Content
1 DALAM MAHKAMAH TINGGI MALAYA DI TEMERLOH DALAM NEGERI PAHANG DARUL MAKMUR, MALAYSIA GUAMAN SIVIL NO. : CB-37WS-2-05/2024 ANTARA GEONEX (M) SDN. BHD. (NO. SYARIKAT: 965183-H) … PEMIUTANG PELAKSANAAN
CB-37WS-2-05/2024
High Court of Malaysia17 Mar 2025
The written judgment as the court issued it, with the coram, case number, and source links. Every paragraph has its own anchor.
Citations and treatment detected automatically from later judgments and the authorities this decision relies on.
Later cases and laws citing this decision
Not yet cited by a later decision.
Earlier cases and laws this decision relies on
“. [21] Pada masa yang sama Mahkamah juga tidak wajar menghalang Pemiutang Penghakiman menikmati hasil penghakiman iaitu kos yang telah dibenarkan oleh Mahkamah, Serangoon Garden Estate Ltd v Ah Keng [1953] MLJ 116 ACJ Brown J menyatakan seperti yang berikut: “But it is a clear principle that the Court will not deprive”
Auto-detected from judgment text; not a substitute for a citator check.
Content
1 DALAM MAHKAMAH TINGGI MALAYA DI TEMERLOH DALAM NEGERI PAHANG DARUL MAKMUR, MALAYSIA GUAMAN SIVIL NO. : CB-37WS-2-05/2024 ANTARA GEONEX (M) SDN. BHD. (NO. SYARIKAT: 965183-H) … PEMIUTANG PELAKSANAAN
1
BAYU MINING SDN. BHD.
2
OTHAMAN BIN ABDUL RAHMAN
3
MOHD SABRI BIN AZIZ (NO. K/P: 650420-06-5455) … PENGHUTANG PELAKSANAAN ALASAN PENGHAKIMAN Pendahuluan [1] Pihak yang telah diputuskan kesnya oleh Mahkamah mempunyai hak untuk menikmati penghakiman tersebut. Ia boleh dilakukan dengan mengambil tindakan dengan melaksanakan penghakiman tersebut di bawah Kaedah-kaedah Mahkamah (KKM) 2012. [2] Pada masa yang sama pihak yang tidak berjaya di dalam sesuatu kes boleh mengemukakan rayuan terhadap keputusan tersebut. Dia juga boleh memohon agar pelaksanaan penghakiman itu ditangguhkan sehingga rayuan tersebut diselesaikan secara muktamad oleh Mahkamah Atasan. [3] Mahkamah semasa menimbangkan permohonan penangguhan pelaksanaan pula perlu mematuhi prinsip undang-undang yang diputuskan oleh Mahkamah Atasan seperti yang dinyatakan dalam kes Kosma Palm Oil Mill Sdn Bhd & Ors v Koperasi Serbausaha Makmur Bhd [2004] 1 MLJ 257. [4] Ini bermakna Mahkamah perlu menimbangkan kepentingan pihak yang berjaya untuk menikmati penghakiman dengan kepentingan pihak yang tidak berjaya untuk memastikan kegagalan memperolehi penangguhan pelaksanaan tidak akan menjejaskan keputusan Mahkamah Rayuan akan menjadi sia-sia kepada dia. Pada hemat Mahkamah ini pertimbangan yang dilakukan hendaklah mencerminkan keadilan dilaksanakan kepada kedua-dua pihak. Latar Belakang Kes [5] Mahkamah Tinggi Malaya di Kuantan telah pada 19.10.2023 mengeluarkan penghakiman yang salah satu daripada perintah adalah mengenai kos adalah sebanyak RM 150,000.00 tertakluk kepada fi alokator. Penghutang Pelaksanaan telah memfailkan permohonan penangguhan pelaksanaan terhadap perintah tersebut. [6] Ekoran daripada keputusan tersebut Penghutang Penghakiman telah memfailkan rayuan ke Mahkamah Rayuan berkenaan dengan keputusan tersebut. Pada masa yang sama permohonan juga telah dikemukakan di Mahkamah Tinggi Malaya di Kuantan untuk menangguhkan pelaksanaan penghakiman tersebut. Namun demikian Mahkamah tidak membenarkan penangguhan pelaksanaan terhadap perintah kos yang telah diberikan oleh Mahkamah Tinggi Malaya di Kuantan sebelum ini iaitu pada 19.10.2023. [7] Pemiutang Penghakiman telah memfailkan satu permohonan pelaksanaan di Mahkamah Tinggi Malaya di Temerloh pada 09.05.2024. Writ penyitaan dan penjualan telah dikeluarkan untuk jumlah RM 155,097.20. Writ penyitaan dan penjualan tersebut telah dilaksanakan oleh Bailif di premis Penghutang Penghakiman dan senarai penyitaan telah dikemukakan. [8] Pada 03.07.2024 Penghutang Penghakiman telah memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi Malaya di Temerloh untuk writ pelaksanaan bertarikh 09.05.2024 tersebut digantung sehingga pelupusan rayuan Penghutang Penghakiman di Mahkamah Rayuan. Pada masa yang sama Mahkamah Tinggi Malaya di Temerloh telah memberikan