Content
1 DI DALAM MAHKAMAH MAJISTRET DI KUANTAN DALAM NEGERI PAHANG GUAMAN SIVIL: CA-A73KJ-180-062022 ANTARA GUNASAKARAN A/L SHAMUGAM [NO. KAD PENGENALAN: 761208-01-6383] PLAINTIF DAN MUHAMMAD ZAMRI BIN MD NOOR [NO. KAD PENGENALAN: 650724-07-5329]
CA-A73KJ-180-06/2022
Magistrates Court of Malaysia30 Sept 2024
The written judgment as the court issued it, with the coram, case number, and source links. Every paragraph has its own anchor.
Citations and treatment detected automatically from later judgments and the authorities this decision relies on.
Later cases and laws citing this decision
Not yet cited by a later decision.
Earlier cases and laws this decision relies on
“verify the originality of this document via eFILING portal 6 “[12] It is settled law that the burden of proof rests throughout the trial on the party who asserts that the facts exist (s. 101 of the Evidence Act 1950). Where a party on whom the burden of proof lies has discharged that burden, then the evidential burden”
Auto-detected from judgment text; not a substitute for a citator check.
Content
1 DI DALAM MAHKAMAH MAJISTRET DI KUANTAN DALAM NEGERI PAHANG GUAMAN SIVIL: CA-A73KJ-180-062022 ANTARA GUNASAKARAN A/L SHAMUGAM [NO. KAD PENGENALAN: 761208-01-6383] PLAINTIF DAN MUHAMMAD ZAMRI BIN MD NOOR [NO. KAD PENGENALAN: 650724-07-5329]
1
Rayuan ini dikemukakan oleh Defendan-Defendan berhubung dengan keputusan Mahkamah yang telah membenarkan tuntutan Plaintif sebanyak RM29,345.00. Kes ini telah melalui perbicaraan penuh di mana Plaintif mengemukakan empat orang saksi, manakala Defendan-Defendan hanya mengemukakan seorang saksi.
2
Setelah meneliti dengan teliti keterangan saksi-saksi yang dipanggil, serta mempertimbangkan hujah-hujah yang dibentangkan oleh kedua-dua pihak, Mahkamah, setelah menilai kes ini berdasarkan imbangan kebarangkalian, telah memutuskan untuk membenarkan tuntutan Plaintif. Alasan-alasan yang menyokong keputusan ini akan dijelaskan secara terperinci dalam perenggan-perenggan seterusnya.
3
Plaintif (selepas ini dirujuk sebagai SP2) adalah pemilik berdaftar dan penunggang motorsikal No. Pendaftaran CEC 5077 dan mempunyai alamat penyampaian di A-3, Tingkat 1, Lorog Tun Ismail 10, Jalan Tun Ismail, 25000 Kuantan, Pahang Darul Makmur.
4
Defendan-Pertama adalah pemilik berdaftar dan pemandu motorkar No. Pendaftaran WJR 441 dan mempunyai alamat penyampaian di 11A, Jalan Maju, Taman Hj Abdullah Fahim, 13200 Kepala Batas, Pulau Pinang.
5
Defendan-Kedua (selepas ini dirujuk sebagai SD1) adalah pemandu motorkar No. Pendaftaran WJR 441 dan mempunyai alamat penyampaian di 11A, Jalan Maju, Taman Hj Abdullah Fahim, 13200 Kepala Batas, Pulau Pinang.
6
Pada 5 November 2020, sekitar jam 2.34 petang, SP2 sedang menunggang motosikalnya dari Bandar Kuantan menuju Jalan Air Putih. Setibanya di lampu isyarat Teluk Sisek, Tanjung Lumpur, lampu isyarat bertukar merah dan SP2 berhenti. Kemudian, SP2 mendengar siren ambulans dan bergerak ke hadapan untuk memberi laluan kepada ambulans dengan memasuki petak kuning.
7
Pada waktu yang sama, SD1, yang memandu keretanya, mendakwa lampu isyarat menunjukkan hijau dan beliau meneruskan perjalanan. Tiba-tiba, motosikal Plaintif yang datang dari arah simpang kanan melanggar bahagian hadapan sebelah kanan keretanya dan menyebabkan satu kemalangan berlaku.
8
SP2 dalam kes ini menyatakan bahawa pada 5 November 2020, kira-kira jam 2.34 petang, beliau sedang menunggang motorsikalnya dari Bandar Kuantan menuju ke Jalan Air Putih. Apabila sampai di lampu isyarat Teluk Sisek, Tanjung Lumpur, lampu isyarat bertukar merah dan SP2 berhenti di tempat yang sepatutnya. Pada ketika itu, SP2 mendengar bunyi siren ambulans yang datang dari arah belakang. SP2 menyatakan beliau mengikut peraturan jalan raya di mana semua kenderaan yang berada di hadapan ambulans perlu memberi laluan dan bergerak.
