Lampiran
Lampiran 112, termasuk tetapi tidak terhad kepada dokumen kontraktual, rekod komunikasi dan dokumen sokongan lain yang menurut Defendan berkaitan dengan isu-isu yang dipertikaikan dalam tindakan ini; (b) suatu perintah supaya Plaintif mengemukakan salinan dokumen-dokumen tersebut kepada Defendan dalam tempoh yang ditetapkan oleh Mahkamah, atau sebaliknya membenarkan pemeriksaan terhadap dokumen-dokumen berkenaan; (c) sebagai alternatif atau tambahan, suatu perintah supaya Plaintif mengesahkan melalui afidavit kewujudan atau ketiadaan dokumen-dokumen yang dipohon, termasuk penjelasan sekiranya dokumen tersebut tidak lagi berada dalam milikan, jagaan atau kawalan Plaintif; dan (d) kos permohonan ini dan apa-apa relif lanjut atau lain-lain perintah yang Mahkamah Yang Mulia ini fikirkan adil dan saksama. 13. Intipati permohonan Defendan adalah bahawa penzahiran dokumen-dokumen tersebut adalah perlu bagi membolehkan Defendan memahami dan mencabar kes Plaintif dengan lebih berkesan, serta bagi memastikan pelupusan yang adil terhadap isu-isu yang timbul dalam tindakan ini. HUJAHAN PIHAK-PIHAK (i) Hujahan Defendan 14. Defendan berhujah bahawa permohonan penzahiran dokumen di Lampiran 112 adalah berasaskan peruntukan Aturan 24 KKM 2012 dan bertujuan untuk memastikan pelupusan adil terhadap isu-isu yang dipertikaikan dalam tindakan ini. Menurut Defendan, dokumen-dokumen yang dipohon adalah relevan, material dan perlu bagi membolehkan Defendan memahami sepenuhnya kes Plaintif serta menyediakan pembelaan yang berkesan. 15. Defendan selanjutnya berhujah bahawa dokumen-dokumen tersebut berada dalam milikan, jagaan atau kawalan Plaintif, dan bahawa kegagalan Plaintif menzahirkan dokumen- dokumen berkenaan akan menyebabkan prejudis kepada Defendan dalam pembelaannya. (ii) Hujahan Plaintif 16. Plaintif, sebaliknya, membantah permohonan Defendan dan berhujah bahawa Defendan gagal memenuhi keperluan undang-undang bagi penzahiran dokumen di bawah Aturan 24 KKM 2012. Plaintif menegaskan bahawa permohonan Defendan adalah terlalu luas, tidak relevan secara langsung kepada isu sebenar dalam tindakan ini, dan bersifat satu percubaan untuk mencari bukti bagi membina kes Defendan. 17. Plaintif juga berhujah bahawa permohonan tersebut adalah pramatang, lewat, berpotensi melengahkan prosiding, serta tidak selaras dengan prinsip pengurusan kes yang cekap dan adil. 18. Mahkamah ini akan meneliti hujahan-hujahan pihak-pihak tersebut secara terperinci di bawah bahagian Analisis Dan Dapatan Mahkamah. ISU-ISU UNTUK DIPUTUSKAN 19. Berdasarkan permohonan di Lampiran 112, afidavit-afidavit dan hujahan bertulis pihak-pihak, isu-isu yang perlu diputuskan oleh Mahkamah ini adalah seperti berikut: Isu (i) sama ada Mahkamah ini mempunyai kuasa dan asas yang mencukupi di bawah Aturan 24 KKM 2012 untuk memerintahkan penzahiran dokumen terhadap Plaintif; Isu (ii) sama ada dokumen-dokumen yang dimohon oleh Defendan adalah relevan dan perlu (relevant and necessary)kepada isu-isu sebenar yang timbul dalam tindakan utama; Isu (iii) sama ada Defendan telah membuktikan bahawa dokumen-dokumen yang dimohon berada dalam milikan, jagaan atau kawalan Plaintif; Isu (iv) sama ada permohonan Defendan di Lampiran 112 telah difailkan secara lewat, pramatang atau bercanggah dengan prinsip pengurusan kes Mahkamah; Isu (v) sama ada permohonan tersebut bersifat terlalu luas, menindas atau merupakan satu ‘fishing expedition’; dan Isu (vi) sama ada, secara keseluruhan, permohonan Defendan wajar dibenarkan dalam pelaksanaan budi bicara Mahkamah. ANALISIS DAN DAPATAN MAHKAMAH 20. Mahkamah ini meneliti permohonan Defendan di Lampiran 112 berdasarkan isu-isu yang telah dirumuskan, dengan merujuk kepada afidavit-afidavit, hujahan bertulis serta ikatan otoriti yang dikemukakan oleh pihak-pihak, dan berpandukan peruntukan Aturan 24 KKM 2012. Isu (i): Kuasa dan asas Mahkamah di bawah Aturan 24 KKM 2012 21. Tidak dipertikaikan bahawa Mahkamah mempunyai kuasa di bawah Aturan 24 KKM 2012 untuk memerintahkan penzahiran dokumen antara pihak-pihak. Namun, sebagaimana dihujahkan oleh Plaintif dan ditegaskan dalam autoriti yang dirujuk, kuasa tersebut adalah bersifat budi bicara dan bukan suatu hak automatik kepada pihak yang memohon. 22. Dalam kes Yekambaran s/o Marimuthu v Malayawata Steel Bhd [1994] 2 MLJ 307 (HC), Mahkamah menegaskan bahawa sebelum suatu perintah penzahiran boleh dibuat, pihak yang memohon hendaklah terlebih dahulu meletakkan asas yang jelas berhubung (i) kewujudan dokumen, (ii) kerelevanan dokumen tersebut kepada isu dalam tindakan, dan (iii) bahawa dokumen tersebut berada dalam milikan, jagaan atau kawalan pihak yang terhadapnya perintah dipohon. Prinsip ini menunjukkan bahawa kuasa Mahkamah di bawah Aturan 24 hanya boleh digerakkan apabila kehendak undang-undang tersebut dipenuhi. 23. Oleh itu, Mahkamah menerima hujahan Plaintif bahawa beban terletak sepenuhnya ke atas Defendan untuk menunjukkan bahawa permohonan ini memenuhi kehendak undang-undang dan wajar dari segi keadilan prosedur. Kegagalan untuk melepasi kehendak awal ini dengan sendirinya mencukupi untuk menolak permohonan. Isu (ii): Relevan dan keperluan dokumen yang dimohon 24. Defendan berhujah bahawa dokumen-dokumen yang dipohon adalah relevan dan perlu bagi membolehkan Defendan memahami serta mencabar kes Plaintif. Walau bagaimanapun, Mahkamah bersetuju dengan hujahan Plaintif bahawa ujian yang terpakai bukan sama ada dokumen tersebut mungkin berguna, tetapi sama ada ia relevan secara langsung dan perlu kepada isu sebenar yang timbul daripada pliding. 25. Prinsip ini telah ditegaskan oleh Mahkamah Persekutuan dalam kes Eco Horizon Sdn Bhd v Occupants of the Arulmigu Sri Maha Muthu Mariamman Temple & Ors [2017] 5 MLJ 1 (FC), di mana Mahkamah Persekutuan menegaskan bahawa proses penzahiran tidak boleh digunakan untuk membolehkan pihak yang memohon mencari bukti bagi membina kesnya, sebaliknya mesti terhad kepada dokumen yang benar-benar perlu bagi pelupusan adil pertikaian. 26. Mahkamah juga mengambil maklum pendirian Defendan yang merujuk kepada kes Lim Han Ming v Lim Han Peng [2024] MLJU 1827, bahawa penzahiran tidak boleh ditolak semata-mata atas alasan ‘fishing expedition’. Namun demikian, kes tersebut menegaskan bahawa dokumen yang dimohon mestilah dikenal pasti dengan munasabah dan dikaitkan secara jelas dengan isu sebenar dalam pertikaian. 27. Dalam kes ini, Mahkamah mendapati Defendan gagal memperincikan bagaimana setiap kategori dokumen yang dipohon akan memberi kesan langsung kepada penentuan liabiliti atau isu material yang perlu diputuskan. Permohonan Defendan bersifat luas dan umum, dan tidak menunjukkan keperluan sebenar (‘necessity’) sebagaimana dikehendaki oleh Aturan 24. Isu (iii): Milikan, jagaan atau kawalan dokumen oleh Plaintif 28. Mahkamah kembali kepada prinsip yang dihuraikan dalam kes Yekambaran s/o Marimuthu v Malayawata Steel Bhd [1994] 2 MLJ 307, bahawa suatu perintah penzahiran tidak boleh dibuat kecuali pihak yang memohon menunjukkan bahawa dokumen tersebut berada dalam milikan, jagaan atau kawalan pihak yang disasarkan. 29. Dalam kes ini, Mahkamah mendapati Defendan hanya bergantung kepada kenyataan umum dalam afidavit sokongannya bahawa dokumen-dokumen tersebut berada dalam kawalan Plaintif. Tiada keterangan khusus dikemukakan untuk menyokong dakwaan tersebut, sama ada melalui pengenalpastian dokumen, konteks penciptaannya, atau hubungan kawalan yang jelas. 30. Mahkamah bersetuju dengan hujahan Plaintif bahawa andaian semata-mata tidak mencukupi untuk memenuhi keperluan Aturan 24, dan kegagalan ini adalah fatal kepada permohonan Defendan. 31. Selain kegagalan dari sudut prinsip undang-undang, Mahkamah mendapati bahawa berdasarkan fakta kes ini, Defendan juga gagal menunjukkan keperluan faktual sebenar untuk dokumen-dokumen yang dimohon daripada Plaintif. Daripada Notis Permohonan dan afidavit sokongan, permohonan Defendan tertumpu kepada dokumen-dokumen yang bersifat umum, meliputi rekod dalaman, komunikasi dan dokumen sokongan yang luas tanpa pengenalpastian khusus terhadap dokumen yang dikatakan material. 32. Mahkamah mendapati bahawa Defendan tidak menjelaskan dengan terperinci bagaimana dokumen-dokumen tersebut akan: (a) membuktikan atau menafikan mana-mana elemen liabiliti yang telah diplidkan; (b) menyokong mana-mana pembelaan khusus yang telah difailkan; atau (c) menjejaskan kedudukan fakta yang telah pun diketahui atau diakui dalam pliding. 33. Sebaliknya, apa yang dapat disimpulkan daripada permohonan Defendan ialah suatu usaha untuk mendapatkan gambaran menyeluruh terhadap kes Plaintif melalui proses penzahiran, tanpa terlebih dahulu meletakkan asas pembelaan yang jelas dan spesifik. Pendekatan sedemikian adalah bercanggah dengan fungsi sebenar Aturan 24 KKM 2012, yang bukan bertujuan untuk membolehkan satu pihak meneroka dokumen pihak lawan bagi mengenal pasti kemungkinan hujahan baharu. 34. Mahkamah juga mengambil kira bahawa sebahagian besar dokumen yang dimohon oleh Defendan adalah berkaitan dengan urusan dalaman Plaintif dan komunikasi yang, pada peringkat ini, tidak mempunyai kaitan langsung dengan isu liabiliti yang perlu diputuskan. Membenarkan penzahiran sedemikian akan memperluaskan skop perbicaraan secara tidak wajar dan mengalihkan fokus Mahkamah daripada isu sebenar yang telah diplidkan. 35. Dalam konteks ini, Mahkamah berpuas hati bahawa kegagalan Defendan untuk mengaitkan setiap kategori dokumen yang dimohon kepada isu material tertentu dalam kes ini merupakan satu kecacatan substantif yang tidak boleh diperbetulkan melalui pelaksanaan budi bicara Mahkamah. Isu (iv): Kelewatan, pramatang dan pengurusan kes 36. Mahkamah seterusnya mempertimbangkan hujahan Plaintif bahawa permohonan ini difailkan pada peringkat lanjut prosiding, selepas pliding ditutup dan apabila kes telah bersedia untuk dibicarakan. Prinsip yang dirujuk oleh Plaintif adalah bahawa permohonan penzahiran seharusnya dibuat seawal mungkin dan selaras dengan pengurusan kes yang cekap. 37. Selaras dengan pendekatan Mahkamah Persekutuan dalam kes Eco Horizon (supra), Mahkamah mesti mengawal prosiding bagi mengelakkan kelewatan yang tidak perlu dan penggunaan proses Mahkamah secara tidak wajar. Dalam kes ini, Defendan tidak memberikan justifikasi munasabah mengapa permohonan ini tidak difailkan lebih awal. 38. Mahkamah berpuas hati bahawa membenarkan permohonan ini pada peringkat ini berpotensi melengahkan prosiding dan bercanggah dengan objektif pengurusan kes di bawah Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012. Isu (v): Penindasan dan “fishing expedition” 39. Mengambil kira skop dokumen yang dipohon, Mahkamah bersetuju dengan hujahan Plaintif bahawa permohonan Defendan mempunyai ciri-ciri satu fishing expedition. Walaupun kes Lim Han Ming v Lim Han Peng [2024] MLJU 1827 menegaskan bahawa frasa tersebut tidak boleh digunakan secara sewenang-wenangnya, Mahkamah menegaskan bahawa penzahiran hanya wajar apabila dokumen dikenal pasti dan relevan secara nyata. 40. Dalam kes ini, permohonan Defendan adalah terlalu luas dan tidak seimbang, dan akan mengenakan beban yang tidak wajar ke atas Plaintif. Proses penzahiran tidak boleh digunakan sebagai alat untuk menekan pihak lawan atau untuk mencuba mendapatkan keterangan bagi membina kes yang masih bersifat spekulatif. Isu (vi): Budi bicara keseluruhan Mahkamah 41. Setelah menimbang kesemua isu di atas secara kumulatif, Mahkamah mendapati Defendan telah gagal memenuhi keperluan substantif dan prosedur di bawah Aturan 24 KKM 2012. 42. Selaras dengan prinsip-prinsip yang ditegaskan dalam Yekambaran s/o Marimuthu v Malayawata Steel Bhd [1994] 2 MLJ 307, Eco Horizon Sdn Bhd v Occupants of the Arulmigu Sri Maha Muthu Mariamman Temple & Ors [2017] 5 MLJ 1 (FC) dan Lim Han Ming v Lim Han Peng [2024] MLJU 1827, Mahkamah ini menggunakan budi bicara kehakimannya untuk menolak permohonan Defendan di Lampiran 112 dengan kos di dalam kausa. RUMUSAN DAN KESIMPULAN 43. Berdasarkan analisis dan dapatan Mahkamah terhadap Isu (i) hingga Isu (vi) di atas, Mahkamah mendapati bahawa walaupun Mahkamah ini mempunyai kuasa di bawah Aturan 24 KKM 2012 untuk mengarahkan penzahiran dokumen, kuasa tersebut adalah bersifat budi bicara dan hanya boleh dilaksanakan apabila syarat-syarat undang-undang dipenuhi. 44. Bagi Isu (i), Mahkamah berpuas hati bahawa Defendan gagal meletakkan asas yang mencukupi untuk menggerakkan kuasa Mahkamah di bawah Aturan 24 KKM 2012, memandangkan permohonan ini tidak disokong oleh justifikasi yang memenuhi kehendak kerelevanan, keperluan dan keadilan prosedur. 45. Berhubung Isu (ii), Mahkamah mendapati Defendan gagal menunjukkan bahawa dokumen-dokumen yang dimohon adalah relevan dan perlu secara langsung kepada isu sebenar yang timbul daripada pliding. Permohonan tersebut tidak melepasi ujian ‘necessity’ sebagaimana ditegaskan dalam autoriti yang dirujuk oleh pihak-pihak. 46. Bagi Isu (iii) pula, Mahkamah mendapati Defendan tidak membuktikan bahawa dokumen-dokumen yang dimohon berada dalam milikan, jagaan atau kawalan Plaintif. Kegagalan ini adalah fatal kepada permohonan penzahiran di bawah Aturan 24 KKM 2012. 47. Dari sudut Isu (iv), Mahkamah berpuas hati bahawa permohonan ini telah difailkan pada peringkat lanjut prosiding tanpa justifikasi munasabah, dan membenarkan permohonan tersebut akan bercanggah dengan prinsip pengurusan kes yang cekap serta berpotensi melengahkan pelupusan tindakan utama. 48. Berkenaan Isu (v), Mahkamah mendapati skop permohonan Defendan adalah terlalu luas dan mempunyai ciri-ciri suatu ‘fishing expedition’, yang tidak dibenarkan oleh undang-undang dan tidak selari dengan fungsi sebenar proses penzahiran. 49. Setelah menilai kesemua isu tersebut secara kumulatif di bawah Isu (vi), Mahkamah mendapati bahawa permohonan Defendan di Lampiran 112 adalah tidak bermerit dan tidak wajar dibenarkan dalam pelaksanaan budi bicara kehakiman. KEPUTUSAN DAN PERINTAH 50. Sehubungan itu, Mahkamah ini dengan ini memerintahkan bahawa: (a) Permohonan Defendan bagi penzahiran dokumen terhadap Plaintif di Lampiran 112 adalah DITOLAK; (b) Kos adalah kos dalam kausa. BERTARIKH: 23 FEBRUARI 2026 t.t MANIRA BINTI MOHD NOR PESURUHJAYA KEHAKIMAN MAHKAMAH TINGGI SIVIL 4 JOHOR BAHRU Peguam Bagi Pihak Plaintif Justin Wee bersama Chee Ai Dee Tetuan Justin Wee Kuala Lumpur Peguam Bagi Pihak Defendan Raja, Teoh Cheong dan Ng Si Tetuan Raja, Daryl & Loh Kuala Lumpur Peguam Bagi Pihak Ketiga Param Tetuan Clarence Edwin Law Office, Johor Bahru