Lampiran
Lampiran 112, yang ditujukan terhadap Plaintif; dan ii. Lampiran 113, yang ditujukan terhadap Pihak Ketiga. 8. Walaupun afidavit dan hujahan Defendan merujuk secara bersama kepada kedua-dua Lampiran 112 dan 113, Mahkamah menegaskan bahawa Alasan Penghakiman ini adalah terhad secara khusus kepada Lampiran 113 sahaja, iaitu permohonan penzahiran dokumen terhadap Pihak Ketiga manakala untuk Lampiran 112 permohonan penzahiran dokumen terhadap pihak Plaintif disediakan secara berasingan. 9. Permohonan di Lampiran 113 telah difailkan pada peringkat lanjut prosiding, selepas arahan PTCM dikeluarkan dan pada ketika penyediaan ‘Common Bundle’ hampir lengkap. Pihak Ketiga membantah permohonan tersebut atas alasan, antara lain, bahawa Defendan tidak pernah memohon penzahiran tambahan terhadap Pihak Ketiga sepanjang tempoh pengurusan kes sebelum itu. 10. Pihak Ketiga seterusnya menegaskan bahawa dokumen-dokumen yang dimohon adalah tidak relevan kepada isu sebenar dalam tindakan utama, berada di luar milikan atau kawalan Pihak Ketiga, serta bahawa permohonan tersebut bersifat satu permohonan saat akhir (eleventh-hour application) yang berpotensi menjejaskan pengurusan kes dan keadilan prosedur terhadap Pihak Ketiga. 11. Berdasarkan latar belakang inilah Mahkamah perlu menilai sama ada permohonan Defendan di Lampiran 113 memenuhi keperluan undang-undang dan budi bicara Mahkamah di bawah Aturan 24 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012. PERMOHONAN DEFENDAN (LAMPIRAN 113) 12. Melalui Notis Permohonan di Lampiran 113, Defendan pada asasnya memohon agar Mahkamah ini mengeluarkan suatu perintah di bawah Aturan 24 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 yang mewajibkan Pihak Ketiga menzahirkan dokumen-dokumen tertentu yang didakwa berada dalam milikan, jagaan atau kuasa Pihak Ketiga. 13. Secara khusus, Defendan memohon penzahiran terhadap kategori dokumen berikut: (a) dokumen pelantikan dan/atau perjanjian yang membuktikan hubungan kontraktual antara Pihak Ketiga dengan entiti-entiti berkaitan Dyson, termasuk dokumen yang berhubung dengan pengeluaran atau pembekalan produk yang dipertikaikan; (b) dokumen-dokumen yang menunjukkan peranan, tanggungjawab dan obligasi Pihak Ketiga dalam rantaian bekalan (supply chain) berkaitan produk tersebut; dan (c) apa-apa dokumen lain yang, menurut Defendan, adalah perlu bagi menyokong pembelaan Defendan serta asas tuntutan Pihak Ketiga Defendan terhadap Pihak Ketiga berhubung indemniti dan/atau sumbangan, sekiranya Defendan didapati bertanggungan kepada Plaintif. 14. Defendan seterusnya memohon agar penzahiran tersebut dilaksanakan melalui penyediaan senarai dokumen, pengeluaran salinan dokumen dan/atau pemeriksaan dokumen, serta kos permohonan ini. HUJAHAN PIHAK-PIHAK HUJAHAN DEFENDAN (1) Asas Undang-Undang Permohonan Penzahiran 15. Defendan menegaskan bahawa permohonan di Lampiran 113 dibuat secara sah di bawah Aturan 24 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012, yang memperuntukkan kuasa Mahkamah untuk mengarahkan penzahiran dokumen termasuk terhadap pihak ketiga, selagi dokumen tersebut relevan dan berada dalam milikan, jagaan atau kuasa pihak berkenaan. 16. Menurut Defendan, dokumen yang dimohon daripada pihak ketiga adalah berkait secara langsung dengan pembelaan Defendan terhadap tuntutan Plaintif serta tuntutan pihak ketiga bagi indemniti dan/atau sumbangan terhadap pihak ketiga. (2) Relevan Dan Keperluan Dokumen 17. Defendan berhujah bahawa semua pihak (Plaintif, Defendan dan Pihak Ketiga) beroperasi dalam Dyson Supply Chain, dan dokumen pelantikan serta perjanjian antara Dyson dan Pihak Ketiga adalah penting untuk menunjukkan obligasi sebenar setiap pihak iaitu sama ada Plaintif berhak menuntut kerugian yang didakwa dan pembahagian liabiliti antara Defendan dan Pihak Ketiga. 18. Defendan menegaskan bahawa tanpa penzahiran dokumen tersebut, Defendan akan terhalang daripada membentangkan pembelaan yang lengkap dan adil terhadap tuntutan Plaintif. (3) Milikan, Jagaan atau Kuasa 19. Defendan menyatakan bahawa dokumen-dokumen yang dimohon secara munasabah berada dalam milikan, jagaan atau kuasa Pihak Ketiga, memandangkan Pihak Ketiga adalah kontraktor utama Dyson dalam rantaian bekalan yang berkaitan dengan produk X308 Brush. (4) Tiada ‘Fishing Expedition’ 30. Defendan menafikan bahawa permohonan ini bersifat ‘fishing expedition’, dan berhujah bahawa dokumen yang diminta telah dikenal pasti dengan khusus dan berkait dengan isu sebenar dalam perbicaraan. 20. Defendan merujuk kepada kes Lim Han Ming v Lim Han Peng [2024] MLJU 1827, yang menurut Defendan menegaskan bahawa selagi dokumen dikenal pasti dan relevan, permohonan penzahiran tidak boleh ditolak hanya atas alasan dakwaan ‘fishing expedition’. (5) Jawapan kepada Bantahan Kelewatan Defendan berhujah bahawa permohonan ini tidak lewat kerana: i. isu-isu berkaitan hanya menjadi jelas selepas perkembangan prosiding dan pindaan pliding; dan ii. Defendan sentiasa bertindak secara tekun/diligent untuk mendapatkan dokumen sejak awal prosiding HUJAHAN PIHAK KETIGA (1) Kelewatan Dan Pelanggaran Pengurusan Kes 21. Pihak Ketiga berhujah bahawa permohonan Defendan di Lampiran 113 adalah sangat lewat dan dibuat pada saat akhir (‘eleventh-hour application’). 22. Pihak Ketiga menegaskan bahawa Arahan PTCM telah diberikan pada 04.03.2024 dan pihak-pihak telah diarahkan menyediakan ‘Common Bundle of Documents’; dan sepanjang tempoh penyediaan Common Bundle, Defendan tidak pernah memohon penzahiran tambahan daripada Pihak Ketiga. 23. Menurut Pihak Ketiga, permohonan hanya dibuat dua hari sebelum pengurusan kes, selepas Common Bundle hampir lengkap dan tarikh perbicaraan semakin hampir, sekali gus menjejaskan pengurusan kes dan keadilan prosedur (2) Tingkah Laku Terdahulu Defendan 24. Pihak Ketiga berhujah bahawa Pihak Ketiga telah mematuhi semua permintaan dokumen berkaitan ‘Common Bundle’ serta menyerahkan dokumen apabila diminta dan tidak pernah dimaklumkan bahawa Defendan memerlukan dokumen tambahan sebelum Lampiran 113 difailkan. 25. Pihak Ketiga menegaskan bahawa Defendan sendiri telah mengemukakan beberapa indeks tambahan dokumen, namun masih tidak meminta penzahiran tambahan daripada Pihak Ketiga pada masa tersebut. (3) Relevan Dan Skop Permohonan Terhadap Pihak Ketiga 26. Pihak Ketiga berhujah bahawa dokumen yang dimohon tidak mempunyai kaitan langsung dengan isu sebenar antara Plaintif dan Defendan dan tidak menentukan liabiliti Defendan kepada Plaintif. 27. Menurut Pihak Ketiga, kontrak Pihak Ketiga dengan Dyson adalah kontrak berasingan, dan prinsip priviti kontrak menghalang Defendan daripada bergantung kepada kontrak tersebut untuk menentukan liabiliti Defendan. (4) Permohonan Bersifat Menindas Dan Tidak Seimbang 28. Pihak Ketiga berhujah bahawa penzahiran terhadap Pihak Ketiga mesti diteliti dengan lebih ketat kerana Pihak Ketiga bukan pihak utama dalam tuntutan Plaintif dan permohonan yang luas dan lewat akan menyebabkan beban dan penindasan yang tidak wajar terhadap Pihak Ketiga . (5) Bantahan terhadap Dakwaan ‘Fishing Expedition’ 29. Pihak Ketiga menegaskan bahawa permohonan Defendan sebenarnya bersifat ‘fishing expedition’ kerana Defendan gagal menunjukkan keperluan sebenar (‘necessity’) dan Defendan cuba mendapatkan dokumen untuk membina kes yang belum wujud, bukan untuk menyokong isu yang telah diplidkan dengan jelas. ISU-ISU UNTUK DIPUTUSKAN Isu 1 - Sama ada Mahkamah ini mempunyai kuasa dan asas yang mencukupi di bawah Aturan 24 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 untuk memerintahkan penzahiran dokumen terhadap Pihak Ketiga. 30. Isu ini merangkumi pertanyaan sama ada, dari sudut undang-undang dan prosedur, Mahkamah boleh mengarahkan penzahiran oleh pihak yang bukan pihak utama dalam tindakan, tertakluk kepada syarat-syarat yang ditetapkan oleh Aturan 24 KKM 2012. Isu 2 - Sama ada dokumen-dokumen yang dimohon oleh Defendan dalam Lampiran 113 adalah relevan, perlu dan berkait secara langsung dengan isu-isu sebenar yang diplidkan dalam tindakan utama, termasuk pembelaan Defendan dan tuntutan indemniti/sumbangan terhadap Pihak Ketiga. 31. Isu ini memfokuskan kepada ujian relevan dan keperluan (‘relevance and necessity’), serta sama ada penzahiran yang dimohon melampaui skop isu sebenar yang perlu diputuskan dalam perbicaraan. Isu 3 - Sama ada Defendan telah menunjukkan bahawa dokumen-dokumen yang dimohon berada dalam milikan, jagaan atau kuasa Pihak Ketiga, sebagaimana dikehendaki di bawah Aturan 24 KKM 2012. 32. Isu ini meneliti asas faktual permohonan Defendan berhubung keupayaan dan kewajipan Pihak Ketiga untuk menzahirkan d okumen-dokumen yang dimohon. Isu 4 - Sama ada permohonan Defendan di Lampiran 113 difailkan secara lewat, menjejaskan pengurusan kes Mahkamah, atau merupakan satu permohonan saat akhir (‘eleventh-hour application’) yang bertentangan dengan prinsip keadilan prosedur. 33. Isu ini meliputi kesan arahan PTCM, penyediaan Common Bundle of Documents, tingkah laku terdahulu pihak-pihak, serta implikasi kelewatan terhadap kelancaran dan keadilan prosiding. Isu 5 - Sama ada permohonan penzahiran dokumen terhadap Pihak Ketiga adalah bersifat menindas, tidak seimbang atau merupakan suatu ‘fishing expedition’, dan seterusnya sama ada Mahkamah wajar menggunakan budi bicara untuk menolak permohonan tersebut. 34. Isu ini menilai imbangan antara hak Defendan untuk mendapatkan penzahiran dan perlindungan yang sewajarnya terhadap pihak ketiga daripada beban atau penindasan yang tidak wajar. ANALISIS DAN DAPATAN MAHKAMAH Isu 1 - Sama ada Mahkamah ini mempunyai kuasa dan asas yang mencukupi di bawah Aturan 24 KKM 2012 untuk memerintahkan penzahiran dokumen terhadap Pihak Ketiga. 35. Tidak dipertikaikan bahawa Aturan 24 KKM 2012 memperuntukkan kuasa kepada Mahkamah untuk mengarahkan penzahiran dokumen, termasuk dalam keadaan tertentu, terhadap Pihak Ketiga. Namun, Mahkamah menegaskan bahawa kuasa tersebut adalah bersifat budi bicara dan bukannya suatu hak automatik kepada pihak yang memohon. 36. Apabila penzahiran dimohon terhadap Pihak Ketiga, kehendak pertimbangan Mahkamah adalah lebih ketat berbanding penzahiran antara pihak-pihak utama. Ini kerana Pihak Ketiga tidak memilih untuk terlibat dalam litigasi dan tidak seharusnya dibebankan tanpa justifikasi undang-undang yang jelas. 37. Oleh itu, Mahkamah mesti terlebih dahulu meneliti sama ada Defendan telah meletakkan asas undang-undang dan fakta yang mencukupi sebelum kuasa di bawah Aturan 24 KKM 2012 boleh digerakkan terhadap Pihak Ketiga. 38. Oleh itu dapatan bagi isu (1) ini adalah Mahkamah mempunyai kuasa di bawah Aturan 24 KKM 2012, namun kuasa tersebut hanya boleh digunakan sekiranya syarat-syarat lanjut berkaitan relevan, keperluan, kawalan dokumen dan keadilan prosedur dipenuhi. Isu 2 - Sama ada dokumen yang dimohon adalah relevan dan perlu (‘relevant and necessary’) kepada isu sebenar dalam tindakan utama. 39. Defendan berhujah bahawa dokumen kontrak dan pelantikan antara Pihak Ketiga dan Dyson adalah relevan kerana semua pihak berada dalam Dyson Supply Chain, dan dokumen tersebut diperlukan untuk menentukan liabiliti serta tuntutan indemniti/sumbangan. 40. Mahkamah menegaskan bahawa relevan di bawah Aturan 24 KKM 2012 tidak bermaksud “berkaitan secara umum” atau “berpotensi membantu”. Ujian yang betul ialah sama ada dokumen tersebut berkait secara langsung dan nyata dengan isu yang telah diplidkan dan perlu diputuskan dalam perbicaraan. 41. Dalam hal ini, Mahkamah mendapati bahawa kontrak antara Pihak Ketiga dan Dyson adalah kontrak berasingan dan tiada keterangan bahawa kontrak tersebut menentukan atau mengubah obligasi Defendan terhadap Plaintif dan Defendan tidak memperincikan bagaimana setiap kategori dokumen yang dimohon akan memberi kesan langsung kepada isu liabiliti yang sedang dibicarakan. 42. Mahkamah juga meneliti rujukan Defendan kepada kes Lim Han Ming v Lim Han Peng [2024] MLJU 1827, yang menekankan bahawa penzahiran tidak boleh ditolak hanya kerana ia berpotensi mendedahkan kes pihak lawan. Namun, kes tersebut juga menegaskan bahawa dokumen mesti dikenal pasti dengan jelas dan relevan kepada isu sebenar. 43. Dalam kes ini, Mahkamah mendapati permohonan Defendan gagal melepasi ujian tersebut kerana keperluan (‘necessity’) tidak ditunjukkan secara konkrit. 44. Maka dapatan Isu (2) adalah Dokumen yang dimohon tidak dibuktikan sebagai relevan dan perlu secara langsung kepada isu sebenar dalam tindakan utama. Isu 3 - Sama ada dokumen yang dimohon berada dalam milikan, jagaan atau kuasa Pihak Ketiga. 45. Aturan 24 KKM 2012 mensyaratkan bahawa sebelum perintah penzahiran boleh dibuat, pihak yang memohon mesti menunjukkan bahawa dokumen berada dalam milikan, jagaan atau kuasa pihak yang diarahkan menzahirkan. 46. Defendan bergantung kepada peranan Pihak Ketiga dalam rantaian bekalan Dyson untuk menyimpulkan bahawa dokumen-dokumen tersebut berada dalam kawalan Pihak Ketiga. 47. Mahkamah mendapati hujahan tersebut bersifat andaian. Hubungan komersial atau kedudukan dalam rantaian bekalan tidak secara automatik membuktikan kawalan dokumen, khususnya apabila dokumen melibatkan entiti Pihak Ketiga lain (Dyson) yang bukan pihak kepada permohonan ini. 48. Tiada keterangan spesifik dikemukakan oleh Defendan yang menunjukkan bahawa Pihak Ketiga mempunyai kuasa sebenar untuk mengeluarkan dokumen-dokumen yang dimohon. 49. Oleh itu dapatan Isu (3) adalah Defendan gagal membuktikan bahawa dokumen-dokumen yang dimohon berada dalam milikan, jagaan atau kuasa D2 seperti yang dikehendaki oleh Aturan 24 KKM 2012. Isu 4 - Sama ada permohonan ini difailkan secara lewat dan bercanggah dengan pengurusan kes Mahkamah. 50. Mahkamah memberi perhatian serius kepada kronologi prosiding. Fakta yang tidak dipertikaikan menunjukkan bahawa: i. arahan PTCM pertama telah diberikan pada 04.03.2024; ii. pihak-pihak diarahkan menyediakan ‘Common Bundle of Documents’; dan iii. sepanjang tempoh tersebut, Defendan tidak pernah memohon penzahiran tambahan terhadap Pihak Ketiga. 51. Permohonan di Lampiran 113 hanya difailkan dua hari sebelum pengurusan kes, ketika ‘Common Bundle’ hampir lengkap dan perbicaraan semakin hampir. 52. Mahkamah bersetuju dengan hujahan Pihak Ketiga bahawa permohonan sebegini, tanpa justifikasi kukuh, berpotensi mengganggu jadual perbicaraan, memanjangkan prosiding dan menjejaskan keadilan prosedur kepada pihak ketiga. 