Hamadi bin Ahmad] KORAM: HADHARIAH BINTI SYED ISMAIL, HMR AHMAD ZAIDI BIN IBRAHIM, HMR AZMI BIN ARIFFIN, HMR ALASAN PENGHAKIMAN Pengenalan [1] Pada 30.9.2019, Mahendran a/l Thiyaga Rajan (Perayu 1) dan Hamadi bin Ahmad (Perayu 2) telah disabitkan bersalah oleh Hakim Mahkamah Tinggi Alor Setar, Kedah dengan tiga kesalahan di bawah seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. Bagi setiap kesalahan, kedua-dua perayu dikenakan hukuman mati. [2] Rayuan kedua-dua perayu terhadap sabitan dan hukuman oleh Mahkamah Tinggi telah didengar oleh kami pada 25.3.2024. Pada tarikh yang sama, kami sebulat suara menolak rayuan perayu-perayu terhadap sabitan bagi ketiga-tiga kesalahan. [3] Bagi hukuman pula, dengan berkuatkuasanya Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023, kami sebulat suara mengenepikan hukuman mati dan menggantikannya dengan hukuman pemenjaraan selama 30 tahun dari tarikh tangkap bagi setiap kesalahan. Hukuman penjara berjalan serentak. Selain daripada hukuman pemenjaraan, setiap perayu juga dikenakan hukuman 12 sebatan rotan bagi setiap kesalahan. Walaupun jumlah sebatan rotan bagi tiga kesalahan ialah 36, tetapi setiap perayu hanya boleh dikenakan 24 sebatan iaitu jumlah maksima yang dibenarkan di bawah seksyen 288(1) Kanun Prosedur Jenayah. [4] Tidak puashati dengan hukuman yang dikenakan oleh mahkamah ini, kedua-dua perayu telah merayu terhadap hukuman 30 tahun pemenjaraan dan 24 sebatan rotan ke Mahkamah Persekutuan. [5] Dalam penghakiman ini, perayu-perayu akan dirujuk sebagai OKT 1 dan OKT2. Tiga Pertuduhan Terhadap OKT 1 dan OKT 2 Pertuduhan Pertama Bahawa kamu bersama-sama beberapa orang lagi yang masih bebas pada 18.9.2014 jam lebih kurang 8.45 malam di tempat letak kereta Pasaraya C-Mart, Amanjaya Mall Sungai Petani, di dalam Daerah Kuala Muda, dalam Negeri Kedah telah mengedar dadah berbahaya iaitu cannabis seberat 9,575.35 gram dan oleh yang demikian, kamu telah melakukan suatu kesalahan di bawah seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya1952 yang boleh dihukum di bawah seksyen 39B(2) Akta yang sama dan dibaca bersama seksyen 34 Kanun Keseksaan. Pertuduhan Kedua Bahawa kamu bersama beberapa orang lagi yang masih bebas pada 18.9.2014 jam lebih kurang 8.45 malam di tempat letak kereta Pasaraya C-Mart, Amanjaya Mall Sungai Petani, di dalam Daerah Kuala Muda, dalam Negeri Kedah telah mengedar dadah berbahaya seberat 222.69 gram (heroin 190.53 gram dan monoacetylemorphines 32.16 gram) dan oleh yang demikian, kamu telah melakukan suatu kesalahan di bawah seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah seksyen 39B(2) Akta yang sama dan dibaca bersama seksyen 34 Kanun Keseksaan. Pertuduhan Ketiga Bahawa kamu bersama-sama beberapa orang lagi yang masih bebas pada 18.9.2014 jam lebih kurang 8.45 malam di tempat letak kereta Pasaraya C-Mart, Amanjaya Mall Sungai Petani, di dalam Daerah Kuala Muda, dalam Negeri Kedah telah mengedar dadah berbahaya iaitu methamphetamine seberat 372.95 gram dan oleh yang demikian, kamu telah melakukan suatu kesalahan di bawah seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah seksyen 39B(2) Akta yang sama dan dibaca bersama seksyen 34 Kanun Keseksaan. Fakta Kes Pendakwaan [6] Pada 18.8.2014 jam 8.00 malam, D/KpI Sholeh bin Yaakob (SP4) yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik di IPD Yan, Kedah bersama Detektif Sub Inspektor Raja (D/SI Raja) keluar siasatan di kawasan Gurun. Pada 9.00 malam, SP4 (AP1) dan D/SI Raja berjumpa dengan sumber berdaftar di sebuah kedai makan di Gurun. Sumber telah memberikan maklumat tentang seorang lelaki Cina Muslim yang dikenali sebagai "Ah Boon" telah menyuruh sumber untuk mencari seorang "pembeli" bagi urusan jual beli dadah jenis syabu, heroin dan ganja. Sekiranya pembelian dadah dapat dilakukan, Ah Boon dan sumber akan mendapat komisyen yang lumayan. Maklumat dari sumber ini dimaklumkan oleh D/SI Raja kepada Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Yan, Insp Shahidan Mansor. [7] Pada 21.8.2014, jam 10.00 pagi, SP4 bersama D/SI Raja berjumpa dengan sumber sekali lagi. Dalam pertemuan itu, D/SI Raja memberitahu sumber bahawa "pembeli" telah ada dan SP4 adalah "pembeli" tersebut. Sumber kemudiannya telah memberitahu Ah Boon mengenai perkara ini. Sumber diminta membawa SP4 untuk berjumpa dengan tauke Ah Boon bernama "Munis" di Seberang Jaya pada pukul 5.00 petang bagi tujuan perkenalan. Pada hari yang sama SP4 dan sumber bergerak ke Seberang Jaya pada pukul 3.00 petang dalam satu kenderaan sementara Insp Shahidan Mansor dan D/SI Raja pergi bersama ke sana sebagai "Team Pemantau". [8] Di Seberang Jaya, SP4 dan sumber menunggu Ah Boon di sebuah gerai makan. Setelah menunggu 5-10 minit, SP4 melihat seorang lelaki Cina menuju ke arah meja makan yang diduduki mereka. Sumber memperkenalkan SP4 sebagai "pembeli" dan lelaki Cina tersebut sebagai Ah Boon. Lebih kurang 5-10 minit kemudiannya, SP4 ternampak seorang lelaki India menuju ke arah mereka. Lelaki India itu diperkenalkan kepada SP4 sebagai Munis. [9] Selepas berbual seketika, SP4 menanya kepada Munis "Bos, barang ada kah? Dan apabila ditanya oleh Munis barang apakah yang dikehendaki, SP4 berkata "Batu dan Kari". Batu merujuk kepada dadah syabu. Kari pula adalah dadah heroin. [10] SP4 juga ada bertanyakan harga bagi dadah-dadah tersebut. Beliau diberitahu harga dadah syabu ialah RM120,000.00 sekilogram. Manakala harga dadah heroin ialah RM6,500.00 satu paun. SP4 meminta kepada Munis supaya mengurangkan harga kerana SP4 hendak membeli satu kilo syabu dan 10 paun heroin. Harga yang dipersetujui kemudiannya menjadi RM100,000.00 bagi satu kilo syabu dan RM6300.00 bagi satu paun heroin. Hanya setakat itu sahaja perbincangan pada peringkat awal antara SP4 dan Munis. Berlaku pertukaran nombor telefon antara SP4 dan Munis bagi tujuan urusan seterusnya sebelum beredar dari gerai makan tersebut. [11] Semasa bergerak ke tempat letak kereta, SP4 ternampak Munis berjumpa dengan seorang lagi lelaki India lain. SP4 juga menyatakan bahawa semasa perbincangan dengan Munis, sumber ada beredar untuk bercakap telefon dan menunggu SP4 di tempat letak kereta. SP4 memaklumkan hasil pertemuan dengan Munis kepada Insp Shahidan Mansor. SP4 diarahkan untuk berhubung dengan Pegawai Turus Risikan JSJN IPK Kedah, ASP Saiful Muzir bin Abd Rahman (SP8) untuk tindakan seterusnya. [12] Pada 3.9.2014, jam 11.00 pagi, SP4 menerima panggilan daripada Munis yang ingin bertemu dengannya di Taman Sejati, Sungai Petani pada pukul 5.00 petang. SP4 bersetuju untuk pertemuan tersebut dan hal ini dimaklumkan kepada SP8. SP4 diarahkan untuk pergi bersama sumber bagi tujuan pertemuan tersebut. D/SI Raja dan SP8 turut bersama pergi ke Taman Sejati bagi tujuan pemantauan. Pertemuan berlaku di sebuah gerai makan di Taman Sejati. Munis sampai di kawasan tersebut bersama Ah Boon tidak lama selepas SP4 sampai. [13] Dalam pertemuan kedua ini, SP4 menanya Munis sama ada dia boleh cari satu lagi barang iaitu kambing. Kambing bermaksud ganja. Satu kilo ganja berharga RM1800.00. SP4 meminta untuk harga dikurangkan. Harga yang dipersetujui ialah RM1500.00 bagi satu kilo ganja. Dalam pertemuan ini, sumber tidak terlibat langsung dalam apa-apa perbincangan. Selesai pertemuan, masing-masing bergerak ke tempat letak kereta. [14] Di tempat letak kereta, Munis telah memanggil seorang lelaki India dan memperkenalkannya sebagai "John" kepada SP4. John bersalaman dengan SP4 sambil berkata "Nanti apa-apa boleh berurusan dengan saya pun". John adalah lelaki India yang sama dilihat oleh SP4 semasa pertemuan pertama dengan Munis di Seberang Jaya. SP4 tidak tahu nama penuh John. Selesai pertemuan, SP4 berjumpa dengan D/SI Raja dan SP8 untuk memaklumkan hasil pertemuan kali kedua itu. SP4 sekali lagi diarahkan untuk menunggu arahan selanjutnya. [15] Pada 15.9.2014, lebih kurang jam 11.00 pagi, SP4 telah menerima panggilan daripada Munis yang ingin bertemu dengannya di Man Cafe, Permatang Pauh jam 9.00 malam. SP8 telah mengarahkan SP4 untuk membawa L/Kpl Mohamad Hafiz bin Zamri (SP5) yang akan diperkenalkan kepada Munis sebagai kenalan atau "money man". SP4, SP5 dan sumber bergerak ke Permatang Pauh dalam satu kereta. Setengah jam kemudian, SP4 melihat sebuah kereta Myvi dengan nombor plat PHG 3940 yang dinaiki oleh Munis sampai dan pertemuan diadakan. [16] Pada 17.9.2014, bertindak atas arahan, SP4 membuat panggilan kepada Munis pada jam 12.00 tengah hari dan berkata "Duit semua dah ada, esok boleh hantar barang?" Telah dipersetujui dengan Munis bahawa dadah-dadah tersebut akan dihantar ke Sungai Petani. Percakapan antara SP4 dengan Munis telah dimaklumkan kepada SP8. Selepas itu, SP4 diarahkan supaya hadir taklimat di Bilik Gerakan JSJN IPK Kedah pada 18.9.2014 jam 2.30 petang. [17] Taklimat disampaikan oleh ASP Mior Abd Khalil bin Abd Aziz (SP7). 4 pegawai kanan dan 21 anggota hadir taklimat termasuk SP4. SP4 dan SP5 diperkenalkan kepada semua yang hadir sebagai Agen Provocateur. SP7 memberitahu semua yang hadir berkenaan satu transaksi pengedaran dadah di kawasan Sungai Petani. Dalam taklimat tersebut juga, tugasan masing-masing telah dibahagikan, alat walkie talkie diberikan serta kenderaan-kenderaan bagi menjalankan Ops telah disediakan. Turut diberikan ialah wang tunjuk berjumlah RM128,000.00. [18] Selesai taklimat, SP8 mengarahkan SP4 dan SP5 untuk terus bergerak ke Kelab Golf Cinta Sayang Resort (KGCSR) di Sungai Petani, bilik bernombor 868 yang telah disediakan pada hari yang sama. Lebih kurang jam 6.00 petang, SP4 terus menelefon Munis. Munis memaklumkan bahawa beliau tidak dapat hadir dan segala urusan akan dilakukan oleh John. [19] Pada jam lebih kurang 7.45 malam, SP4 menerima panggilan daripada John yang memaklumkan bahawa dia telah sampai di hadapan Plaza Tol Sungai Petani (U). SP4 memberitahu John untuk menunggunya disitu. SP4 seorang sahaja yang pergi menjemput John manakala SP5 menunggu di KGCSR. [20] Menurut SP4, John menunggunya di tepi jalan bersebelahan kereta Myvi PHG 3940. SP4 kemudiannya