Perayu menafikan SP1 telah menggunakan tuala tersebut untuk mengelap badannya selepas mandi kerana tuala itu adalah kain buruk yang digunakan untuk mengelap sisa makanan dan sisa minyak hitam motosikal. Sungguhpun begitu, dapatan HMS dalam Alasan Penghakimannya adalah seperti yang berikut: “iii. Berkenaan dengan kain tuala, eksibit P6. OKT, SD2 dan SD3 menafikan tuala tersebut digunakan untuk mandi dan lap badan. Mahkamah ini bersetuju dengan hujahan pihak pendakwaan yang mana di kalangan OKT dan saksi-saksinya sendiri, terdapat perbezaan fungsi dan penggunaan tuala tersebut. OKT menyatakan tuala tersebut digunakan untuk mengelap sisa makanan dan sisa motosikal serta sisa minyak. SD2 menyatakan untuk mengelap lantai dan SD3 pula menyatakan itu lap kaki. SD3 sendiri mengesahkan pada tuala tersebut sendiri tidak ada kesan atau sisa minyak hitam dari motosikal. Jika benarlah tuala P6 tersebut digunakan untuk lap kesan minyak motosikal, pasti kesan minyak pada tuala tersebut kekal semasa dibawa ke mahkamah. Malah pada gambar barang kes, iaitu gambar tuala di P3A, B, E dan F, juga tidak menampakkan apa-apa kesan kotoran pada tuala tersebut. Apa yang lebih penting, semasa tuala P6 itu dibawa ke mahkamah selepas 4 tahun kejadian tersebut dikatakan berlaku, tuala tersebut berada dalam keadaan biasa, sempurna dan tiada sebarang tanda-tanda lusuh, ciri-ciri biasa yang ada pada kain buruk.”. [35] Memandangkan terdapat percanggahan material antara keterangan Perayu, SD2 dengan SD3 mengenai fungsi tuala tersebut dan berdasarkan Ekshibit P6 dan Ekshibit P3A, B, E dan F bahawa tuala tersebut berada dalam keadaan biasa, sempurna dan tiada sebarang tanda-tanda lusuh, iaitu ciri-ciri biasa yang ada pada kain buruk, maka adalah menjadi dapatan Mahkamah ini bahawa pembelaan dan keterangan Perayu, SD2 dan SD3 mengenai tuala tersebut adalah tidak berasas, tidak konsisten, tidak boleh dipercayai dan rekaan mereka semata-mata serta telah gagal mengakas keterangan SP1 mengenai fungsi tuala tersebut pada hari kejadian tersebut, iaitu untuk mengelap badan SP1 selepas mandi. [36] Sebagai kesimpulan, berdasarkan alasan-alasan di atas, Mahkamah ini menjawab Isu Kedua tersebut sebagai tidak, iaitu pihak pembelaan tidak berjaya menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan pada akhir kes pembelaan. Isu Ketiga [37] Mengenai Isu Ketiga, memandangkan pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan suatu kes prima facie terhadap Perayu bagi Pertuduhan tersebut pada akhir kes pendakwaan dan Perayu telah gagal menimbulkan sebarang keraguan yang munasabah terhadap Pertuduhan tersebut pada akhir kes pembelaan, maka berdasarkan undang-undang yang mantap, Mahkamah ini bersetuju dengan dapatan HMS bahawa pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan suatu kes melampaui keraguan yang munasabah terhadap Perayu bagi Pertuduhan tersebut pada akhir kes. [38] Oleh itu, pada pendapat Mahkamah ini, keputusan HMS mensabitkan Perayu atas kesalahan tersebut setelah mengambil kira kesemua keterangan di hadapan Mahkamah pada akhir kes adalah betul dan tepat, dan selaras dengan seksyen 182A Kanun Prosedur Jenayah [Akta 593] yang memperuntukkan seperti yang berikut: “Procedure at the conclusion of the trial