebanyak RM1,050.00 sebulan atau pun RM5.05 sejam. [11] Berdasarkan surat MOF tersebut, mana-mana kontraktor yang terkesan dengan kenaikan harga disebabkan oleh polisi atau keputusan Kerajaan boleh membuat permohonan untuk pelarasan semula harga kontrak. [12] Seterusnya, melalui surat bertarikh 12.11.2019, Kerajaan telah bersetuju untuk membuat pindaan kepada Perjanjian Hospital Tuanku Ja'afar berikutan pelaksanaan PGM 2018 iaitu kadar baru bagi pengawal keselamatan tanpa senjata adalah RM7.50 sejam (kenaikan sebanyak RM0.40 sejam). [13] Selain itu, melalui surat bertarikh 11.11.2019, Kerajaan telah bersetuju untuk membuat pindaan kepada Perjanjian Hospital Serdang berikutan pelaksanaan PGM 2018 iaitu kadar baru bagi pengawal keselamatan tanpa senjata adalah sebanyakRM7.50 sejam(kenaikan sebanyak RM0.10 sejam). [14] Melalui surat bertarikh 19.11.2019, Plaintif telah membuat rayuan terhadap jumlah kenaikan kadar baru harga kontrak perkhidmatan kawalan keselamatan tanpa senjata dan memohon kenaikan daripada RM0.40 sejam kepada RM0.89 ke RM1.00 sejam bagi Perjanjian Hospital Tuanku Ja'afar. [15] Melalui satu lagi surat bertarikh 19.11.2019, Plaintif juga telah membuat rayuan terhadap jumlah kenaikan kadar baru harga kontrak perkhidmatan kawalan keselamatan tanpa senjata dan memohon kenaikan daripada RM0.10 sejam kepada RM0.89 ke RM1.00 sejam bagi Perjanjian Hospital Serdang. [16] Walaupun, Defendan-Defendan telah memaklumkan kepada Plaintif berkaitan dengan keputusan Defendan-Defendan tentang kenaikan harga kontrak-kontrak tersebut, Plaintif masih membuat beberapa rayuan kepada Defendan bagi memohon untuk menaikkan harga kontrak-kontrak tersebut. [17] Plaintif telah tidak berpuas hati dengan tawaran kenaikan harga yang diputuskan oleh Defendan-Defendan tersebut dan hanya menyatakan persetujuan mereka terhadap kenaikan harga yang diputuskan oleh Defendan-Defendan tersebut selepas tamatnya tempoh kontrak-kontrak tersebut. [18] Oleh yang demikian, Plaintif kini memfailkan tindakan ini terhadap Defendan-Defendan bagi menuntut jumlah kenaikan yang telah ditawarkan oleh Defendan-Defendan terdahulu. Analisis dan Penemuan Mahkamah Isu Pertama: Sama ada wujud penerimaan (acceptance) terhadap tawaran pelarasan harga yang ditawarkan oleh Defendan-Defendan kepada Plaintif [19] Di dalam kes ini, adalah merupakan suatu fakta yang tidak dipertikaikan bahawa terdapat atau wujudnya kontrak asal yang mengikat pihak-pihak, Plaintif dan Defendan-Defendan. [20] Seterusnya, untuk tujuan kejelasan, berikut adalah butiran kontrak-kontrak asal yang telah dimasuki oleh pihak-pihak:
a
Tempoh Perjanjian Hospital Serdang adalah dua (2) tahun yang bermula pada 4.10.2018 dan berakhir pada 3.10.2020.
a
Tempoh perjanjian adalah dua (2) tahun yang bermula pada 16.12.2018 dan berakhir pada 15.12.2020.