ternampak seorang lelaki Melayu lain sedang duduk di tempat duduk penumpang hadapan dalam kereta tersebut. John diisyaratkan oleh SP4 untuk mengikut kereta yang dinaikinya dari belakang. [21] Di KGCSR, mereka menuju ke bilik nombor 868 di mana SP5 sedia menunggu di hadapan bilik tersebut. SP4 mengajak John masuk ke bilik untuk mengira wang manakala seorang lelaki Melayu yang dikenali sebagai Nik (tidak dapat dikesan) cuba untuk mengikut mereka ke dalam bilik, namun tidak dibenarkan oleh SP4. John menyuruh Nik untuk menunggunya di dalam kereta. SP5 ketika itu hanya menunggu di pintu bilik sambil memerhati wang sedang dikira. [22] Di dalam bilik tersebut, John menanya kepada SP4, "Pakcik, mana duit?" SP4 mengeluarkan beg yang berisi wang. Wang diletakkan dalam 3 bungkusan iaitu satu bungkusan untuk dadah heroin bernilai RM63,000.00; satu bungkusan untuk dadah syabu bernilai RM50,000.00 dan satu bungkusan untuk dadah ganja bernilai RM15,000.00 yang diletakkan di atas tilam untuk tujuan dikira oleh John satu persatu. [23] Selesai pengiraan, SP4 mengambil dan menyimpan semula wang ke dalam beg dan memegang beg tersebut. Apabila ditanya "Mana barang?", John meminta mereka mengikutnya untuk ambil barang. Apabila SP4 menanya di mana dadah-dadah itu berada, John menjawab "dekat-dekat ni sahaja". [24] Mereka bersetuju untuk mengikut John. SP4 menyerahkan beg berisi wang kepada SP5. SP4 dan Nik menaiki kereta yang dipandu oleh John. SP5 memandu kereta lain dan mengikuti mereka dari belakang. [25] Di dalam kereta, SP4 duduk di tempat duduk penumpang belakang. Manakala Nik duduk di tempat duduk penumpang hadapan. John memandu kereta ke arah bangunan C-Mart Amanjaya Mall, Sungai Petani dan memberhentikan kereta di kawasan tempat letak kereta. SP5 memberhentikan kereta yang dipandunya disebelah kanan kereta yang dipandu John. [26] Kesemua mereka keluar dari kereta. Tidak lama kemudian, sebuah kereta Proton Iswara dengan nombor plat PCX 9081 masuk ke kawasan tersebut dan berhenti di sebelah kiri kereta yang dipandu John. "Barang dah sampai", kata John. [27] Seorang lelaki Melayu keluar dari kereta Proton Iswara tersebut dan bertanya kepada John, "Duit dah cukup?" John memberitahu kepadanya bahawa "Dah Cukup". [28] SP4 kemudiannya berkata kepada John, "Pakcik nak tengok dulu barang sebelum ambil duit". John menyuruh SP4 untuk menengok barang dahulu. Lelaki Melayu tersebut masuk semula ke dalam kereta Proton Iswara dan membuka pintu bahagian pemandu serta lampu di bahagian dalam kereta. Kemudian, dia membuka pula pintu belakang kereta di sebelah kanan sebelum berkata kepada SP4, "Pakcik mai tengok barang". Pada masa itu, beg berisi dadah telah dibuka oleh lelaki Melayu tersebut. [29] SP4 tidak terus pergi melihat barang tersebut, tetapi sengaja melengah-lengahkan masa untuk anggota serbuan bersedia di posisi masing-masing. SP4 memanggil SP5 untuk keluar bersama beg berisi duit. SP4 juga menyuruh SP5 untuk pergi melihat barang. Manakala SP4 sendiri memegang beg berisi duit. [30] SP5 berjalan bersama-sama dengan SP4 dan John menuju ke kereta Proton Iswara. SP5 membongkokkan separuh badannya untuk melihat ke dalam kereta dan memeriksa barang tersebut. Terdapat dua beg yang berada di atas tempat duduk penumpang belakang kereta tersebut. [31] Sambil menunggu SP5, SP4 bertanya kepada John, "Semua barang cukup