9
Namun, pada ketika SP2 berada di dalam petak kuning, tiba-tiba SD1, yang memandu keretanya, dengan cuai telah keluar dari simpang lampu isyarat sebelah kiri dan melanggar motorsikal SP2. SD1 didakwa gagal mengawal kenderaannya dengan betul, menyebabkan perlanggaran berlaku.
10
Akibat daripada kemalangan tersebut, SP2 mengalami kecederaan parah, kesakitan yang berpanjangan, kesengsaraan, serta kerugian dan kehilangan kegunaan ke atas motorsikalnya. SP2 juga menegaskan bahawa kemalangan tersebut berlaku disebabkan oleh kecuaian SD1 yang tidak mengikut peraturan lalu lintas dan gagal memberi perhatian semasa memandu.
11
Sebaliknya, SD1 menyatakan bahawa pada waktu kejadian, beliau sampai di lampu isyarat simpang empat Teluk Sisek ketika lampu isyarat menunjukkan warna hijau. SD1 dengan berhati-hati meneruskan perjalanan. Namun, tiba-tiba sebuah motorsikal yang ditunggang oleh SP2, yang dikatakan datang dari arah simpang kanan, terus melanggar bahagian hadapan sebelah kanan kenderaan SD1.
12
Defendan-Defendan menegaskan bahawa kemalangan tersebut bukan disebabkan oleh kecuaian SD1, tetapi disebabkan oleh tindakan SP2 yang tidak berhati-hati semasa menunggang motorsikal. SD1 mendakwa bahawa pada waktu yang material, SP2 tidak mengawal motorsikal dengan baik dan membuat pergerakan yang tidak dijangka, yang menyebabkan perlanggaran tersebut berlaku. SD1 juga berpendapat bahawa jika SP2 mematuhi peraturan jalan raya dengan lebih berhati-hati, kemalangan itu mungkin dapat dielakkan.
13
Dalam pertimbangan kes ini, Mahkamah terlebih dahulu merujuk kepada prinsip asas yang terkandung dalam Seksyen 101(1) Akta Keterangan 1950 berkenaan dengan beban pembuktian. Seksyen 101(1) menyatakan bahawa seseorang membuat tuntutan berdasarkan kewujudan sesuatu fakta, adalah diwajibkan untuk membuktikan fakta tersebut. Dengan erti kata lain, beban pembuktian terletak sepenuhnya di 5 atas pihak yang mendakwa kewujudan fakta tersebut. Seksyen 101 (1) Akta Keterangan 1950 menyatakan seperti berikut: “(1) Sesiapa yang berhasrat supaya mana-mana mahkamah memberikan penghakiman tentang apa-apa hak atau tanggungan di sisi undang-undang, dengan bergantung kepada kewujudan fakta yang ditegaskan olehnya, mestilah membuktikan bahawa fakta itu wujud.
2
Apabila seseorang terikat untuk membuktikan kewujudan apa-apa fakta, dikatakan bahawa beban membuktikan terletak pada orang itu.” [14] Di dalam kes di Mahkamah Persekutuan iaitu WONG THIN YIT V. MOHAMED ALI [1971] 1 LNS 151; [1971] 2 MLJ 175, Mahkamah telah menyatakan seperti berikut: "In a negligence action the onus of proof rests wholly on the plaintiff, whether or not the defendant gives evidence. The plaintiff cannot succeed without proof of the defendant's negligence.." [15] Selain itu juga, Mahkamah ini adalah terikat untuk mengaplikasi prinsip yang telah dinyatakan di dalam kes Mahkamah Persekutuan iaitu HONG YIK TRADING v. LIZIZ PLANTATION SDN BHD [2017] 8 CLJ 491 yang telah menggariskan pemakaian Seksyen 101 (1) Akta Keterangan 1950 seperti berikut: “[12] It is settled law that the burden of proof rests throughout the trial on the party who asserts that the facts exist (s. 101 of the Evidence Act 1950). Where a party on whom the burden of proof lies has discharged that burden, then the evidential burden shifts to the other party. However, if the party on whom the burden of proof lies fails to discharge it, the other party need not call any evidence.” [16] Prinsip ini juga ditegaskan dalam kes SELVADURAY V. CHINNIAH [1939] 1 LNS 107; [1939] 1 MLJ 253, di mana Mahkamah menegaskan bahawa sekiranya pada akhir perbicaraan, tiada bukti yang mencukupi untuk menyokong tuntutan Plaintif, maka tuntutan tersebut perlu ditolak. Dalam kes ini, sekiranya Plaintif gagal membuktikan bahawa