Perayu (Mohammad Aliff Bin Azhar) dikenakan hukuman pemenjaraan seumur hidup (30 tahun) dari tarikh tangkap (6 September 2018) dan dua belas (12) sebatan. [3] Terkilan dengan keputusan tersebut, pada 29 Disember 2023, perayu pertama telah memfailkan notis rayuan ke Mahkamah Rayuan Malaysia terhadap sabitan dan hukuman tersebut. [4] Manakala perayu kedua dan ketiga masing-masing memfailkan notis rayuan mereka ke Mahkamah Rayuan Malaysia terhadap sabitan dan hukuman tersebut secara berasingan pada tarikh yang sama iaitu pada 3 Januari 2024. [5] Bagi memudahkan rujukan, selepas ini kami akan merujuk perayu (Harun Bin Ibrahim) sebagai tertuduh pertama, perayu (Mohd Zulhaimy Bin Mohd Jani) sebagai tertuduh kedua dan perayu (Mohammad Aliff Bin Azhar) sebagai tertuduh sebagai tertuduh ketiga sepertimana panggilan mereka di Mahkamah Tinggi. Fakta Kes [6] Bertindak atas maklumat, pada 6 September 2018 lebih kurang pukul 10.15 malam, pengadu / Inspektor Muhamad bin Ibrahim (SP3) bersama-sama sepasukan anggota serbuan telah sampai di tepi jalan besar berdekatan sebuah rumah kedai 2 tingkat di Kampung Kenyum, Mukim Ulu Melaka, Langkawi, Kedah. SP3 telah membahagikan anggota serbuan kepada dua (2) pasukan. [7] Pasukan pertama yang diketuai oleh SP3 akan membuat pemerhatian di bahagian hadapan rumah tersebut manakala pasukan kedua pula membuat pemerhatian di bahagian belakang rumah tersebut. Hasil pemerhatian selama lebih kurang 15 minit, SP3 mendapati tiada sebarang pergerakan keluar dan masuk. SP3 juga turut mendapati tingkat bahagian atas rumah tersebut terang dengan cahaya lampu manakala bahagian tingkat bawah pula berkunci dan gelap serta tiada sebarang individu di tingkat bawah tersebut. [8] Lebih kurang pukul 10.30 malam, SP3 bersama anggota-anggota pasukan pasukannya telah naik ke tingkat atas rumah tersebut melalui tangga di belakang. Manakala pasukan kedua pula telah diarahkan oleh SP3 untuk membuat kawalan di bahagian bawah rumah tersebut. [9] Apabila sampai di tingkat atas rumah tersebut, SP3 telah cuba untuk membuka pintu masuk tetapi ianya berkunci dari dalam. SP3 bersama-sama dua orang anggota serbuan telah menendang pintu tersebut dan masuk ke dalam rumah sambil memperkenalkan diri sebagai polis. Ketika itu juga, SP3 nampak ketiga-tiga tertuduh berada di dalam sebuah bilik di tingkat atas sedang duduk di atas tilam dalam keadaan bersila sambil menghadap sesama mereka ibarat membentuk satu bulatan. [10] Menyedari kehadiran polis, ketiga-tiga tertuduh telah bertindak bangun dan cuba merempuh SP3 dan anggota serbuan untuk melarikan diri ke arah pintu bilik tersebut. Ketiga-tiga tertuduh juga telah bertindak agresif dan berlaku pergelutan di antara mereka dengan anggota serbuan. Namun akhirnya ketiga-tiga tertuduh telah berjaya ditangkap oleh pihak polis. [11] Setelah itu, SP3 telah membuat pemeriksaan terhadap bilik di mana ketiga-tiga tertuduh berada dan SP3 telah menemui dua belas (12) paket plastik lutsinar (eksibit P9 hingga P20) berisi ketulan dan serbuk berisi bahan yang disyaki dadah jenis Heroin yang berada di atas tilam di tempat ketiga-tiga tertuduh berada sebelum mereka ditangkap. Turut ditemui di atas lantai bilik tersebut adalah 1 alat penimbang (eksibit P6), 1 gunting (eksibit P5), 1 paket plastik lutsinar