satu perintah interim pada 03.07.2024 untuk menggantung secara interim pelaksanaan writ penyitaan dan penjualan tersebut. [9] Pendengaran secara inter parte permohonan ini telah ditetapkan oleh Mahkamah dan pihak-pihak telah memfailkan hujahan masing-masing. Penelitian kepada affidavit sokongan permohonan menunjukkan bahawa sekiranya pelaksanaan ini diteruskan ia akan menjejaskan keputusan rayuan Penghutang Penghakiman di Mahkamah Rayuan dan ia akan menjadi sia-sia kerana Penghutang Penghakiman akan melaksanakan writ penyitaan dan penjualan tersebut. [10] Selain daripada itu penggantungan pelaksanaan tidak akan menjejaskan pihak Pemiutang Penghakiman. Ia tidak akan menukar status quo Pemiutang Penghakiman. Ini telah dinyatakan sebagai keadaan-keadaan istimewa yang memerlukan penggantungan pelaksanaan prosiding. [11] Sebaliknya, Pemiutang Penghakiman menyatakan bahawa permohonan Penghutang Penghakiman untuk penangguhan pelaksanaan penghakiman tidak berkaitan dengan penangguhan kepada bayaran kos yang diputuskan oleh Mahkamah. Ini bermakna bahawa tiada penggantungan pelaksanaan terhadap jumlah yang dinyatakan dalam writ pelaksanaan yang berkaitan dengan kos. Di samping itu Pemiutang Penghakiman menyatakan bahawa tiada keadaan istimewa yang membolehkan pelaksanaan ini ditangguhkan. [12] Semasa hujahan dikemukakan oleh pihak-pihak, telah timbul persoalan berkenaan dengan adakah wajar writ penyitaan dan penjualan ini difailkan di Mahkamah Tinggi Malaya di Temerloh sedangkan penghakiman asal diperolehi daripada Mahkamah Tinggi Malaya di Kuantan. Peguam Penghutang Penghakiman menyatakan bahawa pemfailan writ penyitaan dan penjualan ini di Mahkamah Tinggi Malaya di Temerloh adalah sesuatu yang di luar aturan. Ia sepatutnya difailkan di Mahkamah Tinggi Malaya di Kuantan. Sebaliknya peguam Pemiutang Penghakiman menyatakan ia difailkan di Mahkamah Tinggi Malaya di Temerloh disebabkan harta yang akan disita berada di dalam Daerah Temerloh. [13] Persoalannya adalah adakah mana-mana aturan di bawah KKM 2012 menghalang writ penyitaan dan penjualan difailkan di Mahkamah ini. Adakah apa-apa had kawasan di mana sesuatu pelaksanaan penghakiman itu boleh dilaksanakan. Adakah menjadi kemestian dan kewajipan bahawa sesuatu penghakiman hanya boleh dilaksanakan di Mahkamah yang mengeluarkan penghakiman. [14] Dalam hal ini Mahkamah meneliti kepada KKM 2012 berkenaan dengan peruntukan berkaitan dengan pelaksanaan. Aturan 46 KKM 2012 telah memperuntukkan tatacara am writ pelaksanaan. Penelitian kepada Aturan 46 KKM 2012 tersebut tidak dinyatakan bahawa writ pelaksanaan dan penyitaan perlu dibuat di Mahkamah yang mengeluarkan penghakiman. Apa yang ada ialah terdapatnya suatu perintah atau penghakiman yang dikeluarkan oleh Mahkamah. Ia dinyatakan di bawah Aturan 46 kaedah 4 KKM 2012 yang memperuntukkan seperti yang berikut: “ 4. Pengeluaran writ pelaksanaan (A. 46 k. 4)
1
Pengeluaran suatu writ pelaksanaan berlaku apabila ia dimeteraikan oleh seorang pegawai di Pejabat Pendaftaran.
2
Sebelum suatu writ yang sedemikian dikeluarkan, suatu praecipe dalam salah satu bentuk dalam Borang 89 bagi pengeluarannya hendaklah difailkan.
3
Praecipe itu hendaklah ditandatangani oleh peguam orang yang berhak atas pelaksanaan atau, sekiranya orang itu bertindak secara sendiri, olehnya.
4
Tiada writ yang sedemikian boleh dimeteraikan melainkan jika pada masa menyerahkannya untuk pemeteraian-
a
orang yang menyerahkannya itu mengemukakan-
i
penghakiman atau perintah yang berasaskannya writ itu dikeluarkan, atau sesalinan pejabatnya;
II
(ii) jika writ itu tidak boleh dikeluarkan tanpa kebenaran Mahkamah, perintah yang memberikan kebenaran sedemikian atau keterangan mengenai pemberiannya;
III
(iii) jika kaedah 5(2) terpakai, kebenaran bertulis Pengawal yang disebut di dalamnya; dan
b
pegawai yang diberi kuasa untuk memeteraikannya berpuas hati bahawa tempoh, sekiranya ada, yang dinyatakan dalam penghakiman atau perintah bagi pembayaran apa-apa wang atau bagi perlakuan apa-apa perbuatan lain telah tamat.