kecuaian Defendan-Defendan menyebabkan kemalangan tersebut, maka tuntutan Plaintif harus ditolak. [17] Oleh itu, prinsip yang terpakai di dalam kes ini adalah bahawa Plaintif, sebagai pihak yang menuntut, wajib membuktikan dengan jelas dan meyakinkan bahawa kecuaian Defendan-Defendan telah menyebabkan kemalangan yang berlaku. Setelah Plaintif memenuhi beban pembuktian awal ini, maka beban pembuktian beralih kepada Defendan-Defendan untuk menyangkal atau mematahkan bukti yang dikemukakan oleh Plaintif. Jika Defendan-Defendan gagal membuktikan sebaliknya, maka tuntutan Plaintif akan dibenarkan. Mahkamah ini akan menilai sama ada Plaintif telah membuktikan kesnya dan sama ada Defendan-Defendan berjaya mematahkan dakwaan tersebut. ISU LIABILITI [18] Mahkamah telah mendengar keterangan-keterangan saksi dan mengambil kira hujahan pihak-pihak yang terlibat. Isu utama yang perlu diputuskan ialah sama ada Defendan-Defendan bertanggungjawab sepenuhnya atau sebahagian terhadap kemalangan tersebut. Ini merupakan penilaian Mahkamah terhadap keterangan saksi-saksi yang dikemukakan. i) Keterangan Pegawai Penyiasat (SP1) [19] Dalam menilai keterangan yang diberikan oleh Pegawai Penyiasat (selepas ini dirujuk sebagai SP1), Mahkamah mengambil kira bahawa SP1 telah memberikan keterangan berdasarkan siasatannya terhadap kemalangan yang berlaku, serta merujuk kepada Rajah Kasar dan Kekunci yang ditanda sebagai Eksibit P1 (A-B). SP1 menjelaskan bahawa arah perjalanan SP2 adalah dari arah kanan ke kiri, manakala SD1 datang dari arah bawah menuju ke atas. SP1 seterusnya menyatakan bahawa kemalangan berlaku apabila SP2, selepas mendengar bunyi siren ambulans dan arahan untuk memberi laluan, meneruskan perjalanannya walaupun pada ketika itu lampu isyarat di hadapan beliau masih merah. Kemalangan itu berlaku apabila motorsikal SP2 bertembung dengan motorkar SD1 yang datang dari arah kiri, di mana lampu isyarat di laluan SD1 adalah hijau. [20] Dalam penjelasannya, SP1 turut mengesahkan bahawa kawasan laluan di tempat kejadian mempunyai tiga lorong dan ada ruang untuk SP2 mengubah kedudukan motosikalnya untuk memberi laluan kepada ambulans tanpa perlu meneruskan perjalanan. Berdasarkan siasatan yang dijalankan, SP1 menyatakan bahawa kecuaian SP2 terletak pada tindakan beliau melanggar lampu isyarat merah, yang mana menyebabkan kemalangan tersebut berlaku, suatu pelanggaran yang dikenakan berdasarkan Kaedah 17 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (LM167/59). Gambar 1: Tempat perlanggaran ditandakan sebagai “X” (Nota: Diperolehi daripada hujahan bertulis Plaintif daripada aplikasi googlemaps bagi gambaran yang tepat) ii) Keterangan (SP2) [21] Berdasarkan keterangan yang diberikan oleh SP2, beliau menyatakan bahawa pada 5 November 2020, kira-kira jam 2.34 petang, beliau sedang menunggang motosikal dari Bandar Kuantan menuju ke Jalan Air Putih. Ketika tiba di lampu isyarat Teluk Sisek, Tanjung Lumpur, lampu isyarat bertukar merah, dan SP2 berhenti di tempat yang ditetapkan. Ketika berhenti, SP2 mendengar bunyi siren ambulans dari arah belakang. SP2 menjalankan tanggungjawabnya memberi laluan kepada ambulans dengan bergerak ke hadapan bersama-sama kenderaan lain di hadapannya, meskipun lampu isyarat masih berwarna merah. [22] Namun demikian, sewaktu berada di dalam petak kuning, sebuah kenderaan yang dipandu oleh SD1 keluar dari simpang lampu isyarat di sebelah kiri dan melanggar motosikal SP2. Akibat pelanggaran tersebut, SP2 mengalami kecederaan parah dan motosikalnya mengalami kerosakan serius. Keterangan SP2 menyatakan bahawa kemalangan tersebut berpunca daripada kecuaian SD1 yang gagal mengawal kenderaannya serta tidak memberi perhatian sewajarnya kepada keadaan lalu lintas. [23] Berdasarkan bukti yang