b
Plaintif hendaklah melaksanakan perkhidmatan kawalan keselamatan dan sebagai balasan kepada perkhidmatan Defendan Keempat bersetuju untuk membayar Plaintif menurut
Schedule
Jadual 5 perjanjian. (b) Plaintif hendaklah melaksanakan perkhidmatan kawalan keselamatan dan sebagai balasan kepada perkhidmatan Defendan Keempat bersetuju untuk membayar Plaintif menurut
Schedule
Jadual 5 perjanjian. (c) Bayaran perkhidmatan adalah sebanyak RM7.40 sejam (pengawal tanpa senjata). (c) Bayaran perkhidmatan adalah sebanyak RM7.10 sejam (pengawal tanpa senjata). [21] Memandangkan kedua-dua kontrak mempunyai klausa yang sama, Mahkamah akan menghuraikan dan menjelaskan kedua-dua kontrak HS dan HTJ tersebut secara bersesama. [22] Perlu ditegaskan bahawa isu berkenaan dengan pelarasan harga ini hanya timbul apabila Kerajaan memperkenalkan Perintah Gaji Minimum 2018 yang memperuntukkan kadar gaji minimum baru RM1,100.00 sebulan di seluruh Malaysia. [23] Lanjutan daripada dasar ini, Kerajaan melalui Ketua Setiausaha Perbendaharaan (“KSP”) melalui surat bertarikh 23.10.2018 [Ikatan Dokumen Bersama (Bahagian A Muka surat 68 - 72] memaklumkan persetujuan Kementerian Kewangan (“MOF”) agar mana-mana perolehan Kerajaan yang ditandatangani sebelum PGM 2018 dibuat pelarasan harga dengan mengambil kira gaji minimum yang ditetapkan. [24] Sehubungan daripada keputusan MOF tersebut, maka Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Malaysia (“KSU KKM”) telah melalui surat bertarikh 24.04.2019 [Ikatan Dokumen Bersama (Bahagian A) Muka surat 346 - 353] memaklumkan keputusan KKM untuk membuat pelarasan terhadap harga kontrak perkhidmatan kawalan keselamatan di KKM tersebut. [25] Antara lainnya, syarat-syarat pelarasan harga kontrak tersebut adalah seperti berikut: (a) Syarikat hendaklah membuat permohonan bertulis untuk perubahan harga dengan menyertakan salinan penyata gaji dan penyata potongan KWSP pekerja; (b) Pihak Berkuasa melulus tidak terikat untuk mempertimbangkan kenaikan harga jika didapati kadar sejam sedia ada adalah sesuai dan munasabah serta selaras dengan PGM 2018; (c) Di peringkat KKM, kadar sejam maksimum yang dipertimbangkan untuk kenaikan harga kontrak adalah pada kadar RM7.49 sejam dan ke bawah sahaja dengan kenaikan sehingga RM7.50 sejam sahaja; (d) Mengikat satu Perjanjian Tambahan dengan syarikat mengambil kira kadar saraan minimum dalam PGM 2018. Perjanjian Tambahan hendaklah disalinkan kepada Majlis Perundingan Gaji Negara bagi tujuan penguatkuasaan dan pemantauan; (e) Hanya terpakai bagi Kontrak Kerajaan yang ditandatangani sebelum 1 Januari 2019 dan tempoh kontrak masih berkuat kuasa. [26] Berdasarkan surat KSU KKM ini [Ikatan Dokumen Bersama (Bahagian A) Muka surat 346 - 353], adalah jelas bahawa Defendan-Defendan telah memutuskan dan menawarkan pelarasan kadar baharu maksimum kepada RM7.50 sejam. [27] Oleh itu, lanjutan daripada keputusan ini, Defendan-Defendan selanjutnya melalui surat oleh Timbalan KSU KKM bertarikh pada 11.11.2019 dan 12.11.2019 [Ikatan Dokumen Bersama (Bahagian B) Muka surat 182 sehingga 187 dan Muka surat 188 sehingga Muka surat 193], telah memaklumkan kepada Plaintif berkenaan dengan keputusan Defendan-Defendan bagi membuat pelarasan harga kontrak sepertimana berikut: Kontrak HS Kontrak HTJ Kadar harga asal: RM7.40 sejam Kadar harga ditawarkan: RM7.50 sejam Kadar harga asal: RM7.10 sejam Kadar harga ditawarkan: RM7.50 sejam [28] Bagi kedua-dua tawaran pelarasan harga ini, beberapa terma dan juga syarat perlu dipenuhi oleh Plaintif seperti berikut: (a) Syarikat diminta menyediakan kontrak tambahan yang akan dibaca bersama kontrak asal; (b) Syarikat perlu menandatangani borang Pengakuan Penerimaan