5
Tiap-tiap writ pelaksanaan hendaklah ada padanya tarikh hari ia dikeluarkan. ” [15] Ia tidak menghadkan Mahkamah di mana boleh difailkan pelaksanaan writ penyitaan dan penjualan. Malahan jika dilihat kepada Aturan 47 KKM 2012 yang memperihalkan writ penyitaan dan penjualan juga tiada sebarang halangan sedemikian. [16] Pemiutang Pelaksanaan dan Penghutang Pelaksanaan di dalam hujahan mereka tidak mengemukakan apa-apa Arahan-arahan Amalan atau Pekeliling-pekeliling Ketua Pendaftar atau Pendaftar Mahkamah Tinggi Malaya yang menghalang mana-mana writ penyitaan dan penjualan dikemukakan di Mahkamah yang lain selain daripada Mahkamah yang mengeluarkan penghakiman asal. Mahkamah ini berpendapat bagi tujuan writ penyitaan dan penjualan tiada sebarang halangan untuk writ penyitaan dan penjualan tersebut difailkan di Mahkamah yang bukannya Mahkamah asal yang mengeluarkan penghakiman bagi kes tersebut. Apa yang penting dalam penelitian kepada permohonan writ penyitaan dan penjualan antara lainnya adalah seperti yang berikut:
a
penghakiman itu adalah penghakiman kewangan;
b
penghakiman itu dibuat oleh Mahkamah yang berkompeten; atau
c
pematuhan kepada KKM 2012 yang berkaitan dengan permohonan writ penyitaan dan penjualan. [17] Berdasarkan kepada penganalisaan di atas Mahkamah berpendapat tiada halangan untuk writ penyitaan dan penjualan difailkan di Mahkamah ini. Oleh itu hujahan yang menyatakan bahawa writ penyitaan dan penjualan ini perlu ditolak disebabkan ia tidak difailkan di Mahkamah Tinggi Malaya di Kuantan adalah ditolak. Apakah asas untuk penggantungan pelaksanaan [18] Penelitian kepada affidavit sokongan, Mahkamah mendapati terdapat dua asas utama yang diutarakan oleh Penghutang Penghakiman iaitu pertama, perintah Mahkamah Tinggi Malaya di Kuantan itu sepatutnya membenarkan permohonan pelaksanaan termasuk kos yang menjadi asas kepada permohonan penggantungan ini. Kedua, Penghutang Penghakiman adalah golongan yang rentan dan susah. Pelaksanaan penghakiman ini akan menimbulkan kesukaran kepada Penghutang Penghakiman. Dia orang biasa dan tidak mempunyai pendapatan yang tinggi. [19] Mahkamah ini telah meneliti penghakiman Mahkamah Tinggi Malaya di Kuantan dan perintah penggantungan itu. Mahkamah mendapati ia tidak melibatkan kos yang diberikan. Oleh itu, ia masih terikat untuk dilaksanakan. Ia tidak termasuk di dalam penggantungan pelaksanaan penghakiman tersebut. Ini bermakna Pemiutang Penghakiman boleh melaksanakan penghakiman tersebut. [20] Namun begitu Mahkamah perlu menimbangkan hujahan Pemohon bahawa jika Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan dan mengenepikan perintah Mahkamah Tinggi Malaya di Kuantan termasuk perintah kos sedangkan harta Pemohon telah dilelong atau dijual atas perintah pelaksanaan itu ia tidak dapat dipampas dengan sewajarnya. Adakah ini bukan asas yang kuat untuk membenarkan permohonan ini. [21] Pada masa yang sama Mahkamah juga tidak wajar menghalang Pemiutang Penghakiman menikmati hasil penghakiman iaitu kos yang telah dibenarkan oleh Mahkamah, Serangoon Garden Estate Ltd v Ah Keng [1953] MLJ 116 ACJ Brown J menyatakan seperti yang berikut: “But it is a clear principle that the Court will not deprive a successful party of the fruits of his litigation until an appeal is determined, unless the unsuccessful party can shew special circumstances to justify it.” [22] Namun fakta dalam kes Serangoon Garden Estate Ltd (supra) tersebut perlu diteliti dengan sewajarnya seperti yang dinyatakan oleh Hakim Brown seperti yang berikut: “The only ground, so far as appears in the written grounds for granting this stay, is that if the defendant succeeded in his appeal he could not be restored to the same position as before because the plaintiffs would have removed his pig-sty. That ground, standing alone, in my opinion cannot be a sufficient ground on which to grant a stay of execution.” [23] Oleh itu Mahkamah ini juga wajar mempertimbangkan bahawa perintah kos adalah boleh dilaksanakan seperti satu penghakiman. Dalam kes Re P Suppiah (Tara Rajaratnam, Judgement Creditor) [1989] 2 MLJ 479. L.C. Vohrah yang dinyatakan di dalam nota penyunting (editorial note) seperti yang berikut: “The order for costs formed part of the judgment of the Privy Council and payment of the costs could be enforced in the same manner as any judgment for the payment of money which the Privy Council may give. The judgment of the Privy Council must be enforced or executed in the same way as that of the Federal Court.” [24] Oleh itu pada hemat Mahkamah ini perintah kos yang menjadi sebahagian daripada penghakiman hendaklah dikuatkuasakan