mengandungi paket-paket plastik lutsinar kosong (eksibit P7) dan 1 rangkai anak kunci (eksibit P34) yang kesemuanya berada di dalam keadaan yang terdedah. [12] Ketika barang-barang kes ini ditemui, ketiga-tiga tertuduh kelihatan cemas dan berpeluh serta tidak berkata apa-apa. Selepas itu, SP3 dan anggota serbuan telah membawa ketiga-tiga tertuduh berserta barang rampasan balik ke Ibu Pejabat Polis Daerah Langkawi, Kedah. [13] Pada 7 September 2018 pukul 1.12 pagi, SP3 juga telah membuat laporan polis berkaitan serbuan, tangkapan dan rampasan barang-barang kes sepertimana Kuala Teriang Report: 001383/18 (eksibit P31) SP3 juga telah menyerahkan ketiga-tiga tertuduh serta barang-barang kes yang dirampas (eksibit P31) dan juga Borang Senarai Geledah (eksibit P32) kepada pegawai penyiasat (Inspektor Mohd Saiful Hazlee bin Mohd Lazzim / SP5). [14] Pada 12 September 2018 lebih kurang pukul 7.00 pagi, SP5 telah menyimpan barang-barang kes dadah tersebut (eksibit P9-P20) di dalam sebuah kotak bertanda 'SA' (eksibit P8) yang disediakan sendiri oleh SP5 dan telah meterai kotak tersebut dengan meterai PDRM 417 untuk tujuan diserahkan kepada Jabatan Kimia Malaysia untuk dianalisis. [15] Ahli Kimia (Puan Haslinda binti Ismail / SP1) mengesahkan bahawa pada 12 September 2018 pukul 11.21 pagi, beliau telah menerima satu kotak bertanda SA (eksibit P8) bermeterai PDRM 417 daripada SP5 dan SP1 telah daftarkan barang-barang kes tersebut dengan Nombor Makmal 18-FR-K-04475. SP1 telah serahkan Resit Kimia (eksibit P2) dengan nombor makmal yang sama sebagai bukti pendaftaran dan penerimaan kotak tersebut. [16] SP1 turut mengesahkan bahawa kotak bertanda SA (eksibit P8) mengandungi dua belas (12) paket plastik lutsinar yang mengandungi bahan berbentuk kristal dan serbuk. Setelah dianalisis, SP1 mendapati bahawa bahan-bahan berbentuk kristal dan serbuk tersebut mengandungi dadah jenis Monoacetylmorphines seberat 24.2 gram. [17] Pada 4 April 2019 pukul 2.30 petang, SP1 telah menyerahkan kembali kotak bertanda SA (eksibit P8) tersebut di dalam keadaan bermeterai Jabatan Kimia Malaysia kepada SP5 dan turut menyerahkan Laporan Kimia (eksibit P3) dengan nombor makmal yang sama. Keterangan Kes Pembelaan [18] Ketiga-tiga tertuduh telah memilih untuk memberi keterangan secara bersumpah iaitu keterangan iaitu tertuduh pertama sebagai SD1, tertuduh kedua sebagai SD2 dan tertuduh ketiga sebagai SD3. Ketiga-tiga tertuduh tidak memanggil saksi-saksi lain dalam pembelaan mereka. [19] Secara umumnya, ketiga-tiga tertuduh menyatakan bahawa mereka mereka bekerja di sebuah agensi pelancongan di Pantai Cenang, Langkawi, Kedah. [20] Pada tarikh kejadian, ketiga-tiga tertuduh telah ke rumah tersebut untuk mencuci kereta syarikat iaitu sebuah kereta Grand Livina yang digunakan untuk disewakan kepada pelancong. Tertuduh pertama dan kedua mencuci bahagian dalam kereta tersebut manakala tertuduh ketiga pula mencuci di bahagian luar kereta. Setelah selesai mencuci bahagian dalam kereta tersebut, tertuduh pertama dan kedua telah naik ke bahagian atas rumah tersebut untuk berehat sambil membawa air minuman, manakala tertuduh ketiga masih lagi meneruskan kerjanya mencuci bahagian luar kereta. [21] Di tingkat atas rumah tersebut, tertuduh pertama dan kedua duduk berehat