53. Oleh yang demilinan dapatan bagi Isu (4) ini adalah Permohonan ini adalah lewat dan bercanggah dengan prinsip pengurusan kes yang cekap dan teratur. Isu 5 - Sama ada permohonan ini bersifat menindas atau merupakan satu ‘fishing expedition’. 54. Defendan menafikan bahawa permohonan ini adalah ‘fishing expedition’ dan sekali lagi merujuk kepada kes Lim Han Ming v Lim Han Peng [2024] MLJU 1827. 55. Mahkamah menerima prinsip bahawa frasa “fishing expedition” tidak boleh digunakan secara sewenang-wenangnya. Namun, Mahkamah menegaskan bahawa apabila permohonan dibuat lewat, berskala luas, tanpa bukti relevan dan kawalan dokumen serta mensasarkan Pihak Ketiga, maka Mahkamah berhak meneliti sama ada permohonan tersebut sebenarnya bertujuan mencari kemungkinan kes, bukannya menyokong isu yang telah diplidkan dengan jelas. 56. Dalam keadaan ini, Mahkamah bersetuju dengan Pihak Ketiga bahawa permohonan tersebut akan mengenakan beban dan penindasan yang tidak wajar terhadap Pihak Ketiga. . Maka dapatan Isu (5) ialah Permohonan Defendan adalah menindas dan pada keseluruhannya menyerupai ‘fishing expedition’, dan oleh itu tidak wajar dibenarkan. KESIMPULAN ANALISIS 57. Setelah menimbangkan Isu (1) hingga Isu (5) secara kumulatif, Mahkamah mendapati bahawa Defendan telah gagal memenuhi keperluan substantif dan prosedur di bawah Aturan 24 KKM 2012 untuk mendapatkan perintah penzahiran dokumen terhadap Pihak Ketiga. 58. Setelah menimbangkan permohonan Defendan di Lampiran 113 secara menyeluruh, Mahkamah ini mendapati bahawa walaupun Mahkamah mempunyai kuasa di bawah Aturan 24 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 untuk mengarahkan penzahiran dokumen, kuasa tersebut adalah bersifat budi bicara dan tertakluk kepada pematuhan keperluan substantif dan prosedur yang ketat, khususnya apabila penzahiran dimohon terhadap pihak ketiga. 59. Mahkamah mendapati Defendan gagal membuktikan bahawa dokumen-dokumen yang dimohon adalah relevan dan perlu secara langsung kepada isu-isu sebenar dalam tindakan utama. Kewujudan rantaian bekalan yang sama tidak dengan sendirinya menjadikan kontrak atau dokumen pihak ketiga relevan kepada liabiliti Defendan terhadap Plaintif. 60. Mahkamah juga mendapati Defendan tidak mengemukakan keterangan yang mencukupi untuk menunjukkan bahawa dokumen-dokumen yang dimohon berada dalam milikan, jagaan atau kuasa Pihak Ketiga, sebagaimana dikehendaki di bawah Aturan 24 KKM 2012. 61. Dari sudut prosedur, Mahkamah berpuas hati bahawa permohonan ini telah difailkan secara lewat, selepas arahan PTCM dikeluarkan dan pada peringkat hampir perbicaraan, tanpa justifikasi yang memadai. Kelewatan ini berpotensi mengganggu pengurusan kes dan menjejaskan keadilan prosedur, khususnya terhadap Pihak Ketiga. 62. Secara kumulatif, Mahkamah mendapati permohonan Defendan di Lampiran 113 adalah tidak seimbang, berisiko menindas Pihak Ketiga, dan pada keseluruhannya menyerupai suatu ‘fishing expedition’. Permohonan tersebut tidak memenuhi kehendak yang diperlukan untuk membenarkan penzahiran dokumen terhadap Pihak Ketiga di bawah Aturan 24 KKM 2012. KEPUTUSAN DAN PERINTAH MAHKAMAH 63. Atas alasan-alasan di atas, Mahkamah dengan ini memerintahkan seperti berikut: (1) Permohonan Defendan bagi penzahiran dokumen terhadap Pihak Ketiga di bawah Lampiran 113 adalah DITOLAK. (2) Kos adalah kos dalam kausa. BERTARIKH: 23 FEBRUARI 2026 t.t MANIRA BINTI MOHD NOR PESURUHJAYA KEHAKIMAN MAHKAMAH TINGGI SIVIL 4 JOHOR BAHRU Peguam Bagi Pihak Plaintif Justin Wee bersama Chee Ai Dee Tetuan Justin Wee Kuala Lumpur Peguam Bagi Pihak Defendan Raja, Teoh Cheong dan Ng Si Tetuan Raja, Daryl & Loh Kuala Lumpur Peguam Bagi Pihak Ketiga Param Tetuan Clarence Edwin Law Office, Johor Bahru