Surat Setuju Terima; (c) Tiada pembekalan perkhidmatan boleh dibuat melainkan syarikat mengemukakan Bon Pelaksanaan mengikut kadar tambahan yang ditetapkan dalam tempoh tidak melebihi 14 hari dari tarikh pengakuan penerimaan surat tawaran; dan (d) Apa-apa kegagalan mematuhi syarat yang diperuntukkan dalam tempoh masa yang ditetapkan boleh mengakibatkan surat tawaran tersebut terbatal dan Kerajaan tidak akan bertanggungan. [29] Namun demikian, tawaran pelarasan harga ini tidak pernah diterima oleh Plaintif secara rasmi. Plaintif pada setiap masa material tidak pernah menandatangani dokumen Pengakuan Penerimaan Surat Setuju Terima oleh Syarikat yang dikepilkan bersama-sama dengan surat tawaran berkenaan. [30] Perkara atau pun fakta ini telah disahkan sendiri di dalam keterangan yang telah diberikan oleh saksi pertama Plaintif, Saravanan Pandian a/ Rajoo (SP1), selaku Pengurus Plaintif semasa diperiksa balas oleh peguamcara Defendan-Defendan. Selain itu, SP1 juga mengakui bahawa pihak Plaintif tidak pernah bersetuju dengan pelarasan harga yang telah ditawarkan oleh Defendan-Defendan di dalam kes ini. [31] Oleh itu, berdasarkan kepada keterangan dan pengakuan oleh SP1 sendiri, adalah jelas bahawa pelarasan harga yang ditawarkan oleh Defendan-Defendan tidak pernah diterima atau dipersetujui oleh Plaintif sendiri dan Plaintif sememangnya tidak pernah menyatakan dan mengakui penerimaan tawaran tersebut kepada Defendan-Defendan. [32] Mahkamah ingin merujuk kepada Seksyen 7 Akta Kontrak 1950, yang jelas memperuntukkan seperti berikut: Acceptance must be absolute 7. In order to convert a proposal into a promise the acceptance must— (a) be absolute and unqualified; (b) be expressed in some usual and reasonable manner, unless the proposal prescribes the manner in which it is to be accepted. If the proposal prescribes a manner in which it is to be accepted, and the acceptance is not made in that manner, the proposer may, within a reasonable time after the acceptance is communicated to him, insist that his proposal shall be accepted in the prescribed manner, and not otherwise; but, if he fails to do so, he accepts the acceptance.” [33] Seterusnya, merujuk kepada kes AFFIN BANK BHD v. MOHD KASIM IBRAHIM [2013] 1 CLJ 465, di mana Mahkamah Persekutuan telah memutuskan seperti berikut: [42] The facts of this case show that the respondent had been firm and unyielding on his stand that his retirement age should be 60 and not 55. When the appellant offered him a new contract of employment on 26 March 2005, which in clear terms stated his retirement age to be at 55, he accepted it under protest. This under protest qualification nullified his consent, if any. It means that there had been no consensus ad idem on the terms of employment, now on offer, notably on the shortened retirement age. It represents a qualified acceptance, not a valid one. Section 7 of the Contracts Act 1950 requires an acceptance, to be valid, to be absolute and unqualified. The insistence by the respondent that his retirement age be 60 and not 55 as now offered is tantamount to a counter offer and a rejection of the original offer (OTM Ltd v. Hydranautic [1981] 2 Lloyd's Resp 211). This principle is endorsed by the Federal Court in The Ka Wah Bank Ltd v. Nadinusa Sdn Bhd & Anor [1998] 2 CLJ 486 where it was held that: 'an acceptance is a final an unqualified expression of assent to the terms of the offer.' But, where the reply is qualified or attempts to vary the terms of the offer or attempts to accept an offer on new terms (not contained in the offer), then such a reply is not a communication of an acceptance but may be a rejection accompanied by a counter-offer which