Content
1 DALAM MAHKAMAH RAYUAN MALAYSIA (BIDANG KUASA RAYUAN) RAYUAN JENAYAH NO: W-09-119-07/2020 ANTARA GUY BOON LEANG … PERAYU DENGAN PENDAKWA RAYA … RESPONDEN DIDENGAR BERSAMA-SAMA RAYUAN RAYUAN JENAYAH NO:W-09(H)-122-07/2020 ANTARA PENDAKWA RAYA … PERAYU DENGAN GUY BOON LEANG … RESPONDEN (Dalam Perkara Mahkamah Tinggi Malaya di Kuala Lumpur Rayuan Jenayah No: WA-42H-25-05/2019 & WA-42(S)-23-05/2019 Antara Pendakwa Raya ... Perayu Dengan Guy Boon Leang ... Responden Dan Rayuan Silang Guy Boon Leang ... Perayu Dengan Pendakwa Raya ... Responden) KORAM HANIPAH BINTI FARIKULLAH, HMR AHMAD NASFY BIN HJ YASIN, HMR CHE MOHD RUZIMA BIN GHAZALI, HMR PENGHAKIMAN Pendahuluan [1] Guy Boon Leang (perayu) telah disabitkan oleh Hakim Mahkamah Sesyen (HMS) di atas pertuduhan di bawah s 326 Kanun Keseksaan. Sebagai ganti hukuman, HMS telah melepaskan perayu dengan syarat supaya dia berkelakuan baik untuk tempoh 2 tahun dengan ikatan bon jaminan sebanyak RM5,000.00 dengan seorang penjamin di bawah s 294 Kanun Tatacara Jenayah. [2] Terkilan dengan keputusan tersebut, pihak perayu mengemukakan rayuan ke atas sabitan dan pihak Pendakwa Raya mengemukakan rayuan balas ke atas hukuman yang dijatuhkan HMS ke Mahkamah Tinggi. Hakim Mahkamah Tinggi (HMT) memutuskan untuk menolak kedua-dua rayuan tersebut. Kedua-dua pihak tidak berpuas hati dengan keputusan HMT tersebut dan merayu ke Mahkamah ini. Latar Belakang Tindakan Terhadap Perayu [3] Secara ringkasnya, perayu pada asalnya dituduh dengan seorang lagi iaitu Choo Poh Lim (CPL). Pertuduhan asal yang dikenakan terhadap perayu dan CPL adalah sepertimana berikut: Bahawa kamu bersama-sama pada 16/10/2014 jam lebih kurang 1530hrs di perkarangan pejabat R.S Maniam Auctions, Desa Pandan dan di dalam Daerah Wangsa Maju di dalam Bandaraya Kuala Lumpur Wilayah Persekutuan, telah didapati dengan sengaja menyebabkan cedera parah ke atas Teh Ming Han Kad Pengenalan 740924145319, oleh yang demikian, kamu telah melakukan satu kesalahan di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan dibaca dengan seksyen 34KK. [4] Bagi membuktikan tuduhan, pihak pendakwaan telah memanggil saksi-saksi berikut untuk kemukakan keterangan: SP1 - Teh Ming Han (mangsa/pengadu); SP2 - Nadarajan a/l Ganesan (pelelong berlesen); SP3 - L/Kpl Mohd Ismail bin Habibur Rahman(jurufoto) SP4 - Muhd Fadzli bin Kamaruddin (saksi kejadian) SP5 - Insp Denish a/l Ambalagan (pegawai penyiasat); dan SP6 - Dr. Khairul Faizi Mohamad (pegawai perubatan) [5] SP1 dalam keterangannya menyatakan bahawa pada tarikh kejadian iaitu pada 16.10.2014 antara pukul 3.00 ke pukul 4.00 petang semasa dia berada di pejabat RS Maniam di Kampung Pandan telah memanggil perayu dan CPL, yang digambarkan sebagai rakan kongsinya untuk berbincang tentang perniagaan. SP1, perayu dan CPL terlibat dengan lelongan awam dan mereka juga adalah ejen hartanah. [6] Pada masa kejadian, mereka berada di atas tangga menuju ke pejabat RS Maniam. Pekerja SP1 iaitu SP4 yang dikenali dengan nama panggilan “Pali” juga berada di situ. Salah faham kemudiannya telah berlaku antara mereka yang dikatakan berpunca daripada perebutan pelanggan. [7] Kejadian berlaku apabila SP1 dikatakan telah menarik tangan perayu untuk berbincang. Namun begitu, belum sempat SP1 bercakap untuk berbincang, perayu dan CPL telah menolak dan menendang SP1 sehingga jatuh tergolek di atas tangga dan kemudiannya terkena 4 keping tingkap kaca yang tersandar di tepi tangga. Akibatnya, tangan kiri SP1 mengalami kecederaan. SP4 membantu SP1 dengan memapahnya dan pada masa yang sama salah seorang sama ada perayu atau CPL telah menumbuk SP4 dan menyatakan “jaga-jaga nanti you mati”. [8] SP1 dibawa ke Hospital Pantai untuk rawatan. Menurut SP6, dua kepingan kaca telah dikeluarkan daripada luka yang dialami SP1 dan kecederaan telah menyebabkan kerosakan kepada 2 urat saraf. SP1 kemudiannya telah membuat laporan polis sepertimana Repot Polis Pudu No. 8862/14 (ekshibit P3). [9] Di akhir kes pendakwaan, HMS mendapati bahawa pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap perayu dan CPL. Mereka telah dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan tanpa dipanggil membela diri. Terkilan dengan keputusan tersebut, pihak pendakwaan kemukakan rayuan ke Mahkamah Tinggi. [10] Di Mahkamah Tinggi, rayuan terhadap CPL telah dibatalkan apabila pihak pendakwaan gagal menyerahkan notis rayuan ke atasnya. Manakala rayuan terhadap perayu diteruskan. Setelah mendengar rayuan, HMT membuat keputusan untuk menolak rayuan pihak pendakwaan dan mengekalkan keputusan HMS. Tidak berpuas hati dengan keputusan tersebut, pihak pendakwaan kemukakan rayuan selanjutnya ke Mahkamah Rayuan. [11] Mahkamah Rayuan kemudiannya sebulat suara membenarkan rayuan pihak pendakwaan. Keputusan HMT dan HMS telah diketepikan. Mahkamah Rayuan memerintahkan supaya perayu dipanggil membela diri. Namun begitu, perayu dipanggil membela diri bukannya di atas pertuduhan asal, tetapi di atas pertuduhan yang dipinda oleh Mahkamah Rayuan. Pertuduhan yang dipinda Mahkamah Rayuan adalah sepertimana berikut: Bahawa pada 16/10/2014 jam lebih kurang 1530hrs di perkarangan pejabat R.S Maniam Auctions, Desa Pandan, di dalam Daerah Wangsa Maju dalam Bandaraya Kuala Lumpur, telah didapati dengan sengaja menyebabkan cedera parah ke atas Teh Ming Han, No KPT: 740924-14-5319, iaitu menyebabkan cedera parah pada tangan kiri SP1 dengan menggunakan serpihan kaca, satu alat yang boleh digunakan sebagai alat untuk menikam dan mencederakan tangan tersebut. Oleh yang demikian, kamu telah melakukan suatu kesalahan di bawah seksyen 326 Kanun Keseksaan. [12] Perayu telah dipanggil membela diri di hadapan HMS setelah diperintahkan berbuat demikian oleh Mahkamah Rayuan. Oleh kerana terlepas pandang, pihak pendakwaan telah mengemukakan pertuduhan asal untuk dibacakan juru bahasa kepada perayu semasa perayu dipanggil membela diri. Perayu masih mengekal pengakuan tidak bersalah dan memilih untuk membela diri dengan mengemukakan keterangan secara bersumpah di kandang saksi. [13] Bagi membela diri, perayu menyatakan bahawa dia memiliki sebuah Syarikat MW Agency di bawah namanya dan dia menjalankan perniagaan ejen hartanah. Perayu dan SP1 adalah rakan kongsi yang mana ikatan perjanjiannya adalah secara lisan. [14] Semasa kejadian, perayu dan CPL dalam perjalanan menaiki tangga menuju ke pejabat R.S Maniam. Ketika itu, mereka terserempak dengan SP1 dan SP4. Berlaku perbalahan mulut dan SP1 telah mengeluarkan kata-kata kesat dan memaki perayu. Pergaduhan dan pergelutan telah berlaku mengakibatkan kesemua mereka terjatuh di tangga. Malangnya, SP1 telah terjatuh ke atas 4 keping tingkap kaca yang tersandar di tepi tangga. Perayu tidak mengetahui tahap kecederaan SP1 kerana ketika itu dia juga panik dan CPL juga mengalami kecederaan. [15] Di akhir kes pembelaan, peguam perayu mengemukakan bantahan awal. Dihujahkan bahawa pertuduhan asal telah dibacakan kepada perayu dan bukannya pertuduhan pindaan sepertimana diarahkan oleh Mahkamah Rayuan. Selepas sesi klarifikasi dan semakan dibuat, HMS menolak bantahan awal dan sebaliknya telah mengarahkan supaya pertuduhan pindaan dibacakan selaras dengan peruntukan s 159 Kanun Tatacara Jenayah (KTJ). HMS kemudiannya memberikan pilihan kepada perayu untuk memasukkan pembelaan sepertimana peruntukan di bawah s 160 KTJ. [16] Pihak perayu memilih untuk meneruskan prosiding dengan mengemukakan hujahan di akhir kes pembelaan tanpa memanggil mana-mana saksi atau mengemukakan apa-apa keterangan baru. Setelah itu, HMS mendapati perayu bersalah dan disabitkan di atas pertuduhan pindaan. Sebagai menggantikan hukuman, HMS telah memutuskan untuk melepaskan perayu dengan syarat supaya dia berkelakuan baik untuk tempoh 2 tahun dengan ikatan bon jaminan sebanyak