berdekatan dengan pintu sliding kerana di situ angin kuat sambil minum air dan bermain telefon bimbit. Sepuluh (10) minit kemudian, datang hampir 7 atau 8 orang memegang serta menggari mereka berdua. [22] Mengikut keterangan tertuduh ketiga pula, setelah tertuduh pertama dan kedua naik ke tingkat atas rumah tersebut, tertuduh ketiga masih lagi menyambung kerjanya mencuci di bahagian luar kereta. Sepuluh (10) minit kemudian, semasa tertuduh ketiga hendak pergi ke paip air, telah datang lebih kurang tiga (3) buah kereta dan sebuah kereta Myvi oren dan seorang dari kereta Myvi oren tersebut terus tendang tertuduh ketiga sehingga menyebabkan tertuduh ketiga jatuh tersungkur di atas rumput dan menggarinya. Tertuduh ketiga diheret ke tepi kereta Grand Livina dan duduk di tepi kereta tersebut. Tertuduh ketiga bertegas tidak pernah naik ke tingkat atas rumah tersebut. [23] Ketiga-tiga tertuduh menafikan mengetahui atau memiliki dadah yang ditemui di dalam bilik di tingkat atas rumah tersebut dan tidak tahu daripada mana datangnya barang-barang kes dan dadah yang dirampas oleh anggota serbuan pada malam kejadian itu. Dapatan Mahkamah Tinggi Di Akhir Kes Pembelaan [24] Di antara alasan penghakiman Hakim Mahkamah Tinggi yang bijaksana adalah seperti yang berikut dan kami petik: [54] Pembelaan ketiga-tiga OKT secara ringkasnya menafikan pemilikan dan pengetahuan mereka terhadap barang kes dadah yang telah dirampas. Pembelaan yang diketengahkan adalah ketiga-tiga OKT telah pergi ke rumah tersebut setelah habis bekerja dari Pantai Cenang untuk mencuci kereta yang hendak disewakan kepada pelanggan. [55] Mahkamah ini telah meneliti keseluruhan keterangan yang dikemukakan dan mendapati bahawa wujud percanggahan-percanggahan ketara dalam pembelaan-pembelaan yang dikemukakan oleh ketiga-tiga OKT. Antara keterangan yang bercanggah adalah keterangan utama OKT1 yang menyatakan bahawa OKT1 dan OKT2 mencuci bahagian dalam kereta, memvakum serta membuang sampah. Namun begitu, OKT2 pula menafikan menggunakan vakum sebaliknya hanya menggunakan berus untuk mencuci bahagian dalam kereta kerana 'elektrik nak ambil jauh' yang kemudiannya dijelaskan oleh OKT2 sendiri bahawa tiada soket berdekatan tempat mereka dikatakan mencuci kereta. Keterangan OKT3 pula menyatakan bahawa OKT1 menggunakan vakum manakala OKT2 menggunakan berus semasa mencuci bahagian dalam kereta. [56] Di samping itu juga, semasa OKT1 disoal balas oleh peguambela ОКТ3 sendiri, telah dicadangkan kepada OKT1 bahawa OKT3 pada hari kejadian telah datang dari rumah OKT3 ke tempat kejadian kerana OKT1 meminta OKT3 untuk mencuci kereta. Namun begitu, keterangan utama OKT3 menyatakan bahawa OKT3 telah pergi ke tempat kejadian dari Pantai Cenang bersama-sama OKT1 dan OKT2 selepas habis bekerja. [57] Percanggahan-percanggahan dinyatakan di atas, walaupun kelihatan seperti fakta yang kecil tetapi menunjukkan keterangan yang tidak konsisten antara ketiga-tiga mereka sendiri. Keterangan yang tidak konsisten ini membawa kepada inferens bahawa versi pembelaan sebagaimana dikemukakan oleh ketiga-tiga mereka adalah versi yang tidak boleh dipercayai. [58] Di samping itu juga, Mahkamah ini turut mendapati bahawa pembelaan yang dikemukakan oleh pihak pembelaan semasa peringkat pendakwaan dan juga semasa peringkat pembelaan adalah berbeza. Semasa peringkat pendakwaan, pembelaan yang dicadangkan oleh pembelaan adalah bahawa barang kes dadah ditemui di dalam kotak gearbox sedangkan semasa peringkat pembelaan, dinyatakan bahawa mereka tidak pernah mengetahui tentang penemuan dadah tersebut malah tidak pernah melihat barang kes dadah tersebut. Selain itu juga, di peringkat pendakwaan, turut dicadangkan bahawa OKT1 dan OKT2 ditangkap di koridor di tingkat atas rumah tersebut akan tetapi pada peringkat pembelaan, keterangan pembelaan menyatakan bahawa OKT1 dan OKT2 hanya duduk berehat berdekatan pintu sliding sambil minum air dan bermain telefon bimbit. Turut dicadangkan semasa soal balas SP5 oleh peguambela OKT2 bahawa OKT2 ke rumah tersebut untuk membersihkan lori sedangkan di peringkat pembelaan, OKT2 menyatakan beliau berada di rumah tersebut untuk mencuci kereta. Berdasarkan keterangan-keterangan yang dikemukakan di peringkat pembelaan, jelas wujud percanggahan yang pelbagai dan berbeza-beza antara pembelaan yang diketengahkan pada peringkat pendakwaan dan peringkat pembelaan. [59] Mahkamah juga turut mendapati bahawa pembelaan juga gagal mengemukakan keterangan-keterangan yang menyokong pembelaan mereka. Antara keterangan yang boleh menyokong pembelaan mereka adalah keterangan pemilik syarikat mereka bekerja dan keterangan kakak OKT1 berkenaan tujuan mereka ke rumah tersebut yang dikatakan untuk mencuci kereta. Di samping itu juga, Mahkamah mendapati OKT3 tidak mengemukakan rakaman percakapan beramarannya yang dikatakan mempunyai pernyataan OKT kepada pegawai perakam yang OKT3 sedang membasuh kereta di luar rumah tersebut semasa ditangkap. Pada pendapat Mahkamah ini, pihak pembelaan telah gagal mengemukakan keterangan sokongan bagi menyokong pembelaan-pembelaan mereka. Di samping itu juga, pihak pembelaan hendaklah mengetengahkan pembelaan mereka di peringkat pendakwaan lagi. [60] Berdasarkan percanggahan-percanggahan yang wujud dalam pembelaan ketiga-tiga OKT dan setelah Mahkamah mempertimbangkan dan membandingkan keseluruhan keterangan-keterangan pembelaan dengan keterangan-keterangan pada peringkat pendakwaan, Mahkamah ini mendapati bahawa pembelaan yang dikemukakan oleh ketiga-tiga OKT adalah bersifat penafian dan rekaan semata-mata dan tidak boleh dipercayai. Dengan itu ketiga-tiga OKT telah gagal menimbulkan sebarang keraguan yang munasabah terhadap elemen pemilikan dan pengetahuan mereka terhadap dadah yang dirampas, dan juga telah gagal mematahkan anggapan pengedaran dadah di bawah seksyen 37(da)(iii) ADB 1952 yang telah dibangkitkan atas imbangan kebarangkalian. [61] Sehubungan itu, Mahkamah ini memutuskan bahawa pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan pertuduhan terhadap OKT1, OKT2 dan OKT3 pada tahap melampaui keraguan yang munasabah, dan Mahkamah dengan itu mensabitkan OKT1, OKT2 dan OKT3 bagi kesalahan di bawah seksyen 39B(1)(a) ADB 1952 yang boleh dihukum di bawah seksyen 39B(2) Akta yang sama sebagaimana di dalam pertuduhan. Dapatan Kami [25] Bertindak di atas representasi yang dibuat oleh peguam ketiga-tiga tertuduh, Timbalan Pendakwa Raya yang bijaksana telah memaklumkan kepada kami bahawa satu pertuduhan pilihan di bawah seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah seksyen 39A