dikemukakan, Mahkamah mendapati bahawa tindakan SP2 untuk bergerak ke hadapan adalah akibat keperluan mendesak bagi memberi laluan kepada ambulans. Walau bagaimanapun, tindakan tersebut tetap melibatkan pelanggaran lampu isyarat merah, yang mengakibatkan SP2 disaman di bawah Kaedah 17 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (LM167/59). iii) Keterangan (SD1) [24] SD1 menyatakan bahawa beliau sedang memandu dari arah Jalan Beserah menuju ke Pekan melalui lampu isyarat di kawasan Teluk Sisek/Tanjung Lumpur. Beliau mengesahkan bahawa ketika itu lampu isyarat di laluannya menunjukkan warna hijau, dan oleh itu, beliau meneruskan perjalanan seperti biasa. [25] Apabila kenderaan SD1 berada di dalam petak kuning, secara tiba-tiba, sebuah kenderaan dari arah kanan telah melanggar bahagian bumper hadapan sebelah kanan kenderaan beliau. SD1 menafikan kewujudan mana-mana kenderaan lain yang datang dari arah kanan sebelum kejadian itu berlaku. [26] Menurut SD1, ambulans hanya kelihatan selepas beliau keluar dari kenderaan untuk memeriksa keadaan pihak lain yang terlibat dalam kemalangan. SD1 turut mengesahkan bahawa lokasi pertembungan adalah di kawasan yang telah ditandakan sebagai "X" pada Rajah Kasar dan Kekunci yang dikemukakan kepada Mahkamah. UNDANG-UNDANG DAN PRINSIP YANG DIGUNAPAKAI Kredibiliti SP1 [27] Di dalam menentukan samada kenyataan daripada SP1 boleh digunapakai atau tidak, Mahkamah ini merujuk kepada satu kes di Mahkamah Tinggi di dalam kes PP V. MOHAMED ALI [1962] 1 LNS 129 yang menyatakan seperti berikut: ".....When a Police witness says something that is not inherently improbable his evidence must be in the first instance be accepted. If he says he saw a cow jumping over the moon his evidence is, of course, not to be accepted, but if he says he saw a cow wandering along one of the main streets of Kuala Lumpur (the sort of thing we all see every day of our lives) there is not the slightest justification for refusing to believe him. Of course, if his evidence is contradicted by other evidence or is shaken by cross examination then it becomes the business of the Magistrate to decide whether or not it should be accepted. In the absence of any element of inherent improbability the evidence of any witnesses whether a Police or not, who gives evidence on affirmation, should normally be accepted. (emphasized by Court)” [28] Walaupun keterangan SP1 boleh dipertikaikan melalui pemeriksaan balas, Mahkamah mendapati tidak terdapat sebarang elemen yang menunjukkan kekurangan kredibiliti dalam penyataan beliau. Oleh itu, menurut prinsip yang telah digariskan dalam kes PP V. MOHAMED ALI [1962] 1 LNS 129, Mahkamah berpendapat bahawa keterangan yang diberikan oleh SP1 adalah boleh diterima dan layak untuk dipertimbangkan oleh Mahkamah dalam membuat keputusan. Kecuaian SP2 dan telah dibawah Kaedah 17 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (LM167/59) [29] Seterusnya, Mahkamah meneliti keterangan SP2, seperti yang dinyatakan oleh SP1, SP2 telah disaman di bawah Kaedah 17 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (LM167/59). Mahkamah ingin merujuk kepada satu kes di Mahkamah Tinggi MOHD SALLEH SAMAD v. ZAINODIN DONGKING [2002] 1 CLJ 139 yang menyatakan seperti berikut: "The trial judge had misdirected himself when he held that the appellant's plea of guilty constituted prima facie evidence of the appellant's negligence. Although a plea of guilty is admissible at common law under the authority of Holington v. Hewthome, it was observed in Stupple v. Royal Insurance Co by Denning LJ that a plea of guilty is not to be regarded as conclusive and that it is open to the person who had pleaded guilty to explain in a subsequent civil trial why such a plea was made." [30] SP2 disaman, yang secara jelas menetapkan bahawa setiap pemandu atau penunggang diwajibkan mematuhi lampu isyarat semasa memandu atau menunggang. Kesalahan ini bukan sahaja melanggar peraturan lalu lintas, tetapi juga membuktikan bahawa terdapat kecuaian kepada kemalangan yang berlaku. Walaubagaimanapun, Mahkamah ini sehaluan dengan pendekatan di dalam kes di atas iaitu walaupun saman telah dikenakan ianya bukanlah bukti yang konklusif bahawa kemalangan tersebut berpunca dari kecuaian SP2 sepenuhnya. Kecuaian SD1 [31] Dalam menilai keterangan yang dikemukakan, Mahkamah mendapati terdapat percanggahan antara keterangan SP2 dan SD1. Oleh itu, Mahkamah perlu menilai keterangan manakah yang lebih konsisten dan munasabah. Berdasarkan keterangan SD1, Mahkamah berpendapat adalah tidak munasabah untuk SD1 tidak dapat melihat motosikal SP2 dari jarak jauh memandangkan keadaan jalan yang lurus. Hal ini dapat disokong oleh Rajah Kasar yang menunjukkan bahawa SP2 telah menunggang motosikalnya sehingga keluar jauh dari kawasan berhenti di simpang arah Jalan Besar dan hampir tiba di simpang masuk jalan ke arah Teluk Chempedak. Dalam masa yang sama, kedudukan SD1 adalah di simpang Jalan Beserah menuju ke Pekan, di mana jalan tersebut juga lurus ke hadapan. [32] Sekiranya, SD1 melihat keadaan sekililingnya dengan berhati-hati sudah pasti dapat mengenalpasti keberadaan SP2 dan dapat mengawal motorkarnya daripada perlanggaran itu berlaku. Mahkamah merujuk kepada kes MISKINAH JAYA & ORS. v. MOHAMED SALLEH & ANOR. [1983] 2 CLJ 267 yang menyatakan seperti berikut: “I have had no satisfactory explanation of how it came about that when the defendant denied a collision, his pleading admits it. Having expressed it as my opinion that the defendant struck me as a witness of truth, it is with some regret that I must find that his lack of knowledge of any accident must imply a finding that he was driving without due care and attention; and had not been keeping a proper look-out. On this count alone, some negligence must be laid at his door.” [33] Mahkamah turut memberi perhatian kepada keterangan senyap yang berkaitan dengan kerosakan pada kedua-dua kenderaan. Berdasarkan bukti yang dikemukakan, motosikal SP2 mengalami kerosakan seperti handle hadapan bengkok, cover set pecah, serta rim hadapan bengkok. Manakala, motokar SD1 mengalami kerosakan yang lebih ketara, iaitu melibatkan bahagian seperti bonet hadapan, bumper hadapan, grill/panel hadapan, lampu hadapan kanan, fog lamp kiri dan kanan, wiper hadapan, fender hadapan kanan, cermin hadapan, bodykit bumbung, tangki air, tangki air-cond, serta beberapa bahagian lain. [34] Berdasarkan kerosakan yang dialami oleh kedua-dua kenderaan, Mahkamah mendapati bahawa kerosakan pada motokar SD1 adalah di bahagian hadapan, seperti yang ditunjukkan dalam gambar Eksibit P2 (A-B). Gambar tersebut secara jelas mengesahkan bahawa kemalangan berlaku apabila motorsikal SP2 tersebut telah berada di lokasi kemalangan yang ditandakan sebagai “X” pada Rajah Kasar. Dengan mengambil kira bahawa kerosakan motorkar SD1 adalah di bahagian hadapan, adalah tidak munasabah untuk Mahkamah menerima keterangan SD1 yang mendakwa bahawa perlanggaran berlaku apabila SP2 datang dari arah kanan dan melanggar bahagian hadapan kanan motokarnya. Sekiranya perlanggaran benar berlaku dari arah kanan, sudah tentu kesan kerosakan yang terhasil akan berbeza. [35] Mahkamah ini merujuk kepada kes MAT DESA BIN SALLEH V. ANG HOCK LEE & ANOR [1979] 1 MLJ 241 yang menyatakan bahawa: “On the other hand, the Plaintiff’s version is substantiated by the damage to both vehicles and the sketch plan and the nature of the inuries suffered…” [36] SD1 dalam keterangannya menyatakan bahawa beliau memandu dengan kelajuan 60 km/j. Sekiranya benar