ka?" John menjawab, "Pakcik jangan risau, kalau ada apa apa masalah nanti bagitahu". [32] SP5 memeriksa beg pertama dan mendapati di dalamnya terdapat beberapa ketulan dibalut plastik lutsinar disyaki ganja. Dalam beg kedua pula, terdapat beberapa plastik hitam yang didalamnya terdapat peket plastik lutsinar berisi ketulan disyaki dadah heroin. Di dalam beg yang sama juga terdapat satu plastik berwarna hitam putih yang berisi dua peket plastik lutsinar berisi serbuk kristal disyaki dadah syabu. Kesemua barang ini kemudiannya telah dirampas oleh pihak polis. [33] SP5 kemudiannya keluar dari kereta tersebut sebelum mengangkat topi yang dipakainya sebagai isyarat untuk bertindak kepada pasukan serbuan. Sebaik sahaja isyarat daripada SP5 telah dilihat, SP7 memberikan arahan untuk "strike" kepada pasukan serbuan. Tidak sampai 10 saat, pasukan serbuan meluru ke arah mereka. [34] Kedua-dua lelaki Melayu dan John cuba melarikan diri. SP5 melihat SP4 cuba menangkap John namun John terlepas. Sementara itu, lelaki Melayu yang memandu Proton Iswara masuk semula ke dalam kereta dan mengundurkan kereta tersebut dengan melulu. [35] John berjaya ditangkap pada jarak lebih kurang 30 meter dari tempat asal. Manakala lelaki Melayu yang cuba melarikan diri dengan kereta Proton Iswara berjaya ditangkap dalam jarak lebih kurang 20 meter dari tempat asal setelah kereta itu disekat. [36] John dicamkan sebagai lelaki yang diperkenalkan oleh Munis kepada SP4 dalam pertemuan di Taman Sejati. Nama sebenar John ialah Mahendran a/l Thiyaga Rajan (OKT 1). Lelaki Melayu yang memandu Proton Iswara dicamkan sebagai Hamadi bin Ahmad (OKT 2). [37] Siasatan polis mendapati kereta Proton Iswara PCX 9081 didaftarkan atas nama OKT 2. Manakala kereta Myvi PHG 3940 yang dipandu OKT1 didaftarkan atas nama Rozina binti Diet. [38] Kesemua barang kes yang disyaki dadah yang dirampas telah dianalisa oleh Ahli Kimia (SP3) dan disahkan sebagai dadah berbahaya seperti yang ditakrifkan dalam seksyen 2 Akta Dadah Berbahaya 1952. Jenis dan berat dadah adalah seperti yang dinyatakan dalam ketiga tiga pertuduhan. [39] Di akhir kes pendakwaan, Hakim Bicara mendapati pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan suatu kes prima facie terhadap kedua-dua OKT dan mereka dipanggil membela diri. Kes Pembelaan [40] OKT 1 (SD1) memberi keterangan bersumpah seperti berikut. Atas permintaan kawannya yang bernama Munis, pada 18.9.2014 jam lebih kurang 8.00 malam, SD1 telah memandu kereta Myvi PHG 3940 ke kawasan letak kereta di depan C-Mart Amanjaya Mall, Sungai Petani dan memberhentikan keretanya di situ. [41] Semasa sedang meletak keretanya, SD1 telah terserempak dengan SP4 dan seorang lagi lelaki Melayu yang tidak dikenali. SD1 tidak bercakap dengan kedua-dua lelaki Melayu itu. SD1 menunggu kedatangan Munis selama 30 - 40 minit. [42] Pada masa itu, SD1 terdengar bunyi bising dan kekecohan di kawasan letak kereta. SD1 keluar dari kereta untuk melihat punca kekecohan. Pada waktu itu, beberapa lelaki Melayu yang memperkenalkan diri mereka sebagai polis telah datang ke arah SD1 dan terus menahannya. [43] Selepas digari, SD1 telah dibawa ke kereta Proton Iswara PCX 9081. Di situ, SD1 melihat pihak polis membuat pemeriksaan ke atas kereta PCX 9081. [44] SD1 menafikan beliau terlibat dalam apa-apa perbincangan mengenai jual beli dadah