the original offer or can accept or reject. Black's Law Dictionary (2nd edn) defines "protest" as "an expression of dissent or disapproval, or affirms the act to be done against his will or conviction, the object being generally to save some right which would be lost to him if his implied assent could be made out." [34] Di dalam kes ini, SP1 sendiri mengakui bahawa Plaintif sememangnya tidak bersetuju dengan pelarasan harga yang ditawarkan oleh Defendan-Defendan dan telah membuat rayuan bagi mendapatkan pelarasan harga yang lebih tinggi. [35] Oleh itu, berdasarkan kepada fakta dan alasan ini adalah jelas terbukti bahawa Plaintif sendiri telah tidak menerima tawaran tersebut sejak dari awal lagi. Justeru itu, Mahkamah mendapati bahawa Plaintif adalah kini terhalang untuk menuntut jumlah pelarasan harga yang ditawarkan tersebut atas alasan bahawa tawaran tersebut tidak pernah diterima oleh Plaintif sendiri sepanjang tempoh kontrak berkuat kuasa. [36] Oleh yang demikian, berdasarkan kepada alasan ini adalah jelas terbukti bahawa tidak wujud sebarang penerimaan (acceptance) oleh Plaintif terhadap tawaran pelarasan harga yang ditawarkan oleh Defendan-Defendan kepada Plaintif ini. Isu Kedua: Sama ada terma dan syarat pelarasan harga yang ditetapkan oleh Defendan-Defendan telah dipatuhi oleh Plaintif [37] Seterusnya, di dalam kes ini Mahkamah mendapati bahawa pelarasan harga yang ditawarkan oleh Defendan-Defendan kepada Plaintif tersebut adalah tertakluk kepada beberapa prosedur dan syarat yang perlu dipatuhi oleh pihak Plaintif. [38] Di antara prosedur dan syarat yang perlu dipenuhi oleh Plaintif adalah seperti berikut: (a) Penerimaan SST perubahan nilai kontrak; (b) Penyediaan perjanjian tambahan; (c) Pelarasan dan pengemukaan bon pelaksanaan; (d) Pengemukaan dokumen lengkap; (e) Penerimaan tawaran dibuat dalam tempoh 14 hari penerimaan surat tawaran; dan (f) Pelarasan harga dibuat dalam tempoh kontrak berkuat kuasa. Penyediaan Perjanjian Tambahan [39] Penyediaan Perjanjian Tambahan adalah salah satu syarat utama yang perlu dipatuhi oleh Plaintif menurut surat tawaran Defendan-Defendan bertarikh 11.11.2019 serta 12.11.2019 [Ikatan Dokumen Bersama (Bahagian B) Muka surat 182 sehingga 187 dan Muka surat 188 sehingga Muka surat 193]. [40] Perkara atau pun fakta ini telah disahkan sendiri di dalam keterangan yang telah diberikan oleh saksi pertama Plaintif, Saravanan Pandian a/ Rajoo (SP1), semasa di peringkat pemeriksaan balas oleh peguamcara Defendan-Defendan. [41] Tambahan juga, SP1 semasa perbicaraan menyatakan bahawa dokumen kontrak dalam mana-mana kontrak dengan Kerajaan adalah disediakan oleh pihak Kerajaan dan Plaintif hanya perlu menandatangani sahaja pada dokumen tersebut. [42] Perkara ini telah disahkan melalui keterangan yang diberikan oleh saksi Defendan-Defendan iaitu Puan Siti Noraini binti Liki (SD1), selaku Ketua Penolong Setiausaha di Bahagian Perolehan dan Penswastaan, Kementerian Kesihatan Malaysia (“KKM”), pegawai yang mengawal selia perolehan Kerajaan termasuk perkhidmatan pengawal keselamatan ini. [43] Begitu juga, di dalam keterangan SD1 kepada Mahkamah, SD1 mengesahkan bahawa Defendan-Defendan telah tidak menyediakan perjanjian tambahan untuk ditandatangani oleh pihak-pihak kerana Plaintif telah gagal untuk melengkapkan dan juga mengemukakan dokumen-dokumen yang berkaitan. [44] Dalam lain perkataan, memandangkan Plaintif tidak menandatangani dan tidak mengemukakan dokumen Surat Setuju Terima (“SST”) yang dilampirkan bersama dengan tawaran pelarasan harga kepada Defendan-Defendan, maka tiada sebarang penerimaan tawaran pelarasan harga telah diterima oleh Defendan-Defendan dari Plaintif. Disebabkan