RM5,000.00 dengan seorang penjamin di bawah s 294 Kanun Tatacara Jenayah. [17] Perayu merayu ke Mahkamah Tinggi ke atas sabitan dan hukuman. Sementara itu, pihak pendakwaan kemukakan rayuan ke atas hukuman yang dikenakan ke atas perayu. Selepas mendengar rayuan, HMT telah menolak rayuan perayu ke atas sabitan dan hukuman serta menolak rayuan pihak pendakwaan ke atas hukuman. Terkilan dengan keputusan tersebut, rayuan W-09-119-07/2020 dikemukakan oleh perayu, manakala rayuan W-09(H)122-07/2020 dikemukakan oleh Pendakwa Raya. Kedua-dua rayuan tersebut telah didengar dan diputuskan bersama di hadapan kami. Alasan Rayuan di Hadapan Kami [18] Dalam Petisyen Rayuan, pihak perayu telah mengemukakan 21 alasan rayuan. Namun begitu, peguam perayu memberikan fokus terhadap 3 alasan rayuan dalam hujahannya di hadapan kami. Pertama, dihujahkan bahawa HMS khilaf dari segi undang-undang apabila memutuskan untuk bergantung kepada s 159 KTJ, sedangkan peruntukan tersebut tidak relevan dan tidak terpakai. Kedua, perayu tidak berniat untuk mencederakan SP1 dan jika adapun, hanyalah bertindak untuk membela diri daripada diserang oleh SP1 pada masa kejadian. Ketiga, HMS terlalu bergantung kepada keterangan SP4 yang mana dihujahkan bahawa SP4 adalah saksi yang berkepentingan kerana dia adalah pekerja kepada SP1. Dapatan Kami [19] Berhubung dengan alasan pertama, fakta yang menunjukkan bahawa pertuduhan pindaan tidak dibacakan kepada perayu di peringkat membela diri sepertimana yang telah diarahkan Mahkamah Rayuan adalah tidak dipertikaikan. Lihat nota keterangan di muka surat 223 hingga 229 Rekod Rayuan Jilid 3(b) di Kandungan 29. Perkara tersebut diakui HMS dan ada dinyatakan secara jelas di perenggan 2 Alasan Penghakiman (AP) HMS sepertimana berikut: On 28.11.2018 the matter was heard before this Court. Due to an oversight, the prosecution submitted the original charge, which the accused in turn had entered a plea of not guilty. The accused choose to testify under oath. At the close of the defence case, Iearned counsel for the accused raised a preliminary objection stating that the prosecution had tendered the original charge instead of the amended charge. After hearing submissions from the parties, I overruled the preliminary objection and ordered the amended charge to be read pursuant to section 159 of the Criminal Procedure Code (CPC). This Court had given the defence the option under section 160 of the CPC. The accused chose to proceed with the submissions at the end of the defence case without calling any new witnesses or adducing any new evidence. (penekanan ditambah) [20] Semasa berhujah di hadapan kami, peguam perayu menegaskan bahawa pihaknya tidak mempertikaikan kuasa mahkamah untuk meminda pertuduhan di bawah s 158 KTJ. Apa yang dihujahkan adalah, pindaan pertuduhan terhadap perayu bukannya dibuat di peringkat perbicaraan di hadapan HMS tetapi ianya adalah berbangkit daripada perintah atau arahan Mahkamah Rayuan. Dengan itu, peruntukan s 159 KTJ tidak terpakai. Turut dihujahkan bahawa kegagalan pihak pendakwaan kemukakan pertuduhan pindaan semasa perayu dipanggil membela diri di hadapan mahkamah bicara adalah memudaratkan dan ianya bukanlah semata-mata suatu kesilapan yang boleh diperbetulkan di bawah s 422 KTJ. Keputusan Mahkamah Tinggi dalam kes-kes Singah Mohamed Hussin v. Public Prosecutor [1973] 2 MLJ 109, Mohammad Izwan Ishak v. Public Prosecutor [2009] 10 CLJ 292 dan Lim Tuan Hong v. Hermann Jebsen & Co. [1985] 4 KY 78 serta keputusan Mahkamah Rayuan dalam kes-kes Ng Terk Chai v. Public Prosecutor & Other Appeals [2013] 2 MLJ 375 dan Ravindran A/L Ramasamy v Public Prosecutor [2015] 6 MLJ 509 dirujuk. [21] Setelah meneliti isu yang diketengahkan, kami mendapati bahawa apa yang dihujahkan peguam perayu ada meritnya. Untuk memudahkan rujukan diperturunkan sepenuhnya peruntukan s 158 dan s 159 KTJ sepertimana berikut: