(ii) Sama ada kaveat yang difailkan oleh Plaintif adalah berkuat kuasa dan masih efektif dan pemfailannya mematuhi dan menurut Aturan 71 kaedah 37, KKM 2012? (selepas ini dirujuk sebagai “Persoalan Defendan”). [3] Plaintif memfailkan permohonan ini bagi menjawab Persoalan Plaintif terlebih dahulu. Manakala Defendan, menerusi afidavit jawapannya (Kandungan 11) telah mengemukakan persoalan tambahan tersebut (selepas ini dirujuk secara kolektif sebagai “Persoalan-Persoalan tersebut’). [4] Setelah membaca dan meneliti kesemua afidavit dan hujahan bertulis yang difailkan, Mahkamah ini pada 6.2.2024 telah memutuskan untuk menolak permohonan Plaintif. Terkilan dengan keputusan tersebut, Plaintif telah memfailkan Notis Rayuan ke Mahkamah Rayuan pada 7.02.2024. Latar belakang permohonan [5] Ayah kepada Defendan, Hassan bin Harun (selepas ini dirujuk sebagai ‘Si mati’) telah meninggal dunia pada 31.12.2020. Sebelum Si mati meninggal dunia, terdapat satu Penghakiman Persetujuan bertarikh 09.03.2011 dibuat di dalam Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur antara Plaintif, Si mati, dan sebuah syarikat yang dikenali sebagai Info Mewah Sdn Bhd. [6] Selepas kematian Si mati, melalui Saman Pemula No. DA-31NCvC- 187-12/2022 Defendan telah memohon kepada Mahkamah untuk dilantik sebagai pentadbir harta pusaka Si mati dan diberikan suatu geran surat kuasa mentadbir harta pusaka Si mati. Mahkamah telah pada 16.01.2023 membuat suatu perintah bahawa Defendan dilantik sebagai pentadbir harta pusaka Si mati dan diberikan geran surat kuasa mentadbir harta pusaka Si mati. [7] Setakat pada 27.02.2023, tiada geran surat kuasa mentadbir telah dimeterai atau dikeluarkan kepada Defendan dan Plantif telah memasukkan suatu kaveat terhadap geran representasi bagi harta pusaka Si mati. Hanya pada 2.03.2023, barulah Geran Surat Kuasa Mentadbir dikeluarkan kepada Defendan iaitu selepas 3 hari kaveat Plaintif difailkan. Maka, Plaintif memfailkan tindakan melalui Writ Saman Terpinda (Kandungan 4) antara lain, memohon suatu pengisytiharan bahawa Geran Surat Kuasa Mentadbir harta pusaka Si mati yang dikeluarkan kepada Defendan adalah salah, batal dan tidak sah dan tidak berkesan di sisi undang-undang. Ringkasan hujahan Plaintif [8] Plaintif berhujah bahawa jawapan kepada Persoalan-Persoalan tersebut adalah secara afirmatif. Plaintif telah merujuk kepada kes Jigarlal Kantilal Doshi v Amanah Raya Bhd (administrator of the estate of Kantilal Prabhulal Doshi, deceased) [2018] supp MLJ 211 di mana Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa kaveat Perayu, yang dibuat selepas perintah pelantikan sebagai pentadbir pusaka tetapi sebelum Geran dimeterai dan diekstrak, adalah berkuat kuasa kerana kaveat itu adalah terhadap pemeteraian Geran dan bukannya terhadap pelantikan pentadbir pusaka. [9] Maka, Geran Surat Kuasa Mentadbir harta pusaka Si mati yang dikeluarkan kepada Defendan pada 2.03.2024 adalah salah dan terbatal kerana ia dikeluarkan semasa kaveat Plaintif masih berkuat kuasa. Ringkasan hujahan Defendan [10] Defendan berhujah bahawa kemasukkan dan/atau pemfailan kaveat oleh Plaintif adalah di luar pengetahuan Defendan sama sekali ketika permohonan, pemberian dan ketika proses pengeluaran Geran Surat Kuasa Mentadbir tersebut. Tindakan Plaintif tidak menyerahkan kaveat Plaintif kepada Defendan dengan segera telah memprejudiskan Defendan dalam mengeluarkan suatu amaran kepada pengkaveat sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Aturan 71 kaedah 37(8), KKM 2012 seperti berikut: “37. Kaveat (A. 71 k. 37) …