itu, Defendan-Defendan telah tidak menyediakan perjanjian tambahan berkenaan untuk ditandatangani oleh pihak-pihak. Pelarasan dan pengemukaan bon pelaksanaan [45] Selain daripada penyediaan perjanjian tambahan tersebut, pelarasan dan pengemukaan Bon Pelaksanaan yang telah dilaraskan adalah merupakan salah satu daripada syarat utama berkaitan dengan penerimaan tawaran pelarasan harga yang dibuat oleh Defendan-Defendan kepada Plaintif. [46] Di dalam kedua-dua surat Defendan-Defendan bertarikh 11.11.2019 dan 12.11.2019 [Ikatan Dokumen Bersama (Bahagian B) Muka surat 182 sehingga 187 dan Muka surat 17 188 sehingga Muka surat 193], telah menyatakan dengan spesifik dan terang berapakah jumlah bon pelaksanaan yang perlu dikemukakan oleh Plaintif kepada Defendan-Defendan. [47] Malahan, SP1 telah mengakui dalam keterangannya kepada Mahkamah bahawa beliau mengetahui Bon Pelaksanaan adalah antara perkara asas yang perlu dikemukakan dan disediakan sebelum apa-apa perkhidmatan boleh dimulakan. [48] Di samping itu, SP1 juga mengakui bahawa sehingga kini tiada sebarang Bon Pelaksanaan yang telah dikemukakan oleh Plaintif kepada Defendan-Defendan dalam tindakan ini. [49] Oleh itu, berdasarkan pengakuan oleh SP1 ini, adalah jelas bahawa Plaintif sendiri telah gagal untuk mematuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan dalam tawaran pelarasan harga oleh Defendan-Defendan kepada Plaintif. Justeru itu, akibat daripada ketidakpatuhan oleh Plaintif ini, maka, tawaran pelarasan harga yang telah dibuat oleh Defendan-Defendan adalah dengan sendirinya terbatal serta tidak ada kuatkuasa. Dokumen tidak lengkap [50] Berdasarkan surat KSU KKM bertarikh 24.4.2019 [Ikatan Dokumen Bersama (Bahagian A) Muka surat 346 - 353], pelarasan harga kontrak boleh dibuat tertakluk kepada syarat bahawa syarikat membuat permohonan secara bertulis untuk perubahan harga dengan menyertakan salinan penyata gaji dan penyata potongan KWSP pekerja-pekerja pihak Plaintif. [51] Namun, SP1 sendiri mengakui bahawa Plaintif telah gagal untuk mengemukakan dokumen-dokumen yang berkaitan dan diperlukan untuk permohonan pelarasan harga tersebut. [52] Seterusnya, merujuk kepada surat rayuan Plaintif bertarikh 19.11.2019 [Ikatan Dokumen Bersama (Bahagian B) Muka surat 194 dan 195], Plaintif telah gagal mengemukakan sebarang salinan penyata gaji mahupun penyata potongan KWSP pekerja. Selanjutnya, merujuk kepada surat Plaintif bertarikh 25.2.2020 [Ikatan Dokumen Bersama (Bahagian B) Muka surat 198 - 204], Plaintif masih lagi gagal untuk mengemukakan salinan penyata gaji dan penyata potongan KWSP pekerja yang lengkap. Perkara atau fakta ini juga telah diakui sendiri oleh SP1 dalam keterangannya di Mahkamah. [53] Oleh itu, Mahkamah mendapati kesemua surat-surat rayuan Plaintif kepada Defendan-Defendan tidak mengandungi dokumen salinan penyata gaji dan penyata potongan KWSP pekerja yang lengkap dan perkara ini adalah diakui oleh SP1. [54] Oleh itu, pada setiap masa material, Plaintif sendiri telah gagal untuk mengemukakan dokumen lengkap kepada Defendan-Defendan dalam permohonan Plaintif untuk mendapatkan pelarasan harga tersebut. Malahan, apa yang lebih menarik, walaupun Plaintif telah mengemukakan enam (6) surat rayuan selepas mendapat tawaran pelarasan harga tersebut daripada Defendan-Defendan, Plaintif masih lagi gagal untuk mengemukakan salinan dokumen-dokumen yang lengkap bagi pertimbangan pihak Defendan-Defendan. [55] Oleh itu, di dalam kes ini, adalah jelas bahawa Plaintif telah gagal memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan dalam tawaran pelarasan harga oleh Defendan-Defendan. Oleh yang demikian, Mahkamah mendapati bahawa tawaran pelarasan harga yang dibuat oleh Defendan-Defendan adalah terbatal dan tiada variasi kontrak yang mengikat pihak-pihak. Isu Ketiga: Sama ada Plaintif telah memaklumkan penerimaan (acceptance) semasa tempoh kontrak [56] Selanjutnya, Mahkamah mendapati bahawa Plaintif hanya menyatakan persetujuannya terhadap tawaran pelarasan harga yang dibuat oleh Defendan-Defendan melalui surat peguamcara Plaintif bertarikh 28.06.2022 [Ikatan Dokumen Bersama (Bahagian B) Muka surat 243 dan Muka surat 244]. [57] Mahkamah mendapati persetujuan / penerimaan yang dibuat oleh Plaintif ini adalah di luar tempoh kontrak berkuat kuasa. Bagi Kontrak HS, kontrak telah tamat tempoh pada 3.10.2020 manakala Kontrak HTJ telah tamat tempoh pada 15.12.2020. [58] Selain itu, Mahkamah juga mendapati bukan sahaja penerimaan tawaran yang dibuat oleh Plaintif ini tidak mengikut prosedur yang ditetapkan, malahan ianya dibuat selepas kontrak tamat tempoh dan selesai. Ini jelas melanggar syarat tawaran pelarasan harga kontrak yang ditetapkan oleh Defendan-Defendan iaitu pelarasan harga hanya terpakai bagi Kontrak Kerajaan yang ditandatangani sebelum 1.01.2019 dan tempoh kontrak masih berkuat kuasa. [59] Perkara atau fakta ini jelas telah diakui sendiri oleh SP1 ketika diperiksa balas oleh peguamcara pihak Defendan-Defendan. Dalam erti kata lain, sebarang penerimaan oleh Plaintif selepas tamat tempoh kontrak adalah tidak sah sama sekali di mana ia tidak mewujudkan sebarang variasi kontrak yang sah. Isu Keempat: Sama ada Kerajaan mempunyai hak mutlak di bawah kontrak [60] Selain itu, perlu ditegaskan berdasarkan terma kontrak antara pihak-pihak, Kerajaan sentiasa mempunyai kuasa mutlak untuk mempertimbangkan sama ada hendak meluluskan atau menolak permohonan pelarasan harga kontrak tersebut. [61] Menurut Klausa 4.2 Perjanjian-Perjanjian tersebut ianya jelas memperuntukkan seperti berikut: 4.2 Anggaran Nilai Perjanjian yang dinyatakan dalam Klausa 4.1 adalah tetap dan apa-apa permohonan bagi pelarasan semula Anggaran Nilai Perjanjian berikutan kenaikan harga disebabkan oleh polisi atau keputusan Kerajaan hendaklah dikemukakan oleh Syarikat kepada Kerajaan secara bertulis. Kerajaan mempunyai kuasa mutlak sama ada hendak mempertimbangkan permohonan itu atau sebaliknya. [62] Klausa ini jelas menunjukkan bahawa sebarang pelarasan harga adalah tertakluk kepada persetujuan Kerajaan dan bukannya hak automatik kepada pihak kontraktor. Sebaliknya, ianya adalah sepenuhnya budi bicara Kerajaan. [63] Di dalam kes ini, Defendan-Defendan telah memaklumkan keputusan Defendan-Defendan berkenaan kadar pelarasan yang dipersetujui iaitu pada kadar maksimum RM7.50. Selanjutnya, lanjutan dari beberapa siri surat rayuan daripada Plaintif, Defendan-Defendan telah memaklumkan keputusan Defendan-Defendan untuk menolak rayuan Plaintif semasa tempoh kontrak-kontrak tersebut masih lagi berkuat kuasa. [64] Perkara atau fakta berkaitan kuasa mutlak Kerajaan ini telah diakui dan disahkan sendiri oleh saksi Plaintif (SP1) ketika SP1 diperiksa balas oleh peguamcara Defendan-Defendan. [65] Perkara ini juga selaras dengan keterangan yang telah diberikan oleh saksi Defendan iaitu Puan Siti Noraini binti Liki (SD1), selaku Ketua Penolong Setiausaha di Bahagian Perolehan dan Penswastaan, Kementerian Kesihatan Malaysia (“KKM”) yang telah menjelaskan bahawa pelarasan harga kontrak hanya boleh dipertimbangkan tertakluk kepada syarat-syarat seperti kelulusan oleh pihak berkuasa melulus dan berdasarkan kepada peruntukan kewangan sedia ada. [66] SD1 juga menjelaskan bahawa Kerajaan telah menetapkan polisi kadar maksimum sebanyak RM7.50 sejam. Oleh itu, pihak Plaintif tidak boleh memaksa Kerajaan untuk menerima kadar kenaikan yang telah dicadangkan oleh Plaintif tersebut. [67] Dalam lain perkataan, walaupun Plaintif tidak bersetuju dengan kadar RM7.50 sejam yang ditawarkan oleh Kerajaan tersebut, ketidaksetujuan tersebut tidak mewujudkan sebarang obligasi undang-undang ke atas Defendan-Defendan untuk meluluskan kadar yang diminta oleh Plaintif. Isu Kelima: Sama ada terdapat variasi kontrak yang sah [68] Selanjutnya, Mahkamah mendapati bahawa Plaintif telah gagal menunjukkan bahawa terdapat variasi kontrak asal yang mengikat pihak-pihak kerana tiada variasi kontrak yang sah telah dimeterai di antara Plaintif dan Defendan-Defendan. [69] Adalah merupakan suatu kedudukan undang-undang yang mantap dan mapan bahawa sesuatu kontrak hanya boleh diubah atau dipinda mengikut persetujuan kedua-dua pihak. Walaubagaimanapun, perlu ditegaskan cadangan pelarasan itu telah tidak dipersetujui oleh Plaintif sendiri di dalam kes ini. [70] Keterangan jelas menunjukkan tawaran pelarasan harga telah dibuat oleh Defendan-Defendan melalui surat TKSU KKM bertarikh 11.11.2019 dan 12.11.2019 [Ikatan Dokumen Bersama (Bahagian B) Muka surat 182 sehingga 187 dan Muka surat 188 sehingga Muka surat 193]. Namun begitu, tiada satu pun keterangan yang telah dikemukakan yang menunjukkan pihak Plaintif telah menerima tawaran tersebut. [71] Sebaliknya, saksi Plaintif sendiri, iaitu SP1 mengakui bahawa Plaintif tidak bersetuju dengan tawaran tersebut dan membuat rayuan terhadap tawaran tersebut. Pengakuan oleh SP1 ini jelas menunjukkan bahawa tiada penerimaan (acceptance) dibuat oleh Plaintif terhadap tawaran tersebut. [72] Adalah merupakan suatu prinsip asas dalam undang-undang kontrak, rayuan untuk kadar yang lebih tinggi merupakan satu counter-offer yang secara undang-undang menolak tawaran yang asal. Oleh itu, tawaran pelarasan harga oleh Defendan-Defendan tidak pernah menjadi suatu kontrak yang mengikat. [73] Oleh itu, memandangkan tiada penerimaan terhadap tawaran pelarasan harga dan tiada dokumen variasi kontrak dimeterai, kontrak asal antara pihak-pihak kekal berkuat kuasa. Oleh yang demikian, Defendan-Defendan di dalam tindakan ini hanya terikat dan berobligasi untuk membayar pihak Plaintif mengikut kadar yang telah dinyatakan di dalam kontrak asal. [74] Justeru itu, Mahkamah mendapati bahawa Plaintif telah gagal untuk membuktikan tuntutannya terhadap Defendan-Defendan dan Plaintif tidak berhak ke atas tuntutan yang telah difailkan olehnya terhadap Defendan-Defendan di dalam tindakan ini. Kesimpulan [75] Oleh yang demikian, berdasarkan kepada alasan-alasan tersebut, atas imbangan kebarangkalian, Mahkamah dengan ini mendapati bahawa Plaintif telah gagal untuk membuktikan tuntutannya terhadap Defendan-Defendan. Justeru itu, Mahkamah memutuskan menolak tuntutan yang difailkan oleh pihak Plaintif terhadap Defendan-Defendan dengan kos. [76] Selanjutnya, Mahkamah juga memutuskan dan menetapkan kos keseluruhan tindakan ini adalah sebanyak RM25,000.00 dan jumlah kos ini mesti dibayar oleh pihak Plaintif kepada Defendan-Defendan tertakluk pada pembayaran fi alokatur. Bertarikh: 1 haribulan Julai 2026. Disediakan oleh: t.t. (Mohamad Haldar bin Abdul Aziz) Hakim, Mahkamah Tinggi 2 Seremban Negeri Sembilan Darul Khusus. Peguamcara Perayu / Plaintif: Tetuan Maniam Nair & Co. No.5, Ground Floor, Jalan S2 D38, City Centre, 70300 Seremban, Negeri Sembilan Darul Khusus. Peguamcara Responden-Responden / Defendan-Defendan: Peguam Kanan Persekutuan Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri, Negeri Sembilan, Jalan Campbell, 70000 Seremban, Negeri Sembilan.
Wrong text, a broken link, out-of-date content, or a removal request — tell us and we'll check it against the official source.