seperti suatu penghakiman. Mahkamah ini merujuk kepada keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Liau Kim Lian v Bajuria [1971] 1 MLJ 276 yang menjelaskan hubung kait di antara kos dan penghakiman. Dalam kes tersebut Mahkamah Persekutuan perlu memutuskan maksud perkataan penghakiman di bawah seksyen 2 Akta Penghutang Penghakiman 1957. Mahkamah Persekutuan menyatakan seperti yang berikut: “ … Indeed, an order for payment of costs is tantamount to an order for the payment of such amount of money as may be ascertained on taxation to be the amount of the costs to which the successful party is entitled. To a very large extent, it is similar to a judgment for damages to be assessed. A judgment for damages to be assessed, or for costs to be taxed, carries interest from the date of entry of judgment and not from the date of assessment or taxation (see Halsbury's Laws of England, 3rd edition, Vol. 22, page 782, paragraph 1662).” [25] Ini bermakna berkemungkinan penghakiman kewangan akan diberikan berasingan dengan kos. Ia juga mungkin berlaku apabila kos yang diberikan dalam satu penghakiman itu belum ditaksirkan bagi mendapatkan jumlah sebenar kos yang perlu dibayar oleh pihak-pihak ekoran daripada kejayaan di dalam sesuatu tuntutan. [26] Mahkamah ini berpendapat terdapat peruntukan khusus yang menangani isu ini iaitu di dalam Aturan 47 kaedah 2 KKM 2012 yang memperuntukkan seperti yang berikut: “ 2. Writ berasingan bagi menguatkuasakan pembayaran kos (A. 47 k. 2)
1
Jika hanya pembayaran wang, berserta dengan kos yang hendak ditetapkan, dihukum atau diperintahkan, maka, sekiranya apabila wang itu menjadi kena dibayar di bawah penghakiman atau perintah itu kos belum lagi ditetapkan, pihak yang berhak menguatkuasakan penghakiman atau perintah itu boleh mengeluarkan suatu writ penyitaan dan penjualan untuk menguatkuasakan penghakiman atau perintah itu dan, tidak kurang dari lapan hari selepas pengeluaran writ itu, dia boleh mengeluarkan writ yang kedua untuk menguatkuasakan pembayaran kos yang ditetapkan itu.
2
Suatu pihak yang berhak menguatkuasakan penghakiman atau perintah bagi penyerahmilikan mana-mana harta (selain wang) boleh, sekiranya dia memilih sedemikian, mengeluarkan suatu writ penyitaan dan penjualan yang berasingan untuk menguatkuasakan pembayaran apa-apa ganti rugi atau kos yang diawardkan kepadanya oleh penghakiman atau perintah itu.” [27] Peruntukan ini adalah bagi membolehkan sesuatu pelaksanaan bagi perintah kos boleh dibuat secara berasingan daripada perintah utama yang diberikan. Ini boleh berlaku apabila perintah kos tersebut tertakluk kepada taksiran jumlahnya. Apa yang jelas kelewatan dalam pentaksiran kos tidak menghalang pihak yang berjaya dalam sesuatu penghakiman untuk melaksanakan penghakiman yang diperolehi tersebut tanpa perlu menunggu kepada jumlah kos yang ditaksirkan. Walau bagaimanapun dalam kes ini keadaannya berbeza apabila penangguhan pelaksanaan perintah utama diperolehi dan perintah kos tidak diberikan penangguhan pelaksanaan. Apa yang jelas ialah pelaksanaan dalam kes ini adalah berkaitan dengan kos dan tiada kaitan dengan penghakiman utama. [28] Mahkamah ini berpendapat senario dalam kes ini tidak membolehkan pemakaian Aturan 47 kaedah 2 KKM 2012. Ia adalah tidak sesuai. Pada hemat Mahkamah ini pemahaman yang jelas berkenaan dengan penghakiman berkaitan dengan tuntutan yang diberikan dan kos adalah penting untuk Mahkamah mempertimbangkan sama ada wajar atau tidak permohonan penangguhan pelaksanaan ini dibenarkan. [29] Namun dalam kes ini apa yang menarik adalah penghakiman utama telah ditangguhkan sementara perintah kos tidak ditangguhkan. Ini menyebabkan apabila perintah kos dilaksanakan ia telah bercerai dengan penghakiman utama. Ini bermakna apabila penghakiman utama dikekalkan atau ditolak oleh Mahkamah Rayuan ia akan memberi kesan kepada perintah kos atau perintah kos itu akan dikekalkan. Hal ini perlu dibezakan dengan perintah setelah penghakiman penuh yang mana keputusan daripada Mahkamah Rayuan akan sama ada mengenepikan perintah penghakiman atau perintah yang diberikan oleh Mahkamah Tinggi atau mengekalkannya. Ia sudah pasti akan mengubah status quo pihak-pihak di dalam prosiding tersebut ekoran daripada keputusan daripada Mahkamah Rayuan. Namun berkenaan dengan kos ia mungkin mempunyai kesan yang berbeza apabila jumlah kos ditambah atau dikurangkan oleh Mahkamah Rayuan kelak. [30] Oleh itu wajar sekiranya Mahkamah meneliti maksud kos di bawah KKM 2012 yang mentakrifkan seperti yang berikut: "kos" termasuklah fi, caj, bayaran ganti, perbelanjaan dan saraan. [31] Mahkamah juga merujuk