dengan SP4. SD1 mendakwa kali pertama beliau bertemu dengan SP4 ialah pada 18.9.2014 jam lebih kurang 8.00 malam semasa meletakkan keretanya di depan Amanjaya Mall. [45] OKT 2 pula memberi keterangan melalui pernyataan bertulis (D74) seperti berikut: "SD2 telah ditangkap pada 18.9.2014, ketika itu SD2 berada di rumah sedang berehat. SD2 bercuti pada hari tersebut. SD2 mendapat panggilan telefon dari kawannya bernama Nik. Dia bertanya sama ada SD2 bekerja atau tidak hari itu. SD2 beritahu dia bercuti hari itu. Nik mengajak SD2 datang ke rumahnya. SD2 bersetuju dan bergerak ke rumah Nik dengan memandu kereta Proton Iswara. Semasa sampai dan berjalan ke rumah Nik, Nik juga keluar dari rumahnya dengan seorang lelaki India menuju ke arah SD2. Nik perkenalkan lelaki India kepada SD2 sebagai kawannya bernama Munis. Kami bertiga berbual-bual kosong dalam rumah Nik. Seterusnya Munis beritahu Nik yang beliau hendak meminjam kereta kalau ada. Memandangkan SD2 ada bawa kereta dan tidak bekerja, Nik bertanya sama ada SD2 boleh benarkan Munis guna keretanya. SD2 setuju benarkan Munis gunakan kereta. SD2 ada bertanya Munis hendak pergi mana. Munis cuma beritahu hendak ke kedai. Munis pun kembali ke rumah Nik tidak berapa lama selepas itu. Dia menyerahkan kunci kereta kepada SD2 semula. Semasa sedang berbual, Munis bertanya kepada SD2 sama ada boleh pergi ke C-Mart di Sg. Petani. Kawan Munis akan datang berjumpa untuk ambil barang daripada SD2. SD2 ada menoleh kepada Nik dan Nik memberi jaminan supaya jangan risau. Nik meminta SD2 menolong Munis. Akhirnya SD2 bersetuju untuk menolong Munis. SD2 ada bertanya barang itu barang apa. Munis memberitahu barang itu adalah rokok lari cukai. SD2 ada bertanyakan kepada Munis mengapa Munis tidak pergi sendiri. Munis memberitahu yang dia hendak bawa Nik untuk tolong dia atas satu urusan. Munis bagitau barang itu ada dalam beg di kerusi belakang. Tidak berapa lama lepas itu, SD2 pergi ke tempat parking C-Mart dan menunggu di sebelah sebuah kereta yang SD2 tak ingat jenisnya. Tidak lama kemudian ada seorang lelaki Melayu yang SD2 tidak kenal datang ke arahnya. Lelaki tersebut memberitahu yang dia hendak ambil barang. SD2 pun tidak berkata apa-apa kerana ingatkan itu adalah kawan Munis. Lelaki itu telah buka pintu tempat duduk belakang kereta. Tidak lama kemudian SD2 dengar bunyi bising dan nampak ramai orang berpakaian biasa macam menyerbu hendak menyamun SD2. SD2 panik, terkejut dan ketakutan. SD2 melarikan diri dengan kereta hingga terbabas. SD2 telah digari dan dibawa ke balai bersama seorang lelaki India yang SD2 tak kenali. SD2 telah diberitahu oleh polis akan kesalahannya. SD2 tidak tahu apa kandungan dalam beg-beg tersebut. Setahu SD2 di dalam beg-beg itu adalah kotak-kotak rokok. SD2 tidak tahu kandungan di dalam beg-beg tersebut adalah dadah. SD2 telah dianiaya oleh lelaki India bernama Munis. Beg-beg tersebut bukan milik saya, tetapi Munis. Saya percaya dengan apa yang diberitahu oleh Munis dan berniat untuk tolong hantar sahaja setelah diminta tolong oleh Munis dan Nik.” [46] Di akhir kes pembelaan, Hakim Bicara mendapati pembelaan OKT 1 dan OKT 2 gagal menimbulkan sebarang keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan. Kedua-dua mereka disabitkan bersalah ke atas ketiga-tiga pertuduhan. Rayuan OKT 1 [47] OKT 1 membangkitkan dua isu berikut: