Content
1 DALAM MAHKAMAH SESYEN DI KUALA LUMPUR DALAM NEGERI WILAYAH PERSEKUTUAN KUALA LUMPUR, MALAYSIA SAMAN NO. WA-A52C-27-05/2025 ANTARA GLOBAL FIBER TRENCHERS SDN. BHD. [Company No.: 201101037290] ... PLAINTIF DAN EMNES METAL SDN BHD [Company No.: 201301028132] ... DEFENDAN ALASAN PENGHAKIMAN PENGENALAN [1] Ini adalah permohonan Plaintif melalui Notis Permohonan (Lampiran 10) di bawah Aturan 14 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 ("KKM 2012") untuk mendapatkan suatu penghakiman terus terhadap Defendan bagi jumlah sebanyak RM129,026.00 berserta faedah dan kos. Alasan penghakiman ini hanya memfokuskan kepada permohonan penghakiman terus tersebut. LATAR BELAKANG FAKTA [2] Plaintif telah dilantik oleh Defendan melalui Pesanan Pembelian (Purchase Order) No. PO-00181-Rev bertarikh 18.12.2023 untuk melaksanakan kerja-kerja pemasangan lurang dan sesalur telekomunikasi (Horizontal Directional Drilling) di beberapa jalan di Selangor. Walaupun permit Jabatan Kerja Raya (JKR) belum diperoleh, Defendan melalui surat bertarikh 18.12.2023 telah mengarahkan Plaintif untuk memulakan kerja. [3] Plaintif memulakan kerja, namun pada 26.12.2023 Defendan telah mengeluarkan arahan berhenti kerja (Stop Work Order) melalui pesanan WhatsApp atas arahan klien utama Defendan. Pada tarikh tersebut, nilai kerja yang telah disiapkan oleh Plaintif adalah sebanyak RM21,150.00. [4] Berikutan penangguhan kerja tersebut, kedua-dua pihak bersetuju dengan kos penangguhan (idling charges) dan Defendan mengeluarkan satu lagi Pesanan Pembelian bertarikh 16.01.2024 bagi menanggung kos penangguhan tersebut yang berjumlah RM231,876.00. [5] Jumlah keseluruhan tuntutan (kerja siap dan kos penangguhan) adalah RM256,026.00. Defendan telah membuat bayaran pendahuluan/sebahagian sebanyak RM127,000.00. Namun, Defendan gagal/enggan membayar baki tertunggak sebanyak RM129,026.00 yang membawa kepada tuntutan tindakan ini. UNDANG-UNDANG TERPAKAI (PENGHAKIMAN TERUS) [6] Prinsip permohonan di bawah Aturan 14 KKM 2012 adalah mantap. Mahkamah merujuk kepada keputusan Mahkamah Agung dalam National Company For Foreign Trade v Kayu Raya Sdn Bhd [1984] 2 MLJ 300 | [1984] 2 CLJ 220 di mana Plaintif perlu terlebih dahulu membuktikan kes prima facie. Jika prasyarat ini dipenuhi, beban pembuktian beralih kepada Defendan untuk memuaskan hati Mahkamah bahawa wujudnya isu yang wajar dibicarakan (triable issue). Perkara ini turut ditegaskan oleh Mahkamah Persekutuan dalam Cempaka Finance Bhd v. Ho Lai Ying (trading as KH Trading) & Anor [2006] 3 CLJ 544; [2006] 2 MLJ 685 ; [2007] 1 AMR 525 . [7] Berdasarkan penelitian dokumen-dokumen kontemporari (pesanan pembelian, invois, mesej WhatsApp yang tidak dipertikaikan, dan pengakuan bayaran sebahagian oleh Defendan), Mahkamah berpuas hati bahawa Plaintif telah berjaya membuktikan kes prima facie. Beban pembuktian kini beralih kepada Defendan. DAPATAN MAHKAMAH [8] Setelah meneliti Pembelaan dan Afidavit-Afidavit Jawapan Defendan, Mahkamah mendapati bahawa pembelaan Defendan secara keseluruhannya gagal menimbulkan sebarang isu yang wajar dibicarakan (triable issues). Penolakan pembelaan Defendan adalah bersandarkan kepada alasan-alasan berikut: A. Tiada Priviti Kontrak Dengan Pihak Ketiga (Reneuco) [9] Defendan cuba menjustifikasikan kegagalan membayar kos penangguhan dengan alasan bahawa ia tertakluk kepada kelulusan klien utamanya, iaitu Reneuco Engineering Sdn Bhd. [10] Mahkamah menolak alasan ini sepenuhnya. Berdasarkan doktrin Priviti Kontrak seperti mana diputuskan dalam Zulkanain bin Abdul Majid lwn Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan & Pembangunan Kraftangan Malaysia dan lain-lain [2024] MLJU 25 (yang mengguna pakai prinsip Mahkamah Rayuan dalam Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd v. Dynaforce Corporation Sdn Bhd [2014] 5 CLJ 533), hanya pihak-pihak di dalam sesuatu kontrak yang mempunyai hak dan tanggungan yang boleh dikuatkuasakan. [11] Reneuco bukanlah pihak kepada kontrak antara Plaintif dan Defendan. Keperluan Defendan untuk mendapatkan kelulusan dalaman daripada Reneuco adalah urusan dan risiko komersial Defendan sendiri dan sama sekali tidak membebaskan Defendan daripada tanggungjawab kontraktualnya terhadap Plaintif. B. Pengakuan Liabiliti dan Prinsip Estoppel [12] Defendan menafikan liabiliti dengan alasan kononnya terdapat ketiadaan permit JKR (illegality) atau salah representasi oleh Plaintif. Walau bagaimanapun, fakta jelas menunjukkan Defendan bukan sahaja telah menerima manfaat daripada kerja Plaintif, malah Defendan sendiri telah secara sukarela membuat bayaran sebahagian/pendahuluan sebanyak RM127,000.00. [13] Tindakan Defendan cuba mencabar kesahihan liabiliti pada tahap ini jelas merupakan suatu fikiran terkemudian (afterthought). Mahkamah mengguna pakai prinsip dalam Etika Distributions Sdn Bhd v T.G. Distributions Sdn Bhd [2017] MLJU 2107, di mana Defendan dihalang (estopped) daripada mengambil pendirian yang tidak konsisten (cannot blow hot and cold atau approbate and reprobate). Defendan tidak boleh mengiktiraf sebahagian kontrak dengan membuat bayaran, tetapi pada masa yang sama mendakwa kontrak itu tidak sah untuk mengelak daripada membayar baki tuntutan. C. Pembelaan Illegality (Tiada Permit) Dipatahkan Oleh Seksyen 66 Akta Kontrak 1950 [14] Mengenai isu ketiadaan permit JKR yang dibangkitkan sebagai satu ketidaksahan (illegality) oleh Defendan, Mahkamah mengambil maklum bahawa Defendan sendiri, melalui surat bertarikh 18.12.2023, yang mengeluarkan arahan agar kerja dimulakan walaupun sedia maklum kelulusan JKR masih belum diperoleh. [15] Berdasarkan ketetapan terbaru Mahkamah Persekutuan dalam kes Detik Ria Sdn Bhd v. Prudential Corporation Holdings Ltd & Anor [2025] 4 CLJ 159, sungguhpun sesuatu kontrak mungkin dilaksanakan bersalahan dengan suatu keperluan berkanun (yang mengakibatkan ia menjadi batal), remedi pemulihan (restitusi) di bawah Seksyen 66 Akta Kontrak 1950 tetap terpakai bagi mengelakkan pihak-pihak mendapat "durian runtuh yang tidak adil" (unjust windfall). Oleh kerana tahap kebersalahan (culpability) Defendan adalah tinggi ekoran arahannya sendiri agar kerja dimulakan, Defendan tidak boleh menggunakan isu illegality sebagai perisai untuk mengelakkan bayaran ke atas manfaat kerja yang telah dilaksanakan dan diterima. D. Penafian Kosong (Bare Denial) dan Percanggahan Pleading Akhir sekali, [16] Mahkamah mendapati bahawa pembelaan di dalam afidavit-afidavit Defendan dipenuhi dengan percanggahan fakta yang material dan bersifat penafian kosong tanpa sokongan dokumen sokongan (seperti laporan kecacatan atau surat aduan ketidakpuasan hati kerja). Sebagai contoh, dalam Pembelaan, Defendan menyalahkan Plaintif kononnya mendesak kerja di buat tanpa permit, namun di dalam Afidavit Jawapannya, Defendan menukar versi dengan mengatakan segala kelulusan tertakluk kepada arahan Reneuco. [17] Merujuk kepada keputusan Mahkamah Persekutuan dalam Bank Negara Malaysia v. Mohd Ismail & Ors [1992] 1 MLJ 400, Mahkamah mempunyai kewajipan untuk menolak sebarang penafian yang tidak jelas, berubah-ubah (inconsistent), dan bercanggah dengan dokumen kontemporari. Penafian kosong sedemikian adalah tidak mencukupi untuk mewujudkan satu isu yang wajar dibicarakan bagi menggagalkan permohonan Aturan 14. KESIMPULAN [18] Berdasarkan nas-nas undang-undang dan penganalisaan ke atas fakta-fakta yang dipertikaikan di atas, Mahkamah berpuas hati bahawa Defendan secara mutlak telah gagal menimbulkan sebarang isu tulen yang wajar dibicarakan dalam mempertahankan tuntutan Plaintif. [19] Oleh yang demikian, Mahkamah membenarkan permohonan Plaintif di