kelajuan ini dikekalkan, dan memandangkan kawasan kejadian adalah kawasan yang tidak mempunyai halangan pandangan, Mahkamah berpendapat bahawa kemalangan ini sepatutnya dapat dielakkan. Dengan kelajuan yang sederhana, SD1 seharusnya berupaya memberhentikan kenderaan sebelum perlanggaran berlaku, sekiranya beliau memandu dengan perhatian yang wajar. Tambahan pula, SD1 memandu sebuah motorkar yang bersaiz lebih besar berbanding motosikal yang ditunggang oleh SP2. Saiz kenderaan yang lebih besar ini memberikan SD1 kelebihan dari segi jarak dan sudut pandangan yang lebih luas, yang menuntut beliau untuk bertindak lebih berwaspada dan berhati-hati semasa memandu. [37] Berdasarkan fakta dan keterangan yang dikemukakan, Mahkamah mendapati bahawa keterangan yang diberikan oleh SP2 adalah lebih konsisten dan munasabah (probable). Walau bagaimanapun, Mahkamah turut berpuas hati bahawa SP2 telah menyumbang kepada kecuaian apabila beliau gagal mematuhi lampu isyarat semasa menunggang motosikalnya. Dalam masa yang sama, Mahkamah mendapati SD1 juga telah bertindak cuai kerana gagal memberi perhatian sepenuhnya terhadap keadaan sekeliling, walaupun beliau berada dalam kedudukan yang lebih baik untuk mengelakkan kemalangan. Keputusan bagi liabiliti [38] Dengan mengambil kira semua keterangan serta bukti yang dikemukakan, maka, atas imbangan kebarangkalian, Mahkamah memutuskan bahawa Plaintif bertanggungjawab terhadap 30% kecuaian, manakala Defendan-Defendan bertanggungjawab terhadap 70% kecuaian dalam menyebabkan kemalangan ini. Keputusan ini dibuat dengan mempertimbangkan keterangan dan hujahan kedua-dua pihak secara adil berdasarkan sumbangan masing-masing terhadap kemalangan tersebut. ISU QUANTUM [39] Di dalam mentaksirkan nilai ganti rugi, Mahkamah mestilah memberikan award pampasan yang adil berdasarkan bukti yang kukuh. Di dalam kes di Mahkamah Persekutuan INAS FAIQAH MOHD HELMI (A CHILD SUING THROUGH HER FATHER AND NEXT FRIEND; MOHD HELMI ABDUL AZIZ) V. KERAJAAN MALAYSIA & ORS [2016] 2 CLJ 885, Abdull Hamid Embong HMP menyampaikan penghakiman mahkamah: “(1) Adalah undang-undang matan bahawa ganti rugi bertindak sebagai pampasan, bukan ganjaran dan hukuman. Dalam mentaksirkan ganti rugi, mahkamah tidak patut didorong oleh simpati dan memberikan award pampasan yang adil berdasarkan bukti yang kukuh. Mahkamah tidak boleh mengamalkan spekulasi. Penilaian keterangan yang membentukkan dasar risiko kerugian masa hadapan harus dilaksanakan. Hakim bicara hanya boleh menilaikan keterangan sedemikian berasaskan standard imbangan kebarangkalian yang telah diiktirafkan, tetapi dengan satu tahap ketentuan lebih rendah berkenaan kejadian kehilangan atau kerugian masa hadapan. Tahap lebih rendah yang dipakai itu adalah sesuai diistilahkan dengan perkataan 'possibility', 'chance', 'risk', 'danger' atau 'likelihood', tetapi, walau apa pun perkataan-perkataan yang digunakan dan semantiknya, mereka mestilah pada dasarnya bersifat substantif dan bukan spekulatif.” [40] Mahkamah juga merujuk kepada kes Mahkamah Persekutuan di dalam kes DATUK MOHD ALI HJ ABDUL MAJID & ANOR V. PUBLIC BANK BHD [2014] 6 CLJ 269 yang menyatakan seperti berikut: “[33] Therefore, in a claim for damages, it is not sufficient for the plaintiff to merely state the amount of damages that he is claiming, he must prove the damage that he had in fact suffered to the satisfaction of the court. This principle is borne out in the case of Bonham-Carter v. Hyde Park Hotel [1948] 64 TLR 177 where Lord Goddard CJ observed: Plaintiffs must understand that if they bring actions for damages it is for them to prove their damage; it is not enough to write down the particulars, and, so to speak, throw them at the head of the court, saying: 'This is what I have lost, I ask you to give me these damages'. They have to prove it. This statement was cited with approval by Edgar Joseph JR FCJ in Tan Sri Khoo Teck Puat & Anor v. Plenitude Holdings Sdn Bhd [1995] 1 CLJ 15; [1994] 3 MLJ 777.” GANTI RUGI AM [41] Mahkamah ini mentaksirkan ganti rugi berlandaskan kepada berikut: i) Laporan Perubatan dari Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan, Pahang oleh Dr. Lee Chin Yen bertarikh 10 April 2021; ii) Laporan Perubatan dari Hospital IIUM Medical Centre, Kuantan, Pahang oleh Dr. Salmah Anim binti Abu Hassan bertarikh 3 Jun 2021; iii) Laporan Perubatan dari Hospital IIUM Medical Centre, Kuantan, Pahang oleh Dr. Ng Wai King bertarikh 29 Mac 2021; iv) Keterangan SP3 – Puan Wan Nur Munirah binti Wan Abd Manan; dan v) Keterangan Dr. Lee Chin Yen. i) FRACTURE PROXIMAL PHALANX OF RIGHT INDEX FINGER [42] Plaintif di dalam kes ini telah memohon sejumlah RM13,000-00 manakala Defendan-Defendan telah memohon sejumlah RM3,000-00. Mahkamah ini merujuk kepada Revised Compendium of Personal Injury Awards (2018) menyatakan bahawa bagi kecederaan ini, jumlah yang dicadangkan adalah RM4,000-00-RM14,500-00. Di dalam kes MUHAMMAD AIMAN HAKIM BIN AMINUDIN & ANOR V. LEE WEI MENG & ANOT [2023] 2 PIR 8, Mahkamah telah mengawadkan sebanyak RM12,000.00 bagi kecederaan ini. [43] Justeru itu, sejumlah RM10,000-00 adalah munasabah dan sesuai. ii) FRACTURE BASE OF RIGHT FIFTH METATARSAL BONE [44] Plaintif di dalam kes ini telah memohon sejumlah RM10,000-00 manakala Defendan-Defendan telah memohon sejumlah RM7,000-00. Mahkamah ini merujuk kepada Revised Compendium of Personal Injury Awards (2018) menyatakan bahawa bagi kecederaan ini, jumlah yang dicadangkan adalah RM7,000-RM12,000-00. Merujuk kepada kes AHMAD ZULFENDI BIN ANUAR V. MOHD SHAHRIL BIN ABDUL RAHMAN [2021] 2 PIR 27, Mahkamah telah mengawadkan sebanyak RM10,000.00 bagi kecederaan open fracture shaft of the right 5th metatarsal bone. [45] Maka, pada hemat Mahkamah, sejumlah RM10,000-00 adalah munasabah dan sesuai. iii) ABRASION WOUND OVER BILATERAL KNEE [46] Plaintif di dalam kes ini telah memohon sejumlah RM8,000-00 manakala Defendan telah memohon sejumlah RM4,000-00. Mahkamah ini merujuk kepada Revised Compendium of Personal Injury Awards
2018
menyatakan bahawa bagi kecederaan ini, jumlah yang dicadangkan adalah RM1,300-RM5,000-00. Merujuk kepada kes PAPATHI V. AHMAD ALKIFF HAFIZI BIN ABD WAHAB [2018] 2 PIR 30, Mahkamah telah mengawadkan sebanyak RM5,000.00 bagi kecederaan open fracture shaft of the right 5th metatarsal bone. [47] Maka, pada hemat Mahkamah, sejumlah RM5,000-00 adalah munasabah dan sesuai. iv) NON HEALING WOUND OVER DORSAL ASPECT OF RIGHT 5TH TOE [48] Plaintif di dalam kes ini telah memohon sejumlah RM8,000-00 manakala Defendan-Defendan tidak berhujah berkenaan kecederaan ini. Merujuk kepada kes SALISAH BT ZAINUDDIN & 2 ORS V. ABDUL AHMAD BIN SALLEH & 2 ORS [2022] 2 PIR 58, Mahkamah telah mengawadkan sebanyak RM10,000.00 bagi kecederaan deep laceration wound over the scalp. [49] Maka, pada hemat Mahkamah, sejumlah RM3,000-00 adalah munasabah dan sesuai. GANTI RUGI KHAS [50] Di dalam menentukan jumlah yang patut diberikan, Mahkamah ini menggunakan prinsip yang diketengahkan di dalam kes Mahkamah Persekutuan iaitu NGOOI KU SIONG & ANOR V. AIDIL ABDULLAH [1984] 1 CLJ REP 294; [1984] 1 MLRA 200, Hakim Mahkamah Persekutuan, Syed Agil Barakbah telah menyatakan seperti berikut: - "Special damages on the other hand have to be specifically pleaded and strictly proved. They refer to past expenses and loss of earnings. The exact loss must be pleaded where the precise amount of item has become clear before the trial. Loss of future earnings or post-trial loss differs from pre-trial loss which comes under special damages. The reason that special damages have to be specifically pleaded is in order to comply with its object which is to crystallize the issue and to put the defendants on their guard and tell them what they have to meet when the case comes on trial…" a) Kos kehilangan barang-barang peribadi sebanyak RM50-00; Item ini telah dipersetujui. b) Kos dokumen polis, laporan-laporan perubatan dan JPJ sebanyak RM55-00; Item in itelah dipersetujui.’ c) Kos perbelanjaan perjalanan dan rawatan ulang alik sebanyak RM500-00; Item ini telah dipersetujui. d) Kos rawatan di Hospital UIA sebanyak RM240-00; dan Item ini telah dipersetujui. e) Kos memperbaiki motorsikal No. CEC 5077 sebanyak RM500 Plaintif telah memohon sejumlah RM 700-00 bahawa terdapat kerosakkan kenderaan seperti mana yang dinyatakan di laporan polis di P3 iaitu: i) Handle hadapan bengkok; ii) Cover set pecah; dan iii) Rim hadapan bengkok. Manakala Defendan-Defendan tidak berhujah balas, maka Mahkamah membenarkan sebanyak RM500-00 sahaja. Kesimpulan [51] Setelah meneliti keterangan saksi-saksi, eksibit-eksibit dan mengambil kira hujahan-hujahan yang telah difailkan oleh kedua-dua pihak, maka atas imbangan kebarangkalian, Mahkamah membenarkan tuntutan Plaintif seperti berikut: ISU LIABILITI: Mahkamah memutuskan bahawa Plaintif bertanggungan cuai sebanyak 30% manakala Defendan-Defendan bertanggungan cuai sebanyak 70%. ISU QUANTUM: Mahkamah membenarkan PARA 8, item a), b), c), dan d) di Pernyataan Tuntutan seperti berikut: GANTI RUGI AM 1) Fracture Proximal Phalanx of Right Index Finger dibenarkan sebanyak RM10,000-00; 2) Fracture Base of Right Fifth Metatarsal Bone dibenarkan sebanyak RM10,000-00; 3) Abrasion Wound over Bilateral Knee dibenarkan sebanyak RM5,000- 00; dan 4) Non-Healing Wound over Dorsal Aspect of Right 5th Toe dibenarkan sebanyak RM3,000-00. GANTI RUGI KHAS 1) Kos kehilangan barang-barang peribadi sebanyak RM50-00; 2) Kos dokumen polis, laporan-laporan perubatan dan JPJ sebanyak RM55-00; 3) Kos perbelanjaan perjalanan dan rawatan ulang alik sebanyak RM500- 00 4) Kos rawatan di Hospital UIA sebanyak RM240-00; dan 5) Kos memperbaiki motorsikal No. CEC 5077 sebanyak RM500 Maka dengan ini, Mahkamah membenarkan tuntutan seperti berikut:
a
Gantirugi Am sebanyak RM28,000.00
b
Ganti Rugi Khas sebanyak RM1345-00;
c
Faedah seperti diplidkan; dan
d
Kos bagi tindakan ini mengikut skala mengikut KKM 2012. BERTARIKH: 29HB NOVEMBER 2024 (NOR IZZATI BINTI ZAKARIA) Majistret Mahkamah Majistret Kuantan, Pahang Peguam: Plaintif: Ahmad Fadzli bin Ahmad Munir daripada Tetuan Ravi Moorthi, Noriza, Mala & Partners Defendan: Nor Anizah Mukhtar daripada Tetuan V P Nathan & Partners Kes-kes yang dirujuk: 1) PP V. MOHAMED ALI [1962] 1 LNS 129; 2) MOHD SALLEH SAMAD v. ZAINODIN DONGKING [2002] 1 CLJ 139; 3) MISKINAH JAYA & ORS. v. MOHAMED SALLEH & ANOR. [1983] 2 CLJ 267; 4) MISKINAH JAYA & ORS. v. MOHAMED SALLEH & ANOR. [1983] 2 CLJ 267; 5) MAT DESA BIN SALLEH V. ANG HOCK LEE & ANOR [1979] 1 MLJ 241; 6) INAS FAIQAH MOHD HELMI (A CHILD SUING THROUGH HER FATHER AND NEXT FRIEND; 7) MOHD HELMI ABDUL AZIZ) V. KERAJAAN MALAYSIA & ORS [2016] 2 CLJ 885; 8) DATUK MOHD ALI HJ ABDUL MAJID & ANOR V. PUBLIC BANK BHD [2014] 6 CLJ 269; 9) MUHAMMAD AIMAN HAKIM BIN AMINUDIN & ANOR V. LEE WEI MENG & ANOT [2023] 2 PIR 8; 10) AHMAD ZULFENDI BIN ANUAR V. MOHD SHAHRIL BIN ABDUL RAHMAN [2021] 2 PIR 27; 11) PAPATHI V. AHMAD ALKIFF HAFIZI BIN ABD WAHAB [2018] 2 PIR 30; 12) SALISAH BT ZAINUDDIN & 2 ORS V. ABDUL AHMAD BIN SALLEH & 2 ORS [2022] 2 PIR 58; dan 13) NGOOI KU SIONG & ANOR V. AIDIL ABDULLAH [1984] 1 CLJ REP 294; [1984] 1 MLRA 200. Perundangan yang dirujuk:
Wrong text, a broken link, out-of-date content, or a removal request — tell us and we'll check it against the official source.