kepada keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Lim Heng Hoo v Tan Hock Hai & Ors [1976] 2 MLJ 159 yang telah menyatakan perbezaan di antara kos dengan fi seperti yang berikut: “The term “fees” here clearly refer to counsel's fees and is distinct from the term “costs” which is a term of art in law. Fees may be allowed as part of the costs in an action. A taxing master may allow the fee marked on the brief in taxing costs. It is because of the very fact that the two professions are fused that difficulty may arise in the interpretation of the Rules of the Supreme Court. The surprising thing is that such difficulty does not often come up. There are cases where two counsel or where a leading counsel and a junior counsel are briefed by a firm of instructing solicitors. In England it is the custom or practice to allow a junior counsel a fee of two-thirds of the fee marked for a leading counsel. It is not clear whether such custom or practice has been imported here when both counsel are from the local Bar or when the junior counsel is a member of the firm of instructing solicitors.” [32] Sementara itu dalam kes The London Scottish Benefit Society v. Chorley, Crawford, And Chester. [1884] 13 Q.B.D. 872 Bowlen LJ menyatakan seperti berikut: “Costs are the creation of statute. The first enactment is the Statute of Gloucester, 6 Edw. 1, c. 1, which gave the costs of the "writ purchased." There is a passage in Lord Coke's Commentary, 2 Inst. 288, which it is worth while to examine, as it affords a key to the true view of the law of costs. That passage is as follows: "Here is express mention made but of the costs of his writ, but it extendeth to all the legal cost of the suit, but not to the costs and expenses of his travel and loss of time, and therefore 'costages' cometh of the verb 'conster,' and that again of the verb 'constare,' for these 'costages' must 'constare' to the court to be legal costs and expenses." What does Lord Coke mean by these words? His meaning seems to be that only legal costs which the Court can measure are to be allowed, and that such legal costs are to be treated as expenses necessarily arising from the litigation and necessarily caused by the course which it takes. Professional skill and labour are recognised and can be measured by the law; private expenditure of labour and trouble by a layman cannot be measured. It depends on the zeal, the assiduity, or the nervousness of the individual. Professional skill, when it is bestowed, is accordingly allowed for in taxing a bill of costs; and it would be absurd to permit a solicitor to charge for the same work when it is done by another solicitor, and not to permit him to charge for it when it is done by his own clerk.” [33] Pemahaman yang jelas berkenaan dengan kos adalah penting bagi membolehkan Mahkamah ini mempertimbangkan sama ada penangguhan pelaksanaan wajar diberikan atau sebaliknya. Ini adalah disebabkan perintah kos yang dijadikan asas kepada pelaksanaan ini akan memberi kesan kepada Penghutang Penghakiman sekiranya Mahkamah Rayuan mengenepikan atau membuat dapatan yang berbeza berkenaan dengan jumlah kos. Ini adalah disebabkan Mahkamah mempunyai budi bicara untuk mengawardkannya. Budi bicara tersebut sukar diganggu-gugat atau diketepikan. [34] Sebaliknya sekiranya penghakiman kewangan diberikan ia adalah berdasarkan kepada tuntutan yang dikemukakan di dalam penyata tuntutan atau keterangan yang dikemukakan di hadapan Mahkamah bagi membuktikan jumlah tuntutan tersebut. Oleh itu sekiranya penghakiman kewangan tersebut diketepikan atau disahkan oleh Mahkamah Rayuan ianya adalah suatu nilai yang mungkin tidak berbeza dengan tuntutan yang dikemukakan. Dalam erti kata lain jumlah penghakiman kewangan tersebut dapat dijangkakan lingkungannya oleh pihak-pihak. [35] Sebaliknya perintah kos yang merupakan bidang kuasa Mahkamah adalah sesuatu yang diputuskan berdasarkan budi bicara Mahkamah yang sukar untuk dijangkakan lingkungan jumlahnya. Ia adalah budi bicara yang dinyatakan oleh Mahkamah Agong dalam kes Petroliam Nasional Bhd (Petronas) & Anor v Cheah Kam Chiew [1987] 1 MLJ 25 seperti yang berikut: “To summarise, an appellate court does not interfere in the question of costs without reluctance. This is because the court below has an absolute discretion except that the discretion must be exercised judicially. An appellate court should not interfere unless it can be shown that there has been an error of law or the purported exercise of discretion was based on grounds wholly unconnected with the cause of action.” [36] Pada masa yang sama Mahkamah juga merujuk kepada Kaedah-kaedah Mahkamah Rayuan 1994 yang menyatakan bahawa kos adalah merupakan budi bicara Mahkamah Rayuan dan peruntukan berkenaan dengan kos di bawah KKM 2012 adalah terpakai. Ini dapat dilihat dalam Aturan 54 dan 55 Kaedah-kaedah Mahkamah Rayuan 1994 seperti yang berikut: “PART IX Costs 54 Costs to be in the discretion of the Court Subject to the provisions of any other written law and these Rules, the costs of and incidental to all proceedings in the Court shall be in the discretion of the Court. 55 Application of the provisions of the Rulies of Court 2012 as to costs The provisions of the Rules of Court 2012 as to costs shall apply mutatis mutandis to any appeal to the Court of Appeal.” [37] Oleh itu sekiranya kos yang diberikan tersebut telah dijadikan asas untuk pelaksanaan writ penyitaan dan penjualan yang akhirnya Mahkamah Rayuan mengenepikan perintah tersebut atau mengurangkan atau menaikkan kos tersebut ia sudah pasti menyebabkan prejudis kepada Penghutang Penghakiman. Ini adalah disebabkan sekiranya perintah penyitaan dan penjualan diberikan terhadap perintah kos yang kemudiannya diketepikan oleh Mahkamah Rayuan sedangkan Penghutang Penghakiman telah kehilangan harta tersebut adalah sesuatu yang memprejudiskan hak Penghutang Penghakiman. Ia lebih menarik lagi apabila kewujudan kepelbagaian perintah kos yang mungkin akan diberikan oleh Mahkamah Rayuan tidak sejajar dengan perintah kos yang telah diberikan oleh Mahkamah bicara. Di antara kos yang boleh diberikan ialah kos rizab, kos dalam apa jua keadaan, kos di sini dan di bawah, kos dalam kausa atau kos dalam permohonan, kos Plaintif dalam kausa atau kos Defendan dalam kausa, kos dibuang dan kos yang dibayar dengan serta merta. Kepelbagaian kos ini menunjukkan bahawa sebarang asas kepada perintah pelaksanaan writ penyitaan dan penjualan adalah berdasarkan kepada satu perintah kos perlu dipertimbagnkan dengan sewajarnya sama ada ia perlu ditangguhkan atau sebaliknya. Ini juga ditambah dengan kedudukan di bawah Aturan 59 kaedah 24 KKM 2012 yang memperihalkan berkenaan dengan faedah yang perlu diberikan ke atas kos seperti yang berikut: “ 24. Bunga atas kos (A. 59 k. 24) Apa-apa award tentang kos yang dibuat di bawah Aturan ini hendaklah mempunyai bunga sebagaimana yang dinyatakan di bawah Aturan 42, kaedah 12 dari tarikh award sehingga pembayaran penuh.” [38] Pada hemat Mahkamah dalam kes ini permohonan penangguhan pelaksanaan writ penyitaan dan penjualan adalah dibuat di bawah Aturan 47 kaedah 1 KKM 2012 yang memerlukan dua keadaan yang menunjukkan salah satu keadaan di Mahkamah. Ia jelas dinyatakan di bawah Aturan 47 kaedah 1 KKM 2012 tersebut seperti yang berikut: “ 1. Kuasa menggantung pelaksanaan melalui writ penyitaan dan penjualan (A. 47 k. 1)
1
Jika suatu penghakiman diberikan atau suatu perintah dibuat bagi pembayaran wang oleh mana-mana orang, dan Mahkamah berpuas hati, atas suatu permohonan yang dibuat pada masa penghakiman atau perintah itu, atau pada bila-bila masa selepas itu, oleh penghutang penghakiman atau pihak lain yang dikenakan pelaksanaan-
a
bahawa terdapat hal keadaan khas yang menjadikan tidak suai manfaat untuk menguatkuasakan penghakiman atau perintah itu; atau
b
bahawa pemohon itu tidak berupaya kerana apa-apa sebab jua untuk membayar wang itu, maka, walau apa pun apa-apa jua dalam kaedah 2 atau 3, Mahkamah boleh melalui perintah menggantung pelaksanaan penghakiman atau perintah itu melalui writ penyitaan dan penjualan sama ada secara mutlak atau bagi apa-apa tempoh dan tertakluk kepada apa-apa syarat sebagaimana yang Mahkamah fikirkan patut.” [39] Jika diteliti kepada peruntukan tersebut ia menggunakan frasa keadaan khas. Ia seolah-olah sama dengan ujian bagi penangguhan pelaksanaan seperti yang dinyatakan dalam kes Kosma Palm Oil Sdn Bhd & Ors v Koperasi Serbausaha Makmur Bhd [2004] 1 MLJ 257 yang menyatakan seperti berikut: “ … It is therefore clear beyond doubt that there are many factors that may constitute special circumstances and the fact that an appeal would be rendered nugatory if stay was refused is the most common one. It is an example of special circumstances. In other words, special circumstances is the genus of which nugatoriness is a species. If it has been shown that an appeal would be rendered nugatory if stay was refused what it means is that a special circumstance has been established. Thus, they cannot be treated as separate heads and one cannot be an alternative to the other. Neither can one be accepted or rejected in favour of the other as they are inter-related. See Teow Guan & Ors v Kian Joo Holdings Sdn Bhd & Ors could have withstood scrutiny if it had merely referred to nugatoriness without rejecting special circumstances. As nugatoriness is a species of special circumstances, a mere reference to it is sufficient to convey the correct legal impression. Any attempt to restrict the grant of a stay to nugatoriness, quite apart from its impropriety, will severely restrict the grounds on which an applicant may rely. Learned counsel for the applicants is therefore wrong in submitting that the nugatory approach is not a matter for consideration in this case as what is relevant is only the special circumstances. He would have been correct if he had said that he was not relying on nugatoriness but on some other species of special circumstances.” [40] Walau bagaimanapun Mahkamah ini berpendapat bagi tujuan penangguhan pelaksanaan writ penyitaan dan penjualan, satu lagi perkara perlu dipertimbangkan oleh Mahkamah ialah adakah terdapat keadaan khas yang menyebabkan pelaksanaan writ penyitaan dan penjualan tersebut tidak boleh diteruskan disebabkan terdapatnya keadaan yang tidak sesuai untuk ia dilaksanakan. [41] Apa yang jelas daripada Aturan 47 kaedah 1 KKM 2012 tersebut ialah penangguhan pelaksanaan untuk writ penyitaan dan penjualan boleh dibuat apabila berlakunya perubahan keadaan yang melibatkan Penghutang Penghakiman. Ia bermakna pertimbangan Mahkamah ini berkenaan dengan permohonan penangguhan pelaksanaan writ penyitaan dan penjualan tersebut tidak boleh dipengaruhi dengan keputusan permohonan penangguhan pelaksanaan dalam penghakiman utama. Mahkamah ini berpendapat peruntukan di bawah Aturan 47 kaedah 1 KKM 2012 ini bukanlah merupakan percubaan kedua pihak Penghutang Penghakiman untuk mendapatkan penangguhan pelaksanan penghakiman sedangkan Mahkamah Tinggi Malaya di Kuantan dalam kes ini telah tidak membenarkan penangguhan pelaksanaan perintah kos dalam kes tersebut dan hanya membenarkan penangguhan pelaksanaan untuk perintah-perintah yang lain. Ini adalah disebabkan bagi maksud Aturan 47 kaedah 1 KKM 2012 ia melibatkan kedudukan keadaan yang telah berbeza bagi pihak Penghutang Penghakiman. Pada hemat Mahkamah ia bertujuan untuk membolehkan pihak Penghutang Penghakiman menjelaskan kepada Mahkamah bahawa walaupun permohonan penangguhan pelaksanaan di dalam penghakiman asal ditolak namun ia tidak boleh menjejaskan pihak Penghutang Penghakiman untuk mendapatkan penangguhan pelaksanaan writ penyitaan dan penjualan sekiranya Mahkamah berpuas hati bahawa terdapatnya keadaan khas Penghutang Penghakiman telah berubah. [42] Begitu juga sekiranya Penghutang Penghakiman ditunjukkan dalam permohonannya bahawa dia dahulunya seorang yang mampu untuk melunaskan tuntutan Pemiutang Penghakiman tetapi kini setelah writ penyitaan dan penjualan ingin dilaksanakan, Penghutang Penghakiman sudah tidak lagi berada dalam keadaan penghutang pelaksanaan diberikan. Jika ini berlaku Mahkamah boleh mempertimbangkan permohonan writ penyitaan dan penjualan. [43] Mahkamah ini berpendapat perbezaan penangguhan pelaksanaan penghakiman utama dan penangguhan writ penyitaan dan penjualan di bawah Aturan 47 kaedah 1 KKM 2012 perlu diambil kira. Ini bagi mengelakkan permohonan di bawah Aturan 47 kaedah 1 KKM 2012 tidak dipertimbangkan dengan sewajarnya semata-mata disebabkan Penghutang Penghakiman telah tidak berjaya dalam permohonannya untuk penangguhan pelaksanaan penghakiman utama. Ini wajar dielakkan oleh Mahkamah ini. Sebaliknya Mahkamah perlu menimbangkan permohonan di bawah Aturan 47 kaedah 1 KKM 2012 berdasarkan kepada affidavit-affidavit sokongan dan mengambil kira kedudukan Penghutang Penghakiman pada masa permohonan penangguhan pelaksanaan writ penyitaan dan penjualan itu dibuat. [44] Penelitian kepada affidavit sokongan Penghutang Penghakiman dalam kes ini yang diikrarkan oleh Encik Othaman bin Abdul Rahman pada 03.07.2024 di perenggan 13 (e) affidavit tersebut menyatakan bahawa sekiranya perintah penggantungan tidak diberikan dan prosiding pelaksanaan diteruskan ia akan menjejaskan Penghutang Penghakiman kerana semakan yang dibuat daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia menunjukkan bahawa tiada keterangan mengesahkan bahawa Pemiutang Penghakiman merupakan sebuah syarikat yang masih beroperasi. Ini bermakna sekiranya Mahkamah Rayuan mengenepikan perintah kos tersebut maka Pemiutang Penghakiman tidak berada dalam keadaan untuk membuat pembayaran kembali kepada Penghutang Penghakiman hasil jualan ekoran daripada writ penyitaan dan penjualan tersebut. Ini akan menyebabkan status quo Penghutang Penghakiman akan terjejas. [45] Sebaliknya dalam affidavit jawapan Sivakumar a/l Govindan yang diikrarkan pada 17.07.2024 dinyatakan bahawa Pemiutang Penghakiman adalah berhak untuk menikmati perintah Mahkamah berkaitan dengan kos tersebut setelah menunggu selama lebih kurang tujuh tahun untuk mendapatkan keputusan Mahkamah. Walau bagaimanapun dalam affidavit jawapan tersebut tiada dinyatakan berkenaan dengan kedudukan syarikat seperti yang dibangkitkan oleh pihak Penghutang Penghakiman. Apa yang ada hanyalah penafian umum berkenaan dengan perenggan 13 (e) affidavit sokongan tersebut seperti yang dinyatakan di perenggan 7 affidavit jawapan. [46] Mahkamah ini berpendapat dalam kes ini pertimbangan perlu diberikan kepada jenis penghakiman yang diberikan iaitu melibatkan kos dan tidak menafikan bahawa semasa menimbangkan permohonan penangguhan ini ia tidak boleh menjejaskan hak Pemiutang Penghakiman untuk menikmati hasil tindakan di Mahkamah. Inilah yang ditekankan oleh Mahkamah Persekutuan dalam kes Renew Capital Sdn Bhd & Ors v ADM Ventures (M) Sdn Bhd & Anor and another appeal [2022] 6 MLJ 58 seperti yang berikut: “ [24] Thus it has been said ever so often that a successful litigant is generally not to be deprived of the fruits of his litigation. The law does not require that the unsuccessful litigant who is minded to appeal must be allowed to exhaust all avenues and tiers of appeal before the successful litigant, armed with a judgment of the court, especially for the payment of a judgment debt, may proceed with the execution of the judgment debt. [25] If a stay is invariably granted merely because there is an appeal which may reverse the finding of the trial court and thus which appeal may be allowed and the judgment of the trial court or of the first instance, set aside — then we would have a situation that by the time the various tiers of appeals are exhausted, there may not be anything left for the successful litigant to execute on. Much costs and expenses would have been spent by the unsuccessful litigant in exhausting all avenues of appeal, only to drag and delay the successful litigant from recovering the judgment debt. This is not to mention that in cases of an unscrupulous litigant, there could be more than ample opportunities to dissipate whatever assets it has so as to make itself judgment-proof.” [47] Walau bagaimanapun Mahkamah ini juga wajar menimbangkan bahawa sekiranya Penghutang Penghakiman berjaya mengenepikan perintah kos atau Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa terdapat perubahan kepada kos yang lebih rendah daripada jumlah yang diberikan oleh Mahkamah bicara, adakah ia akan membawa makna kepada Penghutang Penghakiman? Adakah perintah Mahkamah Rayuan itu akan menjadi sia-sia disebabkan harta Penghutang Penghakiman telah dijual dan kebarangkalian untuk memperolehi semula bayaran kembali dari Pemiutang Penghakiman adalah mustahil atau sukar. [48] Pada masa yang sama Mahkamah juga tidak boleh mengenepikan hak Pemiutang Penghakiman untuk menikmati penghakiman yang telah diperolehi dalam tindakannya di Mahkamah. Jika ini dilakukan ia bercanggah dengan prinsip yang dinyatakan bahawa pihak yang berjaya dalam sesuatu tindakan hendaklah tidak dihalang daripada menikmati hasil daripada tindakan tersebut. [49] Mahkamah ini perlu mengambil perhatian bahawa permohonan penggantungan pelaksanaan ini adalah melibatkan perintah kos yang perlu dilihat dalam konteks taksiran kos seperti yang dinyatakan di perenggan [30], [31] dan [32] di atas. Ia tidak boleh disamakan dengan penghakiman kewangan yang diperolehi berdasarkan merit dalam sesuatu tindakan Plaintif kepada Defendan. [50] Akhirnya Mahkamah ini setelah meneliti affidavit-affidavit, hujahan pihak-pihak serta prinsip undang-undang berkenaan dengan penggantungan pelaksanaan Mahkamah berpuas hati bahawa keadaan yang diutarakan oleh Penghutang Penghakiman adalah suatu keadaan yang istimewa bagi membolehkan permohonan penggantungan pelaksanaan dibenarkan. Oleh itu Mahkamah membenarkan permohonan penggantungan pelaksanaan writ penyitaan dan penjualan dengan kos. Bertarikh: 25 hb. April 2025 (ROSLAN BIN MAT NOR) HAKIM MAHKAMAH TINGGI MALAYA TEMERLOH, PAHANG DARUL MAKMUR PIHAK-PIHAK: Bagi Pihak Pemiutang Penghakiman Kanesrau Appalanaidu Tetuan Seah Balan Ravi & Co Unit A, 3rd Floor, Wisma 1 Alliance No. 1, Lorong Kasawari 4-B, Taman Eng Ann 41150 Klang Selangor Darul Ehsan Bagi Pihak Penghutang Penghakiman Kamalanathan Ratnam dan Vinod Kamalanathan Tetuan Vinod Kamalanathan & Associates Suite 501, 5th Floor
Wrong text, a broken link, out-of-date content, or a removal request — tell us and we'll check it against the official source.